Anak Istimewa - Autisme

*

Author Topic: Anak Istimewa - Autisme  (Read 25456 times)

0 Halaqian and 1 Guest are viewing this topic.

Ummi Munaliza

  • *
  • Anniversary Ke 30
    • View Profile
04 February, 2009, 06:58:21 PM
  • Publish
  •  

    Istilah autisme digunakan untuk mentakrif corak kelakuan anak yang berpunca daripada kesukarannya untuk berinteraksi dengan orang lain, termasuk ibu bapanya. Anak yang autistik hidup dalam dunianya tersendiri. Misalnya, walaupun anak tidak pekak, anak seakan-akan tidak mendengar apa yang dikatakan kepadanya. Ramai antara mereka langsung tidak bertutur atau bertutur dengan cara yang aneh. Jika ibu bapa mengimbas kembali sejarah anak, mereka akan mendapati semasa bayi anak jarang tersenyum dan tidak pernah meminta untuk didukung.

    Sejak penyakit ini mula dibincangkan pada tahun 1943, pelbagai teori tentang punca gangguan ini telah dikemukakan tetapi baru kini diketahui bahawa keadaan ini bukan berpunca daripada perlakuan ibu bapa atau tindak balas terhadap faktor persekitaran. Autisme biasanya tidak dikesan sehingga ibu bapa mendapati bahawa anak mereka masih belum pandai bertutur. Pada ketika ini, anda mungkin menyedari hakikat bahawa anak kerap menyisihkan diri dan menghabiskan masa bermain seorang diri. Kerap kali anak akan menunjukkan kelakuan yang tertentu, seperti menyentuh benda dalam turutan yang tertentu atau menggoyangkan badannya ke depan dan belakang. Jika diganggu, anak akan melenting dan membuat perangai. Kelakuan ini menunjukkan keperluannya untuk berada di persekitaran yang tidak berubah. Ada kanak-kanak autistik yang sangat peka terhadap sesuatu benda. Misalnya mereka akan menumpukan perhatian terhadap pergerakan tangan atau jari atau menggosok-gosok sesuatu permukaan seakan-akan menghayati tekstur.

    Tanda-tanda

        *      Tidak suka bersosial.
       
        *     Pendengaran tidak normal.
       
        *     Mengelak daripada bertentang mata.
       
        *    Gangguan pertuturan.
       
       *     Corak kelakuan yang berulang.
       
       *     Tidak mengendahkan rasa sakit.

    Seorang anak yang menghadapi masalah autisme,memang sukar untuk dididik secara biasa, perlu kesabaran memberi perhatian yang banyak kepadanya. Ada juga anak istimewa, selain mempunyai masalah autisme turur juga ada masalah hyperactif. Hanya Allah yang mengetahui bagaimana kesabaran yang perlu ada untuk mendidik anak yang begini.

    Anak istimewa adalah anugerah Allah, dan berapa istimewanya juga ibu bapa yang terpilih untuk mengasuh mereka.
    Pengurusan, Pentadbiran Forum Halaqahnet.
    Penal Utama Baitul Muslim


    Ummi Munaliza

    • *
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #1 04 February, 2009, 07:25:19 PM
  • Publish
  • FAKTA: Austime

    Merujuk kepada kecacatan perkembangan disebabkan gangguan neurologikal yang mempengaruhi fungsi normal otak.

    Kanak-kanak yang menghidapi masalah itu mengalami masalah dari segi komunikasi, interaksi sosial, kecacatan deria, cara bermain dan kelakuan.

    Bangsa, keturunan, tahap pendapatan dan pendidikan ibu bapa, kelas sosial bukan punca autisme.

    Pakar Fizik terkemuka dalam sejarah, Albert Einstein dikatakan memiliki ciri autisitk.

    Ada 18 simptom pesakit autistik termasuk terlalu aktif atau terlalu pasif, menolak perubatan rutin, kemahiran motor kasar atau halus yang tidak sekata, gemar memutar objek, menolak kaedah pendidikan biasa.

    Mereka juga lazimnya sayang kepada objek yang tidak sepatutnya, enggan bertentang mata, berkelakuan pekak atau amat sensitif kepada bunyi, sukar bergaul dan mengekalkan satu corak permainan untuk masa yang lama.

