HIKMAT AL-QURAN DITURUNKAN BERANSUR-ANSUR

Author Topic: HIKMAT AL-QURAN DITURUNKAN BERANSUR-ANSUR  (Read 4612 times)

0 Halaqian and 1 Guest are viewing this topic.

abuyya

  • *
  • Posts: 5
  • Bersama Halaqah Laksanakan Amanah Khalifatul Ardh
    • View Profile
17 September, 2007, 06:50:41 PM
  • Publish Di FB
  • HIKMAT AL-QURAN DITURUNKAN BERANSUR-ANSUR

    Oleh: Abuyusoef al-Maranji
     
    Al-Quran diturunkan sedikit demi sedikit supaya mudah dihafal, difahami dan dilaksanakan. Ia sebagai satu rahmat dan kurniaan yang sangat berkesan kepada hamba-hambaNya.
     
    Sekiranya al-Quran diturunkan sekali gus, sudah tentu ia akan menyusahi dan memberatkan, baik daripada segi hafalan, pemahaman dan pelaksanaannya dalam kehidupan. Al-Khudhari mengatakan tempoh al-Quran diturunkan ialah 22 tahun 22 bulan dan 22 hari, bermula daripada 17hb. Ramadhan tahun 41 kelahiran Rasulullah s.a.w. hinggalah 9hb. Zulhijjah, tahun ke 10 Hijrah. Dalam tempoh tersebut al-Quran dihafal oleh Rasulullah dan para sahabat serta dicatat oleh panitia penulis al-Quran kemudian dikumpulkan pada zaman Sayidina Abu Bakr r.a. dan disempurnakan pada masa Sayidina ‘Uthman r.a.
     
    Antara hikmat utama Allah SWT merencanakan penurunan al-Quran kepada baginda Rasulullah SAW ini secara beransur-ansur adalah seperti berikut :
     
    1. Untuk menetapkan jiwa Rasulullah s.a.w. dan menguatkan hatinya. Ini kerana dengan turunnya Jibril a.s. membawa wahyu secara berulang-ulang daripada Allah SWT kepada Rasul-Nya dapat menguatkan jiwa Rasulullah s.a.w. Baginda dapat merasakan pertolongan serta inayat Ilahi tersebut. Tanggungjawab sebagai Nabi adalah berat dan Rasulullah sebagai seorang manusia yang sudah tentu akan menghadapi pelbagai cabaran getir dalam menyampaikan risalah bukan sahaja menghadapi tekanan, sekatan, cercaan, maki hamun malah ancaman nyawa daripada kaumnya sendiri Quraisy dan juga dari kalangan Yahudi dan orang munafik. Tentulah beliau memerlukan belaian wahyu sebagai penenang kepada semua itu.
     
    2. Untuk mendidik masyarakat waktu itu secara beransur-ansur. Ini akan memudahkan mereka untuk memahami al-Quran dan menghafaznya serta dapat beramal dengannya berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di kalangan mereka. Oleh itu mereka dapat mengikis akidah amalan dan adat yang bertentangan dengan Islam secara beransur-ansur. Oleh itu sedikit demi sedikit ianya dapat dihapuskan.
     
    3. Untuk menyesuaikan dengan peristiwa yang baharu berlaku iaitu apabila timbul sesuatu masalah di kalangan mereka, turunlah al-Quran menentukan hukum yang sesuai untuk menyelesaikan masalah tersebut. Contohnya, ayat mengenai persoalan roh dan seumpamanya.
     
    4. Untuk menunjukkan bahawa sumber al-Quran itu Kalam Allah SWT semata-mata. Ia bukan ciptaan Nabi Muhammad s.a.w. atau makhluk lain.
     
    AYAT PERTAMA DAN AKHIR DITURUNKAN
     
    Ketinggian kedudukan al-Quran dan keagungan ajaran-ajarannya akan dapat merobah kehidupan manusia, menghubungkan langit dengan bumi, dan dunia dengan akhirat. Pengetahuan mengenai sejarah perundangan Islam daripada sumber utama iaitu al-Quran akan menggambarkan kepada kita mengenai pemeringkatan hukum dan penyesuaiannya dengan keadaan tempat hukum itu diturunkan yang memerlukan per­bahasan mengenai apa yang pertama dan terakhir diturunkan.
     
