Adab-adab berdoa

*

Author Topic: Adab-adab berdoa  (Read 5864 times)

0 Halaqian and 1 Guest are viewing this topic.

15 April, 2009, 07:05:22 PM
  • Publish

  • Adap-Adap Berdoa

    Dipetik dari buku ‘Kaifiyat Mempertajam Mata Hati Dalam Mengenal Allah” – Syaikh Ibnu ‘Athaillah Al – Sukandari.Dari Imam Al-Ghazali – beberapa adab yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan oleh orang yang sedang berdoa:

    1. Dilakukan pada saat-saat yang mulia, seperti hari ‘Arafah, bulan Ramadhan, hari Jumaat, antara dua khutbah solat Jumaat, antara azan dan iqamah dan sebagainya.

    2. Dilakukan dengan penuh khidmat

    3. Menghadap ke kiblat dan menadahkan kedua-dua belah tangan.

    4. Merendahkan suara, sekadar dapat didengar oleh telinga sendiri.

    5. Menggunakan bahasa yang sederhana atau lebih diutamakan menggunakan doa-doa yang berasal daripada Rasulullah saw, para sahabat dan tabiin.

    6. Khusyuk dan merendahkan diri.

    7. Meyakini bahawa doanya akan dikabulkan dan tidak merasa kecewa atau berputus asa apabila doanya belum dikabulkan.

    8. Mengulang-ulangi doanya dengan penuh keyakinan.

    9. Memulai doanya dengan menyebut nama Allah, memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi Muhammad saw, serta diakhiri dengan bacaan hamdalah atau kalimah yang memuji Allah.

    10. Melaksanakan adab batin, yakni:

    i. Bertaubat sebelum berdoa.

    ii. Menghadapkan diri sepenuhnya kepada Allah.

    iii. Makan dan minum serta berpakaian dari barang yang halal.

    iv. Tidak meminta perkara-perkara yang mustahil.

    v. Tidak meminta untuk mencelakakan orang lain, kecuali orang yang zalim.
    « Last Edit: 09 October, 2009, 04:47:42 PM by Ummi Munaliza »
    Pengurusan, Pentadbiran Forum Halaqahnet.
    Penal Utama Baitul Muslim


    Reply #1 15 April, 2009, 07:11:14 PM
  • Publish
  • Doa mohon ditambahkan ilmu

    WAHAI Tuhanku, tambahkanlah ilmuku. (Taha: 114)

    Keterangan Ayat

    Menurut al-Tibi, ayat ini mempunyai kaitan dengan ayat yang sebelumnya.

    Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya yang menimbulkan rasa kagum kepada sesiapa yang memahami ayat-ayat Allah. Disebabkan perkara itu, maka agungkanlah Allah dan bersungguh-sungguh untuk menghafaz ayat-ayat-Nya tetapi jangan tergopoh-gapah.

    Nabi SAW para peringkat awal diturunkan wahyu sentiasa mengikut Jibrail a.s. membaca al-Quran sebelum Jibrail berhenti. Perkara ini dilakukan oleh Nabi kerana takut Jibrail pergi sebelum Baginda dapat mengikut kesemuanya.

    Allah SWT menurunkan ayat ke-114 ini untuk menegur kesilapan Nabi SAW itu kerana ia mungkin menyebabkan Nabi tidak dapat mengikuti apa yang akan dibacakan seterusnya.

    Kemudian Allah SWT mengajarkan Nabi Muhammad SAW agar berdoa meminta Allah menyemarak dan menambahkan ilmu Baginda. (Tafsir Ruhil Ma’ani, ayat ke 114 surah Taha)

    Khasiat dan kaifiat beramal

    Menurut al-Imam Ibnu Badis al-Sanhaji, hati tidak akan sekali-kali memperoleh apa yang sedang dipelajari sehinggalah lidah berhenti daripada berkata-kata. Dengan sebab itu, seseorang pelajar hendaklah mendiamkan diri daripada berkata-kata sama ada secara jelas atau berbisik semasa proses pembelajaran berlaku. (Tafsir Ibnu Badis, tafsir ayat 114, surah Taha)

    Perkara ini patut menjadi amalan semua golongan. Tidak terbatas kepada para pelajar sahaja malah setiap orang yang berkomunikasi dan berinteraksi. Inilah tips dan petua menyelamatkan keadaan daripada berlakunya silap faham dalam hubungan suami isteri, dengan kawan-kawan di tempat kerja, dalam perdebatan dan lain-lain. (Tafsir Ibnu Badeis, tafsir ayat 114, surah Taha).

    Reply #2 15 April, 2009, 07:16:16 PM
  • Publish
  • Doa Mohon Rezeki

    DAN tiadalah sesuatu pun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Loh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan. (Hud: 6)



    Keterangan Ayat

    Menurut sebuah hadis riwayat al-Hakim dan al-Tirmizi daripada Zaid bin Aslam r.a., beberapa orang sahabat Nabi daripada keluarga al-Asy’ariyyin yang baru sampai dari perjalanan berhijrah merasa lapar. Mereka telah mengutuskan seorang daripada kalangan mereka untuk mendapatkan makanan daripada Rasulullah SAW.

    Apabila wakil mereka sampai ke rumah Nabi, beliau mendengar Nabi SAW sedang membacakan ayat ini. Rasa yakin akan rezeki Allah menerusi ayat yang dibacakan oleh Nabi itu menyebabkannya pulang semula tanpa meminta. Sesampainya kepada sahabat-sahabat seperjalanannya, dia terus memaklumkan bahawa rezeki Allah akan sampai kepada mereka.

    Mereka menyangka beliau telah membuat permintaan kepada Nabi. Tiba-tiba datanglah dua orang lelaki membawa roti dan daging untuk mereka. Walaupun mereka telah menikmati sepuas-puasnya, namun masih banyak yang tinggal. Mereka akhirnya meminta agar dibawa pulang kepada Nabi untuk diagihkan kepada orang lain.

