EMPAT BISIKAN MURNI TINGKAT IMAN DAN TAKWA

*

Author Topic: EMPAT BISIKAN MURNI TINGKAT IMAN DAN TAKWA  (Read 5319 times)

0 Halaqian and 1 Guest are viewing this topic.

06 January, 2009, 08:58:04 AM
  • Publish
  • EMPAT BISIKAN MURNI TINGKAT IMAN DAN TAKWA.
    Manusia suka mendengar suara hati orang lain, rahsia dan kisah hidup mereka. Namun, pernahkah seseorang cuba mendengar bisikan hatinya sendiri? Bisikan yang bergema dalam hati sebenarnya berkisar mengenai urusan dunia dan akhirat, yang mana lebih sering kedengaran bergantung kepada pilihan sendiri.

    Kadangkala suara mengenai kenikmatan dunia dan kesulitan menguasainya lebih kuat bergema berbanding bisikan impian indah akhirat atau ancaman azab. Nasib seseorang amat bergantung kepada kebijaksanaan dalam memilih dua bisikan. Bisikan syaitan atau malaikat, bisikan iman atau kufur, takwa atau maksiat. Setiap saat manusia diberi dua pilihan dan diperdengarkan dua bisikan yang silih berganti datang mempengaruhi amal perbuatannya. Sesungguhnya bisikan hati pangkal daripada kebaikan atau kejahatan.

    Sesiapa yang mampu mengawal bisikan hatinya nescaya dia hanya mengeluarkan tekad, keyakinan dan cita-cita yang baik. Sebaliknya sesiapa yang dikawal oleh bisikan jahat hatinya, maka keluarlah niat jahat, dosa dan penuh maksiat.

    Rasulullah SAW bersabda membenarkan hakikat ini yang bermaksud: “Tiada seorang pun daripada kamu melainkan sudah diwakili bersamanya seorang teman daripada jin dan malaikat. Sahabat bertanya: Walaupun dirimu sendiri wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Ya, sehingga saya sendiri pun tetapi Allah menolongku menghadapinya lalu dia menyerah diri dan tidak menyuruhku melainkan kebaikan.” (Hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad)

    Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa syaitan mengalir bersama aliran darah anak Adam? Jika kita boleh terus beringat dan menegur diri sendiri bahawa ada bisikan yang mesti kita pilih serta jangan melupakan pengaruh malaikat dan jin dalam bisikan itu, nescaya kita berhati-hati melakukan suatu tindakan.

    Pergerakan tangan, kaki, mata, telinga dan hati yang memiliki lintasannya harus waspada, adakah berasal daripada bisikan jin atau malaikat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan mempengaruhi lintasan hati anak Adam dan malaikat juga mempunyai pengaruh. Pengaruh syaitan ialah mengilhamkan manusia supaya melakukan kejahatan dan membantah kebenaran. Adapun lintasan malaikat ialah mengilhamkannya melakukan kebajikan dan membenarkan kebenaran.” (Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Al-Nasa’I dan Ibnu Hibban). Bagi memastikan bisikan berasal daripada malaikat seseorang dituntut menyibukkan hati dengan empat amalan.

     Mendengar bisikan al-Quran.

    Lautan ilmu al-Quran dan hidayah yang menerangi jiwa belum lagi dihayati sepenuhnya, ramai yang menumpukan perhatian kepada tajwid dan alunan suara indah ketika membaca al-Quran tetapi sayangnya tidak diseimbangkan dengan kajian tafsir seterusnya mengamalkan ayat yang menjadi inspirasi dalam hidup mereka. Al-Quran menjadi bahan bacaan yang menghibur di luar dinding hati, namun tidak sampai menyentuh ke dasar hati mereka apatah lagi mempengaruhi pemikiran dan perasaan. Semua itu menjadi mustahil kerana kesilapan mengabaikan kajian tafsir.

    Apabila hati disibukkan dengan mendengar bisikan al-Quran nescaya yang menemani kita adalah malaikat yang suci. Sejauh manakah kedudukan al-Quran dalam kehidupan seharian? Adakah kita memberi perhatian istimewa kepadanya seperti masa untuk berhibur dan bersantai? Mengapa banyak masa dihamburkan untuk hiburan dan meluangkan hanya sedikit untuk al-Quran? Cukuplah seseorang kehilangan bisikan dan ilham Allah jika ia cuai terhadap kalam-Nya.

    Perkara yang mesti diingat ketika mengkaji al-Quran iaitu sesungguhnya kita sedang menikmati bisikan Allah yang harus diperhatikan dengan tumpuan sempurna supaya tidak lenyap dan senyap suara hidayah-Nya daripada hati kita.

    Apabila hati sibuk mendengarkan ayat Allah apakah mungkin dia berpaling mencari ayat syaitan? Semua bergantung pada kekuatan iman. Minta pertolongan Allah supaya hati kita dijauhi daripada gangguan jin dan syaitan serta kejahatan hawa nafsu diri sendiri.

     Mendengar bisikan mengenai Allah.

    Manusia mesti mencari sesuatu dalam hidupnya, mencari kebahagiaan dengan harta, ilmu, jawatan tinggi dan mereka mampu mencapai impian dengan baik. Namun, apabila semua sudah diperoleh hati menjadi tidak tenang, takut jatuh dan hilang segala-gala yang dimiliki. Semakin kabur jalan menuju kebahagiaan hakiki. Rupa-rupanya harta dan pangkat tidak mampu memberi kebahagiaan sebenar bahkan menjerumuskan ke jurang azab dunia yang lebih dalam. Akhirnya mereka menemukan jawapan terhadap permasalahan dihadapi.

