Membaca al Quran di Kubur – Bid’ah Ke? Sesat Ke?

*

Author Topic: Membaca al Quran di Kubur – Bid’ah Ke? Sesat Ke?  (Read 7244 times)

0 Halaqian and 1 Guest are viewing this topic.

29 November, 2007, 03:54:40 PM
  • Publish

  • Membaca al Quran di Kubur – Bid’ah Ke? Sesat Ke?


    Kemarin dulu (5 November 2007) aku terbaca sebuah artikel di dalam akhbar Utusan Malaysia. Artikel bertajuk “Hadis palsu menyesatkan umat” yang ditulis oleh Dr Azwira Abdul Aziz, seorang pensyarah di Jabatan al-Quran dan Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia.

    Setelah kuamat-amati akan tulisan tersebut, ternyata sang penulis ternyata bertujuan untuk membid’ah dan menyesatkan mereka yang membaca al-Quran di kubur. Dari pengamatanku, ternyata penulis tersebut tidak berhati-hati bahkan semborono dalam membuat tuduhan. Bahkan kaedah perbandingan yang digunakan pun sungguh melucukan.

    Maka kerana itulah terpanggil aku untuk menulis di blog yang serba dhoif ini bagi membetulkan tuduhan tersebut walaupun aku tersangat dhoif dalam bidang keilmuan Islam. Untuk menjawab persoalan ini, maka aku yang faqir lagi haqir ini sekadar ingin membawa pendapat para ulama yang mu’tabar yang mana terlebih faham mereka itu akan al-Quran dan as-Sunnah.

    Apakah benar, membaca al-Quran di kubur itu merupakan satu amalan bid’ah dan sesat? Allahu Allah, kalau dibelek-belek kitab-kitab fiqh ternyata tidak bahkan ianya dianjurkan. Antara yang sempat dibelek:


    Kitab al-Iqna’ fi Halli al-Fadz Abi Syuja oleh Syeikh Khotib Syarbini: “Dan membaca oleh yang ziarah itu disisi penghuni kubur itu akan apa yang mudah daripada Al-Quran maka sungguhnya rahmat itu turun ia pada tempat dibacakan Al-Quran. Dan mayat itu seperti orang yang hadir yang diharapkan baginya akan rahmat dan hendaklah berdoa yang ziarah itu selepas membaca Al-Quran kerana doa itu memberi manfaat kepada mayat. Dan doa selepas membaca Al-Quran lebih hampir kepada diperkenankan……’ [halaman 208; cetakan Dar al-Fikr]

    Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhabi al-Imam asy-Syafie oleh Dr Musthafa Khin, Dr Mustafa al-Bugha dan ‘Ali Syarbaji: “Apabila seseorang penziarah memasuki kawasan perkuburan, disunatkan mengucapkan salam kepada penghuni kubur dengan berkata:

    السلام عليكم دار قوم مؤمنين و إنا إن شا الله بكم لا حقون ( رواه مسلم : 249

    Salam sejahtera keatas kamu, penghuni di rumah orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami, insyaAllah (pada masa akan datang) menyusul pula bersama-sama kamu [Hadits riwayat Muslim: 249]

    Dan hendaklah membaca disisi mereka itu akan apa yang mudah daripada al-Quran maka sungguhnya rahmat itu turun ia dimana saja tempat dibacakan al-Quran, kemudian hendaklah ia berdoa bagi mereka itu setelah selesai membaca al-Quran dan hendaklah ia hadiahkan umpama pahala bacaannya itu bagi sekelian arwah mereka itu. Maka sesungguhnya doa itu diharapkan akan perkenan. Dan apabila diperkenankan doa itu nescaya mengambil faedahlah oleh mayat dari pahala bacaan tersebut. Wallahu a’lam [halaman 278; juzuk 1; cetakan Dar al-Qalam]

    Dalam kitab al-Majmu’ oleh al-Imam an-Nawawi: “Disunnatkan bagi orang yang menziarahi kubur bahawa membaca apa-apa yang mudah dari al-Quran dan mendoakan untuk mereka (yang mati) selepas bacaan (al-Quran). Telah menashkan (yakni menyebut dengan terang/jelas) oleh Imam Syafie padanya. Ashhab (juga) telah sependapat (pada masaalah ini). Menambah beliau (Imam Syafie) ditempat lain dengan katanya ‘Jika mengkhatamkan bacaan al-Quran oleh mereka (yang hidup) diatas (sisi) kubur lebihlah afdhalnya” [halaman 311, juzuk 5, cetakan Dar al-Fikr]

    Maka cukuplah untuk kita katakan bahwa membaca al-Quran dikubur itu adalah disunatkan. Bukannya bid’ah lagi sesat sebagaimana dikatakan oleh Dr. Azwira.

    Seterusnya aku nak bawa lagi pendapat ulama yang menunjukkan bahwa boleh bahkan disunatkan membaca al-Quran di kubur tatkala menziarahinya.


    Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyebut di dalam kitabnya ar-Ruh [cetakan kedua di Haiderabaad, mukasurat 13; cetakan Dar Ibn Katsir, halaman 64 – 66]: Sesungguhnya tersebut daripada satu jamaah daripada salaf, bahawa mereka berwasiat membaca al-Quran disisi kubur mereka pada ketika pengkebumian. Abdul Haq berkata: “Bahawa Abdullah bin Umar رضي الله عنهما, menyuruh dibacakan surah al-Baqarah disisi kuburnya. Dan sebahagian dari orang yang menyaksikan perkara tersebut [wasiat tersebut] adalah al-‘Alaa` bin ‘Abdurrahman. Imam Ahmad رضي الله عنه pada permulaannya mengingkari perkara tersebut [sampai dan harus membaca al-Quran] sebab tidak sampai lagi pada beliau hadits, selepas itu beliau rujuk kembali dari fatwanya [dengan mengatakan sampai dan harus membaca al-Quran].
    Al-Khallal berkata dalam kitab beliau al-Jami' pada bab Membaca al-Quran Disisi Kubur: Telah mengkhabarkan daku oleh al-Abbas bin Muhammad Ad Dauri, beliau berkata: Telah mengkhabarkan daku oleh Yahya bin Ma'in Beliau berkata: Telah mengkhabarkan daku oleh Abdurrahman bin al-Alaa`, bin al-Jalaaj, daripada bapanya, beliau ( yakni Abdurrahman) berkata: Telah berkata bapaku: Apabila aku mati, letakkan daku di liang lahad engkau bacalah 'Bissmillahi wa ala millati Rasullilah' dan timbuskan perlahan-lahan tanah atasku lalu bacalah disisi kepalaku awal surah al-Baqarah,kerana bahawasanya aku telah mendengar Abdullah bin Umar رضي الله عنهما,, berkata (berwasiat) seperti itu".

    Abbas ad-Dauri berkata: Aku bertanya kepada Imam Ahmad bin Hanbal, berkata aku: Adakah engkau hafal suatu (hadits) berkenaan membaca al-Quran disisi kubur?.Beliau menjawab: Tidak dan aku telah bertanya pada Yahya bin Ma'in, maka beliau mengkhabarkan tentang hadits ini padaku

    Al-Khallal berkata: Telah mengkhabarkan kepadaku al-Hasan bin Ahmad al-Warraq, beliau berkata: Telah menceritakan daku Ali bin Musa al-Haddad -beliau seorang yang sangat benar -, beliau berkata: Adalah aku bersama-sama Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Qudamah al-Jauhari mengiringi jenazah. Maka apakala selesai dikebumi mayyit tersebut, duduklah seorang buta membaca al-Quran disisi kubur itu. Imam Ahmad berkata (menegur) kepada lelaki itu: Hai lelaki … bahwa membaca al-Quran disisi kubur adalah perbuatan bida'ah

    Apakala kami keluar dari perkuburan, bertanya Muhammad bin Qudamah kepada Imam Ahmad bin Hanbal; Wahai Abu Abdillah, apa kata (komen) engkau pada Mubassyir al-Halabi?. Imam Ahmad menjawab: Orang thiqah (kepercayaan). Berkata Muhammad bin Qudamah lagi: Adakah engkau tulis (catit/riwayatkan) daripadanya sesuatu hadits?. Jawab Imam Ahmad: Bahkan (ya aku catitkan). Muhammad bin Qudamah lalu berkata: Mengkhabarkan daku oleh Mubsyir daripada Abdurrahman bin al-‘Alaa bin al-Lajlaaj ,daripada bapanya: Bahawa bapanya berwasiat apabila dia selesai dikebumi dibacalah disisi kepalanya awal surah al-Baqarah dan akhirnya (Surah al-Baqarah). Kemudian dia (al-‘Alaa) berkata: Aku dengar Ibnu Umar رضي الله عنهما berwasiat dengan demikian itu. Lalu
    Imam Ahmad berkata: Kembalilah engkau (keperkuburan) dan katakan kepada lelaki tersebut "BACALAH".
    [/size]
    Al Hasan bin Asshabah Azza'farani berkata "Aku bertanya kepada Imam Syafie berkenaan membaca Quran di sisi kubur, maka beliau menjawab: "Tak mengapa, dengannya" (tidak salah)".
    Al-Khallal menyebut lagi: Adalah (shahabat dari golongan) al-Ansar, apabila kematian dikalangan mereka ,mereka pergi ke kubur yang kematian itu, membaca Quran disisinya".


    Tersebut di dalam kitab Tahqiiqul Aamal fima Yanfa’ul Mayyit minal ‘Amaal oleh al-Marhum as-Sayyid Dr. Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani:

    Telah berkata al-Hafidz as-Suyuthi: Telah meriwayatkan al-Baihaqi di dalam Syu’ab dan ath-Thabrani dari Ibn Umar رصي الله عنهما dari Nabi صلى الله عليه وسلم (maksudnya): Apabila salah seorang daripada kalian mati, maka janganlah kalian tahan lama-lama, segeralah untuk mengkebumikannya, dan bacakan Faatihatul Kitab (surah al-Faatihah) dekat kepalanya. Dan menurut lafaz yang diriwayat al-Baihaqi: Bacalah permulaan surah al-Baqarah dekat kepalanya dan akhir surah al-Baqarah dekat kakinya, dikuburnya. [Syarhus Shudur – Imam Suyuthi]

    Aku (Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki) berkata (berpendapat): Para shahabat telah mengamalkan hadits ini. Sebuah hadits diriwayatkan oleh al-Khallal di dalam kitabnya al-Jami bab al-Qiraah ’ind Qubur: Telah mengkhabarkan kami oleh al-Abbas bin Muhammad ad-Dauri, telah menceritakan kepada kami Yahya bin Main, telah menceritakan kepada kami Mubassyir al-Halabi, telah menceritakan kepada kami ‘Abdurrahman bin al-‘Alaa bin al-Jallaaj dari bapanya, dia berkata: Telah berkata bapaku: apabila aku mati, letakkan aku di dalam quburku kemudian bacalah:

    بِسْمِ اللهِ وَعَلى سُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم

    Dan timbuslah tanah atasku dengan cermat, kemudian bacalah disisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku lihat Ibn Umar menggalakkan berbuat demikian. [al-Baihaqi – Sunan al-Kubra]
    Abbas ad-Duri pernah menanyakan kepada Imam Ahmad bin Hanbal, apakah beliau hafal sesuatu yang harus dibaca di kubur, maka Ibn Hanbal menjawab tidak, kemudian soalan yang sama dikemukakan kepada Yahya bin Main, akhirnya beliau menceritakan hadits diatas.

