Forum > Munakahat

Munakahat : Rujuk

<< < (2/7) > >>

Ummi Munaliza:


Kekeliruan Dalam Hal Ruju' CeraiOleh Zaharuddin Abd Rahman, http://www.zaharuddin.net/
Apabila saya mendedahkan beberapa panduan dan kesilapan kerap dalam bab penceraian di Malaysia khususnya, di ruangan komentar ramai yang bertanya pelbagai soalan berkaitan, bagi menjawab soalan-soalan berikut, saya sediakan artikel ringkas ini.

Ruju'.
Ada wanita yang berkata, "suami saya ingin ruju', tetapi saya masih memikirkan samada untuk terima atau tidak"

Ketahuilah, bahawa ruju' tidak memerlukan sebarang persetujuan wanita. Ia adalah ijma' ulama seluruhnya. Ruju' ini ibarat menjatuhkan talak yang hanya tertakluk kepada suami.

Bolehkah apabila seorang suami menjatuhkan talaq satu kepada isteri, maka si isteri berkata :

"abang, nanti saya fikir dulu sama ada nak terima atau tidak Talaq abang tu"

Tiada sebarang peruntukan oleh Allah swt dan RasulNya untuk wanita dalam hal tersebut. Samalah keadaannya dalam hal suami ingin ruju' kembali. Imam Ibn Qudamah berkata :

والمراجعة أن يقول لرجلين من المسلمين : اشهدا أني قد راجعت امرأتي . بلا ولي يحضره , ولا صداق يزيده . ..وجملته أن الرجعة لا تفتقر إلى ولي , ولا صداق , ولا رضى المرأة , ولا علمها . بإجماع أهل العلم ;
Ertinya : Ruju' adalah dengan cara seorang lelaki melafazkan (contohnya) : "Aku dengan ini ruju' kembali dengan isteriku"

Tanpa diperlukan kehadiran wali, sebarang mahar tambahan, dan secara umumnya, sesungguhnya ruju' tidak memerlukan wali, mahar dan juga redha si isteri dan tidak juga disyaratkan mesti  pemakluman kepada isteri, ia adalah dengan ijma' seluruh ahli ilmu." ( Al-Mughni, 7/405 ; Badai'e as-Sonaie', Al-Kasani)

Namun, khabarnya Malaysia (mungkin Ijtihad Malaysia) mengambil pendekatan yang sedikit berbeza apabila mereka  mengambil fatwa yang berbeza dengan ijma yang disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah tadi, ini adalah kerana berdasarkan Seksyen 51 (8) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, terdapat beberapa perkara yang perlu dipenuhi oleh pasangan yang ingin meruju'.

Pertamanya : suami hendaklah melafazkan niat untuk meruju' bekas isterinya.

Kedua : bekas isteri perlu memberikan persetujuannya ke atas ruju' tersebut.

Setelah itu, suami dikehendaki menghantar permohonan ke mahkamah syariah untuk mendaftarkan ruju'.

Setelah itu, mahkamah akan mengeluarkan perintah supaya pasangan yang telah bercerai tadi hidup semula sebagai suami isteri. Setelah proses ruju' itu lengkap barulah suami boleh kembali kepada bekas isterinya.

Namun apapun, pihak pemerintah Malaysia kelihatan membuat keputusan dan ijtihad sendiri apabila MEWAJIBKAN REDHA ISTERI. Anjuran mazhab Syafie hanyalah menggalakkan sahaja dan tidak wajib: -

والجديد أنه لا يشترط  لصحة الرجعة ( الإشهاد ) عليها بناء على الأصح أنها في حكم الاستدامة, ثم لم يحتج لولي ولا لرضاها بل يندب
Ertinya : Pandangan mazhab baru Syafie, tidak disyaratkan wujud saksi untuk sahnya ruju', kemudian, (ruju') juga tidak memerlukan kepada (persetujuan) wali dan juga persetujuan wanita (isteri), cuma ia digalakkan sahaja. ( Nihayatul Muhtaj, 1/59 )

BOLEHKAH RUJU' TANPA MELAFAZ?

