Login  |  Daftar

Show Posts

This section allows you to view all posts made by this member. Note that you can only see posts made in areas you currently have access to.

Topics - Halaqah

Pages: [1] 2 3 ... 6
1
Isra’ Mikraj DiHayati Yahudi DiPerangi Al-Quds DiMiliki

الحَمْدُ للهِ !!  الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.
 
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Isra’ Mikraj ini merupakan mukjizat kedua terbesar selepas mukjizat al-Quran di mana golongan yang mengguna akal semata-mata seperti Liberal yang tidak beriman kepada peristiwa ini atas alasan ia adalah sesuatu yang mustahil berlaku kerana tidak mungkin seorang manusia dapat melalui perjalanan yang jauh dalam masa yang singkat tanpa apa-apa kenderaan yang canggih. Manakala kita yang beriman kepada Allah dan rasulNya sepastinya beriman tanpa sangsi kerana Allah sendiri menjelaskan bahawa Isra’ Mikraj bukanlah atas usaha Rasulullah s.a.w tetapi ia adalah atas kekuasaan Allah.

Oleh itu mustahil atau tidak peristiwa Isra’ tidak diukur dengan kemampuan Rasulullah s.a.w sebagai seorang manusia tetapi diukur berdasarkan kemampuan Allah Tuhan yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu

Kedudukan akal dalam Islam bukanlah mutlak kerana akal juga mempunyai kemampuan dan had tertentu sebagaimana kemampuan mata, telinga yang juga mempunyai had masing-masing. Ada hal-hal tertentu yang tidak mampu difikirkan oleh akal seperti perkara-perkara ghaib antaranya kewujudan Syurga dan Neraka, azab kubur dan lain-lain. Dalam hal ini naqal atau wahyu diperlukan untuk menjelaskannya kepada manusia melalui perantara seorang Rasul atau Nabi. Sebagai orang Islam, kita hendaklah pandai meletakkan kedudukan akal di posisi sepatutnya dan tidak melampau.

Jangan kita meletakkan akal sebagai sumber ilmu yang mutlak lalu apa yang boleh difikirkan oleh akal sahaja dan adanya bukti kajian yang nampak sahaja barulah kita beriman. Jika tiada, maka kita tidak beriman, ini pandangan yang salah kerana apa yang tidak mampu dicapai oleh akal akan disokong oleh naqal samada al-Qur’an atau Hadith nabi s.a.w.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 4-6 surah al-Isra’:

وَقَضَيْنَا إِلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ فِي الْكِتَابِ لَتُفْسِدُنَّ فِي الْأَرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوًّا كَبِيرًا ﴿٤﴾ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ أُولَاهُمَا بَعَثْنَا عَلَيْكُمْ عِبَادًا لَّنَا أُولِي بَأْسٍ شَدِيدٍ فَجَاسُوا خِلَالَ الدِّيَارِ ۚوَكَانَ وَعْدًا مَّفْعُولًا ﴿٥﴾ ثُمَّ رَدَدْنَا لَكُمُ الْكَرَّةَ عَلَيْهِمْ وَأَمْدَدْنَاكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَجَعَلْنَاكُمْ أَكْثَرَ نَفِيرًا ﴿٦

Maksudnya : Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.  Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.  Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya

Peristiwa Isra’ Mikraj yang melibatkan 2 tanah suci ini ada rahsia besar di sebaliknya. Dengan Isra’nya Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Baitul Maqdis dan mengimamkan Solat Jemaah bersama para nabi-nabi di Masjid al-Aqsa mengisyaratkan penganugerahan kepimpinan baru umat manusia kepada nabi Muhammad s.a.w. Sebelum ini telah berabad-abad lamanya amanah berkenaan dipersia-siakan oleh Bani Israel. Melalui peristiwa Isra’ ini, Allah menghimpunkan kepada umat Islam kedua-dua tanah suci yang terdapat padanya Qiblat, Baitillah di Makkah dan Baitul Maqdis di Palestin Sebagai tanah suci para Anbiyaa’, yang menjadi tanggungjawab umat Islam menjaganya. Pertama kali Bani Israel berhijrah ke Palestin bersama nabi Musa a.s.,dalam misi membebaskan diri daripada perhambaan Fir’aun. Mengenai janji Allah untuk Bani Israel melalui nabi Musa a.s., ke atas Palestin, al-Qur’an menjelaskan bahawa Allah memerintahkan mereka supaya masuk ke tanah suci  Baitul Maqdis. 

Al-Qur’an sebaliknya menceritakan  Bani Israel mengengkari perintah itu, malah mereka dengan biadap mencabar nabi Musa a.s. supaya memasuki Baitul Maqdis dengan Tuhannya tanpa membabitkan mereka. Akibat keengkaran itu  dan lain-lain keengkaran sesudahnya, Allah telah melaknat mereka sehingga jadilah kaum Yahudi sebagai kaum yang terlaknat.  Akhirnya mereka hidup terdampar dan bertaburan terbuang di seluruh muka-bumi.

Firman Allah dalam ayat 24-26 surah al-Maidah :

قَالُوا يَا مُوسَىٰ إِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا أَبَدًا مَّا دَامُوا فِيهَا ۖ فَاذْهَبْ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلَا إِنَّا هَاهُنَا قَاعِدُونَ ﴿٢٤﴾ قَالَ رَبِّ إِنِّي لَا أَمْلِكُ إِلَّا نَفْسِي وَأَخِي ۖ فَافْرُقْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ ﴿٢٥﴾ قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيْهِمْ ۛ أَرْبَعِينَ سَنَةً ۛ يَتِيهُونَ فِي الْأَرْضِ ۚ فَلَا تَأْسَ عَلَى الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ ﴿٢٦

Maksudnya : Mereka (menolak dengan) berkata: “Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu”. Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu”. Allah berfirman: “Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya – selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu”

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Demikian penjelasan Allah melalui al-Qur’an mengenai sikap dan jati-diri kaum Yahudi. Mereka telah dianugerahkan kepimpinan bersama para Rasul dan amanah menegakkan Syari’at Allah, namun mereka telah mensia-siakannya.Apabila  tiba masanya, Allah menarik kembali anugerah dan amanah tersebut daripada mereka dan diserahkan kepada umat Islam. Hal ini nampak jelas dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj terutama ketika di Masjid al-Aqsa nabi Muhammad s.a.w mengimami Jemaah para Anbiyaa’. Sememangnya, mesej utama daripada peristiwa Isra’ dan Mi’raj ialah persoalan hak dan amanah ke atas kota suci Bait al-Maqdis dan bumi Palestin . Ianya adalah berasaskan  Aqidah-Syari’at Rabbaniyyah, bukannya berasaskan hak keturunan-bangsa.

Allah memerintahkan Bani Israel di zaman nabi Musa a.s. memasuki Baitul Maqdis kerana mereka adalah pemegang amanah Aqidah-Syari’at Allah pada masa itu.  Apabila mereka engkar dan enggan menjunjung Syari’at Allah, hak dan amanah mereka ke atas al-Quds telah dilucutkan. Mereka bukan sahaja dinafikan daripada pertolongan Allah, malah terhina di mata umat manusia.

Demikianlah  mana-mana pihak di sepanjang masa, yang berjuang untuk mendapatkan hak dan amanah ke atas Baitul Maqdis dan Palestin amnya. mesti menerima hakikat bahawa Baitul Maqdis adalah Tanah Suci  kepunyaan Allah bukan milik mutlak mana-mana bangsa samada Yahudi, Arab ataupun Palestin.

Firman Allah dalam ayat 105 surah al-Anbiya’

وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِن بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ ﴿١٠٥﴾

Maksudnya: ”Sesungguhnya kami telah tuliskan dalam Kitab Zabur sesudah al-Zikr (Taurah) bahawa bumi ini diwariskan kepada hamba-hambaku yang Soleh”.

Oleh itu mana-mana kaum yang berjuang untuk mendapatkan hak penguasaan ke atas Baitul Maqdis  kerana Allah demi untuk menegakkan Aqidah dan Syari’ahNya akan ditolong oleh Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang mulia, di bulan Rejab yang mulia ini maka kita mengecam tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Bukit Golan di Syria sebagai sebahagian wilayah Israel. Tindakan bacul ini jelas sekali melanggar resolusi 497 yang dicapai dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1967. Kita juga mengutuk tindakan kejam zionis yahudi yang terus membedil kota Gaza, pembantaian skala besar dihadapkan kepada umat Islam Palestin yang berjuang untuk membebaskan al-Quds. Bedilan udara zionis meratah jasad manusia yang tak berdosa serta melanggar konvensyen Geneva. Sedarlah kita bahawa untuk mencapai kemenangan tidak cukup sekadar menitis air mata tetapi mesti berkorban segala apa yang ada termasuk menumpahkan darah ke bumi dalam memerdekakan Masjid Aqsa dan Palestin. Kita mesti menghargai betapa bernilainya Masjid Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat Islam serta yakin bahawa bumi Palestin adalah tanah wakaf milik seluruh umat Islam. Umat Palestin adalah penjaga kepada tanah wakaf milik kita semua. Ayuh bangun membantu umat Palestin dengan doa, harta dan jiwa raga kita serta memboikot barangan Israel dan sekutunya terutama Amerika Syarikat. Biar bermandi darah, pantang pejuang menyerah kalah. Biar nyawa melayang, bumi Aqsa mesti dimerdekakan. Biar bercerai nyawa daripada badan asalkan keganasan zionis yahudi dapat dihentikan. Beritahu kepada dunia bahawa umat Islam yang bermaruah tidak akan membiarkan tubuh umat Islam diratah dan bumi kita dijajah.

Sama-sama kita laungkan خَيْبَرْخَيْبَرْ يَا يَهُوْد جَيْشُ مُحَمِّدٍ سَوْفَ يَعُوْدُ: Berambus! Berambus wahai yahudi! Tentera Muhammad kan kembali

Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


2
Jati Diri Ummah DiMiliki Islam DiJulang Tinggi

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  30 surah Fussilat :

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّـهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu

Sifat Istiqamah membawa maksud tetap atau berpendirian teguh atas kebenaran. Secara umumnya, berpegang pada aqidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah atau berpaling tadah walau apa jua keadaan.  Istiqamah merupakan daya kekuatan yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam, mulai daripada amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan.  Segala amalan samada fardu ain atau fardu kifayah memerlukan istiqamah.

Ibnu ‘Abbâs RA dan Qatâdah RH berkata, “Maksud Istiqmah, berlaku luruslah dalam melaksanakan hal-hal yang diwajibkan.” Abu Bakar RA menafsirkan firman Allah( ثُمَّ اسْتَقَامُوْا) “dengan mengatakan, ”Mereka adalah orang-orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun.”

Qâdhi ‘Iyâdh RH mengatakan, “Mereka mentauhidkan Allah dan beriman kepada-Nya kemudian berlaku lurus, tidak menyimpang dari tauhid, dan selalu iltizâm atau konsisten dalam melakukan ketaatan kepada-Nya sehingga mereka meninggal dunia

Imam al-Qusyairi RH berkata, “Istiqâmah adalah sebuah darjat, dengannya berbagai urusan menjadi sempurna dan berbagai kebaikan dan keteraturan mampu diraih. Sesiapa yang tidak istiqâmah dalam keperibadiannya maka dia akan sia-sia dan gagal. Istiqâmah tidak akan mampu dilakukan kecuali oleh orang-orang yang berjiwa besar, kerana dia keluar dari hal-hal yang dianggap lumrah, meninggalkan adat kebiasaan, dan berdiri di hadapan Allah dengan jujur.”

Imam an-Nawawi RH pula mengatakan, ”Para ulama menafsirkan istiqâmah dengan ” لُزُوْمُ طَاعَةِ اللهِِ ” ertinya tetap konsisten dalam ketaatan kepada Allah.”

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 16 surah al-Jin :

وَأَن لَّوِ اسْتَقَامُوا عَلَى الطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَاهُم مَّاءً غَدَقًا

Maksudnya : (Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): “Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka

Perjuangan dalam hidup manusia amat luas dan berbeza-beza. Perjuangan yang suci di redhai Allah tidak terlepas daripada cabaran terutamanya perjuangan menegakkan Islam sama ada dalam diri, dalam keluarga dan dalam masyarakat.  Cabaran itu hanya akan dapat di atasi oleh semangat jihad yang tinggi, beristiqamah, bersabar dan tidak berputus asa. Istiqamah bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan oleh seseorang itu,tidak ramai yang mampu untuk melaksanakan istiqamah ini dalam kehidupan seharian.  Terdapat 3 syarat dalam Istiqamah iaitu [1] adalah Niat dengan memasukkan dalam hati untuk beristiqamah. Teguhkan dan ajarkan hati untuk berniat melakukan perkara-perkara baik setiap hari. Ini kerana setiap amalan itu bermula dengan niat dan kita akan diberi ganjaran bersandarkan niat kita. Syarat ke-[2] adalah mengurangkan pilihan dalam membuat amalan. Memang lumrah manusia sekiranya berhadapan dengan banyak pilihan tugasan, dia akan membuat pilihan yang paling ringan atau mudah sahaja. Maka utamakanlah perkara-perkara yang ‘utama’ dalam membuat amalan. Elakkanlah memilih benda yang ringan sahaja, tetapi pilihlah yang paling utama. Jangan tunggu ikhlas baru hendak beramal sebaliknya beramallah sehingga ikhlas. Jangan tunggu tua baru hendak beramal sebaliknya beramallah sampai tua. Jangan tunggu pencen baru nak datang masjid atau belajar ilmu agama sebaliknya datanglah masjid dan belajar hingga terus istiqamah sampai mati. Jangan banyak beri alasan untuk menjadi makmum belakang imam waktu hidup agar tidak menyesal setelah tubuh terbujur kaku depan imam sebagai jenazah. Jangan malu tutup aurat agar bila dibalut kain kafan baru nak menyesal yang tiada guna. Jangan beri alasan tiada masa untuk membaca al-Quran agar kita tidak menyesal bila Quran tidak mahu memberi syafaat bila berada di akhirat kelak

Seterusnya syarat ke-[3] adalah memperbanyakkan Doa. Doa itu senjata bagi orang-orang beriman, ia adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan yang dimohon didengar oleh Allah SWT. Allah SWT tidak suka kepada hambaNya yang tidak pernah memanjatkan doa.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 139 surah Ali ‘Imran :

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Maksudnya : Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

Kita wajib lahir sebagai umat yang istiqamah dalam amal ibadat, pelaksana tuntutan agama dalam keluarga, masyarakat dan Negara untuk Berjaya dunia seterusnya akhirat. Betapa sedih rasanya jika menatap realiti umat Islam dewasa ini. Mereka diselimuti oleh kemiskinan agama, akhlak dan kebendaan. Ramai telah dijangkiti virus kecintaan secara berlebih-lebihan terhadap dunia dan takut mati. Mereka berbuat zalim kerana miskin iman. Mereka sering melakukan tindakan bertentangan dengan Islam akibat miskin ilmu. Umat Islam yang sepatutnya menjadi khairu ummah iaitu umat terbaik akhirnya menjadi mainan di tangan kaum kafir dan musyrik.

Keberadaan kaum Muslimin belum berhasil menjadikan diri mereka gambaran Al-Quran yang berjalan secara kukuh yang boleh disaksikan orang lain. Bahkan, mereka adalah manusia-manusia yang memiliki kelayakan untuk dijajah. Jadi, bukanlah musuh yang terlalu kuat untuk dihadapi, tetapi umat Islam sendiri yang kehilangan jati diri Islam dan ruh jihad.

Umat Islam hari ini bukanlah pahlawan ilmu pengetahuan, sekalipun al-Quran memberikan perintah pertama kali, iqra’ (bacalah). Umat Islam hilang rasa sensetif berkaitan aqidah sehingga memandang kecil isu murtad dan ramai yang tenggelam dengan fahaman liberal, menyamaratakan agama, Umat Islam tidak menjadi orang yang berlapang dada dan bersungguh dalam menyelesai masalah, sekalipun kita sentiasa membaca surah Asy-Syura. Akhirnya umat Islam hanya banyak bermesyuarat tetapi tindakannya kosong malah apa yang lebih malang timbulnya slogan kita bersatu untuk tidak bersatu seperti kezaliman terhadap umat Islam di Palestin, Syria tidak mampu dihentikan walau pun Negara sekelilingnya adalah milik umat Islam. Umat Islam hilang kekuatan dalam aspek persiapan ketenteraan, sekalipun al-Quran dan hadis nabi memerintahkan untuk mempersiapkan kekuatan sehingga bukan sahaja aurat umat Islam ditelanjang, maruah dihina malah nyawa dibunuh sesuka hati tanpa pembelaan.

Umat Islam bagaikan hilang kekuatan dalam menguasai ekonomi, sekalipun surah al-Jumuaah menekankan agar umat Islam bertebaran di muka bumi dalam membina kekuatan ekonomi. Umat islam terus menjadi pengguna dan pembeli setia kepada barangan bukan Islam. Oleh itu sama-sama kita contohi sikap yang pernah ditunjuk oleh Sayyidina Uthman bin Affan RH yang berusaha bersungguh-sungguh membeli telaga milik seorang Yahudi yang menjadi antara sumber air utama sehingga umat Islam di Madinah terpaksa membeli air dengan harga yang mahal daripada Yahudi tersebut. Akhirnya Yahudi itu sanggup menjual separuh telaganya iaitu dengan cara bergilir sehari telaga itu bawah Sayydina Uthman dan hari yang lain bawah kawalan Yahudi itu. Pada hari telaga itu di bawah jagaan Sayydina Uthman maka umat Islam akan mengambil air secara percuma dengan kadar kegunaan untuk 2 hari yang menyebabkan pada hari telaga itu di bawah kawalan Yahudi tidak ada yang datang membeli airnya.

Akhirnya Yahudi itu bertindak menjual seluruh telaga itu kepada Sayyidina Uthman sehingga umat Islam tidak lagi bergantung kepada Yahudi itu untuk mendapat air. Oleh itu usaha dalam melahirkan lebih ramai usahawan, barangan dan pasaraya milik umat Islam wajib digandakan agar umat Islam tidak lagi terlalu bergantung kepada orang bukan Islam disamping sikap sesetengah pengusaha bukan Islam yang mempermainkan isu halal haram dapat dibanteras

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 8 surah al-Mumtahanah :

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya : Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Islam menerima hakikat hubungan kemanusiaan bermasyarakat majmuk dan madani, bersempadankan akidah dan syariat yang memelihara hubungan kemanusiaan, bersikap positif terhadap semua kebaikan dan kebijaksanaan daripada semua pihak tanpa meninggalkan Islam diutamakan dan memimpin serta menjadi petunjuk yang wajib ditegakkan mengatasi yang lain daripadanya dan disampaikan mesejnya kepada seluruh manusia. Islam adalah penyelesaian yang wajib ditegaskan menjadi akidah perjuangan berkonsepkan Rabbani dan berwawasan dunia akhirat.

Umat Islam wajib istiqamah atau konsisten menegakkan Islam yang sempurna tanpa paksaan terhadap pihak yang lain. Wala’ untuk tunduk kepada Islam memimpin dan bersatu di bawahnya adalah wajib dan haram berwala’ kepada bukan Islam. Namun diizinkan bertahaluf dan berkerjasama dengan bukan Islam dalam titik persamaan yang tidak terkeluar daripada kewajipan menegakkan Islam sehingga berdaulat, bertujuan menyampaikan Islam kepada semua pihak dengan pelaksanaannya yang menyeluruh. Jangan atas alasan kerjasama menyebabkan hak umat Islam dan umatnya dilanggar dan dirobek atas nama kebebasan beragama dan asasi. Sebaliknya kuatkan pelaksanaan Islam sehingga orang Islam dan bukan Islam dapat merasai keadilan dan kehebatan system Islam. Manusia biasanya memusuhi apa yang mereka tidak faham berkenaannya. Oleh itu perjelaskan Islam bukan menyembunyikannya atas alasan bimbang orang bukan Islam takut dan membencinya. Umat Islam sendiri wajib yakin dengan Islam dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya bukannya kita sendiri yang menghina agama sendiri dan mempertahan orang yang menentang Islam. Islamlah nescaya kita mulia dan Berjaya dunia akhirat

Firman Allah dalam ayat 85 surah Ali ‘Imran

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


3
IRSYAD AL-FATWA KE-37: BAGAIMANAKAH CARANYA UNTUK MENGHILANGKAN PERASAAN WAS-WAS DALAM MENGERJAKAN SOLAT DAN SEBAGAINYA?

Maksudnya: Katakanlah wahai Muhammad: "Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) sekalian manusia. Raja sekalian manusia, Tuhan sekalian manusia, Dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi (menunggu peluang). Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia, dari (golongan) jin dan manusia.” (Surah al-Nas: 1-6)

Surah di atas menunjukkan betapa besarnya bahaya was-was yang dikuasai dan dipimpin oleh syaitan sehingga bertapak dalam hati manusia, apatah lagi jika membabitkan permasalahan akidah yang membawa kepada syak dan ragu-ragu berkenaan dengan kekuasaan Allah.

Dalam masalah ini dinyatakan beberapa noktah yang perlu diketahui:
  • Was-was adalah permainan syaitan yang perlu dihindari. Syaitan boleh menggoda manusia dengan mengetahui cara godaannya maka jelaslah pada kita untuk menghindarinya.
  • Berdoa kepada Allah supaya menjadi golongan yang tetap hati dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang was-was. Nabi S.A.W sentiasa memperbanyakkan membaca doa ini:

    يا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

    Maksudnya: “Wahai yang membalikkan hati manusia sabitkanlah hatiku atas agamamu.”
    Riwayat al-Tirmizi (2140)
  • Melazimi membaca surah al-Nas dan tadabbur dengannya.
  • Membaca buku yang membicarakan bentuk-bentuk was-was seperti Talbis Iblis karangan Ibn Jauzi.
  • Begitu juga kitab-kitab tasawuf yang membicarakan hal ini dan cara mengatasinya. Antaranya:
    Ihya’ Ulum al-Din oleh Imam al-Ghazali.
Kita hendaklah tidak melayani perasaan was-was kerana kaedah kita masyhur dalam qawaid fiqhiyah ialah اليقين لا يزول بالشك (keyakinan tidak boleh digugat dengan syak). Semoga Allah mengurniakan kepada kita istiqamah dan iltizam dalam ibadat tanpa sebarang was-was. Amin.

