AL-RĀBITAH :SEJARAH, DEFINISI DAN KONSEP

*

Author Topic: AL-RĀBITAH :SEJARAH, DEFINISI DAN KONSEP  (Read 10238 times)

0 Halaqian and 1 Guest are viewing this topic.

Ummi Munaliza

  • *
  • Posts: 14526
  • Anniversary Ke 30
    • View Profile
18 November, 2009, 11:27:16 AM
  • Publish

  • DEFINISI AL-RĀBITAH.


    1     Al-Rābitah dari sudut bahasa.

    Istilah al-rābitah jika ditinjau dari sudut bahasa, ia diambil dari perkataan  الربط. Perkataan ini berasal dari katakerja  ربط ,  يربط ,  ربطا , مربوط , ربيط .  Sedang kata jamaknya pula ialah ربط  .  Istilah al-rābitah ini biasanya digunakan mengikut kesesuaian yang berdasar kepada berbagai bentuk , sama ada dilihat dari sudut perbezaan wazannya atau pun dari sudut perbezaan dalam konteks penggunaan dan pemakaiannya.  Sebagai contoh apabila dikatakan :

    1-     ربط الشيىء ربطا فهو مربوط وربيط
    Ayat di atas membawa maksud memeperkemaskan sesuatu ikatan.

    2-    رباط الشيىء
    Ungkapan di atas membawa kepada beberapa maksud antaranya :

    a)  Ayat di atas membawa maksud  sesuatu yang diikat .  Dalam ertikata lain ia juga dikatakan sebagai تشد به  القربة yang membawa maksud  mengikat dengannya akan tempat air.

    b)  Ayat di atas juga membawa maksud : مواظبة على الأمر  yang bererti: sentiasa berterusan di dalam membuat sesuatu urusan.

    c)  Seterusnya ia membawa kepada makna :ملازمة ثغر العدو كا لمواظبة  yang bererti: sentiasa berwaspada terhadap musuh.

    3-   Sedang kalimah al-murābitah pula pada asalnya membawa maksud setiap satu kumpulan mempunyai tempat khas untuk menambat kuda-kuda mereka.  Dari sini dinamakan tempat menambat kuda itu dengan nama  رباطا .


    Dalam al-Qur’an Allah S.W.T  berfirman:

    يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ . 

    Maksudnya:

    "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih dari kesabaran musuh di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah S.W.T., supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).

    Dalam firman Allah S.W.T di atas tadi, terdapat tiga kata kerja suruh (fi‘l al-amr) di antaranya:
    اصبروا :  Membawa maksud bersabar di atas segala kesukaran dan kesusahan yang dihadapi ketika akan, sedang dan selepas melaksanakan ibadah  dan musibah.

    وصابروا:  Membawa maksud perangilah musuh-musuh Allah S.W.T. dengan penuh kesabaran ketika dalam peperangan.  Demikian juga ketika memerangi musuh al-nafs, al-hawā dan syaitan. 

    ورابطوا:  Membawa maksud kuatkan semangat jihad ke atas musuh-musuh kamu semasa peperangan di samping kuatkan persediaan untuk hari peperangan tersebut.  Perkataan rābitu dengan kata jamak itu juga terkadang membawa maksud muhāfazah iaitu menjaga, memelihara,mengawasi dan berhati-hati dengan waktu solat.  Perkataan ini digunakan juga kepada maksud muwāzabah iaitu pengawasan, penelitian dan penjagaan ke atas solat.

    4-   Kadangkala digunakan perkataan  al-ribāt kepada makna intizār iaitu menunggu dari satu waktu solat ke waktu solat yang lain.  Ini dapat kita  lihat dengan jelas dari sabda Rasulullah s.a.w:
    ألا أدلكم على ما يمحو الله به الخطايا ويرفع  به الدرجات , قالوا بلى يا رسول الله قال اسبغ الوضوء على المكاره وكثرة الخطأ إلى المساجد , وانتظار الصلاة  بعد الصلاة  فذلكم الرباط فذلكم الرباط فذلكم الرباط  . 

    Maksudnya:

    Adakah tidak mahu aku tunjukkan kepada kamu tentang sesuatu yang boleh menghapuskan kesalahan-kesalahan di samping mengangkat darjat kamu? Mereka menjawab: Bahkan wahai Rasulullah. Baginda s.a.w menjawab dengan sabdanya: Sempurnakanlah wuduk walaupun dalam keadaan susah (di waktu sakit dan sejuk) dan perbanyakkanlah langkah untuk menuju ke masjid, dan menanti waktu solat selepas waktu solat.  Demikian itulah al-ribāt, demikian itulah al-ribāt, demikian itulah al-ribāt.

    Dalam hadis yang tersebut di atas jelas segala amal-amal soleh itu diumpamakan dengan perkataan al-ribāt yang membawa maksud lazamtu.  Ayat di atas membawa maksud melazimkan atau membiasakan diri ke atas amal-amal soleh.  Oleh yang demikian perkataan al-ribāt di sini sebenarnya mengandungi maksud lazamtu yang melambangkan kepada ikatan di antara dua hubungan.  Sebagai contoh: Menyempurnakan wuduk, pergi ke masjid dan sebagainya akan mengikat pelakunya dari melakukan maksiat dan memelihara dari beberapa perkara yang diharamkan.

    5-   Perkataan al-rābitah juga membawa makna  العلقة dan  الوصلة.   Yang membawa maksud  ketergantungan dan  kesampaian.  Seterusnya kita dapat lihat dari keterangan yang dikemukakan oleh al-Qur’an tentang perkataan al-ribāt yang membawa maksud demikian seperti di dalam firmanNya:
    وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لاَ تَعْلَمُونَهُمْ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لاَ تُظْلَمُونَ . 

    Maksudnya:

    Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap bersedia untuk menggerunkan dengan persediaan itu akan musuh-musuh Allah S.W.T. dan musuh kamu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah S.W.T. mengetahuinya.

    Perkataan al-ribāt yang terdapat dalam ayat di atas jelas membawa maksud berwaspada dan bersedia.  Ayat ini juga memperlihatkan kepada kita adanya hubungan di antara dua aspek, iaitu hubungan di antara kekuatan tentera dan pasukan berkuda dengan kejayaan dan kesampaian (al-wuslah).  Hubungan tersebut jelas akibat dari penggunaan  perkataan al-ribāt seperti yang terdapat dalam ayat di atas.

    Pengurusan, Pentadbiran Forum Halaqahnet.
    Penal Utama Baitul Muslim


    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #1 18 November, 2009, 11:32:51 AM
  • Publish

  • 2   Al-Rābitah Dari Sudut Istilah

    Menurut pandangan Syeikh ‘Abd al-Ghāni al-Nāblusi, perkataan al-rābitah dari sudut istilah al-sufiyyah ialah:
    ربط المريد قلبه بالشيخ  الكامل الذى وصل بروحه  وقلبه إلى مقام المشاهدة وتحقق في نفسه بالصفات الذاتية  المنسوبة إلى  ذات الله تعالى من غير كيف ولا كيفية على التنزيه المطلق . 


    Maksudnya:

    Murid itu menambat atau menggantungkan hatinya dengan seorang syeikh yang kāmil (sempurna atau telah wusul kepada Allah S.W.T.) iaitu syeikh yang roh dan hatinya telah mencapai maqām mushāhadah dan tahqiq (benar-benar ada) di dalam dirinya (diri batinnya) berbagai sifat zat yang dinisbahkan kepada zat Allah Ta’ala, tanpa rupa dan keadaanya, didasarkan kepada kesucian yang mutlak.

    Ungkapan beliau di atas jelas menunjukkan makna dan maksud al-rābitah. Perkataan al-rābitah di sini menggambarkan satu keadaan di mana wujudnya cetusan rasa kasih sayang dan perasaan cinta yang mendalam terhadap seorang yang bergelar syeikh atau guru itu.  Untuk memperjelaskan lagi hubungan kasih dan sayang di antara keduanya (syeikh dan al-sālik) marilah kita lihat apa yang telah dinyatakan oleh Ustaz Abdullah Abdul Talib seperti yang telah beliau ceritakan kepada Zulkarnain Zakaria seperti berikut:

    Kita ni kalau menuntut ilmu, kita mesti beramal.  Kerana berkatnya ilmu itu, mesti kita nampak guru kita tu masa kita beramal.  Begitulah istimewanya Allahyarham di mata saya.  Sehingga sekarang bila saya angkat saja tangan untuk takbir bagi memulakan sembahyang dan kemudian masuk niat, saya mesti terbayangkan wajah Allahyarham. Setiap kali saya hadap tikar sembahyang, seperti dia ada di sebelah.  Bila pegang tasbih, nampak muka arwah.  Belum pernah satu hari pun saya terlupakan dia (menangis).   

    Syeikh Husayn Ahmad al-Dawsuri memberikan definisi al-rābitah tersebut dengan katanya:
    أن من جالس شخصا سيما إذا كان الجلوس على طريق المحبة والاعتقاد لا بد أن ترسم صورته فى ذهنه , فمهما تذكره تخيل صورته فإن كان  الشخص من أحبأ الله فتخيل صورته يدعوا إلى محبته  و الشوق اليه ومحبته  مطلوبة والشوق إليه محبوب فتخيل  صورته محبوب  إذ من تصور موصوفا تصور صفاته فإذا كان صفاته محبوبة  عند الله فتصوره الموجب لتصور صفاته  المحبوبة محبوب , ولا معنى للرابطة سوى هذا . 

    Maksudnya:

    Sesungguhnya sesiapa yang berhubung rapat dengan seseorang, terutamanya jika perhubungan itu dalam suasana kasih sayang dan iktikad (yang baik), sudah pastilah rupa orang itu akan tergambar di dalam ingatannya.  Bila ia ingatkan orang itu maka tergambarlah rupanya.  Jika orang yang tersebut dari kalangan orang-orang yang dicintai Allah S.W.T. , maka menggambarkan rupanya (dalam ingatan)  itu akan mendorongkan untuk mencintai Allah S.W.T. dan rindukanNya.  Mencintai Allah S.W.T. itu sememangnya dituntut dan rindu kepada Allah S.W.T. itu adalah (merupakan sifat) yang dikasihi.  Oleh itu menggambarkan orang yang tersebut itu juga adalah (merupakan sifat) yang dikasihi juga  kerana sesiapa yang menggambarkan (rupa) seseorang maka akan tergambarlah sifat-sifatnya. Jika sifat-sifat orang itu  dikasihi di sisi Allah S.W.T. maka menggambarkan rupanya yang boleh memestikan tercapainya gambaran sifat-sifatnya itu adalah merupakan (perbuatan) yang dikasihi (oleh Allah S.W.T.) juga. Tidaklah ada makna rābitah itu kecuali (yang tersebut) ini.

    Terdapat sebahagian daripada ulama tasawwuf memberikan definisi al-rābitah.

    تعلق قلب المريد بشيخه على وجه المحبة 
    Maksudnya:

    Menggantungkan hati murid dengan syeikhnya di atas dasar kasih dan sayang.

    Apabila seorang al-sālik tidak berada di samping syeikhnya, kerana berjauhan atau kematian tentu sahaja dia akan teringatkan syeikhnya itu.  Apabila ingatan itu terjadi yang pastinya rupa syeikhnya itu juga akan terbayang dalam ingatan atau khayalannya. Jika seorang itu telah jatuh kasih sayangnya (jatuh cinta) dengan seorang perempuan, tentu sahaja ia akan terbayang-bayang dan teringatkan orang yang dikasihi itu, sedang yang diharapkan hanyalah tubuh badannya sahaja.  Oleh yang demikian apatah lagi bagi seorang yang al-sālik itu yang menaruh harapan sepenuhnya terhadap asuhan, didikan dan bimbingan daripada syeikhnya yang bakal dapat menyempurnakan kehidupan rohaniahnya sudah tentulah keadaan ini lebih hebat jika dibandingkan dengan cinta kepada seorang perempuan itu.  Kalau kita lihat dan teliti segala peristiwa ini tentu dapat kita menukilkan beberapa peristiwa yang berlaku di kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. yang menggambarkan hubungan kasih dan sayang ini, di antaranya ialah satu peristiwa yang berlaku kepada Saidina Abu Bakr al-Siddiq yang dilaporkan kepada kita oleh Imam al-Bukhāri:
    إن أبا بكر الصديق اشتكى إلى النبى صلى الله عليه وسلم عدم انفكاكه  عنه حتى كأنه يراه فى بيت الخلأ.   

    Maksudnya:

    Sesungguhnya Abu Bakr al-Siddiq telah mengadu kepada Nabi s.a.w tentang (pengalamannya yang mana beliau) terasa tidak bercerai daripada Nabi sehingga di dalam bilik air pun dia masih seolah-olahnya melihat wajah Nabi itu.

    Manakala menurut pandangan Syeikh Muhammad ibn ‘Abdillah al-Khāni al-Khālidi dalam kitabnya antara lain menyatakan:
    الطريقة الثانية : الرابطة وهي طريقة مستقلة للوصول وعبارة عن ربط القلب بالشيخ  الواصل إلى مقام المشاهدة التى تحقق بالصفات الذاتية وحفظ صورته فى الخيال ولو بغيبته فرؤيته بمقتض  " الذين إذا رؤا ذكر الله . 

    Maksudnya:

    Jalan yang kedua:
     al-Rābitah merupakan satu jalan yang tersendiri untuk mencapai tahap al-wusul.  Suatu keadaan di mana seorang al-sālik menambatkan hatinya dengan syeikhnya yang telah mencapai maqām al-mushāhadah.  Dan tahqiq (benar-benar adanya) di dalam dirinya (diri batinnya) dengan sifat al-dhātiyyah.  Dan hendaklah murid itu mengingati rupa gurunya (syeikhnya) di dalam khayalannya sekalipun pada waktu ketiadaannya (syeikhnya)  Melihat dan menggambarkan ini adalah sesuai dengan hadis Nabi Muhammad  s.a.w: Mereka yang dipandang maka orang yang memandang itu akan ingat kepada Allah S.W.T.

    Menurut pandangan ‘Abd al-Mājid bin Muhammad al-Khāni pula, al-rābitah itu seperti yang beliau nyatakan sebagai:
    وهى أن يستحضر المريد صورة شيخه الكامل المشهود بالوصول إلى مقام الفنأ  والبقأ الاتمين مستمدا من روحانيته وأنواره . 
          
    Maksudnya:

    Al-Rābitah itu ialah seorang yang al-sālik menghadirkan atau membayangkan rupa guru syeikhnya yang kāmil yang telah wusul ke maqām al-fanā` dan al-baqā`  dengan berpegang kepada rohaniah dan cahayanya.

    Rasa kasih sayang, hormat, taat, sangat memerlukan bimbingan dan asuhan daripada syeikhnya itu antara sebab yang mendorong seorang yang sālik sentiasa teringat dan terbayang-bayang rupa wajah syeikhnya.  Semua keadaan tersebut adalah konsep paling asas yang menjadi dasar kepada amalan al-rābitah yang dianggap sebagai ciri penting dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf.  Disiplin ini telah diakui dan ditegaskan kepentingannya oleh para ulamak tasawwuf sendiri.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #2 18 November, 2009, 11:33:06 AM
  • Publish

  • Dari beberapa definisi al-rābitah yang telah disebutkan di atas tadi memperlihatkan dengan jelas kepada kita tentang hakikat daripada hadis Baginda Rasulullah s.a.w tentang ihsān seperti yang disabdakannya:
    أن تعبد الله كأنك تراه  .   

    Maksudnya:

    Jika kamu menyembah Allah S.W.T., maka sembahlahlah seolah-olah kamu melihatNya.

    Hadis di atas memerintahkan kepada kita agar setiap pengabdian itu hendaklah dilakukan seolah-olah kita berhadapan dan melihat Allah S.W.T.  Kenyataan ini lebih jelas dengan penggunaan kalimah كأنك  yang melambangkan maksud seolah-olah atau  seakan-akan.  Dari kenyataan tersebut tentu dapat membantu kita dalam memahami kalimah كأنك تراه .  Kerana apa yang cuba digambarkan dalam hadis tersebut ialah satu suasana atau keadaan di mana rohaniah seseorang itu merasakan seolah-olah atau seakan-akan melihat Allah S.W.T., bukan dalam erti berhubung yang membawa maksud ittisāl, atau apa jua yang melibatkan perhubungan yang bersifat jasmaniyyah, namun apa yang cuba dikemukakan di sini ialah rohaniah yang menjadi hakikat kemanusiaan itu sebenarnya boleh mencapai ke tahap kesempurnaan sehingga mencapai ke maqām ihsān itu.  Justeru kerana itu, amalan al-rābitah ini ialah satu amalan yang cuba menjelaskan tentang konsep   كأنك تراه  yang tersebut dalam hadis itu tadi.  Dengan konsep al-rābitah itu juga seorang yang al-sālik akan dapat merasa-rasakan melihat Allah S.W.T. dengan penglihatan batin yang bersifat al-shuhudiyyah seperti yang dikehendaki oleh hadis Rasulullah s.a.w itu tadi.