Tidak terdapat khilaf bahawa rujuk yang dibuat secara berlafaz yang terang oleh suami di hadapan saksi adalah sah. Demikian juga secara bertulis.

Namun ada yang bertanya kepad asaya sama ada ada cara lain, bagaimana jika berlakunya persetubuhan dalam masa iddah tersebut sebelum lafaz.?

Ulama mazhab berbeza fatwa dalam hal ini seperti berikut :-

Hanafi  : Sah ruju' sama ada dengan persetubuhan atau permulaan persetubuhan seperti sentuhan bersyahwat, ciuman, melihat kemaluan isteri dan lain-lain. Pandangan ini turut disebut oleh ramai ulama tabien seperti Sa'ad Ibn Musayyab, Hasan Al-Basri, Ibn Sirin, Ato' Abi Rabah, Al-Awzai'e, Sufyan At-Thawry, As-Sya'biy dan lain-lain.

Maliki : Sah ruju' dengan persetubuhan dengan syarat si suami ada niat ruju' semasa persetubuhan itu berlaku. Namun ciuman, sentuhan dan lain-lain dengan syahwat sahaja tidak cukup untuk dianggap ruju'.

Syafie :  Mazhab Syafie menolak ruju' melalui perlakuan tanpa lafaz secara total, sama ada persetubuhan, mahupun permulaannya sebagaimana pandangan Hanafi tadi. Mazhab Syafie berfatwa sebarang persetubuhan pada waktu ‘iddah tanpa lafaz ruju' yang jelas terlebih dahulu adalah haram.

Imam As-Syafie berkata :-

والرد يكون بالكلام دون الفعل من جماع وغيره ; لأنه رد بلا كلام، فلا تثبت رجعة لرجل على امرأته حتى يتكلم بالرجعة، كما لا يكون نكاح ولا طلاق حتى يتكلم بهما، فإذا تكلم بها في العدة ثبتت له الرجعة  
Ertinya : Ruju mestilah dengan percakapan ( lafaz) dan bukannya dengan jima' dan lainnya, kerana tiada ruju' tanpa lafaz, maka tidak sah ruju' bagi seorang lelaki kepada wanita sehinggalah dia melafazkannya, sebagaimana tiada nikah dan talaq yang dibuat tanpa lafaz, maka jika si lelaki melafazkannya (ruju') semasa iddah barulah sah ruju'nya" (Al-Umm)

Hanbali : Sah ruju' dengan persetubuhan namun tidak sah ruju' hanya dengan permulaan persetubuhan. Samada ia dilakukan dengan niat ruju' atau tidak.

Kesimpulan : Apapun pendapat pelbagai mazhab, sebagaimana yang telah saya dedahkan di atas, Malaysia mengambil mazhab Syafie yang mensyaratkan suami MESTI melafazkan ruju' terlebih dahulu secara rasmi. Ia wajar dituruti.

AURAT ISTERI DEPAN SUAMI SEMASA IDDAH

Benar, wajib secara sepakat seluruh ulama si isteri untuk tidak keluar dari rumah suami semasa iddah dalam penceraian raj'ie (normal boleh ruju') kali pertama dan kedua.

Si suami juga haram untuk menghalau isteri keluar dalam tempoh itu, malah suami masih wajib berikan belanja zahir kepada isteri di waktu ‘iddah. ( Tafsir Al-Jassas, 5/348 : Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 18/154 )

Namun, timbul persoalan jika isteri duduk di rumah suaminya, bagaimana dengan hal auratnya????

Jawapannya mudah, menurut mazhab Syafie, isteri wajib menutup auratnya di dalam rumah itu.

Namun menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali; tiada aurat yang perlu ditutup di depan suaminya sepanjang tempoh iddah, kerana mereka masih dikira isteri dan akan automatik ruju' dengan persetubuhan.

RUJU' DALAM KES TEBUS TALAQ

Adapun tebus talaq ataupun khulu', penceraian itu yang dilakukan atas dasar ini tidak mempunyai peruntukan ruju', sama ada ia dianggap sebagai Fasakh atau Talaq (berdasarkan perbezaan ijtihad ulama).

