Login  |  Daftar

Show Posts

This section allows you to view all posts made by this member. Note that you can only see posts made in areas you currently have access to.

Messages - Halaqah

Pages: 1 2 3 [4] 5 6
46
Penentuan Zakat Fitrah Seluruh Malaysia
Soalan:
Bagaimana penentuan harga zakat fitrah seluruh Malaysia?

Jawapan:
Asal zakat fitrah adalah satu so’ (gantang) dan nilainya seperti yang dinyatakan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya Fiqh al-Islami wa Adillatuh ialah 2751 gram. Dan di sisi mazhab Hanafi 3800 gram.
Dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-57 bertarikh 10 Jun 2003 seperti berikut:

   * Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat oleh BERNAS bagi setiap beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.60kg.

   * Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70kg.

Kebiasaan yang berlaku apabila menjelang Ramadan, Jawatankuasa Syariah atau Fatwa Negeri akan memutuskan nilai harga beras semasa mengikut daerah atau jenis dan gred beras yang dimakan oleh penduduk. Kemudian diputuskan dengan mengambil kira nilaian sebanyak segantang beras iaitu hampir kepada 2.60 kg.

khulasohMarilah kita menjadikan diri kita termasuk dalam golongan penunai zakat yang bukan sahaja zakat fitrah tetapi zakat harta apabila cukup haul dan nisabnya agar kita beroleh keredhaan Ilahi dan keberkatan dalam kehidupan ini disamping terhindar daripada kemurkaan-Nya.


47

Penerima 2/3 Harta Pusaka Serta Syarat-Syaratnya



Soalan :

Siapakah yang berhak menerima 2/3 pusaka serta syarat-syaratnya?

Jawapan:
Suka saya nyatakan di sini berdasarkan buku yang kami karyakan iaitu Pengurusan Harta dan Pusaka dalam Fiqh Syafie, terbitan IBFIM iaitu:
 Penerima Dua Pertiga (2/3) dan Syarat-Syaratnya
Terdapat empat bahagian pewaris yang layak untuk menerima dua pertiga (2/3) pusaka dan masing-masing tertakluk kepada syarat-syarat tersendiri:

    Dua Orang atau Lebih Anak Perempuan kepada si Mati

Bagi memperoleh dua pertiga (2/3) pusaka, mereka perlu memenuhi syarat iaitu tidak wujud bersama-sama mereka asabah iaitu anak lelaki si mati. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

فَإِنْ كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ
Maksudnya: Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati.
(Surah al-Nisa’: 11)

Di dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda:
قَضَى النَّبِي صَلىَّ الله عَلَيْهِ وَسَلَّم لِبِنْتَي سَعْدٍ بِالثُّلُثَيْنِ مِنْ تَرِكَةِ أَبِيْهِمَا
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menetapkan sebanyak dua pertiga (2/3) daripada pusaka Saad untuk dua orang anak perempuannya.”
Riwayat al-Tirmizi (2093) dalam al-Faraidh, dan al-Hakim (4/334)

Dua Orang atau Lebih Anak Perempuan kepada Anak Lelaki si Mati

Mereka memperolehi dua pertiga (2/3) dengan dua syaratberikut:

    *Tiada asabah bersama mereka.
    *Si mati tidak mempunyai anak sama ada lelaki mahupun perempuan.

Dalil mereka menerima dua pertiga (2/3) ialah qias dengan anak-anak perempuan. Ataupun mereka ini termasuk dalam kata nama “anak perempuan”. Ini berdasarkan bahawa kata nama ini digunakan pada makna hakiki dan simbolik.

Dua Orang atau Lebih Saudara Perempuan Seibu Sebapa

Golongan ini menerima dua pertiga (2/3) pusaka jika memenuhi tiga syarat berikut:

    * Tiada asabah bersama mereka iaitu saudara lelaki.
    * Tidak wujud furu’ waris si mati sama ada lelaki atau perempuan.
    * Tidak wujud asal waris si mati sama ada bapa atau datuk.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَإِنْ كَانَتَا اثْنَتَيْنِ فَلَهُمَا الثُّلُثَانِ مِمَّا تَرَكَ
Maksudnya: Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati.
(Surah al-Nisa’: 176)
    Dua Orang atau Lebih Saudara Perempuan Sebapa
Mereka menerima dua pertiga (2/3) pusaka dengan empat syarat. Tiga daripadanya sama seperti syarat saudara perempuan seibu sebapa. Syarat keempat ialah tidak wujud saudara seibu sebapa kepada si mati sama ada lelaki (akh al-Shaqiq) atau perempuan (ukht al-Shaqiqah).

Dalilnya ialah ijmak ulama. Menurut ijmak ulama, ayat al-Quran yang disebutkan di atas merangkumi saudara perempuan seibu sebapa (ukht al-Shaqiqah) dan saudara perempuan sebapa (ukht li al-Abb). Tetapi tidak termasuk saudara perempuan seibu (al-Ukht li al-Umm). Jabir bin Abdullah RA berkata:

مَرِضْتُ، فَأَتَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي فَوَجَدَنِي قَدْ أُغْمِيَ عَلَيَّ فَأَتَى وَمَعَهُ أَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَهُمَا مَاشِيَانِ فَتَوَضَّأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَبَّ عَلَيَّ مِنْ وَضُوئِهِ فَأَفَقْتُ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ أَقْضِي فِي مَالِي أَوْ كَيْفَ أَصْنَعُ فِي مَالِي فَلَمْ يُجِبْنِي شَيْئًا وَكَانَ لَهُ تِسْعُ أَخَوَاتٍ
Maksudnya: “Aku ditimpa sakit, lalu Nabi SAW datang menziarahi. Baginda mendapati aku sedang pengsan. Abu Bakar dan Umar pun datang bersama Baginda tetapi mereka berdua berjalan kaki. Lalu Rasulullah SAW berwuduk dan menjirusku dengan air wuduknya itu. Lantas aku tersedar daripada pengsan lalu bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimanakah cara yang sepatutnya aku membelanjakan hartaku? Atau apakah yang patut aku lakukan pada hartaku? Baginda tidak menjawab. Jabir mempunyai sembilan orang saudara perempuan.”
Riwayat al-Tirmizi (2098)

Akhirnya turunlah ayat al-Quran yang berkaitan dengan pusaka:
يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلَالَةِ إِنِ امْرُؤٌ هَلَكَ لَيْسَ لَهُ وَلَدٌ وَلَهُ أُخْتٌ فَلَهَا نِصْفُ مَا تَرَكَ وَهُوَ يَرِثُهَا إِنْ لَمْ يَكُنْ لَهَا وَلَدٌ فَإِنْ كَانَتَا اثْنَتَيْنِ فَلَهُمَا الثُّلُثَانِ مِمَّا تَرَكَ وَإِنْ كَانُوا إِخْوَةً رِجَالًا وَنِسَاءً فَلِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ أَنْ تَضِلُّوا وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Maksudnya: Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). Katakanlah: Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang di tinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
(Surah al-Nisa’: 176)

Jabir RA berkata: Ayat ini turun berkenaan kes yang berlaku ke atasku. Imam al-Rahabi pula menyebut dalam madah syairnya:

Dua pertiga adalah untuk anak-anak perempuan (al-Banat)

Iaitu yang lebih daripada seorang, dengarlah.

Juga untuk anak-anak perempuan kepada anak lelaki (banat al-Ibn)

Hendaklah kamu fahami kata-kataku ini baik-baik.

Begitu juga untuk dua saudara perempuan atau lebih,

Orang merdeka dan hamba memberi fatwa tentangnya.

Demikian jika mereka adalah saudara seibu sebapa,

Atau sebapa sahaja, amalkanlah nescaya kamu benar.

Marilah sama-sama kita mempelajari ilmu faraid dan memutuskan sebarang isu berkaitan pusaka mengikut apa yang diajar oleh Allah dan Rasul-Nya agar kita sentiasa menepati kehendak syariat Islamiyah.

48
KELEBIHAN AHLI BAYT NABI SAW DENGAN BAHTERA NUH
Soalan :
Apakah status bagi hadis-hadis berikut:
    Dari Zaid bin Arqam RA, telah bersabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya aku tinggalkan untuk kalian dua pusaka yang berat iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan Ahl al-Baytku (keluargaku). Jika kalian berpegang teguh dengannya maka tidak akan pernah tersesat selama-lamanya. Sungguh keduanya tidak akan pernah saling berpisah hingga kelak akan berjumpa denganku di telaga Al-Haudh”.
    Aku mendengar sendiri Abu Dzar RA di pintu Kaabah, “Wahai sekalian umat manusia, barangsiapa yang mengenali aku, sungguh aku adalah orang yang kalian kenal dan barangsiapa yang mengingkari aku, ingatlah aku adalah Abu Dzar. Aku telah mendengar Baginda Nabi SAW bersabda: Perumpamaan Ahl al-Baytku seumpama bahtera Nabi Nuh AS. Barangsiapa yang menaikinya, dia akan selamat dan barangsiapa meninggalkannya ia akan tenggelam.”

Jawapan :
    Bagi hadis yang pertama, lafaz asal hadis adalah seperti berikut:
حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ الْمُنْذِرِ، - كُوفِيٌّ - حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ فُضَيْلٍ، قَالَ حَدَّثَنَا الأَعْمَشُ، عَنْ عَطِيَّةَ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ، وَالأَعْمَشُ، عَنْ حَبِيبِ بْنِ أَبِي ثَابِتٍ، عَنْ زَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالاَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ إِنِّي تَارِكٌ فِيكُمْ مَا إِنْ تَمَسَّكْتُمْ بِهِ لَنْ تَضِلُّوا بَعْدِي أَحَدُهُمَا أَعْظَمُ مِنَ الآخَرِ كِتَابُ اللَّهِ حَبْلٌ مَمْدُودٌ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى الأَرْضِ وَعِتْرَتِي أَهْلُ بَيْتِي وَلَنْ يَتَفَرَّقَا حَتَّى يَرِدَا عَلَىَّ الْحَوْضَ فَانْظُرُوا كَيْفَ تَخْلُفُونِي فِيهِمَا ‏"‏ ‏.‏ قَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ ‏.‏
hadis ini telah diriwayatkan oleh:
    Al-Imam al-Tirmizi di dalam Sunannya (3786) dan (3788) di bawah Kitab al-Manaqib.
    Al-Imam al-Nasa’ie di dalam Sunan al-Kubra (8148) dan (8464).
    Al-Hakim di dalam Mustadraknya (4711) seraya berkata: hadis ini sahih sanadnya mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim.
    Dikeluarkan juga oleh al-Imam al-Tabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (2678), (2679), (2680), (4980). Di dalam Mu’jam al-Awsat (5536).