    Saat harta tidak mampu menyelamatkan diri daripada penyakit, maka mereka kembali kepada Allah yang Maha Menyembuh, ketika pangkat tidak boleh menutupi jenayah daripada undang-undang manusia, baru hati tergerak mencari pertolongan Allah Yang Maha Pengampun. Hanya Dia yang mampu menutup aib hamba-Nya. Saat genting melihat kelibat Malaikat Izrail baru mencari rahmat Allah.

    Ketenteraman hati hanya dapat dirasai dengan meletakkan diri, harta dan kedudukan sentiasa berdampingan bersama Allah. Jika diri mahu berasa kuat berdampinganlah dengan yang Maha Kuat, apabila mahu menjadi manusia yang tahan cabaran dan ujian, sentiasa cekal dan tidak habis tenaga memenangi perlawanan dengan syaitan serta hawa nafsu sendiri.

    Ambil kekuatan itu dengan berada di sisi Yang Maha Berkuasa ke atas seluruh makhluk. Ketika kita semakin dekat dan mengenali sifat-Nya, nama-Nya yang agung dan perbuatan-Nya yang tidak cacat cela ke atas makhluk, kemudian hati pun tunduk dan mengagumi kesempurnaan-Nya, kita semakin hampir ke jalan bahagia yang sebenar.

    Bisikkan hati supaya mengenali Allah, sebelum anda dibisikkan oleh syaitan yang menakutkan mengenai kemiskinan, kerugian dan kejatuhan. Sesungguhnya syaitan mempengaruhi manusia supaya mengikuti pandangannya dan mengambil langkah yang disyorkannya. Selepas mengenal sifat Allah, nama-Nya yang indah dan perbuatan-Nya terhadap makhluk yang tiada cacat cela, kita dituntut mendengar bisikan hati mengenai kurniaan Allah sepanjang hidup ini.

    Ketika kita kerugian harta puluhan ribu ringgit sehari, ada kala kita tidak ingat Allah memberi banyak lagi daripada yang diambil-Nya. Ketika anak sakit seminggu adakah kita bersyukur kerana Allah memberi kesihatan kepadanya selama bertahun-tahun? Banyak lagi perkara ajaib dan hebat di sekitar kita yang menunjukkan kebesaran Allah. Tidak cukup masa kita untuk memikirkan mengenai Allah kerana ilmu-Nya tidak tercapai oleh akal manusia yang terbatas.

     


    Mendengar bisikan mengenai aib diri.

    Bisikan yang baik untuk hati manusia ialah suara yang menyatakan aibnya secara telus dan terang. Bisikan ini berasal daripada malaikat yang sentiasa mengingatkan banyaknya cacat cela manusia supaya mereka malu dan takut kepada Allah kemudian berusaha memperbaiki kelemahan diri.

     Mendengar bisikan banyaknya kewajipan dan sedikitnya masa.

    Dalam keadaan lalai, manusia lupa betapa banyak tanggungjawab dan berat amanah yang mesti digalas. Sikap suka melengahkan amal pernah dialami seorang sahabat yang tertinggal dalam Perang Tabuk melawan Rom.

    Ka’ab Malik dan dua lagi sahabat Rasulullah SAW tertinggal daripada pasukan dipimpin Rasulullah SAW. Ka’ab menceritakan selepas Rasulullah SAW keluar dari Madinah, dia tertinggal dan setiap pagi dia memasang pelana kudanya dan berkata: “Aku akan menyusul mereka”, tetapi dia tidak melakukannya, dia berbuat begitu setiap hari sehingga akhirnya dia tidak dapat menyusul tentera Rasulullah SAW.

    Hal itu adalah dalih apabila seseorang tidak bersegera melakukan amal salih, dia akan terhalang daripada melakukannya. Sebab itu Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (begitu pula) kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti mereka belum pernah beriman kepadanya (al-Quran) pada permulaannya, dan kami biarkan mereka bergelumang dalam kesesatannya yang sangat.” (Surah al-An’am, ayat 110)

    Ka’ab dan dua sahabatnya dihukum dengan cara dipulaukan selama 40 hari. Sesiapa pun tidak boleh bercakap dengan mereka dan menyahut salam mereka. Ditambah hukuman itu 10 hari lagi dengan tidak boleh bercampur dengan isteri, sehingga hari ke-50 diterima taubat mereka dengan turunnya ayat 117-119 surah al-Taubah.

    Hati yang suka mendengar bisikan dari langit, bertemankan malaikat yang menasihati kebaikan dan ketaatan adalah hati yang bersih dan layak dijatuhi pandangan rahmat-Nya.

    Selamat beramal  ditahun baru ini.


    Reply #1 06 February, 2009, 04:48:21 PM
  • Publish
  • Beginilah bisikan yg baik perlu dibaca dan difahamkan yg tersurat dan tersirat dr Rasulillah saw.;

    Rasulullah SAW bersabda membenarkan hakikat ini yang bermaksud: “Tiada seorang pun daripada kamu melainkan sudah diwakili bersamanya seorang teman daripada jin dan malaikat. Sahabat bertanya: Walaupun dirimu sendiri wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Ya, sehingga saya sendiri pun tetapi Allah menolongku menghadapinya lalu dia menyerah diri dan tidak menyuruhku melainkan kebaikan.” (Hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad)

    Maka berhati-hatilah kita dlm teruja hal bisikan tsb.
    Wallahu 'alam bissawob.
    İlmu yang benar membuahkan amal İman yang Teguh
    hubungan dengan ukhuwahfıllah perpaduan Ummah seutuh

    divider3
    halaqahforum4