    Al-Khallal berkata: Aku mendapat khabar dari al-Hassan bin Ahmad al-Warraq dari ‘Ali bin Musa al-Haddad, beliau adalah seorang yang benar, dia berkata: Aku bersama Ahmad bin Hanbal dan Muhammad Qudamah al-Jauhari mengunjungi satu jenazah. Setelah jenazah itu dikebumikan, seorang lelaki buta duduk membaca al-Quran disisi kubur. Lantas Imam Ahmad mendekati lelaki itu dan berkata: Hei kamu! Membaca al-Quran disisi kubur adalah bid’ah.

    Setelah kami keluar, Muhamad bin Qudamah bertanya kepada kepada Ahmad bin Hanbal: Wahai Abu Abdillah, apa pendapatmu tentang Mubassyir al-Halabi? Maka Imam Ahmad bin Hanbal menjawab: Dia seorang yang tsiqah (boleh dipercayai). Beliau (Imam Ahmad) bertanya: Apakah engkau meriwayatkan sesuatu daripadanya? Ya! Jawab Ibn Qudamah. Dia pun melanjutkan penjelasannya: aku mendapat berita dari Mubassyir dari Abdurrahman bin al-‘Alaa bin al-Jallaaj dari ayahnya, dia berwasiat jika nanti jenazahnya dikuburkan, hendaklah dibaca permulaan dan akhir surah al-Baqarah disisi kepalanya. Ayahnya berkata bahwasanya wasiat beliau itu beliau dengar dari shahabat Abdullah bin Umar رصي الله عنهما . Sebaik mendengar riwayat itu, Imam Ahmad ibn Hanbal menyuruh agar kembali semula ke kubur dan memerintahkan agar lelaki buta tersebut meneruskan bacaan al-Qurannya.

    Al-Hassan bin as-Shobah al-Za’farani bertanya kepada Imam asy-Syafie: Bagaimanakah hukum membaca al-Quran di kubur? Imam Syafie menjawab: Laa ba’sa bih (tiada mengapa/ tiada apa-apa larangan akan hal itu) - Tahqiiqul Aamal fima Yanfa’ul Mayyit minal ‘Amaal, halaman 58 – 60, Maktabah Dar Jawami’ al-Kalim]


    Imam Al Baihaqi didalam kitab Ma’rifatus Sunan, juzuk ke-4, halaman 191, cetakan Dar al-Kutub, hadits yang ke-2183:


    قال الشافعى : وأحب لو قرئ عند القبر ودعى للميت.

    Berkata Imam Syafie: “Dan saya suka jikalau dibacakan disisi kubur al-Quran dan didoakan terhadap mayyit”.


    Dari petikan yang aku bawakan diatas, jelas bahawa Imam Ahmad ibn Hanbal dan gurunya Imam asy-Syafie membolehkan membaca al-Quran di kubur. Siapalah Dr Azwira kalau nak dibandingkan dengan dua orang imam mazhab yang bertaraf mujtahid mutlak. Apakah mau dikatakan mereka jahil dalam ilmu hadits? Apakah mau dikatakan mereka sewenang-wenangnya mengeluarkan sesuatu pendapat? Apakah Dr Azwira dan panutannya al-Albani terlebih memahami al-Quran dan as-Sunnah dari imam-imam ini?

    Maka berhati-hatilah dengan golongan yang merasa diri meraka alim, mampu istinbath hukum, mampu ijtihad dek kerana segulung Phd yang ada padanya, dek kerana mereka sudah menjadi pensyarah dan sebagainya …… Perhatikan dari mana dan dari siapa ilmu yang mereka ambil, kitab siapa yang mereka telaah. Ulama’ mana yang menjadi panutan mereka. Jangan terus ditelan apa yang mereka tulis atau perkatakan.

    Rasanya cukuplah setakat ini. Mau saja aku menulis panjang lebar tetapi dek kerana kesibukan, aku kumpulkan mana yang terdaya. Semoga kita tidak tergolong didalam mereka yang suka membid’ah dan menyesatkan umat atas semata-mata perkara khilaf. Sedangkan dihadapan mereka [golongan suka membid’ah, menyesat dan mengkafirkan umat] … ada bahaya lebih besar yang mereka diamkan, kerana itulah pegangan mereka … penggunaan hadits palsu dalam menetapkan persoalan usul, persoalan aqidah. Kalian boleh baca disini ……

    Akhirkalam, mohon ampun maaf diatas segala kekasaran bahasa. Katakan TIDAK pada Wahabi! :)

    http://al-fanshuri.blogspot.com/

    Reply #1 29 November, 2007, 03:59:15 PM
  • Publish
  • PENDAPAT PARA ULAMAK

    Sebenarnya isu klasik ini telah diselesaikan para ulamak dengan jayanya. Antaranya :


