Karya ulama Patani dalam ilmu usuluddin dan tasawuf

Author Topic: Karya ulama Patani dalam ilmu usuluddin dan tasawuf  (Read 4071 times)

0 Halaqian and 1 Guest are viewing this topic.

muaz

  • *
  • Posts: 90
  • "DoA SeOrAnG UlAmA"
    • View Profile
02 June, 2009, 07:53:49 AM
  • Publish

  • Tuan Guru Haji Abdul Qadir Bin Ismail
    As-Sanawi antara ulama Patani yang alim
    dalam bidang ilmu tauhid.


    KITA mengetahui bahawa ulama-ulama kita telah menterjemah, menyusun kitab dan mengajar berbagai-bagai disiplin ilmu yang ada hubungkaitnya dengan agama Islam. Antara yang paling ditekankan oleh ulama Nusantara, termasuk ulama Patani, ialah tiga ilmu fardu ain: Fiqh, Usuluddin dan Tasawuf.

    Mengimbas perbicaraan yang lepas, telah diketengahkan karya Fiqh ulama-ulama Patani yang menjadi rujukan Nusantara. Kesinambungan dari itu, ia dilanjutkan pula kepada karya ulama Patani dalam dua bidang ilmu selain ilmu Fiqh, iaitu ilmu Usuluddin dan ilmu Tasawuf.

    Karya Ilmu Usuluddin

    Ilmu Usuluddin dinamakan juga dengan: Ilmu Tauhid, Ilmu Akidah, Ilmu Kalam dan dalam konteks Nusantara dikenali juga dengan Ilmu Sifat Dua Puluh dan Ilmu Mengenal Allah. Ulama-ulama silam Nusantara, termasuk ulama Patani, sependapat bahawa yang dinamakan dengan Ahlus Sunnah wal Jama'ah itu ialah orang-orang yang mengikut dan memahami akidah yang berasal daripada Imam Abul Hasan al-Asy'ari (260 H/ 875 M-324 H/939 M) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (235 H-305 H, riwayat lain dinyatakan wafat tahun 333 H) dan pentafsiran-pentafsiran ulama-ulama muktabar sesudah kedua-duanya, seperti Imam Baqillani (wafat 403 H/1013 M), Imam al-Ghazali (450 H/1059 M-505 H/1111 M), Imam Sanusi (833 H/1429 M-895 H/1490 M) dan ramai lagi.

    Ulama Nusantara yang paling banyak menulis mengenai ilmu ini juga dibintangi oleh dua orang ulama yang berasal dari Patani, beliau ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis ilmu ini hanya dalam bahasa Melayu saja, sedang Sheikh Ahmad al-Fathani menulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.

    Sekurang-kurangnya terdapat tujuh judul Ilmu Tauhid karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani baik yang nipis mahupun yang tebal-tebal. Demikian halnya dengan Sheikh Ahmad al-Fathani, sekurang-kurangnya tiga judul dalam bahasa Arab dan empat judul dalam bahasa Melayu.

    Sejarah ringkas perkembangan Ilmu Tauhid di Nusantara selengkapnya telah penulis muat dalam buku berjudul Faridatul Faraid Syeikh Ahmad Al-Fathani 'Aqidah Ahlis Sunnah Wal Jama'ah Yang Sejati. Di sini penulis petik khusus mengenai pengkaryaan akidah kedua-dua ulama yang berasal dari Patani itu serta tambahan beberapa informasi terkini yang dirasakan perlu membahasnya.

    Karya-karya Ilmu Tauhid oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sebagai yang berikut: Ad-Durruts Tsamin fi 'Aqaidil Mu'minin (1232 H/1816 M), 'Iqdul Jawahir (1245 H/ 1829 M), ditulis dalam bentuk nazam.

    Nazam ini beliau syarah sendiri, diberi nama Warduz Zawahir li Hilli Alfazhi 'Iqdil Jawahir (1245 H/1829 M). Selanjutnya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mensyarah risalah mengenai Ilmu Tauhid karangan gurunya Saiyid Ahmad al-Marzuqi, diberi nama Al-Bahjatus Saniyah fil 'Aqaidis Saniyah (1258 H/1842 M).

    Untuk peringkat kanak-kanak, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyusun risalah ilmu ini yang diberi judul Kifayatul Mubtadi wa Irsyadul Muhtadi atau digunakan dengan judul yang lain, iaitu: Irsyadul Athfalil Mubtadiin fi 'Aqaidid Din wal Ad'iyatun Nafi'ah lid Din, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan.

    Sebagai pedoman melakukan zikir ahlit tauhid menurut metode Thariqat Syathariyah, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ketika berada di Sambas, Kalimantan Barat menyusun kitab berjudul Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid, juga tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan. Selain kitab-kitab akidah yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman awal kitab-kitab fiqhnya, iaitu: Hidayatul Muta'allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, Fat-hul Mannan dan Furu'ul Masail.

