Berkaitan Zakat Fitrah - Page 1

*

Author Topic: Berkaitan Zakat Fitrah  (Read 5725 times)

0 Halaqian and 1 Guest are viewing this topic.

31 August, 2009, 06:40:33 PM
  • Publish


  • ZAKAT FITRAH ORANG BERADA DI LUAR NEGARA

    Soalan;
    Ustaz,
    Persoalan saya adalah : Skrg saya sekeluarga berada di Perth Australia, semenjak 23hb Feb 2008 dan insya Allah akan berada disini selama 3-4 tahun sehingga isteri saya menamatkan pengajian.
    Berkenaan dengan pembayaran Zakat Fitrah ini, bolehkah saya membayar melalui internet ( ie Pusat Zakat, MBB2u etc ) dan berapakah kadar yg sepatutnya saya bayar? Adakah bergantung kepada kadar yg ditetapkan oleh Islamic Organization / Center di Perth ini atau boleh dibayar kadar seperti di Malaysia atau mungkin kena dikira secara 'pro-rata'kan bergantung kepada jumlah hari/bulan saya menetap di Malaysia dan di Perth ini?
    Bagaimanakah situasinya dan kadarnya sekiranya saya bercadang utk berada & beraya di Malaysia (dan pada ketika itu saya belum lagi menbayar Zakat Fitrah).
    Harap Ustaz tidak keberatan utk memperjelaskan dan terima-kasih. Wassalam.

    Jawapan;

    Zakat fitrah adalah zakat diri. Oleh ia hendaklah dikeluarkan di tempat di mana diri kita akan berada semasa terbenam matahari hari terakhir Ramadhan (yakni bermula malam pertama Syawal) iaitulah waktu sebenar bagi kewajipan mengeluarkan zakat fitrah menurut mazhab Syafi’ie, Ahmad dan beberapa ulamak yang lain.[1] Jadi, jika saudara bercadang untuk berhari raya di Malaysia di mana sebelum atau semasa terbenam matahari itu saudara jangka akan berada di Malaysia, maka hendaklah saudara membayar zakat fitrah di Malaysia. Dan jika saudara akan beraya di Australia, hendaklah saudara membayar zakat fitrah di sana. Dikecualikan jika saudara mendapati ada ahli keluarga yang miskin di Malaysia atau ada orang yang lebih berhajat di Malaysia yang lebih memerlukan zakat saudara, maka ketika itu haruslah saudara memindahkan zakat ke Malaysia sekalipun saudara berada di Australia. Begitu juga, harus saudara memindahkan zakat dari Malaysia ke tempat lain jika ada orang yang lebih berhajat di tempat itu walaupun saudara berada di Malaysia. Kadar zakat pula hendaklah mengikut ketetapan pihak berkuasa agama di tempat saudara mengeluarkan zakat.

    Mengenai hukum membayar zakat secara online (internet banking) telah saya jelaskan sebelum ini. Sila baca di; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/07/zakat-secara-online-internet-banking.html).

    Wallahu a’lam.

    Rujukan;

    1. Fatawa Mu’asharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, 1/135.
    2. az-Zakah, Syeikh Abdullah ‘Ali al-Abhar, hlm. 72.
    3. Fiqh az-Zakah, Syeikh Abdur-Razzaq Nasir Muhammad, hlm 212.

    Nota Kaki;

    [1] Walaupun waktu wajib adalah di penghujung Ramadhan (iaitu apabila terbenam matahari di hari terakhir Ramadhan), namun zakat fitrah harus dibayar lebih awal dari masa tersebut. Ketetapan waktu bagi mengeluarkan zakat fitrah mengikut menurut mazhab Syafi’ie adalah seperti berikut;
    1. Waktu wajib : iaitu dengan terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan.
    2. Waktu harus : iaitu sebaik sahaja masuknya bulan Ramadhan dan berterusan hingga ke hari raya (sebelum terbenamnya matahari). Jadi, sepanjang bulan Ramadhan –menurut mazhab Syafi’ie- adalah waktu yang diharuskan untuk kita membayar zakat fitrah.
    3. Waktu sunat ; iaitu pada pagi hari raya sesudah sembahyang subuh dan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya atau sebelum solat hari raya didirikan.
    4. Waktu makruh; iaitu mengeluarkan zakat fitrah sesudah solat aidil-fitri tetapi sebelum terbenam matahari pada hari raya.
    5. Waktu haram; iaitu melambatkan pembayaran zakat fitrah hingga selepas terbenam matahari pada hari raya.