    Selepas itu mereka berjumpa dengan Nabi dan mengucapkan terima kasih atas hidangan lazat yang dihantarnya. Nabi menafikan penghantaran makanan itu. Sahabat yang berkenaan itu akhirnya telah membuat pengakuan tidak meminta daripada Nabi SAW. Nabi SAW kemudiannya mengatakan itulah dia rezeki yang Allah janjikan buat makhluk-Nya. (Tafsir al-Qurtubi, al-Durrul Manthur, tafsir ayat ke-6, surah Hud)



    Khasiat dan Kaifiat Beramal

    Amalkan membaca ayat ini dengan penuh keyakinan akan bantuan Allah. Mintalah rezeki daripada-Nya. Dia berkuasa memberikan kurnia-Nya yang melimpah ruah.

    Reply #3 15 April, 2009, 07:21:59 PM
  • Publish
  • Doa agar tergolong orang beriman

    WAHAI Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikuti Rasul-Mu. Oleh itu masukkanlah kami berserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaan-Mu dan kebenaran Rasul-Mu). (Ali-Imran: 53).

    Keterangan ayat

    Ibn Jarir mengatakan bahawa apabila Nabi Isa a.s. dikepung bersama 19 pengikutnya daripada kalangan al-Hawariyyin di Baitul Maqdis. Maka Nabi Isa telah berkata kepada pengikutnya:

    “Siapakah yang akan mengambil wajahnya untuk dibunuh oleh musuh. Sebagai balasannya, Allah akan memberikan kepadanya syurga.” Maka seorang daripada mereka menerimanya lalu Allah mengangkat Nabi Isa ke langit. (tafsir Ibn Jarir, tafsir ayat 53, surah Ali-Imran).

    “Masukkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi” bermaksud bersama Nabi Muhammad SAW dan umat baginda (tafsir al-Fakhrurrazi, tafsir ayat 53, surah Ali-‘Imran).

    Jika Nabi Isa .a.s. yang mulai memohon tersenarai sebagai umat Nabi Muhammad SAW, alangkah malunya kita jika tidak memohon mendapatkan kemuliaan itu.


    Khasiat dan kaifiat beramal

    Amalkanlah membaca doa ini untuk dibangkitkan dalam rombongan Nabi Muhammad SAW pada hari akhirat kelak. Antara kelebihannya ialah jika diucapkan selepas solat sebelum berkata-kata dengan sesiapa, maka Allah SWT akan memasukkannya dalam doa setiap makhluk-Nya di lautan dan daratan. (tafsir al-Fakhrurrazi, tafsir ayat 53, surah Ali-Imaran).

    Reply #4 15 April, 2009, 07:25:57 PM
  • Publish
  • Doa untuk bayi yang baru lahir

    Allah berfirman:...Aku melindungi dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya daripada godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan). (ali-‘Imran: 36)


    Keterangan ayat:

    Hinnah Faquza, isteri Imran sewaktu telah lanjut usianya melihat seekor burung memberi makan kepada anaknya. Terlintas dalam fikirannya untuk mendapat anak. Dia bernazar kepada Allah jika mendapat anak lelaki akan disuruh memberi khidmat kepada Baitulmaqdis.

    Allah memakbulkan doanya tetapi dikurniakan anak perempuan. Lazimnya, tanggapan umum kepada anak lelaki ialah fizikalnya lebih hebat untuk menjaga rumah suci itu.

    Walaupun begitu, bayi ini adalah anugerah Allah yang wajib disyukuri. Tambahan pula ia adalah bayi perempuan yang sempurna dan cantik. Nama yang diilhamkan oleh Allah untuk diberikan ialah Mariam yang bermakna kuat ibadat dan khidmatnya untuk Allah.

    Ia juga dinamakan dengan keyakinan akan menjadi wanita yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah.

    Munajatnya kepada Allah ialah ayat di atas,...memohon kasih-Nya agar dijaga Mariam dan keturunannya daripada syaitan yang dilaknat.

    Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah bersabda, “setiap anak yang dilahirkan akan diganggu oleh syaitan melainkan Mariam kerana doa yang dibacakan oleh ibunya itu”.



    Khasiat dan kaifiat beramal:

    Amalkanlah membaca doa ini kepada anak yang baru dilahirkan untuk mendapat perlindungan Allah. (Tafsir al-Khazin, tafsir ayat 36 surah ali-‘Imran)

    Reply #5 15 April, 2009, 07:29:44 PM
  • Publish
  • Doa menghindari sihir

    Menurut Ibn Abi Hatim dan Abu al-Sheikh daripada Laith bin Abi Sulaim r.a, beliau berkata: “Ayat ini dapat menjadi penawar kepada perbuatan sihir dengan izin Allah”.

    Allah SWT menjelaskan perjuangan Nabi Musa a.s dan penentangannya kepada Firaun, menyebabkan Firaun mengumpulkan semua ahli sihir terkemuka pada zamannya untuk melawan utusan Allah itu.

    Apabila Nabi Musa a.s dan ahli-ahli sihir sudah dihimpunkan di hadapan khalayak ramai pada hari yang dijanjikan itu, maka pertandingan dimulakan dengan dialog, siapakah yang akan memulakan kehebatan masing-masing.

    Ahli-ahli sihir sudah pun dijanjikan dengan pelbagai nikmat dunia seperti pangkat, harta dan sebagainya jika berjaya mengalahkan Nabi Musa.

    Ahli-ahli sihir mula mencampakkan tali-tali mereka lalu gemparlah suasana melihat ular-ular besar yang menakutkan di hadapan mereka. Nabi Musa turut rasa gentar sehinggalah turun wahyu Allah kepadanya supaya bertenang dan membaca ayat-ayat di atas.

    Kemudian, giliran Nabi Musa pun sampai. Lalu tongkatnya dilepaskan. Ahli-ahli sihir menjadi gamat kerana apa yang berlaku di hadapan mereka bukanlah sihir olok-olok. Ia adalah kebenaran dari langit tinggi. Mereka akhirnya beriman kepada Musa meninggalkan Firaun dalam kebingungan. (Fi Zilalil Quran, tafsir surah Yunus ayat 81-82).


    Khasiat dan kaifiat beramal

    Caranya ialah dengan membacakan ayat-ayat ini bersama ayat ke 118 hingga 121 surah al-A’raaf dan ayat ke 69 surah Taha kepada bekas yang mengandungi air.

