IBN KHALDUN

Author Topic: IBN KHALDUN  (Read 7096 times)

0 Halaqian and 1 Guest are viewing this topic.

lilin

  • *
  • Posts: 53
    • View Profile
08 May, 2010, 07:08:54 PM
  • Publish Di FB
  • TAJUK BUKU      : IBN KHALDUN : PEMIKIRAN IBN KHALDUN & RELEVANSINYA DALAM TAMADUN KONTEMPORARI

    DISUNTING OLEH   : AZIZAN BAHARUDDIN, ZAID AHMAD, NURDENG DEURASEH, SRI RAHAYU ISMAIL, HASLINDA ABDULLAH

    PENERBIT      : PUSAT DIALOG PERADABAN UNIVERSITI MALAYA, KUALA LUMPUR & JABATAN PENGAJIAN KENEGARAAN DAN KETAMADUNAN         UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, SELANGOR
       
          
    Pengenalan

       Buku ini adalah kompilasi kertas kerja yang telah dibentangkan pada Seminar Kebangsaan Memperingati 600 Tahun Ibn Khaldun : Pemikiran Ibn Khaldun dan Relevansinya Dalam Tamadun Kontemporari. Seminar ini adalah anjuran bersama Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya dan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia. Pemikiran Ibn Khaldun digarap dan ditelaah oleh para sarjana bagi melihat kerelevanannya dengan cabaran-cabaran baharu yang sedang dihadapi oleh umat manusia kini.

       Di dalam buku ini, pemikiran Ibn Khaldun dalam ilmu pendidikan, sains, ekonomi, sosio politik, masyarakat, pembangunan dan perubahan sosial telah dikupas. Seterusnya kerelevanannya pemikiran beliau dengan keadaan masa kini dihuraikan oleh pembentang-pembentang kertas kerja di dalam Seminar ini.

    Rumusan Buku

       Ibn Khaldun atau nama sebenarnya Abu Zaid Abdul Rahman Bin Khaldun dilahirkan di Tunis pada 27 Mei tahun 1332. Beliau terkenal sebagai seorang cendiakawan dan tokoh ilmuwan melalui karyanya yang masyhur iaitu Muqaddimah. Buku ini telah diterjemahkan oleh Frantz Rosenthal ke dalam Bahasa Inggeris dan diterbitkan dalam tiga jilid. Jilid Pertama menghuraikan tentang pensejarahan dan faktor-faktor naik turunnya sesebuah Kerajaan. Jilid Kedua adalah mengenai ekonomi, kerajaan dan jenis-jenis ilmu pengetahuan serta pekerjaan yang wujud di dalam masyarakat Afrika Utara ketika itu. Jilid Ketiga adalah mengenai hal-hal keagamaan. Pandangan Ibn Khaldun dikagumi tokoh-tokoh sejarah dunia seperti Bernard Lewis, Arnold Toynbee, P.K.Haiti, Kofi Annan dan lain-lain.
       
       Antara yang menarik di dalam buku ini adalah Legasi Pemikiran Ibn Khaldun dalam Bidang Pendidikan. Menurut beliau, terdapat 10 perkara penting yang perlu diketengahkan dalam menghasilkan satu pendidikan yang berkesan. Antara yang disarankan ialah tentang aspek berfikir sebagai satu cabang pendidikan. Hindari pelajar dari sikap meniru semata-mata. Dalam proses pembelajaran, perkara yang mudah perlu didahulukan dan dipastikan bahawa mereka memahami sepenuhnya sebelum berpindah ke suatu perkara yang lebih sukar. Pelajar tidak boleh dipaksa untuk menghafal di mana ini akan menghilangkan kreativiti dan mengakibatkan kejumudan fikiran. Seterusnya, subjek yang diajar perlu ada kesinambungan antara yang satu dengan yang lain dan dua subjek yang berlainan tidak boleh diajar secara serentak demi memastikan satu-satu subjek benar-benar difahami. Menurut Ibn Khaldun lagi, kecenderungan meringkaskan teks sehingga hilang fakta-fakta penting menjadikan matlamat sebenar penyampaian ilmu terbantut. Pelajar perlu dilayan dengan penuh hikmah dan tindakan secara tegas perlu dielakkan kerana memberi kesan yang negatif dalam diri pelajar. Tanggungjawab seorang guru bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi juga harus mempamirkan akhlak yang terpuji. Para sarjana pula digalakkan untuk mengembara dan menghadiri majlis-majlis ilmu di luar negara. Pendidikan perlulah sesuatu yang praktikal dan ilmu yang disampaikan perlu kepada rasional akal fikiran terutama yang berkaitan dengan sejarah dan peristiwa-peristiwa kemasyarakatan. Akhir sekali di dalam bukunya tentang pendidikan ialah dalam mempelajari sains, kemahiran amat diperlukan.

