Kebenaran Al-Qur'an

*

Author Topic: Kebenaran Al-Qur'an  (Read 3660 times)

0 Halaqian and 1 Guest are viewing this topic.

05 December, 2008, 03:57:09 PM
  • Publish
  •  :)

    Erti Al-Quran ;
    Di Dalam Bahasa Dan Istilahnya Di Sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah

    oleh Ustaz Hamzah Jumat
    (Siswazah Program Sarjana, Universiti Malaya)
    ]


    Perkataan Al-Qur’an berasal dari kata dasar ‘Qara-a’ yang bererti pengumpulan, penyatuan dan gandingan. Adapun perkataan ‘Qiraah’ boleh diertikan sebagai gandingan huruf-huruf dan kalimat-kalimat (perkataan-perkataan) di antara satu sama lain di dalam pembacaan yang tersusun. Perkataan Al-Qur’an pada asalnya seerti dengan perkataan ‘Al-Qiraah’ iaitu: ‘Qara-a, Qira-atan, Qura-anan’. Firman Allah taala yang bermaksud:

    “Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Qur’an itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.”

    Setelah itu, ia menjadi gelaran yang khusus kepada kitab yang diturunkan Allah taala kepada Muhammad s.a.w. Di samping itu, ada sebahagian ulama yang menjelaskan bahawa gelaran Al-Qur’an sebenarnya kembali kepada isi Kitab Allah tersebut yang mengumpulkan segala apa yang ada di dalam kitab-kitab yang diturunkan Allah kepada nabi-nabi sebelum baginda s.a.w. Demikianlah pengertian Al-Quran di dalam Bahasa Arab yang antara lain bermaksud pengumpulan, gandingan serta penyatuan dan bacaan.1

    Manakala daripada segi istilah pula, ada berbagai definasi yang telah diutarakan oleh ramai ulama. Namun, di antara pengertiannya yang terbaik dari sudut istilah ialah:

    “Firman-firman Allah [yang bersifat mukjizat] yang diturunkan kepada Muhammad, [termaktub di dalam mushaf-mushaf yang telah ditukil secara mutawatir (periwayatan yang banyak yang menjamin kebenaran dan ketulenannya)] dan pembacaannya merupakan suatu ibadat.” 2

    Dengan demikian, dapat disimpulkan daripada penjelasan tersebut bahawa Al-Qur’an bukan kata-kata makhluk dan tidak mampu ditandingi lagi terpelihara kandungan dan susunannya daripada pengubahsuaian, berbeza dengan kitab-kitab yang diturunkan kepada para nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w, sedang catatan dan pembacaan apa yang ada di dalam mushaf-mushaf adalah firman-firman Allah dengan susunan setiap huruf dan ayat serta surahnya yang telah diriwayatkan daripada Nabi Muhammad s.a.w dan para Sahabat r.a secara beramai-ramai yang dengannya tidak tergambar atau mustahil berlakunya pendustaan di dalam periwayatannya.

    Begitu pula pembacaannya merupakan suatu ibadat.

    Justeru itu, salah satu sifat atau ciri Al-Qur’an ialah Al-Qur’an adalah suatu mukjizat yang mana semua makhluk, di antaranya manusia, tidak mampu menandinginya.

    Erti Mukjizat Dari Segi Bahasa Dan Istilah
    Sebagaimana yang telah disebutkan di dalam pengertian Al-Qur’an, yang menyifatkan Al-Qur’an sebagai firman-firman atau kata-kata Allah taala yang berupa mukjizat, maka perlu dijelaskan di sini pengertian mukjizat memandangkan kandungan seterusnya di dalam kertas kerja ini akan memberi tumpuan terhadap sifat Al-Qur’an ini.