    Pengurusan, Pentadbiran Forum Halaqahnet.
    Penal Utama Baitul Muslim


    Reply #1 13 September, 2009, 12:19:39 PM
  • Publish



  • Zakat sucikan diri, tingkat daya saing ekonomi

    KEFARDUAN mengeluarkan zakat fitrah pada Ramadan adalah bukti bahawa umat Islam perlu hidup bertolak ansur dan bersatu padu tanpa membezakan status ekonomi, keturunan, pendidikan dan kadar ketakwaan.

    Perkara ini seiring dengan fungsinya untuk meningkatkan daya saing ekonomi kaum dua'fa (orang lemah).

    Mereka ialah fakir, orang miskin, amil yang menguruskan zakat, mualaf yang dijinakkan hatinya, hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang dalam perjalanan.

    Dengan zakat itu dapat merapatkan jurang pendapatan antara orang kaya dan miskin.

    Zakat fitrah diwajibkan pada Ramadan kerana Allah memberi keistimewaan kepada Ramadan sebagai bulan toleransi dan perpaduan antara kaya dan miskin.

    Orang kaya difardukan berpuasa bagi membolehkan mereka berasa keperitan hidup orang miskin apabila menahan lapar dan dahaga kerana ketidakmampuan memenuhi hajat hidup.

    Dengan itu, akan timbul kesedaran dan rasa simpati terhadap keperitan hidup orang miskin. Rasa simpati ini dibuktikan dengan kesediaan mereka membayar zakat fitrah.

    Zakat fitrah juga berfungsi membersihkan jiwa pembayar serta menimbulkan nilai toleransi dan perpaduan orang kaya terhadap orang miskin.

    Hakikatnya, zakat berfungsi sebagai amalan ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah hingga menjauhkan manusia daripada sifat mencintai dunia secara berlebihan dan melupakan hari akhirat.

    Hikmatnya zakat juga dapat menyucikan diri orang yang berpuasa kerana ada kemungkinan dirinya itu mengalami kesan kelalaian, kerosakan puasanya.

    Begitu juga dia akan mengelakkan orang fakir dan miskin daripada meminta-minta pada hari raya.

    Ibnu Abbas berkata yang bermaksud: "Rasulullah telah memfardukan zakat fitrah sebagai menyucikan orang yang berpuasa daripada sia-sia dan kerosakan untuk menjadi makanan pada orang miskin."

    Bagaimanapun, masih ada umat Islam yang mengambil mudah kewajipan berzakat fitrah. Mereka terlupa mengeluarkannya hingga tiba Aidilfitri.

    Mengikut syarak, zakat fitrah perlu dilakukan sepanjang Ramadan manakala hukumnya menjadi haram selepas solat Aidilfitri.

    Perkara ini ada disebut Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud: "Zakat fitrah itu dibuat bagi membersihkan orang yang berpuasa daripada percakapan yang sia-sia dan kotor dan makanan bagi orang miskin.

    "Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri, maka itulah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang membayar zakatnya sesudah solat, maka itu adalah sedekah biasa saja." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

    Berdasarkan hadis ini, janganlah kita berlengah untuk berzakat fitrah. Ingatkanlah ahli keluarga dan rakan supaya ibadat yang difardukan setahun sekali ini dapat dilakukan tepat pada masanya.


    Zakat fitrah adalah tuntutan yang wajib ditunaikan apabila seseorang memenuhi syaratnya.
    Perkara ini berdasarkan hadis bermaksud: "Rasulullah memfardukan zakat fitrah pada Ramadan segantang tamar atau segantang gandum atas orang Islam sama ada hamba sahaya atau merdeka, lelaki atau perempuan, kecil atau besar."

