Forum > Soal Jawab

Hukum Air Jampi

<< < (2/5) > >>

IbnuNafis:
Mungkin anda dan Dr Asri yang ada PhD dapat melihat hadith-hadith sahih yang membenarkan jampi.

Saya berikan fatwa dari Mufti Brunei yang lebih adil dalam mengeluarkan fatwa berbanding Dr Asri :



    BATASAN-BATASAN SYARAT BERUBAT DENGAN JAMPI DAN TANGKAL
    (BILANGAN 157 BAHAGIAN PERTAMA)

    Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
    `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

     

Para ulama secara prinsipnya tidak berbeza pandangan mengenai ketetapan harus berubat dengan jampi dan tangkal. Terdapat beberapa jumlah dalil terdiri daripada ayat Al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang dijadikan sebagai sandaran untuk menyokong ketetapan hukum tersebut, di mana sebahagiannya akan disebutkan kemudian.

Namun begitu, ketetapan hukum tersebut bukanlah secara mutlak tanpa terikat kepada batasan-batasan tertentu. Islam tidak membiarkan penganutnya bebas begitu saja tanpa meletakkan batas tertentu. Tujuannya ialah bukan untuk mengongkong, tetapi adalah demi mempastikan mereka tidak tergelincir dari landasan syariat yang sebenar dan memelihara kesucian Islam dari bercampur dengan anasir-anasir yang berlawanan dengan syariat Allah Subhanahu wa ta‘ala, umpamanya anasir syirik, sihir, khurafat dan sebagainya.

Jadi, apakah batasan-batasan yang perlu dijaga sehingga dengan itu berubat dengan jampi dan tangkal tidak dianggap sesuatu yang bertentangan dengan hukum syara‘?

Sebelum itu, perlu dijelaskan bahawa batasan-batasan syara‘ dalam konteks ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu:

    1) Batasan-batasan syara‘ khusus bagi jampi dan tangkal.

    2) Batasan-batasan syara‘ khusus bagi penjampi.

    3) Batasan-batasan syara‘ khusus bagi orang yang dirawat.

 

BATASAN-BATASAN SYARAK KHUSUS BAGI JAMPI ATAU TANGKAL :

1) Hendaklah bersumber daripada Al-Qur’an atau Sunnah Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam:

Para ulama fiqh bersepakat mengatakan bahawa tangkal dan jampi yang dibenarkan hendaklah bersumber daripada Al-Qur’an atau Sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, ataupun tidak bercanggah dengan kehendak kedua-dua sumber tersebut. Oleh itu, harus berubat dengan jampi dan tangkal yang mengandungi ayat-ayat Al-Qur’an, nama-nama dan sifat-sifatNya Allah yang Maha Mulia, zikir-zikir dan doa-doa yang terdapat di dalam Al-Qur’an dan Sunnah Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam.

Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadits diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu beliau berkata yang maksudnya :

“Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam melarang daripada jampian. Lalu keluarga ‘Amr bin Hazm datang kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, mereka berkata:
--- Quote ---“Wahai Rasulullah, kami mempunyai jampi yang boleh kami gunakan untuk menjampi sengatan kala, sedangkan engkau melarang jampian.”

Jabir berkata: “Kemudian mereka pun memperlihatkan jampi mereka kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam.

Lantas Baginda bersabda: “Aku tidak nampak ianya menjadi apa-apa, barangsiapa di antara kamu yang boleh menolong saudaranya maka tolonglah dia.”
--- End quote ---

(Hadits riwayat Muslim)

Perbuatan keluarga ‘Amr bin Hazm memperlihatkan jampi mereka kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam di dalam hadits di atas tujuannya ialah untuk memperlihatkan Baginda adakah jampi mereka bercanggah dengan syariat Islam ataupun tidak? Lalu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam membenarkannya.

Maka dengan sebab itu, setiap jampi atau tangkal yang hendak diamal atau dipakai itu tidak boleh bersumber daripada selain Al-Qur’an dan Sunnah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam ataupun yang bercanggah dengannya.

2) Tidak mengandungi syirik:

Syirik ialah suatu perbuatan menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain iaitu menyembah selain Allah, atau percaya kepada sesuatu benda mempunyai kuasa menyembuh, menyelamatkan daripada malapetaka, mendatangkan keuntungan atau sebagainya juga merupakan perbuatan syirik.