    Muhammad bin Ahmad al-Muruzi berkata : Aku mendengar Ahmad bin Hanbal berkata : “Apabila kamu masuk ke kubur, bacalah fatihah al-Kitab dan ayat Muawwizatain dan surah al-Ikhlas. Jadikanlah pahalanya untuk penghuni kubur itu kerana pahalanya itu sampai kepada mereka.”
    Di dalam kitab al-Azkar di bawah tajuk : “Apa yang perlu dibaca selepas pengebumian?. Imam al-Nawawi menyebutkan : “Al-Syafi’ie dan para sahabat (ulamak Syafi’iyyah) mengatakan : “Disunatkan membaca disisi kubur sesuatu daripada ayat al-Qur’an. Mereka mengatakan : Jika mereka mengkhatamkan al-Qur’an kesemuanya maka itu adalah (sesuatu yang) baik.” (al-Nawawi, al-Azkar, Dar al-Makrifah : Beirut, 1996, hlm 142 )
    Imam al-Zahabi di dalam Takzikah al-Huffaz ketika membicarakan biodata al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan : “Tatkala beliau meninggal dunia orang membacakan al-Qur’an di atas kuburnya dengan beberapa kali dikhatamkan.”
    Imam al-Hassan bin al-Sobbah al-Za’farani berkata : “Aku bertanya kepada al-Syafi’ie tentang bacaan al-Qur’an di kubur. Lalu beliau menjawab : “Tidak mengapa. Al-Khallal meriwayatkan daripada Al-Sya’bie katanya : “Orang Ansar apabila berlakunya kematian dikalangan mereka, maka mereka selalu mengunjungi kuburnya untuk membaca al-Qur’an di sisinya.”
    Al-Khara’iti di dalam kitab al-Kubur menyebutkan : “Menjadi Sunnah kebiasaan ornag-orang ansar apabila mengusung mayat mereka membaca surah al-Baqarah.”
    Al-Qurtubi mengatakan : “Sebahagian ulamak kami mengemukakan dalil sampainya bacaan al-Qur’an ke pada si mati dengan hadis berkenaan pelepah tamar yang dibelah dua oleh Nabi SAW. Kemudian Baginda memacaknya satu di atas kubur orang ini dan satu lagi di atas kubur yang lain. Kemudian Baginda bersabda : “Mudah-mudahan ia dapat meringankan mereka berdua selagi kedua-duanya tidak kering.” Riwayat al-Syeikhain : Bukhari Kitab Wudhu 218 dan Muslim al-Thaharah 111/292)

    Bagi saya, jika pacakan pelepah tamar yang basah dikubur boleh memberi manfaat kepada si mati, bagaimana pula halnya dengan bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an yang dihadiahkan kepada si mati.? Tentunya bacaan ayat suci itu lebih istimewa dari pelepah tamar berkenaan.” Cumanya perbuatan Baginda memacak pelepah tamar tersebut adalah salah satu dari kepelbagaian yang boleh membantu mereka yang telah meninggal dunia. Wallahu’alam.


    Ibn Qayyim (ketika membicarakan panjang lebar tentang sampainya pahala amalan-amalan yang dihadiahkan kepad si mati beserta dalilnya) mengatakan : “Adapun membaca al-Qur’an dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati secar sukarela tanpa mengambil upah maka ia sampai kepada si mati sebagaimana pahala puasa dan haji…” (Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, al-Ruh, hlm 152-159)

    Imam Ibn al-Solah ketika menjawab penghujahan ayat 39 surah al-Najm mengatakan : “ Apa yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah seseorang itu tidak mempunyai hak atau menadapat balasan melainkan apa yang diusahakannya. Ini tidak termasuk amalan yang dilakukan untuknya secara sukarela oleh orang lain seperti membaca al-Qur’an dan berdoa…”

    Syeikh Ibn Taimiyyah mengatakan : “Barangsiapa yang berkeyakinan bahawa manusia tidak dapat mengambil manfaat kecuali dengan amalannya sahaja beerti dia telah melanggar ijmak. Pendapat itu terbatal dengan beberapa sudut…” Ibnu Taimiyah pernah ditanya tentang bacaan Al-Quran untuk mayat dan juga tentang tasbih, tahmid, tahlil dan takbir jika dihadiahkan kepada mayat. Sampaikah pahalanya atau tidak? Maka beliau menjawab sebagaimana tersebut dalam kitab beliau;”Sampai kepada mayat pahala bacaan Al-Quran dari keluarganya, Dan tasbih, takbir serta seluruh zikir mereka kepada Allah apabila mereka menghadiahkan pahalanya kepada mayat akan sampai pula kepadanya” (Ibn Taimiyyah al-Harrani, Majmu’Fataawa, jilid 24 hlm 324)


    Imam Ibn Muflih al-Hanbali di dalam al-Furu’ mengatakan : “Tidak dilarang untuk membaca al-Qur’an di atas kubur atau tanah perkuburan. Telah dinaskan ke atasnya oleh Abu Bakar, al-Qadhi dan sebahagian ulamak dan ia merupakan pandangan mazhab…” (Ibn Muflih al-Hanbali, al-Furu’, hlm 304 juz 2)

    http://al-fanshuri.blogspot.com/

    Reply #2 29 November, 2007, 04:54:29 PM
  • Publish
  • Baca al-Qur’an di kubur bidaah?
    Oleh Idris Musa
    idris@hmetro.com.my

    Apabila berziarah, kita akan berzikir atau membaca tahlil untuk disedekahkan kepada arwah.

    Ada juga yang membaca ayat suci al-Quran seperti al-Fatihah, Yasin dan disusuli doa dengan harapan roh si mati mendapat keampunan dan ditempatkan di kalangan golongan aulia dan alim.


    Namun, timbul dakwaan amalan membaca al-Quran di kubur dilarang beralasan Rasulullah s.a.w tidak melakukan perbuatan itu malah tiada dalil mengenainya. Jika dilakukan ia dikira bidaah.

