Login  |  Daftar

Author Topik: IAF(28):Tarekat Mengikut Sunnah Rasulullah SAW  (Dibaca 46 kali)

0 Halaqian dan 1 Tetamu sedang melihat topik ini.

Halaqah

  • Global Moderator
  • *****
  • Posts: 53
    • View Profile
    TAREKAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH SAW: SEJARAH, PANDANGAN ULAMA & MENJAWAB SEBARANG TOHMAHAN

    Mukadimah

     Baru-baru ini isu tarekat dan pelbagai hal berkaitannya menjadi perbincangan hangat di media massa dan akhbar. Kemudian, Jabatan Mufti Negeri Sembilan mengeluarkan kertas kerja kami yang dibentangkan beberapa tahun dahulu berkenaan dengan tajuk di atas. Justeru, kami semak dan menambah apa yang dirasakan perlu serta membuat sedikit perubahan. Semoga dalam Irsyad Fatwa pada kali ini dapat memberi pencerahan yang sebaik-baiknya kepada kita semua.

    Tahqiq martabat ihsan seperti yang disabdakan Rasulullah SAW dalam peristiwa soalan Jibril AS mengikut riwayat Imam al-Bukhari dan lainnya merupakan kemuncak maqam ubudiah (pengabdian) hamba kepada Tuhannya. Syarat seperti melihat Allah SWT atau meyakini bahawa Allah SWT melihatnya merupakan Puncak Kwsahihan ibadat seseorang hamba-Nya.

    Tanpanya ibarat jasad tanpa roh, sudah tentu mutu dan nilainya merudum sama seperti debu-debu yang berterbangan. Justeru, ulama secara bersilsilah (berterusan) menjelaskan maksud yang sebenarnya kepada ummah dalam mentahqiqkan ibadat sehingga mencapai mardhatillah.

    Pada sesi itu, penulis diamanahkan untuk membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Tarekat Mengikut Sunnah Rasulullah SAW: Sejarah, Pandangan Ulama dan Menjawab Sebarang Tohmahan.” Penulis mengharapkan perbincangan ini sampai kepada sasarannya. Semoga penulisan ini sedikit sebanyak menyelesaikan jawapan yang berlegar dalam ufuk minda kita.

    Definisi Tarekat

     Asal perkataan tarekat dengan maksud jalan. Ada juga menyebut dengan perjalanan menuju kepada Allah, sama ada disebut tariq atau tarekat, ia merupakan sama seperti dengan nama sirah dan mazhab. Tarekat juga datang dengan makna hal seperti dikatakan dia dalam keadaan baik atau sebaliknya. Dalam kitab Lisan al-Arab dan al-Sihah, ada juga menyebut tarekat kaum dengan maksud yang terbaik dan terpilih di kalangan mereka. Ia lebih kepada perjalanan hati dalam menuju ma’rifatullah dan mardhatillah.

    Dinyatakan di sini beberapa takrif berkenaan dengan tarekat:
    •   Al-Kasyi berkata: Tarekat ialah perjalanan yang khusus bagi ahli suluk menuju kepada Allah dengan memutukan segala manzilah dan naik hingga mencapai kepada beberapa maqam.
    • Al-Jurjani berkata:Tarekat ialah perjalanan yang khusus oleh ahlinya dalam menuju kepada Allah dengan menghapuskan segala halangan dan menaiki kepada maqam . Lihat al-Takrifat (hal. 160)
    • Imam al-Qusyairi berkata: Tarekat ialah jalan atau suluk syariah, iaitu beramal dengan segala tuntutannya. Lihat Syarh al-Risalah al-Qusyairiah (hal. 43).
    • Al-Tahanawi pula berkata: Ia merupakan jalan menyampaikan ke syurga. Ia adalah lebih khusus daripada syariah kerana terangkum padanya hukum-hukum syariat daripada amalan soleh yang bersifiat jasadi dan mengelakkan daripada semua yang haram dan makruh. begitulah juga hukum-hukum yang khusus daripada amalan hati dan puncaknya berlepas diri selain Allah.
    Kebanyakan para ulama tasawuf apabila mentakrifkan tarekat menyebut apa yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali dalam merumuskan tarekat dan tujuannya, antaranya kata beliau dalam Ihya’ Ulum al-Din,  "Tarekat ialah jalan atau cara yang mendahulukna mujahadah, menghapuskan sifat mazmumah, memutus segala hubung kait dengan makhluk dan mengadap dengan penuh himmah kepada Allah. Sejauh mana pencapaian natijahnya, maka Allah lah yang menguasai hati hamba-Nya dan menaggung dalam memeri cahaya dengan cahaya-cahaya ilmu. Lihat al-Fatawa oleh Syeikh Abdul Halim Mahmud (2/236)