4
TASHIH AL-MAFAHIM #5: KEWAJIPAN MELAZIMI AHLI SUNNAH WAL-JAMAAH

Salah faham

Terdapat segelintir masyarakat Islam yang berpendapat bahawa tidak mengapa jika berpegang dengan fahaman selain daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Ini kerana, berpegang dengan fahaman selain Ahli Sunnah Wal-Jamaah, bukan bermakna keluar daripada agama Islam, tetapi ia sekadar fahaman yang berbeza dengan pegangan umat Islam majoriti. Justeru, tidak mengapa seseorang berpegang dengan fahaman Syiah atau Mu’tazilah atau Khawarij atau seumpama dengannya kerana ia bukan bermakna murtad daripada agama Islam. Adakah ini pendirian yang tepat?

Pencerahan

Bagi menjawab isu ini, terlebih dahulu kita perlu memahami siapakah Ahli Sunnah Wal-Jamaah itu. Pemahaman yang betul akan memimpin kita untuk mengetahui kedudukan sebenar Ahli Sunnah Wal-Jamaah di dalam Islam. Justeru, ia dapat memberikan gambaran dan kesimpulan yang tepat. Jika sebaliknya, seseorang akan gagal menempatkan kedudukan Ahli Sunnah Wal-Jamaah pada tempatnya yang betul lalu terpedaya dengan idea-idea baharu yang ultra-inklusif sehingga terjebak dengan ajaran-ajaran yang pada hakikatnya merosakkan ketulinan agama ini.

Epistemologi Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah bukanlah nama sebuah parti politik atau mazhab yang diasaskan oleh ulama. Sebaliknya ia merupakan istilah yang berpunca daripada nas-nas syarak yang banyak. Bagi istilah al-Sunnah, Rasulullah SAW pernah mengungkapkannya dengan makna wahyu yang selain daripada al-Qur’an. Baginda SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّى قَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ فَلَنْ تَضِلُّوا أَبَدًا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan buat kamu (dua perkara) selagimana kamu berpegang dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan sunnah Nabi-Nya.”

Riwayat al-Baihaqi (20123)

Istilah al-Sunnah juga digunakan untuk merujuk kepada perkara yang mempunyai dalil syarak, sama ada daripada al-Qur’an mahupun sunnah Rasulullah SAW dan ijtihad para sahаbat. Antaranya sabda Baginda SAW:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ

Maksudnya: “Hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah para Khulafа’ al-Rаshidіn al-Mahdiyyіn.”

Riwayat al-Tirmizi (2676)

Pada ketika yang lain, al-Sunnah diucapkan oleh Rasulullah SAW bagi menyerlahkan maksud lawan kepada bid‘ah yang dilarang. Antaranya hadith yang menegah tiga orang al-sahаbah yang berhasrat untuk bersolat sepanjang malam, berpuasa sepanjang tahun dan menegah diri daripada berkahwin. Baginda SAW lalu bersabda:

أَمَا والله إني لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ له لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عن سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya: “Adapun demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut kepada Allah dalam kalangan kamu, paling bertaqwa dalam kalangan kamu kepada-Nya, namun begitu, aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur dan mengahwini wanita. Maka sesiapa yang membenci sunnahku, ia bukan daripada kalanganku.”

Riwayat al-Bukhari (4776)

Demikian juga hadith Rasulullah SAW mengenai golongan yang menunggu bintang-bintang muncul sebagai waktu berbuka puasa menerusi sabdanya:

لا تَزَالُ أُمَّتِي عَلَى سُنَّتِي مَا لَمْ تَنْتَظِرْ بِفِطْرِهَا النُّجُومَ

Maksudnya: “Umatku sentiasa berpegang dengan sunnahku selagi mana ia tidak menunggu bintang-bintang keluar untuk membuka puasanya.”

Riwayat Ibn Hibban (3510)

Berpandukan dalil-dalil tersebut, jelas menunjukkan perkataan al-Sunnah bukan istilah yang datang kemudian, sebaliknya ia bersumberkan lisan Rasulullah SAW sendiri. Walaupun istilah tersebut tidak terkandung dalam al-Qur’an, namun begitu, terdapat konotasi al-Sunnah yang jelas dalam setiap ayat yang merujuk kepada perintah mengikuti Rasulullah SAW sama ada berbentuk suruhan mahupun larangan. Antaranya, firman Allah SWT:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚوَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya, dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya).”

(Surah al-Hasyr: 7)

Adapun istilah al-Jamа‘ah, ia kerap kali digunakan oleh Rasulullah SAW dalam hadith-hadith Baginda. Hadith yang paling masyhur adalah sabda Baginda:

وَإِنَّ هَذِهِ الْأُمَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً يَعْنِي الْأَهْوَاءَ كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلَّا وَاحِدَةً وَهِيَ الْجَمَاعَةُ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan (mengikut hawa nafsu), semuanya di dalam neraka kecuali satu iaitu al-Jamа‘ah.”

Riwayat Ibn Majah (3993)

Berdasarkan hadith ini dan beberapa hadith lain, para ulama telah menjelaskan siapakah golongan yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah tersebut. Menurut al-Syаtibі, pada umumnya pendapat para ulama mengenai al-Jamа‘ah berkisar kepada beberapa pengertian. Pertama, ia bererti golongan majoriti dalam kalangan umat Islam yang terdiri daripada imam mujtahid, para ulama dan ahli syariah dan umat yang mengikuti mereka. Sebahagian hadis menyebut mereka sebagai al-sawаd al-a‘zam. Kedua, kumpulan para ulama mujtahid. Ketiga, para sahabat Rasulullah SAW. Keempat, umat Islam yang bersepakat atau berijmak atas sesuatu perkara. Ia juga kembali kepada golongan pertama atau kedua. Kelima, umat Islam yang bersatu mentaati seorang pemimpin. (Lihat al-I’tisam, 2/260-265) Setelah menukilkan pendapat-pendapat tersebut, beliau merumuskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah adalah merujuk kepada perhimpunan yang bersatu di bawah pemimpin atau imam yang menepati petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah. (Lihat al-I’tisam, 2/260-265)

Ini jelas menunjukkan bahawa perhimpunan ramai yang bersatu bukan atas dasar kedua-duanya adalah terkeluar daripada apa yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah. Dengan kata lain, seandainya sesebuah kumpulan yang ramai itu tidak berada di atas petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah, maka ia tidak boleh dikategorikan sebagai al-Jamа‘ah. Sebagaimana ungkapan Ibn Mas‘ud, “Al-Jamа‘ah adalah apa yang menepati kebenaran, sekalipun engkau berseorangan.” (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘іn, 3/397) Walau bagaimanapun, ungkapan Ibn Mas‘ud tersebut dalam konteks sekiranya majoriti umat Islam benar-benar telah rosak dan terkeluar daripada mengikuti manhaj generasi terdahulu yang masih kekal di atas kebenaran. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘іn, 3/397)

Hal ini mustahil berlaku apabila melibatkan kesepakatan para ulama mujtahid dalam kalangan umat Muhammad SAW seperti mana sabda Baginda, “Umatku tidak akan bersepakat atas kesesatan.” (Riwayat Ahmad: 27267) Hadis ini menjadi dalil ke atas keautoritian ijmak para ulama sebagai salah satu daripada sumber hukum yang muktabar di sisi Ahli Sunnah Wal-Jamаah. (Lihat al-Faqih wa al-Mutafaqqih, 1/408-410) Ini bermakna Ahli Sunnah Wal-Jamаah tidak menjadikan bilangan majoriti semata-mata sebagai hujah kebenaran sesuatu golongan. Ini kerana, Ahli Sunnah Wal-Jamаah tidak mengambil kira bilangan majoriti sekiranya ia bertentangan dengan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah dan tidak diwakili oleh para ulama mujtahid.   

Berdasarkan perbahasan ringkas di atas, dapat disimpulkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah itu secara umumnya adalah golongan yang bermanhaj seperti berikut:

هم المتمسكون بسُنٌة النَّبِيِّ- صلى الله عليه وعلى آله وسلم- وأَصحابه ومَن تبعهم وسلكَ سبيلهم في الاعتقاد والقول والعمل، والذين استقاموا على الاتباع وجانبوا الابتداع، وهم باقون ظاهرون منصورون إِلى يوم القيامة فاتَباعُهم هُدى، وخِلافهم ضَلال   

Maksudnya: “Mereka yang berpegang dengan sunnah Nabi SAW, para sahabatnya dan yang mengikut mereka serta berjalan mengikut perjalanan mereka dalam aqidah, ucapan dan amalan. Mereka juga beristiqamah dalam mengikut (sunnah) dan menjauhi bid’ah (munkarah). Mereka kekal, zahir dan didukung sehingga hari kiamat. Maka mengikuti mereka mendapat petunjuk sedangkan menyalahi mereka adalah kesesatan”. (Lihat al-Wajiz fi ‘Aqidah al-Salaf, hlm. 36)[1]

Penggunaan Terawal Istilah Ahli Sunnah Wal-Jamаah

Mengenai penggunaan terawal istilah Ahli Sunnah Wal-Jamаah, ia didapati telah wujud sejak zaman para sahabat. Ini terbukti menerusi tafsiran Ibn ‘Abbаs terhadap surah Аli ‘Imrаn ayat 106:

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ

Maksudnya: “(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri”.

Al-Jurjаnі (Tarikh Jurjan, 132), al-Аjirі (al-Syari’ah, 5/2562) dan al-Lаlikа’і (Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, 1/72) menukilkan sanad daripada Ibn ‘Abbаs bahawa maksud, “muka (orang-orang) menjadi putih berseri”, adalah penganut Ahl al-Sunnah wa al-Jamа‘ah.

Penggunaannya juga semakin meluas pada zaman salafussoleh sebelum kemunculan Imam Ahmad bin Hanbal (w .241H) dan Imam Abu al-Hasan al-Ash‘arі (w. 324H). Antara para ulama salaf yang didapati telah pun menggunakan istilah Ahl al-Sunnah wa al-Jamа‘ah sebelum kemunculan Abu al-Hasan al-Ash‘arі adalah Ayyub al-Sukhtiyаnі (w. 131H). Beliau pernah berkata, “Aku diberitahu mengenai kematian seorang lelaki dalam kalangan Ahl al-Sunnah, (saat itu) aku merasa seakan-akan kehilangan sebahagian anggota tubuhku.” (Lihat Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, 1/59-60)

Seorang lagi ulama salaf iaitu Sufyаn al-Thawrі (w. 161H) yang pernah dinukilkan perkataannya mengenai Ahl al-Sunnah wa al-Jamа‘ah. Beliau berkata, “Berpesan-pesanlah dengan Ahl al-Sunnah dengan kebaikan, sesungguhnya mereka itu asing.” Di tempat lain beliau berkata, “Betapa sedikitnya Ahl al-Sunnah wa al-Jamа‘ah.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 7/273)

Al-Fudayl bin ‘Iyаd (w. 187H) turut menyebut mengenai golongan Ahli Sunnah Wal-Jamаah ketika membuat perbandingan dengan golongan Murji’ah dan Jahmiyyah. Beliau mengatakan, “Golongan Murji’ah berpendapat iman itu ialah perakuan dengan kata-kata tanpa amalan; Jahmiyyah pula berpendapat iman itu ialah makrifah tanpa perakuan dengan kata-kata dan amalan; manakala Ahl al-Sunnah pula mengatakan iman itu ialah makrifah, perakuan dengan kata-kata dan amalan.” (Lihat al-Sunnah, 1/306)

Manakala Ahmad bin Hanbal (w. 241h) pula diriwayatkan pernah menegaskan bahawa, “Ini adalah mazhab ahli ilmu, aѕhаb al-аthаr dan Ahl al-Sunnah yang berpegang teguh kepada al-Sunnah yang dikenali jejak langkahnya dan menjadi ikutan umat bermula daripada para al-sahаbah Nabi SAW hingga ke hari ini.” (Lihat Tabaqat al-Hanabilah, 1/204)

Berdasarkan beberapa ungkapan golongan salaf berkenaan, dapat difahami bahawa istilah Ahli Sunnah Wal-Jamаah telah sedia digunakan oleh para sahabat dan salafussoleh. Ini menunjukkan kewujudannya bukan disebabkan oleh perpecahan politik ataupun digagaskan oleh para ulama terkemudian, namun ia pada hakikatnya merupakan suatu manhaj yang berasal-usul daripada Rasulullah SAW sendiri.

Amaran Syarak Terhadap Golongan yang Tidak Berpegang kepada Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Terdapat banyak nas syarak yang menunjukkan amaran agar umat Islam tidak keluar daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Nas-nas tersebut datang dalam bentuk sama ada merujuk secara langsung atau tidak langsung kepada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Antaranya firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-An’am: 153)

Menurut Ibn ‘Abbas R.Anhuma, ayat di atas dan yang seumpama dengannya di dalam al-Qur’an adalah merujuk kepada perintah Allah SWT terhadap golongan Mukmin agar sentiasa berada dalam jamaah dan menegah mereka daripada perselisihan dan perpecahan yang menyesatkan. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/365)

Di tempat lain, Allah SWT menjelaskan dengan lebih terang dan nyata mengenai keadaan golongan sesat yang tidak berpegang dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di akhirat kelak. Firman-Nya:

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ ۚ فَأَمَّا الَّذِينَ اسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ أَكَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

Maksudnya: “(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu".

(Surah Ali ‘Imran: 106)

Al-Jurjаnі (Tarikh Jurjan, 132), al-Аjirі (al-Shari’ah, 5/2562) dan al-Lаlikа’і (Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, 1/72) menukilkan sanad daripada Ibn ‘Abbаs bahawa maksud, “Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya” adalah pengikut hawa nafsu, bid’ah dan sesat.

Demikian juga, hadith al-Hawd yang menunjukkan kedudukan golongan yang sesat di akhirat kelak. Antaranya riwayat Sayyidah ‘А’ishah R.anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إني على الْحَوْضِ أَنْتَظِرُ من يَرِدُ عَلَيَّ مِنْكُمْ فَوَاللَّهِ لَيُقْتَطَعَنَّ دُونِي رِجَالٌ فَلَأَقُولَنَّ أَيْ رَبِّ مِنِّي وَمِنْ أُمَّتِي فيقول إِنَّكَ لَا تَدْرِي ما عَمِلُوا بَعْدَكَ ما زَالُوا يَرْجِعُونَ على أَعْقَابِهِمْ

Maksudnya: “Aku akan menunggu sesiapa di antara kalian yang akan dibawa kepadaku di al-Hawd. Demi Allah, pasti akan mereka akan ditarik pantas daripadaku, maka aku akan berkata: Wahai Rabb, mereka adalah daripadaku. Maka dijawab: Sesungguhnya engkau tidak tahu apa yang mereka lakukan selepas engkau meninggalkan mereka. Mereka berterusan berundur ke belakang (menjadi kafir-murtad).”

Riwayat Muslim (2294)

Sebahagian ulama mengatakan mereka yang dimaksudkan di dalam hadith ini adalah ahli maksiat, pelaku dosa besar dan ahli bid’ah yang tidak mengkufurkan yang meninggal dunia dalam keadaan Islam. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 15/64) Al-Nawawi menukilkan keterangan daripada Ibn ‘Abd al-Barr bahawa setiap orang yang melakukan bid’ah dalam agama akan diharamkan daripada al-Hawd seperti Khawarij, Rawafidh (Syiah) dan kumpulan bid’ah lain. Begitu juga para penzalim yang melampau dalam melakukan kezaliman dan menentang kebenaran. Mereka berkemungkinan termasuk dalam kalangan yang dimaksudkan dalam hadis al-Hawd tersebut. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 15/64)       

Pendirian Terhadap Golongan Bukan Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Pendirian para ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah terhadap golongan yang terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal-Jammah adalah berbeza-beza mengikut keadaan mereka. Ini kerana, terdapat dalam kalangan mereka itu yang melakukan bid’ah yang mengkufurkan dan ada pula bid’ah yang tidak sampai ke tahap mengkufurkan. Demikian juga keadaan pelaku bid’ah itu sendiri, sama ada mereka bertindak menyebarkan atau tidak menyebarkan. Namun demikian, secara ringkasnya pendirian para ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah terhadap mereka dapat dicontohkan seperti berikut:

Al-Buwaiti mengatakan, aku bertanya kepada Imam al-Syafie, “Adakah harus aku solat di belakang seorang Rafidhi (Syiah)? Beliau menjawab: Jangan kamu solat di belakang seorang Rafidhi, tidak juga Qadari, tidak juga Murji’. Aku berkata: Sifatkan mereka itu kepada kami. Beliau menjawab: Sesiapa yang mengatakan iman itu dengan perkataan (sahaja) maka ia adalah Murji’. Sesiapa yang mengatakan bahawa Abu Bakar dan Umar kedua-duanya bukan imam maka ia Rafidhi. Dan sesiapa yang menjadikan kehendak (masyi’ah) kembali kepada dirinya sendiri maka ia Qadari.” (Lihat Manaqib al-Syafi’ie, 1/433)

Al-Syaukani berkata, “Dan kadang-kadang kebinasaan mengikut hawa nafsu golongan bid’ah lebih bahaya ke atas agama ini (Islam) berbanding mengikut hawa nafsu agama lain. Ini kerana golongan bid’ah mereka bersandar kepada Islam, menzahirkan kepada manusia bahawa mereka memenangkan agama dan mengikutinya dgn baik. Padahal mereka adalah sebaliknya dan bertentangan dengan apa yang sebenarnya, mereka berterusan membawa orang yang cenderung kepada hawa nafsu mereka daripada satu bid’ah ke satu bid’ah, mendorongnya dari satu penyelewengan ke satu penyelewengan, sehingga mengeluarkannya daripada agama, sedangkan dia menyangka bahawa dia berada dalam kebenaran dan jalan yang dilaluinya adalah jalan yg lurus..” (Lihat Fath al-Qadir, 1/154)

Berkata Abu ‘Ali al-Mufadhdhal al-Bajali, “Aku telah menemui Imam Ahmad bin Hanbal, lalu telah datang kepadanya pesuruh khalifah bertanya tentang hukum meminta bantuan dengan golongan bid’ah. Imam Ahmad menjawab: Tidak boleh meminta pertolongan mereka. Lalu ditanya: Boleh minta pertolongan Yahudi dan Nasrani, tapi tidak boleh meminta pertolongan mereka (ahli bid’ah)? Jawab Imam Ahmad: Sesungguhnya Yahudi dan Nasrani tidak menyeru kepada agama mereka, sedangkan golongan bid’ah menyeru (kepada ajaran mereka)..” (Lihat al-Adab al-Syar’iyyah, 1/275)

Al-Lalaka’i menukilkan bahawa Abu al-Jauza’ berkata, “Sungguh kera dan khinzir berjiran denganku lebih aku sukai daripada aku berjiran dengan salah seorang daripada mereka – ahli bid’ah.” (Lihat Syarh Usul al-I’tiqad, 1/131)

Sufyan al-Thauri berkata, “Bid’ah lebih disukai oleh iblis berbanding maksiat kerana maksiat akan dipohon taubat daripadanya sedangkan bid’ah tidak dipohon taubat daripadanya (kerana pelakunya menyangkakan ia benar)”. (Lihat Musnad Ibn al-Ja’d, 272)

Al-Baghawi mengatakan, “Dan telah sekian lama para sahabat, tabi’in, pengikut mereka dan para ulama hadith atas (hal) ini iaitu berijmak dan bersepakat akan permusuhan dan pemulauan terhadap ahli bid’ah.” (Lihat Syarh al-Sunnah, 1/227)

Imam al-Tahawi selepas menjelaskan sejumlah iktikad yang menjadi pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah telah menegaskan bahawa seorang muslim wajib berlepas diri (bara’ah) daripada sebarang ajaran yang menyeleweng daripada aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Beliau menyatakan, “Maka ini merupakan agama kami, aqidah kami secara zahir dan batinnya dan kami berlepas diri kepada Allah Ta’ala daripada setiap orang yang menyalahi apa yang kami sebutkan dan jelaskan. Kami memohon kepada Allah agar menetapkan kita di atas iman, menutup (hayat) kita dengannya, memelihara kita daripada hawa nafsu yang pelbagai, pemikiran yang bermacam-macam, mazhab-mazhab yang rosak daripada kalangan mereka yang menyalahi Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan bersekutu dengan kesesatan. Kami berlepas diri daripada mereka dan mereka di sisi kami adalah sesat dan rosak.” (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, 418)

Kata al-Syatibi, “Sesungguhnya kumpulan yang terselamat, mereka adalah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Mereka diperintahkan agar memusuhi ahli bid’ah, mengekang mereka, dan mencegah sesiapa yang mengikuti mereka. Dan kita diperintahkan supaya memusuhi mereka manakala mereka pula diperintah untuk mengikuti kita dan kembali kepada jamaah.” (Lihat al-I’tisam, 1/120)

Al-Juwaini menjelaskan bagaimana keadaan apabila golongan bid’ah itu semakin berleluasa. Beliau mengatakan, “Maka imam (pemerintah) hendaklah menyeru mereka kepada kebenaran, jika mereka ingkar hendaklah diberikan amaran keras dan menegah mereka daripada menzahirkan kebid’ahannya. Jika mereka berdegil, hendaklah tindakan tegas diambil ketika mereka menolak ketaatan. Lalu memerangi mereka atas dasar penderhaka (bughah). Ini berlaku kepada setiap kumpulan yang menyandarkan diri kepada orang Islam, apabila keluar daripada mentaati (pemerintah). (Lihat Ghiyath al-Umam, 215)

Berdasarkan penjelasan al-Juwaini, ia memberi makna bahawa tindakan pemerintah ke atas rakyatnya adalah tertakluk kepada maslahah. Apabila pemerintah mengharamkan sesuatu ajaran sesat atau bid’ah, ia bukan bertujuan untuk menyekat hak asasi rakyat tetapi demi memelihara kemaslahatan ummah yang pelbagai latar belakang pengetahuan agama. Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibn al-Qayyim dalam isu pengharaman buku golongan bid’ah, beliau mengatakan, “Bahawa buku-buku sebegini yang berisi dengan pembohongan dan bid'ah, maka hendaklah dimusnahkan dan dihapuskan. Ia lebih utama daripada menghapuskan alat hiburan, alat muzik dan bekas arak. Sesungguhnya bahayanya (buku-buku tersebut) lebih besar daripada bahaya semua ini...” (Lihat al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Syar'iyyah, 714)