    1. Yang Pertama Diturunkan
     
    Terdapat empat pendapat mengenai apakah yang mula-mula diturunkan mengenai al-Quran:-
     
    i) Jumhur (Pendapat yang paling rajih atau sahih) bersetuju iaitu yang pertama diturunkan ialah lima ayat pertama daripada surah al-‘Alaq berdasarkan riwayat ‘Aisyah yang dicatatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Hakim dalam kitab-kitab hadith mereka. Aisyah r.a. menyatakan: “Sesungguhnya permulaan wahyu datang kepada Rasulullah s.a.w. melalui mimpi yang benar di waktu tidur. Mimpi itu jelas dan terang bagaikan terangnya pagi hari. Kemudian dia gemar menyendiri dan pergi ke gua Hira’ untuk beribadah beberapa malam dengan membawa bekal. Sesudah kehabisan bekal, beliau kembali kepada isterinya Khadijah r.a., maka Khadijah pun membekalinya seperti bekal terdahulu sehinggalah beliau didatangi dengan suatu kebenaran (wahyu) di gua Hira’ tersebut, apabila seorang malaikat (Jibril a.s.) datang kepadanya dan mengatakan: “Bacalah!” Rasulullah menceritakan, maka aku pun menjawab: “Aku tidak tahu membaca.” Malaikat tersebut kemudian memeluk-ku sehingga aku merasa sesak nafas, kemudian aku dilepaskannya sambil berkata lagi: “Bacalah!” Maka aku pun menjawab: “Aku tidak tahu membaca.” Lalu dia memeluk-ku sampai aku rasa sesak nafas dan dilepaskannya sambil berkata: “Bacalah!” Aku menjawab: “Aku tidak tahu membaca.” Maka dia memeluk-ku buat ketiga kalinya seraya berkata: “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhanmu yang Maha Pemurah! Yang mengajar dengan perantaraan kalam dan mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”. Setelah berlaku peristiwa itu kembalilah Rasulullah s.a.w. kepada isterinya Khadijah (membawa ayat-ayat ini) dengan tubuh menggigil………sehinggalah akhir hadith.” (al-Hadith).
     
    Imam-imam yang lain seperti al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dalam al-Dala’il dan al-Tabrani dalam al-Kabir mengesahkan ayat tersebut adalah yang pertama diturunkan.
     
    ii) Pendapat lain mengatakan Surah al-Muddathir yang pertama kali diturunkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah seorang sahabat. Daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman, dia berkata: “Aku telah bertanya kepada Jabir bin ‘Abdullah: Yang manakah di antara al-Quran mula-mula diturunkan? Jabir menjawab,” يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ “. Aku berkata, “Atau اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ “. Dia Jabir berkata,”Aku katakan kepada-mu apa yang dikatakan Rasulullah s.a.w. kepada kami: “Sesungguhnya aku berdiam diri di gua Hira’. Maka ketika habis masa diam-ku, aku turun lalu aku susuri lembah. Aku lihat ke depan, ke belakang, ke kanan dan ke kiri. Lalu aku lihat ke langit, tiba-tiba aku melihat Jibril yang amat menakutkan. Maka aku pulang ke Khadijah. Khadijah memerintahkan mereka untuk menyelimuti aku. Mereka pun menyelimuti aku.
     
    Lalu Allah menurunkan: ْ يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنْذِر“Wahai orang yang berselimut; bangkitlah, lalu berilah peringatan”.
     