    Di dalam Bahasa Arab, perkataan ‘Al-Mukjizah’ berasal daripada perkataan ‘A`ajaza’ yang antara lain diertikan dengan contoh berikut:

    “Mukjizat yang dimiliki oleh Nabi s.a.w: iaitu apa yang menjadikan para penentang baginda tidak mampu untuk melakukannya atau menandinginya ketika dicabar, adapun huruf “Ha” adalah imbuhan yang menunjukkan pelampauan atau berlebihan (iaitu yang amat sangat tidak mampu ditandingi).”3

    Adapun daripada sudut istilah, makna ‘Al-Mukjizah’ bererti: Perkara yang mencanggahi adat kebiasaan (iaitu sesuatu yang luarbiasa) yang ditentukan Allah dan dikurniakan kepada seseorang yang bergelar nabi sebagai tanda kebenarannya dan sekaligus dakwahnya.4

    Oleh yang demikian, mukjizat para nabi adalah perkara luarbiasa yang tidak mampu ditandingi manusia dengan segala kebolehan dan upayanya sepertimana mukjizat yang telah dikurniakan kepada Nabi Musa a.s berupa tongkat yang dengannya baginda mengalahkan apa jua bentuk sihir, Nabi Isa a.s dengan usapannya yang dengan izin Allah, mengubat segala macam penyakit yang tidak mampu diubati oleh ilmu kedoktoran yang dibangga-banggakan pada zaman tersebut. Maka begitu jugalah mukjizat Nabi Muhammad s.a.w, yang di antaranya berupa kandungan Al-Qur’an daripada berbagai sudut yang tidak mampu ditandingi manusia dan terutamanya di dalam bidang ilmu pengetahuan, yang merupakan induk kajian kertas kerja ini.

    [/font][/size][/b]
    « Last Edit: 05 December, 2008, 04:03:43 PM by halawah »
    İlmu yang benar membuahkan amal İman yang Teguh
    hubungan dengan ukhuwahfıllah perpaduan Ummah seutuh

    Reply #1 05 December, 2008, 03:58:35 PM
  • Publish
  • sambungan;

    Pengertian Sains Dan Dasar-Dasarnya
    Sains adalah satu perkataan yang mengandungi banyak makna. Untuk menjelaskan secara umum, perkataan atau ilmu yang disifatkan oleh sebahagian pemikir Islam sebagai “the ever-changing God” (Tuhan yang sentiasa mengalami perubahan) bagi umat dunia Barat yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan, maka dinyatakan berikut:

    “Science-1 noun: knowledge about the world, especially based on examination and testing and on facts that can be proved… 3 a particular part of science, for example Biology, Chemistry or Physics: the physical sciences- see also natural science, social science…”5

    Daripada apa yang ditukil, dapatlah difahami secara umumnya bahawa sains adalah perkataan atau ungkapan yang bererti ilmu pengetahuan duniawi secara umumnya, yang berdasarkan kajian dan percubaan dan teori (andaian-andaian akal) yang boleh dijadikan bukti terhadap kebenaran dapatan pengetahuan tersebut atau adanya kemungkinan ia benar. Justeru itu, kesimpulan-kesimpulan yang tiada dasar atau bukti dan demikian pula apa-apa yang tidak mampu dijangkau panca indera manusia berdasarkan fakta-fakta, tidak tergolong di dalam ertikata sains.

    Kesimpulannya, dasar-dasar pengetahuan sains amat berbeza daripada dasar-dasar pengetahuan yang didatangkan agama kerana pengetahuan yang dijelaskan agama datangnya daripada yang ghaib dan membicarakan beberapa perkara yang ghaib seperti kewujudan malaikat, roh6 dan sebagainya. Apatah lagi yang bersekitar tentang Akhirat kerana ilmu sains adalah ilmu duniawi semata-mata. Begitu pula, agama mengajarkan kepercayaan di hati dengan berdasarkan keterangan daripada Ilahi yang dapat diamati dan diterima akal, biarpun pada perkara yang tidak mampu dilihat, sebaliknya, sains menolak kepercayaan pada apa yang tidak dilihat sehingga ada bukti yang dapat dijangkau indera manusia. Itulah yang menjadikan wujudnya pertentangan di antara dasar-dasar sains dan dasar-dasar agama. Wallahu A`alam.