    Ada pun risalah dan kitab Ilmu Tauhid karangan Sheikh Ahmad al-Fathani pula ialah: Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), ditulis dalam bahasa Arab dalam bentuk puisi. Dalam tahun yang sama, iaitu 1293 H/1876 M, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menyelesaikan Munjiyatul 'Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam, juga ditulis dalam bahasa Arab bercorak puisi. Kitabnya judul Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil 'Awam (1306 H/1888 M), dalam bahasa Arab adalah merupakan syarah Hidayatul 'Awam karya gurunya Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

    Pada tahun yang sama, iaitu 1306 H/1888 M, Sheikh Ahmad al-Fathani menyusun kitab akidah dalam bahasa Melayu berjudul 'Iqdul Juman fi 'Aqaidil Iman.

    Kitab akidah dalam bahasa Melayu karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang paling banyak diajarkan di banyak tempat di Nusantara ialah Faridatul Faraid fi 'Ilmil 'Aqaid. Selain dalam karya-karya khusus mengenai akidah tersebut, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menulis akidah dalam karya-karya fiqh yang diletak pada bahagian awalnya, iaitu: Al-Bahjatul Mubtadin, 'Unwanul Falah.

    Manakala dalam bentuk penjelasan yang panjang dimuat pada bahagian awal Al-Fatawal Fathaniyah. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar juga terdapat tentang akidah, di antaranya mengenai tujuh masalah yang menjadi ikhtilaf antara Imam Abul Hasan al-Asy'ari dengan Imam Abu Hanifah.

    Selain yang tersebut, terdapat pula tulisan beliau pada kitab-kitab akidah yang beliau tashhih, di antaranya di bahagian tepi Bidayatul Hidayah oleh Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh) dan Ad-Durruts Tsamin oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

    Sungguhpun Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani jauh lebih tua dari Sheikh Ahmad al-Fathani, bahawa umurnya sebaya dengan ayahnya Sheikh Muhammad Zain bin Sheikh Wan Mushthafa al-Fathani, namun karangan-karangannya muncul kemudian daripada karangan-karangan Sheikh Ahmad al-Fathani.

    Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani sekurang-kurangnya menghasilkan tiga judul dalam bidang Ilmu Tauhid, dua judul di antaranya ialah: 'Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashawwufis Shaafin (1308 H/1890 M). Kitab ini adalah merupakan kitab akidah yang terbesar kedua di Nusantara sesudah Warduz Zawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah.

    Hingga sekarang kitab 'Aqidatun Najin masih banyak diajarkan di banyak tempat di seluruh Nusantara. Ilmu Akidah untuk peringkat kanak-kanak pula, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani menyusun sebuah risalah berjudul Miftahul Murid fi 'Ilmit Tauhid, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan.

    Sungguhpun masih banyak kitab akidah yang dikarang oleh ulama-ulama Patani selain tiga orang ulama besar Nusantara, yang berasal dari Patani yang tersebut di atas, penulis tinggalkan setakat itu saja. Seterusnya penulis berasa perlu untuk membahas atau menulis sedikit pembelaan beberapa kritikan terhadap karya akidah tradisional Nusantara yang dilemparkan oleh orang-orang tertentu, di antaranya ialah:

    1. Tuduhan bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari taubat daripada fahaman yang pernah diajarnya, kerana kitabnya yang terakhir ialah Al-Ibanah 'an Ushulid Diyanah. Pendapat demikian perlu dijawab. Sejarah yang ittifaq para ulama bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari hanya keluar daripada Mazhab Mu'tazilah setelah itu tetap berpegang dengan Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama'ah, di mana beliaulah tokoh pertama menyusun risalah/kitab mengenai itu.

    Sejarah Imam Abul Hasan al-Asy'ari sebagai murid dan anak tiri Imam Abu Hasyim al-Jubba-i, mengikut fahaman Mu'tazilah selama 40 tahun, dan keluar daripada mazhab itu, diperkenalkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam ad-Durruts Tsamin, Warduz Zawahir dan Al-Jawahirus Saniyah. Tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengenai yang tersebut adalah yang terawal dalam bahasa Melayu, belum dijumpai tulisan ulama Nusantara lainnya. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tidak pernah menyebut bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari taubat daripada Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama'ah, demikian juga ulama-ulama Nusantara selain beliau.

    Pendapat yang menyebut bahawa Al-Ibanah 'an Ushulid Diyanah adalah karya Imam Abul Hasan al-Asy'ari yang terakhir, adalah tidak terdapat bukti yang kukuh. Dalam kitab Al-Ibanah tidak pernah menyebut perkara itu, dan tidak terdapat tahun mulai ataupun selesai penulisan. Ulama Ahlis Sunnah wal Jama'ah golongan Abul Hasan al-Asy'ari meyakini bahawa Al-Ibanah 'an Ushulid Din dan Al-Luma' adalah kedua-dua kitab Imam Abul Hasan al-Asy'ari yang ditulis sesudah beliau keluar daripada Mu'tazilah. Al-Luma' adalah memperluas dan memperjelas kandungan Al-Ibanah. Jadi seolah-olah Al-Ibanah seperti matan, sedang Al-Luma' pula seperti syarah. Oleh itu, Al-Ibanah ditulis lebih dahulu daripada Al-Luma'.