    Kemudian air itu disiram ke atas kepala orang yang terkena sihir itu. (al-Durrul Manthur, tafsir ayat 81-82 surah Yunus)

    Reply #6 15 April, 2009, 08:03:52 PM
  • Publish
  • Doa mohon kebaikan

    PATUTKAH sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain daripada agama Allah? Padahal kepada-Nyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nyalah mereka dikembalikan. (ali-‘Imran: 83).


    Keterangan ayat:

    “Taat secara sukarela” adalah umat Islam, manakala maksud “secara terpaksa” ialah golongan kafir. Mereka taat secara paksa kerana mereka tercari-cari tempat pergantungan. Malangnya, mereka terpaksa taat kepada nafsu syahwat mereka bagi memenuhi naluri ingin bertuhan. Pada hari akhirat kelak mereka terpaksa taat kepada Allah SWT. (Tafsir Ibn Jarir, tafsir ayat 83, surah Ali-‘Imran).


    Khasiat dan kaifiat beramal:

    Menurut al-Tabarani dalam al-Awsat, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah ayat ini kepada seseorang yang buruk perangainya dari kalangan anak, pekerja dan kenderaan agar berubah kepada yang lebih baik. Caranya ialah dengan membacakan ayat ini pada telinganya”. (riwayat Ibn Sunni, Lihat al-Azkar, Bab Menghadapi kenderaan bermasalah, Tafsir al-Fakhrurrazi, tafsir ayat 83, surah Ali-‘Imran).

    Reply #7 09 October, 2009, 05:01:58 PM
  • Publish

  • Doa Dan Zikir Menurut Al-Quran Dan As-Sunnah
    Ust Dr Abdullah Yasin

    ١) عن أبى موسى قال: كُنَّا مَعَ النِِّبيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِى سَفَرٍ ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَجْهَرُوْنَ بِالتكْبِيْرِ وَالتَّهْلِيْلِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أيُّهَا النَّاسُ ارْبَعُوا عَلىَ أنْفُسِكُمْ إِنَّكُمْ لاَ تَدْعُوْنَ أصَمَّ وَلاَ غَائِبًا ، إِنَّكُمْ تَدْعُوْنَ سَمِيْعًا قَرِيْبًا ، وَهُوَ مَعَكُمْ
    (رواه مسلم)
     
    ٢) عن سَعْدِ بْنِ أَبِى وَقَّاص فَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: خَيْرُ الذِّكْرِ الخَفِيُّ وَخَيْرُ الرِّزْقِ مَا يَكْفِى
    (رواه أحمد وابن حبان)

    Terjemahan:
     
    1.Daripada Abi Musa (ra), katanya: Kami pernah bersama Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) dalam satu perjalanan (safar), lalu manusia (para sahabat) bertakbir (Allahu Akbar) dan bertahlil (Laa Ilahaa Illal Laah) dengan suara keras, maka Nabi (sallallahu alaihi wasalam) pun bersabda:
     
    “Rendahkanlah suara kamu! Sesungguhnya kamu tidak berdoa (memohon) kepada yang pekak dan tidak pula kepada yang jauh. Sesungguhnya kamu memohon kepada Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat, dan Dia senantiasa bersama kamu”.
    [HR Muslim]
     
     
    2.Daripada Sa’ad Bin Abi Waqqas (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam):
     
    “Sebaik zikir ialah perlahan-lahan, dan sebaik-baik rezki ialah apa yang mencukupi”.
    [HR Ahmad, Ibnu Hibban – Sahih]
     
    Muqaddimah:

     
    Doa dan zikir adalah termasuk jenis ibadah khusus yang sangat penting. Oleh sebab itu agar kedua-duanya sempurna dan diterima oleh Allah maka kita mestilah melakukannya dengan ikhlas dan mengikuti cara yang telah diajar oleh Rasulullah.
     
    Bagi kita yang berfahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah akan akur dan setuju selalu dengan segala bimbingan dan cara beramal yang datang daripada Allah (Al-Quran) dan RasulNya (Sunnah). Betapa tidak! Bukankah doa dan zikir kita panjatkan kepada Allah? Bukankah cara zikir dan doa Rasulullah yang paling baik dan sempurna? Apalagi menurut kaedah Ushul:
     
     

    الأَصْلُ فِى العِبَادَةِ حَرَامٌ إِلاَّ مَا أَمَرَهَا اللهُ وَرَسُوْلُهُ

    “Hukum asal dalam ibadah adalah haram (dilarang) kecuali apa yang disuruh oleh Allah dan RasulNya”.

     
     
    Jadi, kaedah ini mengajar kita agar beribadah hendaklah berasaskan dalil Al-Quran dan Al-Hadis, bukan berasaskan apa yang orang ramai amalkan. Bagi kita pengikut Ahlus Sunnah Wal Jamaah, hanya Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) saja manusia yang mempunyai autoriti (kuasa) untuk menentukan bagaimana cara beribadah yang betul kepada Allah SWT sebab hanya beliau yang mendapat bimbingan langsung daripadaNya melalui wahyu.
     
     
     
    Berdoa Dan Berzikir Hendaklah Dengan Suara Lunak (Lembut):

     
    Selain hadis-hadis di atas, juga banyak ayat-ayat Al-Quran yang menyuruh kita agar berdoa dan berzikir dengan suara lunak dan melarang kita melakukannya dengan suara keras dan lantang. Di antara ayat-ayat tersebut ialah:
     
     

    ادْعُواْ رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
    Artinya:
    "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendahkan diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas."
    (Al-A’raaf 7:55)
     

     وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعاً وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ وَلاَ تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ

    Artinya:"Dan berzikirlah (sebutlah nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai." (Al-A’raaf 7:205)
     
    Menurut Imam Al-Maraghi dalam tafsirnya (Juz: 7-9, hal 175-176):
     
    Ayat-ayat di atas seolah-olah memberi gambaran kepada kita bahwa berdoa dan berzikir dengan suara lunak, walaupun hukumnya bukan wajib tetapi paling kurang hukumnya adalah sunat (mandub), ini berdasarkan beberapa dalil:
     
    1.Allah SWT memuji sikap NabiNya Zakaria ketika beliau berdoa: “iaitu ketika ia berdoa kepada Tuhannya dengan suara yang lembut” (Maryam :3).
     