    Hukum mengeluarkan zakat fitrah turut diperuntukkan dalam enakmen setiap negeri ketika ini. Berdasarkan seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah berkaitan zakat fitrah, dijelaskan: "Mana-mana orang wajib membayar zakat atau fitrah tetapi:

    (a) Enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu; atau

    (b) Enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik, atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya."

    Seksyen ini menggariskan bahawa menjadi kesalahan apabila seseorang gagal atau enggan menyempurnakan kewajipan zakat fitrah. Sesungguhnya, peruntukan ini terpakai kepada sesiapa saja yang enggan membayar zakat fitrah sedangkan dirinya cukup syarat.

    Sesungguhnya, Islam seseorang belum lagi sempurna jika tidak mengeluarkan zakat.

    Setiap Muslim hendaklah mengeluarkannya dengan hati terbuka, ikhlas dan bukannya berasakan ia adalah satu paksaan.

    Reply #2 13 September, 2009, 06:03:11 PM
  • Publish
  •     
    Mengeluarkan Zakat Fitrah Dengan Wang


        Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57,
        bertarikh 10 Jun 2003.

        Kategori: Zakat
        Tajuk: Penentuan Zakat Fitrah Seluruh Malaysia

        Keputusan:
        a) Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat yang
            ditetapkan oleh BERNAS bagi beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Bagdhdad
            bersamaan 2.60kg.

        b) Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan
            oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White Rice bagi negeri Sabah dan Thai White Rice bagi negeri
            Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70kg

        Oleh: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57
        Tarikh Keputusan: 10 Jun 2003
        Tarikh Muzakarah: 10 Jun 2003 hingga 10 Jun 2003

    Fatwa ini menunjukkan bahwa pihak pemerintah Malaysia yang mazhab rasminya adalah Mazhab Syafie telah menerimapakai pendapat bahwa membayar zakat fitrah dengan nilaian wang adalah dibolehkan.



    Reply #3 13 September, 2009, 06:07:15 PM
  • Publish

  • Zakat Fitrah

    Di dalam kitab Mustika Hadits, Jilid Ketiga terbitan JAKIM, dinyatakan: Tersebut di dalam kitab al-Itsaarah (الايثارة), karangan Shohibul Fadhilah Dato’ Haji Mahmud Ghazali bin ‘Abdullah, Mantan Mufti Negeri Selangor [menjadi mufti sekitar tahun 1968 – 1973, beliau kemudiannya kembali ke Perak dan menjadi Mufti Perak dari tahun 1977 - 1981], terbitan Majlis Agama Islam Selangor:

        Berdasarkan hadits yang lalu, zakat fitrah WAJIB dikeluarkan dari jenis makanan utama [asasi] penduduk sesebuah negeri, dan ini menjadi pegangan dalam mazhab Syafie (kecuali adanya dharurat, atau diperintahkan oleh pihak yang berkuasa, maka diHARUSkan membayarnya dengan wang sebagai ganti makanan – beras), seperti yang sedang di’amalkan oleh jabatan-jabatan agama Islam di Malaysia, kerana memudahkan urusan pemungutan zakat fitrah dan pembahagiannya [pengagihannya]. Masalah ini dihuraikan di dalam kitab al-Itsaarah [Al-Ithaarah Pada Huraian Hukum-hukum Zakat dan Fitrah] seperti berikut:

        Berfitrah dengan wang:

        (a) Membayar fitrah dengan wang adalah TIDAK SAH mengikut MAZHAB SYAFIE jika diniatkan wang menjadi zakat fitrah seperti diniatkan “Wang ini fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku”. Tetapi HARUS digantikan makanan dengan wang dan hendaklah diniatkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan (orang-orang) tanggunganku – pada tahun ini".

        (b) Berfitrah dengan wang sebagai ganti beras (makanan) adalah HARUS dalam mazhab Syafie tetapi LEBIH AFDHAL dengan makanan. Di dalam mazhab Hanafi pula lebih afdhal dengan harga daripada makanan.

