Login  |  Daftar

Author Topik: Bayan Linnas: Jangan Ambil Ilmu Daripada Internet (?)  (Dibaca 244 kali)

0 Halaqian dan 1 Tetamu sedang melihat topik ini.

Halaqah

  • Global Moderator
  • *****
  • Posts: 33
    • View Profile
JANGAN AMBIL ILMU DARIPADA INTERNET
Siri BAYAN LINNAS

JANGAN AMBIL ILMU DARIPADA INTERNETAlhamdulillah, dalam Bayan Linnas pada kali ini, kami tajukkan dengan ‘Jangan Ambil Ilmu Daripada Internet’. Ilmu yang kami maksudkan di sini ialah ilmu agama yang berkaitan dengan sumber-sumber yang tidak dikenalpasti tanpa asas rujukan yang sebenar serta diperkukuhkan dengan dalil-dalil daripada Al-Quran dan al-Hadith.
Ini kerana terlalu banyak maklumat yang bersifat sensasi, tidak sahih atau amat lemah. Boleh jadi juga ianya palsu dan menyeleweng daripada fakta yang sebenarnya. Banyak juga hadis-hadis yang tersebar sedangkan ia sudah lama dihukum oleh ulama thiqah (dipercayai) dalam bidang ini tentang kepalsuannya. Justeru, sewajarnya kita berhati-hati dan menapisnya terlebih dahulu, antaranya dengan bertanya kepada tuan-tuan guru, para asatizah yang mengetahuinya.

Contoh Maklumat Yang Silap dan Salah

Terdapat banyak maklumat berkenaan dengan agama kita berlegar di laman sesawang dan kadang-kadang diviralkan hingga disangkakan itulah agama yang sebenarnya. Sengaja di sini kami kemukakan contoh agar kefahaman kita lebih jelas dan terang. Sebagai contoh, baru-baru ini peristiwa seorang imam Masjid Negara yang telah ditampar oleh seorang makmum ketika sedang mengimamkan solat Jumaat. Mereka yang tidak bertanggungjawab telah memanipulasikan peristiwa ini dengan menyebarkan fitnah mengenai makmum yang menampar imam tersebut dengan bermain sentimen. Antara contoh lain yang berkaitan dengan hadith palsu yang disandarkan kepada Nabi SAW ialah:-

    “Aku orang Arab, al-Quran dalam Bahasa Arab dan pertuturan ahli syurga di dalam Bahasa Arab.” (Tazkirah al-Maudhu’aat, 112)
    “Taufik yang sedikit lebih baik dari ilmu yang banyak.” (Al-‘Iraqi berkata: “Tiada asalnya”. Telah berkata Ibn al-Subki: “Tidak aku temui sanadnya.”)
    "Cintakan dunia adalah kepala kesalahan.” (Al-Asrar al-Marfu’ah, 1/163)
    “Bekas minuman orang mukmin adalah penawar.” (Tiada asal. Al-Asrar al-Marfu’ah, 217)
    “Tuntutlah ilmu walaupun hingga  ke negeri China.” (Ibn al-Jawzi. Al-Maudhu’at. 1/215 & Al-Fawaid al-Majmu’ah, 852).
    “Manusia semuanya tidur, apabila mati barulah mereka terjaga.” (Tiada asalnya. al-Asrar al-Marfu’ah, 555) dan (Al-Fawaid al-Majmu’ah, 766)
    “Barangsiapa yang berhadas dan tidak berwudhu' maka sesungguhnya dia telah memalingkan diri dariku.” Kata al-Saghani: “Ini palsu.”
    “Barangsiapa yang mengenali dirinya maka sesungguhnya dia telah mengenali tuhannya.” (Al-Asrar al-Marfu’ah, 506) dan (Tanzih al-Syari’ah, 2/402)
    “Barangsiapa yang berkata suatu perkataan, kemudian dia bersin, maka perkataannya itu adalah benar.” Di dalam Tanzih al-Syari’ah, hukumnya palsu.
    “Sultan adalah bayangan Allah di mukabumi-Nya. Barangsiapa yang setia kepadanya akan diberi petunjuk dan barangsiapa yang mengkhianatinya nescaya akan sesat.” (al-Albani. Silsilah al-Ahadith al-Dho’ifah wa al-Maudhu’at. No. 475)

Pelbagai Informasi

Selain itu, kita juga dihujani dengan pelbagai cabaran yang lain yang memerlukan kita agar berhati-hati dalam menerima dan menyampaikan maklumat. Banyak sekali informasi yang disampaikan dan sering kali juga kita terlepas pandang akan kebenaran disebaliknya. Antara maklumat-maklumat tersebut seperti:
  • Hadis palsu.
  • Tafsiran yang lemah.
  • Pendapat yang asing dan pelik.
  • Pendapat yang lemah.
  • Pendapat yang menyalahi pendapat imam mazhab setempat atau muktabar.

