Login  |  Daftar

Author Topik: [KHUTBAH JUMAAT] Kepimpinan Islam pencetus Kemulian Umat  (Dibaca 885 kali)

0 Halaqian dan 1 Tetamu sedang melihat topik ini.

Halaqah

  • Global Moderator
  • *****
  • Posts: 69
    • View Profile
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.
 
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam 144 surah Ali Imran :
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّـهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّـهُ الشَّاكِرِينَ

Maksudnya : Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul . Apakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling tadah (murtad)?.Sesiapa yang berpaling tadah maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi balasan kepada mereka yang bersyukur
          Tahun baru 2018 hampir seminggu menjelang. Masa berlalu semakin cepat dan pantas, jadikanlah ianya sebagai peringatan besar kepada kita semua bahawa dunia kini berada dipenghujung usianya iaitu semakin hampir kepada berlakunya Qiamat yang dahsyat.
Kni kita berada pada bulan Rabi’ul Akhiir. Kasih dan cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w sentiasa subur dan mekar sepanjang masa dan tempat tanpa terbatas pada sesuatu bulan sahaja seperti pada Rabiul Awwal bulan yang baru kira-kira 2 minggu berlalu.Begitulah juga perjuangan dan jejak langkah baginda yang telah mengubah keadaan dunia daripada gelap kekufuran kepada cahaya iman, daripada kezaliman jahiliah kepada keadilan Islam wajib diteruskan walau pun baginda telah pun wafat.

Dunia Islam pernah menyaksikan bagaimana kewafatan nabi Muhammad s.a.w pada bulan Rabiul Awwal tahun 11 Hijrah telah menggegarkan iman para sahabat dan umat Islam yang lain sehingga ada yang murtad daripada Islam kerana tidak dapat menerima kenyataan ini. Suasana yang kalut ditenangkan oleh Sayyidina Abu Bakar dengan kata-katanya yang tegas :

أيها الناس! مَنْ كَانَ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لاَ يَمُوتُ
Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Sesiapa dikalangan kamu yang menyembah Sayyidina Muhammad s.a.w maka sesungguhnya nabi Muhammad telah wafat dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah terus hidup dan tidak sekali-kali akan mati.

           
Kemudian disambung dengan bacaan ayat 144 surah Ali Imran di mana ayat ini walau pun diturunkan pada ketika peperangan Uhud bagi menetapkan hati tentera Islam dalam berdepan dengan suasana kekalahan namun apabila ia dibaca oleh Sayyidina Abu Bakar dalam kekalutan dengan kewafatan nabi s.a.w ini telah menyentak hati para sahabat termasuk Sayyidina Umar al-Khottab sehingga beliau menyatakan : Barulah aku memahami firman Allah ini.

            Antara wasiat terpenting yang pernah diungkapkan oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w sebelum meninggalkan umatnya selama-lamanya ialah;

رواه أبو دأود عن علي رضي الله عنه قال: كَانَ  آخِرُ كَلاَمِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم: الصَّلاَة ُالصَّلاَة اتَّقُوْا اللهَ  فِيْمَا مَلَكَتْ  أَيْمَانُكُمْ
Maksudnya: Adalah kalimah terakhir yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w : Sembahyang, sembahyang! Takutkan sekalian kamu kepada Allah pada apa yang dimiliki oleh tangan-tangan kanan kamu (daripada zakat)

            2 perkara besar yang diperingatkan oleh nabi iaitu sembahyang dan zakat merupakan suatu yang begitu penting dalam memastikan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia berjalan dengan baik bagi menjamin keberkatan dan ketenangan hidup.Akibat pengabaian terhadap sembahyang dan sikap tamak yang bukan sahaja kedekut untuk menunaikan zakat malah harta zakat dan rakyat disalahgunakan telah mendatangkan pelbagai masalah dalam negara. Apabila putusnya hubungan manusia dengan Allah sehingga maksiat semakin subur ditambah lagi hubungan kasih sayang, hormat menghormati sesama manusia semakin luntur telah menyebabkan keamanan tergugat dan suasana jahiliah moden mulai merosakkan suasana.
Oleh itu marilah kita kembali memperkasakan usaha dalam melahirkan umat yang sentiasa menjaga solat dan menunaikan zakat kerana ia juga merupakan asas kepada kelangsungan kepimpinan yang bertaqwa yang selamat di dunia dan akhirat sebagaimana Firman Allah dalam ayat 41 Surah al-Hajj:
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Firman Allah dalam ayat 55 surah an-Nuur :
وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya : Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka


           Perjuangan dan tugas nabi Muhammad s.a.w  dalam mengubah dunia kepada keadaan yang tunduk patuh kepada perintah Allah terus disambung agar dunia tidak kembali rosak oleh kelam jahiliah.Oleh itu tindakan segera Sayyidina Abu Bakar dalam menyelesaikan masalah kepimpinan telah memberi kesan yang besar ketika suasana umat Islam pada masa itu seumpama anak ayam kehilangan ibu.
Peranan yang begitu besar dan berat telah dimainkan oleh Sayyidina Abu Bakar terutama dalam memulihkan semangat umat Islam disamping mengambil tegas terhadap golongan murtad, nabi palsu dan golongan yang enggan membayar zakat.
Semuanya ini menyedarkan kita bagaimana betapa pentingnya kepimpinan dalam mencorak suasana dalam negara samada kepada taat kepada Allah atau menderhakaiNya, samada tunduk kepada sistem Islam atau mengenepikannya, samada melahirkan ahli ibadat atau meramaikan lagi kaki maksiat, samada mendapat keberkatan daripada langit dan bumi atau mengundang bala daripada Allah. Kepimpinan juga menentukan jatuh bangun sesebuah negara disamping menjaga kedaulatan negara dan apa yang lebih penting menjaga kesucian Islam dan maruah umatnya daripada dipermainkan oleh musuh Islam. Janganlah kerana menjaga hati musuh Islam demi kesenangan untuk kemenangan dan kuasa, kita sanggup menjatuhkan kesucian dan kehebatan Islam dan menjatuhkan maruah umatnya.

Janganlah kita dan pemimpin yang kita lantik termasuk dikalangan orang yang diadukan oleh Nabi saw. kepada Allah swt. sebagaimana firmannya:
وقال  الرسول يــرب إن قومي اتخذوا هذا القرءان مهجورا
Maksudnya : Dan berkatalah rasul : “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sebagai suatu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”


Renungilah ucapan Sayyidina Abu Bakar ketika dilantik menjadi khalifah pertama setelah kewafatan nabi Muhammad sa.w dengan katanya:

“Wahai umat manusia!Sesungguhnya aku telah dilantik dikalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik.Maka jika aku melakukan kebaikan maka bantulah aku tetapi sekiranya aku terpesong maka perbetulkanlah aku.Benar itu adalah amanah dan dusta itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu merupakan orang yang kuat disisiku sehingga aku akan menunaikan kemahuannya serta memberikan haknya semula. Manakala orang yang kuat di kalangan kamu merupakan orang lemah disisiku sehingga aku akan mengambil kembali hak yang telah dirampas. Oleh itu taatilah aku selagimana aku mentaati Allah dan rasulNya dan jika aku mengengkari Allah dan rasulNya maka janganlah kamu mentaatiku”.

Kita jangan menjadi orang yang menyebabkan semakin jelas timbulnya tanda
qiamat antaranya tidak mengambil berat tentang pemilihan pemimpin sebagaimana
amaran nabi Muhammad s.a.w dalam suatu hadis yang diriwayatkan  oleh imam Bukhari :

فَإِذَاضُيِّعَتِ الأَمَانَة فَانْتَظِرِ السَّاعَة قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ إِذَا وُسِّدَالْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ
Maksudnya: Maka apabila telah jelas penyelewengan
terhadap amanah maka tunggulah kebinasaan. Tanya sahabat : Bagaimanakah
berlakunya penyelewengan. Sabdanya : Apabila diserahkan urusan memikul amanah
kepada bukan orang yang berkelayakan maka tunggulah saat kehancuran.


Jauhilah daripada mempermain-mainkan ugama dan bersikap acuh tidak acuh terhadap perintah Allaah swt. Orang-orang beriman mengetahui bahawa tugas mereka  adalah berdakwah,mendidik manusia agar mengutamakan kehendak Agama dalam setiap aspek kehidupan, ini termasuklah menjaga diri dan masyarakat supaya tidak berpolitik demi nafsu untuk berkuasa tanpa batas halal dan haram  yang semestinya merupakan amanah yang akan dipersoalkan. Oleh itu bersabarlah atas herdikan,hinaan dan cercaan manusia. Sesugguhnya Allaah swt. adalah sebaik-baik pengawas dan penjaga.

Firman Allah dalam ayat 51 surah al-A’araf :
الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ فَالْيَوْمَ نَنسَاهُمْ كَمَا نَسُوا لِقَاءَ يَوْمِهِمْ هَـٰذَا وَمَا كَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ
Maksudnya : (Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persiapan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengengkari ayat-ayat keterangan Kami).


Sentiasalah bersiap-siaga menghadapi saat kematian.Berbekallah.Ajal kematian kita semakin hampir.Kembalilah kepada Islam serta ajarannya. Janganlah kita dilalaikan dengan harta,pangkat, jawatan dan kaum kerabat. Dunia adalah sementara, akhirat kekal jua. Ketahuilah kemenangan yang dijanjikan Allah swt. adalah pasti dan kemenangan itu hampir.

Sabda Nabi saw. : تحفة المؤمن الموت
Maksudnya :Kematian itu merupakan hadiah kepada orang-orang yang beriman.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