    . Mengenai hadith Jabir ini, dapatlah disimpulkan iaitu pertanyaan tersebut adalah mengenai surah yang diturunkan secara penuh. Jabir menjelaskan yang surah Muddathir diturunkan secara penuh sebelum surah Iqra’ selesai diturunkan, karena yang turun pertama sekali daripada surah Iqra’ itu hanyalah permulaannya saja. Ini diperkuatkan oleh hadith Abu Salamah daripada Jabir yang terdapat dalam Sahih Bukhari dan Muslim. Jabir berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. ketika bercakap mengenai putusnya wahyu, beliau menyebut dalam percakapannya itu, “Sewaktu aku berjalan, aku terdengar suara dari langit. Kemudian aku angkat kepala-ku, tiba-tiba aku ternampak malaikat yang mendatangi aku di gua Hira’ duduk di atas kursi antara langit dan bumi, lalu aku pulang dan aku katakan: Selimutkanlah aku! Mereka pun menyelimuti aku. Lalu Allah menurunkan ayat,
    يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ .
     
    Hadith ini menggambarkan peristiwa ini terkemudian daripada peristiwa di gua Hira’, atau al-Muddathir adalah surah yang pertama diturunkan setelah terputusnya wahyu. Dapat disimpulkan ayat pertama untuk kenabian ialah Iqra’ dan surah pertama untuk risalah ialah surah al-Muddathir.
     
    iii) Andaian ketiga ialah berdasarkan satu kenyataan yang diperakukan kepada Ali bin Abi Talib, disebut oleh Abi Ishaq daripada Abi Maisarah. Riwayat yang direkodkan oleh al-Wahidi menyebut: Apabila Rasulullah muncul (dari gua Hira’) dan mendengar suatu suara menjerit, “Wahai Muhammad”, Rasulullah terus pulang ke rumah. Waraqah bin Naufal menasihatkan Rasulullah mendengar kepada suara tersebut. Oleh itu apabila Rasulullah kemudiannya mendengar suara tersebut, beliau menyahut; Suara itu berkata, “Katakanlah, Aku bersaksi sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah dan bacalah:
     
    الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ‘……..” (al-Fatihah: 1-7)
     
    iv) Sebahagian ulama tabiin seperti al-Dhahhak bin Muzahim berpendapat ayat pertama ialah Bismillah. Dia menyebut ‘Abdullah bin ‘Abbas pernah berkata: Perkara pertama yang diturunkan oleh malaikat Jibril a.s. kepada Rasulullah s.a.w. dengan beliau mengatakan, “Wahai Muhammad, aku berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui daripada Syaitan yang dilaknat, dan katakanlah: Bismillahir Rahmanir Rahim (Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.)
     
    Al-Qadhi Abu Bakar al-Baqillani menyebutkan hadith ini sebagai munqati’ dalam kitabnya, al-Intisar. Menurut al-Zarkasyi di dalam kitabnya al-Burhan, sebahagian besar ulama menyatukan hadith riwayat ‘Aisyah dan Jabir dengan menyimpulkan Jabir mendengar Nabi membicarakan peristiwa permulaan wahyu dan dia mendengar bahagian akhirnya sedang bahagian pertamanya dia tidak mendengar. Jadi Jabir menyangka surah yang didengarnya adalah yang pertama diturunkan, pada hal bukan. Ibn Hibban dalam sahihnya menyatakan tidak ada pertentangan antara kedua hadith tersebut kerana ketika turun kepada Rasulullah Iqra’, beliau pulang ke rumah lalu berselimut; kemudian turunlah al-Muddathir.
     
    Surah-surah lain yang awal diturunkan termasuklah al-Masad (111), al-Takwir (81), al-Ala (87), al-Lail (92) dan al-Fajr. Para ulama juga membicarakan ayat-ayat yang mula-mula diturunkan berdasarkan permasalahan atau persoalan tertentu. Di antaranya ia melibatkan i) Pertama kali mengenai makanan-ayat 145 Surah al-An’am, ayat 145 Surah al-Nahl, ayat 173 Surah al-Baqarah dan ayat 3 Surah al-Ma’idah; ii) Pertama kali mengenai minuman- ayat 219 mengenai khamar dalam Surah al-Baqarah, ayat 43 Surah al-Nisa’ dan ayat 90-91 Surah al-Ma’idah; dan iii) Pertama kali mengenai perang iaitu ayat 39 Surah al-Hajj.
     