Kami nukilkan penegasan ini daripada buku Ma’alim Irsyadiah Li Sina’ah Tolib al-‘Ilmi oleh Syeikh Muhammad ‘Awwamah (hlm. 320-321), antara lain menyebut:

“Awasilah penuntut ilmu pada masa kini lebih parah berbanding masa dahulu. Internet dan pelbagai medium baru ini membawa banyak bala, mudarat dan bahaya daripada manfaatnya. Justeru, awasilah daripada melayarinya dengan sewenang-wenangnya. Begitu juga para penjaga hendaklah memberi pesanan yang tegas kepada anak-anak mereka dan mengawasinya.”

Lebih parah daripada itu, apabila kita menjadi ‘hatib lailin’ iaitu pemungut kayu api pada waktu malam yang mana dikutip kesemua kayu api itu sehinggakan dikutipnya juga ular yang disangkakannya kayu api. Inilah bala yang berlaku.

Apa Yang Perlu Anda Tahu

Apa yang amat perlu dalam menerima maklumat adalah:
   
  • Keabsahan maklumat itu sendiri.
  • Penyampai maklumat itu samaada fasiq ataupun tidak.
  • Tujuan maklumat itu disampaikan.
  • Sasaran kepada yang menerima maklumat.
  • Kesan daripada maklumat itu.
  • Tambah lagi dengan pelbagai tafsiran maklumat melalui viral yang dikemukakan.
Sikap Pengguna

Kepada pengguna laman sesawang terutamanya anak muda dan remaja amat perlu berhati-hati. Ini kerana, apa yang dimuatkan dalam internet juga membawa kesan yang amat negatif dan merugikan umat itu sendiri.

Kadar kethiqahan atau kepercayaan kepda maklumat juga perlu diambil kira agar ia benar tepat dari segi faktanya.

Tabayyun Dahulu

Dalam menerima berita atau perkhabaran yang diviralkan, perkara yang penting sekali adalah pengesahan terhadap butiran maklumat tersebut sama ada tepat atau sebaliknya.

Banyak terjadi maklumat yang telah tersebar dengan luas apabila disemak dan dipastikan semula didapati amat menyeleweng daripada asas kebenaran sedangkan ia telah menjadi buah mulut serta diulas dengan meluas. Begitu juga berapa banyak hati dan maruah yang telah tercarik dan terluka dengan sebab itu.

Kami telah nyatakan dalam Bayan Linnas[1] sebelum ini dengan terperinci, sila rujuk artikel sebelum ini untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam dan terperinci.

Gunakan Rujukan Yang Berautoriti

Dalam menerima maklumat, lihatlah kepada mereka yang berautoriti agar maklumat yang diberikan benar dan tepat. Rujuklah kepada badan-badan yang berautoriti dan bertanggungjawab. Hal ini amat penting agar peranan badan-badan yang telah diamanahkan dapat berfungsi dengan lebih efisyen, adil dan telus. Sebagai contoh, jika permasalahan berkaitan dengan penyakit atau wabak, rujuklah kepada Kementerian Kesihatan. Jika isu berkaitan dengan hukum-hakam, walaupun di sana banyak para asatizah dan cerdik pandai yang mempunyai blog, Facebook atau Twitter sendiri, tetapi jadikanlah badan yang berautoriti seperti pejabat dan jabatan mufti sebagai medan bertanyakan kekeliruan dan pihak berautoriti ini akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi merungkaikan permasalahan tersebut. Ini bagi mendidik masyarakat untuk merujuk kepada yang sepatutnya sesuai dengan firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.
(Al-Nahl, 16: 43)

Mengenai tafsir bagi ayat di atas, Ibn ‘Atiyyah telah berkata: “Ahli Zikri adalah umum pada setiap orang yang  disandarkan dengannya ilmu. Mereka adalah yang pakar dalam bidang masing-masing.”Begitu juga dengan Al-Qurtubi. Beliau berkata bahawa orang awam perlulah taqlid (mengikuti) ulama mereka. Tidak boleh bagi orang awam untuk memberi fatwa kerana mereka jahil dengan maknanya yang membabitkan perkara halal dan haram.