Komentar terhadap hadis:
hukumSyeikh Nasiruddin al-Albani Rahimahullah menghukumkan hadis ini Sahih di dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah (1750) setelah menilainya dengan jalan-jalan sanad yang lain. Wallahu a’lam.
    Bagi hadis yang kedua, lafaz asalnya adalah seperti berikut:
سَمِعْتُ أَبَا ذَرٍّ، يَقُولُ: وَهُوَ آخِذٌ بِبَابِ الْكَعْبَةِ: أَيُّهَا النَّاسُ، مَنْ عَرَفَنِي فَأَنَا مَنْ عَرَفْتُمْ، وَمَنْ أَنْكَرَنِي فَأَنَا أَبُو ذَرٍّ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «مَثَلُ أَهْلِ بَيْتِي مَثَلُ سَفِينَةِ نُوحٍ مَنْ رَكِبَهَا نَجَا، وَمَنْ تَخَلَّفَ عَنْهَا غَرِقَ
hadis ini telah diriwayatkan oleh:
    Al-Hakim di dalam al-Mustadrak (3312) & (4720). Al-Zahabi di dalam Talkhis mengatakan bahawa salah seorang perawi bagi hadis ini Mufaddhal bin Soleh lemah.
    Al-Imam al-Bazzar di dalam Musnadnya (5142) dan berkata bahawa hadis ini tidak kami ketahui seorangpun yang meriwayatkannya melainkan Al-Hasan bin Abi Ja’far dan Al-Hasan bukanlah seorang yang kuat (di dalam ilmu hadis) dan kebanyakan ahli ilmu memperkatakan tentangnya.
    Al-Imam al-Tabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (2636), (2638) & (12388). Di dalam Mu’jam al-Awsat (5536) & (5870).

Komentar terhadap hadis:

Syeikh Nasiruddin al-Albani Rahimahullah di dalam Silsilah al-Ahadis al-Dho’ifah wa al-Maudhu’ah (4503) menghukumkan hadis ini sebagai Dhoif (lemah). hadis ini, selain diriwayatkan oleh Abi Dzar al-Ghifari RA terdapat juga syawahid yang lain diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, Abdullah bin al-Zubayr, Abi Sa’id al-Khudri dan Anas bin Malik R.Anhum. Meskipun terdapat jalan periwayatan yang lain, namun kesemua jalan tersebut tidak terlepas daripada kritikan yang mana kesemuanya tersangatlah lemah dan tidak mampu untuk menguatkan antara satu sama lain. Wallahu a’lam.


49
Al-Fatawa / IAF(22): Hak Minum Di Sisi Islam
« Masa: a year ago »
HAK MINUM DI SISI ISLAM

Soalan
:
Apakah hukum hak minum di sisi Islam? Bolehkan saya minum air yang saya jumpai dalam bekas? Apa pula hukum minum dan mandi air sungai?

Jawapan
:
Islam adalah agama yang syumul yang membincangkan semua aspek kehidupan daripada perkara sekecil-kecilnya sampailah kepada yang sebesar-besarnya. Para Sahabat pernah menyatakan bahawa Rasulullah SAW mengajar kami sehingga perihal qadha’ hajat. Ini menunjukkan lengkap dan syumulnya Islam.

Guru kami, Fadhilat al-Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh berkata: Hukum hak minum dan hak siram adalah satu, dengan beberapa perbezaan kecil:

Maksud Hak Minum: Hak minum air ialah hak memanfaatkan air untuk diminum oleh manusia, keperluan memasak, membasuh, keperluan rumah juga hak ini termasuk untuk minuman binatang ternakan.

Hukum Hak Minum
Hukum hak minum mengikut jenis air. Jenis air ada empat:

  Air Laut
Setiap manusia mempunyai hak minum dan hak siram. Ia boleh digunakan dalam apa bentuk sekalipun kerana ia tidak di miliki oleh sesiapa. Hak menggunakan air laut sama seperti hak menggunakan atau memanfaatkan cahaya matahari, bulan dan udara.
Air Sungai Besar
Bagi sungai-sungai besar seperti Sungai Nil, Furat dan lain-lain lagi, manusia mempunyai hak minum dan hak siram. Ini kerana ia merupakan benda yang diharuskan bagi setiap manusia menggunakan untuk minum dan siram selagi hak itu digunakan tidak sampai ke tahap yang membahayakan orang ramai, kerana mengikut kaedahnya mengelakkan bahaya adalah salah satu perkara wajib. Meskipun memanfaatkan sesuatu itu diharuskan, namun pengharusan itu bergantung kepada ketiadaan mendatangkan bahaya kepada orang lain, seperti merosak, mencemar dan meruntuhkan tebing sungai, sehingga boleh menimbulkan malapetaka ke atas kehidupan manusia dan tanaman.

Air Parit atau Anak Sungai Milik Khas
Bagi parit atau anak sungai yang dimiliki oleh sesuatu penduduk kampung atau segelintir orang di sesebuah kawasan, setiap penduduk mempunyai hak minum (bukan siram) kerana ia merupakan keperluan asasi. Di samping itu, mengikut prinsipnya, air adalah benda milik bersama, sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis:

 الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِي ثَلاَثٍ فِي الْمَاءِ وَالْكَلإِ وَالنَّارِ وَثَمَنُهُ حَرَامٌ

Maksudnya: Manusia berkongsi pada tiga perkara iaitu air, rumput dan api.
Riwayat Ibn Majah dan (2472) Abu Daud (3477)

Mendapat dan memindahkan air ke sesuatu tempat adalah perkara yang dibolehkan oleh syarak dan manusia tidak boleh lari daripada keperluan air. Oleh itu jika dilarang mereka mendapatkan air mereka akan menghadapi kesulitan hidup. Tetapi jika anak sungai atau parit kepunyaan orang ramai itu terletak di tanah kepunyaan seseorang, maka dalam hal ini pemilik tanah boleh menegah orang lain mengambil airnya tanpa izinnya, sekiranya berhampiran anak sungai itu ada sumber-sumber air lain yang boleh didapati oleh orang ramai.

Jika tidak ada sumber air lain berdekatan kawasan itu dan pemilik tanah melarang orang lain menggunakan air sungai yang ada di atas tanah, orang ramai dibenarkan mengambil air sekadar yang diperlukan biar sekalipun terpaksa menggunakan kekerasan. Pendapat ini diasaskan kepada kenyataan Umar: “Mengapa kamu tidak gunakan kekerasan senjata?”

Ini kerana air, sama ada perigi atau sungai, tidak boleh lari dari prinsip perkara yang diharuskan dan bermilik.

Pendapat yang terkuat menyatakan bahawa orang ramai berhak memanfaatkan untuk keperluan hidup harian, seperti minum, membasuh, wuduk dan lain-lain kerana mencegah orang ramai daripada memanfaatkan bererti satu penghinaan dan tidak berperi kemanusiaan. Sehubungan ini, Nabi SAW bersabda:

إنَّ اللهَ جميلٌ يُحِبُّ الجَمالَ ويُحِبُّ معاليَ الأمورِ ويكرَهُ سَفْسافَها
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah indah dan sukakan keindahan, kasihkan perkara-perkara yang terpuji dan benci kepada perkara yang keji.”
Riwayat al-Tabarani (2472)
Pendapat lainPendapat lain yang terkuat tentang air parit atau anak sungai menyatakan bahawa pemiliknya berhak menahan atau menegah orang lain daripada menggunakan untuk tujuan penyiraman pohon atau tanaman di rumahnya kecuali mendapat keizinan pemilik.
Begitu juga dengan hak minum, jika penggunaannya melebihi had, seperti sejumlah air yang digunakan memberi minum binatang lebih besar dari jumlah air dalam parit, kebanyakan fuqaha termasuk ulama Hanafi berpendapat pemilik berhak menahan, kerana jika tidak ia boleh mendatangkan bahaya.

Air dalam Bekas atau Tempat Air
Air yang sudah disimpan dalam sesuatu bekas, seperti tong atau baldi adalah kepunyaan orang menyimpan. Orang lain tidak mempunyai sebarang hak, minum atau siram, kecuali mendapat keizinan dari pemilik.
Walaupun begitu, jika keadaan memaksa misalnya jika tidak minum boleh membawa maut, sedangkan sumber air yang lain tidak ada, maka ketika itu air dalam simpanan seseorang boleh diambil dengan apa cara sekalipun, sebagaimana telah diterangkan dalam perkara hal siram.

Semoga kita semua memahami akan hak untuk hidup termasuk dalam bab minum ini.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

50
KEPERLUAN MEMBACA SIGHAH TA'LIQ

Soalan:
Apakah keperluannya/baiknya membaca sighah ta’liq yang biasa diamalkan di Malaysia. Adakah dalam undang undang keluarga Islam di negeri-negeri di Malaysia, bacaan ta’liq wajib dibaca ataupun ia hanya satu keharusan sahaja. Kenapa dalam majlis yang mulia iaitu majlis akad nikah, kita terus membacakan lafaz-lafaz talak walaupun lafaz talak tersebut adalah bersyarat?

Jawapan:

Islam mensyariatkan perkahwinan dan menetapkan peraturan yang sempurna berdasarkan prinsip yang kukuh dan menjamin kestabilan masyarakat, kebahagiaan keluarga, tersebarnya kebaikan, pemeliharaan budi pekerti dan mengekalkan generasi manusia. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا
Maksudnya: Maka, kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: Dua, tiga atau empat.
(Surah al-Nisa’: 3)

Firman Allah SWT lagi:
وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ ۚ
Maksudnya: Dan kahwinkanlah orang-orang yang bersendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan.
(Surah al-Nur: 3)

Begitu juga hadis, daripada Abdullah bin Mas’ud RA, sabda Rasulullah SAW:
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
Maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa di kalangan kamu yang mampu berkahwin, maka kahwinlah kerana ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan. Sebaliknya, jika tidak mampu, hendaklah berpuasa kerana puasa itu merupakan pengekang nafsu.”
Riwayat al-Bukhari (4779) dan Muslim (1400)

Sebelum menjawab isu ta’liq, suka dinyatakan bahawa kadar perceraian di Malaysia cukup menakutkan. Ada yang menganggarkan setiap 15 minit 1 perceraian dan bilangan kes seperti ini telah meningkat sebanyak dua kali ganda berbanding 8 tahun yang lalu. Antara punca perceraian ialah ketidakbertanggungjawaban dan juga penderaan terhadap pasangan terutamanya kepada isteri.