    Pengertian Tasawuf
     Oleh kerana hubung kait tasawuf dengan tarekat begitu rapat dan ampuh, maka penulis mengemukakan di sini beberapa pengertian taswuf pada istilah yang menggambarkan hubung kait yang cukup mendalam, antaranya:
    • Ma’ruf al-Karkhi mengatakan bahawa: Tasawuf ialah pergantungan harap kepada Allah SWT dan tidak kepada makhluk.
    • Sahl bin Abdullah al-Tustari berkata: “Sufi itu ialah seseorang yang bersih daripada maksiat, sentiasa berfikir dan berpegang teguh dengan Allah SWT dan tidak dengan manusia . oleh yang demikian, disisinya tidak ada apa-apa perbezaan antara emas dan lumpur.”
    • Al-Jurairi pula menyatakan bahawa: Tasawuf ialah perlakuan akhlak yanf tinggi dan meninggalkan perlakuan yang keji.
    • Al-Kattani menegaskan bahawa: “Sesiapa yang membekalkan kamu akhlaknya yang terpuji maka dia telah menambahkan kebersihan jiwamu.”
    • Abu al-Wafa’ al-Taftazani berkata: “Oleh itu, tasawuf pada dasarnya adalah akhlak, dengan pengertian ini tasawuf adalah ruh Islam kerana seluruh rukun Islam diasaskan kepada akhlak.” Al-Nuri berkata: “Tasawuf itu bukan tulisan atau ilmu tetapi ia adalah akhlak. Jika tasawuf itu tulisan, ia boleh diperolehi dengan latihan dan jika ilmu, ia boleh diperolehi dengan belajar. Tetapi sebenarnya maksud tasawuf itu berakhlak dengan akhlak Allah SWT (akhlak terpuji). Seseorang itu sama sekali tidak dapat berakhlak dengan akhlak ilahi hanya melalui ilmu dan tulisan.
    • Samnun berkata:  “Tasawuf ialah kamu berasa tidak memiliki sesuatupun di dunia ini, dan juga tidak dimiliki oleh sesiapapun di kalangan makhluk di dunia ini.”
    • Al-Syibli pula berkata:“Tasawuf ialah pengabdian diri kepada Allah SWT tanpa rasa keluh kesah.” Ketika ditanya sebab dinamakan dengan nama ini? Jawabnya: “Kerana baki kesan yang masih tinggal pada jiwa mereka. Kalau tidak nescaya tiada lagi nama ini bagi mereka.”
    • Tasawuf dari peringkat awal hingga akhirnya tidak boleh terlepas daripada syariat. Oleh yang demikian al-Junaid berkata: “Zikir dengan ijtima’, tawajud dengan istima’ (seni pendengaran) dan beramal dengan ittiba’.”
    • Sariy al-Saqaty berkata: “Tasawuf ialah kata nama untuk tiga perkara iaitu cahaya ma’rifah seseorang tidak menghilangkan cahaya wara’nya, tidak berbicara tentang ilmu yang batin dan disanggah oleh al-Quran dan al-Sunnah, karamahnyatidak mendorong dia melanggar perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.
    • Syeikh Abdul Wahab al-Sya’rani berkata: “Tasawuf Islam memancar di hati para wali ketika beramal dengan al-Quran dan al-Sunnah. Taswuf juga merupakan intipati dari seseorang hamba yang beramal dengan hukum-hukum syariah.”