        Didalam mazhab kita Syafie yang mengharuskan ialah;


            * Kerana dharurat
            * Kerana diperintahkan oleh raja (pemerintah) [menurut kitab al-Itharah, bahwa keterangan mazhab Syafie tersebut ada dinyatakan dalam kitab Majmu’ Syarah al-Muhazzab 5/431 dan keterangan mengenai mazhab Hanafi yang mengatakan: Tiap-tiap benda yang harus disedekahkan maka haruslah dikeluarkan menjadi bayaran ganti zakat – ada disebutkan dalam kitab al-Majmu’ (5:429). Dalam kitab al-Itharah juga ada menyebutkan keterangan kitab al-Majmu’ (5:429) bahawa dalil pihak yang mengharuskan zakat fitrah dengan harganya ialah hadits yang disebut oleh Imam Bukhari رحمه الله dengan tegas sebagai ulasan, bahawa Sayyidina Muadz رضي الله عنه, semasa diutuskan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ke negeri Yaman sebagai pemungut zakat, ia telah meminta mereka membayar zakat dengan kain keluaran negeri itu sebagai ganti gandum (kerana cara yang demikian katanya bukan sahaja memberi kemudahan kepada pembayar-pembayar zakat bahkan orang-orang miskin yang berhak menerima zakat di Madinah juga memerlukan pakaian].


        Pemerintah menghukumkan berfitrah dengan wang itu kerana beberapa sebab yang bertujuan baik, di antaranya:

            * Asnaf yang 8 terutama faqir dan miskin lebih suka menerima wang daripada beras
            * Menyimpan wang lebih selamat, sedang beras selain daripada menyusahkan pihak pemerintah,
               pejabat agama dan memerlukan upah mengangkutnya – akan rosak jika disimpan lama.


    Reply #4 13 September, 2009, 06:10:42 PM
  • Publish

  • Zakat Fitrah

    Fadhilatus Syaikh Dr. ‘Ali Jumaah, Mufti Mesir, ketika ditanya mengenai membayar zakat dengan menggunakan wang, maka beliau mengatakan ianya dibolehkan. Hal ini tersebut di dalam kitab beliau bertajuk al-Bayan al-Qawwim li Tashih Ba’dhi al-Mafaahim [pertanyaan 27] dan al-Bayan Lima Yashghal al-Azhan [pertanyaan 71].

        Pertanyaan: Apakah boleh mengeluarkan (membayar) zakat fitrah dengan menggunakan wang?


        Jawaban: Boleh mengeluarkan (membayar) zakat fitrah dengan menggunakan wang. Ini adalah pendapat segolongan para ‘ulama yang memandang sebagaimana itu adalah pendapat segolongan tabi’in, antara lainnya:

            * Imam Hasan al-Basri رضي الله عنه; diriwayatkan darinya, bahawa beliau berkata:لا بأس أن تعطي الدراهم في صدقة الفطر “Tidak mengapa memberikan wang-wang dirham di dalam membayar zakat fitrah.” (Diriwayat oleh Ibnu Abi Syaibah, Mushannaf Abi Syaibah)

            * Imam Abu Ishaq As-Subai’e, meriwayatkan dari Zuhair, bahawa beliau berkata, Aku mendengar Imam Abu Ishaq berkata, “Aku berjumpa dengan mereka, dan mereka memberikan wang-wang dirham pada membayar zakat fitrah dengan senilai makanan.”

            * Sayyidina ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz رضي الله عنه; meriwayatkan dari Waqi’ dari Qurrah, bahawa beliau berkata, “Telah sampai kepada kami surat dari Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz رضي الله عنه tentang zakat fitrah, satu sha’ (Satu Sha’ mengikut nilaian lama menyamai 5 1/3 rithil (الرطل) ‘Iraqi iaitu gantang Baghdad atau dikenali sebagai 1 gantang Baghdad disini – abu zahrah) ke atas setiap orang atau nilainya adalah setengah dirham.” (‘Abdurrazaq, Mushannaf ‘Abdurrazaq, vol. 2, hlm. 316 (5778))

            * Dan, ini juga adalah mazhab ats-Tsauri, Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Yusuf.