    Walau bagaimanapun, ramai juga ahli saintis yang memeluk agama Islam hasil daripada kajian mereka yang mendalam dan sedarnya mereka akan kebenaran yang telah sedia dijelaskan Al-Qur’an serta insaf akan kejahilan mereka yang menolak iman kepada Yang
    Ghaib lagi Yang Maha Mengetahui, Allah taala.

    Demikianlah pada hakikatnya, ilmu yang benar berdasarkan kajian yang tepat dan lurus berkenaan alam ini tentunya bersesuaian dengan keterangan Al-Qur’an yang difahami dengan pemahaman yang hakiki. Padahal pemahaman hakiki tersebut sukar dicapai atau ditentukan oleh akal manusia yang tidak mampu menandingi keluasan dan dalamnya kandungan Al-Qur’an. Maka apa yang dijelaskan selanjutnya adalah berdasarkan penemuan sains yang telah dikatakan oleh para cendekiawan Islam dan sains sebagai bersesuaian dengan keterangan Al-Quran7. Sudut inilah, salah satu mukjizat Al-Qur’an yang abadi, mukjizat Al-Qur’an berbentuk ilmu pengetahuan atau sains, yang akan disentuh di dalam kertas kerja yang ringkas dan serba sederhana ini.

    Makna Mukjizat Al-Quran Dan Kepelbagaiannya
    Al-Imam Al-Suyuti di dalam muqaddimah kitab “Mutarak Al-Aqrân fî Ijâz Al-Qur’ân” menyebutkan seperti berikut8:

    “Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan mukjizat-mukjizat umat ini bersifat aqli kerana berlebihannya kecerdikan mereka dan kesempurnaan pemahaman mereka dan kelebihan mereka ke atas umat-umat yang sebelumnya…”

    Kemudian beliau mengemukakan firman Allah taala yang bemaksud:

    “Dan mereka berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) mukjizat-mukjizat dari Tuhannya?" Jawablah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya (urusan menurunkan) mukjizat-mukjizat itu adalah tertentu bagi Allah, dan aku hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata". (Patutkah mereka meminta mukjizat-mukjizat yang lain?) tidakkah cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Al-Qur’an yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya Al-Qur’an yang diturunkan itu mengandungi rahmat dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.”

    Lalu menyambung dengan kata-kata beliau:

    “Maka (Allah) Taala mengkhabarkan bahawasanya Al-Kitab (Al-Qur’an) itu sendiri adalah salah satu mukjizat daripada sekian banyak mukjizat-mukjizat yang lain, yang tegak berdiri sebagai pengganti mukjizat-mukjizat para nabi yang lain yang telah hilang dan sirna dengan kewafatan mereka…”

    Selanjutnya beliau menjelaskan:

    “Ulama kita, semoga Allah meredhai mereka, telah mengkhususkan beberapa karangan mengenai mukjizat Al-Qur’an. Mereka telah mengkaji dengan meluas berbagai sudut kemukjizatan Al-Qur’an. Di antara mereka itu adalah Al-Khattabi9, Al-Rummanî10, Al-Zamlakani, Al-Imam Al-Razi, Ibnu Surâqah serta Al-Qadi Abu Bakar Al-Baqilani11 dan sebahagian mereka menyudahi pembilangannya sehingga 80 sudut kemukjizatan Al-Qur’an …padahal yang sebenarnya, kemukjizatan Al-Qur’an tiada penghujungnya (atau tiada batasnya) sebagaimana yang dikatakan oleh Al-Sikkaki di dalam Al-Miftah: Ketahuilah bahawasanya kemukjizatan Al-Qur’an mampu dijangkau tetapi tidak mungkin mampu disifatkan seperti ketetapannya wazan (pola dalam ilmu bahasa Arab) dapat dijangkau namun tidak mungkin mampu disifatkan…”12