    2. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy'ari dan pengikut-pengikutnya adalah berdasarkan pemikiran semata-mata, tidak berdasarkan kepada al-Quran dan hadis.

    Jawapan mengenai ini sila rujuk Ad-Durruts Tsamin, halaman 5, dengan jelas Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "... Kemudian diangkatkan kitab yang ia (maksudnya Imam Abul Hasan al-Asy'ari) karang atas Mazhab Ahlis Sunnah, kepada manusia. Maka ia pertama-tama orang yang me[ng]edarkan Ilmu 'Aqaid atas jalan kitab dan sunah, yakni mengikut Quran, dan hadis, dan ijma' sahabat yang dahulu-dahulu yang salih-salih ..."

    3. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy'ari dan pengikut-pengikutnya hanya mengajar Tauhid Rububiyah sahaja, tidak Tauhid Uluhiyah. Baik Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mahupun Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa halaman karyanya juga menyebut istilah Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah ataupun Ilahiyat di antaranya dalam Ad-Durruts Tsamin, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "Dan tatkala selesai daripada menyatakan barang yang ta'alluq bagi Uluhiyah, iaitu barang yang wajib, dan barang yang mustahil, dan barang yang harus bagi-Nya maka sekarang kami masuk menyatakan barang yang ta'alluq pada hak Nubuwah dan risalah pula."

    Ketuhanan


    Dalam Warduz Zawahir pula, "... telah dijadikan kalimah tauhid itu menafikan bagi barang yang lainnya pada ketuhanan, dan tiada tuhan yang lain pada sebenarnya mempunyai ubudiyah, serta mengaku sekalian millah kuffar dengan Tauhid Rububiyah ..." Selanjutnya, "Dan yang bersalahan antara orang Mu'minin dan kafirin itu Tauhid Uluhiyah. Dan mahabbah orang Mu'minun mengitsbatkan Dia, dan orang yang kafirun mengingkar mereka itu akan Dia. Dan karena inilah, adalah kalimah al-Islam itu dan jikalau berkata niscaya tiada memadai tauhidnya".

    Sheikh Ahmad al-Fathani tentang Uluhiyah / Ilahiyat pula dalam Sabilus Salam (bahasa Arab) menyebut, terjemahannya, "Ketahui olehmu bahawa perbahasan-perbahasan Usuluddin itu tiga bahagian, ialah: Ilahiyat, iaitu yang dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Allah, yang mustahil atas-Nya dan yang harus pada hak-Nya. Nabawiyat, iaitu yang dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Rasul-Rasul, yang mustahil atas mereka dan yang harus pada hak mereka. Sam'iyat, iaitu ..."

    Demikianlah tiga contoh sebagai pembelaan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Penulis simpulkan saja bahawa kitab-kitab karangan ulama Nusantara, termasuk kitab-kitab karya ulama Patani, mampu mempertahankan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah dari segala macam kritikan, kecaman, tuduhan dan fitnahan dengan segala macam aliran yang kontroversi.

    Karya Ilmu Tasawuf dan Thariqat

    Selain membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Fiqh dan Ilmu Tauhid di Nusantara, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, sekali gus membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Tasawuf. Di antara penulisan beliau dalam ilmu ini yang dapat disenaraikan di sini ialah: 'Ilmut Tashawuf (1233 H/1817 M), risalah ini merupakan perbahasan tasawuf peringkat tinggi (muntahi) atau disebut dalam zaman moden dengan tasawuf falsafi.

    Selanjutnya dalam tahun 1240 H/1824 M, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyelesaikan dua buah kitab tasawuf, ialah: Kanzul Minan 'ala Hikam Abi Madyan merupakan terjemahan dan syarah karangan Abi Madyan, dan Minhajul 'Abidin ila Jannati Rabbil 'Alamin yang merupakan terjemahan karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali. Sebuah lagi tasawuf peringkat tinggi (muntahi) karya Sheikh Daud bin Abdullah al- Fathani yang khusus membahas rumus-rumus ahlish shufi pada konteks Martabat Tujuh, ialah: Manhalush Shafi fi Bayani Ramzi Ahlis, tanpa dinyatakan tahun penulisan.

    Walaupun Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid dapat diklasifikasikan ke dalam karya Ilmu Tauhid, namun juga dapat dimasukkan pada sektor tasawuf, kerana kitab ini khusus membicarakan metode zikrullah menurut Thariqat Syathariyah.

    Selain kitab-kitab tasawuf yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman akhir kitab-kitab fiqhnya, ialah: Hidayatul Muta'allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, dan Fat-hul Mannan.

    Tentang tasawuf juga beliau tulis pada bahagian akhir karya akidahnya, ialah Ad-Durruts Tsamin dan Warduz Zawahir. Sungguhpun dalam karyanya Jam'ul Fawaid merupakan terjemahan beberapa hadis, namun pada beberapa halaman juga membicarakan tasawuf.