    Simptom lain termasuk enggan bergaul atau mempedulikan orang lain, tiba-tiba ketawa tanpa sebab, meniru percakapan orang lain seperti burung kakak tua, tidak takut pada situasi bahaya dan tidak peka pada kesakitan.

    Simptom autisme :                                                       
                                                                                           

    Tidak suka bergaul

    Tidak peka kepada kesakitan

    Tidak suka dipeluk

    Berkomunikasi menggunakan gerak syarat atau tangan

    Terlalu aktif/pasif

    Gemar memutarkan objek

    Tidak bertentang mata bila berkomunikasi .

    Bagaimana perasaan ibu bapa yang mempunyai anak begini?

    Reply #2 04 February, 2009, 08:25:24 PM
  • Publish
  • Salam ummi....
    Selamat Hari lahir Ummi...moga panjang umur..murah rezeki ummi...
    betul tu kata ummi,setiap ibu bapa tentunya mahukan yang terbaik...
    anak murid saya ada sorang,tahun dua dah sekarang..tak termasuk autisme...
    cuma mgkin dalam kategori pendidikan khas.kita cakap apa2 dia buat x tahu je...
    x tau camane nak tangani anak yang sebegini...kasihan sebenarnye...
    orang lain belajar..dia tidur n makan je...bagilah petua  sikit ye ummi...
    kongsi pengalaman yg ada...

    Ummi Munaliza

    • *
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #3 04 February, 2009, 09:03:43 PM
  • Publish
  • Terima kasih atas ucapan di berikan.
    Mendidik anak istimewa autisme memang memerlukan kesabaran yang cukup tinggi.
    Kita sukar untuk berkomunikasi dengan mereka.
    Mereka tidak memiliki  perasaan,hidup dalam dunia tersendiri yang mereka cipta.
    Kita perlu memperuntukkan masa yang banyak untuk memahami kehendak mereka.
    Perlu membuat pemerhatian bagaimana untuk tackle mereka agar mahu
    menurut didikan yang ingin kita ajar.
    Kadang kala mereka bertindak diluar dugaan kita,bertindak spontan dan tingkah laku
    jadi aggerasif apabila mereka diganggu oleh pelajar lain.
    Perlu memberi tumpuan individu apabila mendidik mereka untuk menulis dan menurut
    apa yang hendak kita ajar.
    Kita juga perlu memerhatikan bakat yang mereka miliki, apa yang mereka minat,
    agar mudah mengajar.
    Contohnya, seorang  pelajar  autisme ummi mempunyai bakat dalam kerja seni,
    samada jahitan croshtich atau menggulung kertas untuk dibuat bakul atau
    kraf tangan. Cuma kita perlu memperuntukkan masa yang lama untuk mengajar mereka membuatnya.
    Kerja yang mereka buat sangat teliti dan kemas.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #4 05 February, 2009, 05:15:30 PM
  • Publish
  • Ada antara anak autisme yang ummi ajar mempunyai keistimewaan
    boleh menyebut nama hari yang betul jika kita sebut suatu tarikh.
    Kita boleh pilih apa saja tarikh kedepan atau kebelakang dalam tempoh 50 tahun.
    Setiap tarikh yg kita beri,jawapan hari yang dia sebut mesti betul.
    Dia bukan ada jadual atau pun kiraan matematik pun.

    Reply #5 05 February, 2009, 07:27:14 PM
  • Publish
  • umi ada beza ke kanak-kanak down sindrom dengan autisme ni...
    saya rasa umi bertuah sebab Allah pilih umi utk mengajar kanak-kanak istimewa ni..
    I Luv Allah and Rasulullah...

    Reply #6 05 February, 2009, 08:04:30 PM
  • Publish
  • Ada antara anak autisme yang ummi ajar mempunyai keistimewaan
    boleh menyebut nama hari yang betul jika kita sebut suatu tarikh.
    Kita boleh pilih apa saja tarikh kedepan atau kebelakang dalam tempoh 50 tahun.
    Setiap tarikh yg kita beri,jawapan hari yang dia sebut mesti betul.
    Dia bukan ada jadual atau pun kiraan matematik pun.

    R u sure??? serious??? macam tak percaya jer...

