Syamsiah atau Kamariah

*

Author Topic: Syamsiah atau Kamariah  (Read 2249 times)

0 Halaqian and 1 Guest are viewing this topic.

11 January, 2008, 03:09:16 PM
  • Publish
  • Syamsiah atau Kamariah - Mana satu pilihan kalbu?


    Seorang lelaki berbadan kurus tinggi lampai bernama Alif menghadapi dilema. Yang mana satu harus dipilih. Syamsiah atau Kamariah? Pilih salah satu atau pilih kedua-duanya sekali? Dalam hidupnya, kedua-duanya amat bermakna dan bererti. Dengan lain perkataan, kedua-duanya sama penting dalam mewarnai kehidupan Alif.

    Sejak pagi lagi, hinggalah ke tengah hari dan petang, Syamsiah sering mendampinginya. Alif tidak kesunyian lagi. Hidupnya tidak pernah berada dalam kegelapan sejak kedatangan Syamsiah. Ya, dia benar-benar menyinari kehidupan Alif.

    Dengan bantuan Syamsiah, Alif kini begitu mudah menentukan waktu solat lima waktu. Dengan kata lain, Syamsiahlah tempat Alif bertanya bila masuk waktu solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak.

    Kebiasaannya, Syamsiah memang tidak pernah jemu menemani Alif ke mana sahaja di waktu siang. Memang jarang sekali Syamsiah tidak kelihatan bersama Alif di waktu-waktu begini. Mungkin sesekali ada ketikanya, Syamsiah tidak kelihatan. Mungkin untuk menguji Alif barangkali terutamanya ketika awan mendung atau ketika hujan turun dengan lebatnya.

    Alif juga hairan, apabila senja menjelang, Syamsiah mula menjauhkan diri daripadanya. Perlahan-lahan dia beredar meninggalkan Alif. Ke mana dia pergi? Sebaliknya, sebaik sahaja dia pergi, Kamariah mula datang menyapa Alif.

    Badariah
    Berbeza dengan Syamsiah, perwatakan Kamariah lain daripada yang lain. Tidak sama dengan Syamsiah. Ya memang tidak serupa antara keduanya. Kamariah biasanya kelihatan pada sebelah malam. Namun, bukan setiap malam Kamariah datang menjenguk Alif.

    Biasanya Kamariah tidak muncul di awal atau penghujung bulan. Dia datang dengan ceria ketika pertengahan bulan.

    Kamariah selalunya amat manja ketika pertengahan bulan. Wajahnya memang ceria dan di situlah mungkin terletaknya aura Kamariah yang menjadi tarikan ramai. Bila tiba saat-saat manja dan cerianya, dia lebih suka dipanggil Badariah. Itulah nama timangannya.

    Kalau Syamsiah boleh membantu dalam menentukan masuknya waktu Solat, Kamariah apa kurangnya. Dia membantu Alif menentukan tarikh bila sepatutnya dia berpuasa Ramadan dan bila pula sepatutnya berhariraya.

    Kedatangan Kamariah pada awal Ramadan dan Syawal memang ditunggu-tunggu. Ada kalanya, Kamariah mudah dilihat kemunculannya. Selalunya, Kamariah muncul tetapi ramai yang tidak menyedarinya termasuklah Alif.

    Menanti kehadiran Kamariah di awal Ramadan dan awal Syawal memang sesuatu yang cukup mendebarkan. Memang wajah Kamariah ketika itu begitu berhargai. Wajahnya hanya mampu dilihat dalam tempoh beberapa detik sahaja . Itupun tidak sampai tujuh peratus daripada wajah keseluruhannya. Di saat itu Kamariah lebih suka menggunakan nama samaran Hilal sebagai pengganti diri.

    Antara Syamsiah dan Kamariah banyak perbezaannya. Alif hingga kini masih gagal untuk merenung mata Syamsiah untuk jangka masa yang lama. Paling lama pun setakat dua tiga saat sahaja. Itupun sudah dianggap lama. Amat tajam mata Syamsiah.

    Sebaliknya, Alif boleh merenung wajah Kamariah berjam-jam untuk mencari ilham. Semakin lama bertentang mata dengan wajah Kamariah semakin banyak ilham mendatang.

    Tetapi, ada juga sifat yang sama pada mereka berdua. Kedua-duanya amat diminati ramai. Bukan sahaja kepada manusia lain tapi juga di kalangan haiwan. Ayam di kampung akan bersahutan berkokok menyambut kehadiran Syamsiah di awal dinihari. Burung pungguk pula seringkali menanti di celah-celah daun bilakah wajah Kamariah akan menjelma.

    Alif semakin menghadapi dilema. Terbaru, pada 1 Januari 2008 lalu, apabila beliau memperkenalkan Syamsiah kepada khalayak ramai, sambutan sungguh meriah.

    Pelbagai acara gilang gemilang diadakan di serata pelosok rantau. Hampir semua stesen televisyen mengadakan siaran secara langsung menyambut ulang tahun kelahiran Syamsiah.