    « Last Edit: 05 December, 2008, 04:02:55 PM by halawah »

    Reply #2 05 December, 2008, 03:59:21 PM
  • Publish
  • sambungan;

    Daripada apa yang dijelaskan oleh Al-Imam Al-Suyutiî, Al-Qur’an adalah mukjizat yang abadi dan adanya kepelbagaian di dalam mukjizat-mukjizat Al-Qur’an, meskipun di dalam kitab beliau tersebut, mungkin kerana belum munculnya zaman Sains dan Teknologi, beliau lebih menumpukan soal keindahan bahasa Al-Qur’an dan uslub-uslubnya, namun kenyataan beliau tersebut menegaskan bahawa kemukjizatan Al-Qur’an dan kepelbagaiannya adalah sesuatu yang tidak mampu dihitung atau ditentukan bilangannya, maka sudah tentu Al-Qur’an juga ada mukjizatnya dari sudut Ilmu Sains. Wallahu A`alam. Ini akan dijelaskan dengan contoh-contohnya daripada beberapa karangan cendekiawan Islam dan ahli sains. Insya Allah.

    Ada baiknya diungkapkan di sini sudut-sudut perbezaan di antara mukjizat Nabi Muhammad s.a.w berupa Al-Qur’an dan mukjizat para nabi lainnya menurut penelitian Al-Shaykh Muhammad Mutawalli Al-Sha’rawi:

    “Perlu diperhatikan bahawasanya mukjizat Al-Qur’an berbeza daripada mukjizat para rasul yang terdahulu…(mukjizat para rasul terdahulu) bersifat kawniyah…siapa yang melihatnya beriman dengannya…berlaku sekali sahaja…dilihat dan dirasakan oleh mereka yang hadir…setelah itu, ia menjadi sekadar suatu cerita atau peristiwa yang diberitakan sahaja…tetapi mukjizat Nabi Muhammad s.a.w bersifat aqli (mencabar kemampuan akal manusia) dan kekal selama-lamanya…inilah mukjizat baginda iaitu Al-Qur’an …Selain itu, mukjizat-mukjizat terdahulu berupa perbuatan-perbuatan Allah, perbuatan Allah boleh terhenti setelah Allah berhenti melakukannya, laut terbelah untuk Musa kemudian kembali seperti sebelumnya…api tidak membakar Ibrâhîm setelah itu kembali seperti sediakala…tetapi mukjizat Nabi s.a.w berupa sifat daripada sifat-sifat Allah…iaitu KalamNya (kata-kata Allah) …dan sifat ini kekal dengan kekalnya Zat yang bersifat demikian…”13

    Al-Shaykh Al-Zarqani pula telah mengemukakan tajuk-tajuk berikut “Al-Quran adalah suatu mukjizat yang abadi” “Di dalam Al-Qur’an terkandung ribuan macam mukjizat” di dalam salah satu bahagian daripada kitab beliau yang menerangkan tentang Kemukjizatan Al-Qur’an dan di antara tajuk-tajuk perincian yang beliau sebutkan adalah: “Pendirian Al-Qur’an terhadap Ilmu Alam”, “Mukjizat-mukjizatnya yang didedahkan oleh ilmu pengetahuan moden” dan “mukjizat yang diketahui melalui Ilmu Kedoktoran Terkini”14.