    2.Berdasarkan beberapa hadis sahih daripada Abi Musa dan Sa’ad Bin Abi Waqqas (Lihat dua hadis bab di atas).
     
    3. Jiwa manusia sanagat cenderong kepada riyak dan sum’ah. Jika suara ditinggikan ketika berzikir dan berdoa maka akan segera muncul sifat tercela itu, dan akhirnya musnahlah amalannya tanpa faedah. Oleh itu adalah lebih afdhal jika dilakukan dengan suara lunak agar terhindar daripada riyak dan sum’ah.
     
    Berzikir Dan Berdoa Dengan Suara Sederhana:

     
    Yang dimaksudkan berzikir dan berdoa dengan suara lunak di sini bukan pula bermakna sampai tidak bersuara langsung. Ibnu Abbas berkata: Maksud ayat: “Dan dengan tidak mengeraskan suara” (Al-A’raaf :205) ialah hendaklah ia berzikir kepada Allah sekira-kira dapat didengar oleh telinganya sendiri (Gharaaib Al-Quran Jld. 7-9, hal 111).
     
    Sebahagian utama pula membagi doa dan zikir berdasarkan keadaan.
    Kata mereka:
     
    “Berzikir dengan suara yang sederhana kuatnya adalah baik sekiranya orang tersebut sedang bersendirian (Khalwat) dan terlindung dari pandangan orang ramai dan mereka tidak mendengar suara zikir dan do’anya ataupun kekerasan suaranya itu tidak sampai mengganggu ibadat dan munajat mereka kepada Allah. Adapun jika berzikir dan berdo’a bersama dengan orang ramai seperti di dalam masjid atau perhimpunan dan lain-lain maka yang paling baik adalah dengan suara yang lunak, kecuali terhadap zikir yang warid (datang) dari Nabi (sallallahu alaihi wasalam) agar dilakukan bersama-sama dan dengan suara yang keras seperti: Talbiyah ketika Haji dan Takbir Dua Hari Raya”
    (Lihat Al-Maraghy: Jilid 7-9, hal: 176).
     
    Allah Tidak Suka Kepada Orang Yang Melampaui Batas:

     
    Adalah sangat aneh dan ganjil jika seseorang mengharap redha dan kasih sayang Allah, mengharap agar doanya diterima oleh Allah tetapi ia sendiri melakukan perkara yang tidak disukai oleh Allah. Dalam ayat 55 Surah Al-A’raaf di atas:
    "Sesudah Allah membimbing kita agar memohon kepadaNya dengan suara lunak, lalu Allah menyatakan bahwa Dia tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan atau melampaui batasanNya."
     
    Imam Al-Maraghy menjelaskan maksud ayat: “Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas” iaitu
     
    Melampaui batas dalam berdoa mengandungi beberapa bentuk, antaranya:
     
    1. Melampaui batas dalam lafaz (sebutan) dia, iaitu seperti mengeraskan suara ketika berdoa atau terlalu terikat dengan sajak-sajak pada setiap akhir bahagian doa dan dlsb.
     
    2.Melampaui batas dalam makna doa, iaitu seperti memohon sesuatu yang nyata-nyata maksiat, mohon kaya tetapi tidak berusaha, memohon ampunan daripada Allah tetapi masih terus saja bergeliman maksiat, dlsb.
     
    3. Melampaui batas dalam cara berdoa, iaitu seperti memohon kepada selain Allah, atau menggunakan perantaraan ketika berdoa kepada Allah dan menyebut nama wali-wali tertentu dan meyakini kononnya tanpa menyebut orang perantaraan tersebut doanya tidak akan makbul, dlsb
     
    Kesimpulan:
     
    1. Cara Berdoa dan berzikir yang paling tepat ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dan RasulNya.
     
    2. Ahlus Sunnah Wal Jamaah akan senantiasa berusaha agar ibadah mereka bersesuaian dan tidak bercanggah dengan kehendak Al-Quran dan As-sunnah.
     
    3. Berdoa dan berzikir (wirid) kuat yang dilakukan setelah solat berjamaah adalah bercanggah dengan kehendak ayat dan hadis, apalagi ia boleh mengganggu kekhusyu’an orang lain yang sedang beribadat.

    Reply #8 09 October, 2009, 06:15:20 PM
  • Publish

  • Bagi mempastikan doa kita diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala, hendaklah kita menjaga adab-adab dan tata tertib ketika berdoa, di antaranya ialah hendaklah ia dalam keadaan berwuduk, memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji nama Allah Subhanahu Wata'ala serta memberi selawat dan salam kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Ketika berdoa juga disunatkan menghadap kiblat dengan suara yang rendah sambil menadah dua tangan. Apa yang penting, dalam berdoa hendaklah bersungguh-sungguh dan khusyuk serta yakin doa akan diperkenankan.

    Selain itu, jika kita tidak mahu doa kita ditolak, kita hendaklah memastikan makanan, minuman dan pakaian adalah adalah daripada sumber yang halal. Dalam sebuah kisah, Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam menceritakan tentang seorang lelaki yang telah melalui suatu perjalanan yang jauh, lelaki tersebut dalam keadaan kusut masai dan berdebu rambutnya, menadahkan kedua-dua tangannya ke arah langit untuk berdua seraya berkata : 'Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Sedangkan makanan lelaki itu dari sumber yang haram, minumannya dari sumber yang haram, pakaiannya dari sumber yang haram dan ia makan makanan yang haram, lalu bagaimanakah doanya akan diterima?'.

    Perlu diingat juga bahawa kita tidaklah boleh berdoa dengan sesuatu yang tidak munasabah dan mustahil ataupun mendoakan keburukan dan kecelakaan kepada saudaranya yang lain.