    Menggubah puisi

    Karya-karya tasawuf oleh ulama-ulama Patani selain Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sangat banyak, di antara ulama yang terdahulu daripada beliau ialah dilakukan oleh guru beliau bernama Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani. Karya-karya beliau merupakan risalah-risalah saja, belum pernah diterbitkan berupa cetakan.

    Cucu saudara Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani bernama Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani (wafat 1316 H/April 1898 M) adalah Khalifah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam beberapa thariqat terutama Thariqat Syathariyah, beliau ini juga menghasilkan beberapa risalah tentang tasawuf dan tarekat.

    Sheikh Ahmad al-Fathani tetap tidak ketinggalan dalam penulisan tasawuf dan tarekat, di antara karya beliau tentang ilmu ini ialah: Mir-atul A'ajib fi Jawabi Su-alil Majazib (1324 H/1906 M). Kitab ini ditulis adalah sebagai jawapan surat Raja Kelantan mengenai Thariqat Ahmadiyah yang dibawa dan diajarkan oleh Haji Encik Sa'id Linggi (Sheikh Muhammad Sa'id bin Haji Jamaluddin Linggi) di Kelantan.

    Selain menyusun kitab di atas, lalu Sheikh Ahmad al-Fathani menggubah puisi pula dalam beberapa bait. Sebuah rangkaian puisi dalam bahasa Arab dan sebuah lagi dalam bahasa Melayu. Selain Mir-atul A'ajib, Sheikh Ahmad al-Fathani juga membicarakan tasawuf dalam dua buah karya fiqhnya iaitu Al-Bahjatul Mubtadin dan 'Unwanul Falah.

    Adapun tasawuf yang dimuat dalam Al-Fatawal Fathaniyah itulah berasal dari judul Mir-atul A'ajib. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar terdapat beberapa halaman yang membicarakan tasawuf, juga sejarah beberapa orang ulama sufi terdapat dalam kitab tersebut.

    Murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang berasal dari Patani yang menulis tasawuf ialah Tok Kelaba al-Fathani, di antaranya ialah: Risalatut (1307 H/1889 M), Tarjamah Qashidah Rijalil Ghaib, dan Syarabul Washilinal Muflihinal Maqbulin (1314 H/1896 M), ia masih dalam simpanan penulis dan berbentuk manuskrip yang sangat uzur.

    Pada bahagian akhir manuskrip, Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa karya ini adalah berdasarkan penerimaan beliau dari mulut gurunya Al-'Arif Rabbani asy-Sheikh Haji Abdul Qadir bin asy-Sheikh al-Haji Mushthafa al-Jambui al-Fathani yang dinuqil daripada perkataan Quthbur Rabbani al-'Arifush Shamadani al-Haikalun Nurani asy-Sheikh Muhyiddin Muhammad Ibnu Ali al-'Arabi.

    Sumber: Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14486
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #1 13 September, 2009, 09:05:31 AM
  • Publish


  • Judul: Bakurah al-Amani li Irsyadi ‘Awami Ahlil Fathani (باكورة الأماني لارشلد عوام أهل الفطاني)

    Kategori: Tauhid/Aqidah

    Pengarang: al-‘Allamah Syaikh Wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir al-Fathani (lahir pada 1300H/1882M di Bendang Daya, Fathani dan wafat di Mekah pada 3 November 1965M ketika berusia 83 tahun)

    Tarikh selesai dikarang: 14 Rajab 1335 bersamaan 15 Mei 1917M

    Kitab Bakurah al-Amani atau nama lengkapnya Bakurah al-Amani li Irsyadi ‘Awami Ahlil Fathani (باكورة الأماني لارشلد عوام أهل الفطاني), merupakan antara kitab tauhid yang terkenal di Tanah Melayu sehingga kini. Ianya ditulis oleh al-’Alim al-’Allamah Syaikh Wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir bin Wan Musthafa, atau dikenali juga dengan nama Pak Da ‘El al-Fathani. Kitab ini merupakan sebuah kitab yang ringkas, hanya kurang lebih 10 halaman namun isinya padat. Kitab ini ditulis oleh Pak Da ‘El sewaktu beliau berziarah ke negeri Kedah atas permintaan murid-muridnya. Ianya ditulis secara spontan, berdasarkan ingatan beliau sahaja. Tarikh kitab ini selesai di tulis adalah pada tahun 1335H/1916M atau tepatnya pada hari Sabtu 14 Rajab 1335 bersamaan 15 Mei 1917M. Kitab ini pernah di cetak oleh Matba’ah al-Ikhwan, Singapura pada tahun 1918M.

    Menurut ceritanya, sejarah penulisan kitab ini adalah dari permintaan muridnya yang bernama Haji Ahmad supaya Pak Da ‘El karangkan secara ringkas matan ilmu tauhid bagi memudahkan anaknya Mat Hasan yang masih memondok agar membantunya dalam memahami ilmu tauhid. Maka permintaan itu diperkenankan oleh Pak Da ‘El, dan terhasillah kitab yang terkenal ini.