    ليس الفتى يقول هو أبي لكن الفتى يقول هذا أنا

    Reading to live - Flaubert ..... Say No to Intellectual Barbarism!
    ---Raden Kiai Mooksy---

    Ummi Munaliza

    • *
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #7 05 February, 2009, 08:25:20 PM
  • Publish
  • Memang ye...bila ditanya pada pakar,memang ada autisme memiliki keistimewaan ini.
    Jadi jangan kita pandang rendah kekurangan mereka kerana dalam kekurangan itu
    mereka dikurniaan keistimewaan oleh Yang Maha Perkasa.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #8 05 February, 2009, 08:30:53 PM
  • Publish
  • Ada seorang lagi anak istimewa yang ummi didik mempunyai kelebihan dalam pengiraan umur.
    Dia ni rajin bertanya setiap orang yang ditemui,bila tarikh lahir,
    lepas   tu dengan pantas dia sebut umur orang tu dalam masa tak sampai 5 saat.
    Dah ramai orang yang menguji dia, termasuk ahli matematik.
    Pakar pun kata keistimewaan ini anugerah Tuhan.
    Rupanya dalam kekurangan ada kelebihan...

    Ummi Munaliza

    • *
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #9 05 February, 2009, 08:39:43 PM
  • Publish
  • umi ada beza ke kanak-kanak down sindrom dengan autisme ni...
    saya rasa umi bertuah sebab Allah pilih umi utk mengajar kanak-kanak istimewa ni..


    Pasti ada beza kanak-kanak down sindrom dgn autisme.
    Perbezaan ini bukan sahaja dari segi tingkah laku tapi dari segi rupa fizikal juga.
    Kebanyakan kanak-kanak down sindrom berkulit putih,gempal,leher lurus,jari mereka kontot2.
    kanak-kanak down sindrom lebih mudah untuk didididk jika hormon hyperaktif mereka rendah.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #10 05 February, 2009, 09:28:26 PM
  • Publish
  • Teringat 4 tahun lepas, masa hari lahir 4 Februari 2005,
    bila kawan-kawan dari bilik guru buat surprised,
    datang ke kelas pendidikan khas bawa kek dalam kotak,
    coklat ,bunga  dan hadiah.
    Masa tu ada seorang anak autisme yang baru masuk seminggu masuk.
    Ummi belum lagi dapat mengenali perwatakan nya secara dekat lagi.
    Tidak mahu berkawan, pendiam kerana tidak boleh bercakap, dan suka menyendiri.
    Tiba-tiba bila nampak kek dan hadiah dia melompat dan bertepuk tangan,
    terus merampas hadiah dan dikoyakkan pembalut hadiah tersebut. Bunga dihancurkan.
    Lepas tu dia nak kek pulak, oleh kerana takut dia hancurkan kek tu, seperti bunga, ada pelajar lain
    larikan kek tu bawa keluar kelas. Dia mengamuk dan meronta-ronta hentak
    kepalanya  ke dinding  sambil meraung-raung tanpa butiran perkataan.
    Dia mengamuk mencederakan diri sendiri.
    Terkejutnya ummi pertama kali berhadapan anak autisme yang kronik.
    Di pujuk tak mahu, ummi peluk,tapi rupanya,walau pun perempuan dia lagi kuat
    dari ummi. Masa tu ummi pakai gelang kristal pun direntapnya sampai putus.
    Kerana tak dapat mengawal keadaan dia,ibu bapa terpaksa dipanggil.
    Diceritakan pada ibu bapanya, baru tahu bahawa anak ini tidak boleh lihat
    benda dalam kotak dan berbungkus. Bila nampak dia akan jadi aggesif.
    Tak tahu kenapa jadi begitu, mungkin ada sejarah masa lalunya.
    Tapi ibu bapanya tak mahu cerita punca dia jadi begitu.
    Selepas tu ibu bapanya bertindak memberhentikan nya dari sekolah.
    Kalau dilihat pada rupa paras,tak siapa tahu kekurangannya kerana
    rupanya sangat cantik,ayu dengan wajah kacukan.
    Tapi tiada siapa tahu rahsia Allah.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #11 11 February, 2009, 11:40:11 PM
  • Publish
  • Semalam seorang anak autisme + hyperaktif,bernama Muaz Umair berusia 16 tahun,

    asyik bertanya " cikgu, mahram tu apa?"

    " Muaz Umair, mahram tu mcm mak,kakak,nenek dan untie".