Al-Ghazali ketika membahaskan berkenaan puak Syiah menjelaskan golongan sesat itu terbahagi kepada dua status. Status pertama adalah mereka yang dihukumkan sebagai salah, sesat dan bid’ah. Seperti seseorang yang beriktikad bahawa imam itu wajib dalam kalangan Ahl al-Bayt. Orang yang berhak pada zaman terawal dahulu selepas kewafatan Rasulullah SAW adalah ‘Ali namun haknya dirampas oleh Abu Bakar. Imam juga dikatakan maksum daripada sebarang kesalahan dan kesilapan. Tetapi dalam masa yang sama mereka tidak mengkafir dan menghalalkan darah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, namun menganggap Ahli Sunnah Wal-Jamaah itu sebagai penderhaka (bughah) kerana tersilap sehingga gagal menemui kebenaran. Orang sebegini tidak dihukumkan ia kafir, tetapi ia dihukumkan sebagai sesat dan ahli bid’ah. Pemerintah perlu mengambil tindakan tegas terhadap kesesatan dan kebid’ahannya menurut cara yang difikirkan wajar. (Lihat Fadha’ih al-Batiniyyah, 146-147)

Manakala status yang kedua pula adalah pendapat-pendapat yang mewajibkan kekufuran. Ini kerana di samping iktikad-iktikad (Syiah) yang dipegang itu, mereka turut berpendapat bahawa golongan Ahli Sunnah Wal-Jamaah itu kafir, harta benda dan darah mereka adalah halal. Pegangan sebegini mewajibkan kekufuran kerana mereka mengetahui bahawa Ahli Sunnah Wal-Jamaah itu beriktikad bahawa alam ini ada pencipta yang Maha Esa, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Berkata-kata, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Hidup dan Dia tidak sama dengan suatu apapun, dan bahawa Muhammad bin Abdullah itu Rasulullah, membenarkan apa jua yang disampaikan Baginda seperti hari kebangkitan, syurga dan neraka. Semua iktikad ini menjadi penilaian terhadap kesahihan agama, maka sesiapa yang menyangka iktikad sebegini adalah kekufuran maka ia kufur tanpa syak lagi. (Lihat Fadha’ih al-Batiniyyah, 151)

Kedudukan Golongan Bukan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di Malaysia

Dalam konteks di Malaysia, golongan yang terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah dihukumkan sebagai sesat. Ini sebagaimana takrifan ajaran sesat yang diberikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seperti berikut:

“Ajaran sesat adalah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau orang-orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran atau amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada ajaran Islam yang berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah (iaitu hadis sahih) serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah”. (Lihat Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, 57)

Sebagai contoh, dalam kes menangani penyebaran Syiah di Malaysia, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 di Pulau Pinang telah memutuskan bahawa:   
  • Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi aqidah, syariah dan akhlak;
  • Memperakukan pindaan kepada semua Undang-undang Negeri yang berhubung dengan hukum Syarak bagi menyelaraskan takrif “Hukum Syarak” atau “Undang-undang Isam” seperti berikut:
      “Hukum syarak” atau “Undang-undang Islam” ertinya Undang-undang Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi aqidah, syariah dan akhlak”
  • Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan Hukum Syarak dan Undang-undang Islam; dan dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang;
  • Menetapkan bahawa semua umat Islam di negara ini adalah tertakluk kepada Undang-undang Islam Hukum Syarak yang berasaskan pegangan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja;
  • Menetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.

Penetapan fatwa ini sesuai dengan konsep maqasid syariah yang meletakkan objektif pertama adalah memelihara agama. Dalam konteks sebuah negara, sememangnya tanggungjawab memelihara keluhuran dan kesucian agama terletak di bahu pemerintah. Di sini, pihak berkuasa agama kerajaan Islam berperanan menjalankan prinsip hirasat al-din wa ‘imarat al-dunya (pemeliharaan agama dan pembangunan duniawi) berteraskan siyasah syar’iyyah. Menurut Ibnu ‘Aqil; siyasah syar’iyyah itu ialah apa jua perbuatan yang mampu mendekatkan manusia (rakyat) kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada kebinasaan walaupun tidak disyariatkan oleh Rasulullah SAW dan tidak diturunkan oleh wahyu. (Lihat ‘Ilam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin, 6/26)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, kami dapat simpulkan bahawa menganuti pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah bukanlah suatu pilihan sebaliknya ia suatu kewajipan sebagaimana yang dianjurkan dalam nas-nas syarak. Ini kerana, ia adalah satu-satunya manhaj yang diyakini mengikuti jejak langkah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW. Sekalipun para ulama tidak mengatakan ajaran bukan Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai kafir atau terkeluar daripada Islam secara mutlak, namun ia tidak bermakna syarak membenarkan ajaran tersebut harus untuk dianuti. Pada hakikatnya ia sama dengan perkara-perkara maksiat seperti berzina, minum arak, berjudi dan seumpamanya yang tetap dihukumkan haram walaupun semata-mata melakukannya tidak menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam.

Demikian juga dalam soal kesesatan aqidah, bahkan kemudaratannya jauh lebih besar berbanding kemaksiatan kerana ia menyentuh iktikad dan keyakinan seseorang. Ini disebabkan kegelinciran aqidah itu sering menyentuh isu-isu yang amat serius dan sensitif melibatkan hal ketuhanan, kenabian, keghaiban dan keautoritian sumber ilmu. Oleh itu, kepincangan dalam beraqidah berisiko mendekatkan seseorang ke lembah kekufuran dan kesyirikan. Selain ia berupaya mencetuskan pelbagai implikasi lain seperti fanatisme, ekstremisme, terrorisme, liberalisme, kafir mengkafir, perpecahan dan adakalanya membawa kepada peperangan. Justeru, kami menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia agar terus berpegang teguh dan mempertahankan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Moga ia akan menyelamatkan kita bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat jua.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.

Nota Hujung:
[1] Dari sudut  madaris fikriyyah dalam Ahli Sunnah Wal-Jamaah, ia terbahagi kepada tiga sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Safarini. Al-Athariyyah, imam mereka adalah Ahmad bin Hanbal, al-Asy'ariyah, imam mereka adalah Abu al-Hasan al-Asy'ari dan al-Maturidiyah, imam mereka adalah Abu Mansur al-Maturidi. (Lihat Lawami’ al-Anwar al-Bahiyyah, 73)


5
TASHIH AL-MAFAHIM #4: HAKIKAT DARUL ISLAM DAN DARUL KUFR

SALAH FAHAM:

“Mana-mana negara yang tidak mengamalkan undang-undang atau sistem Islam secara menyeluruh adalah Darul Kufr (negara kufur) dan termasuk juga dalam kategori Darul Harbi (negara yang boleh diperangi). Justeru, setiap orang yang tinggal dalam negara tersebut dengan sengaja dihukumkan kufur dan terkeluar daripada agama Islam.”

PENCERAHAN:

Istilah Darul Islam dan Darul Kufr adalah merupakan perkara ijtihadiyyah yang diperselisihkan oleh para ulama. Berpegang kepada satu-satu pendapat tentang definisi negara Islam tidak sesekali boleh menyebabkan orang lain menjadi kafir berdasarkan definisi yang diijtihadkan olehnya.

Syeikh ‘Athiyyah Saqr menukilkan fatwa daripada kitab Bayan li al-Nas min al-Azhar al-Syarif seperti berikut:

"أن تقسيم البلاد إلى دار كفر وإسلام أمر اجتهادى من واقع الحال فى زمان الأئمة المجتهدين ، وليس هناك نص فيه من قرآن أو سنة . والمحققون من العلماء قالوا : إن مدار الحكم على بلد بأنه بلد إسلام أو بلد حرب هو الأمن على الدين . حتى لو عاش المسلم فى بلد ليس له دين أو دينه غير دين الإسلام ، ومارس شعائر دينه بحرية فهو فى دار إسلام ، بمعنى أنه لا تجب عليه الهجرة منها . وذكر المرحوم الشيخ محمد أبو زهرة فى رسالة عن نظرية الحرب فى الإسلام " ص 38" رأيين للفقهاء فى دار الإسلام ودار الحرب . ثم اختار رأى أبى حنيفة وهو: أن مدار الحكم هو أمن المسلم ، فإن كان اَمنا بوصف كونه مسلما فالدار دار إسلام وإلا فهى دار حرب . وقال : إنه الأقرب إلى معنى الإسلام ، ويوافق الأصل فى فكرة الحروب الإسلامية وأنها لدفع الاعتداء”.

Maksudnya: “Sesungguhnya pembahagian negara kepada kufur dan Islam adalah perkara ijtihadi berdasarkan realiti semasa pada zaman para imam mujtahid tersebut berijtihad. Dan tiada di sana sebarang nas sama ada daripada al-Quran mahupun al-Sunnah.

Para ulama muhaqqiqin mengatakan: Sesungguhnya, asas kepada menghukum sesebuah negara itu negara Islam atau negara perang adalah keamanan untuk mengamalkan agama. Sehinggakan jika seseorang muslim itu tinggal di dalam sebuah negara yang tiada agama atau agamanya selain Islam, namun dia dapat mengamalkan syiar agamanya dengan bebas maka ia adalah negara Islam, bermakna dia tidak wajib untuk berhijrah keluar darinya.

Al-Marhum Syeikh Muhammad Abu Zahrah menyebutkan, terdapat dua pandangan di sisi fuqaha berkenaan Darul Islam dan Darul Kufr. Lalu beliau memilih pandangan Abu Hanifah yang mengatakan asas hukum adalah keamanan seseorang muslim. Sekiranya dia aman dengan sifatnya sebagai seorang muslim, maka negara tersebut adalah Dar Islam, jika tidak maka ia Dar Harb. Beliau (Abu Zahrah) berkata: Ia lebih dekat kepada makna Islam dan menepati asas kepada falsafah peperangan dalam Islam iaitu untuk mengelakkan serangan.” (Lihat Fatawa al-Azhar, 10/119)   

Menurut fuqaha empat mazhab, Darul Islam ialah setiap kawasan yang didirikan di dalamnya hukum-hakam Islam secara terang-terangan atau secara zahir. (Lihat Badai’ al-Shanai’, 7/130–131; Ibn Abidin,  3/253; Al-Mabsut, 10/114; Kasysyaf Al-Qina’, 3/34; Al-Insaf , 4/121; Al-Mudawwanah, 2/22)

Mazhab Syafie berpendapat bahawa Darul Islam merupakan setiap tanah atau kawasan yang terzahir di dalamnya hukum syariat Islam. Manakala, yang dimaksudkan dengan "terzahir di dalamnya hukum syariat Islam” ialah sebagai berikut:

    Kawasan yang mana hukum di dalam sesebuah kawasan tersebut merupakan hukum berdasarkan syariat Islam selain ibadah seperti hukum mengharamkan zina dan hukum pencuri.
    Kawasan yang didiami orang-orang Muslim walaupun di dalamnya terdapat penduduk kafir zimmi.
    Kawasan yang dimerdekakan oleh orang Islam itu sendiri dan diiktiraf oleh orang kafir.
    Kawasan orang kafir yang dihuni oleh orang Islam dan terus menawarkan sekuriti jangka panjang ke atas mereka. (Lihat Hasyiyah al-Bujairimiy, 4/220; Nihayat al-Muhtaj, 8/81)

Darul Harbi pula ialah setiap kawasan yang didirikan di dalamnya hukum-hakam selain Islam (kafir) secara terang-terangan atau secara zahir. (Lihat Hasyiyah al-Bujairimiy, 4/220; Nihayat al-Muhtaj, 8/81)

Adapun Darul ‘Ahd, disebut juga Darul Muwada’ah (negara yang ada jaminan keamanan) dan Dar al-Sulh (perdamaian) ialah setiap kawasan yang terdapat perjanjian damai antara orang Islam dengan penduduknya untuk tidak berperang sedangkan kawasan tersebut kekal dimiliki penduduknya. (Lihat al-Ahkam al-Sulthaniyyah oleh al-Mawardi, 178)

Darul Bagyi pula merupakan sebahagian dari Darul Islam yang mana ia didiami orang segolongan orang yang mempunyai kekuatan untuk keluar daripada ketaatan terhadap pemerintah dengan alasan atau takwilan tertentu. (Lihat Al-Ahkam al-Sulthaniyyah  oleh al-Mawardi, 38; Fath al-Qadir, 5/334; Badai’ Al-Sanai’, 7/130-131; Asna Al-Muthalib, 4/111)

Peralihan daripada Darul Islam kepada Darul Kufr

Dalam isu Darul Islam dan Darul Kufr, terdapat perbahasan ulama mengenai kemungkinan berlakunya peralihan daripada sesebuah Darul Islam kepada Darul Kufr. Para fuqaha’ berbeza pandangan adakah peralihan boleh berlaku sehingga mengubah status sesebuah negara itu.

Mazhab Syafie berpendapat bahawa tidak ada pertukaran status daripada Darul Islam kepada Dar Kufr dalam apa jua jenis keadaan, walaupun kawasan tersebut telah dijajah dan dikuasai oleh golongan kafir, orang Muslim diusir daripadanya dan hukum-hakam mereka terzahir. Ini dengan sebab mereka berpegang dengan pernyataan bahawasanya Islam lebih unggul dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. (Lihat Nihayat al-Muhtaj, 8/82; Asna al-Matalib, 4/204)

Manakala mazhab Maliki, Hanbali dan dua sahabat Abu Hanifah (Abu Yusuf dan Muhammad) berpendapat bahawa mungkin untuk Darul Islam beralih kepada Darul Kufr dengan terzahirnya hukum-hakam kufur di dalamnya. (Lihat Badai’ al-Shanai’, 7/130–131)

Sedangkan Abu Hanifah pula berpandangan bahawa ianya tidak akan beralih kepada Darul Kufr kecuali dengan tiga syarat:

    Zahirnya hukum-hakam kufur di dalamnya.
    Kawasan bersebelahan atau bersambungan dengan Darul Kufr.
    Tiada seorang pun orang Muslim dan orang kafir zimmi yang mendapat keamanan sebagaimana keamanan pada zaman sebelumnya.

Perbezaan Perspektif

Pandangan mereka yang mengatakan Darul Islam boleh beralih kepada Darul Kufr adalah berdasarkan hukum hakam yang terzahir padanya. Ini kerana, disandarkan kepada Islam dan kufur itu adalah berpandukan kepada penzahiran Islam atau kufur pada sesebuah negara itu. Ia sebagaimana dikatakan syurga Darus Salam (destinasi kedamaian) dan neraka Darul Bawar (destinasi kehancuran). Ini disebabkan wujudnya kedamaian di dalam syurga dan azab seksa di dalam neraka. Oleh yang demikian, zahirnya Islam dan kufur adalah disebabkan penzahiran hukum Islam atau hukum kufur padanya. Jika terzahir hukum atau sistem kufur dalam sesebuah negara maka ia adalah negara kufur. Maka ia boleh disandarkan kepada negara kufur, begitu juga sebaliknya.     

Manakala Abu Hanifah pula berpandangan, sandaran sesebuah negara itu kepada Islam dan kufur bukan bermakna ia adalah zat Islam atau kufur itu sendiri. Namun, apa yang dimaksudkan adalah keamanan dan ketakutan. Bererti keamanan umum bagi seseorang muslim dalam negara itu, manakala ketakutan umum kepada bukan muslim, maka ia adalah negara Islam. Jika keamanan umum kepada bukan muslim dan ketakutan umum kepada muslim maka itu adalah negara kufur. Umumnya, Abu Hanifah berpandangan penentuan hukum sesebuah negara itu Islam atau kufur adalah lebih utama berpandukan kepada keamanan dan ketakutan, bukan dengan berpandukan kepada Islam dan kufur. (Lihat Badai’ al-Shanai’, 7/130–131; Ibn ‘Abidin, 3/ 130-131; Kasysyaf al-Qina’, 3/43; al-Insaf, 4/121; al-Mudawwanah, 2/22)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan yang dibentangkan, jelas menunjukkan pembahagian kepada Darul Islam dan Darul Kufr merupakan perkara ijtihadi yang diperselisihkan oleh para ulama dan bukan perkara muktamad. Oleh yang demikian, bagaimana mungkin kita dengan semudah itu ingin mengeluarkan seseorang daripada Islam semata-mata disebabkan perkara khilaf. Perbezaan pendapat yang berlaku dalam kalangan ulama pada hakikatnya mempunyai hikmah yang amat besar. Terutamanya dalam konteks dunia pada hari ini yang menuntut sebahagian daripada umat Islam berada di negara-negara bukan Islam dengan pelbagai alasan dan keperluan yang wajar. Antaranya seperti menyampaikan risalah dakwah, menjadi mangsa pelarian yang dilindungi, menuntut ilmu dalam bidang yang menjadi kepakaran negara berkenaan, bekerja dalam bidang diplomatik antarabangsa atau bidang-bidang profesional dan seumpamanya.   

Akhirnya, kita harus menginsafi, bahawa keberadaan umat Islam di seluruh dunia adalah sesuatu yang dijanjikan Allah SWT. Ini bererti kefahaman yang sempit dalam memahami isu ini menjadikan Islam agama yang tidak relevan dalam berurusan dengan masyarakat antarabangsa. Sedangkan Rasulullah SAW telah bersabda:     

إِنَّ اللهَ زَوَى لِي الْأَرْضَ، فَرَأَيْتُ مَشَارِقَهَا وَمَغَارِبَهَا، وَإِنَّ أُمَّتِي سَيَبْلُغُ مُلْكُهَا مَا زُوِيَ لِي مِنْهَا

Maksudnya: “Sungguh Allah telah membentangkan bumi kepadaku, sehingga aku dapat melihat belahan timur dan baratnya, dan sungguh kekuasaan umatku akan sampai pada belahan bumi yang telah dibentangkan kepadaku itu.”

Riwayat Muslim (2889)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefahaman Islam yang benar dan menjauhkan kita daripada sebarang fitnah fahaman ekstrem yang memecahbelahkan sesama ummah. Wallahu a’lam.


6
TASHIH AL-MAFAHIM #3: KAFIR MENGKAFIR KERANA BERBEZA PENDAPAT

SALAH FAHAM:

Mutakhir ini, terdapat fenomena sesetengah pihak yang gemar kafir mengkafir dalam isu-isu tertentu terutama apabila berbeza pendapat. Pengkafiran pula ditujukan terus kepada peribadi orang yang dikafirkan. Mohon penjelasan ustaz, adakah perbuatan sedemikian wajar dan bagaimanakah kaedah-kaedah yang ditentukan oleh syarak mengenainya?

PENCERAHAN:

Perbuatan kafir mengkafir adalah perkara yang amat dipandang serius oleh syarak. Lebih-lebih lagi jika dilakukan secara membuta tuli tanpa mengetahui kaedah-kaedah syarak dalam menanganinya. Apa yang lebih membimbangkan bila pengkafiran dilakukan terus ke atas peribadi seseorang muslim tanpa sebarang usul periksa. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.”

(Surah al-Ahzab: 58)

Sebelum kami membahaskan isu ini lebih lanjut, terdapat tiga kaedah penting yang perlu difahami terlebih dahulu dalam memahami isu kafir mengkafir.

Pertama: Sesiapa yang tidak mengkafirkan orang yang kafir, maka ia kafir. Bermaksud seseorang boleh tergelincir akidahnya jika tidak memperakui bahawa golongan yang dikafirkan dengan nas syarak seperti penganut agama Kristian, Yahudi, Ateisme dan lain-lain itu kafir. (Lihat Al-Ibtal li Nazariyyah al-Khalt Bayn Din al-Islam wa Ghayrih min al-Adyan, 94)

Kedua: Sesiapa yang menuduh seseorang yang tidak kafir itu kafir, maka kafir itu berbalik kepada dirinya. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

أَيُّمَا رَجُلٍ قَالَ لِأَخِيهِ يَا كَافِرُ، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا

Maksudnya: “Mana-mana orang yang mengatakan kepada saudaranya: Wahai kafir. Maka jatuhlah (kafir itu) ke atas salah seorang daripadanya.”

Riwayat al-Bukhari (6104) dan Muslim (111).

Berdasarkan hadith tersebut, al-Isfirayini mengatakan sesiapa yang membid’ahkan orang yang tidak bid’ah, menyesatkan orang yang tidak sesat atau mengkafirkan orang yang tidak kafir, maka hukum tersebut akan kembali kepadanya. (Lihat Al-Tabsir fi al-Din, 180)

Ketiga: Kesilapan dalam membiarkan orang yang jatuh kafir itu hidup lebih ringan berbanding kesilapan menumpahkan darah seorang muslim. Imam al-Ghazali mengatakan ramai orang dengan mudah menjatuhkan kafir terhadap golongan yang tersilap dalam berijtihad sedangkan mereka itu bukan termasuk dalam golongan yang mendustakan Rasulullah SAW. Pengkafiran itu berlaku kebanyakannya berpunca daripada kefanatikan dan sikap taksub. Sedangkan tidak sabit pengkafiran terhadap golongan yang tersilap dalam mentakwil, kerana ‘ismah (keterpeliharaan) darah seseorang muslim adalah muktamad berdasarkan hadith riwayat al-Bukhari (25):

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ، فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّ الإِسْلاَمِ

Maksudnya: “Aku diperintah untuk memerangi manusia sehingga dia mengucapkan, tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah, Muhammad itu Rasulullah, apabila mereka mengucapkannya, maka terpeliharalah daripadaku darah dan harta mereka kecuali dengan hak Islam (syarak).” (Lihat Al-Iqtisad fi al-I’tiqad, hlm. 270)

Termasuk di bawah kaedah ini juga apa yang dinukilkan oleh Zarruq daripada Ibn Furak bahawa:

الغلط في إدخال ألف كافر بشبهة الإسلام خير من الغلط في إخراج مسلم واحد بشبهة كفر

Maksudnya: “Tersilap memasukkan seribu orang kafir dengan syubhat Islam lebih baik berbanding tersilap mengeluarkan (mengkafirkan) seorang Islam dengan syubhat kekufuran.” (Lihat Qawa’id al-Tasawwuf, hlm. 31 Kaedah 85)

Dalam hal ini juga Imam al-Rafi’i menegaskan, jika dinukilkan daripada seseorang suatu lafaz yang pada zahirnya kekufuran, maka ia hendaklah diteliti dan disiasat terlebih dahulu. Jika ia mengandungi maksud yang berlainan dengan zahir lafaz, seperti ingin mengkhususkannya (takhsis) atau kata-kata kiasan (majaz), maka ia perlu ditanya kepada orang yang melafazkannya untuk mengetahui apa maksud yang dikehendakinya. Walaupun pada asalnya sesuatu lafaz itu diambil pada hakikat dan keumumannya, namun dalam hal ini kewaspadaan (ihtiyat) diperlukan. Jika dia menyebutkan sesuatu lafaz yang pada zahirnya terdapat andaian (ihtimal) kekufuran, namun dia menafikan kekufuran, maka ia dibiarkan. Jika lafaz itu tidak mengandungi andaian yang menyalahi zahirnya atau dia mempertahankan dengan hujah yang tiada kaitan dengan lafaz atau tidak menjelaskan langsung, maka ia perlu diminta bertaubat. Sekiranya dia tidak mahu bertaubat sedangkan lafaz yang diucapkan itu jelas kekufurannya menurut ijmak, maka ketika itu ia dihukumkan murtad dan boleh dibunuh jika tidak bertaubat. (Lihat al-Fatawa al-Hadithiyyah, 1/222)

Berdasarkan kaedah yang dinyatakan, isu kafir mengkafir perlu ditangani dengan penuh berhati-hati. Oleh kerana itu, para ulama menggariskan dua kaedah dalam mentakfir.

