Login  |  Daftar

Author Topik: ALM #3: KAFIR MENGKAFIR KERANA BERBEZA PENDAPAT  (Dibaca 1664 kali)

0 Halaqian dan 1 Tetamu sedang melihat topik ini.

Halaqah

  • Global Moderator
  • *****
  • Posts: 84
    • View Profile
TASHIH AL-MAFAHIM #3: KAFIR MENGKAFIR KERANA BERBEZA PENDAPAT

SALAH FAHAM:

Mutakhir ini, terdapat fenomena sesetengah pihak yang gemar kafir mengkafir dalam isu-isu tertentu terutama apabila berbeza pendapat. Pengkafiran pula ditujukan terus kepada peribadi orang yang dikafirkan. Mohon penjelasan ustaz, adakah perbuatan sedemikian wajar dan bagaimanakah kaedah-kaedah yang ditentukan oleh syarak mengenainya?

PENCERAHAN:

Perbuatan kafir mengkafir adalah perkara yang amat dipandang serius oleh syarak. Lebih-lebih lagi jika dilakukan secara membuta tuli tanpa mengetahui kaedah-kaedah syarak dalam menanganinya. Apa yang lebih membimbangkan bila pengkafiran dilakukan terus ke atas peribadi seseorang muslim tanpa sebarang usul periksa. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.”

(Surah al-Ahzab: 58)

Sebelum kami membahaskan isu ini lebih lanjut, terdapat tiga kaedah penting yang perlu difahami terlebih dahulu dalam memahami isu kafir mengkafir.

Pertama: Sesiapa yang tidak mengkafirkan orang yang kafir, maka ia kafir. Bermaksud seseorang boleh tergelincir akidahnya jika tidak memperakui bahawa golongan yang dikafirkan dengan nas syarak seperti penganut agama Kristian, Yahudi, Ateisme dan lain-lain itu kafir. (Lihat Al-Ibtal li Nazariyyah al-Khalt Bayn Din al-Islam wa Ghayrih min al-Adyan, 94)

Kedua: Sesiapa yang menuduh seseorang yang tidak kafir itu kafir, maka kafir itu berbalik kepada dirinya. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

أَيُّمَا رَجُلٍ قَالَ لِأَخِيهِ يَا كَافِرُ، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا

Maksudnya: “Mana-mana orang yang mengatakan kepada saudaranya: Wahai kafir. Maka jatuhlah (kafir itu) ke atas salah seorang daripadanya.”

Riwayat al-Bukhari (6104) dan Muslim (111).

Berdasarkan hadith tersebut, al-Isfirayini mengatakan sesiapa yang membid’ahkan orang yang tidak bid’ah, menyesatkan orang yang tidak sesat atau mengkafirkan orang yang tidak kafir, maka hukum tersebut akan kembali kepadanya. (Lihat Al-Tabsir fi al-Din, 180)

Ketiga: Kesilapan dalam membiarkan orang yang jatuh kafir itu hidup lebih ringan berbanding kesilapan menumpahkan darah seorang muslim. Imam al-Ghazali mengatakan ramai orang dengan mudah menjatuhkan kafir terhadap golongan yang tersilap dalam berijtihad sedangkan mereka itu bukan termasuk dalam golongan yang mendustakan Rasulullah SAW. Pengkafiran itu berlaku kebanyakannya berpunca daripada kefanatikan dan sikap taksub. Sedangkan tidak sabit pengkafiran terhadap golongan yang tersilap dalam mentakwil, kerana ‘ismah (keterpeliharaan) darah seseorang muslim adalah muktamad berdasarkan hadith riwayat al-Bukhari (25):

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ، فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّ الإِسْلاَمِ

Maksudnya: “Aku diperintah untuk memerangi manusia sehingga dia mengucapkan, tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah, Muhammad itu Rasulullah, apabila mereka mengucapkannya, maka terpeliharalah daripadaku darah dan harta mereka kecuali dengan hak Islam (syarak).” (Lihat Al-Iqtisad fi al-I’tiqad, hlm. 270)

Termasuk di bawah kaedah ini juga apa yang dinukilkan oleh Zarruq daripada Ibn Furak bahawa:

