Login  |  Daftar

Author Topik: IAH(4): Hadith Ibn Abbas Mengenai Jamak Solat Tanpa Musafir  (Dibaca 2203 kali)

0 Halaqian dan 1 Tetamu sedang melihat topik ini.

alhaudhie

  • Administrator
  • *****
  • Posts: 13
    • View Profile
HADITH IBN ABBAS MENGENAI JAMAK SOLAT TANPA MUSAFIR

SOALAN:
Apakah dibolehkan untuk menjamak solat selain bermusafir dan bagaimana caranya berinteraksi dengan hadith Ibn Abbas R.Anhuma yang berkaitan dengan jamak tanpa bermusafir ini?

JAWAPAN:

بسم الله الرحمن الرحيم

Mukadimah
Persoalan mengenai hadith ini telah begitu lama ditanya dan pernah dibincangkan di dalam bab fiqh muqaran (fiqh perbandingan) dan juga fiqh hadith. Ianya amat menarik untuk ditekuni dan ditelaah agar dapat memberikan manfaat kepada kita semua. Kami kemukakan berkenaan syarahan dan tafsiran serta pendapat para muhaddith dan fuqaha’ mengenai isu ini.

Pertama:Sudut Pandang Hadith

Hadith yang ditanyakan itu adalah hadith sahih yang telah diriwayatkan oleh al-Imam Muslim Rahimahullah. Hadith ini telah disebut oleh para ulama’ berkenaan dengan maksudnya. Hadithnya ialah:

صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ. قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِهِ.

Maksudnya: Telah solat Rasulullah SAW zohor dan asar secara jama’ di Madinah dalam keadaan tiada ketakutan dan juga bermusafir. Telah berkata Abu Zubair: Aku telah bertanyakan Sa’id: Mengapa dilakukan sebegitu? Maka jawab Sa’id: Aku telah bertanyakan Ibn Abbas soalan seperti yang kamu tanyakan, maka jawab Ibn Abbas: Rasulullah SAW mengkehendaki untuk tidak menyusahkan umatnya.
Riwayat Muslim (705)

Dalam riwayat yang lain pula ada menyebutkan Rasulullah SAW menjamakkan antara zohor dan asar, maghrib dan isyak di Madinah bukan dalam keadaan takut dan juga hujan.

Al-Imam al-Bukhari Rahimahullah juga meriwayatkan sebuah hadith yang berkaitan dengannya dan ianya juga dari jalan Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِالْمَدِينَةِ سَبْعًا وَثَمَانِيًا: الظُّهْرَ وَالعَصْرَ وَالمَغْرِبَ وَالعِشَاءَ، فَقَالَ أَيُّوبُ: لَعَلَّهُ فِي لَيْلَةٍ مَطِيرَةٍ، قَالَ: عَسَى
Maksudnya: Rasulullah SAW telah solat di Madinah 7 rakaat dan 8 rakaat (iaitu) Zuhur dan Asar (8 rakaat), Maghrib dan Isyak (7 rakaat). Maka telah berkata Ayub al-Sakhtiani: Boleh jadi ia pada malam yang hujan dan berkemungkinan boleh jadi.Riwayat al-Bukhari (543)

Hadith ini kami katakan seperti berikut:
    Hadith yang dinukilkan di atas menjadi asal atau hujah kebolehan jamak bagi orang yang bermukim. Ianya di ambil dari zahir hadith dengan mengatakan boleh jamak tanpa hajat keperluan semata-mata tetapi dengan syarat ianya tidak dilakukan secara berterusan. Ini merupakan pendapat Ibn Sirin, Rabi’ah, Asyhab, Ibn al-Munzir, al-Qaffal al-Kabir dan dihikayatkan oleh al-Khattabi daripada jamaah daripada ashab al-Hadith. [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/219]

Mantuq lafaz zahir ini bahawa Nabi SAW, jamakkan solat tanpa sebarang keuzuran dan mafhumnya juga bahawa ketakutan, hujan dan musafir adalah jenis-jenis keuzuran dan dibenarkan untuk jamak.

    Tidak sah mengatakan pada sebab jamak selain apa yang telah dikatakan oleh perawi itu sendiri iaitu: “Rasulullah SAW tidak mahu untuk menyusahkan seorangpun dari kalangan umatnya” dan kaedah menyebut: أن الراوي أدرى بمَرْوِيّه (Seorang perawi itu lebih tahu akan apa yang diriwayatkannya). Maka tidak boleh bagi seseorang untuk mentakwil sesuatu hadith apa-apa yang bukan daripadanya.