Namun majoriti ulama silam dan kontemporoari menyebutkan tiada rujuk bagi kes tebus talaq.  Malah Imam As-Syawkani menyebut telah terdapat Ijma' (perspekatan penuh) seluruh ulama bahawa tidak ruju' bagi kes tebus talaq. Ini adalah kerana Talaq itu jatuh dalam kategori Talaq Bain dan bukan Talaq Raj'ie (yang boleh diruju'). (Nailul Awtar ; Mawsu'ah Al-Kuwaitiyah)

Cuma bezanya kali ini, wanita ada hak untuk terima jika si bekas suami tadi ingin ruju' juga dalam kes tebus talaq. Ertinya, peruntukan asalnya suami tidak boleh ruju' seperti kes talaq biasa, namun dalam kes tebus talaq, lelaki hilang haknya untuk ruju' tanpa redha isteri. (Kasyyaf Al-Qina', Al-Bahuti)

PERLUKAH RUJU' KEPADA SAKSI?

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, Imam Syafie dalam satu fatwanya menyatakan penyaksian dalam bab ruju' adalah wajib. Berdasarkan dalil firman Allah s.w.t :

فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ
Ertinya : Apabila mereka telah mendekati akhir idahnya, maka rujukilah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik.. ( At-Talaq : 2 )

Namun pendapat Abu Bakar r.a, Imam Malik dan Abu Hanifah, saksi tidak wajib kerana ia langsung tidak memerlukan persetujuan dari pihak lain. Justeru, saksi hanyalah digalakkan sahaja namun ia tidaklah wajib.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, rakyat Malaysia perlu menuruti undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di Malaysia, iaitu setiap rujuk mesti ada saksi dan dibuat secara rasmi.

Ia baik bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan fitnah serta mengambil jalan yang lebih cermat. Justeru, sebarang penyaksian ruju' boleh dilakukan di mahkamah Shariah.

Pandangan ini juga bertepatan dengan mazhab Syafie yang menyebut :-

مذهبنا أن الإشهاد على عقد البيع والإجارة وسائر العقود غير النكاح والرجعة مستحب , وليس بواجب
Ertinya : Mahzab kami, sesungguhnya saksi dalam aqad jual beli, ijarah dan seluruh aqad selain aqad nikah dan ruju' adalah digalakkan sahaja, tidak wajib. ( Al-Majmu', An-Nawawi, 1/170)

Mazhab Syafie berfatwa, digalakkan wajib saksi dalam hal aqad nikah dan sunat dalam hal ruju'.

Ummi Munaliza:

Hak Muslim-Kuasa RujukOct 30th, 2009 | By webmaster | Category: Soal Jawab Hak Muslim
Pada sebulan yang lalu saya telah bercerai dengan isteri dengan talak satu untuk kali pertama. Isteri saya tidak rela dengan perpisahan yang berlaku dan menyuruh saya untuk merujuknya semula. Isteri saya juga telah melafazkan rujuk ke atas saya yang berbunyi “saya rujuk  semula dengan awak.” Saya hanya mengangguk tanda setuju walaupun hati saya sebenarnya masih berbelah bahagi. Saya jadi keliru adakah sah rujuk yang dibuat isteri saya tersebut atau adakah sah rujuk yang saya buat walaupun dalam keadaan dipaksa.

 Mamat –Bandar Tasik Permaisuri

 
Jawapan.


Rujuk merupakan penerusan kepada perkahwinan sedia ada yang dibuat oleh suami menggunakan lafaz tertentu tanpa perlu kepada akad dan mas kahwin yang baru. Di dalam Islam Allah telah meletakkan hak RUJUK di tangan suami apabila berlaku perceraian talak rajie selagimana si isteri masih dalam eddah. Allah Taala telah berfirman di dalam surah Al-baqarah Ayat 228 yang bermaksud:-
“Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk) isteri-isteri itu dalam masa edah mereka jika (suami-suami) bertujuan hendak berdamai”.

Saidina Umar R.A meriwayatkan :“Rasulullah s.a.w menceraikan Hafsah R.A., kemudian Baginda kembali rujuk kepadanya”.