    Tarekat Dan Tasawuf Serta Hubungan Dengan Agama Islam
     Sebelum dibincangkan hal ini, dinyatakan di sini bahawa tarekat sufiah apabila dilihat kepada mafhumnya secara taqlid, ia merupakan ibarat daripada tarekat yang berjalan dengan berpegang atau bersumberkan segala prinsipnya dan pengajarannya daripada al-Quran dan Sunnah secara langsung. Ia membentuk gambaran imam, ilmu dan amalan soleh, tetapi tanpa sebarang perantaraan organisasi bagi jamaah tasawuf yang tunduk di bawah seseorang. Ia berlainan mafhum tarekat sufiah yang berbentuk tanzimi seperti tarekat al-Naqsyabandi, al-Syazili, al-Qadiri, al-Ahmadi dan lain-lain. Lihat al-Turuq al-Sufiah fi Malizia oleh Sulaiman bin Ibrahim al-Baruhi (hal. 129-130).
    Adakah tasawuf dan tarekat mempunyai hubungan dengan agama? Hal ini telah dijawab oleh Syeikh Abdul Halim Mahmud bahawa tiada seorang sufi pun yang tidak beriman dengan Allah dan hari Akhirat. Justeru, matlamatnya mencapai mardhatillah, kasih sayangnya dan sentiasa berhubung hingga menjadi benar-benar ma’rifah. Lihat al-Fatawa (2/344)

    Hukum Mempelajari Tasawuf
     Imam al-Ghazali berkata: “Hukumnya fardhu ain kerana manusia tidak sunyi daripada aib atau sakit kecuali para anbiya’.” Syeikh al-Syazili berkata: Siapa yang tidak menceburi ilmu kita ini, nescaya dia mati dalam dosa besar yang tidak disedarinya.” Syeikh Dahlan al-Kadiri di dalam kitabnya Siraj al-Talibin menyatakan bahawa hukum belajar tasawuf ialah wajib aini pada setiap orang mukallaf. Hal ini kerana sebagaimana wajib islah yang zahir, begitu juga islah yang batin. 

    Hukum Bertarekat
     Penulis melihat pelbagai pendapat ulama berkenaan dengan hukum bertarekat. Sebelum menjawab persoalan ini, suka dinyatakan pendapat sebahagian ulama tasawuf. Kata mereka: Tauhid adalah satu, sedangkan jalan-jalanNya kepada Allah seperti nafas-nafas anak Adam.

    Kenyataan ini diulas oleh Syeikh Abdul Halim Mahmud dengan maksud: “Natijah suluk sufiah tiada berbeza dari satu tempat dengan tempat yang lain, zaman dengan zaman yang lain, dan orang dengan orang yang lain. Ia adalah tauhid di mana tauhid Allah pada zat-Nya dan tauhid-Nya pada penciptaan-Nya dan pada tasawuf-Nya hingga akhirnya. Adapun sebab berlainan tarekat kerana tabiat manusia dan fitrah mereka berlainan yang serasi dengan sebahagian dan tidak dengan yang lain. Orang ramai pada hakikatnya sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah.

    Berkenaan dengan tarekat sufiah, pada hakikatnya merupakan jalan untuk tazkiyatun nafs, mengelokkan akhlak serta mengikut secara amali sunnah Rasulullah hingga jadilah ia orang yang beriman dengan sebenar dan Islam hakiki.