Pertama: Takfir Mutlaq.
Bererti menyatakan bahawa sesiapa berbuat sesuatu perkara yang boleh mengkafirkan maka ia boleh membawa kepada kekufuran, tanpa memaksudkan orang tertentu. Kenyataan seumpama ini difokuskan kepada perbuatan atau ajaran atau pembawaannya, bukan orang secara khusus.

Kedua: Takfir Mu’ayyan.
Bererti menyatakan bahawa si fulan bin si fulan, iaitu dengan menyebut nama orang tertentu telah kafir. Kenyataan seumpama ini ditujukan secara langsung kepada seseorang yang melakukan sesuatu perkara yang boleh mengkafirkan. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 1/126-127)

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi takfir perlu dibezakan dengan dua cara iaitu takfir nau’ (jenis) dan takfir syakhs mu’ayyan (peribadi). Beliau menyebut:

“Hendaklah diberikan perhatian apa yang telah diputuskan oleh para `ulama muhaqqiqun mengenai wajibnya dibezakan antara peribadi dan jenis dalam isu takfir (mengkafirkan). Ini bermaksud, contohnya kita katakan: Golongan komunis itu kafir, atau para pemerintah sekular yang membantah hukum syarak itu kafir, atau sesiapa yang menyatakan sebegini atau menyeru kepada ini maka dia kafir. Ini semua adalah hukuman pada jenis. Adapun apabila perkara ini berkait dengan peribadi seseorang, yang disandar kepada mereka itu dan ini, maka wajiblah diambil masa untuk dibuat kepastian dan kesabitan mengenai hakikat sebenar pendiriannya. Ini dengan cara menyoal atau berbincang dengannya sehingga ditegakkan hujjah, tiada lagi syubhat dan juga tiada lagi keuzuran untuknya”. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 1/126).

Justeru, kita dapati para salaf mengkafirkan firqah-firqah secara mutlak seperti firqah Jahmiyah dan Rafidhah, akan tetapi mereka tidak serta merta mengkafirkan setiap anggota firqah tersebut, kecuali hanya beberapa orang daripada mereka seperti Ja’d bin Dirham, Hallaaj dan Hafs al-Fard (yang pengkafirannya masih diperselisihkan). (Lihat Majmu’ Fatawa, 23/349-350)

Antara kaedah penting yang menjadi keistimewaan Ahli Sunnah wal-Jamaah berbanding golongan lain adalah mereka membezakan antara sesuatu pendapat dengan pelakunya. Sesuatu pendapat adakalanya berupa kekufuran, tetapi pelakunya tidak dihukumkan kafir kecuali setelah diselidiki.

Maka, para ulama Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu sebelum menghukum seseorang itu terkeluar daripada Islam atau murtad. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

    Hendaklah pendapat atau amalan itu secara jelas menunjukkan kekufuran yang dilakukan berdasarkan pilihannya dan bukan kerana terpaksa.
    Hendaklah dia terus berpegang dengan pendapat atau amalan kufur tersebut, dan ketika dijelaskan kepadanya (al-haq) dia tetap berpegang kepadanya.
    Hendaklah telah ditegakkan hujjah kepadanya dan dia telah jelas terhadap perkara tersebut. (Lihat Majmu' Fatawa, 12/500-501)


Di samping itu seseorang itu terhalang daripada hukuman murtad atau terkeluar Islam sekiranya ia berada dalam situasi berikut:

    Baru memeluk agama Islam.
    Hidup di tempat yang jauh. Termasuk dalam kelompok ini adalah orang yang tidak mempunyai ulama   selain ulama bid'ah yang mereka minta berfatwa dan mereka ikuti.
    Kehilangan akalnya kerana gila atau kerana yang lain.
    Belum sampai kepadanya nas-nas daripada al-Kitab dan al-Sunnah, atau telah sampai (nas-nas tersebut) tetapi belum jelas kefahaman nas-nas tersebut.
    Nas-nas tersebut telah sampai kepadanya, dia telah jelas dalam memahaminya, akan tetapi didedahkan kepadanya sesuatu yang bertentangan dengan nas-nas tersebut (sama ada yang berasal daripada akal fikiran mahupun perasaan) yang mendorongnya untuk menta'wil, walaupun dia mungkin berbuat kesalahan. Termasuk kelompok ini adalah mujtahid “ahli ijtihad” yang salah dalam ijtihadnya. Ini disebabkan Allah akan mengampuni kesilapan golongan ini dan memberinya pahala atas ijtihadnya itu.(Lihat Majmu' Fatawa, 3/231; 23/345-346)

Pengajaran daripada sikap sahabat dalam peperangan Siffin (37H)

Sepanjang sejarah para sahabat R.anhm, tiada suatu perbezaan pendapat yang lebih tajam daripada perbezaan pendapat yang berlaku selepas kewafatan Sayyiduna ‘Uthman bin ‘Affan. Lihat bagaimana dalam peperangan Ѕiffіn, Sayyiduna ‘Alі selaku khalifah yang sah tetap meletakkan kedudukan para penentangnya sebagai kaum Muslimin yang seakidah dengannya dalam soal ketuhanan, kenabian dan dakwah kepada Islam. Tiada perbezaan antara beliau dengan para penentangnya kecuali dalam soal pembunuhan ‘Uthmаn yang beliau sendiri menafikan keterlibatannya. (Lihat Sharh Nahj al-Balaghah, 3/114.) Dalam riwayat Ja‘far al-Ѕаdiq daripada bapanya, Muhammad al-Bаqir menukilkan bahawa ‘Alі menegaskan kepada penyokongnya, beliau memerangi para penentangnya bukan kerana mengkafirkan mereka atau kerana mereka mengkafirkan dirinya. Akan tetapi, ia terjadi disebabkan masing-masing berpandangan kebenaran berpihak kepadanya. (Lihat Qurb al-Isnad, hlm. 93) Kerana itu, ‘Alі menegah para sahabatnya daripada mencela tentera Shаm yang dipimpin Mu‘аwiyah dengan berkata:

“Sesungguhnya aku membenci kamu menjadi orang yang gemar mencela, akan tetapi jika kamu ingin menyifatkan perbuatan mereka, menyebutkan perihal mereka, maka setepat-tepat perkataan, setinggi-tinggi keuzuran, kamu berkata pada tempat celaan kamu terhadap mereka dengan (doa berikut): Wahai Allah! Peliharalah darah-darah kami dan darah-darah mereka, perbaikilah hubungan kami dan mereka, berikanlah mereka hidayah petunjuk daripada kesesatan mereka, sehingga mereka mengenali kebenaran daripada kejahilannya dan dijauhkan daripada kesesatan dan permusuhan orang yang berterusan dengannya.” (Lihat Waq’ah Siffin, hlm. 103)

Ini bererti, ‘Alі sendiri mengakui perselisihan yang berlaku adalah berpunca daripada perbezaan menangani pembunuhan ‘Uthmаn, sedangkan masing-masing merasakan kebenaran berpihak kepada mereka. ‘Alі mengiktiraf dan mengakui bahawa ia merupakan sejenis ijtihad yang dilakukan oleh para sahabat seperti Talhah, Zubayr dan Mu‘аwiyah.

Kerana itu, dicatatkan dalam karya-karya sejarah, ketika ‘Alі menemui jenazah Talhah yang gugur dalam perang Jamal, beliau mengusap wajah Talhah yang disaluti debu sambil berkata:

“Amat berat terasa wahai Abu Muhammad, melihat engkau terbaring kaku di lembah ini di bawah bintang-bintang langit.” Beliau berkata lagi, “Kepada Allah aku mengadu kedukaanku.” Lalu ‘Alі mendoakan kerahmatannya dan berkata, “Alangkah baiknya jika aku meninggal dunia dua puluh tahun sebelum (peristiwa) ini.” (Lihat Tarikh Madinah Dimashq, 25/115)

Begitu juga Zubayr, ketika beliau menarik diri daripada peperangan, salah seorang tentera ‘Alі bernama ‘Amr bin Jurmuz telah mengekori lalu membunuhnya. Ibn Jurmuz memenggal kepala Zubayr lalu membawanya kepada ‘Alі. Apabila melihatnya ‘Alі mengatakan:

“Sampaikan berita kepada pembunuh anak Ѕafiyyah (Zubayr) dengan (balasan) neraka!” (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 3/111)

Riwayat juga menyebutkan, setelah perdamaian antara ‘Alі dan Mu‘аwiyah dicapai dan peperangan dihentikan, ‘Alі berjalan-jalan meninjau keadaan mangsa perang yang terlibat antara kedua-dua belah pihak. Saat melihat para tenteranya yang terkorban, beliau mengatakan, “Mereka semua di dalam syurga.” Kemudian apabila melihat mangsa korban di pihak Mu‘аwiyah, beliau turut berkata perkataan yang sama. (Lihat Tarikh Madinah Dimashq, 59/139) Sesetengah riwayat menukilkan bahawa ‘Alі mengatakan, “Mangsa korbanku dan mangsa korban Mu‘аwiyah di dalam syurga.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 3/144)

Semua ini menunjukkan sikap baik sangka dan kasihan belas ‘Alі terhadap para penentangnya atas dasar kesilapan mereka dalam berijtihad, jauh sekali untuk bersikap buruk sangka apatah lagi mengkafirkan mereka.

Kesimpulan
Kesimpulannya tidak boleh bermudah-mudahan menghukum seseorang itu kafir atau murtad kecuali setelah memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan dan tidak terdapat sebarang halangan. Apa yang diriwayatkan daripada salaf tentang pemutlakan kufur dan laknat, ia tetap berada pada kemutlakan dan keumumannya. Oleh itu tidak sekali-kali disandarkan kekufuran kepada seseorang Islam secara peribadi kecuali wajib disertai dengan dalil dan bukti. Pengkafiran juga tidak boleh dilakukan secara semberono oleh mana-mana orang perseorangan, ia perlu diserahkan kepada pihak berkuasa agar siasatan dan penelitian dapat dilakukan berdasarkan undang-undang Syariah, sekaligus mengelakkan huru hara dalam masyakarat.

7
ALMAFAAHIM / ALM #2: BERPERANG JIHAD KE LUAR NEGARA?
« Masa: 10 months ago »
TASHIH AL-MAFAHIM #2:BERPERANG JIHAD KE LUAR NEGARA?

SALAH FAHAM

Terdapat sesetengah pihak yang berpandangan bahawa menjadi satu kewajipan bagi setiap individu Muslim untuk keluar berperang dari negara mereka ke negara-negara yang didakwa diserang oleh musuh-musuh Islam seperti di Iraq, Syria, Yaman, Filipina dan lain-lain. Oleh yang demikian, wajib seseorang itu meninggalkan ibu bapanya, anak isteri dan semua tanggungjawabnya yang lain untuk menuju ke kawasan perang tersebut dengan tujuan berjihad fi sabilillah. Persoalannya, adakah tindakan ini menepati syariat Islam?

PENCERAHAN

Sebelum menjawab persoalan ini, kita perlu mengetahui terlebih dahulu bahawa menurut syarak terdapat dua jenis jihad iaitu jihad mempertahankan diri (jihad al-daf’) dan jihad menyerang (jihad al-hujum). Secara ringkasnya, jihad mempertahankan diri (jihad al-daf’) bermakna musuh datang dan masuk menyerang sesebuah negara Islam. Maka, jihad jenis ini tiada perselisihan ulama’ mengenai kewajipan berjihad demi mempertahankan negara.

Jihad jenis menyerang (jihad al-hujum) pula bermakna individu Muslim tersebut keluar dari negaranya ke negara-negara yang mengalami peperangan. Ini bererti apa yang dimaksudkan dalam persoalan di atas ialah jihad jenis menyerang (jihad al-hujum). Bagi kategori jihad jenis ini, selain daripada syarat Islam, baligh, berakal, lelaki, sempurna fizikal dan niat yang ikhlas, terdapat syarat-syarat lain yang sering diabaikan oleh pihak yang berkenaan. Ia adalah seperti berikut:

Pertama: Matlamat yang jelas (wudhuh al-hadaf)

Berbeza dengan jihad mempertahankan diri (jihad al-daf’), jihad menyerang (jihad al-hujum) memerlukan matlamat yang jelas di dalam melaksanakannya. Adalah tidak tepat bagi seseorang individu itu meletakkan bahawa matlamat jihad adalah semata-mata untuk meraih mati syahid, menunjukkan keberanian, membunuh musuh dan seumpamanya. Hal ini kerana, asas pensyari’atan jihad adalah bermatlamatkan untuk meninggikan syiar agama Allah (i’la’ kalimah Allah). Ini sebagaimana yang terkandung dalam nas-nas syarak seperti hadith Abu Musa al-Asy’ari yang berkata:

قَالَ أَعْرَابِيٌّ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ، وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ، وَيُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ، مَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ فَقَالَ: «مَنْ قَاتَلَ، لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ العُلْيَا، فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Seorang A’rabi telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang orang yang perang kerana ingin mendapatkan harta rampasan perang, dan orang yang berperang kerana mahu namanya dikenang, dan orang yang berperang kerana ingin diangkat kedudukannya. Siapakah antara mereka yang berperang pada jalan Allah? Jawab baginda: Siapa yang berperang semata-mata untuk menegakkan kalimatullah (agama Allah), maka itulah fisabilillah.” (Sahih al-Bukhari, no. 3126)

Persoalannya, adakah peperangan yang disertai oleh mereka yang pergi keluar negara itu benar-benar akhirnya berjaya meninggikan syiar agama Allah SWT? Bagaimana mungkin dikatakan ia meninggikan agama Allah SWT jika apa yang berlaku adalah membunuh sesama umat Islam dan melakukan serangan di tempat awam sehingga membunuh mereka yang tidak berdosa? Perbuatan seumpama ini bukan sahaja tidak meninggikan syiar agama Allah, sebaliknya ia menyebabkan imej agama Islam semakin tercalar, dipandang negatif bahkan meruntuhkan lagi syiar agama Allah SWT di mata bukan Islam.

Kedua: Keizinan pemerintah (izn al-hakim)

Amat penting untuk difahami bahawa jihad bukan merupakan pekerjaan individu. Ia adalah pekerjaan yang perlu dilakukan secara berjamaah. Dalam hal ini, tanggungjawab melaksanakan jihad terletak pada bahu imam iaitu pemerintah. Ini kerana, pemerintah memiliki segala kemampuan untuk melaksanakannya meliputi kepakaran, strategi perang, pasukan tentera, logistik persenjataan dan lain-lain. Lantaran itu, jihad diletakkan di bawah tanggungjawab asal pemerintah. Ia berdasarkan hadith Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

 إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ، وَيُتَّقَى بِهِ

“Sesungguhnya pemerintah itu adalah perisai, (orang-orang) akan berperang daripada belakangnya, dan berlindung (daripada musuh) dengan (kekuasaan)nya.” (Hadis riwayat Muslim, no. 1841)

Dalam hadith yang lain, Nabi SAW bersabda:

لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ، وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ، وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا

“Tidak ada hijrah setelah penaklukan kota Mekah, akan tetapi jihad dan niat, dan jika kalian diminta (oleh pemerintah) untuk pergi berjihad maka pergilah.”

Justeru, keizinan pemerintah untuk keluar berjihad tidak seharusnya dipandang ringan. Jihad al-hujum memerlukan individu tersebut mendapatkan keizinan daripada pemerintah bagi meneruskannya. Halangan daripada pemerintah boleh menyebabkan sesuatu perjalanan untuk berperang itu dibatalkan pada bila-bila masa. Ia dikira sebagai salah satu penghalang kepada tuntutan berjihad. Ibn Qayyim mengatakan jihad al-hujum itu fardhu kifayah (Zaad al-Ma’ad: 3/64), maka halangan pemerintah terhadap sebahagian orang boleh menjadi sebab pembatalan kefardhuan jihad ke atas orang tersebut.

Ketiga: Keizinan kedua ibu bapa (izn al-waalidayn)

Keizinan ibu bapa sangatlah penting di dalam jihad al-hujum. Ini sepertimana yang direkodkan menerusi hadith Abdullah bin Amru:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الْجِهَادِ، فَقَالَ: أَحَيٌّ وَالِدَاكَ؟ " قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: " فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ

“Telah datang seorang lelaki kepada baginda Nabi s.a.w maka dia telah meminta izin daripada baginda untuk keluar berjihad. Maka Nabi bersabda: Adakah masih hidup kedua ibu bapamu? Dia menjawab, Ya. Maka baginda bersabda lagi: Maka ke atas mereka berdua, berjihadlah (berbakti lah kepada kedua ibu bapamu terlebih dahulu selama mana mereka masih hidup).” (Hadis riwayat Sahih al-Bukhari, no 3004)

 Hadith ini jelas menunjukkan bahawa jihad al-hujum itu perlu kepada keizinan kedua ibu bapa. Hal ini kerana, seseorang individu itu bertanggungjawab secara fadhu ain untuk menjaga kebajikan kedua ibu bapanya berbanding jihad al-hujum yang merupakan fardhu kifayah dan memadai ia dilakukan oleh sebahagian Mukmin yang lain.

Keempat: Keizinan orang yang memberi hutang (izn al-madin)

Ibn Qudamah mengatakan tidak dibolehkan bagi seseorang yang berhutang untuk keluar berperang tanpa keizinan pemiutang kecuali jika dia meninggalkan cagaran, penjamin atau apa yang bersamaan dengannya. Beliau juga menjadikan perbahasan isu ini di dalam satu bab yang khusus (al-Mughni: 8/359). Begitu juga dipegang oleh al-Syafie (Raudhah al-Talibin: 10/210). Hal ini kerana, keluar berjihad akan menyebabkan kemungkinan untuk kehilangan nyawa. Maka, kehilangan nyawa bakal mengakibatkan kehilangan hak orang lain yang terdapatdi dalamnya. Disebutkan di dalam hadith:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ. إِنْ قُتِلْتُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا مُقْبِلًا غَيْرَ مُدْبِرٍ أَيُكَفِّرُ اللَّهُ عَنِّي خَطَايَايَ؟ فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «نَعَمْ إِلَّا الدَّيْنَ، كَذَلِكَ قَالَ لِي جِبْرِيلُ

"Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu dia berkata: Wahai Rasulullah! Sekiranya aku berperang di jalan Allah dalam keadaan sabar dan tulus mengharapkan pahala, adakah akan dihapuskan segala dosa-dosaku? Baginda pun bersabda: Ya kecuali (jika kamu ada) hutang. Sesungguhnya Jibril yang mengatakan kepadaku sebegitu” (Riwayat Muslim, no. 1885)

Di dalam hal ini, seseorang yang berhutang walaupun dengan sesebuah institusi tidak boleh berlepas tangan hanya dengan alasan untuk pergi berjihad dengan jihad menyerang (jihad al-hujum). Hal ini kerana, seseorang yang berhutang kepada institusi akan membebankan ahli keluarga atau penjaminnya dan juga negara untuk melangsaikan hutangnya jika dia terbunuh dalam peperangan tersebut.

Kelima: Persediaan kekuatan (i’daad al-quwwah)

Dalam konteks peperangan, persediaan ketenteraan adalah amat penting. Hal ini sememangnya termasuk dalam perkara yang dituntut oleh syariat. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Anfal ayat 60:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu...”
 
Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi persediaan ketenteraan pada zaman ini perlu disesuaikan dengan peredaran zaman. Bagi zaman kini, persediaan ketenteraan  termasuklah kereta kebal, kereta perisai, kapal perang, kapal selam, satelit, roket bahkan senjata nuklear. Walaupun secara prinsipnya, al-Qaradawi tidak bersetuju dengan penggunaan senjata nuklear kerana ia boleh menyebabkan kematian jutaan manusia, namun begitu umat Islam perlu memilikinya sebagai jaminan keselamatan terutamanya bagi mencegah ancaman kuasa besar yang sentiasa bersikap memusuhi umat Islam. (Ringkasan Fiqh Jihad: 131-132))

Manakala, persediaan ketenteraan bagi diri pejuang pula bermaksud persediaan individu tersebut terhadap peperangan seperti latihan peperangan dan kemahiran menggunakan senjata dengan cara yang betul. Diambil petikan kata-kata Syeikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitab Fiqh al-Jihad:

 Disebabkan itulah, Rasullah s.a.w telah menyuruh sekalian umatnya untuk melatih diri mereka sendiri dengan cara menggunakan senjata, hingga mereka mendapat kemahiran menggunakannya. Sekiranya tidak, maka senjata-senjata itu akan kehilangan nilainya. (Fiqh al-Jihad: 1/533-542)

 Jika kita melihat kepada kata-kata ini, jelaslah bahawa jihad memerlukan persediaan dari segi ketenteraan dan persenjataan. Oleh itu, perbuatan keluar berperang secara sembarangan tanpa mengambil kira persediaan-persediaan ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam sendiri. Walaupun kedudukan orang yang mati syahid itu tinggi di dalam Islam, Islam tetap tidak mengiktiraf perbuatan keluar begitu sahaja tanpa persediaan dengan niat semata-mata mengorbankan diri sendiri.