    Oleh itu para ulamak tariqat dan tasawwuf telah menjelaskan kepada kita tentang apa yang dimaksudkan dengan al-rābitah itu dengan kata mereka:
    فالرابطة عند أهل الطريقة هى الخلا الحميدة والآداب الشريفة التي تربط قلب العبد على الحضور فى حضؤر الحق تعالى بما ينبغى له من كمال المحبة  والتقديس والتنزيه. أو حضرة الرسول صلى الله عليه وسلم أو حضرة ورثته الكامل المرشدين ( الذين إذا رؤوا ذكر الله تعالى ) 

    Maksudnya:

     Al-Rābitah  yang diamalkan di kalangan ahli tariqat itu ialah sifat yang terpuji  dan sebahagian dari adab-adab al-syari’at.  Amalan ini boleh mengikat hati seorang al-sālik agar hudur dengan hadirat Allah S.W.T dengan sesuatu yang sesuai dengan sifat Allah S.W.T seperti kesempurnaan mahabbah, taqdis dan tanzih.  Atau hudur ke hadirat Rasul s.a.w atau hudur dengan para pewaris Rasulullah s.a.w yang bersifat dengan sifat kesempurnaan dan yang memberikan petunjuk:   Mereka yang dipandang maka orang yang memandang itu akan ingat kepada Allah S.W.T.

    Dari beberapa buah definisi al-rābitah yang telah dikemukakan di atas, dapatlah kita membuat beberapa kesimpulan tentang bentuk dan ciri-ciri penting yang membentuk konsep al-rābitah tersebut.  Antara ciri-ciri penting itu ialah:

    1-   Rasa kasih sayang yang mendalam daripada seorang sālik atau murid terhadap guru/syeikhnya.
    2-   Kesan daripada hubungan yang mendalam tersebut menyebabkan hati sālik atau murid tersebut sentiasa ingatkan guru atau syeikhnya.
    3-   Apabila seorang yang sālik atau murid sentiasa ingatkan kepada guru atau syeikhnya, maka pada saat itu akan terbayanglah rupa gurunya dalam khayalan atau ingatannya. 
    4-   Syeikh yang dijadikan tempat pergantungan itu adalah di kalangan mereka yang telah sampai ke maqām mushāhadah dan bersifat dengan sifat al-kāmil dari sudut ma‘rifah dan takwanya.
    5-   Antara maksud dan tujuan kasih dan sayang seorang murid atau sālik terhadap guru atau syeikh tersebut ialah agar dia (sālik) turut dikasihi oleh Allah S.W.T disebabkan dia (sālik) mengasihi orang yang dicintai dan dikasihi oleh Allah S.W.T.

    Dari berbagai fakta yang telah dihuraikan di atas tadi, maka dapatlah kita menyimpulkan di sini bahawa al-rābitah itu merupakan satu amalan di mana seorang yang sālik sentiasa membayangkan rupa guru atau syeikhnya dalam semua situasi seperti yang telah disebutkan oleh al-Khāni dengan katanya:
    فالواجب عليه أن يشهد شيخه ويصور صورته حتى يمد من الله تعالى بسبب تعظيم صورة شيخه الممد منه تعالى ويبقى على ذلك  حتى يحصل له الفتح . 

    Maksudnya:

    Maka menjadi satu kewajipan bagi seorang yang sālik itu menyaksikan syeikhnya dan membayangkan rupanya sehingga Allah S.W.T. melimpahkan kurniaNya kepada kamu dengan sebab kebesaran dan kemuliaan yang Allah S.W.T. telah kurniakan kepada rupa guru itu. Maka hendaklah mengekalkan perbuatan tersebut (menggambarkan rupa syeikh itu) sehingga Allah S.W.T. membukakan kepadanya dengan berbagai limpahan yang bersifat Ilahi.

    Amalan ini (rābitah) merupakan  wasilah bagi memudahkan seorang yang sālik atau murid itu menerima limpahan nur hidāyah dan kasih sayang daripada Allah S.W.T.  Amalan ini khas bagi seorang sālik atau murid yang sukar untuk mendapatkan limpahan nur hidāyah dan kecintaan daripada Allah S.W.T. kecuali dengan melakukan al-rābitah. Namun bagi mereka yang tidak memerlukan amalan rābitah bagi tujuan untuk mendapatkan limpahan nur hidāyah dan kasih sayang daripada Allah S.W.T., maka tidaklah perlu baginya untuk berbuat demikian.  Malahan wajib bagi sālik atau murid itu meninggalkan amalan tersebut bagi mengelakkan dirinya berada pada maqām al-nuzul dari maqām al-taraqqi.  Hal ini telah diterangkan oleh Syeikh Muhammad ibn ‘Abdillah al-Khāni dengan katanya:
    اعلم أن المريد إنما يحتاج الى الرابطة إن لم يقدر على الاستفاضة من الله تعالىn من غير واسطة فان قدر عليها  يجب عليه ان يترك الرابطة لأن الاشتغال بالرابطة حينئذ  اعتبار التنزل  عن التراقى وترجيح مرتبة الحجاب  على مقام الشهود وذلك اعراض عن الله تعالى . 

    Maksudnya:

    Ketahuilah bahawasanya seorang murid itu memerlukan amalan rābitah jika sekiranya murid itu tidak boleh mendapatkan limpahan (rahmat dan hidayat) daripada Allah S.W.T. tanpa wāsitah (perantaraan).  Maka sekiranya murid itu boleh mendapatkan limpahan tersebut tanpa wāsitah, maka wajiblah ke atasnya meninggalkan amalan rābitah itu, kerana penumpuan terhadap rābitah pada ketika itu  dianggap sebagai proses menurun dari proses menaik dan juga sebagai perbuatan melebihkan martabat hijāb dari maqām shuhud.  Yang demikian itu adalah merupakan perbuatan berpaling daripada Allah S.W.T.

    Dalam perbincangan ini perlu rasanya penulis mengingatkan bahawa ketika melakukan amalan rābitah tersebut, seorang murid atau sālik janganlah ada niat di dalam hatinya untuk meminta pertolongan apa-apa daripada syeikhnya itu, atau meyakini apa juga keyakinan yang menganggap bahawa guru atau syeikhnya itu berupaya memberikan sesuatu yang dihajatinya.  Namun apa yang perlu dilakukan di sini ialah seorang yang sālik itu hanya berharap kepada Allah S.W.T. semata-mata dengan keberkatan daripada syeikhnya itu, ia juga akan mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T. dengan dikasihi Nya di samping mendapat limpahan rahmat daripadaNya.  Dalam konteks ini agak mudah untuk kita jelaskan bahawa terdapat banyak dalil daripada al-Qur’an tentang amalan mendapatkan keberkatan itu seperti yang telah dilakukan oleh orang yang terdahulu.  Antaranya Allah S.W.T merakamkan dengan berfirman:
    اذْهَبُوا بِقَمِيصِي هَذَا فَأَلْقُوهُ عَلَى وَجْهِ أَبِي يَأْتِ بَصِيرًا وَأْتُونِي بِأَهْلِكُمْ أَجْمَعِينَ . 

    Maksudnya:

    Pergilah kamu dengan membawa baju gamisku ini, lalu letakkan dia ke wajah ayahku, nanti ia akan melihat kembali.  Dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya.

    Selanjutnya Allah S.W.T. berfirman:
    فَلَمَّا أَنْ جَاءَ الْبَشِيرُ أَلْقَاهُ عَلَى وَجْهِهِ فَارْتَدَّ بَصِيرًا قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ مِنْ اللَّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ . 

    Maksudnya:

    Tatkala telah tiba pembawa khabar gembira itu, maka diletakkannya baju gamis itu ke wajah Ya‘qub, lalu kembalilah penglihatannya .

    Ayat di atas menunjukkan tentang keharusan melakukan tabarruk, yang jelas dalam ayat tersebut bahawa pulihnya penglihatan Nabi Ya‘qub a.s. itu adalah urusan daripada Allah S.W.T., Dialah yang memilik sifat مؤثر terhadap sesuatu, sedang bertabarruk dengan baju Yusuf a.s. itu hanyalah sebahagian dari bentuk wasilah untuk mencapai maksud pemulihan tersebut.
       
    Amalan rābitah adalah disandarkan kepada sumber dari al-Qur’an dan al-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas.  Perasaan kasih sayang, hormat, taat, memerlukan bimbingan dan asuhan daripada syeikhnya dan sebagainya, adalah antara sebab yang mendorong seorang yang sālik atau murid itu sentiasa teringat dan terbayangkan syeikhnya.  Itulah asas yang membina konsep amalan al-rābitah yang dianggap sebagai satu ciri terpenting dalam amalan tasawwuf dan tariqat.  Hal ini telah diperakukan oleh para ulama tasawwuf itu sendiri.  Malahan ulama tasawwuf mengakui bahawa amalan al-rābitah itu adalah amalan yang sah di sisi syariat dan bukannya amalan bidaah seperti yang telah didakwa. 

    issyah

    • *
    • Posts: 267
      • View Profile
    Reply #3 18 November, 2009, 03:46:22 PM
  • Publish
  • ana tambah cket.
    ni doa untuk lembut hati

    قل إن كنتم تحبون الله فاتبعوني يحيبكم الله ويغفرلكم ذنوبكم والله غفور رحيم
    Ertinya :

    Katakanlah (wahai Muhammad) “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku (ajaran Nabi), nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani ”.
    Surah Aali Imran:31

    Alhmdulillah ana dah hafal doa rabitah ni dari ana sekolah menengah..
    sangat bagus diamalkan..
    bacalah ketika sedang memasak n dalam doa selepas solat..
    insyaALLAH kita akan dikasihi..wallahua'lam..
    ~..I was married to the Dunya but we have divorced. I am now engage to Akhirat, but my desire to marry Jannah remains..~

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #4 18 November, 2009, 04:03:27 PM
  • Publish

  • 3.3 SEJARAH RINGKAS AMALAN AL-RĀBITAH.

    Seperti yang tercatat dalam sejarah bahawa pengalaman sesetengah daripada para sahabat ketika mereka berada di hadapan Nabi s.a.w. menunjukkan terdapatnya perbezaan jika dibandingkan dengan pengalaman ketika mereka berada jauh daripada Baginda s.a.w. Sebagai contoh, pengalaman yang dialami oleh Hanzalah r.a dan Abu Bakr al-Siddiq r.a. Kisah ini diceritakan sendiri oleh Hanzalah r.a. dengan katanya:

    عن حنظلة رضى الله عنه قال : لقينىأبوبكر رضى الله عنه قال : كيف أنت يا حنظلة ؟ قلت : نافق حنظلة . قال سبحان الله ما تقول ؟ ! قلت : نكون عند رسول الله صلى الله عليه وسلم يذكر بالجنة والنار كأنا رأى عين , فإذا خرجنا من عند رسول الله صلى الله عليه وسلم عافسنا الأزواج والأولاد والضيعات نسينا كثيرا قال أبو بكر رضى الله عنه : فوالله إنا لنلقى مثل هذا .

    Maksudnya:

    Daripada Hanzalah r.a., ia berkata: Abu Bakr r.a telah menemui aku lalu ia bertanya: Bagaimana (keadaan iman) engkau wahai Hanzalah? Aku pun menjawab: Hanzalah telah munafik. Abu Bakr menjawab: Subhānallāh, apakah yang engkau katakan ini wahai Hanzalah?! Aku berkata: Kita ketika berada di sisi Rasulullah s.a.w., baginda itu mengingatkan kita tentang syurga dan neraka, kita seolah-olah melihat (syurga dan neraka itu) dengan mata kepala kita; bila kita berpisah daripada Rasulullah s.a.w., kitapun sibuk dengan isteri-isteri, anak-anak dan kerja-kerja kita, maka ketika itu kita lupa semuanya (tidak boleh ingat seperti berada di hadapan baginda lagi). Abu Bakr berkata: Demi Allah kamipun mengalami seperti (cerita engkau) ini.

    Dari pengalaman dua orang sahabat yang tersebut di atas tadi menjelaskan kepada kita bahawa dengan bersama-sama Nabi Muhammad s.a.w. itu sebenarnya mereka telah mendapat taufik dan hidayah daripada Allah S.W.T. Sehingga dengan taufik dan hidayah tersebut, Allah S.W.T. mengurniakan kepada mereka dengan terbuka hijāb hati dan dapat mushāhadah terhadap hakikat sebahagian dari apa yang telah diajarkan oleh Baginda s.a.w. kepada mereka.

    Namun sifat hāl tersebut tidak kekal lama apabila mereka berjauhan dengan Nabi Muhammad s.a.w., malahan mereka terasa sukar mendapatkan kurnia Allah S.W.T. itu. Dari pengalaman yang telah dilalui oleh sahabat itu tadi, maka sesetengah sahabat apabila ia berjauhan dari Nabi Muhammad s.a.w. maka mereka akan cuba sedaya upaya mengingatkan paras rupanya. Bukan sekadar itu tetapi para sahabat tersebut sentiasa teringat-ingat dan terbayang-bayangkan Baginda s.a.w., sentiasa memikir-mikirkan kehidupan dan makan minumnya, sihat atau sakitnya, senang atau susahkah ia, dan sebagainya lagi adalah tanda kasih dan sayang mereka terhadap Nabi Muhammad s.a.w.

    Kisah-kisah tentang para sahabat yang menyentuh keadaan itu sememangnya banyak kita temui dalam sirah Rasul s.a.w. yang rasanya tidak perlu untuk diperturunkan di sini. Keadaan tersebut adalah lahir dari sebab keyakinan dan ketergantungan hati para sahabat yang cukup kuat dan kental terhadap Baginda s.a.w., malahan perasaan kecintaan yang tidak berbelah bagi terhadap diri Rasulullah s.a.w itulah yang menyebabkan mereka mencapai maqām yang tinggi di sisi Allah S.W.T. Demikianlah seterusnya, kesinambungan suasana ketergantungan dan kecintaan hati terhadap seseorang yang dekat dengan Allah S.W.T. seperti yang berlaku antara para sahabat dengan Baginda s.a.w., telah diteruskan dalam amalan tasawwuf dengan menjaga suasana hubungan yang baik antara seorang yang bergelar syeikh dengan para muridnya.
    « Last Edit: 18 November, 2009, 04:05:39 PM by Ummi Munaliza »

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #5 18 November, 2009, 04:07:29 PM
  • Publish

  • 3.4 RĀBITAH AL-SYEIKH. (Bahagian 1)

    Masalah yang berhubung dengan amalan rābitah di kalangan ahli tariqat dan tasawwuf merupakan masalah yang bersifat kontradik yang hangat dibicarakan dan dipersoalkan oleh umat Islam, dahulu dan sekarang, terutama di kalangan mereka yang rasa bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian dan kesucian agama Islam dari tercemar dengan unsur-unsur negatif. Antaranya seperti Jabatan-jabatan Agama negeri dan Pusat Islam sebagai contohnya.

    Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, pada tahun 1988 telah memberikan pandangannya mengenai amalan rābitah tersebut seperti yang tersebut di bawah ini:

    Perbuatan menggambarkan wajah guru semasa berzikir dan beribadat samalah seperti amalan pengikut-pengikut Nabi Nuh a.s. yang menyembah patung-patung besar mereka iaitu Wadd, Suwā‘, Yaghuth, Ya‘uq dan Nasr. Allah S.W.T telah berfirman dalam surah Nuh ayat 23; maksudnya: Dan ketua-ketua mereka menghasut dengan berkata: Jangan kamu meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kamu, terutama penyembahan Wadd, Suwā‘, Yaghuth, Ya‘uq dan Nasr.

    Menurut keterangan dari Ahmad ibn Ahmad al-Sāwi dalam tafsirnya Hāshiyat al-‘Allāmah al-Sāwi ‘Alā Tafsir Jalālayn, antara lain menjelaskan bahawa sesungguhnya Nabi Adam a.s itu mempunyai lima orang anak lelaki, mereka ialah Wadd, Suwā‘, Yaghuth, Ya‘uq dan Nasr. Mereka merupakan ahli ibadah yang ikhlas hanya kepada Allah S.W.T. Namun pada suatu ketika salah seorang dari mereka telah meninggal dunia. Sedangkan keempat-empat saudaranya sangat-sangat menyayangi dan mengasihinya. Mereka berdukacita di atas kematian tersebut. Dalam keadaan bersedih dan berdukacita ini syaitan telah memainkan peranannya dengan memujuk mereka supaya tidak bersedih dan berduka cita dengan memberikan satu cadangan agar ia (syaitan) melukiskan gambar patung saudara mereka yang telah meninggal dunia itu supaya dapat dijadikan sebagai satu peringatan dan kenangan yang boleh menghilangkan kesedihan dan kedukacitaan mereka. Syaitan telah melakukan segala tipu dayanya sehingga berjaya merupakan sebuah patung yang benar-benar serupa dengan saudara mereka yang telah meninggal dunia itu. Justeru dengan patung tersebut dapatlah mereka menghilangkan kesedihan dan kedukacitaan mereka. Patung ini mereka letakkan dalam masjid. Demikian seterusnya apabila berlaku kematian di kalangan mereka, syaitan akan membuatkan kepada mereka patung lagi yang serupa dengan saudara mereka yang meninggal itu. Akhirnya apabila kelima-lima mereka meninggal dunia maka syaitan telah mengukir kelima-lima patung yang serupa dengan mereka lalu dinamakan dengan Wadd, Suwā‘, Yaghuth, Ya‘uq dan Nasr.

    Semua patung anak Adam tersebut diletakkan di dalam masjid. Sehingga sampai pada satu ketika semua manusia tidak lagi menyembah dan beribadah kepada Allah S.W.T. lalu syaitan berkata:
    Mengapa kamu sekelian tidak mempunyai sebarang sembahan yang kamu sembah yang dengannya boleh memenuhi segala kehendak kamu. Lalu manusia bertanya: Wahai syaitan apakah yang perlu kami sembah? Lalu syaitan menjawab dengan katanya: Apakah kamu menyedari bahawa yang kamu sembah sekarang adalah berhala-berhalamu dan berhala orang tuamu pada zaman dahulu. Apakah kamu tidak mengerti bahawa sembahanmu dan sembahan orang tuamu dahulu itu adalah berhala-berhala yang ada di dalam masjid tersebut .