    2. Yang Terakhir Diturunkan
     
    Pelbagai pendapat mengenai yang terakhir diturunkan tetapi semua pendapat ini tidak mengandungi sesuatu yang dapat disandarkan kepada Rasulullah s.a.w., malah masing-masing merupakan ijtihad atau dugaan. Al-Qadhi Abu Bakar mengatakan mungkin mereka memberitahu apa yang terakhir kali didengar oleh mereka daripada Rasulullah s.a.w. ketika beliau hampir wafat. Antara pendapattersebut ialah:-
     
    i. Pendapat Ibn ‘Abbas-banyak riwayat yang dikaitkan dengan Ibn ‘Abbas:
     
    a. ‘Amir al-Sha’bi meriwayatkan bahawa ‘Abdullah bin ‘Abbas pernah berkata: “Ayat terakhir diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. adalah ayat mengenai riba.” Firman Allah,
     
    يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
     
    “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba - yang belum dipungut -.” (al-Baqarah:278).
     
    b. Ikrimah meriwayatkan bahawa Ibn ‘Abbas menyebut: Ayat al-Quran terakhir diturunkan adalah,
     
    وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لا يُظْلَمُونَ
     
    “Dan peliharalah diri-mu daripada azab yang terjadi pada suatu hari kamu semua dikembalikan kepada Allah.” (al-Baqarah: 281)
     
    c. ‘Abdullah b. ‘Utbah r.a. katanya, ‘Abdullah bin ‘Abbas berkata kepada saya: “Adakah anda tahu ayat yang terakhir sekali turun? Jawab-ku “tahu” iaitu ِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan) (al-Nasr: 1). Berkata Ibnu ‘Abbas: “Kamu benar.”
     
    d. Said bin Jubayr mengatakan orang-orang Kufah berselisih tentang ayat,
     
    وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا
     
    “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” (Al-Nisa’:93). Saya menemui Ibn ‘Abbas dan bertanyakan ayat ini dan beliau berkata: “Ayat ini adalah ayat terakhir diturunkan dan selepas itu tidak ada ayat yang menasakhkan ayat ini.”
     
    ii. Pendapat al-Bara bin ‘Azib
     
    Berikut ialah dua kenyataan yang diriwayatkan oleh beliau:-
     
    a. Abu Ishaq al-Sabi’ee meriwayatkan bahawa al-Bara mengatakan: “Surah lengkap terakhir diturunkan ialah surah Baraah.Bukhari vol 3 Kitab al-Maghazi hadith 4364.
     
    b. Abu Ishaq al-Sabi’ee meriwayatkan bahawa al-Bara mengatakan: ”Ayat terakhir diturunkan ialah,
     
    يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلالَة
     
    “Mereka (orang-orang Islam umat-mu) meminta fatwa kepada-mu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalalah). Katakanlah: Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalalah itu………(al-Nisa’:176)
     
    iii. Pendapat Ubay bin Ka’ab
     
    Yusuf b. Mihran meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas yang Ubay bin Ka’ab mengatakan potongan ayat al-Quran terakhir diturunkan ialah,
     
    لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
     
    “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (al-Taubah:128)
     
    iv. Pendapat ‘Abdullah bin Amru bin al-‘As
     
    Abu Abdul Rahman al-Halabi mendengar ‘Abdullah b. Amru sebagai berkata: Surah terakhir diturunkan ialah Surah al-Ma’idah.
     
    v. Pendapat ‘Aishah
     
    Jubayr bin Nufayl berkata, “Aku pergi menemui ‘Aishah, yang bertanya kepadaku: Adakah kamu membaca Surah al-Ma’idah? Aku kata: Ya. Dia berkata: Inilah Surah terakhir yang diturunkan……”
     
    vi. Pendapat Umm Salamah
     
    Mujahid b. Jabr mengatakan yang Umm Salamah berkata: “Ayat terakhir diturunkan adalah ayat,
     
    فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِنْكُمْ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى بَعْضُكُمْ مِنْ بَعْضٍ فَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَأُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي وَقَاتَلُوا وَقُتِلُوا لأكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلأدْخِلَنَّهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ ثَوَابًا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ
     
    “Maka Tuhan mereka perkenan doa mereka (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan……..” (al-Nisa:195)
     
    vii. Pendapat ‘Umar al-Khattab
     
    Abu Sa’id al-Khudry meriwayatkan daripada ‘Umar al-Khatab yang memberitahu ayat terakhir diturunkan ialah pengharaman riba’ (al-Baqarah:275) dan Rasulullah s.a.w. wafat beberapa hari selepas itu dan perkara riba’ tersebut tidak tertinggal tanpa penjelasan.
     
    viii. Pendapat Mu’awiyah bin Abi Sufiyan
     
    ‘Amr Qais al-Kufi meriwayatkan Mu’awiyah mengatakan ayat berikut sebagai ayat terakhir diturunkan,
     
    قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلا صَالِحًا وَلا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا
     
    “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepada-ku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.” (al-Kahfi:110)
     
    Sekiranya kita menganalisis pendapat-pendapat di atas, kita akan menghadapi kesukaran untuk menentukan ayat terakhir diturunkan kepada Rasulullah disebabkan perbezaan pendapat tersebut. Walau bagaimanapun kita boleh membuat rumusan berdasarkan logik;
     
    i. Ayat 275 hingga 281 surah al-Baqarah nampaknya diturunkan bersama kerana ayat ini membicarakan persoalan riba’ dan hukum berkaitannya. ‘Umar dan ‘Abdullah Ibn ‘Abbas mengatakan ayat riba merupakan ayat terakhir diturunkan boleh dikatakan tepat memandangkan Rasulullah wafat 9 hari selepas ayat ini diturunkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sa’id bin Jubayr dan Ibn Jurayj mengenai ayat 281, surah al-Baqarah.
     
    ii. Pandangan Ibn ‘Abbas mengenai ayat 93 surah al-Nisa’ ialah tentang ayat terakhir berhubung pembunuhan seorang Muslim, bukannya ayat terakhir al-Quran. Manakala pendapatnya mengenai surah al-Nasr tidak menjadi masalah. Surah al-Nasr kemungkinan merupakan surah pendek yang terakhir diturunkan, sementara surah al-Baraah merupakan surah panjang yang terakhir diturunkan. Ini tidak bercanggah dengan pandangan ‘Aishah dan Ibn ‘Amr yang mengatakan surah al-Ma’idah merupakan surah penuh terakhir diturunkan. Mereka bermaksud surah terakhir mengenai perkara halal dan haram.
     
    iii. Pandangan al-Bara tentang ayat 176 surah al-Nisa’ sebagai ayat akhir turun ialah ayat akhir tentang faraid. Apa yang diriwayatkan oleh Ubay bin Ka’ab mengenai ayat 128 hingga 129 surah al-Taubah adalah sebahagian daripada surah tersebut yang diturunkan secara keseluruhan sebagai surah panjang yang terakhir diturunkan. Riwayat Umm Salamah pula bukannya mengenai ayat terakhir tetapi lebih kepada jawapan kepada soalan beliau kepada Rasulullah mengenai kedudukan wanita dalam Islam. Pandangan Mu’awiyah pula jelas merujuk kepada yang terakhir diturunkan di Mekah melibatkan surah al-Kahfi termasuk ayat terakhirnya.
     
    Kesimpulannya, Surah al-Taubah sebagai surah panjang terakhir turun; Surah al-Nasr surah pendek terakhir turun; dan ayat 275 hingga 281 Surah al-Baqarah merupakan ayat terakhir diturunkan.

    Ummi Munaliza

    • *
    • Posts: 14510
    • Anniversary Ke 30
      • View Profile
    Jawab #1 26 August, 2009, 06:21:19 AM
  • Publish Di FB

  • Hikmah al-Quran diturun secara beransur-ansur


    AL-QURAN adalah kalam Allah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad, pembawa amanat yang jujur dan tanggungjawab. Al-Quran yang dibawanya mengandungi undang-undang dan petunjuk bagi umat Islam dalam mengatur tujuan hidup dan kehidupan sejagat.