الغلط في إدخال ألف كافر بشبهة الإسلام خير من الغلط في إخراج مسلم واحد بشبهة كفر

Maksudnya: “Tersilap memasukkan seribu orang kafir dengan syubhat Islam lebih baik berbanding tersilap mengeluarkan (mengkafirkan) seorang Islam dengan syubhat kekufuran.” (Lihat Qawa’id al-Tasawwuf, hlm. 31 Kaedah 85)

Dalam hal ini juga Imam al-Rafi’i menegaskan, jika dinukilkan daripada seseorang suatu lafaz yang pada zahirnya kekufuran, maka ia hendaklah diteliti dan disiasat terlebih dahulu. Jika ia mengandungi maksud yang berlainan dengan zahir lafaz, seperti ingin mengkhususkannya (takhsis) atau kata-kata kiasan (majaz), maka ia perlu ditanya kepada orang yang melafazkannya untuk mengetahui apa maksud yang dikehendakinya. Walaupun pada asalnya sesuatu lafaz itu diambil pada hakikat dan keumumannya, namun dalam hal ini kewaspadaan (ihtiyat) diperlukan. Jika dia menyebutkan sesuatu lafaz yang pada zahirnya terdapat andaian (ihtimal) kekufuran, namun dia menafikan kekufuran, maka ia dibiarkan. Jika lafaz itu tidak mengandungi andaian yang menyalahi zahirnya atau dia mempertahankan dengan hujah yang tiada kaitan dengan lafaz atau tidak menjelaskan langsung, maka ia perlu diminta bertaubat. Sekiranya dia tidak mahu bertaubat sedangkan lafaz yang diucapkan itu jelas kekufurannya menurut ijmak, maka ketika itu ia dihukumkan murtad dan boleh dibunuh jika tidak bertaubat. (Lihat al-Fatawa al-Hadithiyyah, 1/222)

Berdasarkan kaedah yang dinyatakan, isu kafir mengkafir perlu ditangani dengan penuh berhati-hati. Oleh kerana itu, para ulama menggariskan dua kaedah dalam mentakfir.

Pertama: Takfir Mutlaq.
Bererti menyatakan bahawa sesiapa berbuat sesuatu perkara yang boleh mengkafirkan maka ia boleh membawa kepada kekufuran, tanpa memaksudkan orang tertentu. Kenyataan seumpama ini difokuskan kepada perbuatan atau ajaran atau pembawaannya, bukan orang secara khusus.

Kedua: Takfir Mu’ayyan.
Bererti menyatakan bahawa si fulan bin si fulan, iaitu dengan menyebut nama orang tertentu telah kafir. Kenyataan seumpama ini ditujukan secara langsung kepada seseorang yang melakukan sesuatu perkara yang boleh mengkafirkan. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 1/126-127)

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi takfir perlu dibezakan dengan dua cara iaitu takfir nau’ (jenis) dan takfir syakhs mu’ayyan (peribadi). Beliau menyebut:

“Hendaklah diberikan perhatian apa yang telah diputuskan oleh para `ulama muhaqqiqun mengenai wajibnya dibezakan antara peribadi dan jenis dalam isu takfir (mengkafirkan). Ini bermaksud, contohnya kita katakan: Golongan komunis itu kafir, atau para pemerintah sekular yang membantah hukum syarak itu kafir, atau sesiapa yang menyatakan sebegini atau menyeru kepada ini maka dia kafir. Ini semua adalah hukuman pada jenis. Adapun apabila perkara ini berkait dengan peribadi seseorang, yang disandar kepada mereka itu dan ini, maka wajiblah diambil masa untuk dibuat kepastian dan kesabitan mengenai hakikat sebenar pendiriannya. Ini dengan cara menyoal atau berbincang dengannya sehingga ditegakkan hujjah, tiada lagi syubhat dan juga tiada lagi keuzuran untuknya”. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 1/126).