    Selepas peristiwa ini seluruh manusia menyembah berhala-berhala tersebut tanpa menyembah Allah S.W.T. Sehinggalah Allah S.W.T. mengutus Nabi Nuh a.s untuk memperbaiki kerosakan akidah kaumnya dengan menasihati dengan katanya: Wahai kaumku hendaklah kamu menyembah Allah S.W.T. dengan seikhlas-ikhlasnya dan janganlah kamu menyembah berhala-berhala itu. Lalu dijawab oleh ketua-ketua dari kaumnya dengan berkata: Janganlah kamu meninggalkan pusat-pusat berhala tersebut kerana dialah yang menjadi sebab (adanya kita semuanya ini) iaitu berhala Wadd, Suwā‘, Yaghuth, Ya‘uq dan Nasr.

    Setelah sekian lama semua manusia yang dipimpin oleh Nabi Nuh a.s meninggalkan penyembahan Allah S.W.T, lalu Allah S.W.T. menghancurkan mereka dengan banjir besar yang terkenal itu. Tidak ada yang terselamat kecuali yang beriman dengan Allah S.W.T. dan bersama dengan Nabi Nuh a.s dalam bahteranya.

    Situasi dan kondisi seperti itu terus berulang dan berlalu, penyembahan semakin menggila meskipun Allah S.W.T. telah mengutuskan beberapa orang Nabi dan RasulNya sesudah dari Nuh a.s. seperti Nabi Hud a.s, Nabi Saleh a.s., Nabi Daud a.s., Nabi Musa a.s, dan Nabi Isa a.s. Setelah Nabi Isa a.s diangkatkan oleh Allah S.W.T ke sisiNya, manusia masih tetap berada dalam lingkungan dan situasi kekufuran dan kesyirikan terhadap Allah S.W.T, tiada pegangan hidup yang benar yang mereka anuti. Dalam jiwa mereka hanya ada kekufuran dan kemusyrikan. Penyembahan berhala semakin meningkat di kalangan masyarakat sesuai dengan kedudukan masing-masing, yang kaya mengukir emas untuk dijadikan patung manakala yang separuh kaya mengukir perak untuk dijadikan patung sedang yang miskin pula mengukir kayu untuk dijadikan tuhan sembahan. Begitulah meluasnya kegiatan penyembahan berhala bahkan setiap individu membuat berhala sendiri dan disembahnya sendiri.

    Gambaran yang diberikan oleh al-Sawi di atas tadi menunjukkan kepada kita rentetan peristiwa penyelewengan manusia dari penyembahan Tuhan Esa kepada penyembahan berhala, bukan persoalan rābitah. Peristiwa tersebut menggambarkan bahawa amalan rābitah tidak ada hubungan dari sudut konsep,ciri-ciri dan kaedah dengan amalan kaum Nabi Nuh a.s. di atas, malahan di antara keduanya tidak mempunyai sebarang kaitan. Rābitah dalam amalan tasawwuf mempunyai konsep, ciri dan kaedah yang tertentu bertepatan dengan hukum syarak, sedangkan amalan kaum Nabi Nuh a.s. seperti yang dibentangkan oleh al-Sāwi di atas tadi jelas perbuatan syirik yang dilarang dalam agama. Untuk mengaitkan amalan orang-orang musyrikin kaum Nabi Nuh a.s. dengan amalan rābitah di kalangan tasawwuf adalah tidak tepat dan menyalahi kaedah dalam Islam.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #6 18 November, 2009, 04:09:55 PM
  • Publish

  • 3.4 RĀBITAH AL-SYEIKH. (Bahagian 2)

    Selanjutnya Allah S.W.T mengutus rasulNya yang terakhir untuk membersihkan ciri-ciri kekufuran dan kemusyrikan yang sudah sekian lama bertapak di dalam jiwa mereka. Kehadiran Baginda s.a.w adalah penyelamat kepada seluruh umat manusia dan alam ini lantaran syari’at yang dibawanya itu adalah daripada Allah S.W.T. Larangan menyembah berhala mulai dirintis oleh baginda s.a.w. Seluruh umat manusia diperintahkan agar menyembah hanya kepada Allah S.W.T yang Esa, bukan kepada berhala, kerana menyembah berhala bererti mengikut perintah daripada syaitan, sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah S.W.T:
    قُلْ أَرَأَيْتُمْ شُرَكَاءَكُمْ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَرُونِي مَاذَا خَلَقُوا مِنْ الاَْرْضِ أَمْ لَهُمْ شِرْكٌ فِي السَّمَاوَاتِ أَمْ آتَيْنَاهُمْ كِتَابًا فَهُمْ عَلَى بَيِّنَةٍ مِنْهُ بَلْ إِنْ يَعِدُ الظَّالِمُونَ بَعْضُهُمْ بَعْضًا إِلاّ غُرُورًا .

    Maksudnya:

    Katakanlah (Wahai Muhammad): Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu-sekutu, yang kamu seru dan sembah selain Allah S.W.T.? Tunjukkanlah kepadaku apa yang mereka telah ciptakan dari bahagian bumi ini? Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah S.W.T.) dalam menciptanya dan mengurus langit? Atau pernahkan Kami memberi sebuah kitab (mengakui mereka menjadi kongsi Kami), maka (dengan itu menjadilah) perkongsian mereka berdasarkan keterangan yang terdapat dari kitab itu? (Tidak ada sesuatu alasanpun) bahkan orang-orang yang zalim itu, terpedaya dengan kata-kata yang di sebutkan oleh setengahnya dari yang lain, kata-kata yang hanya menjanjikan perkara yang tidak benar.

    Mendengar firman Allah S.W.T. yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w itu, orang-orang kafir dan musyrik tidak dapat memberikan sebarang jawapan terhadap pertanyaan daripada Allah S.W.T itu selain dari pernyataan yang batil. Mereka berkata semua berhala itu dapat memberikan syafaat dan kita menyembah mereka (berhala) hanya sebagai perantara yang boleh mendekatkan kami kepada Allah S.W.T. Pernyataan ini segera dijawab oleh Allah S.W.T dengan firmanNya:
    أَلاَ لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلاّ لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ

    Maksudnya:

    Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah S.W.T. ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah S.W.T. untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata):"Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah S.W.T. sedamping-dampingnya”. Sesungguhnya Allah S.W.T. akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka perselisihkan padanya. Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan,) lagi sentiasa kufur(dengan melakukan syirik).

    Secara umumnya ayat di atas dapat kita lihat bahawa orang-orang yang kufur dan syirik itu menjadikan berhala-berhala itu sebagai tempat bergantung dan bersandar di samping suatu keyakinan bahawa berhala-berhala tersebut mempunyai kuasa yang boleh mendatangkan manfaat dan memberikan pertolongan kepada mereka bukannya daripada Allah S.W.T. Dari peristiwa di atas memperlihatkan kepada kita tentang sejarah awal orang-orang yang musyrik dan kufur kepada Allah S.W.T dengan menggunakan pendekatan tawassul dan rābitah yang salah terhadap Allah S.W.T. Persoalannya apakah terdapat suatu keharusan dan kebenaran daripada Allah S.W.T untuk melakukan tawassul dan rābitah di dalam melakukan ibadah terhadapNya?. Persoalan ini perlu kepada penjelasan dan huraian terhadap beberapa peristiwa yang berlaku terhadap umat yang terdahulu bagi memudahkan kita melihat dan menilai dari sudut keharusannya. Antaranya suatu peristiwa yang masyhur ketika Nabi Adam a.s melanggar perintah Allah S.W.T yang termuat dalam firmanNya:
    وَقُلْنَا يَاآدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ وَكُلاَ مِنْهَا رَغَدًا حَيْثُ شِئْتُمَا وَلاَ تَقْرَبَا هَذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنْ الظَّالِمِينَ

    Maksudnya:

    Dan Kami berfirman: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa saja yang kamu berdua sukai dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim.

    Permusuhan yang sudah berputik sekian lama di antara manusia dan syaitan telah di jadikan asas oleh iblis untuk melakukan sesuatu ke atas Nabi Adam a.s. dan isterinya untuk melanggar arahan dan peraturan dari Allah S.W.T tersebut. Dengan demikian iblis telah berusaha menggoda dan memperdaya kedua-duanya seperti yang diterangkan oleh Allah S.W.T dengan firmanNya:
    فَأَزَلَّهُمَا الشَّيْطَانُ عَنْهَا فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ وَقُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ وَلَكُمْ فِي الأرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَى حِينٍ .

    Maksudnya:

    Setelah itu syaitan telah menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka berdua dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya; dan Kami berfirman: Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain; dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mandapat kesenangan hingga suatu masa (mati).

    Begitulah lumrah kehidupan manusia sejak dari Nabi Adam a.s sehingga ke hari kiamat, pelanggaran terhadap hukum Allah S.W.T. sentiasa berlaku namun dengan sifat Pengasih dan PenyayangNya, maka Allah S.W.T telah membuka ruang taubat yang begitu luas di kalangan hambanya. Justeru dengan peristiwa tersebut Allah S.W.T. mengajarkan kepada Adam a.s bagaimana untuk memohon keampunan dari Nya. Allah S.W.T. berfirman:
    فَتَلَقَّى آدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ .
    Maksudnya:

    Kemudian Nabi Adam menerima daripada Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah S.W.T. menerima tawbatnya; sesungguhnya Allah S.W.T., Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihi.

    Sebahagian mufassir dan muhaddith memberikan pentafsiran terhadap kata kalimat yang terkandung dalam firman Allah S.W.T tersebut dengan bersandarkan kepada riwayat berikut. Maksud penulis dengan memperhatikan matannya, tentu sahaja akan memperjelaskan lagi maksud dan tujuannya. Al-Tabrāni dalam al-Mu‘jam al-Saghir, al-Hākim al-Naysaburi dalam Mustadrak al-Sihāh, Abu Nu‘aym dan al-Bayhaqi dalam Dalā’il al-Nubuwwah, Ibn ‘Asākirdalam Tārikhnya, al-Suyuti dalam al-Durr al-Manthur serta al-Ālusi dalam Ruh al-Ma‘āni dengan sanad dari ‘Umar bin al-Khattāb menukilkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
    لما أذنب آدم الذي أذنبه , رفع رأسه إلى السماء فقال: أسلك بحق محمد إلا غفرت لي . فأوحى الله إليه : ومن محمد؟ فقال: تبارك اسمك , لما خلقت رفعت رأسي إلى عرشك فإذا فيه مكتوب : لا إله إلا الله ومحمد رسول الله .فقلت : ليس أحد أعظم عندك قدرا ممن جعلت اسمه مع اسمك , فأوحى إليه : إنه آخر النبيين من ذريتك, ولو لا هو لما خلقتك.

    Maksudnya:

    Ketika Adam melakukan dosa, ia mendongakkan kepalanya ke langit dan berkata: Wahai Tuhan! Aku memohon kepadamu dengan hak Muhammad agar Engkau mengampuniku. Allah S.W.T. mewahyukan kepadanya: Siapakah Muhammad? Adam menjawab: Ketika Engkau menciptakan aku, aku mengangkat kepala ke arah ‘arasyMu dan aku melihat di sana tertulis: Tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah S.W.T. dan Muhammad adalah utusan Allah S.W.T. Akupun berkata kepada diriku, bahawa seorangpun tidak ada yang lebih agung daripada orang yang namanya Engkau tuliskan di samping nama Mu. Ketika itu Allah S.W.T. mewahyukan kepadanya: Dialah nabi terakhir daripada keturunanmu dan jika tidak kerananya (Muhammad) nescaya Aku tidak akan menciptakanmu.

    Syeikh Ja‘afar al-Subhāni dalam kitabnya al-Wahhābiyyun fi al-Mizān mengulas tentang hadis di atas dengan memberikan beberapa pandangan. Antaranya beliau menjelaskan :
    a) Dalam al-Qur’an penggunaan perkataan kalimāt nampaknya merujuk kepada peribadi-peribadi dan zat-zat yang sama sekali bertentangan dengan erti yang berlaku di kalangan kita semua. Sebagai contoh seperti firman Allah S.W.T:
    فَنَادَتْهُ الْمَلاَئِكَةُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فِي الْمِحْرَابِ أَنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحْيَى مُصَدِّقًا بِكَلِمَةٍ مِنْ اللَّهِ وَسَيِّدًا وَحَصُورًا وَنَبِيًّا مِنْ الصَّالِحِينَ .

    Maksudnya:

    Lalu ia diseru oleh Malaikat sedang ia berdiri di Mihrab, (katanya): Bahawasanya Allah S.W.T. memberi khabar yang menggembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada kalimah daripada Allah S.W.T. dan akan menjadi ketua dan juga akan menahan diri dari berkahwin dan akan menjadi seorang nabi daripada orang-orang yang soleh.

    Manakala dalam ayat yang lain pula Allah S.W.T berfirman memperihalkan tentang ‘Isā dan ibunya Maryam:
    إِذْ قَالَتْ الْمَلاَئِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِنْهُ اسْمُهُ الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ وَجِيهًا فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَمِنْ الْمُقَرَّبِينَ .

    Maksudnya:

    Ingatlah ketika malaikat berkata: Wahai Maryam! Bahawasanya Allah S.W.T. memberikan khabar yang menggembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan kalimat daripada Allah S.W.T., nama anak itu: al-Masih‘Isā Ibn Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan daripada Allah S.W.T.).

    Selanjutnya Allah S.W.T. menjelaskan lagi tentang mereka berdua:
    يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لاَ تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ وَلاَ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلاّ الْحَقَّ إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلاَ تَقُولُوا ثَلاَثَةٌ انتَهُوا خَيْرًا لَكُمْ إِنَّمَا اللَّهُ إِلَهٌ وَاحِدٌ سُبْحَانَهُ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَلَدٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الاَْرْضِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلاً .

    Maksudnya

    Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah S.W.T. melainkan yang benar, sesungguhnya Al-Masih ‘Isā ibn Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah S.W.T. dan kalimah Allah S.W.T. yang telah disampaikanNya kepada Maryam dan (ia juga tiupan) roh daripada Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah S.W.T. dan Rasul-rasulNya dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah (dari mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan kepada kamu.

    Dalam ayat yang lain Allah S.W.T menerangkan:
    قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا .

    Maksudnya:

    Katakanlah (wahai Muhammad):Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah -kalimah Allah S.W.T. Tuhanku, sudah tentu habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku. Walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.

    Dengan isu yang serupa dengan isu di atas Allah S.W.T menjelaskan lagi:
    وَلَوْ أَنَّمَا فِي الارْضِ مِنْ شَجَرَةٍ أَقْلاَمٌ وَالْبَحْرُ يَمُدُّهُ مِنْ بَعْدِهِ سَبْعَةُ أَبْحُرٍ مَا نَفِدَتْ كَلِمَاتُ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيم ٌ

    Maksudnya:

    Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena dan segala lautan (menjadi tinta) dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah S.W.T. itu ditulis. Sesungguhnya Allah S.W.T. Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

    Secara umumnya keseluruhan ayat-ayat al-Qur’an yang diperturunkan di atas mengandungi perkataan kalimāt, justeru apakah yang boleh kita kaitkan dengan perkataan tersebut dalam kontak perbahasan kita di sini? Dari ayat-ayat di atas jelas perkataan kalimāt itu menunjukkan kepada segala ciptaan di dunia ini yang semuanya menunjuk dan mengisahkan kepada pengetahuan dan kekuasaan Allah S.W.T.

    Oleh yang demikian boleh kita katakan bahawa maksud yang terkandung dalam firman Allah S.W.T. yang bermaksud; kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah S.W.T. menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah S.W.T. Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang, adalah merujuk kepada peribadi-peribadi yang terhormat (zat-zat yang suci) yang boleh dijadikan sebagai wasilah dan rābitah.

    Berdasarkan kepada perbincangan di atas maka dapat kita nyatakan di sini bahawa amalan tawassul dan rābitah itu sebenarnya telah mempunyai asas dan sejarah awal sejak manusia yang pertama lagi. Cuma apa yang perlu diperjelaskan di sini ialah tawassul dan rābitah itu merangkumi dua aspek, iaitu yang dilarang oleh syarak dan satu aspek yang lain pula dibenarkan oleh syarak.


    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #7 18 November, 2009, 04:11:52 PM
  • Publish


  • 3.5 AL-RĀBITAH, AL-WASILAH, AL-WĀSITAH DAN AL-BARZAKH.(Bahagian 1)

    Dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf istilah-istilah seperti al-rābitah, al-wasilah, al-wāsitah dan al-barzakh sering digunakan. Apakah terdapat hubungan secara langsung atau tidak antara istilah-istilah tersebut. Untuk memperjelaskan kedudukan ini kita lihat apa yang telah dikemukakan oleh Syeikh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi dalam kitabnya al-Shari‘ah wa al-Tariqah antara lain menyebutkan:
    ويقال أيضا شغل الرابطة , والبرزخ , والواسطة, كذا فى تعليم الدين . وهو عند مشايخ السلوك من الأشغال الهامة جدا .