    Firman Allah bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan salah...” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

    Apakah al-Quran? ‘Quran’ menurut pendapat yang paling kuat seperti dikemukakan Dr Subhi Al Salih bererti ‘bacaan’, asal kata qara’a. Kata al-Qur’an berbentuk masdar dengan erti isim maf’ul iatu maqru’ (dibaca).

    Dalam al-Quran ada pemakaian kata ‘Quran’ seperti ayat 17 dan 18 surah al-Qiyaamah. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya mengumpulkan al-Quran (dalam dadamu) dan (menetapkan) bacaannya (pada lidahmu) itu adalah tanggungan kami. Kerana itu jika kami telah membacakannya, hendaklah kamu ikut bacaannya.”

    Kemudian dipakai kata ‘Quran’ untuk al-Quran yang dikenal sekarang ini. Adapun definisi al-Quran ialah: “Kalam Allah yang juga mukjizat yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad dan yang ditulis di mushaf dan diriwayatkan dengan mutawatir serta membacanya adalah ibadah.”

    Dengan definisi ini, kalam Allah yang diturunkan kepada nabi selain Nabi Muhammad tidak dinamakan al-Quran seperti Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa dan Injil (Nabi Isa). Dengan demikian pula Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad yang membacanya tidak dianggap sebagai ibadah seperti hadis Qudsi, tidak pula dinamakan al-Quran.

    Bagaimanakah al-Quran diwahyukan? Nabi menerima wahyu mengalami pelbagai cara dan keadaan, antaranya:

    # Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya.

    Dalam hal ini Nabi Muhammad tidak melihat sesuatu pun, hanya berasa ia sudah berada dalam kalbunya. (Surah Asy Syuura, ayat 51).

    # Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi berupa seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal kata-kata itu.

    # Wahyu datang kepadanya seperti gemerincingnya loceng.

    Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi. Kadang-kadang pada keningnya keluar peluh walaupun ketika wahyu itu turun pada musim sejuk yang teruk. Ada kalanya, unta yang Baginda tunggangi terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat apabila wahyu itu turun.

    # Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi, tidak berupa seorang lelaki seperti keadaan di atas, tetapi benar-benar seperti rupanya yang asli. Hal ini disebut dalam ayat 13 dan 14 surah an-Najm.

    Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah.


    Hikmah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur itu ialah:

    # Lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang tidak akan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya ia diturunkan sekali gus secara banyak. Hal ini disebutkan oleh Bukhari dan riwayat Aisyah.

    # Antara ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan permasalahan pada waktu itu. Ini tidak dapat dilakukan sekiranya al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh).

    # Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa yang berlaku akan lebih mengesankan dan berpengaruh di hati.

    # Memudahkan penghafalan.

    Orang musyrik bertanya mengapakah al-Quran tidak diturunkan sekali gus seperti disebut dalam al-Quran ayat 32, surah al-Furqan. “Mengapakah al-Quran tidak diturunkan kepadanya sekali gus?”

    Dijawab dalam ayat itu sendiri: “Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu.”

    # Ada antara ayat itu jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan. Ini sebagaimana dikatakan oleh lbnu ‘Abbas. Hal ini tidak dapat terlaksana kalau al-Quran diturunkan sekali gus.

    Ditinjau dari segi masa turunnya, maka al-Quran itu dibahagi kepada dua iaitu ayat Makkiyyah dan Madaniyyah. Ayat yang diturunkan di Makkah atau sebelum Nabi Muhammad hijrah ke Madinah dinamakan ayat Makkiyyah.

    Ayat yang diturunkan di Madinah atau selepas Nabi Muhammad hijrah ke Madinah pula dinamakan ayat Madaniyyah.


    Ayat Makkiyyah meliputi 19/30 daripada isi al-Quran terdiri atas 86 surah, sedangkan ayat Madaniyyah meliputi 11/30 daripada isi al-Quran terdiri atas 28 surah.