Dosa syirik merupakan sebesar-besar dosa sebagaimana firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :


--- Quote ---“Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”
--- End quote ---

(Surah An-Nisaa’, ayat 48)

Firman Allah Ta‘ala di dalam ayat yang lain yang tafsirnya :


--- Quote ---“Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua) maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.”
--- End quote ---

(Surah An-Nisaa’, ayat 116)

Sehubungan dengan itu, jampi mentera dan tangkal yang mengandungi apa-apa jua unsur syirik adalah dilarang menurut hukum syara‘. Diriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik Al-Asyja‘e, beliau berkata yang maksudnya :


--- Quote ---“Kami pada zaman jahiliah dahulu mengamalkan jampi, lalu kami bertanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu mengenai hal itu?” Maka Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: “Perlihatkan kepada ku jampi-jampi kamu itu, tidak menjadi apa-apa mengamalkan jampi selama mana tidak mengandungi di dalamnya syirik.”
--- End quote ---

(Hadits riwayat Muslim dan Abu Daud)

Maka berdasarkan hadits di atas jelas bahawa berubat menggunakan jampi atau tangkal yang mengandungi unsur syirik adalah tidak diharuskan, walaupun jampi atau tangkal seumpama itu memberi kesan yang positif kepada pemakainya, pesakit yang dijampi atau seumpamanya. Begitu juga halnya jampi dan tangkal yang mengandungi perkataan-perkataan kufur.

3) Tidak mengandungi unsur-unsur sihir:

Menurut Al-Imam An-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala, para ulama secara ijma‘ mengatakan bahawa mengamalkan sihir itu hukumnya adalah haram. Maka dalam hal ini, tidak hairanlah jika para ulama bersepakat menegaskan tentang larangan berubat dengan jampi dan tangkal yang mengandungi unsur-unsur sihir.

Apa yang dimaksudkan dengan sihir di dalam konteks ini ialah orang yang menjampi atau pembuat tangkal itu meminta bantuan kepada jin atau syaitan dalam jampi menteranya.

Di antara dalil-dalil yang diboleh dikemukakan sebagai sandaran untuk menegaskan tentang larangan sihir itu sebagaimana firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

--- Quote ---“Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada.”

--- End quote ---
(Surah Thaha, ayat 69)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, daripada Nabi Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam Baginda bersabda yang maksudnya :

--- Quote ---“Jauhilah tujuh perkara maksiat.” Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, apakah itu?”. Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Mensekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, berpaling dari medan pertempuran perang dan menuduh berbuat zina kepada perempuan-perempuan yang baik-baik dan beriman yang tidak terfikir untuk melakukan maksiat.”
--- End quote ---

(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Orang yang mengamalkan sihir tidak akan mendapat pertolongan daripada syaitan untuk menunaikan hajatnya melainkan setelah dia mempertaruhkan atau menggadaikan agamanya dan aqidahnya, dan merosakkannya demi menjunjung ketaatan kepada perintah syaitan, seterusnya berbuat dosa kepada Allah dan menyembah selain Allah.

Diceritakan suatu kisah berlaku pada awal abad ini mengenai seorang ahli sihir yang tinggal di bahagian sebelah atas negeri Mesir. Di antara kepandaiannya, beliau pernah meminta beberapa orang supaya mencampakkan cincin mereka ke dalam laut. Apabila mereka mencampakkannya beliau akan mengembalikannya semula kepada mereka. Selain itu, beliau juga boleh melakukan banyak perkara-perkara lain yang aneh dan luar biasa. Pada suatu hari beliau pun meninggal dunia. Setelah itu, anaknya ingin mengikut jejak langkah bapanya untuk melakukan pekerjaan sebagaimana yang dilakukan oleh bapanya sebelum ini. Akan tetapi ibunya membantah dan melarangnya daripada berbuat demikian. Lalu si anak pun bertanya kepada ibunya, apakah gerangan sebab dia dilarang mengikut jejak langkah bapanya? Kemudian ibunya membuka almari dan mengeluarkan patung daripada almari tersebut sambil berkata: “Sesungguhnya bapa mu dulu menyembah patung ini supaya syaitan memberi pertolongan kepadanya untuk melakukan sesuatu yang luar biasa. Oleh itu, jangan engkau menjadi kafir sebagaimana bapa mu telah menjadi kafir.”

Oleh yang demikian, nyatalah bahawa sihir itu boleh menyebabkan pengamalnya terseret kepada perbuatan dosa yang amat besar, dan dengan itu juga orang yang meminta pertolongan dengan pengamal ilmu sihir akan sama-sama mendapat dosa. Jadi, berubat dengan jampi mentera atau tangkal yang mengandungi unsur sihir itu adalah ditegah oleh syara‘.