Sebenarnya isu ta’liq ini amat penting dilihat dalam aspek yang lebih meluas. Ini kerana matlamat undang-undang ialah untuk menjaga keharmonian serta hak setiap individu. Begitu juga dalam masalah lafaz ta’liq ini. Kesemuanya ini berdasarkan kepada pengalaman mereka yang telah melayari bahtera rumah tangga dimana terdapatnya badai sehingga hak-hak isteri diabaikan. Justeru, sebagai (سَدُّ الذَّرِيْعَة) undang-undang taklik ini diperkenalkan.
Penulis berpendapatPenulis berpendapat dengan situasi dan banyak kes yang berlaku sighah ta’liq dan lafaz amat wajar untuk diadakan walaupun mungkin keperluan untuk meminda beberapa syarat dan ta’liq oleh pakar-pakar dan pengkaji berkenaan dengan isu ini.
Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita lebih memahami akan tanggungjawab dan hak suami isteri yang perlu ditunaikan oleh pasangan masing-masing.

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan



51
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.
 
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam 144 surah Ali Imran :
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّـهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّـهُ الشَّاكِرِينَ

Maksudnya : Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul . Apakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling tadah (murtad)?.Sesiapa yang berpaling tadah maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi balasan kepada mereka yang bersyukur
          Tahun baru 2018 hampir seminggu menjelang. Masa berlalu semakin cepat dan pantas, jadikanlah ianya sebagai peringatan besar kepada kita semua bahawa dunia kini berada dipenghujung usianya iaitu semakin hampir kepada berlakunya Qiamat yang dahsyat.
Kni kita berada pada bulan Rabi’ul Akhiir. Kasih dan cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w sentiasa subur dan mekar sepanjang masa dan tempat tanpa terbatas pada sesuatu bulan sahaja seperti pada Rabiul Awwal bulan yang baru kira-kira 2 minggu berlalu.Begitulah juga perjuangan dan jejak langkah baginda yang telah mengubah keadaan dunia daripada gelap kekufuran kepada cahaya iman, daripada kezaliman jahiliah kepada keadilan Islam wajib diteruskan walau pun baginda telah pun wafat.

Dunia Islam pernah menyaksikan bagaimana kewafatan nabi Muhammad s.a.w pada bulan Rabiul Awwal tahun 11 Hijrah telah menggegarkan iman para sahabat dan umat Islam yang lain sehingga ada yang murtad daripada Islam kerana tidak dapat menerima kenyataan ini. Suasana yang kalut ditenangkan oleh Sayyidina Abu Bakar dengan kata-katanya yang tegas :

أيها الناس! مَنْ كَانَ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لاَ يَمُوتُ
Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Sesiapa dikalangan kamu yang menyembah Sayyidina Muhammad s.a.w maka sesungguhnya nabi Muhammad telah wafat dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah terus hidup dan tidak sekali-kali akan mati.

           
Kemudian disambung dengan bacaan ayat 144 surah Ali Imran di mana ayat ini walau pun diturunkan pada ketika peperangan Uhud bagi menetapkan hati tentera Islam dalam berdepan dengan suasana kekalahan namun apabila ia dibaca oleh Sayyidina Abu Bakar dalam kekalutan dengan kewafatan nabi s.a.w ini telah menyentak hati para sahabat termasuk Sayyidina Umar al-Khottab sehingga beliau menyatakan : Barulah aku memahami firman Allah ini.

            Antara wasiat terpenting yang pernah diungkapkan oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w sebelum meninggalkan umatnya selama-lamanya ialah;

رواه أبو دأود عن علي رضي الله عنه قال: كَانَ  آخِرُ كَلاَمِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم: الصَّلاَة ُالصَّلاَة اتَّقُوْا اللهَ  فِيْمَا مَلَكَتْ  أَيْمَانُكُمْ
Maksudnya: Adalah kalimah terakhir yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w : Sembahyang, sembahyang! Takutkan sekalian kamu kepada Allah pada apa yang dimiliki oleh tangan-tangan kanan kamu (daripada zakat)

            2 perkara besar yang diperingatkan oleh nabi iaitu sembahyang dan zakat merupakan suatu yang begitu penting dalam memastikan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia berjalan dengan baik bagi menjamin keberkatan dan ketenangan hidup.Akibat pengabaian terhadap sembahyang dan sikap tamak yang bukan sahaja kedekut untuk menunaikan zakat malah harta zakat dan rakyat disalahgunakan telah mendatangkan pelbagai masalah dalam negara. Apabila putusnya hubungan manusia dengan Allah sehingga maksiat semakin subur ditambah lagi hubungan kasih sayang, hormat menghormati sesama manusia semakin luntur telah menyebabkan keamanan tergugat dan suasana jahiliah moden mulai merosakkan suasana.
Oleh itu marilah kita kembali memperkasakan usaha dalam melahirkan umat yang sentiasa menjaga solat dan menunaikan zakat kerana ia juga merupakan asas kepada kelangsungan kepimpinan yang bertaqwa yang selamat di dunia dan akhirat sebagaimana Firman Allah dalam ayat 41 Surah al-Hajj:
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Firman Allah dalam ayat 55 surah an-Nuur :
وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya : Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka


           Perjuangan dan tugas nabi Muhammad s.a.w  dalam mengubah dunia kepada keadaan yang tunduk patuh kepada perintah Allah terus disambung agar dunia tidak kembali rosak oleh kelam jahiliah.Oleh itu tindakan segera Sayyidina Abu Bakar dalam menyelesaikan masalah kepimpinan telah memberi kesan yang besar ketika suasana umat Islam pada masa itu seumpama anak ayam kehilangan ibu.
Peranan yang begitu besar dan berat telah dimainkan oleh Sayyidina Abu Bakar terutama dalam memulihkan semangat umat Islam disamping mengambil tegas terhadap golongan murtad, nabi palsu dan golongan yang enggan membayar zakat.
Semuanya ini menyedarkan kita bagaimana betapa pentingnya kepimpinan dalam mencorak suasana dalam negara samada kepada taat kepada Allah atau menderhakaiNya, samada tunduk kepada sistem Islam atau mengenepikannya, samada melahirkan ahli ibadat atau meramaikan lagi kaki maksiat, samada mendapat keberkatan daripada langit dan bumi atau mengundang bala daripada Allah. Kepimpinan juga menentukan jatuh bangun sesebuah negara disamping menjaga kedaulatan negara dan apa yang lebih penting menjaga kesucian Islam dan maruah umatnya daripada dipermainkan oleh musuh Islam. Janganlah kerana menjaga hati musuh Islam demi kesenangan untuk kemenangan dan kuasa, kita sanggup menjatuhkan kesucian dan kehebatan Islam dan menjatuhkan maruah umatnya.

Janganlah kita dan pemimpin yang kita lantik termasuk dikalangan orang yang diadukan oleh Nabi saw. kepada Allah swt. sebagaimana firmannya:
وقال  الرسول يــرب إن قومي اتخذوا هذا القرءان مهجورا
Maksudnya : Dan berkatalah rasul : “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sebagai suatu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”


Renungilah ucapan Sayyidina Abu Bakar ketika dilantik menjadi khalifah pertama setelah kewafatan nabi Muhammad sa.w dengan katanya:

“Wahai umat manusia!Sesungguhnya aku telah dilantik dikalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik.Maka jika aku melakukan kebaikan maka bantulah aku tetapi sekiranya aku terpesong maka perbetulkanlah aku.Benar itu adalah amanah dan dusta itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu merupakan orang yang kuat disisiku sehingga aku akan menunaikan kemahuannya serta memberikan haknya semula. Manakala orang yang kuat di kalangan kamu merupakan orang lemah disisiku sehingga aku akan mengambil kembali hak yang telah dirampas. Oleh itu taatilah aku selagimana aku mentaati Allah dan rasulNya dan jika aku mengengkari Allah dan rasulNya maka janganlah kamu mentaatiku”.

Kita jangan menjadi orang yang menyebabkan semakin jelas timbulnya tanda
qiamat antaranya tidak mengambil berat tentang pemilihan pemimpin sebagaimana
amaran nabi Muhammad s.a.w dalam suatu hadis yang diriwayatkan  oleh imam Bukhari :

فَإِذَاضُيِّعَتِ الأَمَانَة فَانْتَظِرِ السَّاعَة قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ إِذَا وُسِّدَالْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ
Maksudnya: Maka apabila telah jelas penyelewengan
terhadap amanah maka tunggulah kebinasaan. Tanya sahabat : Bagaimanakah
berlakunya penyelewengan. Sabdanya : Apabila diserahkan urusan memikul amanah
kepada bukan orang yang berkelayakan maka tunggulah saat kehancuran.


Jauhilah daripada mempermain-mainkan ugama dan bersikap acuh tidak acuh terhadap perintah Allaah swt. Orang-orang beriman mengetahui bahawa tugas mereka  adalah berdakwah,mendidik manusia agar mengutamakan kehendak Agama dalam setiap aspek kehidupan, ini termasuklah menjaga diri dan masyarakat supaya tidak berpolitik demi nafsu untuk berkuasa tanpa batas halal dan haram  yang semestinya merupakan amanah yang akan dipersoalkan. Oleh itu bersabarlah atas herdikan,hinaan dan cercaan manusia. Sesugguhnya Allaah swt. adalah sebaik-baik pengawas dan penjaga.

Firman Allah dalam ayat 51 surah al-A’araf :
الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ فَالْيَوْمَ نَنسَاهُمْ كَمَا نَسُوا لِقَاءَ يَوْمِهِمْ هَـٰذَا وَمَا كَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ
Maksudnya : (Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persiapan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengengkari ayat-ayat keterangan Kami).


Sentiasalah bersiap-siaga menghadapi saat kematian.Berbekallah.Ajal kematian kita semakin hampir.Kembalilah kepada Islam serta ajarannya. Janganlah kita dilalaikan dengan harta,pangkat, jawatan dan kaum kerabat. Dunia adalah sementara, akhirat kekal jua. Ketahuilah kemenangan yang dijanjikan Allah swt. adalah pasti dan kemenangan itu hampir.

Sabda Nabi saw. : تحفة المؤمن الموت
Maksudnya :Kematian itu merupakan hadiah kepada orang-orang yang beriman.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

52
Hikmah Larangan Persetubuhan Ketika Haid

Soalan:

Apakah hikmah diharamkan bersetubuh dengan isteri yang dalam haid?

Jawapan:

Antara hikmah pengharamannya ialah, ia boleh mengakibatkan penyakit kepada suami dan juga isteri. Banyak kajian saintifik yang dilakukan, membuktikan larangan Islam ini ada kewajarannya.

Wanita dalam haid sebenarnya mengalami perubahan hormon dalam badannya. Saluran darah di rahim dan faraj akan mengembang. Oleh kerana saluran darah adalah amat lembut, ia mudah pecah apabila berlaku kemasukan zakar pada faraj dan pangkal rahim.