Keenam: Bekalan jihad (mu’nah al-jihad)

Antara syarat jihad al-hujum adalah memiliki bekalan jihad. Ia termasuk perbelanjaan atau nafkah kepada tanggungannya sepanjang ketiadaannya. Imam al-Syafie mengatakan, walaupun seseorang itu sejahtera tubuhnya (daripada kecacatan) dan kuat, namun dia tidak memiliki bekalan untuk keluar berjihad, tidak juga meninggalkan perbelanjaan untuk orang di bawah tanggungannya sepanjang tempoh ketiadaannya, maka dia tidak boleh menawarkan diri untuk berjihad lalu meninggalkan kewajipan terhadap tanggungan di bawahnya (Mukhtasar al-Muzani: 8/376). Al-Nawawi pula menegaskan bekalan jihad hendaklah lebihan daripada nafkah yang wajib ditunaikan buat tanggungan di bawahnya (Raudhah al-Talibin: 10/210).

Bekalan jihad atau disebut juga sebagai mu’nah al-jihad ini berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Taubah ayat 91:

لَيْسَ عَلَى الضُّعَفَاءِ وَلَا عَلَى الْمَرْضَى وَلَا عَلَى الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنْفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا لِلَّهِ وَرَسُولِهِ مَا عَلَى الْمُحْسِنِينَ مِنْ سَبِيلٍ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Di dalam ibadah haji, seseorang itu disyaratkan dengan berkemampuan untuk pergi melaksanakannya. Kemampuan ini bermaksud kemampuan menyediakan perbelanjaan diri sendiri sebelum, semasa dan setelah mengerjakan haji juga perbelanjaan buat keluarga yang ditinggalkan di tanah air. Haram bagi seseorang individu untuk pergi ke tanah suci bagi melaksanakan ibadah haji dalam keadaan meninggalkan keluarganya di dalam keadaan papa kedana. Begitu juga keadaannya bagi mereka yang keluar berperang dengan jihad al-hujum. Dia perlu menyediakan bekalan yangsecukupnya buat dirinya juga keluarga yang ditinggalkan kerana nafkah masih di bawah tanggungjawabnya.

Kesimpulannya
Berjihad ke luar negara termasuk dalam kategori jihad al-talab atau al-hujum. Ia memiliki beberapa syarat yang wajib dipenuhi dan tidak boleh dilaksanakan secara semberono. Semangat, sentimen dan keberanian semata-mata tidak boleh menjadi dalil untuk menghalalkan perbuatan seseorang untuk berjihad di luar negara. Jihad sebagaimana amal ibadat yang lain, turut mempunyai tatacara dan hukum hakamnya yang tersendiri. Setiap orang yang ingin melaksanakannya perlu mempelajari dan mengetahui perihal yang berkaitan dengannya supaya apa yang dilakukan selari dengan hukum syarak dan lebih penting daripada itu, perbuatan tersebut diterima sebagai ibadat oleh Allah SWT di akhirat kelak.


8
ALMAFAAHIM / ALM #1: JIHAD BUKAN PERANG SEMATA-MATA
« Masa: 10 months ago »
JIHAD BUKAN PERANG SEMATA-MATA
SALAH FAHAM

Mutakhir ini terdapat sekelompok daripada umat Islam yang mendakwa bahawa jihad itu adalah semata-mata perang. Mereka tidak menerima istilah jihad nafsu, jihad harta, jihad ilmu dan sebagainya. Bagi mereka, istilah jihad yang dimaksudkan dalam al-Quran dan al-Hadith hanya merujuk kepada perang samata-mata. Oleh yang demikian, orang yang ingin berjihad, hendaklah menunaikannya dengan cara berperang secara fizikal, membunuh orang kafir atau mereka yang dianggap musuh Allah SWT. Persoalannya, adakah benar jihad itu semata-mata berperang?

PENCERAHAN

Definisi jihad

Pertama sekali mari kita lihat jihad dari sudut bahasa, ia mempunyai banyak maksud. Merujuk kepada kamus Lisan al-‘Arab, jihad berasal dari kalimah jim-ha-dal (ج.ه.د) yang bermaksud  menghadapi kesusahan dan mengerah tenaga. (Lisan al-‘Arab: 3/133)

Dari segi istilah, jihad ditakrifkan dengan pelbagai definisi oleh para ulama. Al-Kasani mengatakan jihad pada uruf syarak digunakan pada mengerah sepenuh kemampuan untuk berjuang pada jalan Allah s.w.t dengan nyawa, harta, lisan dan lain-lain. (Bada’i’ al-Sana’i’: 7/97) Sebahagian fuqaha seperti Ibn ‘Arafah (al-Fawakih al-Dawani: 2/879), Ibn Hajar (Fath al-Bari: 1/6) dan al-Buhuti (Syarh Muntaha al-Iradat: 1/716) mentakrifkan jihad dengan perang secara khusus. Ini bermakna, terdapat dua takrifan mengenai jihad iaitu jihad am dan jihad khas. Secara am ia meliputi pelbagai jenis jihad sama ada dengan harta, lisan dan nyawa manakala secara khas ia bermaksud memerangi musuh.

Jihad dalam ayat Makkiyyah

Berdasarkan definisi di atas, jihad pada asasnya memiliki maksud yang luas melangkaui makna perang semata-mata. Antara hujah yang menunjukkan jihad bukan hanya bermaksud qital (peperangan), perkataan jihad juga digunakan dalam ayat-ayat Makkiyyah sedangkan qital belum lagi disyariatkan kecuali di Madinah.

Antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Furqan, ayat 52:

فَلَا تُطِعِ ٱلۡكَٰفِرِينَ وَجَٰهِدۡهُم بِهِۦ جِهَادا كَبِيرا

“Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan Al Quran dengan jihad yang besar”

Kalimah “وَجَٰهِدۡهُم بِهِۦ” merujuk kepada jihad atau berjuang dengan al-Quran yakni berjuang dengan berdakwah kepada mereka tanpa menggunakan kekerasan. (Al-Tafsir al-Wasit: 10/208)

Dalam surah Al-Ankabut ayat yang ke-6, Allah SWT berfirman:

وَمَن جَٰهَدَ فَإِنَّمَا يُجَٰهِدُ لِنَفۡسِهِۦٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ ٱلۡعَٰلَمِينَ

“Dan sesiapa yang berjihad (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjihad untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.

Menurut Ibn Kathir, al-‘Ankabut merupakan surah Makkiyyah dan ayat “Dan sesiapa yang berjihad” bermaksud “sesiapa yang beramal soleh.” (Tafsir Ibn Kathir: 6/263-264)

Dalam surah Al-Ankabut ayat 69 pada penghujung surah, Allah telah menerangkan maksud jihad yang lebih umum. Firman-Nya:

وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”

Menurut al-Suddiy dan lain-lain, ayat ini diturunkan di Makkah sebelum perang disyariatkan. Ibn ‘Atiyyah mengatakan ia adalah jihad umum demi agama Allah dan memohon keredaan-Nya. Kata Abu Sulaiman al-Darani, ayat tersebut menunjukkan jihad bukan hanya peperangan bahkan ia adalah memperjuangkan agama, membantah golongan batil, mengekang golongan zalim dan setinggi-tingginya adalah amar makruf nahi mungkar. (Tafsir al-Qurtubi: 13/364-365)

Nabi Nuh a.s berjihad dakwah

Selain daripada itu, jika kita mengkaji sirah dakwah para nabi terdahulu, kita akan dapati terdapat nabi yang tidak pernah melancarkan jihad perang seperti Nabi Nuh a.s. Sebaliknya pendekatan yang digunakan oleh Nabi Nuh a.s hanyalah berdakwah semata-mata. Allah s.w.t telah menceritakan dalam surah Nuh ayat 5-8:

قَالَ رَبِّ إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلًا وَنَهَارًا (5) فَلَمْ يَزِدْهُمْ دُعَائِي إِلَّا فِرَارًا (6) وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا (7) ثُمَّ إِنِّي دَعَوْتُهُمْ جِهَارًا (8) ثُمَّ إِنِّي أَعْلَنْتُ لَهُمْ وَأَسْرَرْتُ لَهُمْ إِسْرَارًا (9) فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا(10)

“Nuh berkata, " Ya Tuhanku, Sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang, maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran). Dan Sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka. mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (ke mukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan sangat. Kemudian Sesungguhnya aku telah menyeru mereka (kepada iman) dengan cara terang-terangan, kemudian Sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) secara terbuka dan dengan diam-diam, maka aku berkata (kepada mereka), 'Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu,' sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun,”

Merujuk dalam kitab Tafsir Al-Maraghi, Nabi Nuh a.s. berjihad dengan berdakwah kepada kaumnya agar kembali ke jalan yang benar dengan cara berdoa (dakwah bil-qalbi) dengan bersungguh-sungguh. Nabi Nuh a.s. berdakwah siang dan malam, kadangkala Nabi Nuh a.s berdakwah kepada kaumnya secara sembunyi dan kadang-kadang dengan cara terang-terangan. Akan tetapi dakwahnya tetap tidak diterima oleh kaumnya sehinggakan mereka menutup ketat telinga dan mata dengan pakaian mereka, kerana tidak mahu menerima dakwah tersebut. Namun Nabi Nuh a.s. tetap bersabar dengan kedegilan kaumnya. (Tafsir al-Maraghi: 15/729)

Peringkat-peringkat jihad

Bagi menjelaskan lagi bahawa jihad bukan sekadar bermaksud perang, amat baik jika kita merujuk kepada perbahasan mengenai peringkat-peringkat jihad sebagaimana yang dibentangkan oleh Ibn al-Qayyim dalam Zad al-Ma’ad. Menurut Ibn al-Qayyim, secara amnya, jihad terbahagi kepada 4 bahagian iaitu jihad memperbaiki diri (melawan nafsu), jihad melawan godaan syaitan, jihad memerangi orang-orang kafir dan jihad terhadap orang-orang munafik. (Zaad al-Ma’ad: 3/9-10)

Pertama: Jihad melawan nafsu

Jihad melawan nafsu adalah perkara yang perlu setiap umat Islam mengambil berat kerana ia jihad untuk mengawal diri dari dikuasai oleh hawa nafsu.  Cara untuk berjihad melawan nafsu mempunyai empat peringkat iaitu:

    Melakukan jihad terhadap diri supaya mempelajari. petunjuk, dan agama yang sebenar. Tiada kebahagiaan dan kejayaan untuk diri sendiri tanpanya dan tiada kebahagiaan di dunia dan akhirat tanpanya. Apabila jiwa tidak dibekalkan dengan ilmu, maka malang dia di dunia dan akhirat.
    Berjihad terhadap diri supaya mengamalkan ilmu yang diperoleh. Apabila seseorang itu tidak mengamalkannya, maka ilmu yang dipelajari hanya sekadar menjadi ilmu tanpa amal. Walaupun tidak membahayakannya, tetapi tiada manfaat yang dapat diambil.
    Berjihad terhadap diri supaya berdakwah dan menyampaikan ilmu kepada orang-orang yang tidak mengetahuinya. Sekiranya tidak melakukannya, dia termasuk dalam golongan yang menyembunyikan apa yang Allah s.w.t. turunkan daripada petunjuk dan penerangan. Ilmunya tidak memberika`n manfaat dan tidak dapat menyelamatkannya daripada seksaan Allah. s.w.t.
    Berjihad dengan kesabaran ketika mengalami kesukaran dan seksaan daripada makhluk dalam berdakwah pada jalan Allah s.w.t dan menanggung semuanya dengan mengharapkan redha Allah s.w.t

Kedua: Jihad melawan syaitan

Jihad melawan syaitan mempunyai dua peringkat, iaitu:

    Berjihad melawan syaitan dengan membuang segala kebimbangan dan keraguan (shubuhat) yang dilemparkan oleh syaitan kepada manusia bagi merosakkan iman. Ini termasuk menjawab segala bentuk keraguan yang ditimbul oleh pihak tertentu terhadap aqidah dan syariat Islam seperti menuduh Islam sebagai agama terroris, Nabi Muhammad seorang pedofilia kerana menikahi kanak-kanak, majoriti para sahabat telah murtad dan lain-lain.
    Berjihad melawan syaitan yang mengarahkan manusia agar memenuhi nafsu syahwatnya dengan melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Ia seperti mencegah manusia melakukan zina, pergaulan bebas, orientasi seks songsang (LGBT), rasuah, penyelewengan kuasa, zalim, khianat dan lain-lain.

Ketiga: Jihad melawan bid’ah dan penyelewengan intelektual

Jihad melawan bid’ah bermaksud berjihad dalam menyekat ajaran-ajaran baharu dalam akidah dan syariah yang menyesatkan atas nama Islam. Ia dikenali sebagai ajaran sesat seperti Syiah, Qadiyani, Khawarij, Murji’ah, Muktazilah, Ayah Pin, Haji Kahar Rasul Melayu dan lain-lain. Bid’ah yang direkacipta atas nama agama jauh lebih bahaya berbanding maksiat kerana maksiat dapat dilihat dan disingkap urusannya. Manakala bid’ah bersembunyi di sebalik pakaian agama dan diperkenalkan sebagai perkara yang mampu mendekatkan diri kepada Allah s.w.t sedangkan ia perkara yang tertolak di sisi agama. Ia sering kali disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam beberapa hadis, antaranya:

 Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً ليسَ عليه أمرُنا هذا فهو رَدٌّ

“Barangsiapa membuat suatu perkara baru dalam urusan kami ini (urusan agama) yang tiada ada asalnya, maka perkara tersebut tertolak.”

(HR.Bukhari no. 2697 dan Muslim no.1718)

Manakala penyelewengan intelektual pula merupakan bentuk-bentuk pemikiran yang disandarkan kepada Islam atas nama progresif dan kemodenan. Namun hakikatnya, ia telah melanggar prinsip-prinsip dan batasan-batasan syarak. Antaranya seperti menyeru kepada pentafsiran semula al-Quran, kebebasan murtad, kesaksamaan gender termasuk dalam isu faraid, menyamaratakan semua agama dan seumpamanya.

Jihad perlu dilancarkan dalam menangani kedua-dua golongan ini.  Ia sama ada dengan menggunakan kuasa undang-undang, atau ceramah dan penulisan bagi menjelaskan dan menjawab dengan hujah segala kesesatan dan penyelewengan yang ditimbulkan.

Keempat: Jihad melawan musuh yang jelas

Jihad melawan orang kafir dan munafik yang jelas disebut dalam surah Al-Furqan, ayat 51 dan 52:

وَلَوۡ شِئۡنَا لَبَعَثۡنَا فِي كُلِّ قَرۡيَة نَّذِيرا، فَلَا تُطِعِ ٱلۡكَٰفِرِينَ وَجَٰهِدۡهُم بِهِۦ جِهَادا كَبِيرا

“Dan kalau Kami kehendaki, tentulah Kami utuskan dalam tiap-tiap negeri, seorang Rasul pemberi amaran. Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.

 Jihad menentang orang kafir dan munafik ada empat peringkat iaitu jihad dengan hati, lidah, harta, dan jiwa. Jihad menentang orang kafir lebih dikhususkan dengan tangan (kekuatan), manakala jihad menentang orang munafik lebih dikhususkan dengan lidah (dakwah).

Adapun jihad untuk menentang orang kafir yang memerangi Islam, maka ia tertakluk kepada hukum hakam sebagaimana yang dibahaskan oleh para ulama dalam bab fiqah jihad. Namun begitu, jihad menentang musuh-musuh Allah s.w.t di luar tetap merupakan cabang daripada jihad seorang hamba melawan hawa nafsu demi mentaati Allah s.w.t. Ia seperti mana yang disabdakan Nabi s.a.w, “Mujahid adalah orang yang berjihad melawan hawa nafsunya kerana mentaati Allah s.w.t.” (HR Ahmad no. 23965)

Di sini kita dapat lihat keutamaan meletakkan jihad melawan nafsu daripada jihad melawan musuh di luar, ini kerana jihad melawan nafsu yakni memperbaiki diri adalah tiang asas kepada jihad-jihad yang lain. Ini kerana, bagaimana seseorang yang tidak mampu melawan musuh dalam dirinya untuk menentang musuh-musuh yang penuh dengan tipu daya.

 Kesimpulan

 Kesimpulannya, adalah tidak tepat jika jihad hanya diertikan sebagai peperangan semata-mata. Ini kerana, maksud jihad yang sebenar adalah lebih luas dan bukan hanya tertumpu pada erti peperangan. Seharusnya setiap muslim itu melalui dan melaksanakan setiap tingkatan jihad mengikut kemampuan diri masing-masing. Ia bermula dengan memperbaiki diri (jihad nafsu), jihad melawan syaitan, jihad melawan bid’ah dan penyelewengan intelektual dan jihad menentang musuh yang nyata. Jika ditelusuri sejarah para rasul, sahabat dan tabiin, Islam tersebar dengan dengan dakwah penuh ilmu, beradab dan disulami hikmah. Justeru, Islam tidak sekali-kali mensyariatkan peperangan kecuali apabila keadaan memerlukan demi mempertahankan Islam dan umatnya.

Wallahu a’lam.


9
Umum / MEMBINA CITA-CITA SEMPENA TAHUN BARU 2019
« Masa: 10 months ago »
MEMBINA CITA-CITA SEMPENA TAHUN BARU 2019

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Tahun 2018 sudah hampir melabuhkan tirainya dan akan terbit fajar 2019. Apa yang berlaku sepanjang 2018, banyak perkara yang dapat kita muhasabahkan dan post mortem. Ini bertujuan untuk mengislahkan kehidupan yang mendatang dengan lebih cemerlang dan gemilang.

Warna-warni, suka-duka dan pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang 2018, itulah putaran hidup yang terpaksa kita lalui. Benarlah firman Allah SWT:

وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ

Maksudnya: Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)

(Surah Ali Imran: 140)

Dalam menapak ke hadapan pada 2019 ini, sudah semestinya kita mempunyai hasrat, harapan untuk bertambah baik dalam meniti kehidupan. Justeru, kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan Membina Cita-Cita Sempena Tahun Baru 2019.

Muhasabah 2018

Banyak peristiwa yang telah berlaku pada tahun 2018. Kami dapati ada yang berjaya, gembira dan sukacita. Sebaliknya tidak kurang yang kecewa, sedih dan berduka nestapa. Begitu juga ada yang dikurniakan dengan pelbagai anugerah dan nikmat.

Justeru tatkala kita dikurniakan nikmat, maka wajib kita zahirkan kesyukuran kepada Tuhan. Sebaliknya jika diuji dengan sedikit musibah, maka hendaklah dia bersabar. Sudah barang tentu kehidupannya sentiasa dipahalakan Allah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Suhaib R.A, Rasulullah SAW bersabda:

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”
Riwayat Muslim (7692)

Pada saat yang sama, hendaklah kita bermuhasabah untuk mengislahkan diri ke arah yang lebih baik pada masa akan datang. Daripada baik kepada lebih baik dan daripada lebih baik kepada terbaik. Inilah manusia yang mendapat laba dan keuntungan dalam kehidupan. Semoga sinar 2019, kita penuhinya dengan cita-cita yang mulia untuk kita capai.

Dengan menginsafi diri, semua dari kalangan kita mahu menjadi orang yang cerdik, bijak dan beruntung dalam kehidupannya. Daripada Syaddad bin Aus R.A, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ

Maksudnya: Orang yang cerdik, siapa yang merendahkan dirinya dan beramal untuk bekalan selepas mati. Sedangkan orang yang lemah, siapa yang mengikut hawa nafsunya dan hanya bercita-cita kepada Allah.

Riwayat al-Tirmizi (2459) dan Ibn Majah (4260)

Syeikh al-Mubarakfuri dalam menjelaskan hadis di atas berkata: “(Orang yang cerdik) iaitu orang yang sentiasa memuhasabah dirinya di dunia sebelum dia dihisab di akhirat. Hal ini berbetulan dengan nasihat Saidina Umar al-Khattab R.A yang berkata:

حَاسِبُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا وَتَزَيّنُوا لِلْعَرْضِ الأَكْبَرِ وَإِنّمَا يَخِفّ الْحَسَابُ يَوْمَ القِيَامَةِ عَلَى مَنْ حَاسَبَ نَفْسَهُ في الدّنْيَا

Maksudnya: Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Dan berhiaslah untuk hari pembentangan yang agung. Sesungguhnya ringanlah penghisaban di hari Akhirat bagi sesiapa yang telah menghisab dirinya di dunia.”

(Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/156)
  • Definisi
Kami mulakan dengan maksud cita-cita. Menurut Kamus Dewan, cita-cita ialah:

    Harapan, hasrat, keinginan (yang kuat).
    Maksud, tujuan yang hendak dilaksanakan.
(Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Dalam bahasa Arab, cita-cita disebut sebagai “أمنية” dan juga “أماني”. Ia hampir sama dengan makna dalam Kamus Dewan.

Manusia dimuliakan berbanding haiwan kerana diberi akal fikiran, ditambah dengan semangat yang kental untuk membina sebuah cita-cita bagi menggapainya. Dengan sebab itulah kehidupan manusia mampu membina tamadun berbanding haiwan yang hanya mengikut fitrah yang Allah tentukan.

  • Bagaimana Membina Cita-cita?
Kami kemukakan di sini beberapa cara untuk membina cita-cita:

    Buat Keputusan untuk Tingkatkan Tahap yang Ingin Dicapai

Kehidupan seseorang boleh berubah sepenuhnya selepas membuat keputusan untuk menaikkan tahap yang ingin dicapai ke peringkat yang lebih tinggi. Tulis dengan jelas apa yang diingini, dan beri komitmen sepenuhnya untuk mencapainya. Masukkan juga, apakah kualiti diri yang sepatutnya dimiliki untuk mencapai perkara tersebut seperti sikap positif dan tidak menangguhkan kerja.