    Di antara kata-kata beliau yang baik ditukil, menurut pandangan penulis, untuk menggambarkan kemukjizatan Al-Qur’an adalah (trj.):

    “…bahawasanya Al-Qur’an merangkumi berbagai ilmu dan pengetahuan di dalam menerajui para makhluk ke jalan yang benar, yang mana ia telah mencapai mercu matlamatnya, dengan hujjahnya yang bersifat paling kukuh dan jitu, kesannya yang baik dan mendalam serta kemanfaatannya yang menyeluruh, suatu pencapaian yang mustahil mampu didatangkan oleh Muhammad s.a.w daripada diri peribadinya sendiri, mentelah lagi beliau adalah seorang lelaki yang buta huruf, hidup dan dibesarkan di kalangan satu bangsa yang umumnya juga buta huruf. Malah mustahil mampu didatangkan oleh seseorang pun daripada seluruh penduduk muka bumi ini meskipun daripada kalangan para cendekiawan, para sasterawan, para ahli falsafah untuk mendatangkannya daripada diri mereka sendiri.”15

    Al-Qur’an Dan Penemuan Sains Yang Bersesuaian Dengannya
    Sebelum meneruskan perbincangan mengenai Mukjizat Al-Qur’an dari sudut ilmu pengetahuan atau Sains, ada baiknya dikemukakan di sini pendirian dan sikap yang sewajarnya ada pada diri seorang yang beriman kepada Al-Qur’an sebagai wahyu Allah dan sekaligus mukjizat Nabi Muhammad s.a.w yang abadi, sepertimana yang ditegaskan oleh Dr. Abdul Ghani Muhammad Sadibarakah (trj.): Al-Qur’an adalah kitab yang memberi petunjuk (hidayat), matlamat Al-Qur’an yang utama adalah untuk membimbing manusia kepada kebenaran dan kelurusan. Maka apabila Al-Qur’an menyentuh atau membicarakan tentang alam maya ini, bukannya maksudnya untuk menjelaskan hakikat ilmiyah dalam satu cabang daripada cabang-cabang ilmu-ilmu berkenaan alam maya ini semata-mata, malah sebenarnya ia punya tujuan keagamaan, matlamatnya adalah pengajaran dan peringatan, misalnya menjadikan kita sedar betapa alam ini semuanya ditadbirkan oleh Allah, menurut kehendakNya, ataupun untuk melenyapkan apa yang menghantui fikiran manusia yang terpesong yang menganggap sesuatu makhluk yang hebat daripada alam maya ini sebagai tuhan, dengan dakwaan mereka kononnya ia berpengaruh mendatangkan kemudaratan dan kemanfaatan padahal pada hakikatnya ia juga tunduk dan mengikuti Kekuasaan Allah:

    “Sesungguhnya Allah menahan dan memelihara langit dan bumi supaya tidak berganjak dari peraturan dan keadaan yang ditetapkan baginya; dan jika keduanya (ditakdirkan) berganjak maka tidak ada sesiapapun yang dapat menahannya daripada berlaku demikian selain dari Allah. Sesungguhnya Ia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.”

    Kemungkinan juga maksudnya adalah untuk menghayati keagungan Allah dengan penciptaanNya… Sebab itu seringkali kita didorong untuk memikirkan dan mengamati ciptaan-ciptaan tertentu… Yang dengannya akal si pengkaji yang mencari kebenaran tidak akan menolak bahawa alam maya ini ada Tuhan yang Esa dalam Kekuasaannya… Sebab itulah Allah menegaskan setelah mendorong manusia meneliti penciptaannya dengan firmanNya yang bermaksud:

    “Dan jika engkau merasa hairan (wahai Muhammad), maka sungguh menghairankan perkataan mereka yang kafir itu (yang mengatakan): "Adalah apabila kami telah menjadi tanah betulkah kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu?" Mereka itulah orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan mereka, dan merekalah yang dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada leher mereka; dan merekalah juga ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”

    Oleh itu, adalah menjadi suatu kewajipan apabila kita memerhatikan sesuatu ayat Al-Qur’an yang membicarakan tentang ilmu berkenaan alam maya ini, bahawa sebenarnya yang paling utama ialah ayat tersebut mengandungi petunjuk atau hidayat dan kita selayaknya menyahut ajakannya untuk memikirkan dan mengamati ciptaan-ciptaan Allah yang amat mengagumkan demi mencapai keimanan yang lebih mendalam di dalam sanubari dan merasakan gementar terhadap Allah di dalam hati, yang dengannya menjadi pelurus tingkah laku dan pandangan hidup kita.