    Oleh kerana kitab ini ringkas dan padat isinya sehingga sesetengah orang kerana gagal dalam memahami ‘ibaratnya, bahkan dibangkang oleh sesetengah orang, maka Pak Da ‘El telah diminta pula supaya menulis syarah bagi kitab ini. Beliau kemudian menulisnya dan diberi judul Tabshirah al-Adani bi Alhan Bakurah al-Amani (تبصرة الأداني باءلحان باكورة الأماني), selesai ditulis pada 25 Muharram 1358H / 16 Mac 1936.

    Kitab Bakurah al-Amani, sehingga kini diajarkan dipondok-pondok. Bahkan merupakan sebuah teks utama di dalam ilmu tauhid. Antara tuan guru yang mengajar kitab Bakurah: Tuan Guru Haji Ismail Spanjang, Tuan Guru Haji Salleh Sik, Tuan Guru Haji Zakaria dan ramai lagi

    Rujukan: Pondok Habib
    Pengurusan, Pentadbiran Forum Halaqahnet.
    Penal Utama Baitul Muslim


    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14486
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #2 13 September, 2009, 09:07:29 AM
  • Publish
  • Ustaz Wan Ibrahim bin Wan Abdul Qadir       
    Ditulis oleh Jabatan Arkib PAS  
    Friday, 03 July 2009

    Pak Cu Him Gajah Mati: Pertahan fatwa Ulama PAS

    PAK Cu Him, ulamak pondok yang terkenal di Kedah terutama di kalangan generasi ulamak tradisional dan dianggap ulamak paling kanan di Kedah, bahkan di Malaysia selepas Perang Dunia Kedua.  

    Nama sebenar beliau ialah Wan Ibrahim bin Wan Abdul Qadir bin Wan Mustafa al-Fathani. Selain merupakan adik bongsu kepada ulamak terbilang di Makkah, Pak Da Ail (Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir), beliau juga adalah sepupu kepada Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, guru kepada Tok Kenali yang juga datuk kepada Allahyarham Ustaz Wan Mohd Saghir Abdullah, pengkaji sejarah ulama terkenal itu.

    Pak Cu Him dilahirkan di Pondok Bendang Daya, Patani pada 1892. Ayahnya ialah mudir pondok ini yang lebih terkenal dengan nama Tok Bendang Daya. Pak Cu Him mendapat pendidikan agama di Pondok Chegar, Patani kerana ayahnya meninggal ketika beliau berusia tiga tahun. Beliau kemudian belajar di Pondok Bermin dan Pondok Tok Raja Jambu.

    Pada 1912, beliau bertolak ke Makkah dan berguru dengan bapa saudaranya, Tok Guru Pak Chik Wan Daud atau Sheikh Wan Daud bin Wan Mustafa. Pak Cu Him menguasai bahasa Arab dengan fasih, termasuk sastera dan syair Arab sehingga berjaya menghasilkan kitab Qawaid Fiqhiyah dalam bentuk syair. Ketika di Makkah, beliau belajar dengan beberapa guru yang masyhur seperti Syeikh Yahaya Patani, Tok Ramli, Syeikh Muhammad 'Ali Maliki dan Syeikh Muhammad Mukhtar al-Jawi. Beliau berada di Makkah sehingga usia 35 tahun dan berhijrah ke Kedah pada 1924.

    Ketika di Kedah, beliau berkahwin dengan Hajah Zainab, anak kepada Tuan Guru Haji Che Dol atau Haji Ismail Che Dol bin Mustafa al-Fathani iaitu adik kepada Tuan Guru Haji Hussein Che Dol, pengasas PAS yang juga guru Pondok Guar Chempedak. Perkahwinan ini berlangsung dalam tahun yang sama dengan tahun kembali dari Makkah. Pasangan ini dikurniakan 11 orang anak termasuk Tuan Guru Haji Wan Abdul Qadir dan Tuan Guru Haji Wan Mustafa yang mewarisi Pondok Gajah Mati. Ini bermakna Pak Cu Him telah berhijrah daripada keluarga ulama Bendang Daya menyertai keluarga ulamak Gajah Mati yang dipimpin mentuanya ketika itu.

    Ketika zaman beliau, pondok ini mempunyai lebih 600 pelajar dari seluruh Nusantara, walaupun di sekitar kawasannya ada beberapa pondok seperti Pondok Chegar dan Pondok Haji Ibrahim.

    Sebelum mengambil alih Pondok Gajah Mati dari mentuanya, Pak Cu Him sebenarnya telah diterima menyertai ulama Bendang Daya menjadi guru di Masjidil Haram beberapa tahun. Selepas dua tahun di Kedah, beliau diberikan tauliah oleh Sheikhul Islam Kedah, Sheikh Wan Sulaiman Wan Sidiq pada 14 November 1931 untuk membolehkan beliau mengajar di pondok ini.

    Selain mengajar, Pak Cu Him juga terlibat aktif dalam aktiviti masyarakat termasuk mengadakan persetiaan dengan beberapa ulama di Mukim Padang Pusing, Kedah untuk mewujudkan perpaduan masyarakat menerusi 'Jamiatul Ittihadiyah' atau 'Perhimpunan yang Bersatu' pada 1926.

