Login  |  Daftar

Author Topik: IAH(6): Hukum Berhujah Dan Beramal Dengan Hadith Dhaif  (Dibaca 1532 kali)

0 Halaqian dan 1 Tetamu sedang melihat topik ini.

Halaqah

  • Global Moderator
  • *****
  • Posts: 82
    • View Profile
HUKUM BERHUJAH DAN BERAMAL DENGANNYA

SOALAN:
Apakah hukum beramal dengan hadis daif? Adakah boleh diamalkan secara mutlak atau ia memiliki syarat-syarat tertentu?

JAWAPAN:

  Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
  Isu berkenaan dengan hadith dha’if samada dibolehkan beramal dan berhujah dengannya telah menjadi polimik dalam kalangan para ulama’ dan cendikiawan Islam. Justeru itu, kami nyatakan seperti berikut :

Definisi hadith dha’if

Dari sudut bahasa : dha’if adalah sifat musyabbahah dan lawan bagi kuat. Manakala, dha’if pada istilah ialah :

وَهُو ما لمْ يَجْمَع صِفةَ الصَحيحِ أَو الحَسَنِ
Maksudnya: Hadith dha’if ialah hadith yang tidak memenuhi syarat hadith sahih atau hadith hasan.
[Lihat : Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi, 109]

Ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu dha’if ringan yang boleh diangkat martabatnya menjadi hasan lighairihi (حسن لغيره) dengan wujudnya syawahid (الشواهد) atau mutaba’at (المتابعات) dan dha’if berat pula tidak boleh diangkat martabatnya. [ Lihat : ‘Ulum al-hadith Asiluha wa Mu’asiruha, 162]

Antara sebab hadith menjadi dha’if yang berat adalah apabila para huffaz telah menghukum sesuatu hadith sebagai dha’if yang berat adalah disebabkan hilangnya sifat ‘adalah (العدالة) pada salah seorang perawi atau lebih.

Selepas kita mengetahui definisinya, maka kita lihat pula pandangan ulama’ berkenaan isu beramal atau berhujah dengan hadith dha’if :

Hukum beramal atau berhujah dengan hadith dha’if

Para ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan adakah hadith dha’if menjadi hujah di dalam hukum dan boleh diamalkan di dalam fadhail al-‘Amal (kelebihan amalan-amalan)
: [ Lihat : Syarah al-Manzhumah al-Baiquniyyah, 64-66]

Pertama: Hadith dha’if adalah hujah secara mutlak dengan dua syarat :
  • tidak terlalu dha’if
  • tidak ada dalam sesuatu bab melainkannya sahaja.
Ini adalah pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik bin Anas, Imam al-Syafie, Imam Ahmad dan ramai lagi.

Kedua: Hadith dha’if tidak boleh diamalkan atau dijadikan hujah di dalam hukum dan juga fadhail al-‘Amal. Ini pula merupakan pendapat Yahya bin Ma’in, al-Bukhari, Muslim, Ibn Hazim dan ramai lagi.

Ketiga: Hadith dha’if hanya boleh diamalkan di dalam fadhail al-‘Amal dan tidak menjadi hujah di dalam hukum. Ini merupakan pendapat jumhur ulama’ tetapi para ulama’ telah meletakkan beberapa syarat untuk beramal dengan hadith dha’if. Antaranya ialah :
  • Tidak terlalu dha’if.
  • Terdapat asal bagi amalan tersebut.
  • Tidak beri’tiqad ketika beramal dengannya bahawa Nabi SAW melakukannya.
  • Beramal dalam perkara-perkara yang melibatkan fadhail al-A’mal sahaja.

Tarjih:Selepas meneliti pendapat-pendapat para ulama’ dalam menjadikan hadith dha’if sebagai hujah dan boleh diamalkan di dalam fadhail al-A’mal, kami cenderung terhadap keharusan beramal dengan hadith dha’if tetapi dalam masa yang sama perlu diikat dengan syarat-syarat atau dhawabit (panduan-panduan) seperti yang dinyatakan oleh jumhur ulama’ sebagaimana yang dinyatakan dalam pendapat yang ketiga. Ini juga merupakan pendapat imam al-Nawawi RA dan Mula ‘Ali al-Qari.

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam melaksanakan setiap amalan agar setiap amalan yang kita lakukan bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Amin.

Wallahua`lam.