    Bersama Tekad, Binakan Keazaman yang Utuh

Seperti yang dinyatakan di atas, keazaman dalam meraih cita-cita hendaklah disusun dengan penuh strategi dan pengalaman. Maka insya Allah, sebaik-baik natijah akan digapai. Pujangga menyatakan:

إذا كُنتَ ذا رأيٍ فَكُنْ ذا عَزيمَةٍ                فإنَّ فَسادَ الرأيِ أنْ تَترددا

                             “Jika kamu mempunyai pemikiran yang baik, maka sertakan dengan azam

                                                             Ini kerana rosaknya pemikiran apabila kamu tidak tetap pendirian.”

    Tulis Impian dan Cita-Cita yang Ingin Dicapai

Jadikan setiap apa yang ingin dicapai dalam bentuk bertulis. Begitu juga semua perkara yang boleh menghalang dan cara mengatasinya. Tulis secara terus menerus setiap perkara yang dibayangkan. Curahkan semua idea berkaitan impian dan cita-cita yang ingin dicapai. Susun dalam bentuk garis masa, mungkin sehingga 5 atau 10 tahun akan datang. Jangan sekali-kali berfikir bahawa impian kita tersebut tidak realistik. Jangan meletakkan batas pada diri kita. Yakinlah, jika orang lain boleh mencapainya, mengapa tidak kita?

Dengan menulis impian, daripada itu kita dapat mengetahui secara terperinci berkaitan cita-cita kita serta mendapat gambaran yang jelas. Jadikan diri kita tidak dapat hidup tanpa impian dan matlamat tersebut.

    Beri Komitmen Sepenuhnya

Menulis impian sahaja masih belum mencukupi. Bulatkan tekad dan beri komitmen sepenuhnya untuk mencapai impian tersebut. Beri komitmen sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi untuk merealisasikannya. Bertindak untuk mengubah strategi jika perlu. Tanamkan pemikiran bahawa sekiranya kita berhenti dan menyerah bermakna kita telah menjual impian kita. Yakinlah, sekiranya kita betul-betul memberi komitmen, pasti ada jalan untuk mencapainya.

Untuk melakukan perubahan, hakikatnya ia bukanlah soal kemampuan. Sebaliknya ia adalah berkaitan kemahuan dan motivasi. Cari alasan atau sebab yang kuat untuk berubah, dan setelah itu beri komitmen sepenuhnya bagi mencapainya.

    Tempohkan Cita-cita yang Hendak Dicapai

Dengan hanya bercita-cita sahaja untuk menggapai dan mencapai sesuatu matlamat, namun tidak diberikan tempoh dan had masa untuk mencapainya, ia biasanya tidak tercapai. Kalau tercapai sekalipun, ia akan mengambil sejumlah masa yang besar. Makanya, kejayaan yang sepatutnya diraih hanya sia-sia dan habis begitu sahaja. Malang sekali jika kejadian seperti ini sering kali berulang saban tahun dengan cita-cita yang tak pernah kunjung tiba sekalipun ditekad dan diazamkan pada permulaan tahun. Jadikanlah cita-cita sebagai tangga yang perlu dinaiki di mana melangkah semestinya dari satu tahap ke satu tahap yang seterusnya agar kehendak cita-cita dapat direalisasikan dalam kehidupan kita. Amin.

    Bersahabatlah dengan Orang yang Berjaya Meraih Cita-cita

Ini kerana sahabat menjadi cerminan kejayaan seseorang. Cerdik pandai pernah menyebut: “Beritahu kepadaku siapa sahabatmu, nescaya aku boleh memberitahu siapa diri kamu sebenar.” Hal ini berbetulan dengan hadis Nabi SAW:

الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلْ

Maksudnya: Seseorang itu mengikut agama rakannya. Maka lihatlah seorang kamu siapa yang dia berkawan.

Riwayat Abu Daud (4833), al-Tirmizi (2378)
dan Ahmad (8398)

Sejarah membuktikan orang yang berjaya biasanya mempunyai rakan-rakan yang telah berjaya. Dengan sebab itu gandingan antara yang berjaya dengan yang berjaya menghasilkan kejayaan yang lumayan dan berganda. Justeru, pilihlah rakan-rakan yang telah berjaya dan bukannya yang kecewa dan gagal dalam kehidupan.

Cita-cita Saidina Umar al-Khattab R.A

Kami sengaja menyebut cita-cita Saidina Umar sebagai mengambil semangat dan inspirasi untuk kita bina cita-cita kita ke arah yang lebih baik dalam melayari bahtera kehidupan ini.

Suatu ketika, Saidina Umar bin al-Khattab R.A berkata kepada sahabat-sahabatnya:

تَمَنَّوْا ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّ هَذِهِ الدَّارَ مَمْلُوءَةٌ ذَهَبًا أُنْفِقُهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَأَتَصَدَّقُ ، وَقَالَ رَجُلُ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّهَا مَمْلُوءَةٌ زَبَرْجَدًا وَجَوْهَرًا فَأُنْفِقُهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَأَتَصَدَّقُ ،

ثُمَّ قَالَ عُمَرُ : تَمَنَّوْا فَقَالُوا : مَا نَدْرِي يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ ، فَقَالَ عُمَرُ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّهَا مَمْلُوءَةٌ رِجَالاً مِثْلَ أَبِي عُبَيْدَةَ بْنِ الْجَرَّاحِ ، وَمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ ، وَسَالِمٍ مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ ، وَحُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ.

Maksudnya: "Tunjukkan cita-cita kamu." Salah seorang menjawab, "Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi dengan emas, agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!" Sahabat yang lain pula berkata: "Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi zamrud dan batu permata agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!"

Kemudian Umar R.A berkata lagi: “Tunjukkan cita-cita kamu.” Mereka menjawab: “Kami tidak tahu wahai Amir al-Mukminin.”

Lalu Umar R.A berkata: "Aku bercita-cita agar rumahku dipenuhi pemuda-pemuda seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Mu'adz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah ibn al-Yaman.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (5005),
dan Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (318)

Mafhum daripada cita-cita sahabat dan Saidina Umar amat banyak. Antaranya:

    Sahabat bercita-cita untuk mendapat kejayaan dalam hidup yang disambung dengan kejayaan akhirat. Ia seolah-olah dunia sebagai ladang akhirat untuk menatijahkan pahala dan syurga di hari akhirat kelak.
    Cita-cita Saidina Umar jelas menunjukkan betapa jauhnya ufuk minda dan pemikiran Saidina Umar dalam meraih human capital atau modal insan bagi manusia kerana ia menjadi pengubah dunia dan pemakmurnya mengikut neraca Syari’ah. Justeru, cita-cita Saidina Umar jauh lebih besar berbanding dengan yang lain.
    Nama-nama yang disebut oleh Saidina Umar seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Mu'adz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah ibn al-Yaman adalah tokoh yang amat istimewa dengan kelebihan yang tersendiri, menegak dan mengukuhkan agama Islam dan sebaran dakwah Islamiyyah begitu meluas. Mereka juga adalah antara yang cerdik, bijak, berhikmah dan mempunyai kesabaran yang amat tinggi untuk menjulang Syariat Islamiyyah.

Cita-cita Tokoh Besar

Kami sengaja kemukakan cita-cita tokoh besar untuk sama-sama kita tekuni. Mudah-mudahan kita juga satu masa nanti akan memperolehi apa yang kita cita-citakan. Antaranya:

    Barack Obama[1], Mantan Presiden Amerika Syarikat

Beliau telah mengungkapkan cita-cita menjadi presiden sejak di bangku sekolah rendah dan sehingga dewasa cita-citanya tidak pernah berubah. Perkara ini diceritakan oleh Israella Pareira, salah seorang bekas gurunya semasa di sekolah rendah.

Obama kemudian merealisasikan cita-cita yang dipasakkannya sejak hampir 40 tahun lalu. Seluruh dunia menyaksikan Barack Obama mewujudkan cita-citanya menjadi presiden pertama dari bangsa kulit hitam dengan mengalahkan lawannya, John McCain.

    Bill Gates[2], Pengasas Microsoft

Ayah beliau, William H. Gates berkata bahawa anaknya ketika di bangku sekolah rendah pernah diminta untuk menulis tugasan berkenaan cita-cita. Beliau kemudian menggambarkan sebuah kotak dengan tulisan saintis di sebelahnya. Beliau sememangnya telah menunjukkan minat dalam bidang sains sejak kecil lagi. Sebahagian besar masanya dihabiskan dengan membaca dan bermain dengan programming komputer sejak usia 13 tahun lagi.

Beliau kemudian mengasaskan perniagaan software bersama rakannya Paul Allen pada 1975. Antara tahun 1978-1981, Microsoft berkembang dengan pesat. Sehinggalah sekarang banyak komputer di dunia menggunakan software Microsoft.

    Thomas Alva Edison[3]

Sebelum beliau berjaya, beliau telah ribuan kali melakukan eksperimen yang gagal. Ketika rakan-rakannya mengejek kegagalannya, beliau menjawab: “Tidak, aku sama sekali tidak gagal dalam percubaan ini. Aku hanya menemui satu cara baharu yang menjadikan mentol ini tidak menyala.”

    Stephen Hawking[4]

Beliau menonjolkan minat dan bakatnya terhadap matematik dan fizik sejak masa kecil lagi. Ketika berumur sebelas tahun, Hawking menghadiri Sekolah St Albans di Hertfordshire yang berhampiran dengan London. Hawking kemudian menyertai Kolej Universiti, Oxford, dan hendak belajar matematik. Apabila kursus matematik tidak ada, beliau belajar fizik sebagai ganti.

Pada 1974, Hawking menjadi satu daripada felo termuda badan saintifik berprestij di Britain, Royal Society pada usia 32 tahun. Seterusnya pada 1979, beliau dilantik sebagai Profesor Lucas Matematik di Universiti Cambridge yang pernah dipegang oleh Isaac Newton.

    Steve Jobs[5]

Ramai yang suka bekerja dengan beliau kerana sikap agresif dan gaya fikirnya untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Dalam masa yang sama, terdapat segelintir individu yang memandang sikap ini sebagai satu sikap yang sia-sia. Mereka beranggapan, menghasilkan sesuatu yang belum pernah dihasilkan orang lain adalah satu tindakan yang membazir masa. Kita akan menghadapi risiko yang tinggi, sama ada kerugian berbilion ringgit, atau kerugian masa selama bertahun-tahun akibat mengusahakan sesuatu yang tidak pasti.

Tetapi tidak pada diri Steve Jobs. Selagi beliau mahu produk itu disiapkan, maka ia mesti disiapkan. Walau apa jua cara sekalipun.

Bill Gates – rakan yang juga pesaingnya – pernah mengungkapkan bahawa tiada siapa mampu menandingi kemampuan Steve Jobs dalam mencapai sesuatu yang diinginkan. [6]

 

Cita-cita Ulama'

Kami lampirkan di sini hasrat dan cita-cita para ulama sedari kecil lagi. Antaranya:

    Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Ketika ditanya semasa di bangku sekolah, “Apa cita-cita kamu?” Beliau menjawab, “Ingin menjadi Syeikh al-Azhar.” Guru yang bertanya terkejut dan menggelengkan kepala.

Walaupun Syeikh al-Qaradhawi belum ditakdirkan menjadi Syeikh al-Azhar sedangkan kemampuan dan ilmunya amat luar biasa. Justeru murid-muridnya berkata, “Kamu bukan Syeikh al-Azhar tetapi kamu adalah Syeikh al-Ummah.” Dalilnya beliau pernah menjawat sebagai Pengerusi Kesatuan Ulama’ Sedunia dan beliaulah yang mengasaskannya, yang menghimpunkan ulama’ seluruh dunia.

    Ibnu Sina[7]

Beliau merupakan salah seorang tokoh yang luar biasa dalam ilmu perubatan. Kemampuannya boleh merawat seorang raja menyebabkan raja tersebut bertanya kepadanya, “Apakah yang diingini dan dicita-citakan?” Maka jawabnya, “Patik dengar, tuanku mempunyai perpustakaan yang besar, di mana banyak kitab-kitab yang nadir terdapat dalam perpustakaan tuanku. Maka izinkan patik masuk untuk membacanya.”

    Imam Izzuddin Ibn Abdissalam[8]

Imam Taqiyyuddin al-Subki berkata, “Pada mulanya Syeikh Izzuddin hidup dalam keadaan sangat miskin. Beliau baru mula belajar ketika sudah berusia dewasa. Faktor yang membuat beliau tergerak untuk belajar adalah pernah suatu hari beliau tidur di pintu bahagian utara Masjid Umawi di Damsyiq. Cuaca malam itu sangat dingin, lantas beliau bermimpi basah (junub). Dengan segera beliau bangun dan pergi ke perigi untuk mandi. Setelah mandi, beliau merasa sangat sejuk. Kemudian beliau kembali lagi tidur dan bermimpi basah lagi. Akhirnya pergi lagi ke perigi untuk mandi. Kerana pintu masjid ketika itu tertutup dan tidak membolehkannya keluar, maka beliau memanjat pintu. Namun akhirnya beliau pengsan disebabkan terlalu sejuk. Perkara itu terjadi kerana beliau tidak mengetahui bahawa sebenarnya beliau dibolehkan untuk tidak mandi dan menggantinya dengan tayamum ketika musim dingin dan tidak ada air hangat. Ketika beliau mengetahui hal itu, beliau bertekad untuk mulai mencari ilmu.

Meskipun beliau baru mula menuntut ilmu pada usia tua, namun beliau sangat bersemangat menghafaz kitab dan giat belajar, dan secara berkala belajar kepada para ulama’ besar pada masa tersebut. Semua itu beliau lakukan untuk menebus masa kecilnya yang tidak sempat merasai pendidikan lantaran keadaan keluarga beliau yang miskin.

Ketekunan beliau ditunjukkan dengan jarangnya tidur pada malam hari. Beliau pernah berkata bahawa selama 30 tahun beliau tidak tidur sebelum benar-benar memahami kitab yang sedang beliau pelajari. Selain itu lingkungan di mana beliau tinggal, iaitu Damsyiq pada masa itu adalah daerah yang dipenuhi ulama’-ulama’ yang masyhur dalam pelbagai ilmu.

    Umar bin Abdul Aziz

Beliau dibesarkan di kota Madinah dalam keadaan yang cukup selesa di samping bergaul dengan pembesar, para ulama dan orang-orang soleh. Hatinya sangat rindu kepada Masjid Nabi sehinggakan beliau sentiasa berada di sana. Hatinya begitu terpaut kepada ulama yang terkemuka pada masa itu, iaitu Abdullah bin Umar, bapa saudara kepada ibunya. Beliau bercita-cita mengambil hadis daripadanya dan begitu bersemangat untuk mengikuti sirah Abdullah bin Umar. Pernah pada suatu ketika, beliau berkata kepada ibunya: “Hai ibu, aku suka untuk menjadi seperti bapa saudaraku (Ibn Umar).” Lantas ibunya menjawab seolah-olah dengan nada kehairanan: “Kamu mahu menjadi seperti bapa saudaramu?” Ibunya mengulangi persoalan tersebut berulang kali.

Hasrat dan Cita-cita Kami

Dengan datangnya tahun baru, sudah tentu akan terdetik hajat dan cita-cita untuk digapai. Kami berpendapat adalah amat baik dan perlu untuk membina hala tuju, dengan keterbatasan masa yang kita miliki bagi mencapai hasrat tersebut. Antaranya:

    Membentuk peribadi yang soleh dan musleh.

Menzahirkan sifat basyari yang terwujud di dalamnya insaniyyatul insan bahkan sampai kepada tahap ehsan. Ini sudah tentu dapat mentahqiqkan dalam menjadi hamba Allah yang soleh dan musleh. Saat yang sama, menghilangkan dari dalam diri kita sifat-sifat mazmumah seperti qasawatul qulub (kerasnya hati).

    Membina Keluarga Bahagia

Di saat banyak institusi rumah tangga yang tidak stabil atau goyah dan kehidupan yang penuh emosi dan tekanan, maka sewajarnya kita bertekad untuk menjadikan rumah tangga yang kita bina dan kita layarinya meraih rumah tangga bahagia dan layak dinyatakan sebagai Baiti Jannati.

Rumah tangga seperti ini perlulah ada dua hubungan yang terbaik; hubungan kekeluargaan dan hubungan dengan Allah. Konsep jama’ah keluarga perlu dihayati dan dilaksanakan seperti solat berjemaah, lebih-lebih lagi membawa keluarga ke masjid, makan berjemaah, pergi menghadiri majlis ilmu secara berjemaah dan juga wujudnya perbincangan yang sihat dan segar dalam membaiki sebuah kefahaman yang benar dan hala tuju yang jelas. Semoga dengan sentiasa berdoa seperti yang diajarkan akan menatijahkan Baiti Jannati:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

    Masyarakat yang Makmur

Ini sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Ulama tafsir terkenal, Imam al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan. (Lihat al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq Ghawamidh al-Tanzil, 4/374)

Di dalam kehidupan, memahami konsep kejiranan dan juga sifat toleransi sesama manusia lebih-lebih lagi dalam negara yang sama akan menatijahkan keharmonian dan kasih sayang. Ini akan membawa kebaikan dalam hubungan dan interaksi, membuang segala sifat curiga-mencurigai dan tohmah serta hipokrit dengan menjadikan dan menonjolkan sifat-sifat kesamaan dan kasih sayang akan membawa kepada masyarakat yang harmoni dan cita-cita negara yang aman dan makmur akan kita perolehi.

Umar bin Abdul Aziz pernah berkata: “Fiqh yang terbesar ialah bersifat dengan qana’ah dan menahan daripada menyakiti manusia.” Kenyataan ini berdasarkan kepada buku Sirah Ibn Abdul Aziz, karya Ibn al-Jauzi. Ia merupakan sebuah nasihat yang disampaikan oleh Umar bin Abdul Aziz kepada Uthman al-Dujani supaya mengajar anaknya berkenaan dengan fiqh yang terbesar. Dengan mengamati dua sifat tersebut iaitu qana’ah dan menahan daripada menyakiti hati manusia, sudah pasti ianya membawa kelebihan kepada seseorang dalam melayari bahtera kehidupan kerana kedua-duanya akan terselamat daripada sifat mazmumah dan disakiti oleh manusia.

    Negara yang Merdeka dan Makmur

Cinta kepada negara dan diisi negara tersebut dengan segala kebaikan dan kebajikan menjadi puncak ketenangan masyarakat. Kami nukilkan di sini pendapat tokoh berkenaan cinta kepada negara dan kaitannya:

    J.B Colbert berkata: “Kebesaran sesuatu negara tidak diukur dengan luas daerahnya tetapi diukur daripada watak masyarakatnya.”
    Robespierre berkata: “Negara yang merdeka adalah negara yang mana hak-hak manusia dihormati dan semua undang-undang bersifat adil.”
    Plato berkata: “Manusia tidak lahir bagi dirinya sendiri, tetapi bagi negaranya.”
    Albert Camus berkata: “Saya perlu mencintai negara saya dan keadilan.”
    E.R Bulwer Lython berkata: “Setiap orang mencintai dan bangga pada negaranya sendiri, kerana dia dilahirkan di negara itu.” (Lihat Negara Sejahtera Rahmat untuk Semua, hlm. 4)

Tiga perkara asas yang perlu dimiliki negara bahagia ialah:

    Politik yang stabil dan kukuh.
    Ekonomi yang baik dan mantap.
    Kesatuan rakyat dan perpaduan yang ampuh.

Dalam konsep kehidupan bernegara dan bermasyarakat, bahkan untuk peribadi dan keluarga sekalipun, meraih keberkatan Tuhan adalah matlamat utama. Hal ini dapat dicapai melalui iman, amal soleh dan taqwa. Benarlah firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

(Surah al-A’raf: 96)

Pada saat yang sama, kami mengharapkan agar negara kita disisihkan dari sebarang bala dan bencana seperti gempa bumi, bah besar, puting beliung, tanah runtuh dan gegaran yang dahsyat. Begitu juga memohon agar selamat daripada rusuhan kaum, huru-hara, pembunuhan, rasuah serta perlakuan yang tidak bermoral.

Sekali lagi kami tegaskan bahawa negara maju seperti mana yang ada di depan mata kita sekarang yang diwakili oleh sejumlah negara Eropah di Barat serta Jepun dan Korea di Timur adalah negara yang berusaha mencapai elemen good governance ini. Nilai-nilai kebebasan melalui demokrasi disuburkan, hak asasi manusia ditegakkan, gejala rasuah disifarkan, keadilan dan kedaulatan undang-undang dipupus, nilai-nilai keperibadian yang baik cuba dibentuk dan sebagainya. Hasilnya, negara di Barat aman dan makmur selama lebih satu abad.

Kesalahan mereka hanyalah kerana semua nilai itu dibina berdasarkan penularan akal semata-mata tanpa bimbingan wahyu. Di situlah titik perbezaan antara kita (Islam) dengan mereka. Jika elemen ini disatukan dengan pancaran wahyu Ilahi dan Sunnah Nabawi, sudah tentu negara maju yang berpijak pada baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur akan menjelma dan kemakmurannya akan lebih terasa. Barat hanya ada baldatun toyyibah tanpa rabbun ghafur, malangnya kita langsung tidak punyai apa-apa. Baldatun Toyyibah tiada, malah rabbun ghafur amat jauh sekali. (Lihat Mukadimah Negara Sejahtera Rahmat untuk Semua)

Akhir kalam, kami mengharapkan sebuah kebaikan dan keberkatan hidup sentiasa menaungi kami dan singgah dalam kehidupan kita semua yang akhirnya membawa kebahagiaan dan ketenangan. Ingatlah, api kemarahan dan dendam kesumat tiada yang bermanfaat kecuali kebinasaan dan kerugian yang akan mengundang ke dalam kehidupan kita. Justeru, tepuk dada tanyalah iman.

Kami menadah tangan dan bermunajat kepada Yang Maha Esa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ مَاليزِيَا وَسَائِرَ بِلَادِ الْمُسْلِمِينَ طَيِّبَةً آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً رَخِيَّةً، يَا رَؤُوفًا بِالْعِبَادِ

اللَّهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلَامَ وَالْمُسْلِمِينَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَحِيْنٍ، وانْصُرْ مَن نَصَرَ الدِّينَ، وَاخْذُلْ

مَنْ خَذَلَ الْمُسْلِمِينَ، وَأَعْلِ كَلِمَتَكَ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، وَدَمِّرْ أعْدَاءَكَ أعْدَاءَ الدِّينِ

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Semoga negara kita Malaysia yang kita pijak ini, menjadi negara yang aman sentosa serta diberkati Allah dan seperti yang disifatkan Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur. Amin.