    Justeru, wujud perbezaan pendapat yang mungkin mengelirukan umat Islam mana satu yang betul dan perlu diikuti, sama ada harus membaca al-Quran atau tidak harus membacanya?

    Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, berkata amalan membaca al-Quran di kubur adalah perkara ranting dalam agama, bukannya perkara tunjang mendasari iman dan Islam.

    “Amalan ranting biasanya bersifat elektif bukannya subjek teras untuk seseorang mukmin.

    “Oleh itu, mengamalkannya dikira satu kebaikan. Manakala meninggalkannya bukanlah satu kecelaan,” katanya.

    Menurutnya, untuk memberikan justifikasi dalam perkara ini boleh dirujuk kepada lembaran suci al-Quran antaranya ayat 21 surah as-Thur, ayat 38 dan 39 surah an-Najm, ayat 261 surah al-Baqarah, ayat 82 surah al-Kahf dan ayat 204 surah al-A'raf.

    Katanya, dalil syarak ada ketika bersifat qatie (tetap) dan ada ketika pula bersifat dzanni (membuka ruang kepada ulama untuk berijtihad).

    “Justeru, perbezaan pendapat di kalangan ulama adalah perkara biasa. Lebih-lebih lagi dalam permasalahan ranting agama.

    “Namun, kita perlu mengambil pendekatan bijak dan bersikap sederhana ketika berinteraksi dengan situasi ini. Ini penting supaya kehidupan seharian menepati hukum syarak.

    “Ia juga bagi mengelak diri bersikap keras kepala terhadap amalan yang diiktiraf ulama,” katanya.

    Beliau berkata, amalan membaca al-Quran di kubur berteraskan kepada dalil yang pelbagai yang ada ketikanya berstatus sahih, hasan, daif dan amat daif.

    Katanya, Imam Muslim meriwayatkan: “Setiap anggota tubuh kamu berpagi-pagian dengan sedekah ke atasnya. Setiap tasbih adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap tahlil adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh yang makruf adalah sedekah. Melarang yang mungkar adalah sedekah. Semua itu dapat diperoleh melalui dua rakaat solat pada waktu dhuha.”

    “Imam al-Qurtubi mengatakan berdasarkan dalil inilah ulama menggalakkan menziarahi kubur kerana bacaan al-Quran itu bagaikan buah tangan untuk si mati yang dibawa penziarah kubur.

    “Imam Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari mengatakan hadis ini memberi kita satu kefahaman bacaan al-Quran juga termasuk dalam erti kata sedekah menurut syarak.

    “Sebenarnya isu klasik ini sudah diselesaikan ulama dengan jayanya. Antaranya Muhammad bin Ahmad al-Muruzi yang berkata: Aku mendengar Ahmad bin Hanbal berkata: Apabila kamu masuk ke kubur, bacalah Fatihah al-Kitab dan ayat Muawwizatain dan surah al-Ikhlas. Jadikanlah pahalanya untuk penghuni kubur itu kerana pahalanya itu sampai kepada mereka.”

    “Dalam kitab al-Azkar bawah tajuk: Apa yang perlu dibaca selepas pengebumian? Imam an-Nawawi menyebutkan: As-Syafie dan kalangan sahabat (ulama Syafiiyyah) mengatakan: Disunatkan membaca di sisi kubur sesuatu daripada ayat al-Quran. Mereka mengatakan: Jika mereka mengkhatamkan al-Quran semuanya, itu adalah (sesuatu yang) baik.

    “Imam al-Zahabi dalam Takzikah al-Huffaz ketika membicarakan biodata al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan: Tatkala beliau meninggal dunia orang membacakan al-Quran di atas kuburnya dengan beberapa kali dikhatamkan.

    “Imam al-Hassan bin al-Sobbah al-Za'farani berkata: Aku bertanya kepada al-Syafi'ie mengenai bacaan al-Quran di kubur. Lalu beliau menjawab: Tidak mengapa. Al-Khallal meriwayatkan daripada Al-Sya'bie katanya: Orang Ansar apabila berlaku kematian di kalangan mereka selalu mengunjungi kubur untuk membaca al-Quran di sisinya.”

    Zamihan berkata, himpunan dalil yang ada menjelaskan perbuatan itu sebagai amalan sunat atau aksesori saja.

    “Kita perlu memahami permasalahan usul dan furuk (cabang) secara menyeluruh serta dalil dan kaedah syariah yang jelas.

    “Hal ini penting supaya sesuatu isu yang dirumus benar-benar menepati tuntutan syarak, di samping boleh mengelak diri dari bersikap fanatik dan melampau,” katanya.

    Beliau berkata, amalan yang tidak dilakukan Rasulullah s.a.w dan generasi salaf (terdahulu) tidak boleh dijadikan alasan untuk mengharamkan sesuatu amalan selagi tidak ada tegahan putus daripada nas syarak.

    Ketua Penolong Mufti, Jabatan Mufti Perak, Zamri Hashim, berkata jika masuk kawasan perkuburan lalu menyedekahkan bacaan al-;Fatihah, ada ulama mengatakan sunat.

    “Tetapi mazhab Imam Malik mengatakan makruh, namun pengikut mazhab itu yang kemudian mengatakan tidak sedemikian.

    “Ulama aliran Syafie ada membuat komentar pada hadis berkaitan pelepah tamar yang dibelah dua oleh nabi, kemudian baginda memacakkannya satu di atas kubur orang ini dan satu lagi di atas kubur yang lain. Kemudian baginda bersabda mudah-mudahan ia dapat meringankan azab mereka berdua selagi kedua-duanya tidak kering.