Berkata al-Imam al-Nawawi Rahimahullah: Pandangan ini dikuatkan oleh zahir perkataan Ibn Abbas R.Anhuma yang menyatakan  Baginda SAW tidak mahu menyusahkan umatnya dan tidak di’illahkan dengan penyakit dan tidak pula selainnya. [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/219]

Di dalam riwayat al-Bukhari, berkata Ayub al-Sakhtiyani: Boleh jadi peristiwa ini berlaku pada malam yang hujan dan ianya berkemungkinan seperti itu. Berkata al-Hafiz Ibn Hajar: Andaian hujan juga merupakan pendapat al-Imam Malik sesudah beliau meriwayatkan hadith ini (di dalam al-Muwatta’)[1].

Al-Hafiz menyebut: Akan tetapi hadith ini diriwayatkan oleh Muslim dan ashab al-Sunan daripada jalur Habib bin Abi Thabit daripada Sa’id Ibn Jubair dengan lafaz: tanpa ada rasa takut dan juga hujan. Maka ternafilah jamak yang disebutkan itu dilakukan kerana ketakutan, musafir ataupun hujan. Sebahagian para ulama’ pula mengatakan boleh dijamakkan kerana sakit dan pendapat ini dikuatkan oleh al-Imam al-Nawawi namun ianya perlu kepada penelitian semuala. Ini kerana, sekiranya Baginda SAW menjamakkan di antara dua solat disebabkan oleh kesakitan, nescaya tidak akan solat bersama Baginda SAW melainkan mereka yang mempunyai keuzuran yang sama. Zahirnya, Nabi SAW menjamakkan solat bersama dengan sahabatnya dan perkara itu telah dijelaskan oleh Ibn Abbas R.Anhuma di dalam riwayatnya. [Lihat Fath al-Baari, 2/33]

Berkata al-Imam al-Nawawi: Di antara mereka, terdapat golongan yang mentakwil bahawa keadaan itu berlaku pada keadaan awan mendung, kemudian Baginda solat zohor dan selepas itu awan mendung hilang dan Baginda mendapati telah masuk waktu asar maka Baginda pun menunaikan solat asar. Kata al-Imam al-Nawawi, ini adalah pandangan yang batil kerana sekalipun terdapatnya serendah-rendah andaian pada waktu zohor dan asar, akan tetapi tidak ada andaian padanya waktu isyak dan juga waktu maghrib. [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/218]

    Sebahagian ulama’ hadith mengatakan bahawa ini adalah jamak al-suri[2] (seakan-akan jamak) ia adalah pendapat yang tertolak dengan ucapan perawinya sendiri iaitu: Baginda SAW tidak mahu menyusahkan seorangpun dari kalangan umatnya. Berkata al-Hafiz Ibn Hajar: Tidak sesuai untuk kita meletakkannya sebagai jamak suri. Ini kerana tujuannya tidak sunyi dari sebarang kepayahan.

Boleh dilakukan solat jamak sekiranya terdapat keuzuran yang membolehkannya. Sakit itu adalah satu keuzuran dan bila terdapat kepayahan maka dibolehkan untuk orang yang sakit menjamakkan solatnya. Ini merupakan pendapat al-Imam Ahmad bin Hanbal dan juga Ishak. [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/218]
    Dibolehkan jika terdapat keuzuran yang membolehkannya untuk melakukan jamak. Sakit itu adalah satu keuzuran dan apabila terdapat masyaqqah (kepayahan atau kesulitan) dibolehkan untuk orang yang sakit menjamakkan di antara dua solat.

Hujan, sejuk yang melaumpau, angin yang kencang dan jalan yang berbecak ini semua adalah keuzuran yang dibenarkan untuk menjamakkan solat. Ibn Mulaqqin Rahimahullah berkata: Ulama’ berbeza pendapat dalam mengatakan kebolehan untuk menjamakkan solat kerana hujan. Al-Imam al-Syafi’e dan jumhur membolehkannya pada solat-solat yang boleh dijamakkan padanya. Manakala al-Imam Malik hanya mengkhususkan pada waktu Maghrib dan Isyak sahaja. [Lihat al-I’lam bi Fawaid ‘Umdah al-Ahkam, 4/80]

Kedua: Fiqh al-Hadith

Berikut merupakan faedah-faedah yang boleh didapati melalui hadith ini:
    Jamak diizinkan pada perlaksanaan haji di Arafah dan Muzdalifah, Ianya telah disepakati oleh para fuqaha’.

    Jamak dibenarkan juga disebabkan oleh musafir. Iaitu dijamakkan antara zohor dan asar, dan di antara maghrib dan isyak. Sama ada taqdim ataupun ta’khir.

    Jamak juga dibolehkan ketika seseorang itu sakit. Ia merupakan pendapat di sisi al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan pendapat sebahagian pendapat ulama’ al-Syafi’ieyyah. Telah berkata al-Imam al-Nawawi: Ini merupakan pendapat yang kuat. Mereka berhujah dengan mengatakan jamak tidak dilakukan kecuali jika terdapat keuzuran dan sakit itu satu keuzuran dan diqiyaskan kepada musafir dengan segala kepayahan bahkan untuk setiap solat-solat ke atas mereka yang sakit itu lebih payah dari orang yang bermusafir kecuali al-Malikiyyah yang berpendapat bahawa jamak dibenarkan ke atas mereka yang sakit adalah jamak takdim sahaja.