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
31 Disember 2018 bersamaan 22 Rabi’ al-Akhir 1440 Hijrah.


Nota Hujung:
[1] Barack Hussein Obama II (lahir 4 Ogos 1961) ialah bekas Presiden Amerika Syarikat yang ke-44. Beliau merupakan orang Amerika Afrika pertama dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat, serta yang pertama lahir di Hawaii. Sebelum ini, Obama merupakan senator muda dari Illinois sebelum meletakkan jawatan pada 16 November 2008 untuk bertanding dalam pilihan raya presiden. Selepas menang, Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat di Kapitol Amerika Syarikat pada 20 Januari 2009. Pada 9 Oktober 2009 pula, Obama diumumkan sebagai penerima Hadiah Keamanan Nobel 2009 untuk "usaha luar biasanya dalam menguatkan diplomasi antarabangsa dan kerjasama antarabangsa". (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Barack_Obama)

[2] William Henry Gates III (dilahirkan pada 28 Oktober 1955) atau lebih dikenali sebagai Bill Gates, ialah ahli perniagaan Amerika Syarikat dan pengasas Microsoft Corporation (bersama Paul Allen). Beliau juga adalah pengerusi, bekas Ketua Perisian Arkitek dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif untuk Microsoft Corporation , syarikat perisian terbesar di dunia.

Bill Gates kerap membuat sumbangan dengan mendermakan jumlah wang yang besar kepada banyak organisasi dan program kajian sains menerusi yayasan yang ditubuhkan beliau pada tahun 2000, Bill & Melinda Gates Foundation.

Majalah Forbes, menyenaraikan beliau sebagai orang terkaya di dunia untuk 13 tahun berturut-turut, dengan nilai sebanyak $60 bilion. Pada tahun 2008, kesusutan nilai saham Microsoft sebanyak 15% meletakkan beliau ke tempat ke-3 selepas Iddin dan Zayid (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Bill_Gates)

[3] Thomas Alva Edison (11 Februari 1847 – 18 Oktober 1931) ialah seorang pereka dan usahawan Amerika Syarikat yang mengembangkan banyak peranti yang amat mempengaruhi kehidupan di seluruh dunia. Digelar "Yang Pintar dari Taman Menlo" oleh seorang wartawan, beliau adalah salah satu pereka terawal yang menggunakan pengeluaran besar-besaran untuk proses perekaan dan oleh itu, sering dihargai kerana mencipta makmal penyelidikan perindustrian yang pertama.

Edison telah dianggap sebagai salah satu pereka yang paling prolifik dalam sejarah, dan memiliki 1,093 buah paten Amerika Syarikat atas namanya, serta juga banyak paten di United Kingdom, Perancis, dan Jerman. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Thomas_Edison)

[4] Stephen William Hawking (8 Januari 1942 – 14 Mac 2018) merupakan seorang ahli fizik teori, ahli kosmologi, penulis England dan Pengarah Penyelidikan di Pusat Teori Kosmologi di dalam Universiti Cambridge. Kerja-kerja saintifiknya termasuk kerjasama dengan Roger Penrose mengenai teorema singulariti graviti dalam rangka kerelatifan umum dan ramalan teori bahawa lubang hitam memancarkan sinaran, yang sering dipanggil radiasi Hawking. Hawking ialah orang pertama yang membentangkan teori kosmologi yang dijelaskan oleh kesatuan teori umum relativiti dan mekanik kuantum. Beliau merupakan penyokong yang kuat dari tafsiran banyak dunia tentang mekanik kuantum.

Hawking merupakan Ahli Kehormat Royal Society of Arts (FRSA), ahli seumur hidup Akademi Sains Kepausan, dan penerima Presidential Medial of Freedom, anugerah awam tertinggi di Amerika Syarikat. Pada tahun 2002, Hawking menduduki tempat ke-25 dalam tinjauan BBC mengenai 100 orang Inggeris Terhebat. Beliau merupakan Profesor Matematik Lucasian di Universiti Cambridge antara tahun 1979 dan 2009 dan mencapai kejayaan komersial dengan karya sains popular di mana beliau membincangkan teori dan kosmologinya sendiri secara umum. Buku beliau, A Brief History of Time, muncul di senarai jualan terlaris Britain Sunday Times untuk rekod sepanjang 237 minggu.

Hawking mempunyai bentuk neuron motor yang lambat pada permulaan awal yang jarang berlaku (juga dikenali sebagai sclerosis lateral amyotrophic atau "ALS" dan penyakit Lou Gehrig), yang secara perlahan melumpuhkannya selama beberapa dekad. Walaupun selepas kehilangan keupayaan bercakap, beliau masih dapat berkomunikasi melalui alat penjanaan percakapan, pada mulanya melalui penggunaan suis tangan, dan akhirnya dengan menggunakan otot pipi tunggal. Beliau meninggal dunia pada 14 Mac 2018 pada usia 76 tahun. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Stephen_Hawking)

[5] Steven Paul "Steve" Jobs (24 Februari 1955 – 5 Oktober 2011) ialah seorang usahawan dan pencipta berbangsa Amerika Syarikat. Beliau merupakan pengasas, pengerusi, dan bekas CEO of Apple Inc. Jobs juga pernah menjadi ketua pegawai eksekutif Pixar Animation Studios; dan juga menganggotai lembaga pengarah The Walt Disney Company pada tahun 2006, setelah Pixar dibeli oleh Disney. Beliau dihargai sebagai penerbit eksekutif dalam filem Toy Story (1995).

Sejarah perniagaan Jobs telah banyak berbakti kepada imej simbolik seseorang usahawan Silicon Valley yang idiosinkratik dan individualistik, menekankan kepentingan reka bentuk serta memahami peranan penting yang dimainkan oleh estetika dalam menarik perhatian umum. Beliau disanjungi kerana jasanya memajukan pembangunan keluaran-keluaran yang berguna dan anggun pada masa yang sama. Pada 24 Ogos 2011, Jobs mengumumkan perletakan jawatannya sebagai KPE Apple dan bakal digantikan oleh Tim Cook. Atas permintaan beliau, Jobs dilantik sebagai Pengerusi lembaga pengarah Apple. Pada 5 Oktober 2011, Apple mengumumkan bahawa Steve Jobs meninggal dunia pada usia 56 tahun. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Steve_Jobs#cite_note-NYT-20111005-3)

[6] Lihat http://www.majalahniaga.com/steve-jobs-lagenda-atau-auta.html

[7] Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdullah Ibn Sina, dikenali sebagai Ibnu Sina atau Avicenna di dunia Barat, merupakan salah seorang pakar sains dari Uzbekistan yang hidup antara tahun 980 hingga 1037 M. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Abu_Ali_Al-Hussain_Ibn_Abdallah_Ibn_Sina)

[8] Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Sulami al-Dimasyqi al-Misri al-Syafi. Beliau dikenali dengan panggilan al-Izz atau Izzuddin bin Abdul Salam. Beliau digelar Sultan Ulama’ dan Penjual Raja-Raja. Beliau dilahirkan pada tahun 577H dan meninggal dunia di Mesir pada tahun 660H.




10
Islam DiLaksana Rahmat Allah DiRasa
السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  57-58   surah Yunus :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ﴿٥٧﴾ قُلْ بِفَضْلِ اللَّـهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ ﴿٥٨
Maksudnya : Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)”.

Islam dan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. pada akhir zaman adalah rahmat Allah kepada seluruh alam (manusia dan makhluk yang lain). Ia telah dibuktikan betapa hebat dan sempurnanya rahmat Allah yang terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna. Seluruh ajaran Islam adalah rahmat, merangkumi segala nikmat ruh dan jasad. Pelaksanaan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya mengikut kemampuan adalah rahmat jua. Bahkan menghukum mereka yang melakukan larangan juga adalah rahmat. Umat Nabi Muhammad S.A.W. merangkumi seluruh manusia sama ada penganut Islam dinamakan umat ijabah dan bukan Islam dinamakan umat dakwah. Para ulama mentafsirkan rahmat itu meliputi seluruh manusia dan alam yang lain termasuk mereka yang beriman, kafir, munafik, zalim dan fasiq dalam kehidupan dunia ini. Rahmat Allah terhadap yang kafir, munafik, zalim dan fasiq adalah diberi rezeki jasad dan akal kepada semua dalam kehidupan dunia. Rahmat Allah juga ditangguhkan bala bencana yang pernah memusnahkan semua umat yang terdahulu daripada ditimpa ke atas umat Nabi Muhammad S.A.W. dengan sebab maksiat. Rahmat juga dibuka pintu taubat seluas-luasnya kepada mereka yang berdosa sama ada besar atau kecil. Rahmat Allah bukan sahaja dalam perkara nikmat kehidupan jasad dan akal, bahkan termasuk perkara rohani (dosa dan pahala) daripada semua perintah dan larangan Allah yang menjadi sempadan kehidupan manusia dalam segala aspeknya.

Rahmat Allah juga dinyatakan dalam aspek pencegahan terhadap kemungkaran dan dosa, kerana semua yang diharamkan itu membawa mudharat. Pencegahannya melalui pelbagai pendekatan seperti nasihat, amaran dan hukuman terhadap pelakunya kerana rahmat Allah menyelamatkan orang yang baik dengan cegahan sehinggalah menghukum dengan sekeras-kerasnya. Selain itu, menyelamatkan orang yang jahat dan penjenayah dengan menghalang dan mendidik mereka melalui hukuman Qisas, Hudud dan Takzir, yang dikatakan sangat keras tetapi dengan syarat-syarat yang sukar dijatuhkan. Menunjukkan kehebatannya menakutkan dan mendidik. Rahmat Allah juga menggalakkan taubat dan kemaafan daripada dosa-dosa, hanya sedikit sahaja yang tidak boleh dimaafkan iaitu syirik kerana sangat besar mudharatnya yang menjadi punca segala kejahatan dan jenayah moral yang dihukum dengan Hudud yang menjadi hak Allah  setelah dihukum di mahkamah.
 
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat  29  surah al-Fathu:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّـهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖتَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا ﴿٢٩

Maksudnya : Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

Kebanyakan ahli tafsir, seperti Al-Qurtubi dan As-Syaukani, menjelaskan dengan menggunakan penafsiran Ibn ‘Abbas, mengatakan:  sikap keras terhadap kuffar, umpama singa garang terhadap mangsa buruannya

Secara umum, imam As-Suyuthi, menjelaskan maksud bahawa orang Islam bersikap keras dan tegas terhadap siapa saja yang menyimpang dari agamanya, dan saling kasih-mengasihi di antara sesama Muslim.

Ketika menyoroti sirah nabi s.a.w maka kita dapati golongan musykirin Mekah cuba melakukan tawar menawar dengan Nabi s.a.w.  Mereka cuba memujuk nabi untuk bertoleransi dengan mereka agar meninggalkan sedikit dakwah atau tidak terus mengajak kepada Islam dan mereka juga akan turut meninggalkan jahiliyyah sedikit. Malah mereka juga bersedia untuk mengikut ajaran nabi Muhammad tetapi golongan Muslimin juga perlu cuba untuk menyembah berhala mereka. Nabi s.a.w merupakan insan yang paling lembut akhlak di dalam mualamat pergaulan, paling mengambil berat terhadap saudara dan ahli keluarga baginda, dan paling mudah untuk dibawa bincang demi memudahkan sesuatu urusan. Tetapi apabila bercakap dalam bab aqidah dan prinsip agama, maka Islam adalah Islam. Tiada padanya toleransi dan ruang bicara untuk mencairkan prinsip agama ini. Dalam masa yang sama Islam melarang sama sekali kita memaksa orang bukan Islam untuk memeluk Islam

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 54 surah Al-Maidah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّـهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّـهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٥٤

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya

Ketika negara masih pening dengan isu Pesta Arak sehingga umat Islam yang bangun menentang dianggap sebagai penyekat kebebasan beragama sedangkan bila isu pekerja Islam yang enggan pegang botol arak di sebuah kedai 24 jam serta isu larangan pemakaian menutup aurat untuk pekerja Islam termasuk pramugari disamping campur tangan orang bukan Islam dalam menyekat kemahuan umat Islam untuk memperkasakan Mahkamah Syariah tidak pula dikatakan menyekat kebebasan beragama. Sepatutnya masalah arak yang merupakan minuman haram dan terlarang dalam semua agama dihad penjualan bukannya dibuat pesta yang mengundang pelbagai masalah termasuk jenayah, kemalangan, penyakit kronik yang sepastinya bukan sahaja menghabiskan duit negara malah mengancam nyawa.

Minggu lepas melalui seorang ahli parlimen menyuarakan agar Malaysia tunduk kepada kehendak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu supaya mengikut Hak Asasi Manusia yang dikendalikan oleh UNCHR. Tuntutan COMANGO kembali bergema dalam menekan Kerajaan di mana antara tuntutan itu adalah :

[1]  Menghalalkan Zina dengan suara agar dihapuskan kuasa Mahkamah Syariah lebih jelas kedengaran malah tunduk kepada slogan yahudi bahawa agama hanya urusan peribadi samada seseorang itu mahu beribadat atau buat maksiat maka tiada campurtangan orang lain apatah lagi pemerintah. Kita bimbang dengan laporan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang mendedahkan bagaimana Kuala Lumpur kini berada di tempat ke-8 kota pelacuran dunia dengan iaitu lebih tinggi berbanding Thailand yang kini berada di tangga ke-10. Industri pelacuran di Malaysia kini bernilai lebih RM3.6 bilion. Satu angka yang memalukan bagi sebuah negara majoriti Islam dan meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan.

[2] Pengiktirafan kepada budaya songsang LGBT di mana golongan ini semakin berani mengumumkan aktiviti yang rosak akhlak. Yang terbaru apabila cuba menjemput 2 pelakon filem LGBT dari Thailand untuk datang ke negara ini tetapi apabila dibantah oleh umat yang berakhlak maka ia dibatalkan. Kita harapkan ia dibatal terus bukannya ditukar ke tempat lain atas alasan duit tiket telah dijual

[3] Kebebasan Beragama dalam erti kata lain bebas untuk murtad dan halalkan semua ajarat sesat untuk disebarkan. Kita begitu bimbang apabila masalah anak muallaf kembali panas di mana jika pada bulan Januari lalu seorang bapa terpaksa menyerahkan anaknya kepada bekas isteri yang masih Hindu maka yang terbaru seorang ibu terpaksa menyerahkan anaknya kepada bekas suaminya yang bukan Islam. Kuasa mahkamah sivil lebih tinggi daripada Mahkamah Syariah yang diwarisi daripada penjajah mesti dicarikan jalan penyelesaian dengan segera agar hak muallaf lebih terbela terutama dalam mempertahankan agama anak mereka.

Umat Islam wajib bangkit menentang sebarang cubaan dalam menghancur dan mengubur system Islam. Jangan kerana asyik bermimpi untuk melihat tol dihapuskan, harga minyak dan kos barang turun, pinjaman PTPTN dihapuskan menyebabkan kita membiarkan Islam dipijak. Kita sanggup bermandi darah daripada membiarkan Islam disanggah. Biar nyawa melayang asalkan kesucian Islam kita pertahankan.  Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «لَتُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.

Maksudnya :  “Demi sesungguhnya akan berlaku, di mana simpulan-simpulan yang mengikat ajaran Islam akan dirungkai satu demi satu. Setiap satu simpulan dirungkai, menjadikan manusia (yang muslim) terpaksa berpegang dengan simpulan berikutnya yang masih ada. Pertama-pertama dirungkai ialah hukum hakam (Syariat) dan yang terakhirnya Solat (Sembahyang).”

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


11
At-Tazkiyyah / Misteri Umur 60 Tahun
« Masa: a year ago »
Benarkah manusia diberi uzur sampai usia 60 tahun? Lalu uzur yang dimaksud itu seperti apa?

Jawab:

Bismillah was shalatu was salamu ‘ala Rasulillah, amma ba’du,

Pada hari kiamat kelak, penghuni neraka meminta kepada Allah agar mereka dikeluarkan dari neraka dan dikembalikan ke dunia agar bisa beramal baik, tidak seperti amal kekufuranya yang dulu. Allah berfirman,

وَهُمْ يَصْطَرِخُونَ فِيهَا رَبَّنَا أَخْرِجْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا غَيْرَ الَّذِي كُنَّا نَعْمَلُ

Mereka berteriak di dalam neraka itu: “Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami niscaya kami akan mengerjakan amal saleh tidak seperti amalan yang telah kami kerjakan (kekufuran).”

Allah menjawab permintaan mereka dengan berfirman,

أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيرُ فَذُوقُوا

Bukankah Aku telah memanjangkan usia kalian dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mau berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu an-Nadzir (pemberi peringatan)? maka rasakanlah. (QS. Fathir: 37).

Ayat ini menjelaskan bahwa usia yang Allah berikan kepada umat manusia menjadi hujjah dan alasan Allah untuk mengadili manusia, disamping adanya an-Nadzir yang datang kepada kita.

Ulama berbeda pendapat tentang makna an-Nadzir dalam ayat di atas. Diantaranya,

Uban di rambut. Ini merupakan pendapat Ibnu Umar, Ikrimah dan Sufyan bin Uyaiah
an-Nadzir (Sang Pemberi Peringatan) adalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Ini merupakan pendapat Qatadah, Ibn Zaid, dan Ibn Saib.
(Zadul Masir, 5/182)

Sehingga di sana ada dua peringatan yang Allah berikan, yang menjadi alasan Allah menuntut manusia, usia dan para utusan.

Peringatan Bagi Yang Berusia 60 Tahun
Dalam hadis shahih, dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

أَعْذَرَ اللَّهُ إِلَى امْرِئٍ أَخَّرَ أَجَلَهُ حَتَّى بَلَّغَهُ سِتِّينَ سَنَةً

Allah memberi udzur kepada seseorang yang Dia akhirkan ajalnya, hingga sampai usia 60 tahun. (HR. Bukhari 6419).

Al-Hafidz Ibnu Hajar mengatakan,

وَالْمَعْنَى أَنَّهُ لَمْ يَبْقَ لَهُ اعْتِذَارٌ كَأَنْ يَقُولَ لَوْ مُدَّ لِي فِي الْأَجَلِ لَفَعَلْتُ مَا أُمِرْتُ بِهِ ….

وَإِذَا لَمْ يَكُنْ لَهُ عُذْرٌ فِي تَرْكِ الطَّاعَةِ مَعَ تَمَكُّنِهِ مِنْهَا بِالْعُمُرِ الَّذِي حَصَلَ لَهُ فَلَا يَنْبَغِي لَهُ حِينَئِذٍ إِلَّا الِاسْتِغْفَارُ وَالطَّاعَةُ وَالْإِقْبَالُ عَلَى الْآخِرَةِ بِالْكُلِّيَّةِ

Makna hadis bahwa udzur dan alasan sudah tidak ada, misalnya ada orang mengatakan, “Andai usiaku dipanjangkan, aku akan melakukan apa yang diperintahkan kepadaku.”

Ketika dia tidak memiliki udzur untuk meninggalkan ketaatan, sementara sangat memungkinkan baginya untuk melakukannya, dengan usia yang dia miliki, maka ketika itu tidak ada yang layak untuk dia lakukan selain istighfar, ibadah ketaatan, dan konsentrasi penuh untuk akhirat. (Fathul Bari, 11/240).

Muda Boleh Seenaknya
Hadis di atas tidak bisa kita pahami sebaliknya, bahwa orang yang usianya di bawah 60 tahun, berarti dibolehkan untuk menunda ketaatan dan taubat. Maksud hadis, mereka yang telah mencapai usia 60 tahun, seharusnya lebih banyak konsentrasinya diarahkan  untuk akhirat, dan mulai mengurangi kesibukan dunia.

Al-Maghamisi mengatakan,

ولا يعني ذلك أبداً أن من دون الستين لهم الحجة على الله، فليس لأحد حجة على الله بعد إرسال الرسل، وإنزال الكتب؛ لكن المقصود من الحديث حث من بلغ هذا السن من الناس أن يتقي الله جل وعلا فيما بقي من عمره

Bukan maksud hadis bahwa orang yang usianya di bawah 60 tahun, berarti dia punya alasan di hadapan Allah. Karena semua orang tidak memiliki alasan di hadapan Allah (untuk melanggar) setelah Allah mengutus para Rasul-Nya dan menurunkan kitab. Namun maksud hadis, motivasi bagi manusia yang telah mencapai usia ini untuk semakin bertaqwa kepada Allah di sisa usianya. (Syarh kitab ar-Raqaiq min Shahih Bukhari).

Nasehat Imam Fudhail bin Iyadh
Dikisahkan dalam kitab al-Hilyah, bahwa Imam Fudhail bin Iyadh – ulama besar di masa Tabi’ Tabiin – (w. 187 H) bernah bertemu dengan seorang yang sudah tua.

“Berapa usia anda?”, tanya Fudhail.

“60 tahun.”, Jawab orang itu.

“Anda selama 60 tahun berjalan menuju Tuhan anda, dan sebentar lagi anda akan sampai.” Komentar Fudhail

“Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi raji’un.” Orang itu keheranan.

“Anda paham makna kalimat itu? Anda paham tafsirnya?” tanya Fudhail.

“Tolong jelaskan tafsirnya?” Orang itu balik tanya.

“Anda menyatakan: innaa lillaah (kita milik Allah), artinya kita adalah hamba Allah dan kita akan kembali kepada Allah. Siapa yang yakin bahwa dia hamba Allah dan dia akan kembali kepada-Nya, seharusnya dia menyadari bahwa dirinya akan berdiri di hadapan Allah. Dan siapa yang meyakini hal ini, dia harus sadar bahwa dia akan ditanya. Dan siapa yang yakin hal ini, dia harus menyiapkan jawabannya.” Jelas Fudhail.

“Lalu bagaimana jalan keluarnya?” tanya orang itu.

“Caranya mudah.” Tegas Fudhail.

Kemudia Imam Fudhail menyebutkan sebuah teori bertaubat, yang layak dicatat dengan tinta emas,

تُحْسِنُ فِيمَا بَقِيَ يُغْفَرُ لَكَ مَا مَضَى وَمَا بَقِيَ , فَإِنَّكَ إِنْ أَسَأْتَ فِيمَا بَقِيَ أُخِذْتَ بِمَا مَضَى وَمَا بَقِيَ

Berbuat baiklah di sisa usiamu, dengan itu akan diampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang. Karena jika kamu masih rajin bermaksiat di sisa usiamu maka kamu akan dihukum karena dosamu yang telah lalu dan dosamu yang akan datang. (Hilyah Al Awliya’, 8/113).