    Syeikh Abdul Halim Mahmud menjawab persoalan hokum menyertai tarekat sufiah, adakah halal atau haram? Jawapannya: Tarekat-tarekat sufiah pada maknanya yang sebenar merupakan pelbagai wasilah dalam menggapai hidayah kepada Allah swt. Ia bermatlamatkan mencapai hidayah untuk orang perseorangan, jemaah dan masyarakat hingga menjadi masyarakat rabbani dan syeikh tarekat sentiasa mengharapkan Allah supaya termasuk dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bahawa Allah memberi hidyah dengan sebabmu kepada seorang lelaki , maka ia adalah lebih baik daripada unta merah.” Lihat al-Fatawa (2/387-388)

    Antara hujah lain ialah :
    • Ada juga yang berhujah dengan hujah yang lain seperti tidak sempurna sesuatau yang wajib kecuali dengannya, maka hal tersebut juga menjadi wajib. Kaedah seperti ini sebagaimana sesuai dalam hukum feqah juga sesuai dalam hukum tarekat dan tasawuf.
    • Begitu juga ada yang berhujah dengan keperluan mujahadah nafsu.
     
    Soalan:
    Adakah di sana bagi kita mesti mempelajari dan berguru atau memadai melalui pembacaan buku semata-mata? Dalam menjawab hal ini, pernah berlaku akhir abad ke-8 Hijrah di mana golongan sufi bersengketa dalam isu ini menyebabkan mereka mengutus surat kepada tokoh-tokoh ulama pada masa itu seperti Syeikh Abi Abdillah Ibn Abbad dan Ibn Khaldun. Syeikh Zarruq telah menyebut hal tersebut dan mengambil semua jawapan yang berkisar pada tiga:
    • Melihat kepada masyaikh. Jika Syeikh sebagai pengajaran sahaja (syeikh taa’lim), maka memadai dengan buku rujukan bagi yang cerdik.
    • Melihat kepada keadaan pelajar, maka pelajar yang tidak cerdik perlu dan memastikan dengan syeikh mentarbiahnya, sedangkan yang cerdik memadai daripada buku rujukannya.
    • Melihat kepada mujahadah, dimana mujahadah takwa tidak perlu kepada syeikh untuk menerangkannya. Sedangkan istiqamah perlu kepada syeikh.
    Seorang faqih Maliki, Imam al-Syatibi, pengarang kitab al-Muwafaqat pernah mengutus surat kepada Syeikh Abu Abdillah Ibn Abbad al-Nifri yang menjadi khatib di Jami’ al-Qurawwiyin, Kota Fas. Lantas menjawab melalui kitabnya, al-Rasail al-Sughra: Syeikh kembali kepada dua dalam suluk , iaitu syeikh ta’lim dan tarbiah, dan yang kedua  syeikh ta’lim tanpa tarbiah. Syeikh tarbiah bukanlah kemestian bagi setiap ahli suluk, tetapi menjadi keperluan kepada yang kurang cerdik dan mengikut nafsu. Adapun syeikh ta’lim menjadi keperluan bagi setiap orang kerana sifat ilmu perlu dipelajari dan adanya hubungan antara murid dan guru. Bergantungnya kepada syeikh tarbia merupakan perjalanan ulama mutakhir di kalangan ahli sufi, sedangkan bergantungnya kepada syeikh ta’lim merupkan cara mereka  yang terdahulu. Lihat Risalah al-Mustarsyidin (hal. 40)

    Syeikh Said Hawwa’ melalui bukunya Tarbiyyatuna al-Ruhiah  (hal. 16) menyebut: "Aku telah melakukan tajribah yang banyak dan melihat banyak sekali, lantas aku mendapati amat jarang kesempurnaan pada jiwa atau ihsan pada suluk atau mempunyai kemampuan dalam bermuamalah kecuali aku dapati bersamanya tarbiah Islamiah sufiah yang suci kerana demikian itu merupakan kunci-kunci nafsu basyariah. Ini kerana mereka mewarisi daripada Rasulullah SAW berkenaan dengan tarbiah al-Nafs dan tazkiahnya."