    Namun bukannya yang demikian itu bererti ada kandungan Al-Qur’an yang bertentangan dengan ilmu yang dapat diyakini ataupun kita takutkan adanya percanggahan keterangan Al-Qur’an dengan hakikat alam ini yang diketemukan oleh para saintis. Tentunya apa yang ada di dalam Al-Qur’an adalah kebenaran yang bersifat mutlak, mustahil ada kesalahan, kerana ia adalah wahyu yang diturunkan Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji… Maka tidak tergambar di dalam akal fikiran bahawa apa yang diketemukan melalui ilmu yang dapat diyakini bercanggahan dengan Al-Qur’an, sebab kebenaran tidak akan saling bercanggahan atau bertentangan...

    Akan tetapi, apa yang ingin diperhatikan ialah bahawasanya apa-apa yang diketemukan oleh para saintis adalah sesuatu yang dibuktikan oleh akal mereka hasil daripada ujian, percubaan dan kajian yang membawa mereka kepada kesimpulan-kesimpulan menurut apa yang nyata dan zahir secara umumnya di hadapan mereka semata-mata dan mereka dengan itu telah bermati-matian di dalam usaha mereka sedaya upaya mereka di dalam membuat percubaan, kajian dan kesimpulan… Maka bilamana keadaannya demikian, kemungkinan peningkatan dan kemajuan di dalam sains dengan berbagai wasilah pengkajian yang baru, yang tidak diperolehi para saintis sebelumnya, yang dengannya terbukti bahawa kesimpulan yang sebelumnya disangkakan benar ternyata meleset dan tidak tepat, mereka akan menghapuskan dan meninggalkan kesimpulan yang terdahulu menggantikannya dengan yang terkini… Jika demikian keadaannya, apakah kita akan dengan segera menerima apa-apa kesimpulan yang baru dan terkini daripada apa yang didatangkan oleh ilmu percubaan (Sains), berusaha pula untuk menjadikan ayat-ayat Al-Qur’an menuruti kesimpulan yang baru? Bagaimana pula pendirian kita jika Sains merubah kesimpulannya terhadap sesuatu yang sebelumnya kita setujui sebagai kesimpulan yang bersesuaian dengan keterangan Al-Qur’an? Bukankah itu akan menimbulkan berbagai keraguan terhadap Al-Qur’an padahal asalnya kita bermaksud untuk menonjolkan kemukjizatan Al-Qur’an yang bersifat abadi dan melestarikan kehebatan Al-Qur’an?16

    Justeru itu, kita masih boleh menerima dapatan Sains yang dikatakan bersesuaian dengan keterangan Al-Qur’an secara zahirnya, namun apa yang ada di dalam Al-Qur’an adalah hakikat yang merupakan suatu mukjizat yang mana akal manusia tidak mampu untuk mencapainya pada peringkatnya yang hakiki tersebut, hanya sebahagiannya sahaja yang mampu diketahui manusia dan masih perlu diteliti dan dpertimbangkan kesesuaiannya serta tidak diterima sebagai sesuatu yang telah pasti kerana Ilmu Sains itu sendiri masih terbina di atas asas ketidakpastian, percubaan, pengkajian dan kesimpulan daripada akal manusia yang tidak sempurna.

     Wallahu A`alam.


    « Last Edit: 05 December, 2008, 04:04:29 PM by halawah »

    divider3
    halaqahforum4

     

    Related Topics

      Subject / Started by Replies Last post
    11 Replies
    2729 Views
    Last post 28 June, 2010, 12:41:43 AM
    by Atuk
    16 Replies
    3615 Views
    Last post 28 June, 2010, 12:44:13 AM
    by dol_bendol
    1 Replies
    810 Views
    Last post 17 January, 2011, 12:44:55 PM
    by nazri0070