    "Boleh pegang, ye cikgu"

    " ye, muaz"

    "muaz tak boleh pegang dan salam cikgu tau, kita bukan mahram."

    " cikgu, anjing tu haram ye?"

    " ye, Muaz"

    "boleh pegang anjing?"

    "tak boleh, Muaz, anjing haram"

    "pegang manusia,boleh tak cikgu?"

    "manusia boleh pegang,manusia halal"

    "Oooo...macamtu saya boleh la pegang cikgu,cikgu kan manusia,halal"

    "yang haram, anjing"

    "????"


    apa ummi nak cakap lagi?
    cara bercakap dgn mereka mesti lembut,
    kena panggil nama penuh...
    cuba baca dan panggil nama mereka dengan lembut,ada tona...
    begitu lah cara mendidik mereka...
    walaupun mereka ada kekurangan, mereka juga ada kelebihan untuk berfikir.
    tapi mereka berfikir ikut logik.
    Itulah kekurangan dan itu lah juga kelebihan.

    "INSAN ISTIMEWA TANGGUNGJAWAB BERSAMA"

     

    Ummi Munaliza

    • *
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #12 23 February, 2009, 10:13:43 AM
  • Publish

  • Chan Jian Hui...

    Dah masuk 5 tahun dia berada dalam kelas ni,

    sekarang umur dah mencecah 19 tahun...

    tak ada perasaan sedih duka atau gembira...

    hanya hidup dalam dunianya...

    bila kita ajar A....dia tulis 5....

    tengah kita bercerita, ada bunyi kapal terbnag lalu di atas sana,

    terus je dia berlari keluar,  cikgu..cikgu...aeroplane,aeroplane....

    pagi-pagi datang asyik buka TV, tak ada siaran dia mencari channel...

    kat rumah mak dia kata, semau button di Tv dah tenggelam kerana di tekan,

    remote di rendam dalam air...nak buat aeroplane...

    bila TV cuma ada satu channel,

    dia ambil hammer, diketuknya skrin TV...

    pastu dia kata," TV rosak, beli baru"....

    begitu lah ibu bapa dan guru yang terpaksa berhadapan dengan anak autisme setiap hari...

    "INSAN ISTIMEWA TANGGUNG JAWAB BERSAMA"

    Ummi Munaliza

    • *
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #13 27 February, 2009, 01:21:21 PM
  • Publish
  •  
    Nisreen dan Amani,

    2 beradik yang autisme,

    sudah 9 tahun ke sekolah,

    baru boleh menulis nama dan perkataan,

    belum boleh mengeja sendiri,

    belum pandai membunyikan suku kata walaupun kv...

    usia mencapai 17 dan 18 tahun...

    rajin ke sekolah...

    tapi setakat melihat gelagat kawan dan tersenyum,

    menguik tidak berbunyi tidak,

    tak ada siapa dapat membaca apa yang difikirkan,

    diajar kemahiran, mengayam toncang rambut...

    baginya mcama disuruh membawa beban sepuluh kg,

    menangis tak tahu nak menyilangkan ke arah mana...

    jarinya halus ,lurus bak lilin,

    kalau menjahit, mencucuk jarum ke kain pun tak lepas...

    apa yang mampu guru membantunya...

    ibu bapa mengharap guru memberi keajaiban pula...

    guru...bagaiaman ingin membantu ibu???

    kadang air mata ni tumpah di dalam hati sambil mulut guru

    macam halilintar membelah bumi...

    dengan harapan...meraka bangun dari dunia sendiri...

    Begitulah ragam anak istimewa, ynag saban hari menyentuh rasa di jiwa....



    "INSAN ISTIMEWA TANGGUNG JAWAP BERSAMA"

    Ummi Munaliza

    • *
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #14 27 February, 2009, 02:05:48 PM
  • Publish
  • JERUDONG, Khamis, 22 Mei. - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Salleh Ab Rahaman berkenan berangkat ke Majlis Kempen Kesedaran Autisme dan Pelancaran Persatuan Pembelajaran Bertingkat berlangsung di Empire Hotel and Country Club, di sini.
    Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Pemangku Menteri Kesihatan, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Haji Awang Hazair dan Yang Dipertua Persatuan Pembelajaran Bertingkat (PPB), Dr. Sharina binti Yunus. Di majlis tersebut YTM berkenan menyaksikan tayangan video yang antara lain memaparkan bagaimana autisme yang berlaku di kalangan beberapa buah keluarga di negara ini selain menggambarkan semangat kemanusiaan yang tidak terhingga.