    Walaupun begitu, penulis lebih cenderung kepada hukum bertarekat adalah melihat kepada keadaan seseorang dan pengamatan penulis kepada beberapa buku menunjukkan bahawa keselesaan memahami  erti tarekat yang mempunyai kaitan rapat dengan tasawuf adalah amat tebal. Justeru, hukumnya pada asal adalah untuk mentahqiqkan ubudiah kepada Allah SWT dengan membuang segala ujian dan rintangannya seperti hawa nafsu.

    Tarekat Yang Sebenarnya

     Syeikh Abdul Halim Mahmud dalam Fatawanya (2/391) menyebut: Sesungguhnya berpegang dengan kitab Allah dan sunnah Rasulullah merupakan jalan mustaqim yang Allah perintahkan kita mengikutinya. Ini membawa kejayaan di dunia dan di akhirat. Setiap tarekat sufiah yang sejahtera hanya menyeru kepada beriltizam dengan kitab dan dan sunnah, sedangkan tarekat yang menyeleweng daripada itu akan membawa kepada kerosakan, sesat lagi menyesatkan.

    Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Al-Munqiz Min Al-Dhalal menyebut berkenaan dengan tarekat yang sebenarnya ialah penyuciannya sebagai awal syarat, iaitu penyucian hati kesemuanya selain daripada Allah dan pembukaannya seiring perjalanannya dengan takbiratul ihram dalam solat yang hati diselubungi keseluruhannya dengan zikrullah. Ia berakhir dengan keseluruhannya pada Allah. Inilah kesudahannya di samping tidak termasuk di bawahnya sebarang ikhtiar dan usaha daripada awalannya atas mentahqiqkan permulaan tarekat ini. Lihat Al-Munqiz Min Al-Dhalal (hal. 62).

    Pendapat yang sama telah dikemukakan oleh Dato’ Haji Ambak bin Abdul Aziz, salah seorang Ahli Majlis Fatwa Negeri Terengganu yang merumuskan mafhum tarekat sufiah, iaitu tarekat sufiah yang sebenarnya yang diambil sumbernya mengikut perjalanan kehidupan Rasulullah SAW, para sahabat, tabi’in dan salafussoleh.

    Jawapan Kepada Tohmahan

    Ada pendapat mengatakan bahawa tasawuf merupakan ilmu yang asing yang dimasukkan ke dalam Islam. Sebenarnya penulis telah menjawab persoalan ini dalam buku A-Z Tasawuf dengan panjang lebar.

    Syeikh Abdul Halim Mahmud dalam al-Fatawa (362) menyebut: menjawab persoalan ini, cukup dengan mengemukakan tiga hujah:
    • Syeikh Abdul Wahid Yahya yang merupakan Failasuf Muslim Sufi, antara lain berkata: Tasawuf merupakan juzu’ jauhari daripada agama Islam. Ini kerana agama akan kurang tanpanya.
    • Seorang orientalis yang terkenal, Missiniun, telah mengatakan bahawa anggapan hukum yang tasawuf tiada kena mengena dalam Islam dan dimasukkan ke dalamnya adalah tidak benar dan diterima oleh akal.
    • Pengarang kitab al-Tabsir fi al-Din telah membangkang setiap apa yang menyalahi mazhab ahli sunnah, di mana disebut perbezaan yang ketara bagi ahli sunnah dengan adanya unsur kesufian.
       