    Sebagai seorang ulama besar juga, Pak Cu Him telah menghasilkan beberapa karya antaranya Fathul Jalil wa Syifaul Ghalil yang disiapkan pada 1386 Hijriah. Beliau mempunyai kebolehan mengarang yang baik, tetapi bahasanya terlalu tinggi dan bersastera sehingga orang awam sukar memahaminya.

    Pada 1955, Pak Cu Him telah bertolak ke Makkah dan tinggal di sana selama setahun. Di sanalah beliau berhubungan semula dengan muridnya, Sheikh Abdul Qadir al-Mandili, ulama Mandailing yang mengasaskan PAS Cawangan Makkah pada 1952. Tokoh ini juga telah menulis sebuah buku berjudul Islam: Agama dan Kedaulatan pada 1954 yang membincangkan tentang konsep hakimiyah Islam di mana beliau menolak perjuangan Umno yang tidak mahu melaksanakan hukum Islam.

    Pak Cu Him mula terlibat secara langsung dengan PAS semenjak 1951 lagi di mana iparnya, Tuan Guru Haji Hussein Che Dol telah terlibat dalam mengasaskan PAS pada tahun tersebut dan dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS Kawasan Utara. Ekoran kemasukan Pak Cu Him dalam PAS, maka ramai pelajar Melayu di Pondok Gajah Mati menjadi ahli PAS dan ia merupakan pusat gerakan PAS yang awal di kawasan Pendang.

    Tetapi tempoh antara 1954 hingga 1955 akan sepi dari pengaruh PAS kerana Tuan Guru Haji Hussein Che Dol yang ketika itu menjadi Exco Kerajaan Negeri Kedah merangkap ADUN Jerai memilih kekal bersama Umno dalam krisis kepemimpinan PAS. Tetapi pada 1955, Tuan Guru Haji Hussein kembali bersama PAS.

    Ketika berada di Makkah pada 1955, buku tulisan muridnya, Sheikh Abdul Qadir al-Mandili telah menjadi heboh di Tanah Melayu kerana mempunyai pandangan yang amat keras terhadap sikap Umno yang tidak mahu melaksanakan hukum Islam dan bekerjasama dengan orang bukan Islam.

    Dalam perdebatan tentang hukum-hukum yang dibangkitkan oleh Sheikh Abdul Qadir ini, seorang ulama Umno, Sheikh Abdul Rahman Merbuk telah mendakwa beliau mengeluarkan fatwa berdasarkan pandangan Pak Da Ail. Pak Cu Him yang mempertahankan fatwa muridnya berhujah bahawa beliau telah merujuk sendiri kepada abangnya, Pak Da Ail tentang isu tersebut dan ulama Makkah itu juga sependapat dengan beliau.

    Pada 1962, Pak Cu Him telah menerbitkan semula buku Islam: Agama dan Kedaulatan dengan memasukkan juga polemik beliau dengan Haji Abdul Rahman Merbuk. Oleh kerana ketika itu tercetus isu kafir mengkafir di Kelantan di mana ulama Kelantan juga sependapat dengan Pak Cu Him, maka buku ini kemudian diharamkan oleh kerajaan Perikatan pada 1963.

    Setelah lama berjuang dalam membangunkan pendidikan Islam, Pak Cu Him yang tidak terlibat secara langsung dalam organisasi PAS kecuali sebagai ahli Dewan Ulama PAS serta aktif di Kawasan Pendang sahaja, tetapi mempertahankan dasar-dasar parti Islam tersebut telah jatuh sakit pada penghujung 1960-an. Beliau telah melalui tiga kali pembedahan kerana kanser di leher. Beliau kemudian uzur dan tidak dapat lagi aktif menyampaikan ilmu agama. Beberapa bulan kemudian beliau meninggal dunia di pondoknya pada 11 Syawal 1388 bersamaan 11 Januari 1968 dalam usia 75 tahun. Beliau dikebumikan berhampiran kubur Tok Ayah Che Dol, mertuanya. Cucu sepupunya, Ustaz Wan Mohd Saghir juga dikebumikan di perkuburan ini bersebelahan kubur Pak Cu Him.

     - Mohd Fadli Ghani -
    « Last Edit: 13 September, 2009, 09:11:30 AM by Ummi Munaliza »

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14486
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #3 13 September, 2009, 09:17:34 AM
  • Publish