    Doa itu mempunyai kelebihan dan fadilat yang banyak dan sangat besar. Melalui doa, keampunan dan rahmat akan diperolehi manakala musibah dan kesusahan boleh terhindar. Selain daru itu, doa juga boleh menghindarkan daripada bala, walaupun bala itu sudah merupakan qada (ketentuan Allah Subhanahu Wata'ala). Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menjelaskan dalam sebuah hadis Baginda maksudnya :

    "Dari Sulaiman katanya : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tiada yang boleh menolak qada Allah kecuali doa dan tiada yang boleh menambah umur kecuali dengan berbuat amal kebajikan". (Riwayat Al-Imam At-Termidzi)

    Oleh itu sentiasalah berdoa baik ketika senang atau susah, namun perlu diketahui bahawa orang yang memperbanyakkan doa ketika ia berada dalam keadaan senang maka Allah akan mengkabulkan doanya ketika ia dalam keadaan susah. Amat rugilah bagi orang yang tidak berdoa kerana menutup bagi dirinya berbagai-bagai kebaikan dan mendedahkan dirinya kepada kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala.

    Reply #9 09 October, 2009, 06:20:18 PM
  • Publish


  • Terdapat banyak waktu jika kita berdoa di dalamnya, doa akan mudah dan cepat dimakbulkan, di antaranya berdoa pada malam jumaat dan hari jumaat, waktu di antara azan dan iqamah, ketika sujud dalam sembahyang, dalam bulan Ramadhan, pada malam qadar, hari Arafah, pada satu pertiga malam, selepas menunaikan sembahyang fardu dan banyak lagi. Apa yang mendukacitakan ada segelintir orang yang tidak mengambil berat akan amalan berdoa, dimana setelah selesai mengerjakan sembahyang, mereka akan terus bangkit tanpa berdoa terlebih dahulu. Ini termasuklah ketika mengerjakan sembahyang berjemaah di masjid.

    Ingatlah bahawa orang yang tidak mahu berdoa dianggap sebagai orang yang sombong kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

    Dengan berdoa,  menunjukkan kita taat dan ingat Allah Subhanahu Wata'ala. Amalkanlah berdoa di setiap masa dan dalam apa jua keadaan kita sama ada di kala senang mahupun susah. Bukankah Allah telah memerintahkan kita supaya berdoa kepada-Nya sebagaimana maksudnya firman-Nya : 'Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu'. Oleh itu mintalah kepada-Nya kerana kepada Allah saja tempat meminta pertolongan. Semoga doa kita diterima Allah Subhanahu Wata'ala dan kita semua menjadi hamba-hamba-Nya yang soleh, Amin Ya Rabbal'alamin.

    Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 186 tafsirnya :

    "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai-Ku maka beritahu kepada mereka : Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dengan mematuhi perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul".

    Reply #10 09 January, 2011, 03:45:25 AM
  • Publish
  •  :)

     beberapa perkara yang perlu difahami iaitu :

    1. Kita hendaklah sungguh-sungguh yakin bahawa do'a kita akan dikabulkan oleh Allah.

    اُدْعُوا اللهَ وَأَنْتُمْ مُوْقِنُوْنَ بِاْلإِجَـابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللهَ لاَ يَسْتَجِيْبُ

    دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

    Sabda Nabi s.a.w maksudnya : "Berdoalah kamu kepada Allah, sedangkan kamu benar benar yakin akan dikabulkan. Dan ketahuilah olehmu bahawa Allah s.w.t.. tidak akan mengabulkan do'a dari hati yang lalai dan tidak bersungguh-sungguh". (Hadis Riwayat Tarmizi dan Al Hakim - Hadis Hasan)


    2. Hendaklah tekun dan tidak terburu buru.

    لاَ يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ مَالَمْ يَدْعُ بِـإِثْمٍ أَوْ قَطِيْعَةِ رَحِمٍ مَـالَمْ يَسْتَعْجِلْ ،

    قِيْلَ يَارَسُوْلَ اللهِ فَمَا اْلإِسْتِعْجَالِ ؟ قَالَ: يَقُوْلُ قَدْ دَعَوْتُ فَلَمْ أَرَ يُسْتَجَبْ لِى فَيَسْتَحْسِرُ عِنْدَ ذَلِكَ وَيَدَعُ الدُّعَـاءَ.

    Sabda Nabi s.a.w. maksudnya.:" Akan dikabulkan do'a hamba selagi ia tidak berdo'a dengan dosa atau memutuskan sllaturrahim selama ia tidak isti'jaal. Lalu baginda ditanya:" Ya Rasulallah, apakah yang dikatakan lsti’jaal? "Jawab Nabi s.a.w.:" Dia berkata: Sungguh aku telah berdo'a tetapi tidak juga dikabulkan, lalu ia menyesal dan akhirnya ia tidak berdo'a lagi." (Hadis Riwayat Imam Musllm)


    3. Berdo'a dalam semua keadaan:

    مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيْبَ اللهُ لَـهُ عِنْدَ الشَّدَائِدِ وَالْكُرْبِ ،

    فَلْيُكْثِرِ الدُّعَاءَ فِى الرَّخَـاءِ.

    Sabda Nabi s.a.w maksudnya : "Barangsiapa yang ingin agar Allah mengabulkan do'anya ketika ia sedang susah, maka hendaklah ia memperbanyak do'a ketika ia sedang hidup senang. (Hadis Sahih Riwayat Tarmidzi dan Al Hakim)


    4. Tidak mengutuk keluarga dan hartanya:

    لاَ تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ وَلاَ تَدْعُوا عَلَى أَوْلاَدِكُمْ وَلاَ تَدْعُوا عَلَى أَمْوَالِكُمْ ،

    لاَ تُوَافِقُوا مِنَ اللهِ سَاعَةً يُسْأَلُ فِيْهَا عَطَاءٌ فَيَسْتَجِيْبُ لَكُمْ.

    Sabda Nabi s.a.w maksudnya : "Janganlah kamu mengutuk dirimu, dan jangan pula mengutuk anak-anak kamu dan harta kamu (kerana) ada suatu masa yang jika bertepatan do'a kita pada waktu itu nescaya pasti Allah mengabulkannya. (Hadis Riwayat Imam Muslim)


    5. Jangan memohon kepada selain Allah:

    قَالَ رَسُوْلُ اللهِ لابْنِ عَبَّاٍس رَضِىَ اللهُ عَنْهُمَا: يَا غُلاَمُ ، إِنِّى أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ:

    اِحْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ ، اِحْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَـاهَكَ ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ ،

    وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ.