 

IbnuNafis:


4) Bahasa yang digunakan hendaklah difahami maknanya:

Para ulama bersepakat mensyaratkan bahawa bahasa yang digunakan dalam jampi dan tangkal itu hendaklah terdiri daripada bahasa yang boleh difahami maksudnya.

Dalam konteks ini, bukan sahaja setakat penjampi atau pembuat tangkal itu dikehendaki mengerti atau faham akan maksud jampinya, bahkan orang yang menerima rawatan melalui jampi tersebut hendaklah juga faham akan maksud jampi yang digunakan. Tujuannya ialah supaya dia tahu bahawa perkataan jampi yang digunakan itu tidak mengandungi perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syara‘ seperti perkara yang membawa syirik, sihir dan seumpamanya.

Di antara dalil yang mendokong larangan berubat dengan jampi mentera dan tangkal yang tidak difahami maksudnya sebagaimana sabda Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam ketika Baginda ditanya tentang jampi yang diamalkan pada zaman jahiliyyah:

Maksudnya:
--- Quote ---“Perlihatkan kepada ku jampi-jampi kamu itu, tidak menjadi apa-apa mengamalkan jampi selama mana tidak mengandungi di dalamnya syirik.”
--- End quote ---

(Hadits riwayat Muslim dan Abu Daud)

Al-Imam Ibnu Hajr Al-‘Asqalaani Rahimahullahu Ta‘ala menegaskan, hadits di atas memberi petunjuk bahawasanya apa pun jenis jampi yang membawa kepada syirik maka ianya adalah dilarang (bahkan haram). Begitu juga halnya jampi yang tidak difahami makna atau maksudnya, di mana ianya tidak dapat dipastikan bebas daripada perkara syirik, maka dengan sebab itu ianya adalah ditegah oleh syara‘ sebagai langkah berjaga-jaga atau berhati-hati.

5) Ditulis jampi atau tangkal itu dengan benda yang suci:

Jika sekiranya jampi itu ditulis pada kertas, kulit binatang, logam atau seumpamanya maka hendaklah benda-benda seperti itu terdiri daripada benda yang bersih dan suci. Sebagaimana juga alat yang digunakan untuk menulis hendaklah terdiri daripada benda yang bersih dan suci seperti dakwat, za‘faran dan seumpamanya. Oleh itu, tidak harus menggunakan benda-benda yang najis seperti darah, nanah, air kencing dan sebagainya, kerana kata-kata Allah (kalaamullaah), nama-nama dan sifat-sifatNya yang Maha Agung dan Maha Suci itu selayaknya tidak bercampur dan tercemar dengan benda-benda yang kotor dan jijik.

Terdapat setengah pengamal ilmu sihir yang menulis jampi mentera berupa ayat Al-Qur’an dengan menggunakan darah haidh wanita, kemudian menjampinya untuk memanggil jin dan memerintah jin tersebut untuk melakukan apa saja yang dia kehendaki.

Memang jelas bahawa cara amalan seperti ini merupakan suatu kekufuran yang nyata, kerana mempersenda dan mempermain-mainkan surah dan ayat-ayat Al-Qur’an boleh membawa kepada kekufuran.

Kedua- Batasan-batasan syara‘ khusus bagi penjampi:

1) Hendaklah penjampi itu beragama Islam:

Adalah disyaratkan orang yang mengubat dengan jampi atau tangkal itu terdiri daripada orang yang beragama Islam. Maka tidak harus bagi orang bukan Islam menjampi orang Islam.

Apa yang dimaksudkan dengan orang bukan Islam dalam hal ini ialah orang yang bukan ahli kitab yakni bukanYahudi dan Nashrani. Bagi ahli kitab (Yahudi dan Nashrani) sebagaimana menurut Al-Imam Asy-Syafi‘e Rahimahullahu Ta‘ala harus menjampi orang Islam, dengan syarat jampi menteranya itu bersumber daripada kitab Allah atau berupa zikrullah.