    Ini sungguh berbeza dengan apa yang berlaku senja petang semalam. Ketika masuknya tabir 1 Muharam 1429, sambutan ulang tahun penghijrahan Kamariah tidak seperti ulang tahun kelahiran Syamsiah. Kurang meriah, kurang liputan dan banyak lagi kekurangan kegemilangannya. Malah lebih menyedihkan ada juga yang tidak perasan kehadirannya.

    Bertuah
    Itulah sebuah cerita ringkas dilema seorang lelaki bernama Alif yang menggambarkan secara simbolik suasana sambutan tahun baru masihi dan tahun baru hijrah. Syamsiah sebenarnya bukanlah seorang wanita.

    Perkataan syams bermaksud matahari dan sanah bererti tahun. Oleh itu sanah syamsiah bermakna tahun matahari. Dalam konteks ini tahun masihi 2008 menggunakan sistem matahari dalam pengiraan bilangan hari, minggu, bulan dan tahunnya.

    Begitu juga halnya dengan Kamariah. Kamariah bukanlah seorang wanita. Perkataan kamar atau qamar membawa makna bulan dan sanah bererti tahun. Oleh itu sanah kamariah atau sanah qamariah membawa maksud tahun matahari.

    Dalam hal ini, tahun Hijrah 1429 menggunakan sistem bulan dalam pengiraan bilangan hari, minggu, bulan dan tahunnya.

    Alif pula biasanya memang sering digunakan sebagai nama seorang lelaki di Malaysia. Alif seperti mana kita maklum adalah huruf pertama dalam tulisan Arab atau tulisan Jawi. Sebab itu ia digambarkan kurus tinggi bersesuaian dengan bentuk huruf itu.

    Mengikut peraturan tajwid, huruf Alif adalah suatu huruf yang berkecuali. Ia bukan dalam kategori alif lam qamariah atau alif lam syamsiah.

    Alif lam kamariah mempunyai 14 huruf dan alif lam syamsiah juga mempunyai 14 huruf. Oleh itu untuk memudahkan para pelajar mengingatinya, cerita pendek di atas boleh digunakan di dalam kelas.

    Jadi, kita bertuah kerana dalam tempoh hanya 10 hari, kita dapat merayakan dua kali tahun baru iaitu tahun baru 2008M dan tahun baru 1429H. Selain itu, jangan lupa bahawa, hujung tahun 2008 ini iaitu pada 29 Disember sekali lagi kita akan dipertemukan dengan tahun baru 1410 Hijrah dengan izin-Nya, insya-Allah.

    Info berkaitan
    * Perkataan yaum dan al-yaum (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari disebut sebanyak 349 kali dalam al-Quran al-Karim.

    lJika dicampurkan dengan perkataan yaumukum (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari kamu semua disebut sebanyak lima kali menjadikan jumlahnya 354 kali. Ini bersamaan dengan tahun Hijrah (354 hari).

    lJika dicampurkan dengan perkataan yauman (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari (dalam bentuk mansub) disebut sebanyak 16 kali menjadikan jumlahnya 365 kali. Ini bersamaan dengan tahun Masihi (365 hari).

    * As-habul Kahfi (sekumpulan pemuda beriman yang tinggal dalam gua) telah tidur selama 309 tahun. Dalam al-Quran bilangan 309 disebut (thalatha mi atin siniina wazdaaduu tis’a) yang bermaksud 300 tahun dan mereka menambah sembilan. Setelah dibuat kajian terperinci didapati bahawa bilangan 300 tahun Masihi bersamaan dengan bilangan 309 tahun Hijrah. Sila rujuk Surah al-Kahfi ayat ke 25.

    * Hadis Nabi bermaksud, “Jika matahari diletakkan di bahu kananku dan bulan di bahu kiriku sekalipun, aku tidak akan berhenti daripada menyebarkan dakwah sehinggalah Allah memerintahkan berbuat demikian atau aku binasa kerananya”.

    * Labah-labah membawa banyak pengertian yang mendalam. Semasa berhijrah, ia bertindak sebagai penyelamat Nabi dan

    Saidina Abu Bakar. Dewasa ini, konsep sarang labah-labah dijadikan asas dalam pembinaan jaringan Internet. Di Barat, kisah labah-labah sebagai pertahanan berkesan daripada musuh diaplikasi dalam kehidupan.

    * Kini, ia diternak secara besar-besaran untuk mendapatkan air liurnya yang sangat berharga untuk bidang pertahanan. Mengikut kajian, air liur labah-labah lebih tahan daripada besi keluli dan sukar ditembusi peluru.


    Utusan Melayu
    Bicara agama
    *Image Removed*
    Ya ALLAH, jadikan aku wanita yang solehah...yang baik di antara yang terbaik...dan kurniakan aku pendamping yang baik...
    dlm mendapatkan sesuatu yang terbaik dariMu...
    Amin...

    Reply #1 11 January, 2008, 03:16:22 PM
  • Publish
  • tajuk yg sangat saspen..artikel yg sgt mnyentuh hati..

    perkara yg paling jauh dengan kita adlah masa yg telah berlalu - Hujjatul Islam Al-Imam Ghazali

    sama2 kita muhasabah..

    divider3
    halaqahforum4