Menurut jumhur ulama, terdapat 3 rukun utama rujuk iaitu suami, isteri dan sighah (lafaz).

Rukun pertama, suami hendaklah seorang yang baligh (cukup umur) . Tidak sah rujuk bagi suami yang belum baligh. Suami hendaklah seorang berakal dan tidak sah rujuk sekiranya suami dalam keadaan gila. Suami merujuk isteri hendaklah dengan sukarela. Tidak sah rujuk jika suami dipaksa dan ketika rujuk suami hendaklah kekal dalam Islam.

Rukun kedua, isteri hendaklah disetubuhi sebelum berlaku perceraian. Tidak boleh merujuk isteri yang diceraikan sebelum disetubuhi kerana isteri seperti itu tidak mempunyai idah. Isteri yang dirujuk itu mesti ditentukan secara khusus.

Jika suami menceraikan beberapa isterinya kemudian ia rujuk salah seorang daripada mereka dengan tidak ditentukan siapa yang dirujuknya, maka rujuknya tidak sah. Isteri diceraikan dengan talak rajie. Jika ditalak dengan talak bain, maka tidak sah rujuk. Rujuk juga hanya boleh berlaku ketika isteri dalam tempoh eddah.

Tidak sah rujuk selepas terbukti tamatnya idah isteri atau isteri berkenaan murtad ketika dirujuk.Rukun ketiga, sighah (lafaz) hendaklah menggunakan perkataan yang menunjukkan dituju kepada isteri seperti ‘engkau’ atau ‘nama isteri itu’ atau dengan isyarat tunjuk kepada isteri. Sighah itu pula tidak boleh digantungkan (ditaklikkan) dengan sesuatu. Contohnya suami berkata: “saya rujuk awak jika awak suka.” Atau: “saya kembali kepada awak jika  awak berhenti kerja.” Kewujudan saksi hanya disunatkan.

Walaubagaimanapun, Isteri yang telah diceraikan tidak boleh merujuk suami yang menceraikannya walaupun isteri itu masih suka kepada suaminya.

Rujuk yang dilafazkan oleh suami dengan memenuhi semua rukun dan syaratnya nya adalah sah walaupun rujuk yang dibuat itu dalam keadaan bergurau. Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa tiga perkara yang tidak boleh dibuat main-main termasuklah nikah, cerai dan rujuk. Apabila dilafazkan dengan jelas, maka ia akan menjadi sah.

Seksyen 51(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (AUKI)memperuntukkan bahawa si suami hanya boleh rujuk sekiranya berlaku talaq Rajie dengan satu atau dua talak yang tidak diikuti dengan habis tamat idah. Oleh itu si suami tiadk boleh rujuk jika sekiranya tempoh eddah bagi talak-talak rajie tersebut tamat.,

Seksyen 51(9) AUKI jika sekiranya suami melafazkan rujuk tapi isteri tidak bersetuju dengan sebab dan alasan yang dibenarkan hukum syarak, seperti si suami menderanya dan jika kembali boleh membahayakan diri isteri, maka mahkamah boleh memerintahkan satu jawatankuasa dilantik. Jawatankuasa ini akan diberi masa enam bulan untuk menilai sama ada wajar mereka kembali sebagai suami isteri atau sebaliknya.Seorang suami dilarang merujuk dengan maksud jahat seperti bertujuan untuk menyakiti atau menganiaya isteri yang hendak dirujuk.
 
Ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 231 yang bermaksud : “Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka. Dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum itu sebagai ejek-ejekan dan permainan”.

Dari segi hukum rujuk juga, wajar diperhatikan bahawa hukum asal bagi rujuk adalah harus tanpa dikaitkan dengan perkara lain. Adalah Makruh hukumnya bagi rujuk jika perceraian itu adalah lebih baik kepada kedua-dua pasangan suami dan isteri. Sunat rujuk sekiranya suami bertujuan memperbaiki rumah tangga dan masih menyayangi dan ingin memperbaiki keadaan isterinya.