Tidak ada satupun makhluk yang tahu berapa sisa usianya. Kita tidak tahu kapan maut akan menjemput. Karena itu, apa yang sedang kita alami, itulah sisa usia kita yang sejatinya.

Allahu a’lam

Dijawab oleh Ustadz Ammi Nur Baits (Dewan Pembina Konsultasisyariah.com)

12
Umum / Agamawan mengikut acuan Barat
« Masa: a year ago »
Agamawan mengikut acuan BaratBARAT dalam misinya meracuni umat Islam dengan budaya mereka, amat jelas dan berjaga-jaga akan peranan para ulamak dan agamawan. Golongan ini amat peka dalam memelihara segenap cabang Islam daripada anasir yang merosakkan. Justeru, sedaya mana pun usaha mereka untuk menghasut, pastinya golongan ini akan bangkit melawan segala dakyah tersebut.

Namun, dewasa kini, kita melihat sebaliknya. Sudah ada, bahkan semakin ramai golongan agamawan dilihat menjadi lidah menyambung bahkan mendukung pemikiran Barat. Barangkali kita sudah maklum akan seorang tokoh besar al-Azhar, S. Ali Abdul Razik yang mengeluarkan kenyataan akan pemisahan politik daripada agama lalu dibantah oleh Haiah Ulamak Azhar dan beliau disingkirkan. Bagaimana ini berlaku?

Barat mula melihat satu peluang, bahawa golongan ini perlu di’didik’ dengan gagasan dan pemikiran sebagaimana yang mereka mahukan. Hal ini supaya agamawan juga memberi saham dalam misi merosakkan umat. Selain melemahkan fungsi golongan ini dengan bermacam tekanan dan undang-undang, perlu juga untuk menukar acuan mereka.

Barat mahukan golongan agamawan di’basuh’ dengan pemikiran mereka dan mengubah budaya ilmu yang mereka perolehi mengikut disiplin ilmu Islam kepada gaya mereka berfikir. Yang amat mereka resahkan ialah para ulamak dan agamawan yang tegas dan keras terhadap Yahudi (baca Israel) dan Kristian (baca Amerika atau Barat).

Apabila golongan agamawan berjaya dibasuh dan digilap oleh Barat, ia bakal mengenengahkan satu Islam baru, iaitu Islam menurut acuan Amerika.

Projek ini mula digerakkan selepas tragedi ‘mistik’ 11 September 2001 yang berlaku, seiring dengan gelombang Islamphobia yang menyerang Barat. Kursus-kursus tertutup dibuat melalui agamawan-agamawan yang mereka sendiri pilih. Setiap kursus disertai 500-600 agamawan selama 6 bulan. 3 bulan dijalankan di Washington atau mana-mana bandar terpilih di Amerika, supaya mereka kagum dan menjadikan Barat sebagai inspirasi.

Manakala baki 3 bulan lagi dijalankan di negara masing-masing supaya proses pematangan dan keserasian berlaku. Akhirnya, ajaran dan Islam menurut acuan Amerika bakal menjadi fenomena baru di negara umat Islam secara tersusun dan terancang.

Persoalannya, siapakah mereka agamawan terpilih yang terlibat dalam program tersebut?

Bukanlah suatu kerja mudah, apatah lagi kerja semberono untuk kita menuduh si polan sebagai ejen Barat, tetapi Islam mendidik kita mengenal sang munafik melalui kriteria-kriteria yang banyak di dalam al-Quran mahupun Hadis. Begitulah cara yang sama mampu kita kenal pasti wabak Ilmuan acuan Barat. Bak kata pepatah, kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang. Bahasa mudahnya pula, kalau tak buat, mengapa pula terlalu resah mahu menafikan?

Allah mengurniakan kepada manusia akal, bahkan orang beriman yang akalnya dipandu wahyu, selayaknya melihat situasi sebegini sebagai ancaman besar buat umat, khususnya di Malaysia. Bukan lagi satu rahsia, apabila sesetengah agamawan secara terbuka begitu sinis dengan gerakan Islam. Setiap apa yang dibuat oleh gerakan Islam mahupun tokoh di dalamnya, pantas dibidas, dikritik bahkan ditolak dengan berlapikkan menghidupkan budaya berbeza pandangan. Dalam masa yang sama, langsung mendiamkan diri atau reaksinya sentiasa positif terhadap apa yang dibuat pihak pemerintah.

Bukanlah kita terlalu fanatik terhadap apa yang dilakukan oleh gerakan Islam semuanya sentiasa betul, namun perkara yang betul juga tidak disokong bahkan ditentang, lalu apa objektifnya?

    MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
    25 Julai 2018
    Bainal Islam Rabbani wal Islam Amerikani - SUMBER

13
Feqh / CARA TERBAIK MENGAGIHKAN DAGING KORBAN
« Masa: a year ago »
CARA TERBAIK MENGAGIHKAN DAGING KORBAN
Oleh: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Soalan; Bagaimana cara pembahagian daging korban yang sebenarnya?

Jawapan;

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Cara pengagihan daging korban tertakluk kepada status korban. Jika korban itu adalah korban wajib (yakni korban nazar), tidak harus orang yang melakukan korban dan juga keluarganya (yakni orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya) untuk makan sedikitpun dari binatang yang dikorbannya. Wajib ia mensedekahkan ke semuanya kepada fakir miskin.[1] Kalau ia telah memakannya, wajib ia membayar ganti dengan harga daging yang dimakannya atau dengan daging seumpamanya. Tidak dituntut ia menyembelih lagi binatang korban kerana ia telahpun melakukannya.[2]

Jika korban itu adalah korban sunat, maka harus ia dan ahli keluarganya untuk makan sebanyak mana yang ia kehendaki dengan syarat sebahagian darinya hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin. Mensedekahkan daging korban kepada faqir atau miskin dari kalangan muslimin adalah wajib sekalipun sedikit iaitu dengan kadar paling minima yang dapat dinamakan sedekah. Dan disyaratkan daging yang disedekahkan itu hendaklah dalam keadaan mentah dimana orang faqir dan miskin yang memperolehinya dapat menggunakannya mengikut kehendaknya sama ada menjualnya, memakannya atau sebagainya. Tidak memadai sekiranya disedekahkan dalam keadaan daging yang sudah dimasak atau pemilik korban memasak daging korban dan menjemput orang faqir atau miskin makan dirumahnya. Begitu juga tidak memadai sekiranya disedekahkan bahagian yang bukan daging seperti kulit, perut, limpa dan sebagainya.[3]

Disunatkan pengagihan daging binatang korban merangkumi tiga bahagian;[4]

  • Satu bahagian untuk dimakan oleh dirinya dan ahli keluarganya
  • Satu bahagian disedekahkan kepada fakir miskin
  • Satu bahagian dijadikan sebagai hadiah kepada rakan-rakan, para jiran atau sebagainya sekalipun mereka kaya.[5]
Pemberian sebagai hadiah tidaklah wajib. Oleh itu, harus pengagihan daging korban berlegar antara dua sahaja iaitu untuk dimakan dan untuk disedekahkan. Lebih banyak bahagian yang disedekahkan adalah lebih afdhal (umpamanya separuh atau dipertiga (2/3) darinya). Paling afdhal ialah mensedekahkan ke semua daging korban kepada fakir miskin kecuali sedikit darinya yang sunat diambil untuk dimakan bagi mendapat berkat dan beramal dengan sunnah Nabi s.a.w.. [6] Terdapat hadis menceritakan;

كان النبي(صلى الله عليه وسلم) يأكل من كبد أضحيته
“Adalah Nabi s.a.w. memakan dari hati binatang korbannya”. (Riwayat Imam al-Baihaqi)

Baginda juga bersabda;

إذا ضحى أحدكم فليأكل من أضحيته
“Apabila seseorang kamu melakukan korban, maka makanlah dari daging korbannya”. (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a./al-Jami’ al-Saghir, no. 737)

Tidak harus orang yang melakukan korban menjual apapun dari binatang korban sama ada daging, kulit, tanduk, bulu, lemak atau sebagainya. Begitu juga, tidak harus menyewanya kerana sewaan termasuk dalam pengertian menjual (yakni menjual manfaat).[7] Ketidakharusan menjual dan menyewa ini merangkumi korban wajib dan juga korban sunat.[8] Sabda Nabi(s.a.w);

من باع جلد أضحيته فلا أضحية له
“Sesiapa menjual kulit binatang korbannya, maka tiada (pahala) korban baginya”. (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.)

Begitu juga, tidak harus menjadikan kulit, bulu dan sebagainya sebagai upah kepada tukang sembelih. Upah hendaklah datang dari sumber lain, bukan dari binatang korban. Diriwayatkan daripada Saidina Ali(k.w) yang menceritakan;

أَمَرَنِي رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- أَنْ أَقُومَ عَلَىَ بُدْنِهِ، وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا، وَأَنْ لاَ أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا. قَالَ: "نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا".
“Rasulullah s.a.w. memerintahku supaya menguruskan (pengembelihan) unta baginda dan mensedekahkan daging, kulit serta kain/pakaian yang diletakkan di atas belakang unta itu (kepada orang miskin). Dan baginda juga memerintahkan supaya aku tidak memberi kepada tukang sembelih dari unta itu. Kata ‘Ali; kami memberi (upah) kepadanya dari harta yang ada pada kami”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Namun jika ia telah memberi upah kepada tukang sembelih dengan wang darinya, kemudian setelah itu ia memberi pula daging korban kepadanya atas dasar sedekah jika ia miskin ( (yakni bukan sebagai upah) atau memberinya sebagai hadiah (jika ia kaya), maka itu adalah harus.[9]

Harus bagi orang yang melakukan korban mengambil manfaat dari kulit dan tanduk binatang korbannya dengan segala bentuk manfaat seperti menjadikannya kasut, timba dan sebagainya sekiranya korbannya itu adalah korban sunat. Walau bagaimanapun, jika ia mensedekahkannya kepada fakir miskin adalah lebih baik.[10] Adapun korban wajib, tidak harus orang yang melakukan korban memanfaatkan kulit binatang korbannya. Ia wajib disedekahkan kepada fakir miskin sebagaimana daging.[11]

Tidak harus sama sekali daging korban dimusnahkan walaupun sedikit. Dinyatakan di dalam Raudhah; “Tidak harus bagi orang yang melakukan korban untuk merosak/memusnahkan sebarang apapun dari korbannya, sebaliknya ia memakannnya dan ia memberi makan (kepada orang lain)….”.[12]

Soalan; Apakah harus ibadah korban dan aqiqah diniatkan bersama?

Jawapan; Menurut Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam kitanya Sabilal-Muhtadin; “Pendapat anak-anak murid Imam Syafi’ie kalau seseorang menyembelih seekor kambing diniatkan korban dan aqiqah maka keduanya tidak sah. Inilah yang disebut oleh Ibnu Hajar dalam kitab Tuhfah…. Namun menurut Syeikh Ramli di dalam kitab Nihayah, kalau seorang menyembelih seekor kambing berniat untuk dijadikan korban dan aqiqah, maka sahlah keduanya”.[13] Pandangan Syeikh Ramli itu bersamaan dengan pandangan ulama’-ulama’ mazhab Hanbali di mana mereka berpendapat; “Jika bertepatan hari korban dengan hari aqiqah, maka mencukupi satu sembelihan bagi kedua-duanya sebagaimana jika bertepatan hari raya dengan hari jumaat, maka mencukupi sekali niat mandi sunat untuk kedua-duanya”.[14]

Wallahu A'lam.

Nota:

[1] Al-Kifayah Li Zawil-‘Inayah, hlm. 87.
[2] Kifayarul-Akhyar, hlm. 533. al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 838. al-Fiqh al-Manhaji, juz. 1, hlm. 236.
[3] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 824.
[4] Al-Muhazzab (lihat dalam kitab al-Majmu’, jil. 8, hlm. 306). Fiqh Sunnah, jil. 1, hlm. 39.
[5] Perbezaan antara sedekah dan memberi hadiah ialah; niat memberi hadiah ialah untuk memuliakan (الإكرام). Adapun sedekah niatnya adalah untuk mendapat pahala.
[6] Kifayatul-Akhyar, hlm. 533. Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 365.
[7] Ini adalah pandangan Imam Syafi’ie, Malik, Ahmad, Nakha’ie dan ‘Atha’. Bagi Abu Hanifah; “Harus menjual kulit binatang korban dan kemudian mensedekahkan harga”. (Lihat Fiqh as-Sunnah, Sayyid Sabiq).
[8] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 311-312. Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 824.
[9] Raudhah, jil. 2, hlm. 489.
[10] Malah disunatkan juga ia mensedekahkan pakaian/kain yang dipakaikan di belakang binatang korbannya dan juga ladamnya. Ini berdasarkan Diriwayatkan daripada Saidina Ali(k.w) yang menceritakan;

أَمَرَنِي رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- أَنْ أَقُومَ عَلَىَ بُدْنِهِ، وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا، وَأَنْ لاَ أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا. قَالَ: "نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا".
“Rasulullah s.a.w. memerintahku supaya menguruskan (pengembelihan) unta baginda dan mensedekahkan daging, kulit serta kain/pakaian yang diletakkan di atas belakang unta itu (kepada orang miskin). Dan baginda juga memerintahkan supaya aku tidak memberi kepada tukang sembelih dari unta itu. Kata ‘Ali; kami memberi (upah) kepadanya dari harta yang ada pada kami”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
(Rujuk: al-Majmu’, jil. 8, hlm. 311).
[11] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 313. al-Iqna’, jil. 2, hlm. 824.
[12] Raudhatut-Thalibin, jil. 2, hlm. 488.
[13] Sabilal-Muhtadin, hlm. 911-912. (Bab Aqiqah)
[14] Fiqh Sunnah, jil. 2, hlm. 41. (Bab Aqiqah)

Sumber

14
Allahuakhbar, Ini Sebab Jangan Biar Pintu Rumah Terbuka Waktu Maghrib!

Selalu kita dengar orang2 tua dulu selalu pesan jangan main waktu Maghrib, cepat2 masuk rumah, dan jangan biar pintu rumah terbuka kan ? Seorang ustaz dedah puncanya yang buat ramai terkejut. Ramai tak tahu lagi ni. Jom baca dan kongsikan. Subhanallah. Semoga bermanfaat.

Inilah SEBAB Kenapa Jangan Biar Pintu Rumah TERBUKA Waktu Maghrib Yang Ramai TAK TAHU | Khalifah Mail Online – Selalu kita dengar orang-orang tua dulu selalu bagitau jangan main waktu Maghrib, cepat-cepat masuk rumah, dan jangan biar pintu rumah terbuka kan ? Seorang ustaz dedah puncanya yang buat ramai terkejut. Ramai tak tahu lagi ni. Jom baca dan kongsikan. Sama-sama bermanfaat.

Jin Ummu Sibyan?

Mungkin ada yang pernah dengar nama Ummu Sibyan atau pun tidak sebelum ini, Ummu Sibyan ini adalah kaum jin dari jantina perempuan yang suka mengganggu bayi dan anak yang berusia kurang dari 2 tahun serta wanita hamil.

Sebab itulah anak-anak yang baru lahir harus diazankan terlebih dahulu agar bayi itu tidak di ikuti oleh jin ini.

Apa Kerja Jin Ummu Sibyan?

Kerja dia tak lain tak bukan adalah Mengganggu bayi yang baru lahir dan anak-anak (biasanya kurang dari 2 tahun) serta wanita yang hamil.

Jin Ummu Sibyan memiliki wajah yang mengerikan dengan mata yang besar dan berjalan di dinding seperti cicak , Ummu Sibyan juga dapat mengikat rahim wanita serta membunuh bayi yang masih dalam kandungan.

Seperti yang di ceritakan dalam kisah “jin Ummu Shibyan Dengan Nabi Sulaiman”, jin ini mengatakan ia boleh masuk dalam rahim orang perempuan dan mengikat rahimnya serta menyumbat dengan tujuan agar kaum itu tidak mengandung.

Diceritakan juga jin ini masuk ke dalam perut orang perempuan yang hamil, di waktu janin di dalam kandungannya sedang tumbuh jin ini akan menendangnya, maka berlakulah keguguran dan jadilah rahimnya kosong semua.

Tanda-tanda Bayi Terkena Gangguan Jin Ummu Sibyan

1. Bayi menangis melalak (matanya terbelalak memandang keatas/sudut tertentu)
2. Kanak-anak selalu jatuh seakan-akan ditolak
3. Mengigau sambil mengetip gigi berulang kali
4. Demam panas hanya setelah Asar sampai sebelum Subuh

Hasil Dari Gangguan Diatas Akan Mengakibatkan

1. Sawan tangis
2. Autisme (over hiperaktif)
3. Nakal sangat
4. Terencat akal
5. Pelbagai kompilasi otak

Tanda-tanda Wanita Hamil Terkena Gangguan Jin Ummu Sibyan

1. Rasa sesak dada terutama setelah waktu asar, yang mungkin berlangsung sampai tengah malam
2. Kusut fikiran
3. Sakit di bagian tulang-tulang belakang
4. Mengigau ketika tidur
5. Bermimpi dengan mimpi yang menakutkan



Cara Elak Gangguan Ummu Sibyan

1. Tutup Pintu dan jendela rumah waktu Maghrib
2. Jangan angkat atau masukkan baju yang sudah bermalam diluar rumah (jemuran tak kering)

Cara Pengubatan Pada Bayi

Tiarapkan anak, jangan biarkan matanya melihat ke arah itu, baca ayat Qursi dan 3 Qul kemudian tiup ke ubun-ubunnya sampai berhenti menangis.

Halaulah dengan bahasa dan bahasa masing masing seperti contoh (wahai Ummu Sibyan pergilah kau keluar dari rumahku dan jangan ganggu anak anakku) Insya Allah Ummu Sibyan akan pergi.

Cara Pengubatan Pada Wanita Hamil

Bacakan doa-doa menghindar setan termasuk doa menghindar sihir seperti (surah al-Fatihah, ayat al-Kursi, surah al-Baqarah, surah Ali-Imran dan surah al -Mu’awwizat) pada satu sendok madu asli dan kurma untuk dimakan setiap hari sebelum sarapan.

Bisa juga di bacakan doa doa pada minyak zaitun untuk di oleskan pada bagian dada dahi dan tulang belikat sebelum tidur. KONGSIKAN JIKA BERMANFAAT.

15
   HADIS TENTANG MUJADDID (REFORMIS) AGAMA

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
 
Hadith ini begitu masyhur dan sering kita dengar apabila masyarakat berbicara berkenaan transformasi untuk sesuatu perkara sehinggakan para ulama’ mengarang beberapa karya bagi menentukan siapakah tokoh yang digelar sebagai mujaddid atau reformis. Hadith di bawah yang sering digunakan adalah seperti berikut, diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda :

إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan untuk umat ini setiap seratus tahun orang-orang yang akan memperbaharui agama ini (daripada segala penyimpangan)"
Riwayat Abu Daud (3740) dalam Kitab al-Malahim, Bab Apa yang Disebut pada Kurun ke-100,  dan al-Hakim (4:522) dalam al-Mustadrak. Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani (599) dalam Silsilah-nya, .
 
Makna al-Hadith
 
• Daripada hadith ini, kita memahami bahawa Allah SWT akan mengutuskan kepada umat ini setiap seratus tahun orang-orang yang akan membantu masyarakat agar mereka tidak tersesat dan terpesong daripada agama ini dan dalam masa yang sama akan menjaga kesucian agama ini daripada unsur-unsur yang boleh mencemarkan ketulenan agama ini. Oleh itu, setiap orang muslim yang mengaku beriman perlu mempercayai hadith ini.
 
• Maksud al-Tajdid atau reformasi ialah mengembalikan dan melihat sudut feqah, Iman, amal dan dakwah dengan cara dan nafas yang baru dan bersesuaian dengan keadaan semasa selagimana ia tidak bertentangan dengan al-Qur’an dan al-Hadith. Untuk itu, maksud tajdid bukanlah mencipta sesuatu perkara atau agama yang baru sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.
 
• Jika kita melihat kepada zaman para sahabat, tabi’in dan generasi selepas daripada tabi’in, kita dapat melihat bahawa ketika zaman itu terdapat sikap meraikan, kemudahan dan terbuka dalam memahami nas-nas bagi menyesuaikan dengan maslahat atau tuntutan pada waktu itu.
 
Makna Lafaz “ مَن ” di dalam hadith ini.
 
Para ulama’ dan ahli ‘ilmu berpendapat ketika menafsirkan hadith ini, lafaz “man” (من) itu adalah “isim mausul” (اسم موصول) yang membawa maksud itlaq (إطلاق) samada seorang atau lebih. Ini kerana, terdapat golongan yang mengatakan hanya seorang yang akan menjadi reformis setiap seratus tahun. Pendapat yang mengatakan bahawa lafaz “man” itu menunjukkan lebih daripada seorang disokong oleh beberapa ulama’ hadith yang terkenal, antaranya ialah:
 
• Ibn Hajar : "Tidak semestinya setiap seratus tahun itu akan muncul seorang sahaja reformis, kemungkinan perkara tersebut dilakukan secara berkumpulan." [Fath al-Bari, 13:295]
• Ibnu Kathir : "Hadith ini meliputi setiap individu pada masa kini yang melaksanakan fardhu kifayah iaitu dengan menunaikan amanah ilmu." [al-Bidayah wa al-Nihayah, 9:303]
• Al-Zahabi : "Aku berpendapat lafaz “man” di dalam hadith tersebut menunjukkan jama’ dan bukannya mufrad”.[Tarikh al-Islam, 7:99]
 
Tarjih
Setelah kami nyatakan bahawa para ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan lafaz “man” di dalam hadith. Untuk itu, kami berpendapat bahawa “man” di dalam hadith ini bermaksud lebih daripada seorang sebagaimana yang difahami oleh dahulu dan masa kini.
 
Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara kita dan ahli keluarga kita daripada segala fitnah yang melanda umat Islam pada masa kini. Amin.
 
Wallahua`lam.

Pages: [1] 2 3 ... 6