Al-Quran Pencetus Manusia Berfikiran Kritis

Author Topic: Al-Quran Pencetus Manusia Berfikiran Kritis  (Read 2079 times)

0 Halaqian and 1 Guest are viewing this topic.

peluru

  • *
  • Posts: 369
  • Mujahidin
    • View Profile
25 April, 2009, 02:34:32 PM
  • Publish Di FB
  • Al-Quran merupakan sumber segala ilmu pengetahuan. Hal terbaik yang dapat diminta daripada kitab suci ini ialah dorongannya kepada manusia supaya berfikir. Di dalam al-Quran tidak terdapat suatu hukum yang bersifat melumpuhkan akal manusia untuk memikirkan kandungn maknanya dan tiada sesuatu perkara pun yang merintangi akal untuk mencari pelbagai ilmu yang bersifat luas. Maksudnya, al-Furqan tidak melarang mereka mencari ilmu dan berfikir, asalkan masih dalam ruang lingkup kebenaran seperti kata ungkapan ‘buat apa sahaja selagi benar’, bahkan al-Quran menggesa manusia berfikir dan mencari ilmu pengetahuan. Ia menjamin cara berfikir yang sihat dan pandangan yang benar terhadap tanda-tanda kekuasaan Allah SWT yang diciptakanNya sebagai saranan kepada manusia agar beriman kepadaNya. Berfikir adalah suatu perkara yang amat diperlukan bagi memahami semua bentuk peringatan, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

    Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu" (Surah Saba’: 46)


    Apabila kita memerhatikan al-Quran dengan tinjauan untuk menyelidik, kita akan dapati bahawa sesungguhnya ia mengarahkan akal manusia untuk mempergunakan kaedah yang lengkap dalam mencari hakikat. Antara ayat-ayat al-Quran yang berkisar tentang pemikiran kritis adalah:

    1)
    (Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memerhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? (Surah al-Ghasiyah: 17)


    Kata soal ‘kaifa’ (bagaimana) itu menghendaki sebuah kajian dan cara untuk mengetahui hakikat sesuatu perkara. Allah SWT tidak memberi jawapan secara terang-terangan agar manusia itu bukan sekadar mengetahui sesuatu bahkan juga mengetahui bagaimana sesuatu perkara itu terjadi supaya manusia benar-benar mengenali dan meyakini sesuatu hal berlandaskan ilmu pengetahuan tentang apa yang telah diketahuinya. Dalam ayat di atas, al-Quran telah memusatkan perhatian kita sebentar tentang kejadian unta yang merupakan haiwan terdapat khususnya di negara-negara Arab sehingga pengkajiannya tidak memerlukan sesuatu objek yang sukar untuk dicari. Kita pasti akan berfikir dan mengkaji bagaimana unta dicipta berdasarkan firman Allah SWT tersebut. Hasilnya kita akan dapati bahawa istimewanya unta adalah mampu hidup selama beberapa hari tanpa air dan masih aktif di bawah terik mentari. Bonggol unta yang merupakan gumpalan lemak berfugsi menyediakan nutrient berkhasiat secara berkala semasa musim kekurangan dan kebuluran. Melalui sistem ini, ia mampu hidup selama tiga minggu tanpa setitis air ketika mengalami penyusutan 33% berat badan. Lantas, orang yang mahu berfikir akan memikirkan lagi siapakah pencipta unta yang mempunyai ciri sehebat begitu. Manusia sama sekali tidak pernah menjadikannya dan tentu sekali ia tidak terjadi dengan sendirinya. Maka, sudah pastilah pembuatnya tidak lain dan tidak bukan ialah Allah SWT Yang Maha Berkuasa. 




    2)
    "Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan". (Surah al-Hujurat: 6)


    Fokus utama perbahasan adalah pada ayat yang bermaksud “maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya”, di mana al-Quran mengajar manusia agar meneliti sesuatu maklumat yang diterima samada benar atau sebaliknya dan bukannya menerima bulat-bulat sesuatu perkara tanpa membuat penilaian terlebih dahulu. Penelitian dan penilaian terhadap sesuatu maklumat ini amat penting agar kita tidak tersalah dalam berfikir, bertindak dan membuat keputusan lebih-lebih lagi ia melibatkan orang lain yang akan membawa akibat yang lebih besar dan buruk seperti penganiayaan, kezaliman dan fitnah. Penurunan ayat ini juga adalah sebagai peringatan kepada orang Islam agar tidak menerima keterangan hanya daripada sebelah pihak sahaja.

    3)
    "Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta". (Surah al-An’am: 116)


    Ayat ini mendidik manusia supaya bersikap konsisten pada kebenaran. Ia menyatakan bilangan majoriti samada pada pendapat, kepercayaan dan sebagainya tidak menjamin kebenaran sesuatu perkara. Oleh itu, apabila telah dikaji dan diketahui kebenaran sesuatu hal, maka hendaklah berpegang teguh kepada keputusan yang telah dibuat dan jangan goyah dengan sebarang kekeliruan yang cuba ditimbulkan. Daripada ayat ini juga, ia mengajar manusia agar berfikir sendiri tanpa mengikut-ikut pendirian orang lain. 