    Jamak dibolehkan juga ketika hujan lebat dan cuaca sejuk. Ini merupakan pendapat jumhur fuqaha’ al-Syafi’ieyyah, al-Malikiyyah dan al-Hanabilah. Dan dibolehkan juga al-Hanabilah dan al-Malikiyyah untuk menjamakkan ketika berlakunya becak teruk namun sebahagian al-Syafi’eyyah menegahnya dan sebahagiannya membenarkan.
    Dibolehkan untuk menjamakkan solat ketika dalam keadaan ketakutan namun sebahagian besar al-Syafi’eyyah tidak membenarkannya kerana solat mempunyai itu waktu-waktu yang telah ditetapkan.

    Dibolehkan jamak sekiranya berlaku keuzuran. Al-Hanabilah di dalam hal ini memperluaskan lagi skop keuzuran itu dengan berpendapat apa sahaja keuzuran atau tugasan yang boleh menyebabkan ditinggalkannya solat Jumaat dan solat berjama’ah seperti takut akan keselamatan diri, maruah dan harta. Asyhab daripada kalangan al-Malikiyyah, Ibn al-Munzir daripada kalangan al-Syafi’eyyah, Ibn Sirin dan Ibn Syubrumah berpendapat bahawa dibolehkan jamak jika diperlukan selagi mana tidak dijadikan adat kebiasaan.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Berdasarkan pengamatan kami, hadith ini adalah sahih dan ianya didatangkan juga dengan riwayat-riwayatnya yang lain kecuali hadith ini ditafsirkan dengan melakukannya hanya sekali atau beberapa kali sahaja dan bukannya pengamalan dan bukannya dilakukan secara adat kebiasaan. Ini kerana Abu Zubair dan Said bin Jubair juga merasa terkejut apabila mengetahui bahawa Nabi SAW menjamakkan solat ketika sedang bermukim (berada di Madinah) dan bukannya ketika bermusafir dan juga dalam keadaan ketakutan.
Keduanya, perbuatan ataupun amalan biasa solat Rasulullah SAW ketika bermukim adalah melihat kepada amalan ghalib (kebiasaannya) iaitu Rasulullah SAW akan solat pada waktunya yang telah ditetapkan. Hadith ini ingin menunjukkan kepada kita keluasan Islam itu sendiri yang mana pada keadaan-keadaan tertentu boleh dijamakkan di antara dua solat. Ini difahami melalui hadith ini bahawa musafir, keadaan takut, hujan, sakit ataupun dalam keadaan yang terdesak boleh dijamakkan solat.

Al-Imam al-Tirmizi Rahimahullah pada akhir kitabnya berkata: Tiadalah dalam kitabku ini, mana-mana hadith di mana umah sepakat dan berijmak untuk menninggalkan beramal dengannya melainkan hadith Ibn Abbas berkenaan solat jamak di madinah tanpa rasa takut dan juga hujan.

Pada akhirnya, kami nyatakan bahawa al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebut satu pandangan iaitu hadis ini:

    Ditanggung dengan andaian berkenaan dengan solat jamak nabi SAW kerana sebab uzur sakit dan ianya juga perkara-perkara yang membawa makna keuzuran yang lain. Ini adalah pendapat al-Imam Ahmad, al-Qadhi Husain dan ianya juga adalah pendapat pilihan al-Khattabi, al-Mutawalli, al-Ruyaani dan inilah pendapat yang terpilih kerana zahir hadith dan perbuatan Ibn Abbas dan muwafaqah dengan Abu Hurairah RA kerana terdapat padanya masyaqqah (kepayahan). [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/218]

Semoga dengan pencerahan ini, maka dapat kita fahami bahawa isu ini adalah isu khilafiyah yang mana ruang untuk berijtihad padanya terbuka. Kesemua takwilan terhadap hadith ini mempunyai pondokongnya yang tersendiri yang mana terdiri daripada kibar ulama’ Islam. Saya juga berdoa agar kita diberikan kefahaman dalam beramal dengan sunnah Nabi SAW seterusnya dapat mengamal dan menyebarkannya. Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
[1] Al-Muwatto’, Kitab Qasr al-Solah fi al-Safar, No. Hadith: 480.
[2] Istilah ini bagi menggambarkan keadaan solat itu seakan-akan jamak namun pada hakikatnya tidak. Sebagai contoh, dilewatkan menunaikan sembahyang Zohor dan diawalkan pula solat Asar yang mana seakan-akan dilakukan solat jamak padanya.