    YTM juga berkenan menyaksikan Pameran Statik Mengenai Autisme dan beramah mesra bersama kanak-kanak serta keluarga PPB. Pada majlis itu YTM juga berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Dipertua PPB, Dr. Sharina. Atur cara majlis juga diselajurkan dengan penandatanganan tajaan antara PPB yang diwakili oleh Yang Dipertua PPB dengan para penaja.

    Kanak-kanak autisme di negara ini bernasib baik kerana diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan, swasta mahupun persatuan-persatuan lebih-lebih lagi dengan wujudnya kempen kesedaran autisme dan penubuhan rasmi persatuan tersebut. Sementara itu, Dr. Sharina dalam sembah alu-aluannya berkata, membesarkan kanak-kanak autisme adalah sangat mencabar dan memberi tekanan hebat terhadap keluarga, baik dari segi kewangan mahupun perasaan di mana ibu bapa kadangkala menghadapi penolakan dan kritikan malahan pengasingan.

    "Oleh itu penubuhan PPB adalah untuk menyediakan sokongan emosi yang sangat diperlukan di mana dengan berada di bawah satu payung persatuan itu, para ibu bapa boleh mendapat sokongan, berkongsi maklumat dan mendidik mereka mengenai cara terbaik bagi membantu anak-anak mereka," jelasnya.

    Dr. Sharina seterusnya berkata, autisme kini meningkat di seluruh dunia dan fakta ini diakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    PPB, jelasnya menyertai usaha kerajaan bagi menangani autisme dan memberi satu lagi pilihan kepada para ibu bapa, di samping bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk memastikan masa depan yang lebih baik untuk kanak-kanak tersebut. Menurut pemerhatian Dr. Sharina, penyelidikan autisme menunjukkan bahawa keadaan kanak-kanak ini boleh ditingkatkan dan mempunyai harapan di mana para pakar bersetuju diagnosis dan pemerhatian awal merupakan kuncinya. Untuk memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Persatuan ini mempunyai misi yang antara lain membantu menghubungkan keluarga austime dengan para profesional berpengalaman dan berkelayakan, di samping membantu menyediakan terapi menggunakan kaedah yang terbukti secara saintifik. Selain itu persatuan berkenaan juga memberikan maklumat, sumber-sumber dan menyokong keluarga-keluarga yang terjejas oleh autisme dan gangguan perkembangan lainnya serta mendidik para ibu bapa, penjaga dan orang ramai tentang autisme dan ketidakupayaan pembelajaran dan perkembangan lainnya.

    Reply #15 07 March, 2009, 10:55:12 PM
  • Publish
  • ni ada website tentang autism
    http://www.autismweb.com/signs.htm
    baru-baru ni masuk paper tentang kanak-kanak autism yang skor 4A dalam UPSR...budak-budak normal pun kadang kala tak mampu nak capai result macam tu..
    maknanya bukan sume kanak2 autisme ni tak pandai...
    baru la saya tau..

    Ummi Munaliza

    • *
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #16 07 March, 2009, 11:00:23 PM
  • Publish
  • ni ada website tentang autism
    http://www.autismweb.com/signs.htm
    baru-baru ni masuk paper tentang kanak-kanak autism yang skor 4A dalam UPSR...budak-budak normal pun kadang kala tak mampu nak capai result macam tu..
    maknanya bukan sume kanak2 autisme ni tak pandai...
    baru la saya tau..

    mungkin ummi terlepas pandang tentang berita tu.
    Boleh haura rana tuliskan semula berita tu di sini.
    Teringin juga nak membacanya.

    Reply #17 07 March, 2009, 11:07:41 PM
  • Publish
  • ada umi
    ni link website tentang kanak2 autism yg berjaya..
    http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Hati/20090223093740/Article/index_html
    alhamdulilah rupa-rupanya kanak istimewa ni pun msih boleh belajar macam kanak2 biasa kalau dididik dgn betul...