  • Tuan Guru Haji Muhammad Salleh bin Haji Hashim

    Menerajui Kegemilangan Pondok Pulau Pisang, Tunjang, Jitra, Kedah Darulaman

    Ulama Kedah ini dilahirkan di Kampung Pulau Pisang, Mukim Tunjang, Jitra, Kedah Darulaman pada tahun 1280H/1864M. Nama lengkap beliau adalah Muhammad Salleh bin ‘Abdul Hamid bin Ishaq al-Fathani. Manakala dari sebelah ibu pula ialah Fatimah binti Ishaq bin Muhammad Hasyim bin Abdul Baqi. Datuk sebelah ibunya, iaitu Tuan Guru Haji Ishaq bin Haji Muhammad Hasyim bin Haji Abdul Baqi (lahir pada tahun 1184H/1771M di Kampung Padang Panjang, Kota Sena, Malau, Jitra dan meninggal dunia pada 1287H/1871M. Keturunan mereka berasal dari Fathani kerana Haji ‘Abdul Baqi adalah merupakan seorang ulama dan pembesar dari Kampung Cerang, Fathani)adalah merupakan pengasas kepada Pondok Pulau Pisang di zaman Tengku Anum memerintah Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam. Tuan Guru Haji Ishaq bin Haji Muhammad Hasyim bin Haji Abdul Baqi adalah murid Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syaikh Abdus Shamad al-Falimbani. Tuan Guru Haji Ishaq juga pernah menjawat sebagai Qadhi Besar Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam.

    Pendidikan:
    Mendapat pendidikan awal daripada datuknya, yang juga merupakan pengasas Pondok Pulau Pisang. Walaupun Muhammad Salleh telah `alim sejak di Pondok Pulau Pisang lagi kerana beliau sempat mempelajari kitab-kitab besar daripada datuknya, Tuan Guru Haji Ishaq, ulama besar Kedah, murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Namun sudah menjadi tradisi pada zaman itu untuk mengesahkan seseorang itu diakui keilmuannya, hendaklah belajar lagi kepada ulama-ulama besar yang berada di Mekah dan Madinah. Maka untuk itu beliau dihantar ke Mekah untuk menyambung pengajian iaitu antara tahun 1295H/1879M hingga tahun 1312H/1894M. Ulama yang paling banyak Muhammad Salleh menimba ilmu daripdanya adalah Syaikh `Abdul Qadir bin `Abdur Rahman al-Fathani, cucu saudara dan juga Khalifah Syaikh Daud bin `Abdullah al-Fathani. Pengetahuan yang bercorak pengkaderan dan pelbagai bidang duniawi dan ukhrawi pula beliau adalah diasuh oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Selain itu beliau juga belajar daripada ulama Arab yang mengajar di sekitar Mekah pada ketika itu.


    Pondok Pulau Pisang


    Menerajui Pondok Pulau Pisang: Setelah beliau kembali dari Mekah pada tahun 1312H/1984M, Haji Muhammad Salleh langsung menerajui Pondok Pulau Pisang yang diasaskan oleh datuknya itu. Pondok Pulau Pisang adalah merupakan satu-satunya pondok yang utama dan termaju di negeri Kedah, namun setelah meninggalnya Tuan Guru Haji Ishaq pada tahun 1287H/1871M, ianya mula merosot. Namun setelah ianya diterajui oleh Haji Muhammad Salleh, pondok ini berkembang dan mengalami kemajuan yang pesat, kembali memancarkan nur ilmu pengetahuan dan menjulang kecemerlangan kewibawaan. Ketika mula menerajui pondok ini, Haji Muhammad Salleh berusia 30 tahun. Diriwayatkan bahawa Pondok Pulau Pisang dalam masa pimpinan Haji Muhammad Salleh bin Haji Hasyim pelajarnya pernah mencapai 2,000 orang. Jumlah pelajar pondok ribuan orang yang datang dari seluruh Tanah Melayu termasuk Indonesia pada zaman itu merupakan satu jumlah yang besar dan luar biasa, yang tidak terjangkau oleh pengajian pondok lainnya, kecuali pada zaman yang sama di Fathani dan Jawa, malah ada yang lebih ramai daripadanya.


    Kitab-kitab yang diajarnya: Diantara kitab-kitab turats Islam, bahasa Melayu yang diajarkan di Pondok Pulau Pisang ialah

        * Faridatul Faraid karangan Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (aqidah)
        * Bidayatul Hidayah oleh Syaikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh (aqidah)
        * Ad-Durruts Tsamin oleh Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani (aqidah)
        * Hidayatus Salikin oleh Syaikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani (tasawuf)
        * Sairus Salikin oleh Syaikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani (tasawuf)
        * Ad-Durrun Nafis oleh Syaikh Muhammad Nafis al-Banjari (tasawuf)
        * Turjumanul Mustafid (Tafsir Baidhawi Melayu) oleh Syaikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri. (Tafsir)

    Manakala kitab-kitab turats berbahasa ‘Arab pula, antaranya

        * Fathul Mu'in (fiqh)
        * I'anatut Thalibin (fiqh)
        * Baijuri (fiqh)
        * Dasuqi (aqidah)
        * Kifayatul Awwam (aqidah)
        * Shahih al-Bukhari. Jawahir al-Bukhari dan kitab-kitab hadits lain (hadits)
        * Tafsir Jalalain dan Baidhawi (Tafsir)
        * Minhajul `Abidin (Tasawuf)
        * Ihya' `Ulumid Din (Tasawuf)
        * Matnur Risalatil Fathaniyah dan Tashilu Nailil Amani oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (nahwu)
        * Kitab-kitab yang dikarang oleh Syaikh Nawawi Banten
        * Dan lain-lain lagi