    Sabda Nabi s.a.w. kepada Ibnu Abbas maksudnya :" Wahai anakku, jlka engkau meminta maka mintalah kepada Allah, dan jika engkau memohon pertolongan maka mohonlah pertolongan kepada Allah. (Hadis Hasan Riwayat Tarmidzi)


    6. Berdo'a dengan suara yang sederhana:

    Allah berfirman maksudnya :
    "Berdo'alah kepada Tuhanmu dengar merendah diri dan suara yang lembut, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas (tentang yang diminta dan cara meminta).
    (Surah Al A’raf ayat 55)

    Sabda Nabi s.a.w :

    اِرْبَعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ ، إِنَّكُمْ لاَ تَدْعُوْنَ أَصَمَّ وَلاَ غَائِبًـا ،

    إِنَّكُمْ تَدْعُوْنَ سَمِبْعًا بَصِيْرًا.

    "Kasihanilah dirimu, sesungguhnya kamu tidak memohon kepada yang pekak dan ghaib, sesungguhnya kamu mohon kepada Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Hadis Riwayat Imam.Bukhari dan Muslim)


    7. Memohon dengan Al Asmaa-ul Husna:

    Allah berfirman:

    وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ

    Maksudnya : "Hanya milik Allah " asmaa- ul husnaa" itu, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaa-ul husnaa itu dan tinggalkanlah orang orang yang menyimpang dalam (menyebut) nama nama-Nya. (Surah Al A’raf ayat 180)


    Rasulullah s.a.w.. pernah mendengar seorang lelaki berdo'a dalam tasyahhudnya:

    اَللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ يَااللهُ اْلأَحَـدُ الصَّمَدُ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُوْلَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَـهُ

    كُفُوًا أَحَدٌ ، أَنْ تَغْفِرَلِى ذُنُوْبِى إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

    Ertinya: " Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ya Allah Yang Maha Esa lagi tempat meminta, yang tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak serupa dengan seorang juapun, kiranya Engkau ampunilah segala dosaku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". LaIu sabda Nabi: Sesungguhnya dia telah diampuni, sesungguhnya dia telah diampuni. (Hadis Sahih Riwayat Abu Daud, An Nasaai)


    8. Mengaku berdosa:

    Sabda Nabi s.a.w : Penghulu istighfaar ialah:

    اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّى لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ ، خَلَقْتَنِى وَأَنَا عَبْدُكَ ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوْذُبِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ،

    أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوْءُ بِذَنْبِى فَاغْفِرْلِى فَـإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ.

    Ertinya: "Ya Allah, Engkau Tuhanku, tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkau telah menciptaku dan aku hamba-Mu, dan aku (terikat) dengan janji-Mu semampu yang aku boleh (laksanakan), aku memohon perlindungan kepada-Mu dari kejahatan yang aku lakukan, aku mengakui bahawa semua nikmat yang Engkau berikan kepadaku adalah milikMu, dan aku mengakui terhadap dosa dosaku, oleh itu ampunilah aku, kerana sesungguhnya tiada yang dapat memberi ampunan kecuali hanya Engkau". (Hadis Riwayat Bukhari
    )

    Fadilatnya Penghulu Istighfar: Barangsiapa yang membacanya pada waktu siang dengan penuh keyakinan lalu dia mati sebelum petang maka ia termasuk ahli Syurga. Dan siapa yang membacanya pada waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia mati sebelum pagi maka ia termasuk ahli Syurga. (Hadis Riwayat Bukhari)

    9. Jangan terikat dengan sajak dalam do'a:

    Ibnu Abbas menasihati sahabat-sahabatnya:

    فَانْظُرِ السَّجْعَ مِنَ الدُّعَاءِ فَاجْتَنِبْهُ فَإِنِّى عَهِدْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهَ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابَهُ لاَ يَفْعَلُوْن إِلاَّ ذَلِكَ ؛

    يَعْنِى لاَ يَفْعَلُوْنَ إِلاَّ ذَلِكَ اْلإِجْتِنَابُ.

    Jauhilah sajak ketika kamu berdo'a, kerana Rasulullah dan para sahabatnya tidak melakukan perkara demikian. (Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari)


    10. Berdo'a dengan khusyu' dan merendah diri:

    Allah berfirman:

    وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ (205)

    Maksudnya : "Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang orang yang lalai." (Surah Al A'raf ayat 205)


    Allah berfirman:

    كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ(90)

    Maksudnya : "Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yanq khusyu' kepada kami." (Surah Al Anbiyaa' ayat 90)

    11. Bertaubat dan menjauhkan diri dari segala bentuk dosa :

    Rasulullah s.a.w. berkata tentang seorang lelaki yang mengangkat kedua tangannya ke langit, sambil berdo'a:

    يَارَبِّ يَارَبِّ ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذَّى بِالْحَرَامِ ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَـهُ.

    "Ya Tuhanku, Ya Tuhanku, sedangkan makanannya haram, pakaiannya haram, dan hidup bergelimang dengan perkara haram maka bagaimanakah do'a akan dikabulkan Allah? (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


    12. Berdo'a dengan amal soleh :

    Agar do'a kita segera dikabulkan oleh Allah s.w.t.. maka kita boleh berdo'a kepada-Nya sambil bertawassul dengan amal soleh yang pernah kita lakukan. Allah sangat suka kita menyebut-nyebut amal soleh kita kepada-Nya.

    Dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari dan Muslim diceritakan tentang tiga orang yang masuk kedalam gua kerana hujan lebat. Mereka terkurung di dalamnya kerana batu besar yang jatuh dari atas gunung menutupi pintu gua tersebut. Mereka berdo'a kepada Allah sambil menyebut-nyebut amal soleh masing masing. Do'a mereka makbul dan akhirnya selamat keluar.

    13. Mengulangi do'a sebanyak tiga kali:

    Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawa Abdullah Bin Mas'ud berkata: Baginda Rasulullah s.a.w jika berdo'a, baginda berdo'a sebanyak tiga kali, dan jika baginda memohon baginda memohon sebanyak tiga kali.