       Satu bab yang menarik adalah mengenai kupasan Ibn Khaldun Terhadap Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Lima perkara penting yang diketengahkan oleh beliau yang paling utama adalah penyediaan pendidikan agama iaitu pengajaran Al-Quran, penyediaan teknik pengajaran yang berkesan, penyediaan pendidikan akhlak, penyediaan pendidikan psikologi dan penyediaan pendidikan sosial. Ibn Khaldun telah menekankan bahawa anak-anak di peringkat awal haruslah didedahkan dengan pengajaran Al-Quran. Ini kerana selain dapat memperkukuhkan aqidah dan keimanan, ia juga dapat membentuk malakah (bererti bakat atau tabiat manusia). Ibn Khaldun telah mengembara ke merata tempat dan melihat pelbagai teknik telah digunakan untuk mengajar anak-anak. Pada akhir fasal ke 40 Muqaddimah, Ibn Khaldun menyatakan teknik yang terbaik adalah teknik yang diarahkan oleh Khalifah Al-Rasyid kepada Khalifah Al-Ahmar yang diamanahkan mendidik anaknya Muhammad Al-Amin.

       Antaranya adalah tegahan mengajar dua disiplin ilmu secara sekaligus dalam satu waktu kecuali terhadap anak-anak yang memiliki kecerdasan otak dan semangat yang tinggi. Seterusnya, tentang bahayanya hukuman keras ke atas anak-anak, tidak boleh melakukan paksaan, menegur kesalahan anak-anak dengan kasih sayang dan sekiranya tiada perubahan barulah kekerasan digunakan. Anak-anak tidak boleh dipukul lebih dari tiga kali dalam satu-satu masa. Walau bagaimanapun, ibubapa dilarang untuk terlalu berlemah lembut kerana ini boleh melalaikan anak-anak. Juga disarankan untuk membiasakan anak-anak untuk menghormati tetamu dan melarang mereka kecuali pada waktu yang sesuai.

       Berbincang mengenai isu perpaduan, terdapat beberapa cadangan yang diinspirasikan oleh konsep Asabiyah Ibn Khaldun. Pertama, mengutamakan kehidupan yang sederhana berasaskan ajaran agama. Kedua, mengukuhkan semangat kekeluargaan. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menekankan aspek keagamaan dan menjadi role model kepada anak-anak sepanjang masa.  Ibu bapa perlu mengambil berat mengenai kegiatan dan tingkah laku anak mereka dari semasa ke semasa. Ibn Khaldun menyarankan kemewahan dalam masyarakat moden menyebabkan kehilangan nilai murni yang terdapat dalam kehidupan penduduk luar bandar. Masyarakat moden hanya mementingkan diri dan tidak mementingkan perhubungan memupuk perpaduan. Kehidupan moden dan kemewahan turut menyebabkan sikap materialisme dan hedonisme muncul secara agresif dalam kehidupan masyarakat kini.