Teori perubatan memperakui bahawa darah haid ada unsur-unsur penyakit. Dr. Muhammad Ali al-Bar dalam bukunya Daurah al-Arham (Fungsi Rahim) di bawah tajuk Haid Sebagai Penyakit menyatakan : “Keseluruhan dinding penutup rahim terpercik sepanjang tempoh haid. Setelah meneliti darah haid melalui kanta, kita dapat melihat pad titisan darah merah dan putih, terdapat kepingan dinding penutup rahim dan rahim menjadi luka bagaikan kulit yang mengelupas.”

Menurutnya lagi, “Oleh itu, rahim terdedah kepada serangan bacteria. Darah merupakan medium yang paling mudah untuk bakteria membiak. Semasa haid keluar, daya ketahanan rahim menjadi lemah untuk menghadapi serangan bakteria. Bakteria yang terdapat pada permukaan zakar boleh menyebabkan bahaya besar kepada rahim. Ia bertambah bahaya lagi apabila daya ketahanan rahim untuk melawan bakteria sangat lemah ketika haid kerana sangat sedikit proses pengasingan saluran fallopio berasid yang membunuh bakteria.”

Persetubuhan semasa haid juga boleh menyebabkan radang rahim dan radang saluran fallopio yang membawa kepada kesakitan sepanjang hayat dan sukar diubati malah merebak kepada penyakit lain seperti :

  • Radang yang berlanjutan kepada dua ovari pada rahim.
  • Radang yang berlanjutan ke saluran kencing.
  • Rasa kesakitan yang sangat kuat ketika haid.
  • Daya ketahanan yang berkurang.
  • Keinginan seks yang semakin berkurang dan cenderung untuk bersendirian.
  • Penyakit berjangkit kepada pasangan lelaki khususnya kebengkakan yang memberi risiko kepada organ kencing.
  • Kepeningan atau migrain.

Benarlah firman Allah SWT,

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّـهُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ ﴿٢٢٢

Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

(Surah al-Baqarah: 222)

Walaupun ia adalah kotor, namun Islam tidaklah menyuruh supaya menyisihkan isteri ketika haid sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Yahudi. Mereka tidak mahu makan bersama, tidur bersama, malah tidak mahu isteri tinggal bersama ketika dalam haid. Nabi SAW sendiri pernah makan dan tidur bersama dengan isterinya ketika isterinya dalam haid. Ini menzahirkan bagaimana Islam memuliakan wanita walaupun dalam keadaan haid. Wallahua’lam.


Akhukum Fillah
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber

53
Kedudukan Sahabat Nabi s.a.w.  di Sisi Al-Imam Al-Syafi'e Rahimahullah

Soalan:
Umum mengetahui, kelompok Syiah Imamiyah menolak Sahabat Nabi SAW.
Bagaimanakah kedudukan sebenar para Sahabat di sisi Imam al-Syafie?

Jawapan:
Imam al-Syafie berkata: “Allah SWT telah menyampaikan pujian kepada sahabat-sahabat Rasulullah SAW dalam al-Qur’an, Taurat dan Injil. Dan telah lebih dahulu disampaikan tentang keutamaan mereka melalui lisan Rasulullah SAW, sesuatu yang tidak dimiliki oleh seorang pun setelah mereka. Maka Allah SWT pun menyayangi mereka dan menempatkan mereka pada setinggi-tinggi darjat dan kedudukan iaitu kedudukan orang-orang yang jujur, para syuhada’ dan orang-orang soleh.

Merekalah yang telah menyampaikan kepada kita sunnah-sunnah Rasulullah SAW, dan merekalah yang menyaksikannya. Ketika wahyu diturunkan kepada Rasulullah SAW, mereka mengerti apa yang dikehendaki oleh Rasul dalam keadaan umum mahupun khusus, dan mereka mengetahui dari Sunnahnya apa yang kita ketahui dan apa yang tidak kita ketahui. Dan mereka melebihi kita dalam bidang ilmu pengetahuan, ijtihad, sikap warak serta perkara yang dapat difahami melalui ilmu dan disimpulkannya.

Pemikiran-pemikiran mereka untuk kita lebih terpuji dan lebih utama daripada pemikiran-pemikiran yang datang daripada kita untuk kita. Jika seseorang di antara mereka menyatakan pendapatnya, kemudian tidak seorang pun yang menyalahkannya, maka kita pun akan mengambil pendapatnya itu.

Dalam ungkapan ini terkandung penghargaan yang begitu besar terhadap sahabat dan pengenalannya akan hak dan ketinggian kedudukan mereka dalam Islam, dan inilah yang diyakini oleh setiap pengikut Ahli Sunnah wa al-Jama’ah.

Berkata Imam al-Syafie : “Saya tidak melihat orang yang diuji dengan tindakan mencaci-maki para sahabat Rasulullah SAW, melainkan dengan caci-maki itu, Allah akan menambahkan kepada mereka (sahabat) pahala dikala sudah terputusnya amal perbuatan mereka (setelah meninggal dunia).”

Imam al-Syafie juga menyebut tentang keunggulan Khulafa’ al-Rasyidin dan darjat mereka dalam kalangan sahabat : “Manusia yang paling utama selepas Rasulullah SAW adalah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali RA.”

Tambahnya lagi : “Keutamaan itu dimulai daripada Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali.”. Al-Rabi’ bin Sulaiman juga berkata : “Aku telah mendengar Imam al-Syafie RA menyatakan tentang keutamaan Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali RA.” Wallahua'lam.


Akhukum Fillah
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber

54
Ujian Allah DiSantuni Kekejaman Yahudi DiTangani

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  11   surah at-Taghabun :
مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۗوَمَن يُؤْمِن بِاللَّـهِ يَهْدِ قَلْبَهُ ۚ وَاللَّـهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Maksudnya : Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Kini kita di negeri sebelah Pantai Timur sedang memasuki musim tengkujuh. Ketika kita melihat suasana banjir besar yang telah melanda negeri sebelah Utara terutama Perlis, Kedah dan Pulau Pinang maka kita di sini masih terbayang-bayang dengan musibah bah kuning yang menimpa kita pada hujung 2014 yang lepas. Inilah antara ujian kehidupan yang kita hadapi dalam menguji tahap keimanan dan bergantung harapnya kita kepada Allah dalam kehidupan.

Seorang Mukmin dengan ketakwaannya kepada Allâh, memiliki kebahagiaan yang hakiki dalam hatinya, sehingga masalah apapun yang dihadapinya di dunia ini tidak akan membuatnya mengeluh apalagi berputus asa. Hal ini disebabkan keimanannya yang kuat kepada Allâh membuat dia yakin bahawa apapun ketetapan yang Allâh tetapkan untuk dirinya maka itulah yang terbaik baginya. Dengan keyakinannya inilah maka Allâh  akan memberikan balasan kebaikan baginya berupa ketenangan dan ketabahan dalam jiwanya.

Imam Ibnu Katsîr RH berkata (maksudnya): Seseorang yang ditimpa musibah dan dia meyakini bahwa musibah tersebut merupakan ketentuan dan takdir Allâh, kemudian dia bersabar dan mengharapkan balasan pahala dari Allâh, disertai perasaan tunduk berserah diri kepada ketentuan Allâh  nescaya Allâh  akan memberikan petunjuk ke dalam hatinya dan menggantikan musibah dunia yang menimpanya dengan petunjuk dan keyakinan yang benar dalam hatinya, bahkan Allâh akan menggantikan apa yang hilang darinya dengan sesuatu yang lebih baik baginya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat  30  surah as-Syura:

وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ
Maksudnya : Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

Ulama mengatakan 4 golongan manusia dalam hadapi setiap musibah dan cubaan hidup di dunia iaitu :

[1] Golongan yang lemah iaitu selalu berkeluh kesah terhadap setiap keadaan. Dia selalu mengadu namun bukan kepada Allah tempat mengadu melainkan sesama manusia. Dia selalu meratapi hari-hari bahkan sering dia bertindak di luar batas untuk melepaskan rasa marah atas takdir buruk yang dia terima. Dia selalu mengeluh kepada semua orang. Padahal dengan banyak mengeluh bukannya orang akan simpati malah akan menjauhkan diri daripadanya bahkan dengan banyak mengeluh bukannya menyelesaikan masalah sebaliknya masalah bertambah rumit. Sikap ini adalah sikap orang-orang yang lemah imannya, lemah akalnya dan agamanya.

[2] Golongan yang bersabar atas musibah dengan cara menahan diri dari melakukan hal-hal yang mengundang amarah Allah . Menahan lisan dari berucap kata yang tidak disukai Allah. Mencegah perbuatan dari perkara yang dimurkai Allah. Orang yang sabar dalam menghadapi musibah sentiasa berdoa agar Allah menyingkirkan dan meringankan musibah yang menimpanya dan berharap pahala yang ada padanya, di saat yang sama dia mengambil sebab dan upaya agar musibah itu berlalu darinya. Setiap mukmin akan selalu mendapat ujian. Dan Allah tidak akan memberi beban kecuali sesuai dengan tahap kemampuannya.

[3] Golongan yang redho yang sentiasa berlapang dada ketika musibah menimpanya. Orang yang redho atas musibah sangat menyedari bahawa semua yang terjadi atas kehendak Allah. Baginya, ketika ditimpa musibah seolah-olah dia tidak merasa mendapat musibah. Darjat redho atas musibah tentu lebih tinggi tingkatannya dari sikap sabar.

[4] Golongan yang bersyukur atas musibah yang berlaku.  Aneh kedengarannya, ditimpa musibah bagaimana boleh lahir rasa syukur. Ditimpa musibah bagaimana boleh berterima kasih.  Itulah keadaan golongan keempat ini. Baginya musibah adalah sesuatu yang ‘mengasyikkan’. Dia seakan menikmati ‘memadu kasih’ dengan Tuhannya di saat tertimpa musibah walau bagaimanapun bentuknya. Malah, kalau boleh dia berharap agar musibah itu tidak lekas hilang darinya. Golongan yang menempati darjat ini adalah para nabi dan rasul, wali-wali Allah, orang-orang yang memiliki keimanan dan ketakwaan yang mendalam

قال النبي : عَجَبًا ِلأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَلِكَ ِلأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْراً لَهُ – رواه مسلم
Maksudnya : Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

قال النبي : إِنَّ اللهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتَزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ. وَلَـٰكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ. حَتَّىٰ إِذَا لَمْ يَبْقِ عَالِمًا، اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالًا. فَسُئِلُوْا، فَأَفْتُوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوْا وَأَضَلُّوْا.“ رواه البخارى
Maksudnya : Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu sekaligus mencabutnya daripada dada hamba-hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan cara mewafatkan para ulama hingga bila sudah tidak tersisa ulama maka manusia akan mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang jahil, ketika mereka ditanya mereka berfatwa tanpa ilmu, mereka sesat dan menyesatkan orang lain.