        Dan juga pendapat dari para ‘ulama Mazhab Hanafi. Pendapat inilah yang diamalkan dan difatwakan di kalangan mereka pada setiap jenis zakat, kaffarah, nazar-nazar, cukai, dan lain-lainnya. [Bada’i’ ash-Shana’i’ oleh al-Kasaani, 2/979 dan 980, cetakan Zakaria ‘Ali Yusuf; dan al-Mabsuuth oleh as-Sarkhasi, 3/113 dan 114] Ini juga adalah pendapat al-Imam an-Naashir dan al-MuayyadbilLah, dari kalangan para imam ahlul bait mazhab az-Zaidiyyah. [al-Bahr az-Zakhkhar al-Jami’ li Madzahib ‘Ulama al-Amshar oleh Ahmad ibn Yahya ibnal-Murtadha, 3/202 dan 203].

        Dan, pendapat ini yang dikemukakan oleh Ishaq bin Rahawiyah dan Abu Tsaur kecuali mereka berdua mengaitkannya dengan keadaan darurat, sebagaimana pendapat para ‘ulama ahlul bait yang lainnya. [as-Sail al-Jarrar ‘ala Hadaaiq al-Azhaar oleh Asy-Syaukani, 2/ 86] Saya maksudkan boleh mengeluarkan nilai pada keadaan dharurat. Dan mereka menjadikannya (membayar zakat fitrah dengan wang) termasuk di dalam keadaan darurat, kerana Imam menuntut harta sebagai ganti apa yang telah ditegaskan di dalam nash.

        Ini juga merupakan pendapat sekumpulan ‘ulama dari mazhab Maliki seperti Ibnu Habiib, Ashbagh, Ibnu Abi Haazim, Ibnu Dinaar, dan Ibnu Wahab, berdasarkan pengambilan dari mereka yang berpendapat secara muthlak di dalam membolehkan mengeluarkan nilai-nilai (harga) dalam zakat; mencakupi zakat harta dan zakat individu-individu (zakat fitrah). Dan itu adalah berbeza-beza (yakni, tidak secara muthlak) dengan pendapat yang mereka ambilkan daripada Ibnu Qasim dan Asyhab, bahawa mereka berdua membolehkan mengeluarkan nilai harga pada zakat kecuali pada zakat fitrah dan kaffarat sumpah.

        Dan atas dasar ini jugalah, kami melihat bahawa terdapat segolongan besar para imam, kalangan para tabi’in, dan para ahli feqah umat ini yang berpendapat bahawa tidak mengapa dan boleh mengeluarkan nilai harga zakat fitrah di dalam bentuk wang. Padahal ketika masa itu, sistem barter (pertukaran barang) masih lagi berlaku, dalam erti deklarasi setiap barang layak sebagai media pertukaran, khususnya biji-bijian. Jadi, sistem barter itu menjual gandum (al-qumh) dengan gandum (sya’ir), menjual bijian (zarrah) dengan gandum (al-qumh), dan seterusnya. Adapun, pada masa sekarang ini, media-media pertukaran sudahpun terhimpun pada mata wang sahaja, sehinggakan kami berpandangan bahawa pendapat inilah yang lebih tepat dan lebih kuat. Bahkan, kami mengira bahawa orang yang berbeza pendapat dengan pendapat ini dari kalangan para ‘alim ‘ulama masa lalu, seandainya mereka menemui (berada pada) masa kita sekarang, nescaya akan berpendapat sama dengan pendapat Imam Abu Hanifah رضي الله عنه. Jelaslah di sini bagi kita, hal ini dari feqah mereka dan kekuatan pandangan mereka.

        Mengeluarkan zakat fitrah di dalam bentuk wang adalah lebih utama, kerana memberikan kemudahan bagi orang yang faqir untuk membeli apa sahaja yang ia inginkan pada hariraya kelak. Sebab, kadang-kadang dia tidaklah memerlukan beras, tetapi lebih memerlukan kepada pakaian-pakaian, daging atau selain itu. Dengan memberikan beras kepadanya, membuatkannya terpaksa berjalan jauh sekeliling untuk mendapatkan orang yang ingin membelikan beras tersebut. Kadang-kadang dia harus menjualkan beras itu dengan harga yang lebih murah daripada apa yang diperolehinya, iaitu dengan harga yang sedikit daripada harga beras yang sebenar yang diperolehinya. Ini semuanya di dalam keadaan mudah dan banyaknya beras yang beredar di sekitar pasar-pasar. Adapun, pada keadaan yang sulit (susah) dan jarangnya beras di pasar-pasar, maka membayar dengan benda adalah lebih utama daripada nilai harga kerana menjaga kemaslahatan orang faqir. Prinsip dasar yang menjadi alasan disyariatkannya zakat fitrah adalah kemaslahatan orang faqir dan mencukupkan keperluannya pada hari di mana seluruh kaum muslimin bergembira pada saat itu.