    Perbezaan ayat Makkiyyah dengan ayat Madaniyyah ialah:

    # Ayat Makkiyyah pada umumnya pendek, sedangkan ayat Madaniyyah panjang. Ayat Madaniyyah berjumlah 1,456 dan ayat Makkiyyah 4,780 ayat.

    # Dalam ayat Madaniyyah ada perkataan "Ya ayyuhalladzi na aamanu" dan sedikit sekali perkataan ‘Yaa ayyuhannaas’, sedangkan dalam ayat ayat Makkiyyah adalah sebaliknya.

    # Ayat Makkiyyah pada umumnya mengandungi hal berhubung keimanan, ancaman dan pahala, kisah umat terdahulu yang mengandung pengajaran dan budi pekerti.

    # Ayat Madaniyyah mengandung hukum, baik yang berhubungan dengan hukum adat atau duniawi seperti hukum kemasyarakatan, ketatanegaraan, perang, antarabangsa dan antara agama.
    Pengurusan, Pentadbiran Forum Halaqahnet.
    Penal Utama Baitul Muslim


    gurutajwid

    • *
    • Posts: 167
      • View Profile
    Jawab #2 13 September, 2009, 05:07:43 PM
  • Publish Di FB
  • Hikmat al-quran diturunkan secara beransur-ansur oleh Allah ialah:

    1) Untuk memudahkan Nabi Muhammad s.a.w belajar serta memahami dengan jelas tentang ayat-ayat yang diturunkan kepada baginda. Dengan ini akan menjadikan tugas Nabi untuk menyampaikan risalah Allah akan lebih berkesan

    2) Penurunan al-Quran secara beransur-ansur memudahkan umat Islam pada zaman baginda untuk menghafalnya memandangkan kebanyakan orang arab pada zaman itu merupakan buta huruf.

    3) Para sahabat tidak merasa terbeban untuk melaksanakan semua perintah al-Quran yang sememangnya bertentang dengan cara hidup mereka.

    4) Menunjukkan kemurahan dan kebijaksanaan Allah s.w.t terhadap hamba-hamba-Nya.
    RAHSIA MENGUASAI ILMU TAJWID!!!
    http://abdullahidris.com

    Jawab #3 30 January, 2010, 06:08:23 PM
  • Publish Di FB
  • macam mana pula ayat2 al-quran disusun? kenapa ayat2 al-quran tak disusun mengikut urutan waktu?

    hafidzalrahman

    • *
    • Posts: 263
    • لا إله إلا الله ، محمد رسول الله
      • View Profile
    Jawab #4 30 January, 2010, 08:38:12 PM
  • Publish Di FB
  • :)
    Syukran, info berguna. Bertambah keyakinan dan pemahaman. Bagaimana penyusunan ayat-ayat didalam Al-Quran? Sebab terdapat ayat yang turun berperingkat-peringkat. Jadi bagaiman asal permulaan dari juzuk 1 hingga 30. Ada sesiapa boleh berikan info ni? Syukran jazilan.
    اَسْتَغْقِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ الَّذِي لاَ اِلَهَ اِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوْمٌ وَاَتُوْبُ اِلَيْهِ
    Wake up Muslims!

    dol_bendol

    • *
    • Posts: 1664
    • http://al-merapu.blogspot.com
      • View Profile
    Jawab #5 30 January, 2010, 10:25:31 PM
  • Publish Di FB
  • Lihat pada permulaan kitab terjemahan al quran, ada segala cerita berkaitan pertanyaan kalian, Inshallah dapat membantu kalian memahaminya

    divider3
    halaqahforum4

     

    Related Topics

      Subject / Started by Replies Last post
    4 Replies
    4515 Views
    Last post 28 August, 2009, 11:59:50 AM
    by gurutajwid
    18 Replies
    3342 Views
    Last post 06 March, 2011, 09:57:29 PM
    by barakallah
    6 Replies
    5091 Views
    Last post 07 March, 2011, 02:51:42 PM
    by mufidah