       Walaupun Ibn Khaldun tidak dikenali sebagai seorang pemikir atau ahli ekonomi, namun idea-idea beliau mengenai ekonomi diiktiraf oleh sarjana-sarjana kotemporari yang mengkaji pemikiran beliau seperti Adam Smith, Karl Marx dan John Maynard Keynes. Beberapa idea ekonomi yang kemukakan oleh beliau di dalam Muqaddimah adalah mengenai teori harga barangan, teori nilai kerja, teori percukaian, teori pengkhususan kerja dan hasil pengeluaran, teori mengenai perbelanjaan kerajaan dan kesannya ke atas ekonomi. Dalam konteks pengurusan urusan kenegaraan, beliau menegaskan keperluan kepada asas agama sebagai teras dan panduan. Selain itu, menurut beliau pencapaian ekonomi mempengaruhi sistem nilai kehidupan masyarakat. Semakin tinggi kuasa membeli yang ada dalam masyarakat, pola kehidupan akan berubah di mana ia akan membawa satu bentuk transformasi sosial, hubungan, organisasi dan interaksi. Semakin majunya manusia, maka semakin runtuhnya nilai moral dan nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan, manusia semakin cenderung untuk sukakan harta, ingin hidup senang lenang hingga sanggup melakukan penipuan dan korupsi. Menurut beliau, pencapaian ketinggian atau kemuncak sesuatu tamadun, maka semakin hampir kepada era kejatuhannya. Analisis ini turut diakui oleh Macionis, Persel dan Farley.

    Ulasan Buku

       Membaca Legasi Pemikiran Ibn Khaldun dalam Dunia Pendidikan membuatkan penulis benar-benar terpegun. Sesungguhnya Ibn Khaldun adalah perintis dalam bidang pendidikan di mana beliau banyak mengemukakan idea-idea besar tentang bagaimana sikap yang sepatutnya ada dalam proses pendidikan. Lihat sahaja saranan beliau tentang aspek berfikir. Kini, Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK) telah diterapkan di dalam kurikulum sekolah. Ini menunjukkan, kemahiran berfikir ini telah lama disarankan oleh Ibn Khaldun lebih dari 600 tahun yang dulu. Betapa hebatnya pemikiran beliau di mana beliau dapat memberi idea yang segar dan masih relevan walaupun kini kita telah memasuki abad 21.
       
       Selain itu saranan beliau bahawa pembelajaran perlu bermula dari yang mudah kepada yang sukar adalah relevan dengan salah satu kaedah pedagogi pengajaran dan pembelajaran iaitu Kaedah Masteri. Selain itu, saranan beliau iaitu amalan menghafal ilmu semata-mata tanpa kefahaman boleh menghilangkan kreativiti dan mengakibatkan kejumudan fikiran adalah benar. Kini, kebanyakkan soalan-soalan peperiksaan tidak hanya berkenaan hafalan fakta semata-mata, tetapi terdapat juga soalan-soalan berbentuk aplikasi. Penulis sebagai seorang guru dapat menilai bahawa soalan aplikasi hanya dapat dijawab oleh pelajar-pelajar yang benar-benar mahu berfikir. Seterusnya berkenaan saranan beliau berkenaan pelajar perlu dilayan secara berhikmah juga adalah benar dan guru harus menunjukkan akhlak yang terpuji. Pelajar tidak boleh dilayan dengan kekerasan dan hukuman sepanjang masa. Hukuman adalah perlu tetapi ia juga perlu diseimbangkan. Kini, wujudnya jawatan kaunselor sepenuh masa sedikit sebanyak dapat meredakan ketegangan antara pelajar dan guru. Kemungkinan sikap dan akhlak guru sendiri yang negatif telah memberi kesan kepada pelajar. Sikap seperti mengajar sambil lewa dan tidak ikhlas serta tidak menepati masa sedikit sebanyak menjadi ikutan kepada pelajar dan hilang rasa hormat pelajar kepada guru-guru.

       Penulis tertarik sekali dengan teknik terbaik mengajar anak seperti yang dirumuskan oleh Ibn Khaldun di dalam kitab agungnya Muqaddimah. Masyarakat hari ini berdepan dengan krisis sosial remaja yang kian meruncing terutamanya yang melibatkan golongan remaja Melayu Islam. Kes zina, buang bayi remaja membunuh dan banyak lagi semakin menjadi-jadi kini. Dalam berhadapan dengan era globalisasi dunia tanpa sempadan, ibubapa haruslah kembali menjadikan agama sebagai panduan. Semoden mana pun hidup kita sekarang, pendidikan Al-Quran, hadis dan ilmu-ilmu lain berkaitan agama harus diterapkan dalam jiwa anak-anak sejak dari peringkat awal lagi. Ini kerana ia dapat dijadikan benteng kepada anak-anak tersebut yang bakal terdedah dengan pelbagai tarikan dunia yang melalaikan.