Kenyataan Mufti Wilayah

Adapun ungkapan yang masyhur لا تأخذ القرآن عن مصحفي ولا العلم عن صحفي yang bermaksud: “Jangan ambil Al-Quran daripada mushaf (tanpa guru) dan belajar ilmu daripada kertas atau buku semata.” Ini termasuk alat sebaran am, media massa seperti internet untuk dijadikan ilmu. Hal ini amat bahaya dan menyeleweng dari hakikat yang sebenar.

Al-Imam al-Auza’ie[2] menyebut satu sebab kenapa para ulama memberi amaran daripada mengambil ilmu daripada buku atau kitab semata-mata tanpa berguru (begitu juga dengan internet). Ini kerana boleh jadi berlaku tashif (salah cetak, ejaan atau tulisan) yang akhirnya memberi makna dan maksud yang berlainan. Kalau ini, pada zaman sifat amanahnya cukup tinggi ketika itu, maka bayangkan pada masa kini yang mana semua boleh muatkan maklumat dan informasi dalam internet tanpa kita kenali siapa dia, dari sumber mana di ambil dan adakah sudah berlaku tapisan, semakan atau dalam ilmu Usul al-Fiqh seperti ‘al-Sabr wa al-Taqsim’. Ini semua memberi kesan yang amat mendalam dalam keabsahan maklumat itu sendiri.

Faktor-faktor yang perlu dilihat dan dikaji dengan teliti kerana ia boleh berlaku:-

    Kesilapan cetak yang tidak disengajakan.
    Kesilapan cetak kerana lemahnya pengawalan.
    Kesilapan fakta ilmiah.

Kami akhiri kenyataan ini dengan satu nasihat daripada Fadhilat Syeikh Muhammad ‘Awwamah daripada kitabnya Ma’alim Irsyadiah Li Sina’ah Tolib al-‘Ilmi (hlm. 180-181):

“Sesungguhnya kita dibala dalam dunia dengan kelalaian dan kekeliruan terhadap ilmu turath yang suci lagi bercahaya. Ini sebesar-besar bala dan mudarat terhadap ilmu agama.

Justeru, ini menjadikan kewajipan dan keperluan utama secara daruri untuk bertalaqqi ilmu daripada para ulama dan guru-guru yang benar-benar berwibawa yang telah mewarisi ilmu daripada generasi kepada generasi secara syafawi (lisan) dan talaqqi.

Sesungguhnya aku pertegaskan betapa pentingnya talaqqi ilmu daripada guru-guru yang telah mewarisinya daripda generasi terdahulu. Ini untuk aku sampai kepada satu noktah kenyataanku yang memberi peringatan kepada apa yang berlaku dalam realiti sekarang ini. Bahkan untuk aku sampai kepada amaran yang tegas  daripada neraka hawiah yang mungkin kita sampai. Inilah bala dan musibah akibat berkiblatkan ilmu yang tidak disaring dan tanpa berguru.”


Semoga kita sentiasa peduli dengan sebarang maklumat yang dikemukakan kepada kita lebih-lebih lagi berkenaan dengan agama yang kita anuti dan beriman dengannya.

Marilah kita semua berhati-hati dalam menerima sebarang maklumat dan ilmu apatah lagi yang berkaitan agama kita agar benar-benar menepati yang sebenarnya.

Akhukum fillah
S.S. Datuk Dr. Zulkilfli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

5 Oktober 2015 bersamaan 21 Zul Hijjah 1436H

[1] Bayan Linnas Siri 22: Konsep Tabayyun & Penerimaannya. Lihat: http://muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=294

[2] Al-Imam, al-Faqih, Abu Amr, Abdul Rahman bin Amr al-Auza’ie. Dilahirkan pada tahun 88H di Ba’albak, Lubnan dan merupakan ‘alim dikalangan Ahli Syam. Beliau meninggal dunia pada tahun 157H di Beirut.

Sumber