Dalil yang menyokong pendapat Imam Syafi‘ie itu sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Malik daripada ‘Amrah binti Abdurrahman:

Maksudnya:
--- Quote --- “Bahawasanya Abu Bakar masuk berjumpa ‘Aisyah sedang dia (‘Aisyah) mengadu sakit. Pada ketika itu seorang wanita Yahudi menjampi ‘Aisyah, lalu Abu Bakar berkata: “Jampilah dengan kitab Allah.”
--- End quote ---

(Hadits riwayat Malik)

Bagaimana pula kedudukan hukumnya orang Islam menjampi orang bukan Islam? Para ulama tidak mempunyai pandangan berbeza dalam hal ini bahawa seseorang Islam harus menjampi orang yang bukan Islam. Ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘ed Al-Khudri, beliau berkata:

Maksudnya:
--- Quote --- “Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam mengutus kami dalam suatu peperangan, lalu kami singgah berhenti pada suatu kaum. Kemudian kami meminta kepada mereka agar menjamu kami. Tetapi mereka enggan menjamu kami. Lalu ketua mereka disengat (kalajengking). Mereka pun datang berjumpa kami.

Lalu mereka berkata: “Adakah di antara kamu sesiapa yang boleh menjampi untuk mengubat sengatan kalajengking?” Aku (Abu Sa‘ed) berkata: “Ya, tetapi aku tidak akan menjampinya sehingga kamu memberikan kambing kepada kami.” (Salah seorang kaum itu) berkata: “Sungguh, saya akan memberikan kepada kamu tiga puluh ekor kambing.”

Kami pun bersetuju, kemudian aku membacakan kepadanya Al-Hamdulillah (Al-Fatihah) sebanyak tujuh kali. Setelah itu ketua kaum itu pun sembuh dan kami menerima kambing. Dia (Abu Sa‘ed) berkata: “Lalu timbul sesuatu dalam fikiran kami, kemudia kami berkata: “Janganlah tergesa-gesa sehingga kamu menghadap Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam.”

Dia (Abu Sa‘ed) berkata: “Apabila kami datang menghadap Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam aku pun menceritakan kepada Baginda apa yang telah aku lakukan.” Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Bagaimana kamu tahu bahawa (surah Al-Fatihah) itu adalah jampi? Terimalah kambing itu dan berilah aku bahagian bersamamu.”
--- End quote ---

(Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Hujjah yang dapat dikemukakan melalui hadits di atas, bahawa perkampungan di mana para sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam singgah berhenti di situ pendudukanya terdiri daripada orang kafir, dan salah seorang sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam menjampi ketua kampung yang kena sengat kalajengking. Apabila perkara tersebut diajukan kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam Baginda tidak menegahnya. Maka ini menunjukkan harus bagi orang Islam menjampi orang bukan Islam.

2) Hendaklah penjampi itu orang yang ‘adil dalam beragama:

Banyak di kalangan para ulama menekankan betapa perlunya orang yang menjampi dengan ayat-ayat Al-Qur’an, nama-nama dan sifat-sifat Allah yang Maha suci lagi Maha Agung hendaklah terdiri daripada orang yang ‘adil dan salih, iaitu orang yang ta‘at dalam menjalankan perintah agama, kerana kesembuhan - dengan izin Allah jua – akan terhasil melalui lidah orang yang soleh bukan melalui lidah orang yang tidak soleh.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘adil dalam beragama dalam konteks ini ialah suatu sifat dalam diri manusia yang mendorongnya untuk menunaikan apa yang wajib ke atas dirinya, seperti mendirikan sembahyang, berpuasa, membayar zakat, menghiasi dirinya dengan akhlak yang mulia seperti jujur, amanah, bertaqwa dan menjaga maruah. Sebagaimana juga sifat tersebut mendorong dirinya untuk menjauhi segala bentuk dosa-dosa besar, seperti syirik, sihir, penipuan dan sebagainya, dan juga menjauhi dirinya daripada sentiasa melakukan dosa-dosa kecil dan apa-apa juga tindak-tanduk yang membawa kehinaan dan rendah diri.

Oleh itu, apabila seseorang Islam meninggalkan atau mencuaikan sesuatu yang diwajibkan oleh syara’ ke atasnya atau melakukan sesuatu yang ditegah melakukannya maka dia tidak dikatakan sebagai orang yang ‘adil dalam beragama. Maka dengan itu, tidak seharusnya orang lain meminta bantuan daripada golongan seperti ini untuk berubat dengan jampi mentera. Termasuk di antara golongan ini ialah pengamal sihir, tukang tilik, ahli nujum atau sesiapa saja yang mengamalkan cara mereka.

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam melarang umatnya daripada meminta bantuan untuk berubat dengan golongan seperti ini sebagaimana diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata:

Maksudnya:
--- Quote ---“Beberapa orang bertanya kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam tentang para tukang tilik.” Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Perkataan mereka itu tidak benar.”

Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya para tukang tilik itu kadangkala bercerita kepada kami tentang sesuatu, lalu perkara itu benar (menjadi kenyataan).”

Baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Itu adalah kalimat kebenaran yang mereka sambar dari jin, lalu dibisikkan kepada ke telinga pembantunya, kemudian mereka mencampurkan kalimah yang benar itu dengan seratus pembohongan.”
--- End quote ---

(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam riwayat yang lain Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda maksudnya :

--- Quote ---“Barangsiapa yang datang berjumpa dukun lalu bertanya tentang sesuatu, maka sembahyangnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.”
--- End quote ---

(Hadits riwayat Muslim)

IbnuNafis:
3) Hendaklah penjampi beriktiqad bahawa yang menyembuhkan ialah Allah Subhanahu wa ta‘ala:

Para ulama bersepakat mengatakan, penjampi hendaklah beriktiqad bahawa yang berkuasa menyembuhkan dan menolak kemudaratan ialah Allah Subhanahu wa ta‘ala. Jampi itu sendiri tidak mempunyai kuasa untuk menyembuhkan, akan tetapi kesembuhan, terselamat daripada bahaya bencana dan sebagainya semuanya dengan izin Allah Ta‘ala. Ini kerana yang menurunkan penyakit itulah juga yang menurunkan ubat dan menolak segala bala bencana iaitu Allah ‘Azza Wa Jalla.

Oleh itu, barangsiapa yang beriktiqad bahawa jampi itu sendiri mempunyai kuasa untuk menyembuh, menolak kemudaratan atau mendatangkan manfaat maka sesungguhnya dia telah sesat dan melakukan dosa yang amat besar yang tidak diampunkan oleh Allah subhanahu wa ta'ala iaitu dosa syirik yakni menyekutukan Allah dengan makhlukNya. Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

--- Quote ---“Kalau demikian, apa fikiran kamu tentang yang kamu sembah selain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan kepadaku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku)! KepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah dirinya.”
--- End quote ---

(Surah Az-Zumar, ayat 38)

Melalui ayat di atas, Allah Ta‘ala menujukan kata-kataNya kepada golongan musyrik, di mana mereka itu mengakui bahawa Allah ‘Azza wa Jalla adalah Pencipta segala sesuatu, akan tetapi mereka memohon doa dan menyembah selain Allah untuk menolak kemudaratan dan bala bencana, sedangkan apa yang mereka sembah itu tidak mampu untuk mencegah daripada mereka sebarang kemudaratan dan tidak mampu pula memberi sebarang manfaat kepada mereka.

Di dalam hadits shahih diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam apabila Baginda meminta perlindungan bagi setengah ahli keluarganya Baginda akan mengusap dengan tangan kanannnya sambil berdoa:

Maksudnya:
--- Quote --- “Ya Allah, Tuhan manusia, hilangkanlah penderitaan, sembuhkanlah dia, Engakaulah yang menyembuhkan. Tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhanMu, kesembuhan yang tidak meninggalkan sakit.”

--- End quote ---
(Hadits riwayat Al-Bukhari)

Daripada hadits di atas Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam memberi petunjuk bahawa setiap ubat dan pengubatan tidak akan mendatangkan manfaat kesembuhan jika tidak dengan izin Allah Ta‘ala. Maka yang berkuasa menyembuhkan itu ialah Allah ‘Azza wa Jalla.

4) Hendaklah penjampi itu orang yang berpengetahuan tentang cara-cara pengubatan dengan jampi yang dibenarkan syara‘:

 Sebenarnya, dalam apa pun bidang apabila kita hendak meminta bantuan khidmat tertentu kita mestilah pergi mencari orang yang ahli dan tahu mengenai bidang tersebut. Maka begitu juga dengan bidang perubatan dengan jampi perlulah orang itu terdiri daripada orang yang tahu dan belajar mengenai perubatan dengan jampi yang dibenarkan oleh syara‘.

Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam pernah menerangkan bahawa jampi merupakan ilmu yang berkehendakkan ianya dipelajari untuk menjadikan seseorang itu pandai dan tahu mengubat dengan menggunakan jampi. Diriwayatkan daripada Asy-Syifaa’ binti Abdullah, dia berkata: “Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam pernah berjumpa menemuiku sedang aku di sisi Hafshah, Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepadaku yang maksudnya :

--- Quote ---“Tidakkah kamu ajarkan Hafshah mentera penyembuh cacar akibat gigitan semut sebagaimana kamu ajarkannya menulis.”
--- End quote ---

(Hadits riwayat Abu Daud)


Ketiga- Batasan-batasan syara‘ khusus bagi orang yang dirawat:

 

1) Hendaklah dia beriktiqad bahawa yang menyembuhkan ialah Allah subhanahu wa ta‘ala:

Sebagaimana halnya dengan penjampi, maka begitu juga dengan orang yang dirawat dengan jampi dia mestilah beriktiqad bahawa yang mempunyai kuasa menyembuh dan menolak segala bahaya bencana itu ialah Allah subhanahu wa ta‘ala.