       Kaedah dan teknik mengajar anak-anak juga tidak boleh dipandang ringan. Teknik pengajaran yang tidak betul akan menyebabkan anak-anak merasakan sesuatu yang diajar itu sukar dan membosankan. Saranan ini dapat dipraktikkan oleh guru-guru dalam sentiasa mencari formula yang berkesan dalam penyampaian pengajaran. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah pelajar ponteng, tidur di dalam kelas, mengganggu pelajar lain dan sebagainya. Selain itu, pendidikan akhlak juga amat penting untuk dititikberatkan di dalam jiwa anak-anak. Anak-anak kecil tidak seharusnya didedahkan dengan perlakuan seperti menyanyi dan menari di khalayak ramai, berpakaian mendedahkan dan sebagainya kerana kelak akan hilang sifat malu di dalam diri mereka apabila dewasa. Walau bagaimanapun, anak-anak tidak wajar dihalang untuk diberi pendidikan sosial seperti berkawan, bertukar-tukar pendapat, menyertai pertandingan, bersukan dan lain-lain. Ini kerana pendidikan sosial dapat memberi bimbingan kepada anak-anak kelak dalam proses pembesaran dan seterusnya mencari pekerjaan apabila tiba masanya.

       Seterusnya Ibn Khaldun memberi penekanan kepada pendidikan psikologi. Tidak dinafikan anak-anak pasti akan ada melakukan kesalahan. Ketegasan adalah perlu tetapi haruslah dengan penuh kasih sayang. Hukuman perlu menjadi pilihan yang terakhir. Berbeza dengan kebanyakkan ibubapa kini, hukuman dan leteran yang panjang menjadi pilihan pertama. Apabila anak-anak itu memberontak dengan cara lari dari rumah dan sebagainya, barulah kita mahu menggunakan pendekatan psikologi dengan memujuk dan mengajak untuk berbincang.

       Menyentuh tentang teori kemasyarakatan dan kenegaraan, Malaysia masih mencari satu formula yang kukuh bagi membentuk sebuah masyarakat yang menekankan semangat perpaduan dan integrasi. Terkini, kerajaan telah memperkenalkan konsep 1 Malaysia. Ibn Khaldun memberi tumpuan kepada konsep Asabiyah. Konsep Asabiyah mungkin boleh digunakan sebagai cetusan idea untuk merapatkan hubungan etnik di Malaysia. Menurut Ibn Khaldun, kelanjutan dan kemakmuran sesuatu masyarakat adalah amat bergantung kepada semangat Asabiyah. Kemewahan dalam masyarakat moden menyebabkan kehilangan nilai murni dalam kehidupan. Masyarakat moden menuju ke arah cara hidup yang hanya mementingkan diri dan tidak mementingkan perhubungan dalam perpaduan. Sebab itulah dapat kita lihat, semakin mewah sesuatu kawasan perumahan itu, semakin sunyi persekitarannya. Masing-masing membuat hal sendiri di dalam rumah agam masing-masing hingga jiran sebelah rumah pun kadang-kala tidak dikenali. Apa yang paling baik ialah kesederhanaan dalam kehidupan dan berpegang kepada ajaran agama.

       Perubahan sosial dari kehidupan besederhana kepada kehidupan mewah juga telah menyebabkan masyarakat begitu menghargai masa. Sebagai contoh, penyediaan makanan di dalam majlis kenduri-kendara telah diganti dengan sistem catering. Cara tradisi bergotong-royong antara ahli komuniti telah terhapus, bukan sahaja mengurangkan peluang berinteraksi bahkan boleh merosakkan hubungan perpaduan. Restoran-restoran makanan segera yang giat berkembang kini juga ekoran dari kehidupan manusia yang mengejar masa. Akibatnya, jiwa anak-anak kian keras dek kerana sering benar makan makanan yang syubhah dan bukan dari air tangan ibu yang diiringi dengan ucapan Basmallan  dan selawat.