    Penyelewengan Dalam Tasawuf
    Di antara fenomena penyelewengan di kalangan ahli tasawuf ialah idea-idea di bawah ini.
    • Mengambil kira citarasa dan perasaan hati individu atau ilham sebagai ukuran untuk mengetahui dan buruk sesuatu serta untuk membezakan di antara yang betul dan yang salah, hinggakan ada yang melampau dalam perkara ini sampai berkata: hatiku telah berbicara dengan tuhanku. Berlawanan dengan perkataan ulama hadith iaitu: seseorang telah memberitahuku dari seorang yang lain dari Rasulullah SAW.
    • Pengasingan yang mereka lakukan di antara syariat dan hakikat. Menurut mereka sesiapa yang melihat kepada makhluk dengan ain syariat nescaya dia akan memarahi mereka, barangsiapa yang melihat mereka dengan ain hakikat dia akan maafkan mereka. Ekoran daripada itu ialah orang-orang kafir tidak boleh diperangi dan orang-orang yang melakukan kemungkaran tidak boleh diingkari.
    • Penghinaan mereka terhadap soal-soal kehidupan yang bercanggah dengan manhaj al-Quran dan bercanggah dengan sunnah serta manhaj sahabat seperti kata: bekerjalah untuk dirimu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan beramallah untuk akhiratmu seolah-oalh kamu akan mati pada esok hari.
    • Penguasaan sifat jabariah dan salbiah terhadap kebanyakan mereka yang mana telah meninggalkan kesan di dalam pemikiran umat Islam yang menyebabkan mereka percaya bahawa manusia ini diatur dan dipandu bukan diberi pilihan atau tiada faedah untuk menentang kerosakan dan memerangi apa-apa kebatilan. Ini kerana Allah telah menentukan segala-galanyake atas hambanya, kata-kata ini telah berleluasa di kalangan mereka: tinggalkan kuasa kepada kerajaan dan tinggalkan makhluk untuk Tuhan. Hal ini telah membawa kepada penguasaan roh yang kalah dalam kehidupan umat Islam.
    • Menghapuskan personaliti murid dalam proses pentarbiah suluk dan pemikiran mereka tenggelam dan kalah oleh idea syeikhnya dan dia tidak boleh membincangkan apatah lagi menentangnya atau mempersoalkan kenapa atau berkata tidak. Antara kata-kata mereka: seorang murid di hadapan syeikhnya adalah seperti mayat dihadapan tukang mandi. Sesiapa bertanya kenapa, nescaya akan gagal.
    Idea-idea di atas telah tersebar pada zaman mutaakhir ini dan ramai yang menerimanya dengan percaya bahawa ia adalah sebahagian dari ajaran Islam. Apabila fajar kebangkitan moden bangkit di negara umat Islam maka ramai di kalangan intelektual yang menyangka bahawa idea-idea negatif yang tertonjol itu adalah Islam. Lalu mereka enggan menerimanya dan barangkali menentangnya pula kerana kejahilan mereka tentang hakikat nilai-nilai Islam yang sebenar. Perlu rasanya kami nyatakan mereka pada awalnya dan bersikap sederhana telah memberi peringatan tentang penyelewengan dan perlampauan itu serta mewajibkan berpegang teguh dengan nas-nas syarak dan kaedah-kaedahnya yang tidak salah mahupun menyimpang.

    Ibn al-Qayyim ada menukilkan pelbagai kata-kata yang dilahirkan oleh ketua-ketua ahli tasawuf antaranya ialah kata-kata oleh ketua ahli tasawuf, al-Junaid bin Muhammad (wafat 297 H) yang berkata: tarekat-tarekat semuanya ditutup dari kenyataan makhluk kecuali orang-orang mengikut athar sunnah Rasulullah SAW. Katanya lagi, sesiapa yang tidak menghafal al-Quran dan menulis hadith dia tidak boleh diikuti dalam hal tasawuf ini kerana pengetahuan kita ini berkait dengan al-Quran dan terikat dengan sunnah.

    Abu Yazid al-Bistami berkata: Sekiranya kamu melihat kepada seorang lelaki yang diberi beberapa keramat sehingga dia mampu terbang di udara, maka jangan kamu tertipu dengannya hatta kamu melihat bagaimana keadaannya dalam soal suruhan dan larangannya, menjaga batas-batas (hudud) agama serta melaksanakan syariat.

    Benarkah Wujudnya Pemencilan Diri Dari Arus Perdana Oleh Golongan Tarekat Sufiah?

