Login  |  Daftar

Author Topik: IAH(12):Definisi Hadith Musalsal Dan Hukum Berkaitan DenganNya  (Dibaca 1311 kali)

0 Halaqian dan 1 Tetamu sedang melihat topik ini.

Halaqah

  • Global Moderator
  • *****
  • Posts: 77
    • View Profile
DEFINISI HADITH MUSALSAL DAN HUKUM BERKAITAN DENGANNYA

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Hadith atau istilah seperti ini seringkali kita dengar dalam masyarakat kita. Lebih-lebih lagi apabila ada tokoh hadith yang berkunjung ke negara kita dan berbicara berkenaan dengan hadith musalsal ini. Di sini, kami nyatakan seperti berikut :

Definisi Hadith Musalsal

Musalsal dari sudut bahasa ialah sesuatu yang bersambung antara satu sama lain.[Al-Thamarat al-Janiyyah min Qithof Matn al-Baiquniyyah, 66]

 Manakala dari sudut istilah pula ialah :

التَّسَلْسُل هو تَتَابَعَ رِجَالُ إِسْنَادِهِ عَلَى صِفَةٍ أَوْ حَالَةٍ لِلرُّوَاةِ تَارَةً وَلِلرِّوَايَةِ تَارَةً أُخْرَى
Makna at-Tasalsul adalah “satu turutan rangkaian perawi pada sesuatu sanad dalam sifat atau hal keadaan tertentu bagi setiap perawi dan kadang-kadang ia juga berlaku pada periwayatan”.[Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi, 384]

Ini merupakan definisi yang diberikan oleh Imam al-Nawawi bagi hadith musalsal di dalam kitabnya al-Taqrib. Di samping itu, para ulama’ telah membahagikan hadith musalsal ini kepada beberapa bahagian :
  • Persamaan yang terdapat pada perawi contohnya pada namanya, nasabnya atau sifatnya. Antara contoh musalsal ini ialah musalsal fuqaha’ al-Syafi’eyyah.
  • Persamaan pada perkataan atau perbuatan. Antara contoh musalsal ini ialah musalsal dengan bersalam.
  • Persamaan pada sifat atau cara pengriwayatan atau hal keadaan ketika diriwayatkan. Antara contoh musalsal ini ialah musalsal al-Awwaliyyah.
Hukum Hadith Musalsal

Kadang-kadang hadith musalsal adalah sahih dan kadang-kadang juga hukumnya adalah dhaif tetapi secara umumnya sanad yang terdapat pada hadith musalsal adalah dhaif. [ Al-Thamarat al-Janiyyah min Qithof Matn al-Baiquniyyah, 67] Imam al-Zahabi telah menyebut : “kebanyakan hadith musalsal ini adalah terlalu lemah, terutamanya yang melibatkan perkataan dan perbuatan yang datang tanpa cara pengriwayatan. Adapun musasal yang berkaitan dengan sifat perawi atau cara pengriwayatan, kebanyakkannya adalah sahih dan hanya sebahagian daripadanya adalah lemah”.[ Al-Muqizoh,131] Telah berkata Ibnu Taymiyyah : “Musalsal yang paling baik di dunia ini adalah musalsal surah al-Saf”.[ Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi, 385]

Persoalan :
 Adakah melazimi dengan lemahnya sanad maka akan menjadikan matannya juga lemah ?

Jawapan:
Pendapat yang kuat adalah tidak. Ini kerana, kebanyakan matan hadith-hadith musalsal adalah sahih.[ Syarah al-Manzhumah al-Baiquniyyah, 90]

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita berkenaan dengan agama-Nya serta kita dapat beramal dengannya dalam mencari redha Allah SWT. Amin.