Manakala hukumnya adalah haram jika suami rujuk dengan tujuan membalas dendam atau menzalimi isteri yang ingin dirujuknya itu.

Merujuk kepada kes saudara, saudara mempunyai hak untuk merujuk isteri saudara tapi hendaklah dengan tujuan yang baik. Kuasa rujuk di tangan saudara sebagai suami tidak kira atas kemahuaan isteri mahupun kemahuan saudara walaupun isteri tidak bersetuju dengannya. Bagaimanapun, rujuk yang dibuat oleh isteri adalah tidak sah. Rujuk juga perlu dilafazkan oleh suami menggunakan lafaz yang jelas menunjukkan berlakunya rujuk.

 

Jawapan ini disediakan oleh Cik Yusmawati Binti Ab.llah, Exco Penerbitan PGSM.http://peguamsyarie.org/?p=1241

Ummi Munaliza:
Rujuk tanpa saksi tetap sah


BERDASARKAN Undang-Undang Keluarga Islam, setiap pernikahan dan perceraian perlu didaftarkan dan dilaporkan kepada pendaftar kariah masjid atau mahkamah syariah.


Adalah menjadi satu kesalahan apabila tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa agama. Rujuk tetap sah tanpa saksi dan tanpa pengetahuan isteri sekalipun.

Ini sekiranya isteri masih dalam talak raj'i iaitu perceraian talak satu atau dua yang masih dalam idah.

Bagaimanapun, lebih baik isteri diberitahu dengan kata-kata rujuk.

Ini kerana ketika talak raj'i, suami isteri masih dalam ikatan perkahwinan sebelum tamat idah. Suami tidak ditegah untuk bermesra dengan isteri sehingga kepada persetubuhan sekali pun.

Menurut Sayyid Sabiq, rujuk sah dengan tiga cara iaitu melalui kata-kata, perbuatan seperti persetubuhan ketika dalam idah dan dorongan seksual seperti ciuman.

Bagaimanapun, Imam Syafie mensyaratkan dengan kata-kata sahaja iaitu 'aku rujuk engkau'.

Ini kerana bagi Imam Syafie, talak memutuskan pernikahan (Sabiq, II: 178).

Semuanya perlu dilaporkan kepada pendaftar kariah masjid di tempat pasangan bermastautin. Jika isteri bersetuju dengan rujuk berkenaan, mereka dibenarkan hidup sebagai suami isteri apabila suami memohon kepada mahkamah.

Bagaimanapun, jika isteri tidak bersetuju, dia tidak boleh dipaksa untuk hidup bersama.

Mahkamah hendaklah melantik jawatankuasa pendamai untuk menyelesaikannya.

Ummu Fatimah:
Lengkap sudah penerangan Ummi.

Peliknya, sekarang ini banyak kes isteri yang menuntut cerai kemudian menghalau suami (sedangkan suami tiada niat mencerai) ... Belum lagi melibatkan campur tangan keluarga yang 'menyampah' tengok menantu..

Macamna ya..

Ummi Munaliza:

--- Quote from: Ummu Fatimah on 30 January, 2011, 09:59:27 AM ---Belum lagi melibatkan campur tangan keluarga yang 'menyampah' tengok menantu..

Macamana ya..

--- End quote ---

Keluarga perempuan yang menyampah tengok menantu lelaki? Kenapa ini terjadi? Banyak perkara perlu dikaji dan diberikan perhatian. Sebagai orang luar (kita lah) tidak boleh menilai dan menjatuhkan apa-apa hukuman.

Akhir zaman,  macam-macam kes ada, suami berhasrat untuk menceraikan isteri,isteri tak setuju, ada mentua masih sayang menantu juga tak setuju perceraian berlaku. Semua yang berlaku tentu ada sebab musabab yang mana orang luar seperti kita tidak tahu. Jadi hanya orang yang arif bab hukum sahaja boleh menentukan keadaan mereka.

Jangan emosi  menguasai diri hingga merosakkan hati,jiwa dan perasaan mereka yang berumahtangga. Sabar adalah ibu keimanan.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 214:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

Navigation

[0] Message Index

[#] Next page

[*] Previous page

Go to full version