    14. Bersalawat kepada Nabi s.a.w.:

    Sabda Nabi s.a.w :

    كُلُّ دُعَاءٍ مَحْجُوْبٌ حَتَّى يُصَلِّى عَلَى النَّبِيِّ.

    Maksudnya : "Tiap- tiap do'a akan terhalang sehingga dia bersalawat kepada Nabi s.a.w. (Hadis Hasan)


    15. Menghadap Kiblat:

    Dari Abdullah Bin Mas'ud r.a. katanya:

    اِسْتَقْبَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقِبْلَةَ ، فَدَعَا عَلَى نَفَرٍ مِنْ قُرَيْشٍ.

    Nabi Muhammad s.a.w. menghadap ke Ka'bah, lalu beliau berdo'a mengutuk beberapa orang dari golongan Quraisy. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


    16. Mengangkat kedua-dua tangan:

    Abdullah Bin Omar r.a. berkata:

    رَفَعَ النَّبِيُّ (صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ) يَدَيْهِ فَقَالَ : اَللَّهُمَّ إِنِّى أَبْرَأُ إِلَيْكَ مِمَّا صَنَعَ خَالِدٌ مَرَّتَيْنِ

    Nabi Muhammad s.a.w. mengangkat kedua-dua tangannya, lalu baginda berdo'a: "Ya Allah, aku berlepas diri kepada-Mu daripada apa yang dilakukan oleh Khalid (dua kali)." (Diriwayatkan oleh Al Bukhari)

    Berkata Abu Musa:

    ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ فَقَالَ: اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعُبَيْدِ أَبِى عَامِرٍ ، رَأَيْتُ بَيَاضَ إِبْطَيْهِ.

    Kemudian baginda Nabi s.a.w. mengangkat kedua-dua tangannya, lalu beliau berdo'a: "Ya Allah, ampunilah dosa 'Ubaid Bin 'Amir, dan aku melihat keputihan ketiak baginda."(Hadis Riwayat Imam Bukhari)


    17. Berwudhu' sebelum berdo'a:

    Berkata Abu Musa r.a : " Sebelum 'Ubaid Abu 'Amir meninggal dunia, dia telah berpesan kepada aku agar aku menyampaikan salamnya kepada Nabi Muhammad s.a.w.. dan memohon do'anya agar Allah mengampuni dosa-dosanya. Ketika pesanan tersebut aku sampaikan kepada baginda Rasul s.a.w lalu baginda menyuruhku agar mengambil sebekas air untuknya. Kemudian beliau berwudhu' dan mengangkatkan kedua-dua tangannya sambil berdo'a: "Ya Allah, ampunilah dosa 'Ubaid Abi 'Amir; dan aku melihat keputihan ketiak baginda. Baginda seterusnya berdo'a:

    :اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعُبَيْدِ بْنِ عَامِرٍ ، رَأَيْتُ بَيَاضَ إِبْطَيْهِ ، ثُمَّ قَالَ

    اَللَّهُمَّ اجْعَلْهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَوْقَ كَثِيْرٍ مِنْ خَلْقِكَ مِنَ النَّـاسِ.

    "Ya Allah, ampunilah dosa 'Ubaid Abi 'Amir; dan aku melihat keputihan ketiak baginda. Baginda seterusnya berdo'a:" Ya Allah, jadikanlah dia pada Hari Kiamat sebagai orang yang mulia mengatasi kebanyakan makhluk-Mu."

    Lalu akupun berkata: Mohon ampunan jugalah untuk aku ya Rasulullah.

    Kemudian baginda berdo'a:

    اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعَبْدِ اللهِ بْنِ قَيْسٍ ذَنْبَهُ ، وَأَدْخِلْهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مُدْخَلاً كَرِيْمًا

    "Ya Allah, ampunilah dosa dosa Abdullah Bin Qais (Abu Musa), dan masukkanlah dia ke dalam tempat masuk yang mulia pada Hari Kiamat. (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)


    18. Berdoa sambll menangis:

    Dari Abdullah Bin 'Amr Bin Al 'Ash RA, bahawa Nabi Muhammad SAW membaca ucapan Nabi Isa a.s..:

    Ertinya: "Sekiranya Engkau seksakan mereka sesungguhnya mereka adalah hamba hamba—Mu, dan sekiranya Engkau ampuni mereka, sesungguhnya Engkau adalah Maha Mulia lagi Maha Bijaksana". (Al Maidah: 118),

    Lalu Nabi s.a.w.. menganqkat kedua dua tangannya dan berdo'a :


    اَللَّهُمَّ أُمَّتِى أُمَّتِى ، (وَبَكَى)

    " Ya Allah, umatku, umatku ", (sambil baginda menangis).

    Selanjutnya Allah s.w.t berfirman kepada Jibril (as):

    يَا جِبْرِيْلُ اِذْهَبْ إِلَى مُحَمَّدٍ فَقُلْ: إِنَّـا سَنُرْضِيْكَ وَأُمَّتِكَ وَلاَ نَسُوْؤُكَ.

    Maksudnya : "Hai Jibril, pergilah engkau kepada Muhammad, dan katakan kepadanya: " Sesungguhnya Kami akan meredainya dan umatnya, dan kami tidak akan menyusahkan kamu ". (Hadis iwayatR Imam Muslim)

    19. Berdo'a sambil merendahkan diri:

    Allah s.w.t.. menceritakan tentang keadaan para Nabi ketika mereka memohon kepada-Nya, antaranya:

    Maksudnya "Dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika ia menyeru Tuhannya: (" Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang diantara semua penyayang".
    (Surah Al Anbiyaa ayat 89)

    Maksudnya : "Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya: "Ya Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri, dan Engkaulah waris yang paling baik".
    (Surah Al Anbiyaa ayat 89)

    20. Berdo'a pada waktu waktu yang mustajab

    Kita meyakini bahawa Allah s.w.t.. telah menetapkan beberapa waktu atau masa yang sangat baik jika kita berdoa didalamnya. Waktu waktu itu antara lain: Pada malam Lailatul Qadr, pada dua pertiga malam, setelah solat waktu dan lain lain.

    Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
    "Atau siapakah yang memperkenankan do'a orang yang menderita apabila ia berdo'a kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu).
    (Surah al-Naml ayat 62)

    Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
    "Berdo'alah pada waktu mustajab do'a iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun".
    (Hadis Riwayat Abu Daud).

    Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, "Tiga bentuk do'a yang dimustajabkan Allah; do'a ibu bapa terhadap anak, do'a orang yang berpuasa dan do'a orang yang bermusafir."
    (Hadis Riwayat Baihaqi)

    Rasulullah s.a.w pernah ditanya:

    أَيُّ الدُّعَـاءِ أَسْمَعُ ؟ قَالَ : جَوْفُ اللَّيْلِ اْلآخِـرِ وَدُبُرُ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوْبَـةِ .

    "Do’a yang manakah yang paling didengar (diterima)? Jawab baginda: (Do’a) akhir malam dan setelah solat wajib. (Hadis Riwayat Tarmizi – Sahih)


    Firman Allah s.w.t. bermaksud:"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo'a apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
    (Surah al-Baqarah ayat 186).
    « Last Edit: 09 January, 2011, 03:52:34 AM by rabbitah »
    Hidup di dunia bukan sekadar suatu kembara yang akan berakhir tatkala nafas terakhir terhela. Jua bukan bermakna kehidupan seseorang manusia itu akan ternoktah tatkala nyawa terpisah dari jasad. Sebaliknya, tatkala jasad ditinggalkan roh, hidup baru bagi seseorang manusia itu bermula.

    Reply #11 09 January, 2011, 09:06:59 AM
  • Publish
  • :)

    Firman Allah s.w.t. bermaksud:"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo'a apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
    (Surah al-Baqarah ayat 186).


    Hadis arbaiin ke-10(Syarat Termakbulnya Doa):
    Daripada Abu Hurairah r.a berkata,"Rasulullah s.a.w bersabda,:Sesungguhnya Allah itu baik,tidak menerima kecuali yang baik.Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang yang beriman sebagaimana dia memerintahkan para rasulNya dengan firmanNya,"Wahai para Rasul, makanlah yang baik-baik dan beramal soleh."Dan Dia berfirman,"Wahai orang-orang yang beriman,makanlah yang baik2 daripada apa yang Kami rezekikan kepada kamu."Kemudian beliau menyebutkan ada seseorang melakukan perjalanan jauhdalam keadaan kotor dan berdebu.Dia memanjatkan kedua tangannya ke langit seraya berdoa,"YA Rabb,ya Rabb,"pada makanannya haram,minumannya haram,pakaiannya haram, dan keperluannya dipenuhi sesuatu yang haram,maka bagaimana doanya akan dimakbulkan?(HR Muslim)


    Bukan berdoa sahaja tetapi perintah Allah langgar..bercouple berpegangan tangan,hidup dalam maksiat dan yang diharamkan kita buat,lepas tu berdoa.."ya Allah,tolonglah hambaMu ini",tapi dia sendiri tak usaha pun,berkawan dengan syaitan,membenarkan perbuatan syaitan.Nauzubillah..selamat beramal..insyaAllah..:-)
    Jangan menilai saya berdasarkan penulisan atau post saya!!!!!(kalau saya post pasal christianity/pluralisme bukan saya nak ajak anda join agama/fahaman itu!!!!atau saya seorang christian!!!!!TETAPI saya sedang berkongsi apa yang saya belajar!!!!!
    INGAT!!!!DAKWAH IS NOT ABOUT I AM BETTER THAN YOU!!!

    Reply #12 09 January, 2011, 10:57:03 AM
  • Publish
  • Alhamdulillah banyak perkongsian disini,antara aspek yang paling penting adalah kita lihat bagaimana makanan kita?adakah ianya hala?ada tau tidak sumber yang syubhah?kerana diantara sebab doa tertolak kerana adanya perkara haram pada tubuh badan kita terutamanya makanan.

    Reply #13 09 January, 2011, 12:58:44 PM
  • Publish
  • Ini juga dikira berdoa dengan cara berhemah..

     BERWHUDU' DENGAN NIAT

    *Ketika berkumur-kumur, berniatlah........
     "Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini"
     (hari2 cakap benda2 yang tak berfaedah)

    *Ketika membasuh muka, berniatlah.........
     "Ya Allah, putihkanlah muka ku di akhirat kelak, jgnlah kau hitamkan muka ku ini"
     (ahli syurga mukanya putih berseri-seri)

    *Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah........
     "Ya Allah, berikanlah hisab-hisabku di tangan kananku ini"
     (ahli syurga diberikan hisab-hisab di tangan kanan)

    *Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah.........
     "Ya Allah, jgnlah kau berikan hisab-hisabku di tangan kiriku ini"
     (ahli neraka akan mendapat hisab dgn tgn kiri)

    *Ketika membasuh kepala, berniatlah........
    "Ya Allah, lindungilah daku dari terik matahari di padang mahsyar dgn ArasyMu"
    (kepanasan padang mahsyar sejengkal matahari di atas kepala)

    *Ketika membasuh telinga, berniatlah.........
    "Ya Allah, ampunilah dosa telingaku ini"
    (hari-hari mendengar orang mengumpat dan menfitnah)

    *Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah.......
    "Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqqim dengan pantas"
    (ahli syurga melintasi titian dengan pantas)

    *Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah........
    "Ya Allah, bawakanlah daku pergi ke surau-surau, masjid-masjid dan bukan ke tempat-tempat  maksiat"
    (qada' dan qadar kita di tangan Allah)

    *Selepas itu, bacalah doa selepas wudhu' dan menyebut AL-MUHAYMIN berulang-ulang, semoga kita   mendapat keberkatan di dunia dan akhirat...Amin.....
    ya allah pelihara lah diriku sepertimana Engkau pelihara kekasih-kekasih-Mu yang lain..

    divider3
    halaqahforum4

     

    Related Topics

      Subject / Started by Replies Last post
    5 Replies
    5894 Views
    Last post 28 December, 2009, 07:40:41 PM
    by jawdan
    19 Replies
    10305 Views
    Last post 06 July, 2009, 10:36:44 AM
    by Ummi Munaliza
    7 Replies
    4383 Views
    Last post 24 August, 2014, 03:36:49 PM
    by al-baab