    Ummi Munaliza

    • *
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #18 07 March, 2009, 11:18:48 PM
  • Publish

  • TIADA siapa yang mampu menyelam duka di hati apabila anak dikasihi dianggap gila. Hati mana yang tidak pedih apabila jiran sendiri menganggap dia sekeluarga tidak layak mendiami kawasan kejiranan itu gara-gara ketidakupayaan anak yang sering disalah anggap sebagai tidak siuman.

    Lantaran keadaan anak yang sangat aktif hingga ada kalanya tidak terkawal, suami isteri itu juga sering 'dipersalahkan' kerana dikatakan 'tidak pandai mengajar anak.'

    Tidak kurang kata-kata sinis yang cukup menghiris hati mempersendakan usahanya untuk memperoleh pendidikan terbaik buat si anak namun hati luka itu sekadar mampu mengharapkan kekuatan dan ketabahan daripada-Nya.

    Malah, bagi Zainudin Tahir, 45, dan isterinya, Hidayati Basri, 42, segala pandangan serong masyarakat yang tidak memahami keadaan sebenar dialami anak sulungnya itu tidak pernah merencatkan perancangan mereka untuk melihat masa depan anak yang lebih terjamin.
    Lebih memberangsangkan, Khairul Hazim, 14, yang menghidap sindrom Asperger, nyata tidak menghampakan harapan kedua-dua ibu bapanya apabila berjaya memperoleh 4A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, tahun lalu.

    "Tidak ramai yang memahami keadaan dirinya, apatah lagi penghidap autisme itu berbeza antara satu dengan lain. Malah bagi Khairul Hazim sendiri, asalnya dia dikenal pasti menghadapi masalah Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD) tetapi pada usia enam tahun, barulah dia dikenal pasti sebagai penghidap autisme," kata Hidayati ketika ditemui di kediamannya di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.

    Penghidap sindrom Asperger dikategorikan sebagai penghidap autisme sederhana di mana antara ciri ketara penghidap sindrom ini adalah kemahiran sosial yang sangat rendah.

    "Anak saya memang lambat berjalan dan bercakap serta tidak berupaya bertembung mata apabila bercakap dengan orang lain. Malah, dia hanya mampu membuat ayat yang lengkap ketika berusia sembilan tahun," kata pegawai bank ini.

    Apapun, Khairul Hazim boleh membaca dan menulis tanpa sesiapapun mengajarnya kemahiran itu ketika berusia tiga tahun. Bagaimanapun, peliknya, dia tidak dapat memahami bahan bacaannya sendiri.

    "Dia juga sukakan peta dan akhbar serta gemar menonton rancangan kartun berbahasa Inggeris dan sangat menggemari apa saja yang berkaitan negara Jepun. Tetapi pada masa sama, dia memang tidak pandai bergaul meskipun rajin bertegur sapa. Keramahannya itu pula sering disalah anggap orang sekeliling yang tidak memahami keadaan dirinya," katanya.

    Pasangan mempunyai empat cahaya mata ini melakukan pelbagai usaha termasuk bertemu sekumpulan pakar untuk mengenal pasti masalah Khairul Hazim, malah sanggup berpindah-randah semata-mata mengejar keperluan pendidikan untuk anak sulung mereka itu.

    Kerjaya mereka yang bertugas di bidang perbankan menuntut waktu yang bukan sedikit sehingga timbul rasa bersalah di hati masing-masing kerana tidak mampu meluangkan waktu secukupnya untuk anak.

    Tiga lagi anak pasangan ini adalah Haziq Izad, 12, Hariz 9 dan Zulfadli, 8.

    "Tetapi akhirnya selepas berbincang panjang bersama suami terutama memikirkan masa depan anak, kami menjual rumah di Bukit Beruntung sebelum berpindah ke Putrajaya dan akhirnya kembali ke Kuala Lumpur dalam usaha menyediakan keperluan pembelajaran sebaiknya untuk anak," katanya.

    Khairul Hazim asalnya ditempatkan di kelas Pendidikan Khas ketika berusia tujuh hingga lapan tahun waktu bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Serendah, Rawang sebelum berpindah ke SK Jalan Batu, Kuala Lumpur.

    Dia turut bersekolah di SK Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung dan SK Putrajaya, namun akhirnya, dia kembali ke SK Jalan Batu dengan kehadiran guru pendamping.