Justeru, kita dapati para salaf mengkafirkan firqah-firqah secara mutlak seperti firqah Jahmiyah dan Rafidhah, akan tetapi mereka tidak serta merta mengkafirkan setiap anggota firqah tersebut, kecuali hanya beberapa orang daripada mereka seperti Ja’d bin Dirham, Hallaaj dan Hafs al-Fard (yang pengkafirannya masih diperselisihkan). (Lihat Majmu’ Fatawa, 23/349-350)

Antara kaedah penting yang menjadi keistimewaan Ahli Sunnah wal-Jamaah berbanding golongan lain adalah mereka membezakan antara sesuatu pendapat dengan pelakunya. Sesuatu pendapat adakalanya berupa kekufuran, tetapi pelakunya tidak dihukumkan kafir kecuali setelah diselidiki.

Maka, para ulama Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu sebelum menghukum seseorang itu terkeluar daripada Islam atau murtad. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

    Hendaklah pendapat atau amalan itu secara jelas menunjukkan kekufuran yang dilakukan berdasarkan pilihannya dan bukan kerana terpaksa.
    Hendaklah dia terus berpegang dengan pendapat atau amalan kufur tersebut, dan ketika dijelaskan kepadanya (al-haq) dia tetap berpegang kepadanya.
    Hendaklah telah ditegakkan hujjah kepadanya dan dia telah jelas terhadap perkara tersebut. (Lihat Majmu' Fatawa, 12/500-501)


Di samping itu seseorang itu terhalang daripada hukuman murtad atau terkeluar Islam sekiranya ia berada dalam situasi berikut:

    Baru memeluk agama Islam.
    Hidup di tempat yang jauh. Termasuk dalam kelompok ini adalah orang yang tidak mempunyai ulama   selain ulama bid'ah yang mereka minta berfatwa dan mereka ikuti.
    Kehilangan akalnya kerana gila atau kerana yang lain.
    Belum sampai kepadanya nas-nas daripada al-Kitab dan al-Sunnah, atau telah sampai (nas-nas tersebut) tetapi belum jelas kefahaman nas-nas tersebut.
    Nas-nas tersebut telah sampai kepadanya, dia telah jelas dalam memahaminya, akan tetapi didedahkan kepadanya sesuatu yang bertentangan dengan nas-nas tersebut (sama ada yang berasal daripada akal fikiran mahupun perasaan) yang mendorongnya untuk menta'wil, walaupun dia mungkin berbuat kesalahan. Termasuk kelompok ini adalah mujtahid “ahli ijtihad” yang salah dalam ijtihadnya. Ini disebabkan Allah akan mengampuni kesilapan golongan ini dan memberinya pahala atas ijtihadnya itu.(Lihat Majmu' Fatawa, 3/231; 23/345-346)

Pengajaran daripada sikap sahabat dalam peperangan Siffin (37H)

Sepanjang sejarah para sahabat R.anhm, tiada suatu perbezaan pendapat yang lebih tajam daripada perbezaan pendapat yang berlaku selepas kewafatan Sayyiduna ‘Uthman bin ‘Affan. Lihat bagaimana dalam peperangan Ѕiffіn, Sayyiduna ‘Alі selaku khalifah yang sah tetap meletakkan kedudukan para penentangnya sebagai kaum Muslimin yang seakidah dengannya dalam soal ketuhanan, kenabian dan dakwah kepada Islam. Tiada perbezaan antara beliau dengan para penentangnya kecuali dalam soal pembunuhan ‘Uthmаn yang beliau sendiri menafikan keterlibatannya. (Lihat Sharh Nahj al-Balaghah, 3/114.) Dalam riwayat Ja‘far al-Ѕаdiq daripada bapanya, Muhammad al-Bаqir menukilkan bahawa ‘Alі menegaskan kepada penyokongnya, beliau memerangi para penentangnya bukan kerana mengkafirkan mereka atau kerana mereka mengkafirkan dirinya. Akan tetapi, ia terjadi disebabkan masing-masing berpandangan kebenaran berpihak kepadanya. (Lihat Qurb al-Isnad, hlm. 93) Kerana itu, ‘Alі menegah para sahabatnya daripada mencela tentera Shаm yang dipimpin Mu‘аwiyah dengan berkata:

“Sesungguhnya aku membenci kamu menjadi orang yang gemar mencela, akan tetapi jika kamu ingin menyifatkan perbuatan mereka, menyebutkan perihal mereka, maka setepat-tepat perkataan, setinggi-tinggi keuzuran, kamu berkata pada tempat celaan kamu terhadap mereka dengan (doa berikut): Wahai Allah! Peliharalah darah-darah kami dan darah-darah mereka, perbaikilah hubungan kami dan mereka, berikanlah mereka hidayah petunjuk daripada kesesatan mereka, sehingga mereka mengenali kebenaran daripada kejahilannya dan dijauhkan daripada kesesatan dan permusuhan orang yang berterusan dengannya.” (Lihat Waq’ah Siffin, hlm. 103)

Ini bererti, ‘Alі sendiri mengakui perselisihan yang berlaku adalah berpunca daripada perbezaan menangani pembunuhan ‘Uthmаn, sedangkan masing-masing merasakan kebenaran berpihak kepada mereka. ‘Alі mengiktiraf dan mengakui bahawa ia merupakan sejenis ijtihad yang dilakukan oleh para sahabat seperti Talhah, Zubayr dan Mu‘аwiyah.

Kerana itu, dicatatkan dalam karya-karya sejarah, ketika ‘Alі menemui jenazah Talhah yang gugur dalam perang Jamal, beliau mengusap wajah Talhah yang disaluti debu sambil berkata:

“Amat berat terasa wahai Abu Muhammad, melihat engkau terbaring kaku di lembah ini di bawah bintang-bintang langit.” Beliau berkata lagi, “Kepada Allah aku mengadu kedukaanku.” Lalu ‘Alі mendoakan kerahmatannya dan berkata, “Alangkah baiknya jika aku meninggal dunia dua puluh tahun sebelum (peristiwa) ini.” (Lihat Tarikh Madinah Dimashq, 25/115)

Begitu juga Zubayr, ketika beliau menarik diri daripada peperangan, salah seorang tentera ‘Alі bernama ‘Amr bin Jurmuz telah mengekori lalu membunuhnya. Ibn Jurmuz memenggal kepala Zubayr lalu membawanya kepada ‘Alі. Apabila melihatnya ‘Alі mengatakan:

“Sampaikan berita kepada pembunuh anak Ѕafiyyah (Zubayr) dengan (balasan) neraka!” (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 3/111)

Riwayat juga menyebutkan, setelah perdamaian antara ‘Alі dan Mu‘аwiyah dicapai dan peperangan dihentikan, ‘Alі berjalan-jalan meninjau keadaan mangsa perang yang terlibat antara kedua-dua belah pihak. Saat melihat para tenteranya yang terkorban, beliau mengatakan, “Mereka semua di dalam syurga.” Kemudian apabila melihat mangsa korban di pihak Mu‘аwiyah, beliau turut berkata perkataan yang sama. (Lihat Tarikh Madinah Dimashq, 59/139) Sesetengah riwayat menukilkan bahawa ‘Alі mengatakan, “Mangsa korbanku dan mangsa korban Mu‘аwiyah di dalam syurga.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 3/144)

Semua ini menunjukkan sikap baik sangka dan kasihan belas ‘Alі terhadap para penentangnya atas dasar kesilapan mereka dalam berijtihad, jauh sekali untuk bersikap buruk sangka apatah lagi mengkafirkan mereka.

Kesimpulan
Kesimpulannya tidak boleh bermudah-mudahan menghukum seseorang itu kafir atau murtad kecuali setelah memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan dan tidak terdapat sebarang halangan. Apa yang diriwayatkan daripada salaf tentang pemutlakan kufur dan laknat, ia tetap berada pada kemutlakan dan keumumannya. Oleh itu tidak sekali-kali disandarkan kekufuran kepada seseorang Islam secara peribadi kecuali wajib disertai dengan dalil dan bukti. Pengkafiran juga tidak boleh dilakukan secara semberono oleh mana-mana orang perseorangan, ia perlu diserahkan kepada pihak berkuasa agar siasatan dan penelitian dapat dilakukan berdasarkan undang-undang Syariah, sekaligus mengelakkan huru hara dalam masyakarat.