Sejak akhir-akhir ini semakin ramai ulama Islam yang meninggal dunia yang mengingatkan kita tentang bagaimana dunia ini terlalu hampir dengan Qiamat. Al-Quran dan hadis nabi s.a.w menyatakan bahayanya bila dunia sepi daripada Ulama taqwa yang boleh membimbing manusia kepada jalan kebenaran.

Sesuai sebagai pewaris nabi maka peranan Ulama begitu besar dalam memberi tunjuk ajar umat bukan sahaja dalam bab ibadat khusus malah meliputi seluruh apek kehidupan termasuk cara berpolitik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Hilangnya Ulama merupakan suatu kehilangan yang besar yang wajar kita rasa kebimbangan terutama dalam menjaga kesucian agama seterusnya melaksanakan segala system Islam dalam kehidupan agar memperolehi kebahagian hidup dunia dan akhirat.

Oleh itu marilah kita berlumba untuk mencari ilmu sebelum Ulama sudah tiada. Jangan selepas kematian seorang demi seorang Ulama barulah kita kalut untuk mencari. Kehilangan Ulama sukar dicari ganti seumpama kebocoran yang tidak mampu lagi ditampung.

عَنْ أَبِيْ أُمَامَةَ عَنْ رَسُوْلِ اللهِ ﷺ أَنَّهُ قَالَ: “خُذُوْا الْعِلْمَ قَبْلَ أَنْ يَذْهَبَ.“ قَالُوْا: “وَكَيْفَ يَذْهَبُ الْعِلْمُ، يَا نَبِيَّ اللهِ، وَفِيْنَا كِتَابُ اللهِ؟“ قَالَ؛ فَغَضِبَ لَا يُغْضِبُهُ اللهُ، ثُمَّ قَالَ: “ثَكِلَتْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ! أَوَلَمْ تَكُنِ التَّوْرَاةُ وَالْإِنْجِيْلُ فِيْ بَنِيْ إِسْرَائِيْلِ فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمْ شَيْئًا؟ إِنَّ ذَهَابَ الْعِلْمِ أَنْ يَذْهَبَ حَمَلَتُهُ. إِنَّ ذَهَابَ الْعِلْمِ أَنْ يَذْهَبَ حَمَلَتُهُ.“
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda (maksudnya): “Ambillah ilmu sebelum ia hilang.” Para sahabat bertanya: “Bagaimana ilmu boleh hilang, wahai Nabi, sedangkan di kalangan kita ada Kitab Allah?” Abu Umamah berkata; maka Nabi marah, yang sebelumnya belum pernah baginda marah, lalu bersabda: “Rosak kalian! Bukankah sudah ada Taurat dan Injil di kalangan Bani Israeil tetapi keduanya tidak mencukupi bagi mereka (tidak mereka jadikan pedoman di zaman mereka)? Sesungguhnya hilangnya ilmu bersama hilangnya pembawa ilmu itu. Sesungguhnya hilangnya ilmu bersama hilangnya pembawa ilmu itu (ulama’).”

Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 61 surah al-Baqarah :
وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلۡمَسۡكَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ
Maksudnya : Mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaran-Nya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.

Beradanya kita pada bulan November sewajarnya mengetuk hati kita untuk mengingati suatu peristiwa hitam iaitu pada 2 November 1917, 100 tahun lalu yang menyaksikan permulaan kepada kejahatan zionis Yahudi yang merupakan ‘Dajal Dunia’ yang sehingga ke hari ini tidak pernah insaf sebaliknya terus bermaharajalela melakukan kesombongan, kejahatan, kekejaman dan ketidakadilan terhadap tanah air serta bangsa lain yang dijajahnya. 100 tahun lalu, dengan usaha dan bantuan Britain, mereka mengisytiharkan Deklarasi Balfour yang jelas menyokong penubuhan sebuah negara Yahudi di atas tanah air umat Islam iaitu Palestin. Deklarasi haram yang tidak bermoral ini melanggar prinsip-prinsip Liga Bangsa-Bangsa (kini dikenali sebagai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau PBB). Ia telah membuka jalan kepada ‘penjajahan’ negara Palestin oleh Yahudi dan pencabulan serta pemusnahan secara paksa hak-hak rakyat Palestin yang sah.

Sejak tarikh hitam itu terusirlah rakyat Palestin secara beransur-ansur dari Palestin sebaliknya menambahkan bilangan orang Yahudi yang diketahui asalnya hanya berjumlah enam orang sahaja di Palestin pada waktu itu. Hari ini kira-kira 7 juta rakyat Palestin bertebaran di seluruh dunia disebabkan segala angkara yang bermula dengan Deklarasi Balfour 1917. Sepanjang era penjajahan Britain di Palestin, sejak tahun 1917, negara itu diketahui telah berusaha dengan kuat sekali untuk mendirikan sebuah negara dan tanah air bagi bangsa Yahudi di Palestin melalui dasar-dasar mereka.

Antaranya:
[1] Membantu kemasukan pendatang haram Yahudi ke Palestin
[2] Membantu pembinaan penempatan haram, pengambilalihan besar-besaran tanah rakyat Palestin secara paksaan
[3] Melatih kumpulan militan Zionis seperti Haganah yang dibekalkan dengan senjata untuk memerangi, melakukan pembunuhan ke atas rakyat Palestin
[4] Mencegah masyarakat Palestin daripada membina, membangunkan institusi-institusi mereka, sebaliknya membiarkan Zionis bertindak memusnahkan dan meminggirkan institusi-institusi masyarakat Palestin
[5] Membantu mengusir rakyat Palestin dari kampung halaman dan tanah air mereka serta memusnahkan lebih 500 kampung penduduk Palestin
[6] Menghalang sebarang usaha rakyat Palestin yang menentang pembangunan projek-projek Zionis Yahudi.
[7] Terus berusaha meruntuhkan Masjid Aqsa bagi membina Haikal Sulaiman yang didakwa milik yahudi

Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, atas masjid yang mulia ini marilah kita sama-sama mengutuk kekejaman zionis Yahudi dan sekutu kuffarnya serta hulurkan bantuan kepada saudara seagama di Palestin. Boikot barangan pengganas zinois yahudi dan sekutunya setakat yang termampu dalam menekan pengganas dunia itu daripada terus bermaharajalela.
خَيْبَرْ خَيْبَرْ يَا يَهُوْد جَيْشُ مُحَمَّدٍ سَوْفَ يَعُوْد
Berambus! Berambus wahai yahudi! Tentera Muhammad kan kembali.

Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالْآخِرَةِ ۚ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ فَيُقْتَلْ أَوْ يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Sumber

55
HUKUM MEMBACA DAN MENGULANG HAFAZAN AL-QURAN DALAM KEADAAN HAIDH

Pada awal tahun ini, sesi persekolahan baru bermula. Ramai dalam kalangan anak kita yang memasuki sekolah berasrama penuh dan yang berkonsepkan hafazan al-Qur’an seperti SEMESTA, IMTIYAZ, MRSM Ulul Albab dan juga tahfiz persendirian.

Persoalannya, boleh ke anak-anak perempuan yang dalam keadaan uzur atau haid menghafaz al-Qur’an?

Jawapan:
Alhamdulillah, pertamanya saya ucapkan tahniah kepada para ibubapa kerana mengambil prihatin dan tanggungjawab dalam memastikan pendapat yang dipilih tidak bercanggah dengan syariat Islam. Begitu juga atas kejayaan anak-anak yang telah melayakkan diri memasuki sekolah berasrama penuh dan sekolah-sekolah yang lain.

Dalam masalah ini, terdapat dua pandangan.
Pertama : Haram. Inilah pendapat jumhur Fuqaha’. Mereka melarang wanita membaca al-Qur’an ketika dalam keadaan haid dan sedang berjunub berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Umar RA

لاَ تَقْرَأ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ
“Tidak  dibolehkan wanita  dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Qur’an.”
Riwayat al-Tirmizi (131)

Hadith ini dhaif di sisi sebahagian ahli ilmu kerana sebahagian riwayatnya Ismail bin Ayyash dari golongan Hijjaz dan riwayatnya daripada mereka adalah dhaif.

Kedua : Harus. Inilah pendapat ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang al-Qur’an bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar.

Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana, hari-hari kedatangan haid itu berlangsung dalam tempoh yang lama. Maka, jika mereka dilarang membaca al-Qur’an, dibimbangi hafazan al-Qur’an mereka akan terluput. Sedangkan, berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid.

Ianya juga memberi kemudahan kepada madrasah Tahfiz al-Qur’an untuk meneruskan pengajarannya sehingga para huffaz tidak melupai hafazannya disebabkan terhenti bacaan kerana haid.

Inilah juga pendapat tokoh ulama’ silam seperti Imam al-Bukhari, Imam Ibn Jarir al-Tabari, Ibn al-Munzir, al-Zahiryyah, al-Syaukani, al-San’ani, al-Sya’bi, pendapat Imam al-Syafi’i dalam qaul qadim yang telah dinukilkan oleh Abu Thaur. Antara ulama’ masa kini yang berpegang dengan keharusannya adalah Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaymeen, Syeikh al-Azhar Ali Tantawi. (Lihat Tawdhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, Syeikh Abdullah al-Bassam, 1/461)

Antara Kenyataan Mereka
  • Syeikh al-Dasuqi al-Maliki berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an dalam keadaan adanya darah sekalipun telah berlaku janabah sebelum itu.” (Lihat Hasyiyah ala al-Syarh al-Kabir al-Dardir, 1/284)
  • Syeikh Salih Abd al-Sami’ al-Abi berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an tanpa menyentuh Qur’an.” (Lihat Jawahir al-Iklil, 1/32)
  •   Al-Mardawi al-Hanbali berkata : “Ditegah wanta haid daripada membaca al-Quran secara mutlak dan inilah yang sahih dalam mazhab Hanbali tetapi ada pendapat menyatakan tidak ditegah. Inilah yang dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin Ibn Taimiyyah” (Lihat al-Insaf 1/347)
  • Ibn Hajar menukilkan daripada Ibn Rushd dan Ibn Battal bahawa dikehendaki Imam al-Bukhari yang berdalilkan keharusan membaca al-Quran bagi haid dan junub sedangkan tidak sah dari sisi musannif sesuatu pun hadis tentang itu (Lihat Fath al-Bari 1/486)
  • Malah, dalam masalah wanita yang sedang dalam nifas juga, dibolehkan untuk membaca al-Qur’an sebagaimana fatwa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah : “Membaca al-Qur’an bagi wanita nifas dibolehkan jika dia khuatir akan boleh lupa bacaan al-Qur’an dengan sebab lamanya tempoh masa nifas tersebut. Tetapi, jika dia yakin bahawa dia tidak melupakan bacaan al-Qur’an tersebut, maka tidak perlu dia membacanya.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, Syeikh Ibn Taimiyyah, 1/636)
   
Tarjih
Kesimpulannya membaca al-Qur’an dan menghafaznya ketika dalam haid adalah DIBOLEHKAN berdasarkan sebab-sebab yang telah diterangkan. Di sini sekali lagi dinyatakan beberapa pendapat atau athar  dalam menyokong pendapat ini.
  • Direkodkan bahawa Saidatina Aishah membaca a-Quran dalam keadan haid. Inilah yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk 1/357, al-Tabarani dalam Awsat 2/98, Ibn Rajab dalam Fath al-Bari 1/46, Ibn Hazm dalam al-Muhalla 1/78-79.
  • Ini juga pendapat Ibn Abbas, Ibn Musayyib yang menyatakan keharusan membaca al-Quran bagi wanita haid termasuk Muhammad ibn Maslamah.
Saya menegaskan satu pendapat yang cukup baik yang dikemukakan oleh mantan Syeikh al-Azhar, Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq melalui bukunya Buhuthun wa al-Fatawa. Beliau menyatakan keharusan pelajar wanita yang dalam keadaan haid untuk menghafaz al-Qur’an dan membacanya ketika haid atas faktor peperiksaan atau ujian. Ini disebabkan kerana waktu tersebut adalah terhad dan terbatas. Justeru, kaedah darurat atau masyaqqah amat sesuai digunakan.

Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa hukum wanita haid adalah sama dengan wanita nifas dalam bab membaca al-Qur’an yang mana wanita tersebut boleh memegang dan membaca al-Qur’an sekiranya wanita tersebut adalah guru atau murid. (Lihat Hasyiyah al-Dusuqi, 1/175)

Saya cadangkan juga pelajar dalam haid beralih kepada mendengar al-Qur’an melalui CD atau Youtube yang memungkinkan seseorang itu mengingati dan mengulang hafazan al-Qur’an.

Akhukum fillah
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan



56
KAEDAH PELUPUSAN AL-QURAN YANG ROSAK AKIBAT BANJIR

Soalan :
Bagaimanakah kaedah pelupusan al-Qur'an yang rosak akibat banjir seperti yang melanda di sebahagian negeri-negeri di Malaysia baru-baru ini?

Jawapan :
 Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya yang telah mengurniakan kepada kita nikmat. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kemudian.

Sebelum saya melebarkan jawapan ini, marilah sama-sama kita menginsafi apa yang berlaku berkenaan dengan banjir atau bah besar yang melanda pada sebahagian Negara kita seperti di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Kedah, Perlis dan Sabah. Walaupun begitu, sifat sabar, redha dan menghulurkan bantuan samada wang ringgit, harta benda bahkan tenaga bertali arus oleh semua pihak. Usaha seperti ini sewajarnya dipupuk dengan lebih baik lagi.

Firman Allah Ta’ala :
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Maksudnya:Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.
(Surah al-Hijr ayat 9)
Sebenarnya persoalan ini pernah kami jawab secara umum dalam Irsyad Fatwa ke-12 yang lalu. Walaupun begitu, pada kali ini saya akan tafsirkan dengan lebih terperinci. Para ulama’ telah khilaf bagaimana cara melupuskannya kepada dua pendapat.

Pertama : Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat hendaklah digali tanah dan ditanam di  dalamnya.
  • Seperti ulama’ Hanafi antaranya al-Haskafi berkata : “Mushaf apabila berada pada keadaan yang mana kita tidak mampu membacanya lagi hendaklah ditanam sebagaimana keadaan orang Islam yang mati”. Lihat al-Durr al-Mukhtar 1/191. Sahib al-Hasyiah memberi komentar dengan berkata : “Diletakkan perca kain yang bersih yang diletakkan di dalamnya (al-Qur’an yang rosak) kemudian ditanam di tempat yang tidak dihina dan dipijak.”
  • Al-Buhuti, seorang ulama’ dalam mazhab Hanbali berkata : “Jika sekiranya mushaf telah basah atau lupus, hendaklah ditanamnya secara nas. Imam Ahmad menyebut bahawa Abu al-Jawza’ telah basah mushafnya lantas digali lubang pada masjidnya dan ditanamnya.” Lihat Kasyaf al-Qina’ 1/137.
  • Syeikh Muhammad bin Ibrahim Al al-Syeikh (mantan Mufti Besar Arab Saudi) berpendapat, cara yang paling sahih ketika luput sebahagian kertas mushaf ialah dengan menanamnya di masjid. Jika tidak boleh maka ditanamnya di tempat yang bersih lagi suci dan harus juga membakarnya. Lihat al-Fatawa 13/84
Kedua : Mazhab Maliki dan Syafi’i berpendapat, hendaklah dibakar.
  • Hujah bagi pendapat yang kedua ini adalah berdasarkan tindakan Saidina Uthman yang memerintahkan untuk membakar mushaf yang lain yang berbeza dengan mushaf yang ditulis, dan perbuatan tersebut telah disaksikan oleh ramai Sahabat. Kisah ini telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya no. 4988. Mus’ab bin Sa’d berkata : “Aku mendapati ramai orang yang mana menyaksikan peristiwa arahan Saidina Uthman supaya mushaf-mushaf yang lain dibakar. Perbuatan tersebut menjadi kehairanan bagi mereka tetapi tidak seorang pun dari kalangan mereka mengingkarinya.” Diriwayatkan oleh Abu Bakr bin Abi Daud dalam bukunya Kitab al-Masahif halaman 41.
  • Ibn Battal berkata : “Perintah Saidina Uthman supaya membakar semua mashaf ketika dihimpunkan al-Quran menandakan keharusan membakar kitab-kitab yang terpada padanya Asma’ullah (nama-nama Allah). Yang demikian, sebagai kemuliaan baginya dan pemeliharaan daripada dipijak dengan kaki serta dicampakkannya pada mana-mana tempat.” Lihat Syarah Sahih al-Bukhari 10/226.
  • Imam al-Suyuti berkata : “Apabila perlu kepada melupuskan sebagian kertas mushaf dengan sebab basah atau rosak, maka tidak harus diletakkannya pada mana-mana tempat sekalipun tinggi kerana boleh jadi akan jatuh dan dipijak. Begitu juga tidak harus mengoyaknya kerana memisahkan huruf-huruf dan kalam tersebut. Justeru, kalau dibakarnya dengan api, maka tidak mengapa. Ini kerana perbuatan Saidina Uthman yang membakar semua mushaf dan tiada seorangpun yang mengingkarinya.” Lihat al-Itqan fi Ulum al-Qur’an 2/1187

Tarjih
Selepas meneliti dua pandangan di atas samada menanamnya atau membakarnya, saya melihat bahawa adalah diharuskan kedua-duanya kerana ia bermatlamat untuk memuliakan al-Qur’an atau mushaf.

Walaupun begitu, saya lebih cenderung kepada hujahan mazhab Syafi’i dan Maliki yang memilih dengan cara membakar. Perbuatan sahabat seperti Saidna Uthman yang merupakan ijtihad daripadanya dan juga selepas itu tidak diingkari oleh mana-mana sahabat menjadi hujah yang kuat kepada perbuatan tersebut untuk mengharuskan pembakarannya. Ini kerana ianya memang rosak disebabkan banjir dan alangkah baiknya selepas itu, debu yang berbaki, ditanam kerana mengambil pendapat yang pertama dari mazhab Hanafi dan juga Hanbali.

Alhamdulillah, mutakhir ini telah wujud alat yang moden dalam menghancurkan kertas sehingga menjadi seperti debu atau serpihan halus dan tidak kekal lagi walaupun kalimah dan huruf secara zahir. Kemudian ianya dibakar pula dan kemudian ditanam, maka sudah tentu lebih selamat dalam memuliakan al-Qur’an daripada dihina atau dipijak.

Begitu juga terpakai dalam isu ini berkenaan dengan nama-nama Allah, kitab-kitab hadith atau kitab-kitab agama yang mengandungi nama Allah yang hendaklah kita muliakan di mana cara pelupusannya dibuat sebagaimana dilupuskan mushaf seperti di atas.

Semoga jawapan ini menyelesaikan isu dan kemelut berkenaan dengan pelupusan mushaf yang rosak atau yang tidak mungkin dapat dibaca lagi dengan sebab ditenggelami air dalam tempoh masa yang tertentu. Wallahua’lam.
Akhukum fillah,
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan


57
WALI BAPA MASIH HIDUP TETAPI TIDAK DAPAT DIKESAN

SOALAN :
Jika terdapat abang atau adik lelaki atau bapa saudara, bolehkah mereka menjadi wali walaupun yakin dan pasti bahawa wali (bapa) masih hidup tetapi tidak tahu di mana?

JAWAPAN :
Tidak boleh. Ini berdasarkan kepada, keyakinan tidak boleh ditolak dengan syak seperti dalam kaedah fiqh yang masyhur:
 
الْيَقِيْنُ لاَ يَزُولُ بِالشَّكِّ
Maksudnya: Keyakinan tidak boleh digugat dengan syak.

Justeru, dicadangkan supaya hendaklah diwar-warkan sama ada di media atau sebaran am untuk menjejaki wali tersebut melalui kenalan, kerabat, jiran dan lain-lain lagi. Seterusnya dikemukakan kes tersebut kepada mahkamah syariah supaya hakim dapat memutuskan penyelesaian terbaik dalam kes seperti ini.

Suka dijelaskan berkenaan isu wali ghaib, jika sekiranya kedapatan ramai wali, dan wali yang paling hampir berada dua marhalah atau lebih daripada pengantin, maka hak perwalian tidak berpindah kepada wali berikutnya, tetapi ia berpindah kepada sultan. Ini adalah pandangan mazhab Syafie.

Ini memandangkan hak perwalian masih kekal pada wali ghaib yang terhampir. Apabila dia tidak dapat melaksanakannya, maka hak perwalian tersebut digantikan oleh hakim. Namun, jika wali yang terhampir kurang dua marhalah, maka sultan tidak boleh melaksanakan perkahwinan itu kecuali dengan izinnya. Hal ini disebabkan jarak perjalanan yang singkat dan wali itu boleh dirujuk sama ada hadir sendiri atau mewakilkannya, samalah seperti wali itu bermukim.

Apabila wali tiada, maka hak perwalian berpindah kepada qadi, kerana dia dilantik untuk melaksanakan kepentingan orang Islam. Mewalikan perkahwinan perempuan yang ketiadaan wali merupakan maslahat yang wajib disempurnakan.

Akhukum Fillah
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber

58
KESATUAN ULAMA’ DAN UMARA'
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ ….
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !
Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.


Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat  37 surah al-Ra’adu :
وكذلك أنزلناه حكما عربيا ولئن اتبعت أهواءهم بعد ما جاءك من العلم مالك من الله من ولي ولاواق
Maksudnya : Dan demikianlah Kami telah menurunkan al-Quran itu sebagai peraturan dalam bahasa Arab.Sekiranya kau mengikuti hawa nafsu mereka setelah datang pengetahuan kepadamu. Tiada sekali-kali pelindung dan pemelihara bagimu terhadap siksaan Allah.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Kini kita berada di awal bulan Sofar di mana pada akhir bulan inilah Rasulullah s.a.w  selepas pulang daripada mengerjakan haji wada’ pada tahun 10 Hijrah telah mengatur tentera di bawah kepimpinan seorang pemuda yang bernama Usamah bin Zaid bagi menghancurkan kubu kerajaan Rom yang terletak di Balqa’, Jordan dan Palestin.

Namun begitu ketika persiapan terakhir tentera Islam bagi menjalankan misi penting ini, tiba-tiba Rasulullah s.a.w telah ditimpa sakit tenat yang membawa kepada kewafatan baginda di keheningan pagi hari Isnin 12 Rabiul Awwal tahun 11 Hijrah.

Kewafatan Rasulullah s.a.w setelah segala ajaran Islam yang meliputi ibadat, sosial, ekonomi, pentadbiran dan seluruh aspek kehidupan manusia telah sempurna.

Ajaran dan sistem Islam yang sempurna ini ditinggal bersama dengan 2 sumber rujukan yang utama iaitu al-Quran dan Hadis bagi mengelakkan umat manusia daripada tersesat dan kembali kepada kehidupan jahiliah.

Kewafatan Rasulullah s.a.w bukanlah bererti segala ajaran dan sistem Islam terhenti pelaksanaan dan penghayatannya tetapi ia diteruskan oleh para sahabat dan ulama’ yang dikatakan pewaris para nabi dalam menunaikan kewajipan dakwah dan mentadbir dunia berasaskan Islam Tanggungjawab ini ditunaikan dengan penuh cermat oleh pemimpin Islam dibantu oleh para ulama’ bagi memastikan kemurnian Islam terjaga dan keadilan sejagat terus terbela daripada dirosakkan oleh tangan-tangan ganas yang begitu dahagakan kemusnahan dan huru-hara.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Gabungan dan kesatuan antara pemimpin dan ulama’ dalam menjalankan amanah besar dengan melaksanakan segala ajaran dan sistem Islam bagi menjamin keadilan dan keamanan dalam negara telah berjalan dengan baik termasuk di Alam Melayu.

Contoh yang dapat lihat ialah bagaimana yang berlangsung di Acheh di zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Islam Acheh apabila Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah melantik Syeikh Hamzah Fansuri dan Syeikh Syamsudin Sumetrani sebagai penasihatnya.

Sultan selepas itu pula iaitu Sultan Iskandar Thani Mahkota Alam telah melantik Syeikh Nuruddin Raniri dan Syeikh Abdul Rauf Singkel sebagai penasihat dalam mentadbir negara dan menyebarkan Islam. Gabungan yang mantap antara pemimpin dan ulama’ telah membawa negara ke arah kegemilangan tamadun yang berasaskan material dan rohani secara serentak.

Selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki ditangan penjenayah sekulerisme yang dipimpin oleh Mustafa Kamal at-Tartuk pada tahun 1924 maka gabungan antara pemimpin dan ulama’ menjadi renggang kerana biasanya pemimpin negara umat Islam dipilih daripada kalangan yang berfahaman penjajah hasil daripada strategi musuh Islam yang begitu teratur dalam memastikan Islam tidak mampu bangkit sebagai suatu kuasa besar sebagaimana sebelum ini.

Kebanyakan ulama’ yang ikhlas berjuang dalam mengembalikan semula kekuasaan dan kegemilangan Islam telah mengambil jalan menegur dan menasihati pemimpin yang begitu terpengaruh dengan sistem kuffar melalui jalan luar dengan menolak untuk bersatu dengan pemimpin selagimana mereka tidak melaksanakan perintah dan amanah Allah.

Kebanyakan ulama’ memilih jalan sebagaimana yang diambil oleh imam Ahmad bin Hambal yang tidak mahu menerima jawatan yang ditawarkan oleh khalifah Makmun dan Muktasim disebabkan khalifah pada masa itu dipengaruhi oleh aliran muktazilah yang terkeluar daripada golongan ahli Sunnah wal jamaah.

Imam Ahmad bin Hambal terus bertegas dengan keputusannya walau pun dipenjara dan disiksa begitu lama sehinggalah Khalifah Mutawakkil yang dikenali sebagai penegak ahli sunnah wal jamaah naik menjadi khalifah barulah beliau dibebaskan.

Tindakan ini disebabkan perlantikan mereka nanti bukanlah bertujuan untuk menasihat tetapi terpaksa mengikut segala kemahuan pemimpin yang kebanyakannya bertentangan dengan Islam yang sebenar.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dalam menyedarkan kesesatan pemimpin yang berjaya mempengaruhi rakyat melalui ideologi sekularisme yang pernah disifatkan oleh Syeikh Mustafa Sobri iaitu Mufti terakhir Khilafah Uthmaniah Turki di mana beliau menyatakan bahawa sekuler merupakan jalan pintas ke arah kemurtadan.

Disebabkan berfahaman sekuler iaitu pemisahan antara agama dan urusan dunia maka pemimpin berani menghina Islam serta menghalalkan apa yang diharamkan serta mengharam apa yang dihalalkan oleh Allah seperi arak dan riba.

Para pemimpin sanggup berperang dengan Allah dan rasul dengan menghalalkan riba yang menyebabkan umat Islam menjadi hina dan melarat di negara sendiri. Rakyat yang dijahilkan terus terikut dengan rentak pemimpin mereka sehingga  suasana dalam negara menjadi bercelaru apabila agama hanya dilaksanakan dalam urusan ibadat khusus dan nikah kahwin sahaja.

Melihat suasana penghayatan Islam mula hilang ditelan oleh keganasan serangan fahaman sekularisme menyebabkan ulama’ yang benar-benar ikhlas berjuang dalam memartabatkan Islam bangun menerangkan garisan antara Islam dan kufur.

Tindakan berani mereka walau pun terpaksa menghadapi senapang pemerintah dan dipenjara namun demi Islam segala jiwa raga sanggup dikorbankan. Pengorbanan suci ini mestilah kita semua hargai dan sanjungi serta membantu para ulama’ yang meneruskan perjuangan dalam memastikan Islam berjaya ditegakkan kembali.

Ulama’ bukanlah pengganas yang dahagakan darah manusia dan suka kepada perpecahan tetapi mereka adalah golongan yang cintakan kedamaian dengan memastikan semua hak umat manusia ditunaikan dan dikawal dengan sistem Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia.

Dengan usaha dan pengorbanan murni merekalah maka kita pada hari ini dapat mengenali apakah Islam yang sebenar dan kita tidak hanyut dengan laungan agama suku politik suku yang dibawa oleh pendakyah sekularisme.
Disamping itu Allah tidak menurunkan bala yang terlalu berat untuk dipikul oleh kita sebagaimana yang berlaku di beberapa negeri dan Negara Umat Islam di seluruh dunia.

Ini disebabkan adanya para ulama’ di negara kita telah memainkan peranan mereka setakat yang mampu walau pun dihalang dan disekat dengan pelbagai cara dalam mnghadapi kesesatan sistem dan kezaliman pemimpin sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :

وما كان ربك ليهلك القرى بظلم وأهلها مصلحون
Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.

Oleh itu kembalilah kita merenung dan berfikir apakah sumbangan kita kepada kemenangan Islam dalam diri, masyarakat dan Negara seterusnya berjuang dan berjihad dengan segenap upaya. Moga-moga mendapat kemenangan dunia dan akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

59
Hukum Mandi Tanpa Seurat Benang

Soalan:

Adakah mandi wajib itu sah sekiranya mandi tanpa seurat benang?

Jawapan:

Dalam al-Fiqh al-Manhaji berkata: “Allah SWT suka kepada orang yang bersih daripada hadas dan kekotoran, sama ada kekotoran zahir atau batin.”
 
Mandi menurut bahasa ialah mengalirkan air ke atas apa-apa sahaja. Manakala pada syara’ pula ialah mengalirkan air ke atas badan dengan niat yang tertentu. Mandi telah disyariatkan oleh Allah SWT sama ada untuk kebersihan ataupun untuk mengangkat hadas dan sama ada ia menjadi syarat sah ibadat ataupun tidak. Firman Allah SWT:
 
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: Haid itu adalah suatu kotoran. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haidh. Dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.
(Surah al-Baqarah: 222)

Berkenaan dengan mandi secara telanjang, terdapat dalil yang menunjukkan keharusannya. Antaranya hadis Abu Hurairah RA bahawa Nabi Musa AS mandi dalam keadaan tidak berpakaian di tempat yang jauh daripada orang ramai. Sabda Nabi SAW:
 
كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ يَغْتَسِلُونَ عُرَاةً، يَنْظُرُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ، وَكَانَ مُوسَى يَغْتَسِلُ وَحْدَهُ، فَقَالُوا وَاللَّهِ مَا يَمْنَعُ مُوسَى أَنْ يَغْتَسِلَ مَعَنَا إِلاَّ أَنَّهُ آدَرُ، فَذَهَبَ مَرَّةً يَغْتَسِلُ، فَوَضَعَ ثَوْبَهُ عَلَى حَجَرٍ، فَفَرَّ الْحَجَرُ بِثَوْبِهِ، فَخَرَجَ مُوسَى فِي إِثْرِهِ يَقُولُ ثَوْبِي يَا حَجَرُ‏.‏ حَتَّى نَظَرَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ إِلَى مُوسَى، فَقَالُوا وَاللَّهِ مَا بِمُوسَى مِنْ بَأْسٍ‏.‏ وَأَخَذَ ثَوْبَهُ، فَطَفِقَ بِالْحَجَرِ ضَرْبًا

Maksudnya: “Dahulu Bani Israel mandi telanjang, mereka saling melihat satu sama lain. Sementara Nabi Musa as mandi seorang diri. Orang-orang Bani Israel berkata :’Demi Allah, tidak ada yang mencegah Musa mandi bersama kita kecuali kerana dia mengidap penyaki aadar.’ Suatu ketika Nabi Musa pergi mandi, baginda meletakkan pakaiannya di atas batu, lalu batu itu membawa lari pakaiannya. Maka Musa pun mengejarnya (batu itu), seraya berkata : ‘Hai batu, pakaianku!’. Akhirnya, orang-orang Bani Israel pun melihat Musa. Lalu mereka berkata : ‘Demi Allah, ternyata Musa tidak mengidap penyakit apa pun.’ Musa berjaya mengambil pakaiannya, lalu memukul batu tersebut dengan satu pukulan. Abu Hurairah berkata : “Demi Allah, bekas (pukulan) Nabi Musa pada batu itu sama dengan pukulan enam atau tujuh batu”
Riwayat al-Bukhari (no: 274)

Begitu juga terdapat hadis sahih menceritakan bahawa Nabi Ayub AS mandi tanpa seurat benang. Sabda Nabi SAW:
 
بَيْنَا أَيُّوبُ يَغْتَسِلُ عُرْيَانًا فَخَرَّ عَلَيْهِ جَرَادٌ مِنْ ذَهَبٍ، فَجَعَلَ أَيُّوبُ يَحْتَثِي فِي ثَوْبِهِ، فَنَادَاهُ رَبُّهُ يَا أَيُّوبُ، أَلَمْ أَكُنْ أَغْنَيْتُكَ عَمَّا تَرَى قَالَ بَلَى وَعِزَّتِكَ وَلَكِنْ لاَ غِنَى بِي عَنْ بَرَكَتِكَ ‏

Maksudnya : Sewaktu Nabi Ayyub AS mandi dalam keadaan bogel/telanjang, tiba-tiba jatuhlah di depannya seekor belalang emas. Ayyub pun segera hendak mengambil kainnya, maka baginda pun dipanggil oleh Tuhannya, “Wahai Ayyub, bukankah engkau telah cukup kaya hingga tidak memerlukan lagi barang (belalang emas) yang kau lihat itu?” Ujur Ayyab, “Benar wahai Tuhanku, tetapi aku tidak boleh mengabaikan keberkatan-Mu.”
Riwayat al-Bukhari (279)

Bahkan Imam al-Bukhari sendiri dalam Sahihnya meletakkan bab Orang yang mandi berseorangan dalam keadaan bersendirian, dan orang yang menutup aurat, maka menutup aurat adalah lebih baik.
 
Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari berkata: Imam al-Bukhari menggunakan hadis tentang kisah Nabi Musa dan Nabi Ayyub ini sebagai hujah bahawa dibolehkan bertelanjang ketika mandi. Hal ini kerana, menurut Ibn Battal bahawa Nabi Musa dan Nabi Ayyub adalah Nabi yang kita diperintahkan untuk mengikuti mereka. Tetapi kaedah pendalilan dari hadith ini tepat jika kita berpegang kepada prinsip kaedah dalil syarak para Nabi terdahulu sebelum syariat kepada Nabi Muhammad dan berpegang ia adalah syarak bagi kita juga. Kemudian, Ibn Hajar berkata bentuk pendalilan yang lebih jelas ialah dengan mengatakan Nabi SAW menceritakan kisah dua Nabi ini, tanpa memberi sebarang komentar dari sudut mereka mandi telanjang. Ini bermakna syarak mereka dalam hal ini bersamaan dengan syarak kita.
 
Kesimpulannya, hukum mandi telanjang adalah makruh dan sebahagian Syafieyyah menguatkan pendapat haram. Al-Hafiz berkata: “Yang masyhur adalah makruh jika bersendirian.”
 
Justeru, sah mandi dalam keadaan telanjang tetapi hendaklah tidak di tempat terbuka atau dapat dilihat oleh orang lain. Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain.
 
Bahkan Rasulullah SAW bersabda:
الحَيَاءُ مِن الإِيمَان
Maksudnya: “Malu itu sebahagian daripada Iman.”
Riwayat al-Bukhari (no: 24)

Akhukum Fillah
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber

60
Hukum Memberi Zakat Kepada Mangsa Bencana Alam Seperti Banjir dan Lain-lain

Soalan:

Mohon pandangan SS Mufti tentang hukum memberikan zakat kepada mangsa banjir?

Jawapan:

Dalam hal ini, perkara yang perlu difahami setiap mangsa kebiasaannya dalam keadaan amat memerlukan bantuan mengikut kadar kemusnahan yang dialami. Boleh jadi aset atau hartabendanya ranap sebahagian kecil, sebahagiannya atau musnah keseluruhannya. Dalam hal ini, marilah sama-sama kita memahami firman Allah SWT daripada Surah al-Taubah ayat 60.

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya : Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Ayat ini menunjukkan bahawa golongan yang berhak menerima zakat hanya lapan golongan sahaja. Jumhur fuqaha’ berpendapat tidak harus diberikan kepada selain daripada yang dinaskan al-Qur’an iaitu lapan golongan ini.

Mazhab Syafi’i menetapkan bahawa wajib dibahagi kepada semua yang ada dalam kalangan asnaf yang berhak menerima zakat. Sedangkan mazhab yang lain memadai dengan sekumpulan daripada golongan yang berhak menerima zakat sahaja. Ini juga difatwakan oleh Ibn Ajil al-Asma’ie dan ramai dalam kalangan ulama’ mutakihr kerana sukar mencari lapan asnaf. Inilah yang disebutkan dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin.

Berkenaan dengan isu di atas, sebahagian ulama’ menganggap bahawa ia adalah bencana yang menyebabkan hartabenda mereka musnah dan memerlukan kepada bantuan serta berhutang samada untuk diri mereka atau keluarga mereka. Justeru, kebanyakan ulama’ memasukkan golongan seperti ini dalam asnaf al-gharimin iaitu orang yang berhutang. Sebahagian ulama’ mensyaratkan jenis hutang ini adalah yang bersifat darurat dan keperluan dan bukan untuk kemewahan atau berfoya-foya.

Oleh kerana itulah kami menyatakan bahawa harus diberi zakat kepada golongan yang terkena mudarat atau bencana samada banjir besar, puting beliung, tanah runtuh, gempa bumi dan lain-lain yang menyebabkan rumah mereka musnah, tanaman mereka binasa, dan tidak ada lagi apa-apa yang mereka miliki. Mereka boleh dikategorikan sebagai golongan al-gharimin yang berhak menerima zakat.

Selain daripada nas di atas, jika dilihat kepada tafsiran ulama’ antaranya Mujahid yang berkata : “3 golongan boleh dikategorikan sebagai al-gharimin iaitu :
  • Mereka yang hartanya dihanyut oleh banjir atau bah.
  • Mereka yang ditimpa kebakaran yang menyebabkan musnah hartanya
  • Mereka yang mempunyai tanggungan dan tiada baginya harta untuk di infakkan kepada tanggungannya.
Kenyataan seperti di atas oleh Mujahid adalah bertepatan dengan hadith yang sahih yang dinyatakan daripada Qabisah bin Mukhariq al-Hilali yang berkata :

تَحَمَّلْتُ حَمَالَةً فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَسْأَلُهُ فِيهَا فَقَالَ ‏"‏ أَقِمْ حَتَّى تَأْتِيَنَا الصَّدَقَةُ فَنَأْمُرَ لَكَ بِهَا ‏"‏ ‏.‏ قَالَ ثُمَّ قَالَ ‏"‏ يَا قَبِيصَةُ إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لاَ تَحِلُّ إِلاَّ لأَحَدِ ثَلاَثَةٍ رَجُلٍ تَحَمَّلَ حَمَالَةً فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَهَا ثُمَّ يُمْسِكُ وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ - أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ - وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ حَتَّى يَقُومَ ثَلاَثَةٌ مِنْ ذَوِي الْحِجَا مِنْ قَوْمِهِ لَقَدْ أَصَابَتْ فُلاَنًا فَاقَةٌ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ - أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ - فَمَا سِوَاهُنَّ مِنَ الْمَسْأَلَةِ يَا قَبِيصَةُ سُحْتًا يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا ‏"


“Aku telah menanggung bebanan yang banyak lantas aku pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda mafhumnya : ‘Tetaplah kamu di sini sehingga datang kepada kami sedekah dan kami akan perintahkan supaya diberi kepadamu’. Kata Qabisah : ‘Kemudian Baginda SAW bersabda : ‘Hai Qabisah! Sesungguhnya meminta-minta tidak halal kecuali untuk tiga golongan sahaja. Lelaki yang menanggung bebanan maka halallah baginya meminta sehingga menyelesaikannya kemudian menyimpannya, lelaki yang ditimpa bencana sehingga binasa hartanya maka halal baginya meminta sehingga mencukupi bagi dirinya dalam meneruskan sisa kehidupan atau menyelesaikan keperluannya, lelaki yang ditimpa kefakiran sehingga datang tiga orang lelaki yang berakal dan bermaruah daripada kaumnya mengiyakannya yang dia telah ditimpa kefakiran maka layaklah untuknya meminta sehingga menyelesaikan keperluan hidupnya. Hai Qabisah! Selain daripada itu, meminta-minta itu dianggap sebagai haram dan memakannya adalah haram.”
(Riwayat Muslim, no. 1044)

Imam al-‘Azim al-Abadi menyatakan: “Siapa yang ditimpa hartanya dengan sebab kebinasaan daripada langit atau bumi seperti kesejukan, air batu, tenggelam dan seumpamanya yang menyebabkan tiada lagi baginya barangan untuk hidup maka haruslah baginya meminta sehingga dapat menyelesaikan kehidupannya semula.” [Aun al-Ma’bud 3/36]

Beberapa ulama’ telah memberi fatwa antaranya Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang berkata : “Aku khususkan yang mengenai sifat al-gharimin bagi golongan yang terkena bencana alam sehingga binasa harta bendanya dan terpaksa kepada berhutang maka hukumnya dibolehkan. [Fiqh al-Zakat 2/623]

Begitu juga dengan Dr. Husamuddin bin Musa ‘Iffanah, Profesor Fiqh dan Usul dari Universiti al-Quds, Palestin yang menyatakan  hukumnya adalah harus diberikan kepada golongan seperti ini.

Saya berpendapat harus untuk memberi zakat kepada mereka, sebagaimana pendapat-pendapat yang dikemukakan dan saya cenderung untuk mencadangkan supaya hendaklah diberi kepada Baitulmal, seterusnya Baitulmal akan mengenalpasti golongan yang benar-benar terdesak dan memerlukan bantuan dengan membuat anggaran kerosakan yang ditanggung dan juga keperluan yang dihajatinya. Ini kerana, jika diberi secara langsung dengan kuantiti yang banyak, dibimbangi sebahagian sahaja yang memperolehnya sedangkan sebahagian yang lain tidak mendapat walaupun sedikit. Justeru, pasti rasa tidak selesa akan terwujud pada kebanyakan golongan yang ditimpa bencana yang tidak dapat apa-apa bantuan atau bantuan yang tidak mencukupi.

Baitulmal hendaklah menggerakkan tenaganya dengan seupaya mungkin bagi menyelesaikan kemelut tersebut dengan secepat mungkin kerana keperluan untuk hidup adalah bersifat segera. Semoga jawapan ini dapat memberi pencerahan kepada yang bertanya dalam menyalurkan bantuan berupa zakat ataupun infaq yang lain bagi membantu saudara-saudara seIslam yang terbabit dalam bencana seperti banjir dan lain-lain. Wallahua’lam

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber

Pages: 1 2 3 [4] 5 6