        Al-‘Allamah Ahmad bin Shiddiq al-Ghummari telahpun mengarang sebuah kitab tentang masalah ini, dan memberikannya judul “Tahqiq Al-‘Amal fi Ikhraj Zakat Al-Fithri bi Al-Mal.” Beliau merajihkan di dalam kitab tersebut pendapat ‘ulama dari Mazhab Hanafi dengan dalil-dalil yang banyak dan tinjauan dari berbagai pendapat yang berbeza-beza hinggalah mencapai kepada 32 pendapat. Oleh kerana itu, kami berpandangan bahawa, pendapat mereka yang menyatakan untuk mengeluarkan nilai harga zakatnya adalah kuat dan rajih. Dan itulah yang lebih utama pada masa sekarang ini. Dan Alllah Ta’ala Maha Tinggi dan lagi Maha Mengetahui.


    Pendapat yang mengharuskan pembayaran zakat fitrah dengan matawang ini juga disetujui oleh ramai ulama kontemporari seperti Dr. Yusuf Qardhawi (di dalam kitabnya Fiqh Zakat), Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili di dalam Fatawa al-Mu’ashirahnya, Dr. Musthafa al-Khin dan Dr. Musthafa al-Bugha yang menjelaskan dalam kitab mereka al-Fiqh al-Manhaji. Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji di sebutkan:

        Di dalam mazhab Syafie, bahawa ianya tidak memadai jika dikeluarkan dengan nilaian, bahkan mesti dikeluarkan makanan asasi bagi sesebuah negeri itu sendiri. Walaubagaimanapun, tidak mengapa mengikut [bertaklid] mazhab Abu Hanifah رضي الله عنه dalam masalah ini pada zaman sekarang, iaitu harus mengeluarkan zakat fitrah dengan nilaian. Ini kerana pada hari ini mengeluarkan dengan nilaian lebih memberi manfaat kepada orang faqir daripada makanan asasi dan lebih dekat untuk mencapai matlamat yang diharapkan.


    Pun begitu ...... bagi mereka yang masih berpegang pendapat yang di dalam mazhab Syafie yang mengatakan bahawa zakat fitrah hanya sah dengan bahan makanan, maka jalan keluarnya adalah dimana penerima zakat seperti orang faqir atau orang miskin atau amil menyediakan beras sebanyak 1 gantang Baghdad, dan pembayar pula membeli beras tersebut dari mereka dan seterusnya digunakan beras tersebut untuk membayar zakat fitrah. Keadah ini masih terdapat di berapa kawasan ambo di Kedah. Nak mudah lagi bayar zakat fitrah dengan beras terus kepada mereka yang layak menerima zakat tersebut.

    Sekian. Segala salah dan silap mohon dimaafkan dan diperbetulkan.

    Al-Faqir Abu Zahrah al-Qedahi

    Rujukan:

        * e-Fatwa JAKIM
        * Mustika Hadits, Jilid 3 (Edisi Jawi) oleh Syaikh ‘Abdullah bin Muhammad Basmieh;
           Terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kuala Lumpur
        * Al-Bayan Lima Yashghal al-Azhan oleh Syaikh Dr. ‘Ali Jumaah, Mufti Mesir.
        * Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam asy-Syafie, Jilid 1; Terbitan Dar al-Qalam, Dimasyq.


    divider3
    halaqahforum4

     

    Related Topics

      Subject / Started by Replies Last post
    2 Replies
    1325 Views
    Last post 21 September, 2007, 06:43:57 PM
    by mmas_forever1991
    1 Replies
    719 Views
    Last post 29 August, 2011, 05:23:35 PM
    by shearazi
    5 Replies
    916 Views
    Last post 01 October, 2012, 10:43:11 AM
    by miszniena