    Mantan mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sahibus Samahah Dato’ Mohammad Murtadza dalam menjawab hal ini: Hakikatnya mereka yang selalunya kehadapan dalam mempertahankan kedaulatan Negara Islam dan peperangan Fi Sabilillah, golongan sufi di kalangan tabi’in seperti Uwais Al-Qarni, Abu Muslim Al-Khaulani, Al-Aswad Bin Yazid, Hasan Al-Basri dan lain-lain adalah antara ahli sufi yang mengutamakan urusan mempertahankan daulah lebih daripada ibadat sunat. Hasan al-Basri pernah berkata: tiada satu amalan yang paling utama selepas daripada (bertungkus lumus dalam) jihad fi sabilillah melainkan  menghidupkan malam.

    Al-Rabi’ bin Khaitham adalah seorang sufi yang menganggotai tentera berkuda, selepas dari medan jihad kudanya itu dicuri di hadapan matanya ketika beliau sedang bersembahyang, beliau berkata: tidak ada sesuatu pun yang boleh menggangguku dari bermunajat kepada Allah. Ya Allah! Sekiranya pencuri itu adalah seorang yang berkemampuan, maka berilah hidayah kepadanya tetapi jika sekiranya dia adalah seorang yang fakir maka kayakanlah dia.

    Begitu juga jihad membela daulah Islam diteruskan oleh ulama sufi yang lain seperti penglibatan Abu Hasan Al-Syazili dan Solahuddin al-Ayyubi di dalam peperangan menentang tentera Salib, Ibn Arabi berkata:  wahai anakku! Sesungguhnya bila Allah mahu menaikkan martabat hamba-Nya ke maqam-maqam yang lebih tinggi, Allah akan menghampirkan kepadanya musuh-musuh-Nya agar dia bersungguh menentang mereka.

    Begitulah juga di tanah air kita Malaysia gerakan menentang British dipelopori oleh ulama yang amat berpegang teguh dengan amalam tasawuf seperti Tok Ku Paloh di Terengganu, Tok Bahaman, Mat Kilau dan lain-lain di Pahang, Tuan Hussin Kedah al-Banjari, pengasas Pondok al-Taufiqiyyah al-Khairiyyah, Padang Lumat dan lain-lain.

    Selain daripada terlibat di dalam medan jihad Fi Sabilillah, golongan tasawuf jugalah yang menjadi pimpinan masyarakat di Tanah Melayu dan membina masyarakat yang cerdik ilmu seperti Tok Kenali di Kelantan (Pengasas majalah Pengasuh), Syeikh Muhammad Said al-Linggi, Syeikh Ahmad di Rasah, Tuan Tulis di Talang, Negeri Sembilan, dan lain-lain. Sebahagian mereka ada yang membuka pusat pengajian, menjadi pegawai kerajaan dan lain-lain tangungjawab kemasyarakatan.

    Sifat Tarekat Dalam Islam
     Dalam menjawab persoalan ini, penulis menukilan nasihat yang diberi oleh Syeikh Abdul Qadir al-Jailani kepada anaknya:

    Adalah menjadi suatu kewajipan ke atas kamu bertaqwa kepada Allah dan mentaati-Nya, kamu sekali-kali tidak boleh takut dan mengharapkan kepada orang lain, semua keperluan hendaklah ditujukan kepada Allah sahaja: berimanlah dengan tauhid (Al-Jailani: 302).

    Dalam kitabnya Futuh al-Ghayb banyak sekali pengajaran tasawuf yang diutarakan oleh Syeikh dalam bentuk yang lebih terperinci seperti:
    • Gesaan supaya berpengang dengan syariah.
    • Aqidah dan pegangan orang-orang mukmin.
    • Gesaan supaya selalu berdoa kepada Allah.
    • Fana’.
    • Taqarrub kepada Allah SWT.
    • Pertalian anatara dunia dan akhirat.
    • Jiwa dan hal-halnya.
    • Ujian dan cubaan.
    • Wali dan jalannya.
    • Akhlak yang luhur.
    Kitab Futuh al-Ghayb merupakan himpunan syarahan yang disampaikan oleh Syeikh dalam majlis-majlis yang berbeza dari segi masa dan tempat. Berhubung dengan aqidah pula, Syeikh menegaskan dengan jelas pegangan aqidahnya: Aqidah kita ialah aqidah para salaf dan para sahabat.

