Bolehkah Berpegang Dengan Penilaian Hadith Albani ?

Author Topic: Bolehkah Berpegang Dengan Penilaian Hadith Albani ?  (Read 2006 times)

0 Halaqian and 1 Guest are viewing this topic.

IbnuNafis

  • *
  • Posts: 1293
    • View Profile
22 July, 2011, 10:20:46 AM
  • Publish Di FB
  • Oleh : Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni (Jabatan Hadith KUIS)

    Barangkali sudah menjadi ketetapan, orang yang ingin membicarakan soal kajian hadis pada masa kini tidak dapat lari lagi dari menyebut nama ‘al-Albani’ dan membicarakan hasil-hasil penilaian hadisnya. Ia kemungkinan adalah kesan dari penyebaran karya-karya beliau secara besar-besaran oleh pihak yang mendokong pemikirannya. Malah kebanyakannya dapat diperoleh secara percuma melalui atas talian sahaja.


    Apa yang dikhuatirkan ialah akan berlaku 'kemandulan’ dalam soal penilaian hadis. Justeru, hadis yang telah dinilai hukumnya oleh al-Albani itu sahaja yang harus diterima dan dipegang kuat-kuat, walaupun sarjana-sarjana besar hadis menilai hukum sebaliknya. Maka penilaian al-Tirmizi, atau al-Daraqutni, atau al-Baihaqi, atau al-’Iraqi, atau al-Zahabi, atau Ibn Hajar, atau al-Busiri, atau al-Haythami, atau selain mereka sudah tidak ada nilai apa-apa, jika al-Albani sudah menghukum sebaliknya.


    Apakah sampai begitu?



    Syeikh Ahmad Kamil Darwisy, murid al-Hafiz ‘Abdullah al-Ghumari telah meneliti kira-kira 55,446 buah hadis di dalam kajiannya mengenai manhaj Syeikh al-Albani dalam memberi penilaian terhadap hadis. Beliau telah menyatakan pandangannya yang saya rumuskan sepertimana berikut;


    1. al-Albani telah meneliti dan memberi penilaian ke atas sekitar 55,000 buah hadis termasuk hadis yang berulang-ulang, dan telah mendaifkan lebih kurang 16,000 buah hadis darinya. Jumlah ini meliputi lebih dari 50 buah karya yang telah diterbitkan.


    2. Beliau telah menukilkan dan mengikut kira-kira 3,000 (tepatnya 3,088) hukum hadis dari al-Tirmizi, dan menyanggah pula lebih dari 700 hukum hadis (antara 766 - 781) yang telah dinyatakan oleh al-Tirmizi.


    3. Beliau banyak menukilkan dan memetik sahaja hukum hadis yang diberikan oleh Syeikh Habib al-Rahman al-A’zami tanpa sebarang komentar yang berjumlah hampir 800 buah hadis (tepatnya 782).


    4. Dari jumlah kira-kira 55,000 hadis, sekitar 8,000 (tepatnya 8,266) hadis dalam Sahih al-Jami’ al-Saghir wa Ziyadatih adalah yang paling kurang kesilapannya, iaitu kurang dari 35 hadis. Di dalamnya, beliau hanya menurut sekitar 2,000 hukum hadis al-Tirmizi dan sekitar 800 hukum hadis Habib al-Rahman al-A’zami.


    5. Baki dari 55,000 hadis, iaitu kira-kira 47,000 hadis mengandungi kelemahan dan kemudaratan. Maka perlu berhati-hati dengan hukum hadis yang ada di dalam kitab-kitab beliau, selain dari kitab Sahih al-Jami’ al-Saghir wa Ziyadatih dan Da’if al-Jami’ al-Saghir wa Ziyadatih. Al-Albani sendiri banyak merujukkan hukum hadis kepada kedua-dua kitab ini, iaitu sebanyak 15,758 hukum hadis telah dipetik darinya. Namun sebanyak 107 hukum hadis darinya dibantah oleh al-Hafiz ‘Abdullah al-Ghumari. Manakala sebanyak 14,527 buah hadis darinya adalah mengikut hukum para muhaddithin.


    6. Lebih afdal bagi seorang penuntut ilmu hadis mempelajari Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Muwatta’ Malik, Musnad Ahmad, al-Mukhtarah, al-Kutub al-Sittah dan seumpamanya berbanding mempelajari hadis dari kitab-kitab al-Albani.


    7. al-Albani telah memberi dua atau beberapa hukum yang berbeza pada hadis yang sama, yang berjumlah sebanyak 4,013 hukum hadis. Ini menunjukkan seolah-olah beliau lebih mementingkan kuantiti, dan bukannya kualiti.


    8. Berikut adalah jadual kekerapan hukum hadis yang disebut oleh al-Albani;


    Darjat hadis

    Jumlah

    موضوع

    3,421

    منكر

    785

    شاذ

    47

    باطل

    212

    ضعيف

    14,587

    صحيح (وحسن بنوعيه)

    34,512

    غريب

    1,384

    Jumlah

    54,948

    * Data angka ini menurut kajian Syeikh Ahmad Darwisy




    Perubahan Hukum Hadis al-Albani

    Sebagai tambahan kepada kajian Syeikh Ahmad Darwisy di atas, Syeikh al-Albani dikatakan telah menarik balik semula sebahagian penilaian hadisnya (tashih dan tad‘if) yang diberikan kepada sesetengah hadis. Jumlahnya adalah kira-kira 222 buah hadis yang telah dihimpunkan oleh Muhammad Hasan al-Syaykh dalam kitab (تراجع العلامة الألباني فيما نص عليه تصحيحا و تضعيفا), terbitan Maktabah al-Ma‘arif: Riyadh, 2002.



    Menurut Ustaz Adlan Abd. Aziz dalam satu tulisannya: "Di antara orang-orang yang berusaha untuk memberikan maklumat tentang hadith-hadith yang telah diubah penilaian terhadapnya oleh al-Albani ialah:

    Pertama, buku yang ditulis oleh Abu Malik ‘Audah Ibn Hasan yang dicetak oleh Dar al-Nafa'is, Jordan (setahu saya, ia adalah di bawah seliaan salah seorang murid al-Albani iaitu Dr. Umar al-Asyqar) pada tahun 2003. Ia mengumpulkan 500 hadith yang telah dinilai kembali hukumnya (sahih atau dhaif dan sebagainya) oleh al-Albani dan beliau mengubah pendapat yang lama kepada yang baru. Di dalam buku ini hanya ada sebanyak 250 hadith kerana buku ini adalah bahagian pertama. Saya belum menemui bahagian keduanya setakat ini.

    Buku kedua yang mengumpulkan perubahan pendapat al-Albani ialah buku hasil karya Muhammad Kamal al-Suyuthi, cetakan Dar Ibn Rajab, Mesir pada tahun 2004. Ia mengumpulkan sebanyak 307 hadith".

    Kata beliau lagi: "Kedua-dua buku ini amat penting bagi mereka yang seringkali membuat rujukan dengan menggunakan buku-buku al-Albani. Jangan pula kita tersalah dalam menggunakan pandangan beliau yang lama atau kita tersalah anggap bahawa berlakunya percanggahan dalam penilaian al-Albani. Apa yang sebenarnya berlaku ialah beliau menarik balik pendapatnya setelah beliau bertemu dengan pendapat yang lebih tepat". - Sumber



    Mengakui kesilapan memang akhlak yang dipuji. Namun dalam soal penilaian hadis ini, apatah lagi jumlahnya mencecah ratusan hadis, menyebabkan kurangnya kebolehpercayaan terhadap keseluruhan atau sebahagian besar penilaian seseorang itu. Hal ini pernah berlaku kepada al-Hakim al-Naisaburi dan Ibn al-Jawzi - رحمهما الله. Malah hukum-hukum baru al-Albani itu pun masih dapat dinilai dan dibincang semula. Dari tersalah memilih penilaian hadis al-Albani yang terakhir, lebih baik tidak berpegang dengannya, atau mesti membanding dan menggandingkannya dengan pakar-pakar hadis yang jauh lebih hebat.



    Ulama yang mengkritik Syeikh al-Albani dan karya-karya mereka:


    Berikut pula disenaraikan para ilmuwan dari pelbagai aliran pemikiran – termasuk aliran Salafiyyah sendiri - yang ada mengkritik Syeikh al-Albani yang berpunca dari perbezaan pandangan terhadap hukum hadis. Mereka ialah;


    Syeikh Isma’il bin Muhammad al-Ansari, yang menyusun kitab (إباحة التحلي بالذهب المحلق للنساء والردّ على الألباني في تحريمه), (الانتصارُ لشيخ الإسلام محمد بن عبد الوهاب بالردِّ على مجانبة الألباني فيه الصواب), (تصحيحُ حديث صلاة التراويح عشرين ركعة والردّ على الألباني في تضعيفه) tentang kesahihan tarawih 20 rakaat dan penolakan terhadap al-Albani yang mendaifkannya, (تعقباتٌ على: سلسلة الأحاديث الضعيفة والموضوعة للألباني) dan (نقدُ تعليقات الألباني على شرح الطحاوية) sanggahan terhadap al-Albani atas ulasannya pada Syarah at-Tahawiyyah.

    Syeikh ’Abdullah bin Soleh al-’Ubaylan, yang menulis kitab (التعقباتُ المليحة على: (السلسلة الصحيحة)) mengkritik al-Albani yang menyandarkan hadis dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah kepada selain al-Sahihain sedangkan ia ada di dalam kedua-duanya atau salah satu darinya, dan kitab (إتمام الحاجة إلى صحيح سنن ابن ماجه) mengkritik al-Albani yang menyandarkan hadis dalam Sahih Sunan Ibn Majah kepada selain al-Sahihain sedangkan ia ada di dalam kedua-duanya atau salah satu darinya.

    Syeikh Ramadhan Mahmud ’Isa, yang menulis kitab (الأحاديثُ الضعيفة في سلسلة الأحاديث الصحيحة) mengkritik secara khusus jilid pertama kitab Silsilah al-Ahadith al-Sahihah.

    Syeikh Khalid bin Ahmad al-Mu’azzin, yang menulis kitab (إقامةُ البرهان على ضعف حديث: استعينوا على إنجاح الحوائج بالكتمان. وفيه الرد على العلامة الشيخ محمد ناصر الدين الألباني).

    Syeikh ‘Abd al-Mun’im Mustafa Halimah Abu Basir, yang menulis kitab (حكم تارك الصلاة), dan (الانتصارُ لأهل التوحيد والرد على من جادل عن الطواغيت ملاحظات وردود على شريط: (الكفر كفران) للشيخ محمد ناصر الدين الألباني).

    Syeikh Badr al-Din Hasan Diyab al-Dimasyqi, yang menyusun kitab (أنوارُ المصابيح على ظلمات الألباني في صلاة التراويح).

    Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abdullah bin Baz, bekas Mufti Saudi yang menyusun risalah (أينَ يضع المصلي يده في الصلاة بعد الرفع من الركوع) yang dicetak di bawah tajuk (ثلاث رسائل في الصلاة).

    Syeikh ‘Adil bin ‘Abdullah al-Su’aydan, yang menulis kitab (بذلُ الجهد بتضعيف حديثي السوق والزهد).

    Syeikh Soleh bin ‘Abd al-‘Aziz Al al-Syaykh, yang menyusun kitab (التكميلُ لما فاتَ تخريجه من: (إرواء الغليل)).

    Syeikh ‘Abdullah bin Muhammad al-Duwaisy, yang menyusun kitab (تنبيهُ القارئ [على] تقوية ما ضعفه الألباني) dan (تنبيهُ القارئ لتضعيف ما قواه الألباني).

    Syeikh Hamud bin ‘Abdullah al-Tuwaijiri, yang menyusun kitab (التنبيهاتُ على رسالة الألباني في الصلاة).

    Syeikh Bakr bin ‘Abdullah Abu Zaid, yang menyusun risalah (جزءٌ في كيفية النهوض في الصلاة وضعف حديث العجن).

    Syeikh Mamduh Jabir ‘Abd al-Salam, yang menyusun kitab (حول مسألة تارك الصلاة) antara kandungannya mengkritik risalah al-Albani yang berjudul (حُكم تارِكِ الصَّلاةِ).

    Syeikh ‘Abd al-Qadir bin Habibullah al-Sindi, yang menulis kitab (رَفْعُ الْجُنَّةِ أمام: (جلباب المرأة المسلمة في الكتاب والسنة) mengkritik kitab al-Albani yang berjudul (جلباب المرأة المسلمة).

    Dr. Ibrahim al-Subayhi, yang menulis risalah (عددُ صلاة التراويح).

    Syeikh Mustafa al-‘Adawi, yang menulis kitab (المؤنقُ في إباحة تحلي النساء بالذهب المحلق وغير المحلق) dan (نظراتٌ في: (السلسلة الصحيحة) للشيخ محمد ناصر الدين الألباني) menganalisa 100 hadis pertama dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, yang disusun bersama-sama dengan Syeikh Khalid Ahmad al-Mu’azzin.

    Syeikh ‘Abdullah bin Mani‘ al-‘Utaybi, yang menulis kitab (ملحوظاتٌ على كتاب: (الصلاة) للعلامة محمد ناصر الدين الألباني).

    Syeikh Fahd bin ‘Abdullah al-Sunaid, yang menyanjung al-Albani tetapi telah menulis kitab (الإعلامُ في إيضاح ما خفي على الإمام).

    Syeikh Ahmad ‘Abd al-Ghafur ‘Attar, yang menulis kitab (ويلك آمن، تفنيد بعض أباطيل ناصر [الدين] الألباني).

    Syeikh Dahhan Abu Salman, yang menulis kitab “al-Wahmu wat-Takhlit ‘ind al-Albani fil Bai’ bit-Taqsit” tentang keraguan dan kekeliruan al-Albani dalam jual beli secara ansuran.

    Habib ‘Ali bin Muhammad bin Yahya al-’Alawi, yang menulis kitab “Hidayatul Mutakhabbitin Naqd Muhammad Nasir al-Din”.

    Syeikh Muhammad ‘Awwamah, yang menulis kitab “Athar al-Hadith al-Syarif fi Ikhtilaf al-A’immah al-Fuqaha’”.

    Dr. Salahuddin bin Ahmad al-Idlibi, yang menulis kitab (كشف المعلول مما سمي بسلسلة الأحاديث الصحيحة).

    Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah, yang menyusun kitab (خطبةُ الحاجة ليست سنة في مستهل الكتب والمؤلفات) dan (كلماتٌ في كشف أباطيل وافتراءات ) penolakan terhadap kebatilan dan tohmahan al-Albani dan sahabatnya Zuhair al-Syawisy serta pendukung mereka.

    Syeikh ‘Abdullah al-Harari al-Habasyi, yang menyusun kitab (التعقّبُ الحثيث على من طعن فيما صحَّ من الحديث) dan lampirannya (نصرةُ: (التعقب الحثيث) على من طعن فيما صح من الحديث).

    Syeikh As’ad Salim Tayyim, yang menyusun kitab (بيانُ أوهام الألباني في تحقيقه لكتاب فضل الصلاة على النبي -صلى الله عليه وسلم- للقاضي إسماعيل بن إسحاق الأزدي) dan (تخريجُ حديث أوسٍ الثقفي في فضل الجمعة وبيان عِلّتِه).

    Syeikh Muhaddith ‘Abdul ‘Aziz bin Muhammad bin as-Siddiq al-Ghumari yang menulis risalah (بيانُ نكث الناكث المتعدي بتضعيف الحارث) dan (الباحث عن علل الطعن في الحارث).

    Syeikh Dr. Mahmud Sa’id Mamduh, muhaddith Mesir yang menyusun kitab (التعريفُ بأوهام من قسم (السنن) إلى صحيح وضعيف) penjelasan tentang kekeliruan al-Albani yang memisahkan kitab-kitab Sunan kepada sahih dan da’if, yang terdiri dari 6 jilid, (التعقيب اللطيف والانتصار لكتاب التعريف), (تنبيهُ المسلم إلى تعدي الألباني على: (صحيح مسلم) dan juga kitab (وصولُ التهاني في إثبات سُنِّيَّة السُّبْحة والرَّدِّ على الألباني).

    al-Hafiz Syeikh ’Abdullah bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari, muhaddith besar Maghribi yang menyusun kitab (القولُ المقنع في الرد على الألباني المبتدع) mengkritik sebahagian tahkik al-Albani terhadap kitab (بداية السُّول في تفضيل الرسول صلى الله عليه وسلم للعز بن عبد السلام), dan risalah kecil (إرغامُ المبتدع الغبي بجواز التَّوسّل بالنبي في الردِّ على الألباني الوبي) yang judul asalnya ialah (جزءٌ فيه الردّ على الألباني وبيان بعض تدليسه وخيانته). al-Hafiz ’Abdullah al-Ghumari tidak pernah mengkritik orang lain secara kasar kecuali terhadap al-Albani.

    Syeikh Habib al-Rahman al-A’zami, muhaddih besar India yang menyusun kitab (الألباني شذوذه وأخطاؤه) tentang penyimpangan dan kesalahan al-Albani dalam 4 juzuk. Namun cetakan awalnya menggunakan nama samaran, iaitu ‘Arsyad al-Salafi’.

    Sayyid Hasan bin ’Ali al-Saqqaf, orang yang paling banyak mengkritik al-Albani secara keras sebagai refleksi dari gaya bahasa al-Albani sendiri. Beliau telah menyusun banyak kitab dalam mengkritiknya, iaitu (إبطال التصحيح الواهن لحديث العاجن), (وهم سيء البخت الذي حرَّم صيام السبت), (القول المبتوت في صحة صلاة الصبح بالقنوت), (اللجيف الذعاف للمتلاعب بأحكام الاعتكاف) menolak dakwaan al-Albani bahwa tidak harus beriktikaf kecuali dalam tiga masjid sahaja, (احتجاج الخائب بعبارة من ادَّعى الإجماع فهو كاذب), (قاموس شتائم الألباني وألفاظه المنكرة في حق علماء الأمة وفضلائها وغيرهم), (الشهاب الحارق المنقض على إيقاف المتناقض المارق), (الأدلةُ الجليّة لسنة الجمعة القبلية), (إعلام المبيح الخائض بتحريم القرآن على الجنب والحائض), (البشارةُ والإتحاف فيما بين ابن تيمية والألباني في العقيدة من الاختلاف), (تحذير العبد الأوّاه من تحريك الإصبع في الصلاة), (تناقضاتُ الألباني الواضحات فيما وقع له في تصحيح الأحاديث وتضعيفها من أخطاء وغلطات), (تنقيح الفهوم العالية بما ثبتَ وما لمْ يثبتْ من حديث الجارية), (الشماطيط فيما يهذي به الألباني في مقدماته من تخبطات وتخليط) menyanggah isi mukadimah dalam juzuk pertama kitab Silsilah al-Ahadith al-Da’ifah, (حاشية على إرغام المبتدع للغماري) dan (صحيح صفة صلاة النبي صلى الله عليه وآله وسلَّم). Sebahagian orang melihat kritikan Sayyid Hasan ini seolah-olah agak berbentuk peribadi, meskipun fakta-faktanya boleh diambil kira.

    Demikianlah sebahagian ilmuwan yang telah mengkritik, menolak pendapat atau membetulkan kesilapan al-Albani.


    Tidak dinafikan banyak kitab-kitab yang telah dikarang oleh peminat-peminat Syeikh al-Albani bagi membela dan mempertahankan beliau. Namun, kebanyakan dari kitab-kitab tersebut agak lemah dari segi hujah-hujah yang dikemukakan, dan tidak dapat mematahkan hujah-hujah kritikan dengan cara ilmiah. Ia hanya sekadar suatu sanggahan dan bantahan bagi menonjolkan kehebatan al-Albani. Sedangkan pada hakikatnya ia bukanlah begitu 'kebal’.


    Oleh kerana hasil-hasil karya beliau sudah tersebar dengan begitu banyak dan meluas dalam pelbagai bahasa, sama ada dapat diperolehi dengan kos ataupun secara percuma, maka atas sebab itulah perlu ditulis sesuatu mengenainya kerana ia melibatkan hadis-hadis Junjungan Nabi SAW. Bagaimanapun, jika ada yang tidak mahu menerima, maka itu terpulang pada dirinya. Asalkan jangan menyalahkan dan menyesatkan orang lain dalam soal-soal khilafiyyah hanya kerana perbezaan hukum hadis.


    عفا اللهُ عنه ورَحِمَهُ.

    Wallahu a'lam

     http://sawanih.blogspot.com/2011/05/bolehkah-berpegang-dengan-penilaian_27.html

    IbnuNafis

    • *
    • Posts: 1293
      • View Profile
    Jawab #1 22 July, 2011, 10:23:33 AM
  • Publish Di FB
  • Oleh : Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni



    Sila baca artikel yang lepas terlebih dahulu :

    1. Bolehkah Berpegang Dengan Penilaian Hadith al-Albani Bab 1 :

    http://jomfaham.blogspot.com/2011/06/bolehkah-berpegang-dengan-penilaian.html

    2. Bolehkah Berpegang Dengan Penilaian Hadith al-Albani Bab 2 :

    http://jomfaham.blogspot.com/2011/06/bolehkah-berpegang-dengan-penilaian_22.html


    Sekadar perkongsian, disajikan artikel lama Ustaz Adlan Abd. Aziz yang agak panjang mengenai isu ini (sumber asal). Kesemua isi kandungannya adalah mencerminkan pendirian beliau yang bersifat sederhana. Anda boleh menerima atau menolaknya selamamana ianya di atas dasar ilmiah.



    ---------------------------------------------------------------------

    ADAKAH KAJIAN AL-ALBANI PERLU DITERIMA?



    Bagi sesiapa sahaja yang membaca buku-buku berkaitan hadith dan mengambil tahu tentang persoalan berkaitan hadith-hadith sahih serta dhaif, pasti akan mengenali nama seorang pengkaji hadith terkemuka – Muhammad Nasiruddin al-Albani. Beliau merupakan seorang pengkaji hadith yang telah meninggal pada tahun 1999.

    Persoalan yang ingin dijawab di sini ialah – adakah segala hasil kajian al-Albani perlu diterima? Bagaimanakah sepatutnya kita berinteraksi dengan hasil karya al-Albani? Adakah hasil kajian beliau tepat? Adakah hasil kajian beliau benar-benar diiktiraf oleh para pengkaji hadith yang lain? Bagi mereka yang sering membaca buku-buku al-Albani mungkin ada yang menjawab – ya, memang kajian beliau perlu diterima kerana kajiannya adalah ilmiah. Sebahagian yang lain pula mungkin menyatakan – kita perlu kaji dahulu sebelum menerima. Tetapi hakikatnya, mereka tidak mengkaji dan terus menerima kerana tidak mahu lagi mengkaji hasil pengkaji lain yang tidak setanding dengan al-Albani. Bagi mereka yang kurang mengenali al-Albani pula, mereka mungkin akan menolak semua hasil kajian al-Albani dengan alasan – siapa al-Albani? Ramai lagi muhaddith lain termasuk muhaddith silam yang lebih hebat daripada al-Albani. Dan begitulah antara respon yang mungkin kita dengar daripada pelbagai jenis manusia terhadap kajian al-Albani dan persoalan sejauh mana kita menerimanya.

    Pada hakikatnya, bagi menjawab persoalan-persoalan tersebut (adakah kita perlu menerima kajian al-Albani dan lain-lain lagi) yang sememangnya saling berkaitan, beberapa perkara perlu diberikan perhatian. Pertama, jawapan yang ingin diberikan perlu bebas daripada dua unsur negatif yang wujud dalam kalangan mereka yang mengikuti perkembangan dan penulisan al-Albani. Dua unsur negatif itu ialah:

    a) Taksub terhadap al-Albani sehingga menganggap tidak ada sesiapa yang dapat menandingi al-Albani dalam semua keadaan.

    b) Kebencian tidak berasas terhadap al-Albani sehingga menganggap al-Albani langsung tidak layak untuk menulis dalam bidang hadith bahkan menganggap al-Albani berguru dengan syaitan!


    Untuk menjawab persoalan ini juga, kita perlukan bukti dan hujah yang kukuh sama ada menyokong atau menolak al-Albani dan hasil kajiannya. Begitu juga kita hendaklah melihat bidang kajian hadith ini secara meluas bermula daripada ulama terdahulu sehinggalah kepada ulama di zaman moden ini. Tidak lupa juga, kita perlulah menyedari tentang kewujudan pengkaji-pengkaji hadith moden lain yang hidup pada zaman ini agar hasil kerja mereka dapat dibandingkan dengan hasil kerja al-Albani.

    Berdasarkan pembacaan dan perbincangan, saya telah membuat beberapa kesimpulan peribadi berkaitan al-Albani dan hasil kajiannya. Semoga apa yang saya catatkan ini akan menjadi sesuatu yang bermanfaat terhadap para pembaca terutamanya dalam usaha untuk membina metodologi dan cara berfikir khususnya berkaitan bidang hadith. Kalau salah, tolong betulkan.

    1- Al-Albani adalah seorang pengkaji yang berkelayakan untuk menceburi bidang kajian hadith berdasarkan keupayaan beliau menggunakan segala teori Mustolah al-Hadith dalam setiap kajiannya. Lagipun, tidak ada satu halangan untuk sesiapa sahaja menceburi bidang ini asalkan kajiannya mempunyai nilai akademik. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam buku-bukunya yang mempunyai huraian panjang lebar seperti Irwa’ al-Ghalil dan juga kedua-dua Silsilah (al-Sahihah dan al-Dhaifah). Keupayaan al-Albani mendatangkan hujah ketika mengsahihkan atau mendhaifkan hadith jelas kelihatan pada huraiannya untuk setiap hadith. Setelah dibandingkan pula dengan rujukan yang beliau gunakan, terbukti tidak ada penyelewengan dalam proses menukilkan fakta ke dalam buku-bukunya.

    2- Tidak semestinya kita menerima segala hasil kajian al-Albani. Sekiranya kita menerima segala kajian beliau tanpa soal, ini bermakna beliau adalah seorang yang ma’sum atau tidak pernah melakukan kesilapan! Sudah pasti terdapat kelemahan pada diri beliau sebagaimana beliau akui dalam salah satu pendahululan Silsilah al-Sahihah. Ini bermakna, kita perlu mengambil kira kemungkinan bahawa di sana terdapat kesilapan dalam hasil kajian beliau sama ada sedikit atau banyak. Namun, berdasarkan pembacaan dan juga kajian, saya tidak berani menyatakan bahawa kesilapannya adalah banyak. Malah mereka yang tidak menyokong sistem kajian beliau juga tidak pernah menyatakan bahawa kesilapan al-Albani adalah banyak. Maka adalah penting untuk kita meletakkan di dalam diri kita bahawa al-Albani adalah manusia biasa yang berkemungkinan melakukan kesilapan dalam kajian beliau.

    3- Kemasyhuran al-Albani sebenarnya dibantu oleh beberapa faktor seperti : Kerajinannya dalam menghasilkan banyak buku, keberaniannya dalam mengetengahkan sesuatu yang baru dan berlainan daripada pendapat umum, sokongan padu daripada mereka yang mengenali beliau, pengiktirafan yang beliau perolehi daripada ulama sezaman dengannya, kekuatan hujah beliau ketika berhujah dengan mereka yang tidak menyokongnya, buku-buku yang beliau kaji adalah buku-buku yang penting, hadith-hadith yang beliau kaji adalah hadith-hadith yang jarang dikaji oleh orang lain secara panjang lebar dan sebagainya. Tidak dinafikan juga bahawa popularitinya juga adalah sebahagian daripada kemuliaan yang dikurniakan Allah SWT kepada beliau.

    4- Sekiranya al-Albani mendapat satu hasil yang menyalahi hasil kajian para ulama lain sezaman dengannya, maka hendaklah kita melihat dengan teliti hujah masing-masing untuk menentukan siapa yang lebih benar. Ini perlu dilakukan oleh mereka yang mampu membaca dan mengkaji terutama mereka yang menyambung pelajaran (b.a, master, phd) dalam bidang hadith. Jangan pula mereka meninggalkan metodologi kajian semata-mata kerana kagum atau hormat yang melampau terhadap al-Albani.

    5- Sekiranya al-Albani menyalahi hasil kajian para ulama hadith terdahulu terutamanya di zaman kegemilangan kajian hadith iaitu di zaman kurun kedua, ketiga dan keempat hijrah (terutamanya ulama-ulama terulung seperti Ali Ibn al-Madini, Ahmad Ibn Hanbal, al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi, al-Nasaai dan sebagainya), maka sudah pasti al-Albani tidak dapat menandingi kehebatan dan kesepakatan para ulama hadith di zaman itu. Diakui juga bahawa keadaan ini jarang berlaku namun ia wujud dalam hasil kajian al-Albani. Bagaimana pula al-Albani boleh menyalahi pandangan mereka dalam keadaan mereka adalah ulama yang meriwayatkan mengumpulkan beribu-ribu sanad malah beratus ribu sanad dan hadith?

    6- Setiap pendapat al-Albani hendaklah dinilai mengikut pendapatnya yang paling terkini. Maksud saya, kita hendaklah memastikan adakah beliau menarik balik sesuatu hasil kajiannya. Setakat ini, telah ada dua buku yang ditulis oleh pengkaji hadith bagi membuktikan bahawa al-Albani telah mengubah hasil kaiiannya terhadap beberapa hadith dan jumlahnya mencecah ratusan hadith!. Oleh itu, anda perlu berhati-hati ketika menerima hasil kajian al-Albani, adakah ia hasil kajian lama atau hasil kajian yang telah diubah oleh beliau. Perubahan ini bukan menandakan al-Albani ‘bercanggah’ atau ‘bermain-main’ dengan kajian, tetapi ia menandakan bahawa al-Albani merupakan manusia biasa yang juga terkadang tersilap dalam kajian beliau.

    7- Sikap sebahagian penyokong al-Albani yang memandang sinis atau remeh kepada pengkaji hadith lain zaman ini adalah sikap yang cukup memalukan dan tidak ilmiah. Pada hakikatnya, terdapat ramai pengkaji yang sehebat al-Albani malah mungkin lebih hebat daripada al-Albani daripada sudut-sudut yang berbeza. Ya, memang al-Albani lebih banyak penulisan dan kajian, namun terdapat ramai muhaddith dan pengkaji yang lebih kuat ingatan, lebih banyak bacaan dan kajian. Cuma mungkin mereka tidak banyak menulis dan tidak popular, itu sahaja. Ada pula yang menyatakan bahawa sememangnya ada muhaddith lain, tetapi al-Albani lebih hebat. Pernyataan sebegini akan hanya menghalang anda untuk membuat kajian ilmiah. Kerana perlu diingat, al-Albani terkadang (bukan selalu) menyalahi kajian ulama-ulama awal Islam di zaman seperti al-Bukhari, Ahmad Ibn Hanbal dan sebagainya. Adakah di sini kita juga boleh menggunakan hujah ‘al-Albani lebih hebat’?

    8- Kepada mereka yang hanya membaca buku al-Albani, selalunya mereka akan menjadi orang-orang yang hanya mempercayai kajian al-Albani dan menyanjung beliau lebih daripada hakikat sebenar. Kepada mereka saya nasihatkan agar mereka mula membaca tulisan dan hasil kajian orang lain agar dapat dibandingkan dengan hasil kajian al-Albani. Inilah satu-satunya cara untuk mereka kembali kepada sikap yang lebih adil dalam persoalan ini.

    9- Bagi mereka yang membenci al-Albani tanpa sebab atau hanya dengan sebab ‘tidak tahu siapa gurunya dalam hadith’ atau ‘siapa al-Albani? Dia bukan ada ijazah dalam hadith’ dan lain-lain lagi sebab yang TIDAK ILMIAH, maka saya nasihatkan anda dengan hanya SATU nasihat – bacalah…bacalah dan bacalah buku-buku al-Albani dan bandingkanlah dengan kajian orang lain. Barulah selepas itu anda berhak membuat keputusan adakah al-Albani layak dipanggil muhaddith atau tidak. Tetapi sekiranya anda membenci al-Albani tanpa sebab dan dalam masa yang sama anda TIDAK pernah membaca atau menghabiskan walau satu buku karya al-Albani, lebih baik anda duduk diam-diam dan jangan ceburi bidang yang anda tidak dalami.

    10- Namun secara umumnya, al-Albani pasti tidak akan dapat menandingi ulama-ulama hadith di zaman awal Islam jika dilihat daripada semua sudut. Hakikat ini perlu diakui agar kita tidak meletakkan al-Albani lebih tinggi daripada ulama terdahulu sehinggakan kita perlukan al-Albani mengesahkan pula semua kajian mereka seperti al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi dan sebagainya! Ini mustahil kerana mereka jauh lebih hebat daripada al-Albani atau sesiapa sahaja daripada kalangan pengkaji moden masa kini. Kembalilah membaca hasil kajian mereka di dalam buku-buku mereka (ulama silam) agar kita kenal dan tahu ketelitian mereka dan kelebihan mereka berbanding ulama silam. Saya cadangkan para penuntut ilmu hadith (master, phd) agar sering membaca kajian ulama dalam buku-buku Ilal seperti Ilal al-Tirmidzi, Ibn Abi Hatim, al-Tarikh al-Kabir oleh al-Bukhari, al-Tamyiz oleh Muslim, Syarh Ilal oleh Ibn Rajab al-Hanbali dan sebagainya dan tidak hanya bergantung kepada buku-buku Mustolah Hadith terutama buku-buku yang dikarang oleh ulama terkemudian tanpa memperdulikan buku-buku ulama silam.

    11- Kritikan yang dibuat terhadap kajian al-Albani tidak sama sekali akan menjatuhkan kedudukan al-Albani sebagai muhaddith bahkan kita boleh mengiktiraf al-Albani sebagai salah seorang imam hadith masa kini. Kritikan ilmiah bertujuan untuk menilai hasil kajian dan tidak sama sekali menjatuhkan imej orang yang mengkaji. Ini perlu dihayati oleh pihak yang asyik memandang serong atau terlalu sensitif apabila al-Albani ‘disentuh’ atau ‘dikritik’ tanpa membuat pembahagian antara kritikan ilmiah dan kritikan tidak ilmiah.

    12- Di antara mereka yang mengkritik al-Albani dan beberapa kaedah pengkajian al-Albani adalah ulama-ulama masa kini yang hebat dalam bidang ini tetapi tidak begitu popular seperti Abdullah al-Sa’d, Dr. Ibrahim al-Laahim, Dr. Hatim al-Syarif, Dr. Hamzah al-Malibari, Sulaiman Ibn Nasir al-‘Ulwan dan sebagainya. Parapeminat kajian hadith boleh mendapatkan pandangan dan tulisan mereka untuk melihat ketelitian mereka dalam mengetengahkan manhaj ulama terdahulu atau dinamakan manhaj al-Mutaqaddimun. Boleh juga melayari laman web http://www.ahlalhdeeth.com iaitu Multaqa Ahl Hadeeth bagi mendapatkan maklumat tentang kajian hadith terkini. Jangan pula anda sampai kepada tahap mengatakan bahawa kajian hadith terhenti pada al-Albani! Kajian hadith berterusan dan ramai yang mampu untuk menilai kembali kajian al-Albani di bawah manhaj ulama terdahulu dan bukannya manhaj baru yang asing daripada manhaj al-Mutaqaddimun.

    Semoga apa yang dinukilkan di sini menjadi petunjuk bagi mereka yang ingin mendalami bidang hadith. Ini penting agar hasil kajian kita tidak akan menjadi satu kajian yang meremehkan pula kajian ulama terdahulu. Inilah pendapat saya yang boleh dinilai untuk diterima atau ditolak. Wallahu a’lam.

    - ADLAN BIN ABD. AZIZ



    Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2011/05/bolehkah-berpegang-dengan-penilaian_28.html

    nazri0070

    • *
    • Posts: 2451
    • Aku ingin menjadi kekasihMu...Ya Allah!
      • View Profile
    Jawab #2 22 July, 2011, 10:43:28 AM
  • Publish Di FB
  • Saya kurang menyukai Al-Albani, Dr MAZA serta suku-sakatnya banyak merujuk dia ni....Saya lebih menyukai ulama muktabar seperti Imam yang 4, Imam Nawawi, Imam Ghazali, Imam Suyuti, Imam Qusyairi dan lain-lain ulama sealiran kefahaman dengan mereka...Bagi saya dalam bab hadis, imam-imam hadis dulu telah jelas mengklasifikasikan darjat-darjat hadis termasuk hadis dhoif dan palsu....Imam Nawawi, Suyuti serta lain-lain telah jelas mengatakan hadis dhoif boleh digunakan (bab fadilat amal, hadis-hadis motivasi untuk umat menambah amalan sunat) tapi Al-Albani dan orang sealiran dengannya terlalu mudah serta  banyak membuat tafsiran yang semakin menjauhkan umat untuk membuat amalan sunat (bagi saya boleh walaupun berdasar atas hadis dhoif) kecuali hukum-hakam...Wallahuaklam...
    "Selagi kita lurus dengan Allah, dunia dalam genggaman."- Sayyidah Nafisah.

    Insignia of Islam

    • *
    • Posts: 240
    • Help each other
      • View Profile
    Jawab #3 22 July, 2011, 11:46:18 AM
  • Publish Di FB
  • Saya suka dengan penerangan dan approach Ustaz Adlan yang sederhana dan adil. Begitulah juga approach Syeikh Yusuf al-Qaradawi yang sama iaitu moderate. Saya sedih bila membaca penulisan dan mendengar ceramah ustaz2 yang berdegar-degar hentam ulama' itu ini, tak kiralah daripada kem salafi atau khalaf. Kalau bersederhana, insya Allah kita dapat cari titik persefahaman dan rungkaikan perselisihan. Jangan mudah bersangka buruk dan jangan mudah terpedaya. Carilah ilmu & jawapan demi kebenaran dan adil dalam penilaian.

    Wassalam.

    IbnuNafis

    • *
    • Posts: 1293
      • View Profile
    Jawab #4 23 July, 2011, 12:18:00 AM
  • Publish Di FB
  •  :)

    Insya Allah, jadilah yang sederhana. Dalam perkara hadith ia berkaitan dengan Rasulullah. Jika berlaku jenayah dalam hadith tentunya umat Islam akan terkeliru, kerana ia sumber yang amat penting. Apa yang ditulis di atas adalah penulisan ilmiyyah yang mengkaji manhaj hadith albani.

     Dr Yusof al Qardhawi tidak terlepas dari dihukum sesat oleh Albani sendiri kerana Dr Yusof al Qardhawi menyertai ikhwanul Muslimin. Ya, jika diselusuri penulisan dr Yusof al Qardhawi ada juga yang bersifat keras, namun banyak pendekatannya kini sudah semakin sederhana.

    Wallahua'lam

    zauj nadea

    • *
    • Posts: 2
      • View Profile
    Jawab #5 02 November, 2011, 11:59:42 PM
  • Publish Di FB
  • salam, sy amat kagum dengan penjelasan ust. jazakkallahu khairan, mudahhan allah memberi pahala yg banyak atas usaha mempertahankan juhudul mutaqaddimina minal muhaddisin fi bahsil ahadis.. jazakallah

    divider3
    halaqahforum4

     

    Related Topics

      Subject / Started by Replies Last post
    4 Replies
    1492 Views
    Last post 22 July, 2007, 06:57:33 PM
    by mmas_forever1991
    16 Replies
    3616 Views
    Last post 26 October, 2009, 12:24:19 AM
    by mooks
    4 Replies
    1550 Views
    Last post 01 December, 2009, 02:12:16 PM
    by ana saifudeenah