Login  |  Daftar

Author Topik: Suburkan Kekuatan Rohani Dambakan Kebahagiaan Hakiki  (Dibaca 57 kali)

0 Halaqian dan 1 Tetamu sedang melihat topik ini.

Halaqah

  • Global Moderator
  • *****
  • Posts: 85
    • View Profile
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ


Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  17 surah al-An’am :
وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya : Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Dia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu

Kedatangan Islam menerusi nabi Muhammad s.a.w. dengan system yang lengkap dan menyeluruh termasuk penekanan terhadap kesihatan dan penjagaan kesihatan yang sempurna. Ajaran Islam amat menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan yang sempurna supaya individu itu mempunyai kekuatan yang diperlukan bagi menjalankan ibadat kepada Allah.

Begitu juga, bagi menjadikan amalan ibadat dan doanya itu diterima Allah, individu Muslim itu mestilah sentiasa memelihara kesihatan diri terutamanya dalam memastikan kebersihan dan halal haram makanan yang diambil di samping menggunakan hanya pakaian yang bersih, tidak dikotori najis dan sebagainya.

Pencegahan menjadi asas utama penjagaan kesihatan yang baik di samping melakukan aktiviti kehidupan secara bersederhana dan tidak berlebih-lebihan yang sentiasa dianjurkan oleh Islam kepada umatnya. 

Oleh itu ketika berdepan dengan penyakit berjangkit seumpama Influenza pada waktu ini yang merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus influenza yang menjangkiti salur pernafasan antaranya sentiasa merujuk pihak kesihatan dan apa yang paling penting ialah menjauhi maksiat dan perkara yang menjadi punca kepada penyakit serta memperbanyakkan doa kepada Allah

Daripada Uthman bin Affan RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ، فِي الْأَرْضِ، وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ، حَتَّى يُصْبِحَ، وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ -رواه أبو دأود
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca: (Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak 3 kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga subuh. Dan barangsiapa yang membacanya ketika subuh sebanyak 3 kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).”

Daripada Abu Hurairah RA berkata:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ مَا لَقِيتُ مِنْ عَقْرَبٍ لَدَغَتْنِي الْبَارِحَةَ، قَالَ: أَمَا لَوْ قُلْتَ، حِينَ أَمْسَيْتَ: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ، لَمْ تَضُرَّكَ – رواه مسلم
Maksudnya: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah, ketika aku sedang tidur, ada seekor kala jengking datang menyengatku. Maka Nabi SAW bersabda: Jika kamu membaca ketika waktu petang (malam) itu: (Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta)” nescaya tidak akan berlaku perkara yang memudharatkan kamu.”

Daripada Anas bin Malik RA berkata:
كَانَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ  – رواه أبو دأود
Maksudnya: Adapun Rasulullah berdoa: (Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk)”.
 
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 7-10 surah as-Syamsu :
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا ﴿٧﴾ فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا ﴿٨﴾ قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ﴿٩﴾ وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا ﴿١٠
Maksudnya : Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);  Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; – Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), (Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Ketika berbicara tentang penyakit berjangkit di mana sebahagiannya boleh membawa maut maka datang rasa gerun di hati kita. Namun ada lagi penyakit lebih merbahaya daripada itu iaitu penyakit rohani yang bukan sahaja menyebabkan kerosakan akhlak yang membawa kepada jenayah malah membawa kesengsaraan sehingga akhirat.

Kestabilan dan keteguhan sebuah negara bergantung kepada kekuatan jati diri rakyatnya. Apabila rakyat dijangkiti penyakit sosial, hidup semata-mata mengejar kemewahan dan keseronokan hawa nafsu, berpecah belah, negara akan menuju kehancuran.

Nilai kerohanian membolehkan manusia mempunyai akhlak dan tingkah laku yang baik serta memelihara nilai-nilai itu walau apa juga perubahan yang berlaku di persekitarannya.
Islam masuk ke alam Melayu dalam keadaan masyarakat ketika itu hidup dengan pelbagai kepercayaan dan animisme. Namun, dengan kegiatan keilmuan dan kerohanian yang dicetuskan oleh ulama silam, umat Islam membina tamadun yang dibanggakan dan mematuhi nilai-nilai kehidupan yang baik serta mengukuhkan institusi kekeluargaan.

Tamadun Melayu tidak meninggalkan binaan-binaan bangunan, sebaliknya mewariskan banyak hasil ilmu terutama dalam menterjemahkan tulisan Arab dalam pelbagai disiplin ilmu. Tamadun Melayu hanya hebat dan kuat setelah mereka menerima dan menemui makna diri dengan Islam, seterusnya muncul sebagai antara bangsa yang hebat.
 