    Menurut Zainudin, khidmat guru pendamping berkenaan yang disediakan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) menerusi program penyertaan itu nyata membuka lembaran baru bagi anak ini sehingga dia berjaya mencipta kejayaan dalam peperiksaan terbabit.

    "Disebabkan kurangnya kemahiran sosial, kanak-kanak seperti Khairul Hazim sering dibuli namun guru pendamping itu banyak membantu dalam pelbagai segi khususnya interaksi yang berkesan antara kanak-kanak autistik dengan masyarakat sekeliling," kata juruaudit dalaman yang berasal dari Tapah, Perak ini.

    Menerusi program terbabit, guru pendamping turut menyediakan rekod pemerhatian seharian untuk setiap kanak-kanak autistik bagi membolehkan ibu bapa mengikuti perkembangan anak setiap hari. Terdapat juga buku komunikasi di mana guru menulis sebarang pesanan atau komen untuk ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

    Khairul Hazim yang rajin menulis sejak kecil ini dulu hanya berteman rapat dengan pen tetapi menerusi peningkatan hubungan sosialnya, dia juga sudah punya dua rakan baik.

    Melayari Internet antara kegemaran pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sentul ini yang lazimnya dilakukan pada malam Jumaat serta cuti hujung minggu.

    Melihat keadaan dirinya itu, sesiapa saja mungkin tidak pernah menyangka dia pernah melakukan tindakan yang agak ekstrim hingga membahayakan dirinya sendiri dulu.

    "Dia pernah menjulurkan kakinya keluar dari kereta ketika kereta mula bergerak masa dia kecil. Malah, dia pernah berlari dari hujung rumah hingga ke pintu gelangsar dan merempuh cermin pintu. Nasib baik ada langsir di pintu itu yang menyelamatkannya daripada tercedera," katanya.

    Zainudin akui, senario pembelajaran untuk penghidap autisme di negara ini jauh berbeza dengan keadaan di luar negara khususnya di negara maju.

    "Hospital kerajaan di negara seperti Amerika Syarikat memiliki kelengkapan mencukupi termasuk sumber tenaga manusia untuk menangani masalah seperti autisme.

    "Di negara ini, ibu bapa biasanya berusaha sendiri ke sana ke mari untuk mendapatkan bantuan, malah ada kalanya terpaksa mengupah pakar perunding hanya untuk mengenal pasti sesuatu masalah itu dengan cara sewajarnya," katanya mengakui, program pemulihan awal sangat membantu perkembangan kanak-kanak penghidap autisme.

    Bagi pasangan ini, kejayaan anak memperoleh 4A itu memang menggembirakan namun lebih penting, mereka berharap anak remaja mereka itu terus menunjukkan kemajuan dari segi kemahiran sosial untuk lebih memudahkannya hidup bermasyarakat seperti individu normal yang lain.


    Ummi Munaliza

    • *
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Reply #19 07 March, 2009, 11:29:35 PM
  • Publish

  • KANAK-KANAK istimewa adalah sebahagian daripada golongan orang kurang upaya (OKU) yang sukar untuk membuat keputusan sendiri dan terpaksa bergantung kepada orang lain untuk meneruskan penghidupan.

    Mereka sering dikaitkan dengan ketidakupayaan menguasai dunia pembelajaran tetapi mereka tidak boleh dikategorikan sebagai bodoh, lembap, malas atau memiliki tahap kecerdasan rendah.

    Golongan berkenaan amat sensitif dan perlu dijaga serta dibelai dengan penuh kasih sayang. Ini kerana, kecacatan yang dialami menghalang mereka daripada berfikir seperti kanak-kanak normal.

    Ada juga segelintir ibu bapa yang malu mendedahkan identiti anak mereka menyebabkan mereka terabai dari segi pendidikan.
    Bagi Penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Tampin, Negeri Sembilan, Jarinah Mohamad, kanak-kanak istimewa memerlukan pemerhatian dan jagaan rapi daripada keluarga terutama ibu bapa.

    Katanya, biarpun tidak dapat berfikir seperti kanak-kanak lain, mereka mempunyai perasaan serta jiwa yang sensitif.

    "Kanak-kanak ini begitu istimewa kerana mereka mempunyai perilaku yang berbeza dengan kanak-kanak normal.

    "Tetapi itu bukan masalahnya kerana mereka sebenarnya dibentuk dan diasuh menggunakan kaedah yang betul bersesuaian dengan usia serta daya pemikiran mereka.