2) Memelihara jampi atau tangkal dari sebarang perkara yang keji:

Hendaklah orang yang dirawat itu memelihara jampi atau tangkal yang digunakannya daripada perkara-perkara yang hina atau keji, kerana jampi atau tangkal itu mengandungi ayat-ayat al-Qur’an, nama-nama dan sifat-sifat Allah yang Maha Suci.

Jika tangkal yang dipakai itu digantung di badan, maka bungkuslah dengan elok supaya tidak terkena najis atau kotoran. Jangan dibawa masuk ke dalam tandas, jangan dilangkahi atau diduduki dan ketika berjima‘ dengan isteri hendaklah ditanggalkan.

Kalau ianya merupakan air untuk diminum yang dibacakan ke atasnya jampi, maka elok membaca Bismillah pada setiap kali pernafasan ketika dia minum sambil berniat mengikut kehendak masing-masing tujuan dia berubat, kerana sesungguhnya Allah akan mengurniakan atau menunaikan kehendaknya mengikut apa yang diniatkan.

Jika air tersebut khusus untuk dibuat mandi, maka jangan dicurahkan di tempat yang kotor atau yang bernajis, dan jangan dicurahkan di tempat yang dipijak-pijak. Akan tetapi seeloknya dicurahkan di tempat yang bersih dan tidak dipijak-pijak.

3) Menghindarkan diri dari melakukan perkara yang mendatangkan dosa:

Di antara perkara yang mesti dijaga bagi orang yang menerima rawatan ialah menjaga dirinya daripada melakukan sebarang perbuatan yang boleh mendatangkan dosa, sama ada dosa kecil apatah lagi dosa besar, khususnya dalam tempoh menerima rawatan, kerana melakukan ketaatan dan menghindarkan maksiat merupakan cara atau jalan rawatan yang paling berkesan.

Al-Imam Ibn Al-Qaiyim pernah berkata:
--- Quote ---“Di antara jalan yang lebih berkesan dalam pengubatan ialah dengan membuat kebajikan dan ihsan, berzikir (mengingati Allah), berdoa, merendah diri dan memohon dengan sepenuh hati kepada Allah serta bertaubat. Semua ini memberi kesan dalam menolak berbagai penyakit dan menghasilkan kesembuhan, dan ianya lebih berkesan berbanding ubat biasa.”
--- End quote ---

Sebagai suatu rumusan, Islam ketika meletakkan beberapa batasan mengenai rawatan dengan jampi dan tangkal bukan saja bermaksud untuk menjadikan rawatan tersebut lebih berkesan, akan tetapi yang lebih besar daripada itu ialah ianya bermaksud untuk memelihara tujuan induknya iaitu menjunjung perintah Allah dan tidak melampaui sempadan laranganNya dan seterusnya menyumbang kepada pemantapan aqidah supaya tidak terseleweng daripada landasan yang sebenar.

Sumber : Mufti Brunei

IbnuNafis:
Mungkin tuan monte carlo boleh sampaikan pada Dr Asri yang mempunyai PhD itu, untuk menerima upah membaca al Quran, jampi menggunakan al Quran adalah harus. Dalilnya sudah diberi di atas. Bahkan jampi boleh digunakan untuk menolong orang bukan Islam. Tiada di sini istilah melelong agama.

Dan tuan boleh lihat sendiri, adakah yang meminta air jampi dari tok-tok guru itu semuanya tidak pintar belaka sebagaimana sangkaan Dr Asri? Ramai pelajar yang pintar pun meminta air jampi.

WaLlahua'lam

manusia:
ehm
betul 2

seperti juga air yassin
kita membacanya dan meminumnya untuk kesejahteaan
kajian sains turut menyatakan perubahan molekul air berubah dalam bentuk yg cantik apabila dibaca surah yassin
ini adalah kekuasaan Allah s.w.t

kita hanya berusaha tetapi Allah yg mnentukannya

Navigation

[0] Message Index

[#] Next page

[*] Previous page

Go to full version