    “Daripada hadis di atas ulama terbabit melakukan istinbat (mengambil usul) mayat itu mendapat manfaat daripada bacaan al-Quran, kerana pelepah tamar iaitu hanya tumbuhan dan berkeyakinan ia bertasbih, inikan pula manusia.

    “Pasti bacaan ayat suci itu lebih istimewa daripada pelepah tamar berkenaan,” katanya.

    Menurutnya, Ibnu Taimiyah pernah mengatakan sampai pahala bacaan al-Quran apabila ditanya mengenai bacaan al-Quran untuk mayat serta tasbih, tahmid, tahlil dan takbir jika dihadiahkan kepada mayat.

    “Dalam hal ini yang penting jangan suka menyalahkan orang. Jika hendak buat, kita buat dan jika tidak mahu buat, lebih baik berdiam diri,” katanya.


    Reply #3 04 December, 2007, 04:45:53 PM
  • Publish
  • Membaca al-Quran di atas Kubur: Jawapan kepada Artikel Zamihan Mat Zain al-Ghari
    Oleh: Abu Syu’aib, Mohd Khairil Anwar bin Abdul Latif,

    Pegawai Penyelidik Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis,

    Merujuk kepada tulisan yang ditulis oleh Zamihan Mat Zain al-Ghari (penolong pengarah Institut Latihan Islam Malaysia ILIM) di dalam berita harian bertarikh Sabtu 17 November 2007, ruangan agama yang masih lagi menyentuh berkenaan persoalan Membaca al-Quran di kubur, saya ingin mengulas sedikit apa yang ditulis oleh beliau. Zamihan berkata di dalam akhbar tersebut “Ada banyak ayat al-Quran yang bersifat umum, tetapi boleh dijadikan panduan bagi menjawab persoalan apabila mafhum ayat itu dibincangkan serta diberi tafsiran yang lebih mendalam”. Kemudian beliau membawakan firman Allah surah al-Thur ayat 21, lalu merumuskan amalan mereka yang masih hidup boleh memberikan manfaat kepada si mati.



    Dalam persoalan ini perlu diberi penjelasan bahawa isu membaca al-Quran di atas kubur dan isu menyedekahkan pahala kepada si mati merupakan dua isu yang berbeza. Perkara yang hendak dibincangkan di sini ialah adakah disyariatkan membaca al-Quran di kubur atau ianya amalan yang tidak dicontohkan oleh rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Perbincangan adakah pahala yang dikirimkan kepada si mati sampai atau pun tidak, maka saya rasa perbincangannya bukan disini. Oleh yang demikian kedua-dua perkara ini hendaklah dibezakan.


    Kesimpulan dari tulisan zamihan tersebut tiada satu dalil pun yang dibawa dapat menyokong hujah beliau bahawa amalan membaca al-Quran dikubur disyariatkan. Kecuali hanya satu hadis yang dibawa, iaitu dari Mubassyir dari Abdir Rahman bin al-Ala’ bin al-Lajlaj dari bapanya bahawasanya dia berwasiat apabila dia meninggal dan setelah dia ditanam dibacakan di sisi kepalanya permulaan surah al-baqarah dan akhirnya.


    Di dalam hadis ini terdapat rawi yang bernama Abdul Rahman bin al-Ala’ bin al-Lajlaj dimana rawi ini merupakan seorang yang tergolong di kalangan rawi-rawi yang majhul (yang tidak dikenali) seperti yang disebutkan oleh al-Imam al-Zahabi sewaktu menceritakan biodata rawi ini di dalam kitabnya Mizanul I’tidal (2/574, no 4925) dengan katanya: “tiada seorang pun yang meriwayatkan daripadanya kecuali Mubasyar bin Ismail al-Halabi”. Maka hadis yang terdapat di dalamnya rawi yang tidak dikenali menyebabkan taraf hadis dihukumkan oleh ulamak hadis seperti al-Albani sebagai dhoif (lemah) tidak boleh dijadikan hujah di dalam hukum hakam syarak. (Ahkamul Janaiz: 244)


    Zamihan berkata: “Membaca al-Quran di atas kubur ternyata bukan bid’ah yang sesat kerana ada nas yang membuktikan bahawa Ibn Umar dan Abu Khalid al-Lajlaj mendengar galakkan daripada Nabi s.a.w supaya di baca ayat suci al-Quran di tanah perkuburan” Dakwaan Zamihan ini batil kerana sesungguhnya sanad hadis yang di bawa tidak sahih daripada Ibn Umar. Mendakwa sahabat melakukan sesuatu yang tidak diajarkan oleh nabi s.a.w. dengan riwayat-riwayat yang dhoif adalah suatu tuduhan jenayah. Dan Tidak terdapat riwayat yang menyatakan sahabat-sahabat yang lain melakukannya. Adapun hadis-hadis yang menyatakan bacaan yasin, bacaan Qulhu wallahu ahad dan sebagainya di atas kubur kesemuanya maudu’ (palsu) dan La Asla lahu (tidak ada asalnya).

    Tujuan daripada menziarahi kubur bukan untuk membaca al-Quran tetapi untuk mengambil I’tibar dan pengajaran mengingati kematian. Abu Said al-Khudri berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur, sekarang ziarahilah, kerana padanya terdapat pengajaran. Hadis sahih diriwayatkan oleh Ahmad (3/38/63/66) dan al-Hakim (1/374-375). Dari Anas bin Malik bahawa nabi s.a.w. bersabda: Aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur, sekarang ziarahilah, kerana padanya dapat melembutkan hati, mengalirkan air mata dan memperingatkan akan akhirat, dan jangan kamu berkata perkara yang tidak baik. Diriwayatkan oleh al-Hakim (1/376) dengan sanad yang hasan.