    Maksudnya:

    Membayangkan atau menggambarkan rupa syeikh dan yang disebut juga dengan amalan rābitah, al-barzakh dan al-wāsitah begitulah yang terdapat dalam kitab Ta‘lim al-Din. Amalan ini sangat penting menurut Mashā’ikh suluk.

    Dari keterangan di atas jelas menunjukkan bahawa kalimat al-rābitah, al-barzakh dan al-wāsitah mempuyai makna yang serupa yang merujuk kepada makna menghadirkan rupa guru atau syeikh ketika hendak melakukan zikir. Amalan ini merupakan suatu disiplin yang sangat penting dalam ilmu dan amalan tasawwuf yang akan menyusul perbincangannya. Menghadirkan rupa guru atau rābitah itu yang menurut Syeikh Muhammad ibn ‘Abdillah al-Khāni al-Khālidi dalam kitabnya al-Bahjah al-Saniyyah antara lain menerangkan enam bentuk dan cara untuk menghadirkan rābitah itu, antaranya:

    1. Menghadirkannya di hadapan mata dengan sempurna.
    2. Membayangkannya di kiri dan kanan, dengan memusatkan perhatian kepada rohaniahnya sampai terjadi sesuatu yang ghaib. Apabila rohaniah guru murshid yang dijadikan rābitah itu lenyap, maka murid itu dapat menghadapi peristiwa yang terjadi. Tetapi jika peristiwa itu lenyap, maka murid harus berhubungan kembali dengan rohaniah guru murshid, sampai peristiwa yang dialami tadi atau peristiwa yang sama dengan itu muncul kembali. Demikianlah dilakukan oleh murid berulang kali, sampai ia fanā’ dan menyaksikan peristiwa ghaib sebagai tanda kebesaran daripada Allah S.W.T. Rābitah menghubungkannya dengan Allah S.W.T. manakala murid pula diasuh dan dibimbing terus menerus, sekalipun di antara keduanya berada dalam jarak yang jauh.
    3. Mengkhayalkan rupa guru di tengah-tengah dahi. Memandang rābitah di tengah-tengah dahi itu. Cara ini menurut kalangan ahli tariqat lebih berkesan untuk menolak getaran dan lintasan dalam hati yang melalaikan ingatan kepada Allah S.W.T.
    4. Menghadirkan rupa guru di tengah-tengah hati.
    5. Mengkhayalkan rupa guru di kening kemudian menurunkannya ke tengah hati. Menghadirkan rupa syeikh dalam bentuk ini agak sukar untuk melakukannya namun ia lebih berkesan dari cara-cara yang sebelumnya.
    6. Menafikan (meniadakan) dirinya dan menthabitkan (menetapkan) keberadaan guru. Cara ini lebih kuat untuk menangkis aneka ragam ujian dan gangguan.

    Dari perbincangan yang telah dikemukakan oleh al-Kandahlawi di atas nampaknya tiada sebarang perbezaan yang terdapat antara kalimah-kalimah tersebut, namun agak berbeza dengan pendapat yang dikemukakan oleh Muhammad Zakariyya Ibrāhim dalam kitabnya yang berjudul Mas’alat al-Wasilah antara lain beliau menjelaskan bahawa wasilah ialah meminta daripada Allah S.W.T secara langsung yang berserta dengan istishfā’ daripada orang yang dikasihi oleh Allah S.W.T. Justeru dalam hal ini Allah S.W.T. adalah maksud dan tujuan dengan pemberian tersebut, Dialah satu-satunya tempat memohon. Sedang apa yang dimaksudkan dengan wāsitah ialah memohon kepada zat al-wāsit di samping berkeyakinan bahawa al-wāsit berupaya untuk berbuat dan meninggalkan sesuatu tanpa melihat Allah S.W.T.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #8 18 November, 2009, 04:13:16 PM
  • Publish

  • 3.5 AL-RĀBITAH, AL-WASILAH, AL-WĀSITAH DAN AL-BARZAKH.(Bahagian 2)

    Penulis berpendapat penggunaan istilah yang berbagai dalam hal ini tidaklah menjadi masalah yang besar, namun yang lebih utama ialah pelaksanaan ibadah dan konsep ‘ubudiyyah itu sendiri yang perlu jelas dan memerlukan kepada ketulusan dan pemurnian hanya kepada Allah S.W.T . Allah S.W.T telah menggariskan satu panduan yang cukup sempurna untuk dijadikan landasan seperti firmanNya:
    وَمَا أُمِرُوا إِلاّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ .
    Maksudnya:

    Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah S.W.T. dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mendirikan solat serta memberikan zakat. Dan yang demikian itulah agama yang sebenar.

    Selanjutnya cuba kita lihat pula kalimah-kalimah al-rābitah, al-wāsitah dan al-barzakh dengan kalimah al-wasilah, apakah antara kalimah-kalimah tersebut terdapat perbezaan ataupun tidak untuk memudahkan bagi kita memahami istilah-istilah ini dalam konteks ilmu dan amalan tasawwuf.

    Secara literalnya kalimah wasilah adalah berasal dari kata kerja wasala, yasilu dan wasilatan. Perkataan wasilah membawa maksud al-manzilah ‘ind al-malik iaitu suatu kedudukan di sisi raja atau penguasa. Perkataan ini juga membawa pengertian al-darajah dan al-qurbah. Apabila dikatakan wassala fulānun ilā Allah wasilatan ertinya idhā ‘amila ‘amalan taqarraba bihi ilayhi. Kata jamaknya al-wusul, al-wasā’il, al-tawsil dan al-tawassul merupakan kalimah-kalimah yang membawa maksud yang sama. Sedang kata al-tawassul sering diguna pakai untuk menjelaskan konsep yang terdapat dalam istilah al-wasilah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. ada menyebutkan perkataan al-wasilah seperti sabda Baginda s.a.w: Allāhumma āti Muhammad al-wasilah wa al-fadilah. Maksud dari hadis ini ialah al-qurb min Allah. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa ia bermaksud al-shafā‘ah yawm al-qiyāmah .

    Dari keterangan di atas memperlihatkan kepada kita bahawa istilah wasilah itu digunakan untuk suatu pengertian yang membawa maksud al-qurbah dan al-wuslah yang bersandarkan kepada firman Allah S.W.T:
    يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ .

    Maksudnya:

    Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah S.W.T. dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya) dan berjuanglah di jalan Allah S.W.T. (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.

    Oleh yang demikian penggunaan istilah al-rābitah, al-wāsitah dan al-barzakh itu hanyalah merupakan beberapa kaedah dan bentuk yang digunakan dalam ilmu dan amalan tasawwuf sebagai wasilah bagi merialisasikan tuntutan Allah S.W.T. yang terkandung dalam firmanNya:
    يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ .

    Maksudnya:

    Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah S.W.T. dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya. Dan bersungguh-sungguhlah di jalan agamaNya agar kamu beroleh kejayaan.

    Syeikh Muhammad ibn ‘Abdillah al-Khāni ada menjelaskan bahawa al-rābitah itu sebenarnya adalah salah satu dari cara yang paling afdal (terbaik) untuk berwasilah. Fakta ini telah dijelaskan beliau dengan katanya:
    قال الله تعالى: وابتغوا إليه الوسيلة , فإن قيل المراد غير الرابطة قلنا المفهوم عام وإذا ثبت الأمر بطلب الوسيلة , فالرابطة أفضل الوسائل .

    Maksudnya:

    Telah berfirman Allah S.W.T : Dan hendaklah kamu cari wasilah (jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya)”. Jika ada yang mengatakan bahawa ayat ini bukan membawa maksud kepada makna al-rābitah, maka kami berpendapat bahawa ayat ini membawa mafhumnya yang umum, dan apabila thābit tuntutan untuk mencari wasilah (jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya), maka al-rābitah adalah seafdal-afdal wasā’il untuk tujuan tersebut.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #9 18 November, 2009, 04:15:30 PM
  • Publish

  • 3.6 SYEIKH, AL-SĀLIK DAN AL-RĀBITAH.
    (Bahagian 1)

    Untuk menjelaskan lagi kedudukan al-rābitah dalam ilmu dan amalan tasawwuf ada baiknya jika diterangkan secara ringkas aspek-aspek yang ada kaitan dengannya. Antara yang terpenting dalam amalan ilmu dan amalan tasawwuf sehingga muncul istilah al-rābitah itu ialah syeikh atau dikenali juga dengan guru yang murshid.

    Dalam ilmu tasawwuf, syeikh memainkan peranan yang amat penting untuk memimpin seorang sālik untuk mencapai ke tahap kesempurnaan di sisi Allah S.W.T. Dengan kedudukannya yang penting inilah maka amalan al-rābitah itu wujud dalam amalan tasawwuf. Justeru ada baiknya jika kita kemukakan kedudukan syeikh dalam disiplin ilmu tasawwuf. Semoga dengan penerangan ini dapat kita lihat hubungan di antara syeikh dan al-sālik dengan menggunakan kaedah al-rābitah untuk bertawassul ketika seorang murid berada di bawah asuhannya.

    3.6.1 Kedudukan Syeikh

    Dalam kita membicarakan syeikh, antara aspek yang perlu kita lakukan dalam memperjelaskan lagi kedudukannya menurut perspektif Islam dan amalan tasawwuf ialah dengan cara melakukan pengamatan, penelitian yang mendalam dari berbagai sudut dan aspek definisinya. Kedua, mengumpulkan fakta-fakta dan huraiannya yang berkaitan dengan syarat-syarat dan adab-adab bagi seorang syeikh. Manakala yang ketiga pula ialah merujuk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai landasan untuk melihat kedudukan syeikh, di samping merujuk semula sejarah kehidupan manusia, agama, pendapat dan pandangan para ulamak tasawwuf yang sama-sama boleh membantu memperjelaskan lagi kedudukan syeikh dalam ilmu dan amalan tasawwuf.

    Berlandaskan sumber-sumber dan maklumat di atas, dapatlah kita menerangkan kedudukan syeikh itu dengan lebih jelas menurut perspektif Islam dan ilmu dan amalan tasawwuf. Menurut Prof Madya Dr. Jahid bin Sidek dalam Tesis Ph.D beliau yang bertajuk al-Syeikh Dalam Ilmu Tariqah menyebutkan terdapat tujuh kedudukan syeikh antaranya ialah:

    1. Syeikh itu berada pada posisi pewaris Rasulullah s.a.w, sama ada dari sudut zahir mahupun yang batin. Sebagai posisinya seorang waris tentu sahaja ia mewarisi khazanah yang pernah dimiliki oleh Baginda Rasulullah s.a.w berupa ilmu, makrifah, iman, akhlak yang mulia, sifat-sifat takwa dan sebagainya lagi yang merangkumi seluruh ajaran al-Qur’an seperti yang dijelaskan oleh Saidatina ‘Aisyah ra apabila beliau ditanya tentang akhlak Baginda s.a.w. beliau berkata: Adalah akhlak Baginda s.a.w itu ialah al-Qur’an.

    Posisi dan status syeikh sebagai pewaris Rasulullah s.a.w yang tersebut itu sememangnya banyak disebutkan dan dihuraikan oleh ulamak-ulamak tasawwuf, sehingga dapat memberikan satu gambaran yang jelas bahawa para ulamak tasawwuf itu seolah-olah telah mengijmakkan perkara tersebut. Sebagai contoh apa yang dikemukakan oleh Syeikh ‘Abd al-Qādir ‘Isā menegaskan tentang kedudukan syeikh sebagai pewaris Nabi s.a.w. dengan katanya:
    وبما أن رسالة سيدنا محمد عليه السلام عامة خالدة إلى قيام الساعة فإن لرسول الله صلى الله وارثا من العلماء العارفين بالله . ورثوا عن نبيهم العلم والخلق والإيمان والتقوى .فكانوا خلفا عنه في الهداية والإرشاد والدعوة إلى الله يقتبسون من نور ليضيئوا للإنسانية طريق الحق والرشاد .

    Maksudnya:

    Oleh sebab risalah junjungan Nabi Muhammad s.a.w itu keadaannya adalah menyeluruh (untuk semua manusia) dan kekal pula hingga sampai hari kiamat, maka sudah pastilah Rasulullah s.a.w itu mempunyai para pewaris dari kalangan ulamak ‘ārif billah yang telah mewarisi ilmu, akhlak, iman dan takwa daripada nabi mereka itu. Para pewaris itu adalah merupakan para khalifahnya dalam (kepimpinan ke pintu) hidayat, asuhan dan dakwah kepada Allah S.W.T. Mereka itu sentiasa dapat mengambil sebahagian dari nur risalah Nabi s.a.w untuk mereka gunakan bagi menerangi jalan kebenaran dan kebaikan bagi kehidupan kemanusiaan.

    Jika kita cuba bandingkan ungkapan di atas dengan maksud dari sebuah hadis Rasulullah s.a.w, kita akan dapati ia menepati kehendak dari hadis tersebut. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dardā’ antara lain meyebutkan:
    أَخْبَرَنَا نَصْرُ بْنُ عَلِيٍّ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ دَاوُدَ عَنْ عَاصِمِ بْنِ رَجَاءِ بْنِ حَيْوَةَ عَنْ دَاوُدَ بْنِ جَمِيلٍ عَنْ كَثِيرِ بْنِ قَيْسٍ قَالَ كُنْتُ جَالِسًا مَعَ أَبِي الدَّرْدَاءِ فِي مَسْجِدِ دِمَشْقَ فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا أَبَا الدَّرْدَاءِ إِنِّي أَتَيْتُكَ مِنَ الْمَدِينَةِ مَدِينَةِ الرَّسُولِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِحَدِيثٍ بَلَغَنِي عَنْكَ أَنَّكَ تُحَدِّثُهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَمَا جَاءَ بِكَ تِجَارَةٌ قَالَ لاَ قَالَ وَلاَ جَاءَ بِكَ غَيْرُهُ قَالَ لاَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ بِهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ طَالِبَ الْعِلْمِ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ وَالاَْرْضِ حَتَّى الْحِيتَانُ فِي الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ النُّجُومِ إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الاَْنْبِيَاءِ إِنَّ الاَْنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلاَ دِرْهَمًا وَإِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ أَخَذَ بِحَظِّهِ أَوْ بِحَظٍّ وَافِرٍ.

    Maksudnya:

    Dan sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para nabi, dan sesungguhnya para nabi itu tidak mewariskan (wang) dirham dan dinar, tetapi mereka itu mewariskan ilmu, sesiapa yang telah mendapatkan ilmu itu berertilah ia telah mendapat bahagian yang sebanyak-banyaknya.

    Dari keterangan di atas maka dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa syeikh itu merupakan sebahagian daripada mereka yang tergolong ke dalam al-‘ulamā’ warathat al-anbiyā’ yang sebenar. Mengapa tidak, kerana pewaris inilah yang dimaksudkan oleh Saidina ‘Ali ibn Abi Tālib k.w. sebagai orang alim yang benar-benar kenalkan Allah S.W.T. dan takutkanNya (al-‘ālim al-rabbāni) yang tetap terus hidup sepanjang masa dan ajaran-ajarannya sentiasa segar di dalam hati manusia, sekalipun jasadnya telah lenyap di dalam tanah. Mungkin juga orang alim tersebutlah yang dimaksudkan oleh Syeikh Sahl ibn ‘Abdillah al-Tustari (w 282H/867M) sebagai ulamak yang memiliki hati yang hidup dan sedar serta takutkan Allah S.W.T. dan sentiasa mendapatkan rahmat daripadaNya, sentiasa cintakan Allah S.W.T., mempunyai sifat malu dan sentiasa mengutamakan Allah S.W.T.dalam segenap situasi dan kondisi.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #10 18 November, 2009, 04:16:36 PM
  • Publish

  • 3.6 SYEIKH, AL-SĀLIK DAN AL-RĀBITAH.
    (Bahagian 2)

    Sebagai posisinya pewaris kepada nabi, al-syeikh itu juga telah mewarisi ilmu yang bersifat ilhāmiyyah atau yang dikenali juga dengan nama ilmu laduniyyah atau dengan nama hikmah ilāhiyyah yang sesuai dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Sebahagian dari ilmu ilhāmiyyah atau ilmu laduniyyah atau hikmah ilāhiyyah yang telah dikurniakan kepada para mashā’ikh yang terkenal dalam bidang tasawwuf dan tariqah ada diabadikan dalam kitab-kitab yang mereka susun seperti kitab al-Hikam yang dikarang oleh Ibn ‘Atā’illah al-Iskandari (w 709 H), Kashf al-Mahjub oleh Syeikh al-Hujwiri (w.465H), al-Fath al-Rabbāni oleh Syeikh ‘Abd al-Qādir al-Jilāni (w.562 H/1147M) dan sebagainya lagi.

    Semua kitab tersebut apabila kita baca dan renungkan secara mendalam dengan mata hati (al-basirah) nescaya kita akan dapat menyaksikan bagaimana ilmu ilhāmiyyah atau ilmu laduniyyah tersebut mengalir dari lautan ilmu Allah S.W.T. ke dalam hati para mashā’ikh yang mengarang kita-kitab tersebut. Begitu juga apabila kita mendengar kata-kata para mashā’ikh itu, kita akan merasakan keadaan pengalaman yang serupa iaitu ada kalanya kata-kata mereka dipenuhi oleh ilmu tersebut yang terus mengalir dari lautan ilmu Allah S.W.T. menuju ke hati dan keluar ke lidah mereka. Syeikh Ibn ‘Atā’illah sendiri pernah merasakan pengalaman seperti itu semasa beliau mendengar buat kali pertama syarahan gurunya lalu beliau berkata bahawa orang itu (yang dimaksudkan ialah Syeikh Abu ‘Abbās al-Mursi) benar-benar telah menghirup ilmu dari limpahan lautan Ilāhi. Pada ketika itu Allah S.W.T. telah menghapuskan perasaan yang tidak mempercayai terhadap ilmu tasawwuf pada diri Ibn ‘Atā’illah.