    "Pergerakan mereka perlu dipantau manakala perkembangan mental dan fizikal pula dinilai untuk melihat kemajuan diri mereka," katanya.

    Jarinah berkata, komitmen dan kasih sayang keluarga terdekat dapat membantu kanak-kanak istimewa berkenaan menanam sifat yakin pada diri, memiliki sahsiah dan jati diri yang boleh dibanggakan.

    Oleh itu katanya, pusat pemulihan seliaannya lebih mengutamakan dasar kasihan dan simpati dalam mendidik kanak-kanak berkenaan.

    Jarinah mengakui, sejak zaman persekolahan sehingga usia meningkat remaja, hatinya sentiasa terusik apabila melihat keadaan kanak-kanak kurang upaya seperti sindrom down, cerebral palsy, autisme dan kanak-kanak yang mengalami pelbagai kecacatan seperti kecacatan fizikal, pekak dan bisu.

    "Saya mungkin tidak mampu dari segi wang ringgit tetapi saya sentiasa menyimpan hasrat untuk membantu mereka," katanya.

    Menurutnya, selepas tamat sekolah, dia mula bertugas di Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan dan memberi komitmen yang cukup tinggi dalam pembangunan PDK.

    Selepas dua tahun bertugas, dia dihantar berkursus mengenai OKU dan selepas tamat, dia terus diserapkan sebagai tenaga pengajar di PDK Tampin.

    "Dari situ saya terus mendalami dan memahami rintihan anak OKU tanpa mengira bangsa dan agama kerana bagi saya mereka berhak mendapat apa yang kita terima dan layanan terhadap mereka juga perlu adil.

    "Saya tidak pernah menganggap kerjaya di PDK sebagai sesuatu yang membebankan malah inilah bakti dan sumbangan saya pada mereka yang memerlukan," kata ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara lapan hingga 14 tahun ini.

    Menurutnya, anak-anak istimewa itu wajar diberi peluang menjalani hidup seperti individu normal supaya dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran luar.

    Ketika membicarakan mengenai cabaran bergelar penyelia kepada 23 pelajar bermasalah di pusat pemulihan berkenaan, Jarinah berkata, dia perlu menempuhi setiap cabaran dengan tabah dan menganggapnya sebagai ujian.

    "Sebagai guru, kita harus berfikiran terbuka dalam mengasuh dan mendidik anak-anak istimewa terbabit.

    "Selain itu, ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa ini tidak perlu merasa malu kerana terdapat pelbagai kemudahan untuk membantu mereka supaya dapat membesar seperti kanak-kanak lain," katanya.

    Jarinah menegaskan, kanak-kanak istimewa itu juga perlu sentiasa gembira dan tidak kenal erti duka, oleh itu peranan ibu bapa sangat penting.

    "Luangkan masa dan bawalah mereka ke pusat PDK berhampiran kawasan masing-masing untuk meningkatkan taraf perkembangan minda dan melakukan fisioterapi dengan kerjasama pihak hospital.

    "Pada masa sama, mereka juga perlu mengawasi perkembangan anak ini supaya mereka dapat membesar dalam keadaan yang baik," katanya.

    Dia turut berharap semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan bersedia membantu kerajaan menyediakan lebih banyak PDK di beberapa komuniti yang memerlukan di seluruh negara bagi memberi peluang kepada anak istimewa berkenaan mengecapi kehidupan yang sama rata dengan rakan mereka yang normal.

    "Anak ini adalah sebahagian daripada komuniti yang memerlukan pembelaan sewajarnya dan tidak sepatutnya mereka disisihkan," katanya.

    Bagaimanapun, menurutnya, dalam suasana serba mencabar serta ledakan pelbagai sistem maklumat dan pembangunan negara membolehkan nasib kanak-kanak istimewa ini semakin mendapat pembelaan melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan insan dan bantuan kebajikan untuk mereka.

    Jarinah yang pernah mengikuti kursus pembelajaran dan pengajaran OKU turut berharap ibu bapa yang mempunyai anak istimewa supaya segera mendaftarkan anak mereka dengan pihak berkaitan bagi membolehkan anak terbabit menerima bantuan bersesuaian.


    divider3
    halaqahforum4