    Mengapa tujuan ini tidak diutamakan apabila menziarahi kubur untuk diterangkan kepada masyarakat selain hanya menyuruh membaca al-Quran di atas kubur? Nabi bersabda kepada Aisyah r.ha: sesungguhnya Tuhanmu memerintahkan kepadamu pergi ke perkuburan baqi’ lalu pohonlah keampunan dari Allah untuk mereka. Maka Aisyah bertanya kepada Nabi s.a.w. apakah yang aku perlu katakan? Nabi s.a.w. menjawab: ucapkanlah: Salam sejahtera ke atas penghuni rumah ini (kubur) dari kalangan Mukminin dan muslimin, semoga Allah merahmati mereka yang telah mendahului kami dan yang terkemudian dan sesungguhnya kami insya Allah akan menyusul sesudah kamu semua. Hadis riwayat Imam Muslim (3/14).


    Sekiranya disyariatkan membaca al-Quran di kubur mengapa nabi s.a.w. tidak menyuruh Aisyah supaya melakukan yang demikian itu. Ini bercanggah dengan kaedah yang masyhur berbunyi “Tidak boleh menangguhkan penerangan di saat ianya diperlukan”. Kaedah ini membawa pengertian bahawasanya nabi s.a.w. tidak boleh menangguh untuk memberitahu dan menerangkan kepada umatnya suatu perkara yang penting dan diperlukan pada saat itu. Bahkan pula yang bertanya kepada nabi s.a.w. itu ialah isterinya, orang yang paling rapat dengan baginda. Dan sekiranya nabi s.a.w. tidak menerangkan pada saat itu menyebabkan kemungkinan nabi s.a.w. tidak dapat menerangkan pada waktu yang lainnya. Inilah yang dimaksudkan kaedah ini. Sekiranya membaca al-Quran itu amalan yang disyariatkan maka sudah pasti nabi akan mengajarkannya kepada Aisyah r.ha. disamping ucapan salam yang diajarkannya di dalam hadis berkenaan. Kerana membaca al-Quran adalah lebih afdal dari sekadar memohon keampunan untuk penghuni kubur.


    Persoalan yang perlu difikirkan juga ialah di zaman nabi s.a.w. adakah terdapat di sana halangan untuk membaca al-Quran di kubur? jawapannya sudah tentu tiada halangan untuk melakukan demikian. Dan sekiranya tiada halangan dan ianya baik serta afdal mengapa nabi s.a.w. tidak mengajar dan menyuruh para sahabat melakukan perkara tersebut? Kaedah penting yang disebutkan oleh para ulamak “Sekiranya sesuatu amalan tertentu yang tidak dilakukan pada masa nabi s.a.w. hidup disebabkan adanya halangan yang menghalang dari ianya dilakukan, maka apabila halangan tersebut hilang selepas dari kewafatan nabi s.a.w. maka hukumnya harus diamalkan”. Contohnya solat tarawikh secara berjemaah, nabi s.a.w. tidak melakukannya berterusan kerana bimbang ianya diwajibkan, setelah kewafatan nabi s.a.w. kebimbangan tersebut telah pun hilang disebabkan terputusnya wahyu dengan kewafatan nabi. Maka setelah itu hokum mengamalkannya dibolehkan. “Dan sekiranya tiada halangan yang menghalang sesuatu amalan dilakukan, dan dalam masa yang sama nabi s.a.w. tidak melakukan dan menganjurkannya kepada para sahabat maka setelah kewafatan baginda s.a.w. amalan tersebut tidak disyariatkan”. Contohnya amalan membaca al-Quran di kubur. Sebab itulah pentingnya memahami al-Quran dan hadis-hadis baginda s.a.w. sebagaimana yang difahami oleh salaf iaitu para sahabat.


    Menggunakan dalil yang umum untuk dijadikan hujah kepada amalan yang khusus merupakan kejahilan di dalam berinteraksi dengan nas-nas syarak. Sebagai contoh hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, bab kelebihan solat berjemaah yang bermaksud Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat bersendirian dengan ganjaran 27 darjat. Hadis ini menunjukkan kelebihan untuk bersolat jemaah dan ianya bersifat umum. Adakah ianya boleh digunakan sebagai dalil untuk membolehkan solat qabliyyah dan ba’diyyah dilakukan secara berjemaah sebelum atau selepas melakukan solat fardhu di masjid? Jawapannya tidak boleh kerana ianya tidak pernah dilakukan oleh para sahabat radiallahu anhum. Maka begitulah kaedah di dalam memahami keseluruhan nas-nas syarak.


    Tiada dalil yang sahih dan sorih (jelas) yang menunjukkan amalan membaca al-Quran di atas kubur disyariatkan. Daripada Abu Hurairah r.h. nabi s.a.w. bersabda: Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kuburan, sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-baqarah. Hadis riwayat Imam Muslim. Hadis ini menunjukkan bahawa rumah yang dibaca di dalamnya surah al-baqarah akan menyebabkan syaitan lari. Perumpamaan nabi s.a.w. rumah dengan kubur di dalam hadis ini secara mafhum mukhalafahnya (salah satu kaedah istinbat hukum, dibawah ketegori Mafhum al-Ghayah) kubur ialah tempat yang tidak dibaca padanya al-quran. Sekiranya kubur merupakan tempat disyariatkan membaca al-Quran maka perumpamaan nabi s.a.w. ini tidak membawa apa-apa erti, dan dalam erti kata yang lain perumpamaan rumah dan kubur itu adalah sia-sia. Dan ini mustahil kerana keseluruhan perkataan atau ucapan nabi s.a.w. melalui hadis-hadisnya itu membawa makna yang sangat mendalam tetapi ibarahnya sangat ringkas yang disebut sebagai jawamiul kalim. Seperti hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.


    Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan dari sahabat Ibn Umar bahawa nabi s.a.w. bersabda: Jadikanlah sebahagian dari solat-solat kamu (solat sunat) itu di rumah dan jangan jadikannya seperti kubur. Riwayat al-Bukhari (1/420) hadis ini menunjukkan kubur bukan tempat mendirikan solat kerana nabi menyamakan rumah yang tidak dilakukan solat di dalamnya seperti kubur. Lakukankanlah sebahagian solat (solat sunat) kamu di rumah. Oleh sebab itu Imam Ibn Hajar menyatakan pernyataan nabi s.a.w. “jangan jadikannya seperti kubur” bermaksud kubur bukan tempat melakukan ibadah ketika mensyarahkan hadis ini di dalam fathul bari (1/766). Maka kesimpulan yang dapat di ambil dari hadis ini ialah oleh kerana membaca al-Quran merupakan ibadah yang sangat disuruh oleh agama, maka tempatnya bukanlah di kuburan, Ikutilah apa yang telah dianjurkan oleh baginda s.a.w. dengan membacanya di rumah dan secara tidak langsung dapat menghindarkan rumah dari gangguan syaitan.


    Dari sudut yang lain kita perhatikan masyarakat kita yang pergi untuk menziarahi kubur terutamanya pada hari raya mereka telah melakukan satu kesalahan yang jelas di larang oleh agama untuk membaca al-Quran. Iaitulah dengan duduk di atas kuburan untuk membaca yasin dan sebagainya. Mengapakah perkara ini tidak diambil berat oleh masyarakat kita? Jawapannya disebabkan kerana kejahilan. Tidakkan kita mendengar hadis nabi s.a.w. “Adalah lebih baik bagi seseorang di kalangan kamu duduk di atas bara api sehinga terbakar pakaiannya dan melecur kulitnya daripada dia duduk di atas kubur”. hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam bab “Larangan duduk di atas kubur dan bersolat di atasnya” Maka sekiranya masih berdegil juga untuk melakukannya maka silalah membaca al-Quran di atas kubur secara berdiri, kerana diharamkan untuk duduk di atas kubur.


    Zamihan berkata: “perlu diingat bahawa amalan yang tidak dilakukan Rasulullah s.aw. dan generasi salaf tidak boleh dijadikan alasan untuk mengharamkan sesuatu amalan selagi tidak ada tegahan putus daripada nas syarak”. Perkataan seperti ini perlu diperhatikan semula dan diperincikan. Kerana sekiranya sesuatu amalan yang bersangkutan dengan permasalahan ibadah maka ianya tidak boleh dilakukan kecuali dengan nas syarak. Ini disepakati seluruh ulamak. Kerana sekiranya alasan tiada dalil putus yang melarang sesuatu perkara yang bersangkutan dengan ibadah diterima tidak ada amalan yang direka-reka oleh umat sekarang ini yang boleh dibantah. Tindakan Aminah Wadud yang mengimamkan solat jumaat tidak boleh dibantah kerana sudah pasti dia boleh berhujah bahawasanya tiada dalil yang melarang dan mengharamkan tindakan yang dilakukan. Kaedah yang disepakati oleh ulamak “asal sesuatu perkara di dalam permasalahan ibadah ialah tegahan atau larangan kecuali ada dalil yang mengharuskannya”.
    Maka ibadah di dalam Islam boleh menjadi bid’ah sekiranya:


    1. Setiap yang bercanggah dengan sunnah yang sahih sama ada perkataan, perbuatan atau aqidah walau pun hasil daripada ijtihad.
    2. Setiap perkara yang tidak mungkin disyariatkan kecuali dengan nas (tauqifi). Namun, apabila tidak ada nas yang membenarkannya, ia juga termasuk perkara bidaah. Kecuali ia pernah dilakukan oleh para sahabat.
    3. Setiap ibadat yang tidak ada keterangan cara perlaksanaannya dan hanya sekadar berdalilkan hadis-hadis daif atau palsu.
    4. Setiap ibadat yang hanya dijelaskan secara mutlak (umum) kemudian dikhususkan oleh orang ramai seperti menetapkan tempat, masa, kaifiyat (cara) atau bilangannya.

    Wallahu a’lam

    Reply #4 02 January, 2008, 07:58:54 AM
  • Publish
  • bicara pasal bid`ah mmg tak abis...ada furu`nya..halal haramnya

    buang yg keruh amik yg jernih...
    selagi tak bertentangan akidah dan syarak
    yg menilai amalan kita adalah Allah swt..bukan manusia..
    moga amalan segala amalan kita diterima Allah swt

    Reply #5 15 July, 2009, 09:29:28 PM
  • Publish
  • Kalau baca Quran dalam kereta bidah ker, sbb zaman Rasulullah tak ada kereta.  Macam mana pulak kalau baca Quran dalam kapal terbang bidaah jugak ker, sebab zaman Rasulullah tak ada kapal terbang???

    Macammana sembahyang menggunakan sejadah dari Cina, sebab masa zaman Rasulullah tak ada import dan export ???

    divider3
    halaqahforum4