    Kalau dilihat dari latarbelakang sejarah kehidupan Ibn ‘Atā’illah, beliau merupakan seorang faqih yang terkenal dalam mazhab Maliki, pada mulanya menentang pengajaran ilmu tasawwuf, hal ini disebabkan kerana beliau menolak kewujudan ilmu tasawwuf dalam Islam, terutamanya ajaran tasawwuf yang dibawa oleh Syeikh Abu ‘Abbās al-Mursi. Namun dengan kehendak daripada Allah S.W.T segala pengalaman beliau ketika mendengar syarahan Syeikh Abu ‘Abbās al-Mursi menyebabkan beliau menerima ilmu tasawwuf dan terus menjadi muridnya. Akhirnya beliau merupakan pendokong dan tokoh yang bertanggungjawab dalam menyebarluaskan ajaran tasawwuf di bawah payung Tariqat al-Shādhiliyyah. Secara terus terang beliau mengakui kewujudan ilmu laduniyyah tersebut dan akhirnya dapat mengarang kitab al-Hikam yang secara keseluruhannya mengandungi ajaran tasawwuf.
    2. Syeikh merupakan seorang yang mempunyai hubungan yang erat dan rapat dengan Rasulullah s.a.w., kerana syeikh itu berada pada posisi waris yang berhak mewarisi berbagai pusaka yang telah ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Tegasnya syeikh mempunyai hubungan nasab atau keturunan yang erat dan hampir dengan Baginda s.a.w. sehingga layak ia menerima pusaka daripadanya. Bagaimanapun bukanlah merupakan nasab atau keturunan yang hakiki atau keturunan darah yang sebenar, tetapi keturunan atau nasab yang bersifat ma‘nawi.

    Boleh kita katakan di sini, yang dimaksudkan dengan nasab ma‘nawi tersebut ialah ilmu, iman, sifat-sifat takwa, ma‘rifah dan sebagainya lagi yang wujud pada diri syeikh itu benar-benar berasal daripada Rasulullah s.a.w. Persoalannya bagaimana hal ini boleh terjadi? Tentu saja jawapannya bahawa syeikh tersebut mewarisi daripada syeikhnya, sedangkan syeikhnya pula mewarisi daripada syeikhnya yang lebih dahulu darinya. Begitulah seterusnya, apa yang berlaku dalam disiplin ta‘lim dan tarbiyah ilmu dan amalan tasawwuf, sambung-menyambung daripada seorang kepada seorang yang lain hinggalah sampai kepada Rasulullah s.a.w. Keadaan yang berlaku dalam disiplin serta tradisi ilmu dan amalan tersebut seolah-olah serupa dengan hubungan darah seseorang yang sebenar. Penulis merasakan tidak ada sebarang keganjilan yang terdapat dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf dalam hal ini, malahan disiplin ilmu Islam yang lain juga menekankan hal ini demi menjaga kesahihan sesuatu ilmu seperti yang dilakukan oleh ulamak muhaddithin dengan disiplin mustalahnya.

    Hubungan nasab ma‘nawi dengan Rasulullah s.a.w yang begitu erat merupakan asas dan dasar yang sangat penting dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf . Ulamak-ulamak tasawwuf memberikan penekanan yang sangat utama tentang adanya hubungan nasab ma‘nawi ini di antara seorang syeikh dengan Rasulullah s.a.w sehingga hubungan nasab tersebut dijadikan salah satu syarat penting yang mesti ada pada seseorang syeikh itu.

    Dengan adanya hubungan nasab ma‘nawi di antara seorang syeikh dengan Rasulullah s.a.w maka ilmu dan amalan Islam yang bersifat zahir mahupun yang batin dapat dipelihara keutuhan, kebenaran dan semua adab-adabnya, kerana ia berasal daripada sumbernya yang sah dan sebenar. Semasa hayat Rasulullah s.a.w., Baginda merupakan sumber hidayat dan keberkatan yang datang daripada Allah S.W.T, kemudian mengalir ke dada para sahabatnya. Justeru itu, apabila wafat Baginda s.a.w, tempat Baginda diambil alih oleh para sahabat, tābi‘in, tābi‘ al-tābi‘in dan seterusnya hingga ke hari ini yang menurut istilah ilmu dan amalan tasawwuf dikenali sebagai syeikh. Hidayat dan keberkatan akan mudah mengalir daripada Allah S.W.T kepada syeikh dan seterusnya ke dada para muridnya.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #11 18 November, 2009, 04:17:55 PM
  • Publish

  • 3.6 SYEIKH, AL-SĀLIK DAN AL-RĀBITAH.
    (Bahagian 3)

    Oleh sebab itulah para ulamak menegaskan bahawa seorang syeikh yang terputus silsilahnya (tidak sampai kepada Rasulullah s.a.w) bererti terputuslah keberkatannya dan ia bukanlah orang yang berhak berada pada posisi pewaris Baginda s.a.w. yang sah. Dalam hal ini Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi ada menegaskan pandangannya mengenai fakta ini dengan katanya:
    فمن لم تتصل سلسلته إلى حضرة النبوية فإنه مقطوع الفيض ولم يكن وارثا لرسول الله صلى الله عليه وسلم .

    Maksudnya:

    Maka sesiapa yang silsilahnya tidak bersambung sampai kepada kehadirat kenabian itu, sesungguhnya ia terputus dari limpahan rohani itu dan bukanlah waris Rasulullah s.a.w (yang sebenarnya).

    Justeru kerana itu para ulama tasawwuf telah menyimpulkan bahawa seseorang yang sālik itu mestilah mengetahui kedudukan silsilah syeikhnya supaya dapat memastikan nasab atau keturunan ma‘nawinya benar-benar sampai kepada Rasulullah s.a.w. Jika tidak, ini bererti ia tidak kenalkan bapa dan datuknya yang ma‘nawi. Manakala perjalanan kerohaniannya pula seperti perjalanan orang buta yang tentu sahaja akan mengalami berbagai masalah dan kesukaran yang mengakibatkan gagalnya wusul kepada Allah S.W.T. Syeikh ‘Abd al-Wahhāb al-Sha‘rāni ada menjelaskan hal ini dengan katanya:
    اعلم أيها الطالب المريد من لم يعلم أباه وأجداد فى الطريق فهو أعمى وربما انتسب الى غير أبيه.

    Maksudnya:

    Ketahuilah wahai murid! Sesiapa yang tidak kenalkan bapanya dan para datuknya dalam tariqah itu, maka ianya adalah buta dan mungkin juga nasabnya dihubungkan kepada orang lain yang bukan bapanya (yang sebenar).

    Dengan keterangan dan perbincangan di atas dapat kita membuat kesimpulan bahawa kedudukan atau posisi syeikh sebagai kerabat ma‘nawi Rasulullah s.a.w. merupakan satu kedudukan yang sangat tinggi dan istimewa dalam Islam. Sebab keturunan ma‘nawi itu juga bererti sebagai bukti atbā‘ al-Rasul atau pengikut Rasulullah s.a.w. yang sebenar. Orang yang benar-benar mengikuti jejak Rasulullah s.a.w. zahir dan batin adalah dalam golongan orang yang dicintai oleh Allah S.W.T, seperti yang difirmankanNya:
    قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمْ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

    Maksudnya:

    Katakanlah wahai Muhammad! Jika kamu benar-benar mencintai Allah S.W.T., maka ikutilah aku, nescaya Allah S.W.T. mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Allah S.W.T. Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

    Dari keterangan ayat al-Qur’an di atas dapat kita fahamkan bahawa seorang yang dicintai oleh Allah S.W.T. adalah juga dikasihi oleh Rasulullah s.a.w, dengan kedudukan yang demikian tentu sahaja ia mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah S.W.T di dunia mahupun di akhirat. Antara mereka yang mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah S.W.T selain daripada Rasul dan para Anbiyā’ ialah golongan siddiqin, shuhadā’ dan sālihin yang setiap muslimin dan muslimat memohon ke hadrat Allah S.W.T untuk dimasukkan di kalangan mereka seperti yang diungkapkan dalam bacaan solat:
    اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ. صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ .

    Maksudnya:

    Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.

    Jelas sekali, posisi dan kedudukan seorang syeikh seperti yang diterangkan adalah termasuk dalam salah satu daripada golongan yang tersebut.

    3 Syeikh sebagai khalifat Rasulillah atau pengganti atau wakil Rasulullah s.a.w di dalam bidang tabligh atau penyebaran ajaran Islam dan tarbiyah serta asuhan dalam penghayatan ajaran Islam yang sebenarnya sama ada bersifat zahir mahupun yang batin. Kedudukan tersebut ada dijelaskan sendiri oleh Nabi s.a.w dalam sabdanya yang telah diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dalam Sunannya antara lain menyebutkan:
    : لا يمس النار مسلما رآنى أو رأى من رآنى .

    Maksudnya:

    Tidak akan disentuh api neraka orang Islam yang melihat aku, dan tidak juga akan disentuh api neraka orang Islam yang melihat orang yang telah melihat aku.

    Syeikh ‘Abd al-Wahhāb al-Sha‘rāni menganggap syeikh itu sebagai pengganti atau wakil yang membawa syariat Nabi Muhammad s.a.w, ini dapat kita lihat dari ungkapan beliau yang antara lain menyebutkan:
    ان شيوخ رضى الله عنهم نواب الشارع صلى الله عليه وسلم.
    Maksudnya:

    Sesungguhnya para syeikh itu adalah naib (pengganti/wakil) bagi pembawa syariat s.a.w dalam (urusan) mendidik dan mengasuh seluruh manusia.

    Sedang Syeikh ‘Abd al-Qādir ada menjelaskan dengan katanya:
    فكانوا خلفأ عنه فى الهداية والارشاد والدعوة الى الله ,يقتبسون من نوره للانسانية طريق الحق والرشاد .

    Maksudnya:

    Mereka itulah para khalifahnya dalam (kepimpinan ke pintu) hidayat, asuhan dan dakwah kepada Allah S.W.T. Mereka itu sentiasa dapat mengambil sebahagian dari nur risalah Nabi s.a.w untuk mereka gunakan bagi menerangi kebenaran dan kebaikan bagi kehidupan manusia.

    Dari keterangan di atas, sama ada dari hadis yang disabdakan oleh Baginda s.a.w atau dari huraian dan pandangan para ulama tasawwuf, jelas menunjukkan kepada kita bahawa kedudukan syeikh dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf sebagai seorang khalifah Rasulullah s.a.w atau wakilnya dalam kerja-kerja al-tabligh, al-tarbiyah al-ruhāniyyah dan menyebarkan ajaran Islam kepada seluruh umat manusia. Selepas kewafatan Baginda s.a.w., para sahabat berperanan sebagai pengganti kepada Rasul s.a.w. Setelah zaman sahabat berlalu, maka al-tābi‘in pula yang mengambil tempat mereka (sahabat) sebagai khalifah yang melaksanakan urusan al-tabligh dan al-tarbiyah. Seterusnya silih berganti hinggalah ke hari ini, para khalifahnya terus wujud dan terus melaksanakan tugas-tugas tersebut.

    4 ِSyeikh jika dilihat dari sudut ilmu, merupakan orang yang benar-benar berada dalam golongan yang dimaksudkan oleh Baginda s.a.w sebagai al-‘Ulamā’ warathat al-anbiyā’ (ulamak pewaris para nabi). Kedudukan ini selayaknya bagi seorang syeikh jika kita timbang bahawa syeikh itu mempunyai tiga darjat di atas iaitu sebagai pewaris, khalifah dan kerabat Nabi s.a.w yang terdekat. Justeru bagi seorang yang mempunyai kedudukan sebagai ulamak pewaris nabi-nabi” tentu sahaja mereka memiliki ilmu dan ma‘rifah yang lebih sempurna dan lebih baik dari ilmu yang dimiliki oleh ulamak biasa. Begitu juga jika dilihat dari sudut akhlaknya tentu sahaja ia lebih baik dan lebih mulia dari akhlak ulamak biasa. Tegasnya berbagai aspek zahir dan batin seseorang syeikh adalah menggambarkan ciri-ciri sifat seorang ulamak yang sebenar di samping menepati dengan gelaran ulamak pewaris nabi seperti yang dimaksudkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. tersebut.

    Syeikh Abu Qāsim al-Qushayri ada menyebutkan kedudukan para mashāyikh tersebut dari sudut ilmu dan ma‘rifahnya dengan membandingkan mereka dengan ulamak-ulamak selainnya dengan katanya:
    فإن هؤلاء حججهم في مسائلهم أظهر من حجج كل أحد وقواعد مذاهبهم أقوى من قواعد كل مذهب والناس إما أصحاب النقل والآثر وإما أرباب العقل والفكر وشيوخ هذه الطائفة ارتقوا عن هذه الجملة فالذى للناس غيب فهو لهم ظهور والذي للخلق من المعارف مقصود فلهم من الحق سبحانه موجود فهم أهل الوصول والناس أهل الاستدلال .
    Maksudnya:

    Sesungguhnya para syeikh itu, hujah-hujah mereka tentang berbagai masalah adalah lebih jelas daripada hujah-hujah tiap-tiap orang (yang lain);kaedah-kaedah (dalam mazhab mereka juga lebih teguh daripada kaedah-kaedah mazhab lainnya; orang ramai itu sama ada mereka menjadi orang yang berpegang kepada (zahir) al-Qur’an, hadis dan kata-kata ulamak salaf ataupun menjadi orang bergantung kepada (kekuatan akal dan fikiran, padahal syeikh-syeikh golongan (al-sufiyyah) ini telahpun meningkat tinggi melintasi itu semua; perkara yang tidak dapat dilihat oleh orang ramai, dapat dilihat jelas oleh syeikh-syeikh itu; berbagai ma‘rifah yang sedang dicari-cari oleh orang ramai, bagi syeikh-syeikh itu pula ma‘rifah tersebut telah pun mereka perolehi daripada kurniaan Allah S.W.T.; syeikh-syeikh itu merupakan orang yang sudah sampai (kepada hakikat Allah S.W.T. yang sebenar) sedang orang ramai masih mencari-carinya menerusi dalil-dalil.

    Jelas dari pandangan dan ulasan daripada Syeikh Abu Qāsim al-Qushayri di atas menunjukkan kepada kita terdapat perbezaan dan kelebihan yang begitu ketara di antara kedua-dua golongan ulamak (ulamak tasawwuf dan ulamak zahir) dari sudut ilmu dan ma‘rifah. Menurut Prof Madya Dr.Jahid Sidek, antara kelebihan tersebut ialah:

    a) Dari sudut keupayaan untuk memberikan dalil-dalil ataupun bukti-bukti yang paling jelas mengenai sesuatu hukum yang timbul berkaitan dengan masalah-masalah agama, mereka lebih berupaya. Abu Tālib Makki memberikan penegasan dalam hal ini dengan menyatakan :
    وقد كان علمأ الظاهر إذا أشكل عليهم علم فى مسألة الاختلاف الأدلة سألوا أهل العلم بالله لأنهم أقرب إلى التوفيق وأبعد من الهوى والمعصية .


    Maksudnya:

    Dan sesungguhnya ulama-ulama zahir itu bila menghadapi kemusykilan agama mengenai sesuatu masalah disebabkan adanya dalil-dalil yang berlawanan, maka mereka itu meminta (penjelasan hukumnya) dari ahli-ahli ‘ilm billah itu, (kerana mereka itu lebih hampir kepada taufik dan jauh daripada hawa nafsu dan maksiat.

    Untuk membuktikan kenyataan beliau di atasو maka Abu Tālib Makki seterusnya mengatakan:
    منهم الشافعى رحمه الله تعالى كان إذا اشتبهت عليه المسألة لاختلاف أقوال العلماء فيها وتكافؤا لاستدلال عليها رجع إلى علماء أهل المعرفة .

    Maksudnya:

    Di antara mereka itu (ulama zahir yang merujukkan masalah yang mereka hadapi kepada syeikh) ialah Imam al-Syafi’i rahimahullah ta’ala. Bila beliau itu menghadapi kekaburan masalah, disebabkan kata-kata ulama yang bercanggah mengenai masalah tersebut dan jalan dalilnya sama kuatnya, maka beliau pun merujuk (masalah itu) kepada ulama’ ahli ma‘rifah itu.

    Seterusnya Syeikh Abu Tālib Makki menunjukkan kepada kita orang yang selalu dijadikan pakar rujuk dan guru tarbiyah oleh al-Imam al-Syafi’i. Orang yang dimaksudkan ialah Shubbān al-Ra’y. Beliau melaporkan kepada kita dengan katanya:
    وكان يجلس بين يدى شبان الراعى كما يجلس الصبى بين يدي المكتب ويسأله كيف يفعل فى كذا وكيف يصنع فى كذا .