    Menurut Syeikh, seorang sufí itu dapatlah ditakfifkan seperti berikut: Sufi ialah orang yang telah menamatkan perjalanan dan telah sampai ke destinasi tarekatnya (al-Jailani 2/60). Selanjutnya beliau menerangkan titik permulaan dan garis penamat bagi seorang sufí.

    Permulaan kehidupan kerohanian (pengembaraan kerohanian) ialah keluar dari kehendak-kehendak hawa nafsu (ma’hud) dan masuk ke dalam jalan hukum (masyru) dan kemudian masuk ke dalam takdir (maqdur), selepas itu kembali semula ke dalam kehendak nafsu (ma’hud), tetapi dengan syarat hendaklah menjaga hudud (hukum-hukum syariah), (al-Jailani: 138).

    Beliau juga menasihatkan anaknya dengan berkata: Wahai anakku, aku menasihati kamu supaya bertakwa kepada Allah, mentaati-Nya, melaksanakan syariah dan menjaga hudud Allah, iaitu menjauhi semua larangan Allah walaupun kecil. Sebagaimana kamu mengetahui wahai anakku, bahawa tarekat kita (tarekat Qadariyyah) ini didirikan berasaskan al-Quran dan al-Sunnah, kesejahteraan jiwa, murah hati, terbuka, menahan daripada kekerasan, menanggung kesulitan dan kemaafan.
    PenutupAlhamdulillah, selesailah sudah perbincangan berkenaan dengan tajuk ini yang penulis anggap sebagai muqaddimah untuk diperlebarkan lagi dan diperluaskan lagi perbincangan tajuk ini dengan lebih mendalam. Pada penutup ini, penulis menukilkan kenyataan Abu al-Hassan al-Syazili sebagai satu penegasan: “Sesungguhnya tariq ini merupakan akidah kepada Allah, iaitu hubungan secara langsung bersama Allah dan siapa yang menjalani jalan Allah ini, maka ia termasuk dalam kalangan siddiqin”. Kemudian Imam Abu Hasan al-Syazili telah menerangkan tarekat Islam berkenaan sifatnya secara jelas,
    iaitu:
    • Berakhlak dengan akhlak Allah SWT.
    • Sentiasa menghampirkan diri kepada Allah dengan taat segala perintah-Nya.
    • Meninggalkan hawa nafsu semata-mata malu kepada Allah.
    Dari sini, difahamai bahjawa tarekat sufiah secara mafhumnya adalah menghampirkan diri kepada Allah bagi mencapai keredhaan-Nya dan mentahqiqkan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

    Penulis suka mengatakan bahawa tajuk seperti ini amat perlu dicermati supaya dalam diri kita supaya sentiasa terpimpin dalam perbincangan. Diharapkan semoga ia menatijahkan keinsafan kedalam diri kita untuk berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar dan tarekat sufi sunni yang selamat daripada sebarang penyelewengan.

    Sekali lagi marilah sama-sama kita menginsafi diri yang dhaif ini untuk mendalami dan memahami sesuatu ilmu seperti tasawwuf sunni yang berasaskan al-Kitab dan Sunnah seperti yang diamalkan oleh Ibn Athaillah al-Sakandari dan mereka yang terdahulu lagi seperti Junaid al-Baghdadi, Fudhail bin Iyadh dan lain-lain agar kita benar-benar di atas jalan yang diredhai Allah. Semoga pencerahan ini sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada kita. Amin.

    Akhukum fillah

    Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
    Mufti Wilayah Persekutuan
    [/list]