       Pemikiran Ibn Khaldun berhubung dengan ekonomi mampu menjadi penggerak dan pencetus idea pembangunan masyarakat terkini. Pemikiran beliau dilihat tidak bertentangan dengan nilai-nilai kehidupan yang sedang masyarakat lalui kini. Analisis beliau mengenai perubahan masyarakat dan ekonomi masih relevan hingga kini. Membaca pemikiran beliau tentang ekonomi membuatkan penulis berasa kagum dengan idea-idea segar, logik dan masih relevan untuk diguna pakai hingga sekarang. Melihat kepada teori beliau dalam bidang ekonomi, membuatkan kita terlupa bahawa teori-teori ini telah diketengahkan lebih dari 600 tahun dahulu. Beliau juga mengingatkan kita untuk hidup dalam kesederhanaan di mana kemewahan akan menyebabkan kita lupa diri, seterusnya boleh menjatuhkan sesuatu tamadun. Dalam bidang ekonomi, Ibn Khaldun telah meletakkan tiga bidang utama iaitu pertanian, kemahiran dan perdagangan. Kita seharusnya mengambil pandangan Ibn Khaldun ini di mana negara kita sememangnya kaya dengan sumber alam. Disebabkan terlalu terikut-ikut dengan trend barat, kita telah memberi fokus kepada bidang perindustrian. Situasi ini lebih banyak mendatangkan kerugian berbanding keuntungan. Dalam bidang industri, modal yang banyak diperlukan. Modal yang berjutaan ringgit ini dilaburkan oleh pelabur-pelabur luar. Mereka ini kebanyakkannya tidak ikhlas di mana selepas satu tahap tertentu iaitu apabila keuntungan telah diperoleh, mereka akan pergi tanpa meninggalkan apa-apa keuntungan untuk negara kita. Begitu juga dengan isu tenaga buruh. Pengambilan pekerja asing bagi memenuhi permintaan sumber tenaga manusia dalam bidang industri telah menimbulkan banyak kesan sampingan yang lebih banyak negatif berbanding positif. Ibn Khaldun juga ada menyatakan secara sinis tentang budaya menindas orang lain dan mendapatkan perlindungan politik dengan tujuan untuk menjaga kedudukan dan kekayaan. Ketidakadilan pemerintah juga dihuraikan oleh beliau sebagai satu bentuk penindasan ke atas rakyat.

    Penutup

       Pemikiran-pemikiran utama Ibn Khaldun sama ada berkaitan dengan hal ehwal masyarakat, perkembangan ekonomi, politik mahupu hal ehwal kenegaraan ternyata masih relevan. Ini diakui oleh kebanyakkan pengkaji baik di barat mahupun timur. Umpamanya A.J.Toynbee menganggap Muqaddimah sebagai “...the greatest work of its kind that has ever created by any mind in any time or place”. Tidak keterlaluan jika dikatakan sebahagian daripada konsep-konsep yang pernah dikemukakan oleh pengkaji barat kotemporari kelihatan telah dibincangkan oleh Ibn Khaldun dalam Muqaddimahnya.

       Pemikiran Ibn Khaldun mendahului zamannya dan telah dipersembahkan semula dalam bentuk baru dan lebih terperinci oleh pemikir-pemikir di abad ke 19 dan 20. Persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun bukan hanya relevan dengan perkembangan semasa rakyat tetapi juga relevan untuk dijadikan panduan masyarakat kontemporari. Ibn Khaldun telah lama meninggalkan kita, namun beliau pergi dengan meninggalkan satu warisan besar untuk dibaca dan diambil pengajaran daripadanya. Keintelektualan Ibn Khaldun harus dijadikan teladan dan perangsang bagi umat Islam zaman ini, yang cuba menghasilkan ilmu dalam acuan tradisi ilmu Islam, untuk dimanfaatkan oleh umat Islam sendiri.

    divider3
    halaqahforum4

     

    Related Topics

      Subject / Started by Replies Last post
    6 Replies
    14727 Views
    Last post 14 May, 2010, 03:44:35 PM
    by halawah