    Maksudnya:

    Dan Imam al-Syafi’i itu duduk di hadapan Shubbān al-Ra’y seperti kanak-kanak duduk di hadapan guru tulisnya dan ia bertanya kepada Shubbān al-Ra’y itu: Macam mana hendak dibuat tentang (masalah) ini; dan bagaimana hendak dilakukan tentang (masalah) ini pula.


    a) Dari keterangan yang diberikan oleh al-Imam Abu Qāsim al-Qushayri di atas, dapat juga kita lihat bahawa kaedah-kaedah ilmu dan amalan yang ada di kalangan para al-mashā’ikh itu adalah lebih baik, lebih kuat dan berkesan. Sebagai contoh, dalam usaha untuk mengenal Allah S.W.T., kaedah ihsān menerusi zikrullah dan murāqabah digunakan oleh para mashā’ikh. Sedangkan para ulama mutakallimin menggunakan kaedah istidlāl dan rasional. Tentu sahaja kaedah ihsān yang digunakan oleh para mashā’ikh itu lebih baik, kerana kaedah ini selaras dengan kehendak dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Sebagai contoh, menurut keterangan ayat 190 dan 191 dari surah Āli ‘Imrān bahawa zikrullah dan murāqabah itu adalah jalan untuk mencapai ma‘rifah yang sebenar. Jelas dari kaedah tersebut akan memudahkan terbukanya hijāb hati dan memudahkan mendapat jadhbah, kashaf dan ma‘rifah. Oleh sebab itu ulama-ulama tasawwuf menyimpulkan bahawa zikrullah adalan jalan yang paling dekat untuk segera sampai kepada Allah S.W.T. dan keredaanNya, tanpa zikrullah jalan menuju kepada Allah S.W.T. menjadi jauh dan langkahnya juga menjadi lambat sehingga mungkin tidak akan sampai sehingga seseorang itu mati.

    b) Seterusnya dapat juga kita fahamkan dari ungkapan al-Syeikh Abu Qāsim al-Qushayri tersebut bahawa para mashā’ikh itu sebenarnya mempunyai basirah atau mata hati yang terang dan awas kerana hijābnya telah dibukakan oleh Allah S.W.T. dan dikurniakan kashaf kepadanya. Dengan kashaf tersebut mereka dapat melihat berbagai perkara yang ghaib yang biasanya tidak dapat dilihat dan diperhatikan oleh orang biasa. Sebagai contoh, seorang syeikh memberi sejumlah wang kepada seorang muridnya untuk menyewa seorang perempuan yang tinggal di sebuah bilik, dengan rasa penuh keraguan dan tandatanya, pergilah murid itu seperti yang telah diperintahkan oleh syeikhnya. Akhirnya murid tersebut mendapati bahawa perempuan yang ada di dalam bilik itu adalah isterinya sendiri yang telah lama ditinggalkan kerana menuntut ilmu.

    c) Dari kata-kata Syeikh Abu Qāsim al-Qushayri itu juga dapat kita melihat bahawa syeikh itu merupakan seorang yang benar-benar ‘ārif billah yang telah sampai kepada hakikat Allah S.W.T. yang sebenar iaitu hakikat uluhiyyah dan rububiyyahNya. Inilah yang dimaksudkan oleh Syeikh Abu Qāsim al-Qushayri bahawa para mashāyikh itu adalah ahl al-wisāl. Ahl al-wisāl ini menurut keterangan yang dikutip daripada Ibn ‘Ajibah ialah orang-orang yang telah dipilih oleh Allah S.W.T. dengan diberi cintaNya, dijadikan sebagai wali Nya, dibukakan hijāb pintu hatinya, diperlihatkan kepadanya berbagai rahsia zatNya sehingga semua kesan-kesan kekuasaan dan kewujudanNya iaitu segala kejadian dan ciptaan Allah S.W.T. itu tidak menghalang pandangan basirah terhadap hakikat Allah S.W.T. dan kehambaan dirinya sendiri.

    Seterusnya, menurut Ibn ‘Ajibah lagi bahawa orang yang tersebut juga dikenali sebagai ahl al-‘irfān, ahl al-shuhud dan ahl al-‘ayyān yang tidak melihat wujudnya semua makhluk kerana ia shuhud terhadap Allah S.W.T. semata-mata. Oleh itu syeikh adalah orang yang telah sampai ke maqām fanā’ dan baqā’ billah.

    Dari kelima-lima sifat yang dimiliki oleh syeikh seperti yang telah dikatakan oleh Syeikh Abu al-Qāsim al-Qushayri itu jelas kepada kita bahawa syeikh itu merupakan seorang wali Allah S.W.T., yang sentiasa bersifat dengan sifat taqwa dan sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah S.W.T. Hal ini telah dinyatakan oleh Allah S.W.T. dengan firmanNya :
    إِنَّ وَلِيِّي اللَّهُ الَّذِي نَزَّلَ الْكِتَابَ وَهُوَ يَتَوَلَّى الصَّالِحِينَ

    Maksudnya:

    Sesungguhnya Pelindungku adalah Allah S.W.T. yang telah menurunkan Kitab (al-Qur’an) dan Allah S.W.T. lah yang mengurus dan melindungi orang-orang yang salih.

    5. Kedudukan syeikh dari sudut ketakwaan mereka adalah merupakan orang yang benar-benar mencapai taraf ulu al-albāb iaitu orang yang disebutkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:
    الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالاَْرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّار

    Maksudnya:

    Mereka itulah orang-orang yang berdhikrullah dalam keadaan berbaring dan mereka itu sentiasa memikirkan (bukti-bukti kewujudan dan kekuasaan Allah S.W.T.) di dalam ciptaanNya yang di langit dan yang di bumi, seraya berkata: Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan (semua ciptaan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa api neraka.

    Dari keterangan ayat di atas menunjukkan bahawa orang yang bertaraf ulu al-bāb itu ialah orang yang mukmin dan sentiasa berzikrullah dan bermurāqabah terhadap Allah S.W.T. sehingga mereka mencapai hakikat kekurangan, jahil, lemah dan sebagainya lagi. Ciri-ciri ketakwaan tersebut ada dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam firmanNya yang antara lain menyebutkan:
    الَّذِينَ يُوفُونَ بِعَهْدِ اللَّهِ وَلاَ يَنقُضُونَ الْمِيثَاقَ وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الْحِسَابِ وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلاَةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلاَنِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُوْلَئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّار

    Maksudnya:

    (Ulu al-albāb itu) ialah orang-orang yang memenuhi janji Allah S.W.T. dan tidak merosakkan perjanjian itu; dan orang-orang yang menghubungkan apa yang Allah S.W.T. perintah supaya dihubungkan (tali persaudaraan dan silat al-rahim) dan mereka itu takut kepada Tuhan mereka dan takut terhadap hisab yang buruk; dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredaan Tuhan mereka, mereka mendirikan sembahyang dan membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi ataupun terus terang dan mereka itu menolak kejahatan dengan kebaikan; mereka itulah yang mendapat tempat kesudahan(yang baik).

    Dari ayat-ayat al-Qur’an di atas Prof Madya Dr. Jahid Sidek seterusnya menyenaraikan sifat-sifat taqwa orang-orang yang ulu al-albāb itu sebagai:

    a) Golongan ini sentiasa bertaqwa, melakukan apa sahaja yang diperintahkan dan menjauhkan segala larangan Allah S.W.T. dalam erti kata yang sebenar sama ada yang zahir mahu pun yang batin. Tegasnya mereka itu benar-benar menjadi orang-orang yang bersifat dengan sifat taqwa.

    b) Para mashā’ikh itu memiliki akhlak yang mulia di samping menjaga hubungan sosial mereka, selaras dengan firman Allah S.W.T:
    ضُرِبَتْ عَلَيْهِمْ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلا بِحَبْلٍ مِنْ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِنْ النَّاسِ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنْ اللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمْ الْمَسْكَنَةُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ الاَْنبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ


    Maksudnya:

    Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab daripada Allah S.W.T. dan adanya sebab daripada manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan daripada Allah S.W.T., dan mereka ditimpakan kemiskinan dari segala jurusan. Yang demikian itu, mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah S.W.T. (perintah-perintahNya) dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah S.W.T.).

    Tegasnya mereka adalah orang yang benar-benar berpegang teguh dengan pengertian ayat di atas yang terangkum dalam makna hablun min al-nās dan hablun min Allah seperti yang ditunjukkan oleh Baginda s.a.w dan para sahabatnya. Allah S.W.T menceritakan kedudukan mereka seperti yang difirmankanNya:
    وَعِبَادُ الرَّحْمَانِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الاَْرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمْ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلاَمًا

    Maksudnya:

    Dan hamba-hamba (Allah S.W.T.) al-Rahman (yang diredai Nya), ialah mereeka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.

    c) Orang-orang yang bersifat ulu al-albāb itu ialah mereka yang hanya takut kepada Allah S.W.T. Sifat ini lahir pada diri mereka kerana mereka telah shuhud terhadap hakikat keagungan dan kesempurnaan Allah S.W.T, dalam ertikata yang lain ialah shuhud terhadap uluhiyyah dan rububiyyah Allah S.W.T. Di samping itu mereka juga bimbang terhadap perbicaraan di padang mahsyar jikalau amalan yang jahat itu lebih banyak dari yang baik. Atau khuatir jika amalan yang baik itu tidak diterima oleh Allah S.W.T. Mereka juga bersifat bimbang jika kesudahan hidup mereka disudahi dengan su’ al-khātimah, lantaran itu mereka sentiasa memiliki sifat orang-orang yang ikhlas takutkan Allah S.W.T.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #12 18 November, 2009, 04:20:42 PM
  • Publish


  • 3.6 SYEIKH, AL-SĀLIK DAN AL-RĀBITAH.(Bahagian 4)

    d) Orang-orang yang bersifat ulu al-albāb itu ialah mereka yang sentiasa bersifat sabar dalam menghadapi semua ujian dan dugaan yang Allah S.W.T berikan kepada mereka pada setiap masa dan keadaan, kerana mereka ingin mendapat keredaan daripada Allah S.W.T semata-mata. Mereka digambarkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:
    الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ.

    Maksudnya:

    (Orang-orang yang bersabar itu) ialah orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu musibah, mereka mengucapkan: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah S.W.T. dan sesungguhnya kepada Nyalah kami kembali.

    e) Orang-orang yang bersifat ulu al-albāb itu menggunakan harta dan kekayaan yang mereka miliki hanya untuk tujuan mendapatkan keredaan dari Allah S.W.T. Sama sekali tidak akan membelanjakan harta tersebut ke jalan yang dimurkai oleh Allah S.W.T. Dengan harta tersebut mereka tidak bersifat riyā’ dan ‘ujub terhadap pengorbanan yang mereka lakukan terhadap harta mereka. Keikhlasan adalah asas di dalam menginfakkan harta tersebut,sama ada secara terang atau secara rahsia, bagi mereka adalah sama sahaja, kerana yang mereka pandang hanya Allah S.W.T. sahaja.

    f) Orang-orang yang bersifat ulu al-albāb itu ialah orang yang boleh bertindak dengan sebaik-baiknya di dalam menghadapi sebarang kejahatan yang dilemparkan kepada mereka. Di antara kemuliaan yang dimiliki oleh mereka ialah membalas kejahatan dengan kebaikan. Ini menunjukkan wujudnya kemuliaan hati dan keteguhan iman yang dimiliki oleh mereka. Justeru mereka adalah tergolong di kalangan orang-orang yang ‘ārif bi Allah yang sentiasa shuhud terhadap Allah S.W.T.

    g) Orang-orang yang bersifat ulu al-albāb itu ialah mereka yang mendirikan solat dengan penuh khusyu’ dan tawādu‘ dengan sentiasa mengingati keagungan dan kesempurnaan Allah S.W.T. Mereka itu adalah merupakan orang-orang mukmin yang beroleh kejayaan di sisi Allah S.W.T. seperti yang disebutkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:
    قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ . الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاَتِهِمْ خَاشِعُونَ.

    Maksudnya:

    Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman iaitu orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyang mereka.

    Dari fakta yang terkandung dalam ayat 20-22 surah al-Ra’d tersebut dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa sifat-sifat taqwa golongan ulu al-albāb itu adalah yang paling sempurna dan istimewa. Justeru kerana itu sifat-sifat tersebut sewajarnya wujud di kalangan para mashā’ikh seperti yang telah diterangkan di atas.

    6. Di kalangan ulama tasawwuf, syeikh merupakan orang yang mempunyai kedudukan dan status yang istimewa di sisi Allah S.W.T, kerana mereka dianggap sebagai salah satu pintu dari berbagai pintu rahmat Allah S.W.T. yang sentiasa menyeru manusia untuk menghampirkan diri kepadaNya dan mendapatkan keredaanNya. Mengenai hal ini Allah S.W.T menjelaskan dengan firmanNya:
    قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنْ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنْ الْمُشْرِكِينَ .

    Maksudnya:

    Katakanlah (wahai Muhammad):Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutiku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah S.W.T. dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah S.W.T. (dari segala iktikad dan perbuatan syirik) dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah S.W.T. dengan sesuatu yang lain.

    Dari maksud firman Allah S.W.T dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w itu merupakan pintu berbagai rahmat Allah S.W.T. seperti ilmu, iman, ma‘rifah dan sebagainya lagi. Demikian juga bagi umatnya yang mengikuti dan menghayati ajaran-ajarannya, sama ada yang zahir mahupun yang batin adalah juga sebagai pintu berbagai rahmat Allah S.W.T. tersebut. Seorang syeikh sepertimana yang telah dihuraikan di atas adalah merupakan pewaris Rasulullah s.a.w, khalifahnya dan orang yang paling hampir dengannya. Dengan kedudukan ini tentulah seorang syeikh itu tergolong di kalangan orang-orang yang mengikuti sunnahnya yang zahir dan yang batin. Dari sini dapat kita lihat bahawa syeikh itu adalah di antara salah satu pintu dari pintu-pintu rahmat Allah S.W.T. Sebagai seorang murid yang sentiasa belajar dan berdampingan dengan syeikh itu tentulah ia berada di hadapan pintu rahmat Allah S.W.T.

    Dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf, seorang murid dikehendaki supaya seboleh-bolehnya sentiasa berdampingan dengan syeikhnya dan sentiasa taatkannya. Perhubungan yang rapat dalam kehidupan sehari-hari di antara seorang murid dengan syeikhnya adalah dituntut dalam Islam seperti yang difirmankan oleh Allah S.W.T:
    يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ.
    Maksudnya:

    Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah S.W.T., dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang benar.

    Tujuan dari perintah supaya sentiasa bersama-sama dengan orang-orang yang bertaraf al-siddiqin itu ialah supaya kita sentiasa mendapat keberkatan dan berbagai rahmat daripada Allah S.W.T. menerusi mereka. Dengan taraf mereka sebagai al-siddiqin tentulah ia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah S.W.T. selepas kedudukan para Anbiyā` dan Rasul, sebab itu Allah S.W.T. memberi pengakuanNya terhadap mereka ini dengan firmanNya:
    وَمِنْ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالاَْنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ.

    Maksudnya:

    Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya. Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah S.W.T. dari kalangan hambaNya hanyalah orang-orang yang bergelar ulama. Sesungguhnya Allah S.W.T. Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

    Dengan kedudukan mereka selepas para Anbiyā` dan Rasul, maka tidak hairanlah kalau Allah S.W.T. telah menjanjikan tempat di dalam syurga bagi mereka seperti yang terdapat dalam firmanNya:
    وَمَنْ يُطِعْ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُوْلَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنْ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُوْلَئِكَ رَفِيقًا.

    Maksudnya:

    Dan sesiapa yang taat kepada Allah S.W.T. dan RasulNya, maka mereka akan ditempatkan di dalam syurga bersama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah S.W.T. kepada mereka, iaitu Nabi-nabi dan orang-orang al-siddiqin dan orang-orang al-shāhidin, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

    Dari keterangan kedua-dua ayat al-Qur’an yang tersebut di atas tadi dapatlah dilihat kedudukan seorang yang bertaraf syeikh amat tinggi di sisi Allah S.W.T. Sekalipun ia tidak mencapai taraf al-siddiqin, sudah pasti mereka ini menduduki taraf al-shuhadā’ atau al-sālihin seperti yang termuat dalam ayat tersebut. Justeru kerana itu, dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf, seorang murid dikehendaki supaya sentiasa berdampingan dengan syeikhnya, jika tidak dapat berbuat demikian maka hendaklah ia membayangkan wajah syeikhnya itu. Dari sini maka timbullah istilah yang dikenali di kalangan disiplin ilmu dan amalan tasawwuf sebagai al-rābitah.

    7. Dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf seorang yang bergelar syeikh itu dianggap sebagai seorang mukmin yang telah mencapai taraf al-muhsinin. Kenyataan ini adalah berdasarkan kepada firman Allah S.W.T. dalam al-Qur’an yang rahmat Allah S.W.T. itu sentiasa hampir (sentiasa diberikan) kepada orang yang al-muhsinin seperti yang telah dijelaskan olehNya:
    وَلاَ تُفْسِدُوا فِي الاَْرْضِ بَعْدَ إِصْلاَحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا إِنَّ رَحْمَةَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِنْ الْمُحْسِنِينَ.

    Maksudnya:

    Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah S.W.T. menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah S.W.T. itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya (muhsinin).

    Seperti yang telah kita huraikan di atas tadi bahawa seorang syeikh itu merupakan salah satu dari pintu dari berbagai pintu rahmat Allah S.W.T., oleh itu boleh kita katakan bahawa syeikh itu adalah golongan yang hampir kepada rahmat Allah S.W.T. Orang yang sentiasa hampir dengan rahmat Allah S.W.T. itu adalah orang yang bergelar al-muhsinin. Kesimpulannya, seorang syeikh itu adalah bertaraf al-muhsinin. Jika kita tinjau dari sudut hadis pula kita akan dapati bahawa syeikh itu adalah antara orang yang sudah mencapai martabat ihsān seperti yang disabdakan oleh Baginda s.a.w di dalam sebuah hadisnya:
    الإحسان أن تعبد الله كأنك تراه , فان لم تكن تراه فإنه يراك .