    Murid-murid beliau: Diantara murid-murid beliau adalah

        * Syaikh Ismail bin Haji Muhammad Salleh (anak beliau sendiri)
        * Syaikh Ramli bin Haji Muhammad Salleh (anak beliau sendiri)
        * Dr Burhanuddin al-Helmi
        * Tuan Guru Haji Ahmad Janggut, Langgar
        * Tuan Guru Haji Ahmad Hutan Palas atau dikenali juga Tuan Guru Haji Ahmad Keplu
           (alhamdulilah, al-Faqir abu zahrah sempat beberapa kali menemui dan mengambil ilmu dari beliau.
           Dari beliaulah abu zahrah terima Ratib Haddad, iaitu ketika masih di sekolah rendah.)
        * Tuan Guru Haji Abbas Nasution, Tanjung Pauh (beliau juga pernah abu zahrah temui beberapa kali,
            namun ketika itu tidak mengenali siapa beliau. Cuma abu zahrah kenalinya sebagai seorang yang baik hati.
            Beliau pernah menunjukkan al-Quran tulisan tangannya kepada abu zahrah. Pun tak faham lagiii …
            kerna dikala itu masih di primary school.)
        * Haji Abdullah Hassan dan ramai lagi.


    Penulisan: Sungguhpun sibuk mengajar di pondok dan memenuhi hajat masyrakat setempat, Tuan Guru Haji Salleh masih dapat meluangkan masanya untuk mengarang. Kitab-kitab karangan beliau:

        * Sirajul Huda wa Mishbahud Duja. Pertama kali dicetak oleh Mathba'ah Muhammad `Ali Shabih dekat Al-Azhar, Mesir tahun 1344H. Selain Sirajul Huda, karya beliau yang lain pula ialah
        * Tanbihul `Awam li Istiqazil Manam, juga dicetak di Mesir tahun 1950
        * An-Nashihatuddin az-Zakiyah


    Karangan beliau yang lain tidak dapat dikesan kerana musnah di dalam kebakaran pada tahun 1962. Pondok Pulau Pisang mengalami 2 kali kebakaran. Kebakaran sebelumnya memusnahkan kitab-kitab karangan Tuan Guru Haji Ishaq.

    Selain dari belajar, para pelajar pondok di Pondok Pulau Pisang juga mengamalkan ratib al-Haddad, di mana ianya dibaca secara beramai-ramai pada sebelah malam.

    Keturunan: Hasil dari perkahwinannya dengan isteri yang bernama Saerah binti Abbas beliau dikurniakan 4 orang cahaya mata iaitu:

       1. Hajah Jamilah
       2. Syaikh Ismail. Pernah dilantik menjadi Qadhi Besar Kedah dari tahun 1356H – 1358H dan kemudian dilantik menjadi pengerusi Majmak Ulama Syaikhul Islam Negeri Kedah dari 1358H – Syawwal 1364H. InsyaAllah, abuzahrah akan menulis mengenai ulama ini.
       3. Haji Qasim dan
       4. Syaikh Ramli.


    Pemimpin masyarakat: Tuan Guru Haji Muhammad Salleh bukanlah hanya sekadar Tuan Guru di pondok, namun beliau juga adalah merupakan seorang pemimpin masyarakat yang berwibawa. Beliau berjasa di dalam menyediakan sebuah jalanraya sejauh 2km yang menghubungkan Kampung Pulau Pisang dan Pekan Tunjang yang dibinanya secara gotong-royong; mengemaskini pentadbiran Masjid Ishaqiah di Kampung Pulau Pisang dan mengasaskan moreh berbuka puasa di masjid tersebut; menyelesaikan masalah-masalah masyarakat setempat.

    Kewafatannya: Setelah lebih dari 50 tahun berbakti di dalam memimpin Pondok Pulau Pisang, Haji Muhammad Salleh meninggalkan dunia yang fana ini pada tahun 1363H/1944M. al-Faathihah.

    ******

    Sekian dan salam hormat dari
    Al-Haqir Abu Zahrah ‘Abdullah Thahir al-Qedahi
    Catatan ini disempurnakan pada hari Itsnin, 19 Rabiul Awwal 1430/ 16 Mac 2009, ketika bercuti di kampungku di Jitra, Kedah Darulaman.


    Rujukan:

        * Tulisan Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir bin Wan ‘Abdullah di Utusana Malaysia bertarikh 31 Mei 2004
        * Biografi Ulama Kedah Darul Aman, terbitan Lembaga Muzium Negeri Kedah Darulaman


    divider3
    halaqahforum4

     

    Related Topics

      Subject / Started by Replies Last post
    7 Replies
    3595 Views
    Last post 03 November, 2010, 04:17:09 PM
    by Ummi Munaliza
    42 Replies
    12186 Views
    Last post 05 February, 2010, 06:35:48 PM
    by PAK ARAB
    2 Replies
    1865 Views
    Last post 23 October, 2012, 09:42:15 AM
    by al_ahibbatu