Login  |  Daftar

Author Topik: IAF(22): Hak Minum Di Sisi Islam  (Dibaca 2189 kali)

0 Halaqian dan 1 Tetamu sedang melihat topik ini.

Halaqah

  • Global Moderator
  • *****
  • Posts: 84
    • View Profile
HAK MINUM DI SISI ISLAM

Soalan
:
Apakah hukum hak minum di sisi Islam? Bolehkan saya minum air yang saya jumpai dalam bekas? Apa pula hukum minum dan mandi air sungai?

Jawapan
:
Islam adalah agama yang syumul yang membincangkan semua aspek kehidupan daripada perkara sekecil-kecilnya sampailah kepada yang sebesar-besarnya. Para Sahabat pernah menyatakan bahawa Rasulullah SAW mengajar kami sehingga perihal qadha’ hajat. Ini menunjukkan lengkap dan syumulnya Islam.

Guru kami, Fadhilat al-Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh berkata: Hukum hak minum dan hak siram adalah satu, dengan beberapa perbezaan kecil:

Maksud Hak Minum: Hak minum air ialah hak memanfaatkan air untuk diminum oleh manusia, keperluan memasak, membasuh, keperluan rumah juga hak ini termasuk untuk minuman binatang ternakan.

Hukum Hak Minum
Hukum hak minum mengikut jenis air. Jenis air ada empat:

  Air Laut
Setiap manusia mempunyai hak minum dan hak siram. Ia boleh digunakan dalam apa bentuk sekalipun kerana ia tidak di miliki oleh sesiapa. Hak menggunakan air laut sama seperti hak menggunakan atau memanfaatkan cahaya matahari, bulan dan udara.
Air Sungai Besar
Bagi sungai-sungai besar seperti Sungai Nil, Furat dan lain-lain lagi, manusia mempunyai hak minum dan hak siram. Ini kerana ia merupakan benda yang diharuskan bagi setiap manusia menggunakan untuk minum dan siram selagi hak itu digunakan tidak sampai ke tahap yang membahayakan orang ramai, kerana mengikut kaedahnya mengelakkan bahaya adalah salah satu perkara wajib. Meskipun memanfaatkan sesuatu itu diharuskan, namun pengharusan itu bergantung kepada ketiadaan mendatangkan bahaya kepada orang lain, seperti merosak, mencemar dan meruntuhkan tebing sungai, sehingga boleh menimbulkan malapetaka ke atas kehidupan manusia dan tanaman.

Air Parit atau Anak Sungai Milik Khas
Bagi parit atau anak sungai yang dimiliki oleh sesuatu penduduk kampung atau segelintir orang di sesebuah kawasan, setiap penduduk mempunyai hak minum (bukan siram) kerana ia merupakan keperluan asasi. Di samping itu, mengikut prinsipnya, air adalah benda milik bersama, sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis:

 الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِي ثَلاَثٍ فِي الْمَاءِ وَالْكَلإِ وَالنَّارِ وَثَمَنُهُ حَرَامٌ

Maksudnya: Manusia berkongsi pada tiga perkara iaitu air, rumput dan api.
Riwayat Ibn Majah dan (2472) Abu Daud (3477)

Mendapat dan memindahkan air ke sesuatu tempat adalah perkara yang dibolehkan oleh syarak dan manusia tidak boleh lari daripada keperluan air. Oleh itu jika dilarang mereka mendapatkan air mereka akan menghadapi kesulitan hidup. Tetapi jika anak sungai atau parit kepunyaan orang ramai itu terletak di tanah kepunyaan seseorang, maka dalam hal ini pemilik tanah boleh menegah orang lain mengambil airnya tanpa izinnya, sekiranya berhampiran anak sungai itu ada sumber-sumber air lain yang boleh didapati oleh orang ramai.

Jika tidak ada sumber air lain berdekatan kawasan itu dan pemilik tanah melarang orang lain menggunakan air sungai yang ada di atas tanah, orang ramai dibenarkan mengambil air sekadar yang diperlukan biar sekalipun terpaksa menggunakan kekerasan. Pendapat ini diasaskan kepada kenyataan Umar: “Mengapa kamu tidak gunakan kekerasan senjata?”

Ini kerana air, sama ada perigi atau sungai, tidak boleh lari dari prinsip perkara yang diharuskan dan bermilik.

Pendapat yang terkuat menyatakan bahawa orang ramai berhak memanfaatkan untuk keperluan hidup harian, seperti minum, membasuh, wuduk dan lain-lain kerana mencegah orang ramai daripada memanfaatkan bererti satu penghinaan dan tidak berperi kemanusiaan. Sehubungan ini, Nabi SAW bersabda:

إنَّ اللهَ جميلٌ يُحِبُّ الجَمالَ ويُحِبُّ معاليَ الأمورِ ويكرَهُ سَفْسافَها
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah indah dan sukakan keindahan, kasihkan perkara-perkara yang terpuji dan benci kepada perkara yang keji.”
Riwayat al-Tabarani (2472)
Pendapat lainPendapat lain yang terkuat tentang air parit atau anak sungai menyatakan bahawa pemiliknya berhak menahan atau menegah orang lain daripada menggunakan untuk tujuan penyiraman pohon atau tanaman di rumahnya kecuali mendapat keizinan pemilik.
Begitu juga dengan hak minum, jika penggunaannya melebihi had, seperti sejumlah air yang digunakan memberi minum binatang lebih besar dari jumlah air dalam parit, kebanyakan fuqaha termasuk ulama Hanafi berpendapat pemilik berhak menahan, kerana jika tidak ia boleh mendatangkan bahaya.

Air dalam Bekas atau Tempat Air
Air yang sudah disimpan dalam sesuatu bekas, seperti tong atau baldi adalah kepunyaan orang menyimpan. Orang lain tidak mempunyai sebarang hak, minum atau siram, kecuali mendapat keizinan dari pemilik.
Walaupun begitu, jika keadaan memaksa misalnya jika tidak minum boleh membawa maut, sedangkan sumber air yang lain tidak ada, maka ketika itu air dalam simpanan seseorang boleh diambil dengan apa cara sekalipun, sebagaimana telah diterangkan dalam perkara hal siram.

Semoga kita semua memahami akan hak untuk hidup termasuk dalam bab minum ini.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan