Adam-adam Sebelum ADAM?

*

Author Topic: Adam-adam Sebelum ADAM?  (Read 3720 times)

0 Halaqian and 1 Guest are viewing this topic.

Sum79

  • *
  • Posts: 569
  • THE TRUTH IS OUT THERE!!
    • View Profile
25 October, 2010, 01:11:46 AM
  • Publish
  • “Tapi saya rasa lecturer saya dapat yakinkan saya bahawa Teori Evolusi itu ada benarnya. Rasa resah betul masa dalam kelas”, kata Nazri, salah seorang pelajar yang mengikuti kursus bersama saya. “Soalnya sekarang, apakah Teori Evolusi itu memang bertentangan dengan Islam? Apakah pendirian Islam terhadap Teori Darwin? 100% bertentangan atau bagaimana?”, saya bertanya kembali kepada beliau. [...]

       [/img]

    “Tapi saya rasa lecturer saya dapat yakinkan saya bahawa Teori Evolusi itu ada benarnya. Rasa resah betul masa dalam kelas”, kata Nazri, salah seorang pelajar yang mengikuti kursus bersama saya.

    “Soalnya sekarang, apakah Teori Evolusi itu memang bertentangan dengan Islam? Apakah pendirian Islam terhadap Teori Darwin? 100% bertentangan atau bagaimana?”, saya bertanya kembali kepada beliau.

    ”Hmm, bab ni susah nak jawab”, katanya.

    ”Ustaz rasa, cabaran sekarang ialah, kita tidak boleh pukul rata. Kita kena bezakan di antara Charles Darwin, Darwinism, Neo-Darwinism, Social-Darwinism dan Teori Evolusi itu sendiri”, saya sekadar memberi cadangan.

    Nazri mengangguk.

    ”Memang banyak bezanya. Tapi bila diterjemah kepada bahasa Melayu, semuanya dibakulkan jadi ’Teori Darwin’. Itu sahaja”, sambungnya.

    ”Itu masalahnya. Pada pandangan ustaz, sikap pukul rata penceramah-penceramah mencela Teori Darwin, akan mendatangkan masalah, khususnya kepada orang macam anta, yang ambil Biologi untuk peperiksaan A-Level. Ramai yang sangka Teori Darwin dan evolusinya…. 100% bertentangan dengan Islam”, saya meneruskan cerita.

    ”Hujah mereka mudah. Kalau percaya tentang Teori Darwin, maknanya kita percaya yang atuk nenek kita dulu ialah beruk! Itu sahaja”, Nazri menyokong.

    Kami sama-sama termenung. Ia bukan isu yang mudah.



    TEORI EVOLUSI ITU LUAS

    Kefahaman kita tentang teori evolusi bukanlah terhad kepada mahu menjawab soalan siapa / apa bapa kita. Ia juga bukan sekadar untuk mencela penjajahan Barat yang disandarkan kepada kepercayaan struggle of the fittest golongan Social Darwinist.

    Kebetulan di dalam kelas Muslim Historiography saya bersama Assoc. Prof. Dr. Ahmed Elyas Hussein, kami telah berbincang tentang persoalan yang lebih mendasar terhadap perlunya kepada pendirian yang betul terhadap Teori Evolusi ini, iaitu persoalan ”Permulaan Sejarah”.

    Ia membabitkan pengujian kita terhadap teori evolusi biologi dalam menjawab persoalan penciptaan Adam dan kehidupan di bumi sebelum Adam.

    Hal ini penting, untuk mengungkaikan keresahan kita apabila kemajuan kajian DNA, telah membantu saintis untuk menghitung kadar mutasi struktur hidupan. Kebolehan ini mengukuhkan lagi usia fosil yang ditemui dan ini mencabar kesimpulan simplistik kita terhadap ”Persoalan Sejarah” yang saya maksudkan tadi.

    Setakat ini, saintis telah mengesan kira-kira 15 spesis awal manusia. Tetapi sulit untuk dikategori dan ditentukan bagaimanakah hubungan di antara spesis ini dan bagaimanakah setiap satu spesis itu berakhir. Spesis seawal Australopithecine yang dianggarkan berusia 5 ke 2 juta tahun dahulu, membawa kepada spesis Neanderthal yang dianggarkan berusia 200,000 ke 24,000 tahun yang lalu, kesemuanya ini menimbulkan persoalan berkaitan penciptaan Adam, dan pendirian Islam terhadap evolusi itu sendiri. Apakah Adam itu hidup seawal era Australopithecine atau bagaimana?

    Saya mungkin tidak berkeahlian dalam membicarakan tentang hal ini, khususnya melalui saluran Biologi, namun saya ingin berkongsi dengan pembaca beberapa perkara yang boleh membantu pembaca membuat penilaian awal tentang hal ini.

    PANDANGAN ISLAM TERHADAP PENCIPTAAN MANUSIA

    Saya datangkan beberapa ayat al-Quran berkenaan dengan asal usul manusia:

    Firman Allah SWT di dalam al-Quran:



    Dia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar (Al-Rahmaan 55: 14)

    Lihat juga ayat-ayat di 22:5, 23:12, 30:20, 32:7, 37:11

    Allah SWT juga menyebut:

      [/img]

    Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (Al-Tin 95: 4)

    Mohamed Asad dalam menafsirkan ayat ini mengatakan bahawa: Allah SWT telah menciptakan manusia di dalam bentuk yang paling sempurna dan dikurniakan kualiti-kualiti yang positif pada fizikal dan mentalnya sesuai dengan tujuan yang perlu dilaksanakan oleh makhluk yang diciptakan ini.

    Lihat juga ayat-ayat di 8:2 dan 7:8

    Allah SWT turut menjelaskan di dalam al-Quran bahawa seluruh manusia adalah dari keturunan Adam. Firman-Nya:

      [/img]

    Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. (Al-Nisaa’ 4: 1)

    Dan manusia itu diciptakan Allah dengan maksud menjadikan mereka Khalifah di muka bumi:

       [/img]

    Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya” (Al-Baqarah 2: 30)

    PANDANGAN ULAMA ISLAM YANG AWAL

    Di dalam sejarah Islam, tumpuan kita adalah pada melihat sejauh mana umat melaksanakan peraturan Allah, sebagai mekanisma jatuh dan bangunnya tamadun. Oleh kerana tumpuannya begitu, maka kadang-kadang kita terlepas pandang kepada pandangan para ulama’ terhadap persoalan-persoalan ‘pra-sejarah’ ini.

    Sebagaimana teori evolusi mempunyai akar falsafah yang melunjur hingga ke era Ancient Greek dan Roman serta agama, maka ia turut menjadi bahan ulama Islam mencari jawapan kepada persoalan pra-sejarah ini. Namun terasnya adalah bersandarkan kepada ayat-ayat al-Quran yang telah memiliki pendirian yang tersendiri mengenainya. Walaupun ulama Islam memanfaatkan sumber yang ada di sekitar mereka, tetapi prinsip-prinsip al-Quran tetap menjadi teras utama kepada mereka.

    Lihat sahaja buku Akhbar al-Zaman oleh al-Mas’oudi, sebelum memperkatakan tentang Adam dan generasi selepasnya, Al-Mas’oudi meletakkan bab “Penjelasan Tentang Umur Dunia, “Penjelasan Tentang Umat-umat Sebelum Adam”, Penjelasan Tentang “Jin dan Jenis-jenis dan Qabilah Mereka”, “Penjelasan Tentang Bumi Dan Apa Yang Ada Padanya”, “Penjelasan Tentang Laut Yang Meliputi (Al-Bahr al-Muhi?) dan Perkara-perkara Ajaib yang Ada di Dalamnya” dan sebagainya.

    Al-Mas’oudi menjelaskan bahawa terdapat 28 umat yang telah dicipta di muka bumi sebelum Adam. Mereka terdiri daripada flora dan fauna serta Ummah yang agak menyerupai Bani Adam. Umat ini bercampur dan berinteraksi hingga membawa kepada berkembangnya mereka kepada 120 umat.

    Al-Thabari juga menyatakan di dalam Tafsirnya bahawa kesemua hidupan diciptakan sebelum penciptaan Adam.

    Al-Maqdisi menjelaskan bahawa terdapat 3 Umat yang utama di dunia sebelum Adam iaitu dua daripadanya terdiri daripada kaum Jin. Manakala kaum yang ketiga adalah golongan yang berbeza dari Jin kerana mereka ini berdaging dan berdarah. Golongan ketiga ini adalah mereka yang dimaksudkan sebagai “man yufsidu feehaa wa yasfiku al-dimaa’: golongan yang membuat kerosakan dan menumpahkan darah” seperti yang diulas oleh Malaikat di dalam ayat al-Quran 2: 30.

    Ulasan-ulasan al-Mas’oudi ini memperlihatkan bahawa persoalan tentang hal ehwal pra-sejarah telah pun dibahaskan oleh para Ulama’ jauh sebelum munculnya di Eropah, debat evolusi pada kurun mutakhir ini. Ulama Islam sudah menyentuh bidang ini 10 kurun sebelum ia diperkatakan di Eropah.

    Persoalan ini penting di sisi ilmuan Islam, untuk membina dan menstrukturkan World History pada perspektif Islam. Mereka melihat persoalan Tuhan, manusia dan alam, sebagai subjek yang tidak boleh dipisahkan. Di atas prinsip itu, persoalan sejarah tidak sewenang-wenangnya bermula hanya dengan penciptaan Adam, tetapi era Pra-Adam turut diambil kira.

    Inilah yang mengagumkan saya. Sekian lama saya terlepas pandang terhadap perhatian yang diberikan oleh Ulama’ seawal kurun ke-10M terhadap isu ini. Keprihatinan mereka menunjukkan bahawa subjek ini berharga untuk diberikan perhatian.

    ‘ADAM’ SEBELUM ADAM

    Berkenaan dengan penciptaan Adam, majoriti ulama Islam percaya bahawa Adam dan Hawa telah dicipta dengan lengkap di Syurga. Mereka kemudiannya dihantar ke bumi selepas memakan buah yang terlarang. Keturunan mereka mengisi populasi bumi dan memulakan sejarah manusia.

    Akan tetapi Allah SWT tidak menjelaskan di dalam al-Quran bagaimanakah Adam itu dicipta. Adakah dia dicipta secara berperingkat atau dengan satu proses sahaja? Sebahagian ahli Tafsir mendatangkan pandangan bahawa ketika Allah SWT mencipta Adam, tubuh Adam itu dibiarkan selama 40 tahun sebelum ditiupkan ke dalamnya roh. Di sini kita boleh melihat dengan jelas pengaruh tradisi Ancient Persian terhadap tafsiran berkenaan.

    Terdapat juga sebahagian daripada ulama Islam yang menjelaskan bahawa Adam bukanlah manusia pertama yang dicipta di muka bumi. Mereka berpandangan bahawa ratusan ribu ‘Adam’ telah wujud sebelum Adam bapa kita. Setiap satu ‘Adam’ itu telah mempunyai keturunan dan kehidupannya, mereka telah musnah sepenuhnya dan digantikan dengan ‘Adam’ yang berikutnya sehinggalah tiba kepada Adam, bapa kita. Adam bapa kita, dianggap sebagai pusingan terakhir siri ‘Adam’ di muka bumi.

    Ada juga ulama yang berpendapat bahawa Adam dan Hawa dicipta bukan di Syurga tetapi di muka bumi dan daripada bumi.

    (Lihat al-Maqdisi: Al-Bad’ wa al-Tarikh dan Ibn al-‘Arabi: al-Futuhat al-Makkiyyah)

    Ikhwan al-Safa juga ada menghuraikan tentang hal ini. Mereka menyatakan bahawa semua haiwan dicipta dari tanah liat kering dan membiak di kawasan Khatulistiwa yang tidak terganggu oleh perubahan cuaca yang ektrim. Hal ini memberi ruang kepada pembiakan. Di dalam suasana inilah Adam tercipta (takawwana). Ikhwan al-Safa juga berpendapat bahawa Adam dan Hawa hidup di peringkat pertama kehidupan mereka di bumi (Rasaa’il Ikhwan al-Safa, jilid muka surat 181, 229. Ada kemungkinan konsep ini diambil dari Bible kerana di dalam Bible, Syurga itu adalah Garden of Eden di mana Adam dan Hawa hidup dalam keadaan yang suci)

    ISU LEKEH?

    Mungkin isu-isu di atas dipandang remeh oleh sesetengah kita. Ia mungkin dengan mudah dilabel sebagai khurafat, mangsa Israiliyyat, dongengan dan sebagainya. Namun, perlu diingatkan bahawa bukanlah kesahihan fakta itu yang menjadi keutamaan. Saya tegaskan begini kerana sama ada ia dilihat dari tafsiran kepada teks agama, atau pun kepada pencapaian sains itu sendiri, persoalan-persoalan ini masih dibanjiri oleh hipotesis. Malah jangan lupa kepada ingatan Allah bahawa “AKU MENGETAHUI APA YANG TIDAK KAMU KETAHUI”.

    Pengetahuan kita ada batas-batasnya.

    Namun apa yang menjadi keutamaan kita ialah, persoalan idea berkaitan dengan evolusi biologi, dan adanya idea tentang berkemungkinan wujudnya kehidupan dan ‘adam’ lain sebelum penciptaan Adam, mempunyai ruang untuk ia dikaji oleh Muslim. Ini akan menghindarkan pelajar Sains daripada dibelenggu rasa bersalah yang tidak perlu. Semata-mata kerana menyangkakan bahawa evolusi menyalahi Islam.

    Walhal, prinsip-prinsip evolusi sudah pun ada di fikiran ahli sejarah Muslim seawal kurun ke-10M. Jika ia diterima sebagai subjek yang berharga untuk dikaji oleh umat Islam, mengapa pula hari ini kita mengambil pendirian mudah bahawa ruang perbincangan mengenai hal ini sudah terkunci. Evolusi bertentangan dengan Islam, 100%!

    Apa yang membimbangkan saya ialah, sikap orang agama terhadap isu-isu seperti ini akan menimbulkan masalah sebagaimana pemuka agama Kristian yang sombong, telah membiakkan manusia sains yang menjauhi agama. Soal agama mereka betul atau salah, tidak sempat untuk dibicarakan kerana sikap sombong dan simplistic minded mereka telah menyebabkan agama tidak lagi dilihat sebagai sumber kebenaran.

    Manusia beralih kepada sains kerana muak dengan kelakuan orang agama yang jumud.

    THE DIVINE EVOLUTION

    Di Barat sendiri, sebahagian pengkaji cuba untuk mengharmonikan evolusi dengan ajaran agama. Walaupun ahli teologi dan gereja teguh dalam menolak evolusi, namun tetap ada sebahagian mereka yang menerima undang-undang dan proses alam semulajadi, tanpa menafikan proses penciptaan oleh Tuhan. Mereka mempercayai bahawa Tuhan berada ‘di sebalik’ proses evolusi di dalam kehidupan alam ini dan manusia berada di hujung proses evolusi ini.

    Penjelasan sebegini disebut sebagai ‘the Divine Evolution’.

    Ada juga sebahagian pemimpin di gereja yang mengiktiraf ketidak sempurnaan teks Holy Book dan menganggap teori evolusi biologi sebagai bersesuaian dengan aqidah agama Kristian.(Lihat Maurice Bucaille, What is the Origin of Man? The Answers of Science and the Holy Scripture)

    Semakan dari semasa ke semasa perlu dibuat juga oleh kita umat Islam.

    Muhammad Iqbal dan beberapa tokoh yang lain, menerima idea evolusi Biologi. Namun, Iqbal menjelaskan bahawa evolusi hanya membabitkan perkembangan fizikal manusia. Ia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan dimensi non fizikal atau spiritual manusia. (Lihat Muhammad Iqbal, The Reconstruction of Religious Thought in Islam).

    Isu ini akan membabitkan pendirian Islam terhadap penemuan fosil, hal-hal yang berkaitan dengan kesahihan persepsi bahawa kehidupan manusia bermula dalam keadaan yang primitif, isu banjir besar serta hal Ya’juj dan Ma’juj.

    Di Amerika Syarikat, saintis genetik dan paleontologis di akhir kurun ke 20, selepas mengkaji ribuan fosil purba, menyokong teori mtEve yang mencadangkan bahawa keturunan manusia ini bermula dari satu lelaki dan satu perempuan. Penerimaan ini membuka laluan kepada mereka untuk berpihak kepada agama dan seterusnya mula mengemukakan hipotesis tentang Kapal Nuh dan Garden of Eden.

    Jika umat Islam mengambil jalan mudah dengan mengatakan semua ini mengarut, maka lebih mudahlah Islam akan dianggap mengarut, apabila gagal berinteraksi dengan pencapaian sains dan teknologi genetik hari ini.

    Saya bimbang dengan jumlah anggota masyarakat kita yang menarik diri dari masyarakat dan memencilkan diri kerana tertekan dengan trend perdana yang selesa dengan anggapan bahawa sains dan agama itu saling bertentangan.

    Mudah-mudahan dengan perkongsian maklumat ini akan dapat membuktikan kepada pembaca, betapa ulama, ahli sains dan ahli sejarah saling memerlukan di antara satu sama lain untuk lebih memahami agama, Allah SWT, manusia dan alam sejagat.

    Jangan kita mangsakan Islam dan Muslim oleh sembang simplistik yang merugikan itu.

    =============================

    ARTIKEL INI SAYA TULIS UNTUK MEREKA YANG SUDAH BIASA DENGAN SUBJEK-SUBJEK YANG DIBINCANGKAN. PERSPEKTIF SEJARAH DARWINISM, ILMU SAINS BIOLOGI DAN KEJURUTERAAN GENETIK DAN SERBA SEDIKIT PENDEDAHAN KEPADA ILMU SEJARAH DI KALANGAN ILMUAN ISLAM YANG AWAL. JIKA ANDA KELIRU DENGAN MANA-MANA ISTILAH, MANFAATKAN WIKIPEDIA. TERIMA KASIH.

    =============================

    ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com
    56000 Kuala Lumpur
    "It's better to be hated for what you are, than to be loved for what you're not..." - Kurt Cobain

    indiE

    • *
    • Posts: 24
      • View Profile
    Reply #1 25 October, 2010, 02:10:40 AM
  • Publish
  • Dalam Asma ul Husna juga ada menyebut :

    Al Bari' = Maha Perancang (The Rightful) dan
    Al Musawwir = Maha Membentuk (The Evolver)

    sains dan agama amat bergantung satu sama lain, namun perkara itu masih lagi ada pihak yang tidak bersetuju. Mereka ingin mencari tujuan manusia hidup di dunia ini dan bagaimana manusia terhasil menurut saintifik. Ahli-ahli fizik membincangkan asal usul kehidupan dan mencari makna kehidupan dengan menolak ajaran agama. Science vs religion. The seen and the unseen. Sila luangkan masa tonton video ini :
    What the bleep do we know? Down the rabbit hole. part 1

    Segala yang baik itu kita ambil, yang bertentangan itu kita jauhkan . . .
    Wallahualam

    akmalshirou

    • *
    • Posts: 410
    • The past should give us hopes.
      • View Profile
    Reply #2 10 February, 2011, 01:39:03 PM
  • Publish
  • Isu agama vs evolusi ini bukanlah isu yang baru ditimbulkan oleh muslim, sebaliknya perkara ini boleh dikatakan muncul sejak awal kemunculan teori evolusi itu sendiri.

    Perkara ini pertama-tama sekali muncul dalam kalangan pendeta dan cendekiawan Kristian. Kenapa eah?


    Hal ini demikian kerana pada awalnya, isu evolusi ini merupakan ancaman kepada agama kristian itu sendiri.

    Antara basis atau prinsip paling asas dalam agama kristian, adalah prinsip Dosa Warisan. Iaitu dosa yang dilakukan Adam dan Eve di Garden of Eden, yang membuatkan mereka dibuang ke atas bumi. Dosa ini lah diwarisi oleh setiap manusia yang lahir. Kemudian penyaliban Jesus Christ merupakan lambang pembebasan dan penebusan dosa warisan ke atas semua umat manusia di dunia ini. Oleh sebab itulah, manusia perlu mengikut Jesus Christ, yang dianggap sebagai Saviour. Itulah asas agama kristian.


    Namun apabila teori evolusi ini diperkenalkan, ia membawa paradigma blasphemy, iaitu - "Jika Evolusi itu benar, maka Adam tidak dicipta di Garden of Eden". Jika Adam tidak berada di Garden of Eden, maka maksudnya kisah dosa yang dilakukan Adam dan Eve itu tidak benar. Maksudnya, tidak wujud dosa warisan. Maksudnya, penyaliban Jesus Christ adalah sia-sia. Pendek kata, evolusi menggegarkan dan meretakkan tunjang utama agama kristian - The Original Sin!

    Atas sebab itulah, ketika awal-awal teori evolusi ini dibicarakan, terdapat golongan pendeta dan cendekiawan Kristian yang cukup menentang idea ini. Mereka membawakan dalil-dalil dan hujah-hujah mereka yang digunakan untuk menumpaskan pandangan mengenai evolusi. Bukannya bertujuan demi kebenaran ilmu, tetapi bagi memenangkan agama mereka.

    Namun, yang kesalnya, turut terdapat cendekiawan Islam yang terikut-ikut dalam konflik ini.Hal ini demikian kerana adanya sedikit persamaan antara Islam dan Kristian, contohnya seperti mengenai asal usul manusia. Hal ini juga berkemungkinan merupakan satu taktik para cendekiawan dan pendeta Kristian ini, bagi menampakkan seolah-olah Evolusi ini merupakan MUSUH KEPADA AGAMA. Akhirnya muncullah cendekiawan seperti Harun Yahya, contohnya, yang banyak mencedok dan menggunakan dalil dan hujah para cendekiawan Kristian ini dalam penolakannya terhadap evolusi. Cuma sekadar diselitkan ayat-ayat alQuran bagi menampakkan keIslamannya sahaja.

    Bagaimana keadaannya sekarang?

    Masyarakat kristian, sudah semakin terbuka mengenai evolusi. Pertembungan antara creationist dan evolutionist, kini tidak lagi menjadi sengketa. Intelligent Design (ID), mengharmonikan antara keduanya. Tak lama dahulu, even Pope sendiri dah isytiharkan, seseorang itu boleh menjadi Kristian dan dalam masa yang sama percayakan evolusi. Malah terdapat pengkajian mengenai evolusi bagi membuktikan Adam dan Eve itulah common ancestor bagi semua manusia, kononnya untuk membuktikan kebenaran Bible.

    Battle ini sudahpun tamat bagi orang kristian. Mereka dah boleh fokus kepada bagaimana memanfaatkan pengkajian mengenai evolusi, dan sudah banyak penemuan-penemuan teknologi yang dijumpai. Cuma kita orang Islam sahaja yang masih tak habis-habis "berperang" dengan evolusi. Kenapa perlu kita berperang dengan evolusi? Dosa Warisan bukannya tiang agama kita. It's not our battle in the first place to begin with!


    Evolusi perlu dinilai dari sudut agama, itu betul, kerana jika kita memisahkan evolusi dan agama maka jadilah sekular.

    Namun peranan agama adalah sebagai GUIDELINE agar manusia tidak melanggar batas-batas dalam pengkajian.

    Social Darwinism, contohnya, membawa idea bahawa ada kemungkinan sesetengah bangsa berevolusi menjadi bangsa yang lebih baik berbanding bangsa-bangsa lain. Aplikasinya, seperti tindakan Nazi membunuh bangsa Yahudi dan bangsa-bangsa lain ketika Holocaust, atas tujuan racial cleansing. Begitu juga di zaman moden sekarang, sudah ada wild debate over the idea of eugenic, euthanasia dan sebagainya. Bangsa yang superior mempunyai hak ke atas bangsa yang inferior. Tentulah, idea ini bertentangan dengan idea Islam, justeru idea ini tertolak.

    Begitu juga direction pengkajian yang bertujuan menafikan kewujudan Tuhan. Kita juga menolak direction ini. Sama seperti Firaun yang ingin membina menara untuk melihat Tuhan Musa. Membina menara itu tidak salah, tetapi bertujuan untuk mempersoalkan Tuhan, itu yang salah. Begitulah juga dengan pengkajian mengenai evolusi. Evolusi sebagai alat, dan niat memainkan peranan yang penting. Saya sendiri, apabila membaca mengenai evolusi, bertambah-tambah kekaguman saya terhadap kebijaksanaan Allah dan keagungan ciptaanNya di muka bumi ini. Jom teruskan pengembaraan...


    Kita percaya yang Allah itu Maha Pencipta.

    Dan kita juga percaya evolusi, sama seperti Fizik, Kimia, Biologi dan bidang-bidang sains yang lain.
    Akidah kita, Allah Yang Maha Menjadikan Sesuatu, Tiada Yang Terjadi Melainkan Hanya Dengan IzinNya.
    Pegangan kita, Nabi Adam itu dijadikan sendiri oleh Allah, daripada tanah, di Syurga, diturunkan ke bumi.

    Apa yang kita percaya dalam evolusi?

    Kita percaya, semua kehidupan termasuk manusia sedang mengalami perubahan dari generasi ke generasi.
    Kita percaya, perbezaan antara unta yang ada bonggol dengan lembu yang tiada bonggol adalah disebabkan evolusi.
    Kita percaya, hidupan sekarang dengan hidupan jutaan tahun lampau adalah berbeza, disebabkan pengaruh evolusi.
    Kita percaya, kulit manusia Caucasian dan manusia African itu berbeza warna, disebabkan evolusi.
    Kita percaya, evolusi memainkan peranan yang penting dalam memastikan kemandirian spesis kita.

    Adakah kita percayakan evolusi? Ya.
    Adakah kita menyokong Darwinism?
    Kerana kalau yang mencetuskan idea evolusi itu bernama Ahmad, maka kita akan menyokong Ahmadism.
    Kerana kalau yang mencetuskan idea evolusi itu bernama Chong, maka saya akan menyokong Chongism.
    Kerana kalau yang mencetuskan idea evolusi itu bernama Raju, maka saya akan menyokong Rajuism.
    Rejection kita, bukannya atas "siapa yang cakap".
    Kita takkan reject semata-mata kerana Harun Yahya reject.
    Kita takkan reject semata-mata kerana The Arrival reject.
    Kita takkan reject semata-mata kerana ustaz sekolah saya yang reject.
    Kita ada mata yang Allah kurniakan untuk kita membaca dan mengkaji.
    Kita ada otak yang Allah kurniakan untuk kita berfikir dan memahami.
    Kenapa perlu kita kufur nikmat keduanya dengan bertaqlid buta?

    Bertaqlid buta kepada Harun Yahya yang diragui akidahnya?
    Bertaqlid buta kepada The Arrival yang mencampuradukkan agama, serta jelas pengaruh syiahnya?

    Come onlah...

    Habis, apa yang kita tolak?

    Kita menolak konsep Social Darwinism. Dalilnya, surah Hujurat ayat 13. Dalilnya, hadis "Tiada kelebihan bagi Arab mengatasi bukan Arab dan tiada ( kelebihan ) bukan Arab mengatasi Arab dan demikian tiada (kelebihan) sikulit hitam mengatasi sikulit merah dan tiada (kelebihan) sikulit merah mengatasi sikulit hitam kecuali dengan taqwa" (HR Bukhari). Konsep ini bertentangan dengan Islam, maka kita menolaknya.

    Kita menolak Pithecometra principle, sama ada oleh Darwin mahupun oleh rakan sekerjanya Haeckel. Dalilnya, Surah Rahman ayat 14. Allah dah sebut dengan jelas, "min salsaalin kal faqqhar". Dengan menyamakan manusia itu adalah Nabi Adam (insaan dalam ayat tersebut), maka saya menolak bahawa manusia itu berasal dari beruk. Prinsip ini bertentangan dengan Islam, maka kita menolaknya.

    Kita menolak evolusi sebagai Scientism. Dalilnya, surah 3 ayat 19. Masakan mungkin evolusi dijadikan sebagai agama. Hal ini demikian kerana bagi saya, evolusi itu sama seperti fizik, kimia, biologi dan bidang-bidang sains yang lain, dan tentunya sains itu bukan agama. Kita beriman dengan sains selaku SUNNATULLAH, sebagai Hukum Alam, ketetapan yang Allah tentukan di atas muka bumi ini. Bagi saya, menolak SAINS, menolak evolusi, bermaksud menafikan ciptaan Allah dimuka bumi ini. Nauzubillah. Lagi satu sama sekali kita tidak menjadikan sains sebagai syariat, dan sama sekali perkara sunnatullah itu sama dengan syariatullah. Ideologi ini bertentangan dengan Islam, maka kita menolaknya.


    Harun Yahya menolak evolusi kerana bagi beliau, evolusi menidakkan peranan tuhan. Sepanjang pengajian yang saya tahu, prinsip Natural Selection itu yang menjadi masalah menidakkan Tuhan, kerana Natural Selection dikatakan berlaku dengan sendirinya, sama ada dengan genetic pressure dan lain-lain. Saya kata, so what? Saya tak tahu orang lain bagaimana, tapi bila saya sebut "Natural Selection", saya memahaminya sebagai "Allah's selection". Bila kita sebut "alam semulajadi", kita menyedari bahawa "semulajadi" tu bermaksud dengan kuasa Allah.

    Jadi apa masalahnya dengan Natural Selection? Kita panaskan air dengan api, air tu mendidih. Adakah kalau kita kata "api menyebabkan air mendidih", kita menafikan bahawa Allah lah yang menjadikan air tu mendidih? Tidak. Siapa yang takdirkan api itu boleh mendidihkan air, kalau bukan Allah? Begitulah juga, siapa yang mentakdirkan natural selection menyebabkan evolusi itu berlaku kalau bukan Allah? Allah mampu tak mendidihkan air tanpa api? Tentu sekali Dia mampu. Allah mampu tak jadikan manusia tanpa mematuhi evolusi? Tentu sekali Dia mampu. Tetapi ia tidak menolak sunnatullah di muka bumi ini, bahawasanya api itu sifatnya panas mendidihkan air, dan evolusi itu sifatnya menyebabkan perubahan ke atas hidupan di muka bumi ini.

    So apa masalahnya?

    Sesetengah orang menolak evolusi, kerana beranggapan kalau percaya evolusi, maka seolah-olah mengakui bahawa manusia itu dari beruk. Itu bukan evolusi, itu prinsip Pithecometra yang dicadangkan oleh Darwin dan Haeckle. Perkara itu bukan asas evolusi, malah perkara itu sama sekali tidak mendefinisikan evolusi. Masyarakat barat, memahami "evolution" dalam definisi yang sebenarnya, perubahan biology sesuatu dari generasi ke generasi. Orang kita je yang bila sebut evolusi, faham "manusia dari beruk".

    Anda faham tak apa yang dimaksudkan dengan evolusi itu?
    Anda sedar tak, evolusi itu sendiri satu cabang sains yang SEDANG BERKEMBANG, sebagaimana pengkajian fizik, astronomi, biologi dan lain-lain?

    Maka, kenapa anda berlagak Tuhan apabila sebut evolusi maka terus tolak 100%, seolah-olah anda dah tahu segalanya mengenai evolusi? Tak ingatkah pesan Allah dalam surah Hujurat ayat 1?

    Hakikatnya, sejak penemuan asal teori Evolusi hingga sekarang, tak sampai pun 1000 tahun. Saintis sendiri pun tak habis mengkaji lagi. Secara perbandingan, Nabi Nuh pun hidup 1000 tahun, siapa boleh buktikan yang kaum Nabi Nuh tak pernah terfikir pasal Evolusi?

    Firaun dan Haman nak guna ilmu architecture dan engineering untuk bina menara sebab nak melihat Tuhan Nabi Musa. Bolehkah saya katakan bidang architecture dan construction engineering itu sesat dan haram?


    Bidang pengkajian Sejarah Bumi itu sangat terbuka kepada assumption. Walaupun berasas, assumption tetap assumption. Samalah kalau kita kata "epal jatuh disebabkan gravity", tentulah kita assumption saja gravity, kerana kita tak pernah melihat dengan kepala saya sendiri gravity. Saintis sendiri tak tahu 100% lagi pasal gravity. Partikel Graviton itu sendiri masih hypothetical.

    Atas sebab itu, even saya sendiri pun malas nak sakit kepala fikir mengenai Sejarah Bumi. "Apa yang boleh kita buat dengan bidang evolusi"

    Jika mengkaji mengenai evolusi dapat menghasilkan spesis padi yang boleh dituai 10 kali setahun, maka perkara dapat menyelesaikan krisis kebuluran sedunia.

    Jika mengkaji mengenai evolusi dapat menghasilkan lembu yang mengeluarkan 4 kali ganda kuantiti susu, maka tentu perkara ini bermanfaat.

    Jika mengkaji mengenai evolusi dapat menghasilkan sel yang boleh mengeluarkan insulin dengan sendirinya, maka dapatlah mengubat penyakit kencing manis.

    Jika mengkaji mengenai evolusi dapat menghasilkan antibiotik yang tak akan ada resistant oleh bakteria, maka berjuta-juta manusia dapat diselamatkan daripada mati disebabkan penyakit TB.

    Yang pastinya, saya percaya, evolusi dan genetik merupakan kunci kepada dunia masa hadapan. Jika umat Islam sendiri masih gagal memahami dan mengaplikasi apa yang dimaksudkan dengan evolusi, maka percayalah cakap saya, kita akan terus-terusan berada di belakang Yahudi, Nasrani dan Atheis dalam bidang teknologi kelak.

    Evolusi tidak bermanfaat? Mungkin bagi anda. Saya percaya, 1000 tahun dulu kalau ada orang mengkaji mengenai magnet, nescaya dia ditohmah dengan sesat, khurafat, sia-sia dan sebagainya. Tetapi hakikatnya, dengan magnet lah kita sekarang ada kompas, boleh menentukan arah kiblat. Dengan magnet lah, boleh buat janakuasa elektrik. Orang tuduh Edison itu gila bila dia sampai guna rambut sendiri untuk jadikan mentol, tetapi mentol lah yang menerangi kita setiap malam hari ini. Bodoh dan sia-sia lah Edward Jenner yang sanggup menyuntik anak tukang kebunnya dengan virus Smallpox, namun kerana perbuatan "sia-sia" dia itulah yang menghasilkan vaksin yang kita semua dapat sejak dari kecik tu.

    Apapun, ini adalah personal statement dari saya. Kebanyakan perbincangan mengenai evolusi dalam masyarakat kita (Melayu Muslim khususnya) bukannya perbincangan untuk mencapai kefahaman, tetapi perbincangan untuk mencapai kemenangan. Tidak ada penghargaan terhadap ilmu. Tidak ada usaha untuk memahami, hanya ada usaha untuk menghukumi. Perkara ini langsung tidak bertepatan dengan tujuan artikel "Adam-Adam Sebelum Adam" tulisan Ustaz Hasrizal tersebut.

    Wallahualam...
    "We pray for our sorrow to end and hopes for our hearts will blend.And who knows, starting a new journey may not be so hard or its already begun"

    al_ahibbatu

    • *
    • Posts: 4856
      • View Profile
    Reply #3 11 September, 2013, 11:47:09 AM
  • Publish
  • Allahu berkata, Dia menciptakan dalam 6 masa

    Allahu berkata, Akulah masa

    pada Allah tiada masa, dalam syurga ada masa ke idak?

    subhanallah,

    tak terhitung nikmat Allah pada kita

    subhanallah

    FarisFairuz

    • *
    • Posts: 41
      • View Profile
    Reply #4 11 September, 2013, 03:34:29 PM
  • Publish
  • Allahu berkata, Dia menciptakan dalam 6 masa

    Allahu berkata, Akulah masa

    pada Allah tiada masa, dalam syurga ada masa ke idak?

    subhanallah,

    tak terhitung nikmat Allah pada kita

    subhanallah




    Salam.

    1. Apa dia 6 masa tu boleh senaraikan satu persatu...Masa 1 hingga  masa ke 6??
    2. Sesungguhnya Allah itu Maha berkuasa dan Maha Bijaksana boleh menciptakan langit dan bumi lebih cepat dari sekelip mata.
        Tapi Allah menyatakan yang Dianya menciptakan langit dan bumi dalam 6 masa. Mesti ada sebabnya dan hikmahnya 6 masa ini.
        Agaknya apa sebabnya dan hikmahnya? Boleh jelaskan dan kupaskan?


    al_ahibbatu

    • *
    • Posts: 4856
      • View Profile
    Reply #5 11 September, 2013, 03:58:31 PM
  • Publish
  • Sekiranya AKU lah masa

    apa maksudnya aku ciptakan dalam 6 masa

    bagi saya, hanyalah 6 kali KUN

    setiap kali mahukan, hanya KUN, Fayakun

    inshallah ya,
     Allahu menciptakan setiap sesuatu
    segala galanya

    FarisFairuz

    • *
    • Posts: 41
      • View Profile
    Reply #6 11 September, 2013, 04:09:45 PM
  • Publish
  • Terima kasih Tok Batu di atas jawaban....

    Ada yang jawab 6 sisi...
    Ada yang jawab 6 kun...

    Itu pendapat masing2lah.....

    divider3
    halaqahforum4

     

    Related Topics

      Subject / Started by Replies Last post
    12 Replies
    2859 Views
    Last post 09 September, 2012, 12:03:51 AM
    by al_ahibbatu
    Wahai Adam...

    Started by najwa_hamali « 1 2 » Muslim

    34 Replies
    7629 Views
    Last post 15 December, 2010, 06:26:51 PM
    by mine
    6 Replies
    3110 Views
    Last post 19 June, 2010, 09:18:48 PM
    by baby_whiterose