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 37 surah an-Nuur :
رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ ﴿٣٧
Maksudnya : (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din menukilkan bagaimana aspek ruh lebih tinggi nilai dan kedudukannya berbanding jasad kerana datang secara langsung serta dinisbahkan kepada Allah sedangkan jasad hanya dinisbahkan kepada tanah atau air mani hina. Komponen kedua-dua aspek material dan ruh inilah tabie yang mewujudkan makhluk dipanggil insan atau manusia. Kita begitu bimbang umat Islam turut terperangkap dengan krisis jiwa dengan mendewakan unsur kebendaan berdasarkan faham dan doktrin materialisme yang rata-rata menjadi pedoman, dorongan serta bernilai utama dan tinggi dalam kehidupan.

Hasilnya mereka terperangkap dalam krisis kerohanian dan kejiwaan yang berat sehingga terbabit dalam pelbagai perlakuan negatif seperti bunuh diri dan pembunuhan dalam peperangan bersenjata yang mereka cipta sendiri dan dalam pelbagai perkara negatif lain. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) misalnya mencatatkan kebelakangan ini lebih daripada sejuta manusia seluruh dunia membunuh diri setiap tahun, iaitu pada kadar seorang membunuh diri setiap 40 saat.
Memandangkan betapa pentingnya membina jatidiri berteraskan Islam bermula dari alam sekolah lagi kerana seseorang itu bergantung dengan apa yang dipelajari, apa yang dijadikan rutin dan apa yang sering berlaku dalam kehidupannya.

Aktiviti solat berjemaah, qiamullail, berpuasa sunat, tadarrus al-Quran dan program keagamaaan yang lain adalah penting dalam memupuk sikap kebersamaan dalam melakukan ketaatan, sekaligus membina satu sosok tubuh jatidiri seorang muslim yang ghairah terhadap agamanya. Aktiviti kerohanian ini mampu membina kecemerlangan dalam pengajian dan juga pembentukan peribadi yang hebat yang berjaya dunia dan akhirat. Kita bukan sahaja mahu membentuk anak muda yang cerdas akademik tetapi juga teguh aspek kerohanian mereka
 
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 217 surah al-Baqarah :
 
وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَـٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ ﴿٢١٧
Maksudnya : “…..Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (Islam), lalu dia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan akhirat, dan mereka itulah ahli neraka,mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya).”

Pembinaan rohani umat Islam berteraskan Islam begitu penting terutama dalam  berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk serangan sekulerisme, liberalisme, atheis tolak agama. Antaranya Isu aqidah apabila Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 yang sebelum lantang mempertikaikan kewujudan JAKIM di mana yang terbaru mereka mengkritik Undang-undang Murtad dengan mengatakan keputusan seorang Islam untuk keluar agamanya antara individu itu dengan Tuhan.

Kumpulan itu mengatakan bahawa Undang-undang Negeri menghukum orang murtad, sama ada dengan denda, pemenjaraan atau pemulihan, tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama. Kumpulan ini jelas menafsirkan kebebasan beragama mengikut acuan Liberal Barat. Agama dianggap urusan peribadi yang tidak ada campur tangan dari pihak lain. Kebebasan beragama bagi mereka, manusia tidak boleh dipaksa hidup beragama.

Pentafsiran ini adalah tidak betul kerana setiap individu yang telah menganut sebarang agama adalah terikat dan berkewajipan dengan peraturan agamanya. Hak beragama ini bukanlah bersifat mutlak bahkan ianya adalah berdasarkan prinsip agama masing-masing.

Kebebasan beragama dalam Islam ialah Islam menjamin kebebasan agama dalam bentuk tidak boleh melakukan paksaan untuk menganut agama Islam bahkan Islam memberi hak kepada setiap individu untuk memilih agama yang ingin dianuti tanpa ada paksaan. Murtad atau keluar dari agama Islam adalah satu jenayah, telah melakukan kesalahan dan dikenakan hukuman hudud. Murtad tergolong dalam dosa-dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah. Hukuman membunuh orang murtad akan dilaksanakan sekiranya telah tamat tempoh untuk bertaubat dengan kembali kepada Islam
مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ – رواه البخاري
Maksudnya : “Barangsiapa yang menukar agamanya, bunuhlah dia.”

Murtad atau keluar daripada agama Islam sebenarnya adalah berbeza dengan konteks hak kebebasan beragama yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan kerana Perkara 11 tersebut adalah lebih merujuk kepada kebebasan mempertahankan amalan dan cara hidup yang digariskan oleh agama masing- masing bukan menghalalkan murtad sebagaimana yang didakwa oleh kumpulan pelampau ini. Oleh itu bersungguhlah kita bukan sahaja dalam mempertahankan aqidah malah memperkasakan system Islam dalam Negara. Sekat sebelum melarat, Tegah sebelum parah.
Islamlah nescaya kita berjaya dunia akhirat.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Sumber