    Maksudnya:

    Ihsān itu ialah anda beribadat kepada Allah seolah-olah anda melihatNya. Jika anda tidak (terasa) melihatnya, maka sesungguhnya Allah melihat anda.

    Dengan berbagai fakta yang telah dihuraikan di atas berhubung dengan status dan kedudukan seorang syeikh menurut disiplin ilmu dan amalan tasawwuf, dapatlah kita membuat kesimpulan yang tepat bahawa seorang yang bergelar syeikh yang sebenar atau yang memenuhi semua syarat-syarat dan adab-adab syeikh yang telah ditentukan adalah seorang mukmin yang mempunyai status dan kedudukan yang paling istimewa sekali. Keadaan ini disebabkan kerana seorang syeikh itu mempunyai nasab ma‘nawi yang rapat hubungan dengan Rasulullah s.a.w di samping mewarisi sifat-sifat ketakwaan, keilmuan, ma‘rifat dan sebagainya lagi. Dengan sifat yang dimiliki oleh mereka ini sudah tentu mereka dapat menegakkan kebenaran seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. tanpa menghiraukan segala rintangan, halangan dan penghinaan demi menegakkan kebenaran tersebut, sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w:
    لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خذلهم حتى يأتى أمر الله وهم كذلك .
    Maksudnya:

    Akan sentiasa wujud satu golongan dari umatku itu yang tetap menegakkan kebenaran, tanpa memperdulikan orang yang menghinakan mereka, sehingga datang urusan Allah S.W.T. (kematian atau sebagainya) mereka tetap berkeadaan demikian itu.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #13 18 November, 2009, 04:23:48 PM
  • Publish

  • 3.6.2 Kedudukan al-Sālik

    Seperti yang telah dinyatakan di atas tadi bahawa perkataan atau istilah al-rābitah itu sukar untuk diperjelaskan jika tidak kita bincangkan terlebih dahulu beberapa aspek yang mempunyai hubungan yang begitu rapat dengan penggunaan istilah ini. Antaranya ialah syeikh yang telah kita hurai dan bincangkan di atas tadi. Selanjutnya kita cuba pula menghurai dan membincangkan topik kedua yang sangat penting dan berkait rapat dengan istilah al-rābitah itu. Persoalan yang kita maksudkan di sini ialah al-sālik.

    Dalam institusi sebuah perkumpulan tariqat atau tasawwuf, selain daripada seorang yang bertaraf al-syeikh al-murshid, terdapat satu kumpulan lain bertaraf pengikut yang dikenali sebagai al-sālik atau al-murid atau al-sā’ir. Semua istilah-istilah ini membawa maksud yang sama, iaitu pengikut kepada sesuatu aliran tariqat atau tasawwuf. Mereka ini adalah satu kumpulan yang memerlukan ilmu pengetahuan, petunjuk dan bimbingan dalam segala amal ibadatnya. Mereka terdiri dari kalangan lelaki dan perempuan, sama ada yang belum dewasa ataupun yang sudah lanjut usianya.

    Kumpulan yang dikenali sebagai al-sālik ini bukan hanya terbatas kewajipannya mempelajari segala sesuatu yang diajarkan atau melaksanakan segala sesuatu yang dilatih guru kepadanya , namun dari segi kedudukan mereka sebagai seorang al-sālik, mereka dikehendaki mematuhi beberapa adab dan akhlak yang ditentukan ke atasnya. Sama ada adab terhadap syeikh, mahupun terhadap dirinya dan adab serta akhlak terhadap rakan-rakan setariqat dan sesama mukmin yang lainnya. Semua yang berkaitan dengan adab ini akan diperhatikan oleh seorang syeikh kerana dengan keperibadian al-sālik tersebut akan menentukan kejayaan atau sebaliknya perjalanan tariqat yang dilaluinya.

    Pelajaran-pelajaran sufi dan latihan-latihan dalam disiplin tariqat akan kurang faedahnya, jika pelajaran dan latihan itu tidak berkesan kepada perubahan akhlak dan budi pekerti al-sālik itu.

    Oleh yang demikian kita sering menemukan beberapa judul kitab yang dikarang oleh tokoh-tokoh pengamal disiplin ilmu dan amalan tasawwuf dengan menggunakan istilah-istilah seperti Siyar al-Sālikin, Hidāyat al-Sālikin yang kedua-duanya ditulis oleh ‘Abd al-Samad al-Palimbāni. Begitu juga dengan kitab Diyā’al-Murid dan sebagainya lagi. Semua kitab-kitab ini menggunakan istilah-istilah di atas sebagai judul karangan mereka, tentunya pemilihan judul ini adalah bertepatan dengan isi kandungan kitab-kitab tersebut yang mengolah dan mengatur kehidupan seorang yang al-sālik dalam menjalani suluknya.

    Apabila kita membicarakan soal kedudukan seseorang yang al-sālik di hadapan seseorang yang bertaraf syeikh, secara langsung tentu sahaja akan melibatkan soal adab seorang al-sālik terhadap gurunya yang bergelar syeikh itu. Justeru sering kita dengar dan kita lihat kumpulan yang dinamakan al-sālik ini benar-benar menyanjung tinggi martabat serta kehormatan seorang syeikhnya. Mereka benar-benar takut dan taat terhadap syeikh, sama ada di hadapan mahupun di belakangnya. Bagi seorang yang al-sālik, mengkhianati atau membantah seorang guru yang memberikan pelajaran dan petunjuk adalah tindakan yang tercela dan dosa. Justeru dengan kerananya akan menghalang perjalanan seorang yang al-sālik ke hadirat Allah S.W.T.

    Dengan keterangan di atas dapat kita katakan bahawa antara tujuan disiplin ilmu dan amalan tasawwuf itu ialah untuk menanamkan penghayatan syariat ke dalam diri seorang yang sālik dengan pemerhatian oleh seorang yang bergelar syeikh. Dalam konteks ini peranan syeikh adalah bertujuan untuk memantau agar hasil dari didikan itu berkesan dalam jiwa para al-sālikin. Antara ukuran yang digunakan sama ada didikan itu berkesan atau sebaliknya dapat dinilai melalui keluhuran akhlak dan budi pekerti serta adab kesopanan dalam kehidupan harian terhadap syeikh, diri, para sahabat setariqat dan seterusnya adab sesama umat Islam seluruhnya.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #14 18 November, 2009, 04:25:29 PM
  • Publish

  • 3.6.2.1 Adab-adab al-sālik terhadap syeikh.(Bahagian 1)

    Menurut keterangan yang diberikan oleh Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi dalam kitabnya yang berjudul Tanwir al-Qulub Fi Mu‘āmalat ‘Allām al-Ghuyub menyebutkan bahawa adab-adab yang perlu diperhatikan dan dijaga oleh seorang yang sālik terhadap syeikhnya banyak , namun yang terpenting ialah seorang yang al-sālik tidak boleh sesekali menentang syeikhnya, sebaliknya ia membesarkan kedudukan syeikhnya itu lahir dan batin.

    Seterusnya ia tidak boleh memperkecilkan kedudukan syeikh, apalagi mencemuhnya di hadapan atau di belakangnya. Salah satu yang mesti diyakini oleh seorang yang al-sālik ialah segala maksud dalam suluknya hanya akan tercapai kerana didikan dan asuhan daripada syeikhnya.

    Oleh sebab itu, jika ia terpengaruh dengan pandangan guru-guru yang lain selain daripada syeikhnya menyebabkan ia akan jauh daripada syeikhnya dan akan gagal menerima limpahan cahaya daripada syeikhnya. Maka sebagai seorang yang bertaraf al-sālik sewajarnya ia memerhatikan dengan bersungguh-sungguh tentang beberapa adab terhadap syeikhnya.

    Keadaan ini telah dikemukakan oleh Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi seperti di bawah ini:

    a) Seorang yang al-sālik hendaklah menghormati dan menyanjung tinggi syeikhnya pada yang zahir dan yang batin, dengan satu keyakinan bahawa dirinya tidak akan berjaya untuk mencapai cita-cita kerohaniannya kecuali berada di bawah asuhan dan didikan serta pimpinan daripada syeikhnya. Apabila seorang yang al-sālik itu tertarik hati kepada seorang syeikh yang lain maka terhalanglah dirinya itu daripada syeikhnya dan terhentilah limpahan nur ilāhi daripada syeikh tersebut ke atas dirinya.

    b) Seorang yang al-sālik hendaklah sentisa menyerahkan diri sepenuhnya zahir dan batin kepada syeikhnya. Sentiasa bersifat taat dan menurut perintah di samping reda terhadap segala apa yang dibuat oleh syeikhnya. Seorang yang al-sālik hendaklah bersedia untuk berkhidmat kepada syeikhnya baik dengan harta mahupun dengan jiwa raga. Semua hal tersebut adalah disebabkan oleh kemahuan yang murni dan perasaan kasih sayang sebenar yang tidak dapat dinyatakan dengan jelas kecuali dengan cara yang tersebut. Malahan niat yang benar dan ikhlas itu tidak akan dapat dicapai kecuali dengan jalan yang demikian itu. Seorang al-sālik mestilah mempunyai keikhlasan hati di samping kerelaan jiwa demi pengorbanan kepada syeikhnya. Selepas itu barulah ia akan mendapat barakah irādah yang murni dan muhibbah. Semua ini akan dianggap sebagai penggerak dalam kehidupan seorang yang al-sālik.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #15 18 November, 2009, 04:26:29 PM
  • Publish

  • 3.6.2.1 Adab-adab al-sālik terhadap syeikh.(Bahagian 2)

    c) Seorang yang al-sālik tidak boleh sama sekali menentang, menolak atau menghalang apa saja yang dibuat oleh syeikhnya, sekalipun perbuatan tersebut pada zahirnya bertentangan dengan hukum syarak yang membawa hukum haram. Sebagai contoh, seorang al-sālik tidak boleh berkata terhadap syeikhnya: Mengapakah tuan guru berbuat demikian? Jika seorang al-sālik berkata demikian terhadap syeikhnya maka ia tidak akan mencapai maksudnya (wusul kepada Allah S.W.T.) untuk selama-lamanya. Penentangan merupakan sikap dan akhlak yang tercela, lebih-lebih lagi apabila diperintahkan oleh syeikhnya. Dalam dispilin ilmu dan amalan tasawwuf ketaatan itu sudah dibaiahkan ketika seorang al-sālik mengambil amalan tersebut daripada syeikhnya. Dengan peraturan dan baiah yang demikian barangkali ramai orang termasuk pemerintah menaruh prasangka dan curiga di samping mengawasi ajaran tasawwuf dan tariqat di negara ini. Kadang-kadang berlaku pada seseorang syeikh itu perkara yang tercela nampak pada zahirnya, tetapi pada batinnya adalah baik, seperti yang berlaku kepada Nabi Khidir a.s ketika bersama-sama dengan Nabi Musa a.s . Kerana itulah setengah ahli tasawwuf bersya’ir seperti berikut:

    وكن عنده كالميت عند المغسل يقلبه ما شاء وهو مطاوع
    ولا تعترض فيما جهلت من أمره عليه فإن الأعتراض تنازع
    وسلم له فيما تراه ولو يكن على غير مشروع فثم مخادع
    وفى قصة الخضر الكريم كفاية بقتل غلام والكليم يدافع
    فلما أبان الصبح عن ليل سره وسل حسام للمحاجج قاطع
    أقام له العذر الكليم وأنه كذلك علم القوم فيه بدائع
    Maksudnya:

    Engkau di hadapan syeikh seperti mayat di depan orang yang memandikannya.
    Sentiasa taat dibalik-balikkan mengikut sekehendak hatinya.
    Jangan engkau menentang perintahnya yang engkau tidak mengetahuinya.
    Sebab,menentang begitu bererti engkau mencabarnya.
    Biarkanlah segala perbuatannya yang engkau lihat.
    Meskipun berlainan dengan syariat.
    Cukuplah sebagai contoh kisah Khidir membunuh anak desa.
    Bagaimana Musa bersungguh-sungguh menghalangnya.
    Bila rahsia Khidir jelas terbongkar.
    Musa tidak dapat berkata lagi.
    Dan cuba meminta maaf daripada Khidir.
    Begitulah ada yang menakjubkan ilmu orang sufi.

    d) Seorang yang al-sālik tidak boleh mempunyai sebarang keinginan untuk bergaul rapat dengan syeikhnya untuk tujuan dunia ataupun akhirat. Oleh itu pergaulan dengan syeikhnya hanyalah semat-mata untuk menghampirkan dirinya kepada Allah S.W.T.

    e) Seorang yang al-sālik hendaklah menghilangkan segala ikhtiarnya kerana berasa cukup dengan ikhtiar syeikhnya, sebahagiannya atau keseluruhannya yang menyangkut soal ibadat ataupun adat kebiasaan hidup. Oleh itu antara tanda-tanda yang menunjukkan seorang yang al-sālik itu bersifat benar ialah jika syeikhnya menyuruhnya masuk ke dalam dapur api nescaya dilakukannya. Walau apapun yang berlaku seorang yang al-sālik tetap memegang teguh ikhtiar syeikhnya. Ia mesti mengakui seorang syeikh itu mempunyai kelebihan tersendiri dalam berikhtiar jika dibandingkan dengan ikhtiar seorang yang al-sālik.

    f) Seorang yang al-sālik tidak boleh dengan sengaja mencari-cari rahsia hal keadaan syeikhnya sama sekali. Perbuatan yang sedemikian boleh menyebabkan kecelakaan dan padah pada diri seorang yang al-sālik itu sendiri. Sebagai seorang yang al-sālik seharusnya bersangka baik dengan syeikhnya dalam semua hal dan keadaan.

    g) Sebagai seorang yang al-sālik, dia hendaklah sentiasa ingatkan kepada syeikhnya ketika ia berjauhan daripadanya (syeikh). Begitu juga jika syeikhnya itu ada bersama-samanya maka hendaklah ia sentiasa ingatkan dan membayangkan syeikhnya itu dalam hatinya ketika melakukan semua urusannya, baik ketika musafir mahupun tidak, supaya mendapat keberkatan daripada syeikhnya itu.

    h) Sebagai seorang yang al-sālik ia hendaklah merasakan bahawa setiap keberkatan yang telah didapatinya, baik keberkatan di dunia mahupun di akhirat adalah kerana syeikhnya itu. Sebagai contoh seorang yang al-sālik telah mendapat kelebihan daripada Allah S.W.T., atau pertunjuk berupa ilhām atau keistimewaan ijābah, maka tidak boleh mengatakan atau menganggap hal itu disebabkan oleh keupayaan dan barakah daripada dirinya sendiri yang dekat dengan Allah S.W.T. Sebagai menghormati gurunya ia mestilah berkeyakinan bahawa ilhām dan anugerah daripada Allah S.W.T. itu adalah disebabkan oleh keberkatan dan kelebihan daripada syeikhnya itu.

    i) Sebagai seorang yang al-sālik, ia tidak boleh merahsiakan atau menyembunyikan daripada syeikhnya sesuatu yang bersifat hāl, lintasan-lintasan hati, kejadian-kejadian, perkara-perkara yang dikashafkan dan kekeramatan yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T. semasa di bawah pimpinan daripada syeikhnya itu. Segala sesuatu yang berkait dengan kehidupan seorang yang al-sālik tidak boleh dirahsiakan daripada syeikhnya. Ini merupakan satu adab dan peraturan yang mesti ditaati oleh seorang yang al-sālik.

    j) Seorang yang al-sālik itu tidak boleh sengaja menunjuk-nunjuk atau mencari-cari ta‘bir berbagai-bagai kejadian, mimpi dan perkara-perkara yang dikashafkan ke atasnya. Walaupun ia mengetahui dengan jelas ta‘bir perkara-perkara yang tersebut itu, maka tidaklah boleh ia berpegang teguh terhadapnya. Apabila seorang yang al-sālik itu bertanyakan sesuatu kepada syeikhnya maka hendaklah ia bersabar menanti jawapan daripada syeikhnya itu dengan tidak mendesak agar syeikhnya memberikan jawapan yang segera. Begitu juga jika ada seseorang yang bertanyakan sesuatu kepada syeikhnya itu, maka janganlah sekali-kali al-sālik itu memberikan jawapan soalan orang yang tersebut di hadapan syeikhnya.

    k) Seorang yang al-sālik tidak boleh menyebar dan menyiarkan rahsia-rahsia syeikhnya, walau dengan apa cara sekalipun.

    l) Seorang yang al-sālik tidak boleh mengahwini perempuan yang sudah diketahuinya bahawa syeikhnya sendiri ada hati mahu mengahwininya. Seorang yang al-sālik juga tidak boleh mengahwini bekas isteri syeikhnya, sama ada bercerai hidup atau cerai mati.
    « Last Edit: 18 November, 2009, 04:28:06 PM by Ummi Munaliza »

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #16 18 November, 2009, 04:30:03 PM
  • Publish