    4)
    "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan". (Surah al-Ma’idah: 8)


    Ayat ini membicarakan kepentingan berfikir secara objektif dan tidak bias, iaitu adil. Keadilan hendaklah ditegakkan di mana sahaja tanpa mengira tempat, bangsa dan agama, samada kepada orang yang kita sukai atau pun tidak. Allah SWT juga melarang kita bersikap berat sebelah kerana kebencian kita terhadap seseorang atau sesuatu golongan, bahkan al-Quran sentiasa menggesa umat Islam berlaku adil baik kepada kawan mahu pun lawan kerana keadilan itu akan mendekatkan diri seseorang kepada taqwa. Oleh itu, Allah SWT sangat memurkai orang yang tidak adil.

    5)
    "Dan janganlah Engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya…" (Surah al-Isra’: 36)


    Ayat ini menolak sikap taqlid sebaliknya Allah SWT mengajar manusia agar berfikran terbuka, bukannya mengongkong fikiran dalam kejahilan dan hanya mengikut-ikut pandangan dan pendirian orang lain secara membuta tuli. Oleh itu, Dia mendorong manusia mencari ilmu dalam pelbagai bidang agar mampu memerhatikan kebenaran yang ada pada sesuatu kejadian lantas akan dapat memberi respon dan hujah dengan baik dan mantap dalam pelbagai lapangan ilmu pengetahuan yang diceburi.

    Kesimpulannya, kesemua ayat di atas membahaskan kepentingan penggunaan akal dengan betul. Daripada ayat-ayat tersebut, Allah SWT menuntut manusia agar mengkaji hakikat sesuatu kejadian bagi memantapkan lagi pengetahuan dan keimanan kepadaNya tetapi bukannya mengetahui sesuatu hal hanya melalui mulut orang lain dan mempercayai sesuatu bukan berdasarkan ilmu. Al-Quran juga mengajar manusia agar sentiasa berhati-hati dalam menerima sesuatu maklumat di mana keperluan kepada penyelidikan dan penelitian amatlah mustahak sebelum menerimanya. Selain itu, ia juga menyarankan manusia supaya bersikap konsisten dalam mempertahankan kebenaran walaupun pada masa itu pelbagai dugaan yang datang.

    Seterusnya, al-Kitab amat menitikberatkan sifat adil yang perlu diamalkan dalam semua keadaan, tempat dan setiap masa. Dalam pada itu, ia amat menentang keras sikap bertaqlid buta kerana manusia telah dikurniakan akal oleh Allah SWT yang digunakan untuk berfikir sekaligus al-Furqan menitikberatkan kepentingan ilmu kepada manusia kerana kejahilan akan mendekatkan seseorang kepada kekufuran.

    Justeru, melalui huraian elemen-elemen pemikiran kritis di atas, terbuktilah bahawa al-Quran itu adalah pencetus kepada manusia berfikiran kritis. Dalam pada itu, al-Quran bukan setakat membawakan lima contoh firman Allah SWT sahaja seperti yang telah dikemukakan di atas yang menggesa umatNya berfikiran kritis, malah terdapat banyak lagi ayat-ayat yang menyarankan agar kita berbuat demikian. Kuncinya di sini ialah sikap kita. Sesiapa yang rajin mencari dan mengkaji sesuatu maklumat, pasti dia akan beroleh pengetahuan dan pengalaman baru. Begitulah sebaliknya bagi mereka yang malas menyelidiki dan meneliti kejadian-kejadian alam yang menjadi salah satu tanda kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Bukankah ilmu itu wajib dituntut oleh setiap insan yang bergelar Muslim?





    Sumber: Suhaida Talib (2008). Pandangan al-Ghazali mengenai Konsep Taqlid dalam Kitab al-Munqidh min al-Dhalal. Latihan Ilmiah. Kuala Lumpur: Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
    -hOLla-

    ...seorng hamba ALLAH...tnpa pinjaman dariNYA siapalah aku...
    [img width=610 height=70]http://i87.servimg.com/u/f87/12/77/43/73/selang10.jpg[/img]

    rich_km

    • *
    • Posts: 446
      • View Profile
    Jawab #1 11 May, 2009, 12:43:17 AM
  • Publish Di FB
  • Assalamualaikum warahmatullah.

    Masalahnya orang yang berfikiran kritis selalu dianggap sebagai murtad oleh para fanatik Islam. Setahu saya mereka yang kritis ini tidak memerlukan upah atau pujian; sekadar jawapan yang memuaskan.

    Serba salah juga, kan?

    Wassalam.
     

    divider3
    halaqahforum4

     

    Related Topics

      Subject / Started by Replies Last post
    5 Replies
    2479 Views
    Last post 10 January, 2012, 01:59:58 PM
    by Mei
    28 Replies
    7942 Views
    Last post 26 January, 2010, 12:52:45 AM
    by 5zul
    3 Replies
    1166 Views
    Last post 31 January, 2010, 05:41:18 PM
    by naim_mahmood