  • 3.6.2.1 Adab-adab al-sālik terhadap syeikh.(Bahagian 3)

    m) Seorang yang al-sālik tidak boleh memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada syeikhnya, sekalipun syeikhnya meminta buah fikirannya dalam sesuatu perkara yang mahu dibuat atau ditinggalkannya. Dalam keadaan itu seorang yang al-sālik hendaklah menyerahkan masalah yang dihadapi itu kepada syeikhnya sahaja dengan penuh keyakinan bahawa syeikhnya itu lebih tahu daripada dirinya dalam masalah tersebut dan syeikhnya itu sebenarnya tidak perlu meminta buah fikirannya. Sebenarnya perbuatan syeikh meminta buah fikiran al-sālik itu hanyalah sebagai satu polisi syeikhnya supaya dapat ia menunjukkan rasa kasih dan sayang terhadap para al-sālikin itu sahaja. Bagaimanapun jika ada tanda-tanda bahawa syeikhnya itu memang benar-benar mahukan buah fikiran al-sālik itu maka bolehlah ia memberikan buah fikirannya kepada syeikhnya dengan penuh kesopanan dan ketertiban.

    n) Seorang yang al-sālik hendaklah menjaga, mengambil berat terhadap keluarga syeikh sepanjang pemergiannya. Seorang yang al-sālik hendaklah sentiasa berkhidmat dan berbuat baik dengan mengunjungi dan berkhidmat kepada keluarganya. Langkah seorang al-sālik ini merupakan perkara-perkara yang boleh menambahkan lagi kasih sayang syeikh kepada diri al-sālik. Tegasnya dalam hal ini, kedudukan syeikh itu samalah dengan kedudukan para saudara dan kawan atau sahabat. Perlu diingat bahawa seluruh kerja yang dilakukan mesti dengan keikhlasan agar ia akan mendapat limpahan hidayat dan rahmat syeikhnya.

    o) Seorang yang al-sālik apabila merasakan dirinya ada sifat ‘ujub dan riyā’ maka hendaklah ia segera berjumpa dan memberitahu kepada syeikhnya hal keadaan tersebut. Dengan berbuat demikian seorang syeikh akan dapat menunjukkan bagaimana cara untuk mengubati penyakit tersebut. Jika hal tersebut disembunyikan maka penyakit yang terdapat pada seorang yang al-sālik seperti al-riyā’ dan al-‘ujub itu akan bertambah subur dan sulit untuk dibuang daripada dirinya.

    p) Sebagai seorang al-sālik, hendaklah menghargai setiap pemberian daripada syeikhnya. Setiap barang yang diberikan oleh syeikh kepada seorang yang al-sālik hendaklah dijaga dengan sebaiknya, bahkan jangan sekali-kali ia menjualkan barang pemberian tersebut kepada orang yang lain. Mungkin ada rahsia di sebalik pemberian tersebut yang berupa manfaat di dunia atau di akhirat di samping dapat menghampirkan dirinya kepada Allah S.W.T. di sebalik pemberian tersebut.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #17 18 November, 2009, 04:32:23 PM
  • Publish

  • 3.6.2.1 Adab-adab al-sālik terhadap syeikh.(Bahagian 4)

    q) Seorang al-sālik hendaklah menjaga sifat benar (al-sidq) dalam kesungguhannya mentaati syeikhnya itu. Dalam konteks ini, para mashā’ikh tariqat bersepakat bahawa seorang al-sālik yang benar-benar sempurna ketaatannya kepada syeikh akan mencapai kemanisan ma‘rifatullah dalam dhawqnya, walaupun hanya berada dalam satu majlis sahaja di awal pergaulannya dengan syeikh tersebut.

    r) Apabila seorang yang al-sālik menemui dan melihat beberapa kekurangan yang terdapat pada diri syeikh seperti banyak tidur di waktu mendekati subuh atau kurang wara‘nya dan sebagainya lagi maka sesungguhnya terkadang Allah S.W.T. sengaja menjadikan kekurangan tersebut pada diri seorang wali, iaitu ketika seorang wali itu berada dalam keadaan yang ghaflah. Bagaimanapun, selepas itu ia akan ingat dari kelalaiannya dan segera berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai dan mendapatkan apa yang sepatutnya ia capai. Hal ini ada diungkapkan oleh Ibn ‘Atāi’illah al- Iskandari dalam kata-kata hikmahnya yang antara lain menyebutkan:
    سبحان من ستر سر الخصوصية بظهور وصف البشرية وظهر بعظمة الربوبية في إظهار العبودية .

    Maksudnya:

    Maha suci Tuhan yang telah menutup rahsia khususiyyah dengan kelihatan sifat-sifat kemanusiaan. Dan Maha Suci Tuhan yang telah memperlihatkan (kepada hamba-hambaNya) dengan kebesaran ketuhanan dalam memperlihatkan (bekas-bekas) kehambaan manusia.

    Semua yang berlaku pada diri syeikh itu adalah dari kehendak dan ketentuan daripada Allah S.W.T. yang bertujuan untuk mendidik dan menunjuk ajar di samping mengasuh para al-sālikin. Dengan pengalaman tersebut, para al-sālikin akan dapat melihat dan menyaksikan kekurangan-kekurangan seperti yang berlaku kepada syeikhnya itu. Dengan demikian tentulah mereka akan dapat melepaskan diri dari kekurangan-kekurangan tersebut pada diri mereka. Kadang-kadang Allah S.W.T memberitahu seorang wali itu menerusi kekurangan-kekurangan yang berlaku pada dirinya, disebabkan kuatnya sifat benar (al-sidq) dalam maqām al-ridā terhadap qadā’ dan qadarnya, atau pun disebabkan oleh lemahnya sifat benar (al-sidq) tersebut. Dengan cara tersebut Allah S.W.T akan memberikan kefahaman kepada para waliNya tentang perubahan ahwāl sifat benar mereka atau sifat dusta mereka kepada Allah S.W.T., agar para awliyā’ itu dapat bersyukur kepadaNya ataupun meminta keampunan daripadaNya apabila mereka menyedari kesalahan tersebut. Oleh itu sebagai seorang yang al-sālik wajiblah ke atasnya menjaga kepercayaannya terhadap kewibawaan syeikhnya itu. Oleh sebab itu sering kita dengar dari kalangan ahli-ahli tasawwuf satu ungkapan tentang hal ini dengan kata mereka:
    زلات المقربين رفعة لمقامتهم واستدلوا على ذلك بالاكل من الشجرة

    Maksudnya:

    Kesilapan dan kegelinciran orang-orang ‘ārifin (kerana melakukan sesuatu kesalahan) itu adalah peningkatan maqam mereka. Hal ini disandarkan kepada peristiwa Adam memakan buah khuldi.

    Pandangan dan pendapat ini disandarkan kepada peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa dengan memakan buah larangan. Namun kesalahan tersebut telah diampunkan oleh Allah S.W.T dan disucikan keduanya dari segala dosa.

    s) Sebagai seorang yang al-sālik janganlah membanyakkan percakapannya ketika berada di hadapan syeikhnya itu, sekalipun ia dibenarkan berbuat demikian. Sebagai seorang yang al-sālik dia seharusnya mengetahui bilakah waktu yang sesuai untuk dia bercakap-cakap dengan syeikhnya. Oleh itu janganlah ia bercakap dengan syeikhnya kecuali setelah mendapat keizinan daripadanya. Dengan keizinan itupun mestilah dilakukan dengan penuh beradab sopan, khusyuk dan tawādu‘’ tanpa melebih-lebihkan percakapannya tetapi cukup hanya sekadar yang diperlukan sahaja. Jika tidak beradab sopan seperti yang telah dijelaskan di atas, maka seorang yang al-sālik itu diharamkan dari mendapat kurnia dengan terbuka hijāb hatinya. Apabila seorang yang al-sālik itu telah diharamkan dengan yang demikian itu maka ia tidak akan mendapat untuk kali keduanya kecuali hanya segelintir yang memperolehinya.

    t) Sebagai seorang yang al-sālik, janganlah ia meninggikan suaranya apabila berada di hadapan syeikhnya. Kerana dengan berbuat demikian, menurut anggapan ulama tasawwuf merupakan adab yang buruk. Tentu kita masih ingat satu peringatan daripada Allah S.W.T tentang hal ini seperti firmanNya:
    وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنكَرَ الاَْصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ .

    Maksudnya:

    Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

    u) Sebagai seorang yang al-sālik, janganlah duduk dengan cara yang tidak beradab sopan di hadapan syeikhnya dan tidak duduk di atas sajadah yang diduduki oleh syeikhnya itu. Seorang yang al-sālik hendaklah ketika bersama-sama dengan syeikhnya dalam keadaan merendah dan menghinakan dirinya dan sentiasa sibuk untuk berkhidmat dengan syeikhnya itu. Setengah dari kalangan ahli tasawwuf mengatakan berkhidmat dengan syeikh itu sebagai satu amal soleh yang paling afdal.

    v) Sebagai seorang yang al-sālik hendaklah bersegera melaksanakan segala apa yang diperintahkan oleh syeikh ke atas dirinya. Sesuatu perintah hendaklah dilaksanakan tanpa menunggu atau menangguh-nangguhkan atau mencuaikannya dengan berehat-rehat atau merasa tenteram sebelum menyelesaikan segala perintah dan arahan daripada syeikhnya.

    w) Sebagai seorang yang al-sālik ia hendaklah berusaha untuk menjauhkan segala perkara yang tidak disukai dan digemari oleh syeikhnya. Seorang al-sālik juga tidak boleh melakukan sesuatu yang merendah dan menjatuhkan akhlaknya yang terpuji.

    x) Sebagai seorang yang al-sālik, janganlah ia berdamping dengan orang yang tidak disukai oleh syeikhnya di samping mengasihi orang yang dikasihi oleh syeikhnya.

    y) Sebagai seorang yang al-sālik hendak sentiasa bersabar apabila tidak dihiraukan oleh syeikhnya. Perlu diingat seorang al-sālik tidak boleh berkata seumpama: Mengapakah syeikh melayan si polan itu begini, sedangkan aku tidak dilayan dengan sedemikian itu?

    z) Seorang yang al-sālik tidak boleh menyebarkan kata-kata syeikhnya kecuali setakat yang boleh difahami oleh orang ramai.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #18 18 November, 2009, 04:34:33 PM
  • Publish

  • 3.6.2.2 Adab-adab al-sālik ke atas dirinya.
    (Bahagian 1)

    Dari kedudukan seorang yang sālik di hadapan syeikhnya yang dilihat dari sudut adab-adab, jelas kepada kita bahawa seorang yang sālik itu sebenarnya memerlukan banyak perkara yang berkait rapat dengan bimbingan dan asuhan daripada seorang yang bergelar syeikh dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf.

    Kita juga dapat melihat bagaimana seorang al-sālik itu sebenarnya mempunyai banyak kekurangan dan kelemahan yang menyulitkan untuk dia sampai kepada Allah S.W.T dalam erti kata wusul ilā Allah S.W.T. Dengan membincangkan kedudukan seorang yang sālik dalam hal ini akan dapat memperjelaskan kepada kita tentang peranan yang perlu dimainkan oleh kedua-dua pihak (syeikh dan al-sālik) yang terlibat dalam perjalanan ini (al-sā’ir ilā Allah S.W.T.).

    Daripada huraian di atas, kita juga diperlihatkan bagaimana konsep al-rābitah itu muncul dalam beberapa situasi ketika seorang al-sālik melaksanakan adab-adab yang telah ditentukan ke atas dirinya terhadap syeikh. Untuk menjelaskan lagi kedudukan dan peranan al-rābitah dalam ilmu dan amalan tasawwuf kita tinjau pula adab-adab seorang yang sālik terhadap dirinya ketika menjalani al-suluk ini.

    a) Sebagai seorang yang al-sālik hendaklah sentiasa merasakan bahawa seluruh ingatan dan hatinya meyakini bahawa Allah S.W.T sentiasa melihat dan mengetahui semua keadaannya. Oleh itu, seorang yang al-sālik hendaklah sentiasa menumpukan usaha untuk zikrullah di dalam hati, baik semasa berjalan, duduk dan berbaring. Atau dalam ertikata yang lain, dalam seluruh kegiatan hidup kita hendaklah tertumpu kepada Allah S.W.T. Sebagai ikutan Nabi Muhammad s.a.w berzikir ketika Baginda s.a.w sedang tidur. Oleh itu tidak ada sesuatu keadaan pun yang boleh menghalang seorang yang al-sālik itu untuk berzikrullah. Dengan demikian, hati seorang yang al-sālik itu hanya dipenuhi dengan lafaz “Allah” yang dengannya mengatur segala gerak dan diam seorang yang al-sālik.

    b) Seorang yang al-sālik harus menjauhkan diri dari bersahabat dengan orang-orang yang jahat, sebaliknya hendaklah mencari teman dan rakan di kalangan orang-orang yang baik dan soleh. Dengan bersama-sama orang yang soleh itu akan membantu melembutkan hati seorang yang al-sālik. Kenyataan ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w:

    Kawan yang soleh itu seperti seorang yang mempunyai kasturi, boleh jadi ia akan memberikan kasturi itu kepada engkau,atau engkau membelinya daripadanya atau engkau mendapatkan bau wanginya.

    Hadis di atas membawa maksud adanya kesan yang bersifat rohaniah kepada seseorang yang menjadikan orang yang soleh sebagai sahabat, pembimbing dan pengasuh dalam kehidupan hariannya.

    c) Sebagai seorang yang al-sālik apabila mahu melakukan zikir hendaklah ia menutup pintu agar tidak dapat dilihat oleh anak dan isterinya. Apabila tempat berzikir itu sempit dan gelap, maka akan lebih memudahkan hatinya merasakan hudur dan menjauhkan dari lintasan-lintasan yang jahat, jika dibandingkan dengan tempat yang luas dan terang. Orang-orang lain selain daripada isteri dan anak-anak yang menentang ilmu dan amalan tasawwuf juga hendaklah dihalang dari melihat seorang yang al-sālik itu melakukan zikir. Larangan ini adalah disebabkan mungkin mereka yang menentang itu akan mengejek dan memperolok-olok seorang yang al-sālik menutup kepala ketika mereka berzikir. Mungkin juga dengan sebab diejek dan dipermainkan menyebabkan seorang yang al-sālik akan lemah semangat dan terus meninggalkan amalan ilmu tasawwuf ini.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14526
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #19 18 November, 2009, 04:35:48 PM
  • Publish

  • 3.6.2.2 Adab-adab al-sālik ke atas dirinya.
    (Bahagian 2)

    d) Sebagai seorang yang al-sālik hendaklah bersederhana dalam kehidupan harian. Memadailah dengan sekadar yang mencukupi untuk dia hidup sahaja. Imam al-Ghazāli berkata:
    جعل الله فضول المطعم والمشرب فى الدنيا سببا لقسوة القلب وابطأ الجوارح عن الطاعة والصمم عن السماع الموعظة .


    Maksudnya:

    Allah telah menjadikan berlebih-lebihan makan dan minum di dunia ini sebagai satu sebab timbulnya keras hati, melambatkan anggota tubuh badan untuk taat, tuli untuk mendengar nasihat-nasihat yang baik.

    e) Seorang yang al-sālik hendaklah berusaha menghindarkan diri dari sifat cintakan dunia di samping menumpukan perhatiannya kepada kehidupan akhirat. Justeru Allah S.W.T.menjelaskan kepada kita dengan firmanNya:

    بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا . وَالاْخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَى .

    Maksudnya:

    Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian),bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.

    Perasaan kasih dan cinta kepada Allah S.W.T. dan hari akhirat itu tidak akan masuk ke dalam hati orang yang cinta kepada dunia. Hal ini ada dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w seperti yang disabdakan dalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan al-Tabrāni dan al-Bayhaqi:

    حسب ابن آدم من الشرإلا من عصمه الله تعالى أن يشار إليه بالاصابع فى دينه أو دنياه .

    Maksudnya:

    Seorang itu sudah cukup dikira sebagai jahat bila ia jadi terkenal kerana agamanya atau dunianya kecuali orang yang dipelihara oleh Allah.

    f) Sebagai seorang al-sālik ia tidak boleh tidur dalam keadaan berhadas dan hendaklah ia suci dari hadas dan najis.

    g) Sebagai seorang al-sālik jangan sekali-kali mahukan apa yang ada di tangan orang lain. Tidak merasa hairan dengan kedudukan, kemewahan dan kekayaan mereka. Sebaliknya hendaklah menaruh segala keyakinan dan harapan hanya kepada Allah S.W.T.

    h) Seorang yang al-sālik apabila berhadapan dengan suasana masyarakat yang keras hatinya maka hendaklah ia bersabar dan jangan sekali-kali ia mengeluh. Seorang yang al-sālik yang menjalani kehidupan bertariqat secara umumnya akan mengalami perubahan keadaan kehidupan keduniaannya, sehingga mungkin akan mendorong seorang yang al-sālik supaya meninggalkan tariqatnya. Jika hal ini berlaku bererti ia telah membatalkan perjanjiannya sendiri dan ia tidak akan berjaya buat selama-lamanya. Oleh yang demikian perlu diingatkan kepada setiap al-sālik supaya menyedari bahawa dengan kesukaran dan kesusahan itu adalah sebab di mana Allah S.W.T. memelihara dan membuka mata hatinya (al-basirah).

    divider3
    halaqahforum4

     

    Related Topics

      Subject / Started by Replies Last post
    2 Replies
    27168 Views
    Last post 13 October, 2008, 05:37:42 PM
    by tasniem
    46 Replies
    16952 Views
    Last post 26 September, 2010, 01:04:06 PM
    by kumanzali
    6 Replies
    16937 Views
    Last post 18 December, 2012, 01:41:17 PM
    by 5zul